• SELAMAT DATANG

    Asalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 68 other subscribers
  • KLIK PAUTAN

BAB RIBA


Definasi

Kata “riba” bererti bertambah, subur atau lebih. Di antara pengertian atau definasinya menurut hukum syarak ialah :

  1. Akad bagi membuat pertukaran barang yang tertentu tidak diketahui persamaannya mengikut kiraan syarak ketika akad atau diketahui persamaannya tetapi dengan menangguhkan kedua-dua tukaran itu atau salah satunya.
  2. Pertambahan pada pertukaran emas dan perak juga pada jenis-jenis benda makanan.

Hukum Perbuatan Riba

Perbuatan riba hukumnya haram dan berdosa besar. Di antara ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan haram dan kotornya perbuatan riba ini adalah seperti berikut, maksudnya :

Dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba. Wahai orang-orang yang beriman ! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan sisa-sisa riba itu, jika kamu orang beriman.

Daripada Ibni Masud, bahawa Nabi s.a.w. melaknanti pemakan riba, pemberinya, saksinya dan juru tulisnya. Daripada Jabir r.a.

Melaknati Rasulullah s.a.w. memakan riba, pemberinya, juru tulisnya, saksinya dan ia berkata : “Mereka itu sama sahaja.”

Hikmah Pengharaman Riba

Islam mengharamkan riba kerana akibatnya terlalu buruk terhadap anggota masyarakat. Riba merupakan penindasan dan pemerasan setengah orang-orang kaya terhadap orang-orang miskin. Setengah-setengah orang menganggap riba sama saja dengan jualbeli kerana kedua-duanya sama-sama mendatangkan keuntungan. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Kedua-dauanya jauh berbeza. Jualbeli diharuskan kerana mendatangkan faedah yang besar kepada masyarakat.

Walaupun ia mendatangkan keuntungan yang berlipat-ganda, namun ia juga terdedah kepada kerugian, kadang-kadang mendatangkan keuntungan dan kadang-kadang mendatangkan kerugian. Hal ini berlainan sekali dengan riba kerana ianya sekali-sekali tidak terdedah kepada kerugian, malah sentiasa mendatangkan keuntungan.

Dalam masyarakat kita bukan sedikit orang-orang yang berhutang kepada ceti-ceti, bergadai kepada pajak-pajak gadai secara riba telah kehilangan kebun getah, tanah padi dan sebagainya kerana tidak sanggup membayar hutang, membayar bunga, membayar faedah (interest) yang dikenakan berlipat-ganda ke atas mereka. Sebaliknya pihak pemakan riba bertambah kaya-raya dan senang-linang. Pendeknya perbuatan riba merupakan suatu penindasan dan cengkaman yang amat buruk terhadap anggota masyarakat. Di akhirat kelak mereka akan mendapat hukuman daripada Allah. Firman Tuhan :

Orang-orang yang memakan riba, tidak berdiri, melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, yang demikian kerana mereka berkata : jualbeli itu seperti riba, dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.

Dari huraian di atas, dapat ditarik beberapa kesimpulan seperti berikut :

Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.

  1. Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.
  2. Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.
  3. Riba menanamkan semangat tamak haluba kepada orang-orang yang berada dan kaum-kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.
  4. Orang-orang yang menjalankan perbuatan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.

Kerana keburukan-keburukan itulah, Islam mengharamkan perbuatan riba dan mengutuk keras ka atas orang-orang yang terlibat dalam urusan riba.

Benda-benda Riba

Benda-benda yang terdapat padanya riba adalah sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Al-Samit daripada Nabi s.a.w. berkata ia :

Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, sama-sama banyak dengan tunai, maka jika berlainan jenis-jenis ini, maka juallah kamu sebagaimana yang kamu kehendaki jika dengan tunai.

Ilat Pengharaman

Dari sabda Rasulullah s.a.w. yang tersebut pada 5.3 itu, secara garis kasarnya, benda-benda riba tercantum dalam dua perkara, iaitu :

  1. Benda-benda makanan
  2. Emas dan perak

Jadi benda-benda riba itu bukanlah hanya terkhas kepada enam perkara benda-benda yang tersebut pada 5.3 itu sahaja. Benda-benda yang tersebut itu hanyalah sebagai dasar illat pengharaman sahaja. Syafii menetapkan illat pengharaman benda-benda makanan ialah ‘makanan’ ; illat pengharaman emas dan perak ialah kerana kedua-duanya itu merupakan “nilai bagi sesuatu”. Tetapi Hanafi menetapkan illat pengharamannya ialah “sukatan dan timbangan”.

Jenis-jenis Riba

Riba terbahagi kepada tiga jenis, iaitu :

  1. Riba An-Nasiah : Riba yang dibayar lebih kerana bertangguh pembayarannya. Riba jenis inilah yang banyak terjadi di kalangan masyarakat kita.
  2. Riba-Fadzl : Iaitu riba yang dibayar lebih pada satu pihak penukaran seperti ditukar segantang beras malinja dengan dua gantang beras yang lain.
  3. Riba-Yad : Iaiti riba yang dibayar lebih kerana tidak berterimaan di dalam majlis akad.

Syarat-syarat Penjualan Barang-barang Riba

Tidak harus menjual barang-barang jenis riba sesama jenisnya dan yang bukan sesama jenisnya kecuali dengan syarat-syarat seperti berikut :

1. Sesama jenisnya :

Jika dijual barang-barang makanan dengan makanan sesama jenisnya seperti gandum dengan gandum, beras dengan beras, dan juga jika dijual emas dengan emas, perak dengan perak, disyaratkan tiga perkara, iaitu :

(a) Hendaklah bersamaan kedua-duanya pada sukatan / timbangan
(b) Hendaklah dengan tunai
(c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad.

2. Tidak sesama jenisnya :

Jika dijual benda-benda tidak sesama jenisnya seperti gandum dengan beras, gandum dengan syair, emas dengan perak, disyaratkan dua perkara, iaitu :

  1. Hendaklah dengan tunai
  2. Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad

Ertinya jika dijual barang-barang bukan sesama jenisnya, boleh berlebih kurang di antara satu sama lain.

Benda-benda Yang Berlainan Bangsa

Bagi benda-benda yang berlainan bangsa dan jenisnya seperti padi dengan wang, beras dengan kain atau sebagainya, tidak dikenakan apa-apa syarat padanya.

Sekianlah sahaja beberapa perkara mengenai riba. Termasuk juga dalam golongan riba jika diberi hutang dan disyaratkan membayar lebih kepada tuan hutang. Oleh kerana perbuatan riba ini amat merbahaya dan terkutuk, wajiblah setiap orang berhati-hati dalam menjalankan segala jenis urusan muamalat.

RAHNUN (GADAIAN)


RAHNUN (GADAIAN)

Definasi

Rahnun perkataan Arab. Dari sudut bahasa bererti : kekal, tetap dan tahan. Kata “rahnum” diekwivalenkan dengan kata “gadaian” dalam bahasa Malaysia, ertinya menurut bahasa ialah mempertaruhkan sesuatu umpamanya menggadai nyawa, menggadaikan tanahair dan sebagainya.

Menurut istilah hukum fekah atau hukum syarak kata “rahnum” atau “gadai” itu ialah : menjadikan sesuatu barang sebagai cagaran kepada sesuatu hutang buat menjelaskan hutang itu ketika tidak kuasa membayarnya.

Dalil Gadaian

Hukum bergadai adalah harus iaitu harus bergadai dengan sesuatu atau apa-apa barang yang sah diperjualbelikan. Ertinya apa-apa barang atau sesuatu yang sah dijual maka sahlah digadai.

Dalil asal sebelum ijmak yang menunjukkan keharusan bergadai ini ialah :

1. Firman Tuhan maksudnya:

Dan jika kamu dalam perjalanan dan tidak memperolehi jurutulis, hendaklah kamu menerima gadaian.

2. Riwayat daripada Anas katanya, bermaksud

Rasulullah s.a.w. menggadaikan baju rantai di sisi Yahudi di Madinah dan baginda mengambil daripadanya gandum untuk keluarganya.

3. Daripada Aisyah r.a. : Ertinya :

Bahaya Nabi s.a.w. telah membeli daripada seorang Yahudi makanan kepada suatu tempoh, dan baginda menggadaikan kepadanya baju rantai kepunyaannya yang diperbuat daripada besi.

Gadaian Dalam Islam

Berhutang adalah merupakan suatu jalan bagi mengatasi kesulitan perbelanjaan tetapi kadang-kadang orang-orang yang berkemampuan tidak sanggup hendak memberi hutang kepada seseorang yang dipercayainya kecuali dengan sesuatu cagaran. Dengan adanya cagaran itu, hutang yang diberikan itu akan terjamin dan terselamat. Memandangkan kepada keadaan inilah Islam mengharuskan bermualamat dengan cara bergadai iaitu berhutang dengan meletakkan suatu pertaruhan atau cagaran supaya terjamin pembayarannya bila mana sampai tempohnya kelak. Dengan cagaran itu, pihak memberi hutang tidak merasa apa-apa keraguan lagi kerana bila sampai tempohnya nanti, walaupun orang yang berhutang itu tidak sanggup menjelaskannya, pemberi hutang yang memegang gadaian itu boleh menjualnya dan mengambil harganya sekadar yang telah diperhutangkannya.

Umpamanya Ramzi memerlukan wang sejumlah $3,000.00. Untuk mendapat wang sejumlah tersebut ia terpaksa berhutangl daripada Fakhri dengan menggadaikan kebun getahnya iaitu sebagai cagaran kepada hutangnya itu dengan perjanjian apabila ia tidak dapat melunaskan hutangnya itu dalam tempoh yang telah ditetapkan, Fakhri bolehlah menjual kebun tersebut; dan jika harganya lebih mahal daripada jumlah wang yang diperhutangkan itu, wang selebihnya itu hendaklah diberikan kepada Ramzi kerana ianya adalah kepunyaan Ramzi.

Muamalat hutang dengan cagaran sebagaimana yang tersebut di atas inilah dikatakan rahnun (gadai). Ramzi yang memerlukan wang itu dinamakan rahin (penggadai). Fakhri yang memberikan wang dinamakan murtahin (pemegang gadai). Kebun yang dicagarkan itu dinamakan marhun (yang digadaikan). Wang sebanyak $3,000.00 itu dinamakan marhun bih (hutang gadaian). Muamalat cara ini mestilah dengan ada ucapan di antara si penggadai dan si pemegang gadai.

Rukun-rukun Gadaian

Dari keterangan-keterangan di atas nyatalah, rukun-rukun gadaian itu empat perkara iaitu :-

1. Rahin dan murtahin (penggadai dan pemegang gadai). Kedua-duanya hendaklah:

(a) Keahlian mengurus hartanya (ahliyatut Tabaru). Dengan syarat ini, penjaga, bapa atau lainya, tidak boleh menggadaikan harta kanak-kanak dan harta orang-orang gila kecuali jika terpaksa atau ternyata ada keuntunganya.

(b) Akil baligh: tidak sah bagi kanak-kanak dan orang-orang gila.

(c) Tidak dipaksa : melakukan gadai mestilah dengan kehendak sendiri. Tidak sah jika dipaksa.

2. Barang yang digadai – barang-barang yang digadai hendaklah barang-barang yang sah diperjualbelikan. Barang-barang yang tidak sah diperjualbelkan, tidak sah ianya digadaikan.

3. Marhun bih – bayaran atau barang yang diberi kepada penggadai itu mestilah hutang yang dimaklumi. Maka tidak sah jika tidak berupa hutang seumpama benda yang wajib diganti seperti barang yang dirampas, barang pinjaman atau sebagainya.

4. Sighah – tidak sah gadaian melainkan dengan ijab dan Kabul. Syarat-syaratnya sama dengan syarat-syarat pada urusan berjualbeli. Maka tidak sah jika diselangi oleh perkataan lain atau berselang lama. Juga tidak sah jika bertaklik dan jika memakai jangka waktu.

Menurut pendapat setengah ulama, sah bergadai secara unjuk terima, rida meridai di antara kedua pihak seperti kata orang yang hendak berhutang: “Berilah hutang kepada saya sebanyak $500.00 dan saya berikan kepada saudara grant tanah saya ini sebagai gadaiannya”. Maka diberikan wang sebanyak yang tersebut dan pemberi wang menerima grant itu sebagai cagarannya.

Tarik Balik Gadaian

Harus bagi penggadai, menarik balik akadnya atau memasukhkan gadaiannya itu selagi pemegang gadai atau wakilnya belum memegang barang gadaian itu. Jika sudah memegangnya, berjalanlah kuatkuasa gadaian itu dan penggadai tidak lagi berhak menarik balik gadaiannya dan tidak lagi berhak memerintah yang boleh menghilangkan hak milik hartanya itu seperti hendak menjual atau mewakafkannya atau sebagainya.

Menggunakan Barang Gadaian

Sesungguhnya barang yang digadai itu adalah masih menjadi hak kepunyaan penggadai. Oleh yang demikian penggadai (rahin) harus mengambil faedah daripada apa yang digadainya itu jika tidak mengurangkan nilai harganya seperti menunggangi haiwan, mendiami rumah atau sebagainya. Bahkan ia boleh memberi sewa sekiranya diizinkan oleh pemegang gadai.

Adapun pemegang gadai, tidak harus ia mengambil faedah daripada barang gadaian itu atau menggunakannya. Tetapi ada setengah-setengah ulama mengatakan harus sekiranya diizinkan oleh orang yang menggadai. Jadi, sekiranya pemegang gadai mengambil munafaat dari barang gadaian itu, sayugialah penggadai dengan tulus ikhlas dan bersih hati menghalalkan faedah-faedah barang gadaian itu sebagai mengenang budi di atas pertolongannya memberi hutang kepadanya itu. Dengan cara ini juga, terhindar dari bahaya riba. Jika ditinjau dari sudut kemanusiaan, pemegang gadai kurang elok mengambil faedah dari barang gadaian, kerana jika demikian, hilanglah semangat memberi pertolongan kepada orang-orang yang berhajat atau dalam kesusahan itu.

Perbelanjaan Ke Atas Barang Gadaian

Jika barang gadaian itu berkehendakan perbelanjaan seperti makan minum ternakan, menyiram pokok-pokok yang digadai atau sebagainya, maka segala perbelanjaan itu adalah tertanggung ke atas penggadai (rahin), bukannya ke atas pemegang gadai (murtahin).

Rusak Barang Gadaian

Pemegang gadai merupakan pemegang amanah ke atas barang yang digadaikan kepadanya. Ia bertanggungjawab menjaganya dengan penuh perhatian. Jadi, jika berlaku kerosakan yang tidak sengaja, tidaklah dikenakan apa-apa gantian ke atasnya. Kecuali jika berlaku kerosakan dengan sebab kecuaian atau ketaksirannya, wajib pemegang gadai menggantikannya. Dan kerosakan yang berlaku ke atas barang gadaian itu tidak sedikitpun menggugurkan hutang.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

JUAL BELI SALAM


JUAL BELI SALAM

Definasi

Menurut istilah hukum syarak, jual salam ialah menjual sesuatu benda yang belum ada di hadapan mata, tetapi ditentukan sifat-sifat dan kadarnya.

Syarat-syarat Barang Yang Dijual Salam

Sesuatu barang atau benda hendak dijual secara salam itu disyaratkan :

  1. Boleh dianggarkan sifatnya, ertnya ada sifat-sifat yang boleh dibuat anggaran dan perbezaan dengannya.
  2. Tidak bercampur dengan benda-benda lain yang menyebabkan sukar hendak membuat anggarannya.
  3. Barang itu hendaklah tidak tertentu. Tidak boleh seperti kata penjual : “Saya jual salam kain ini kepada saudara.”
  4. Barang itu tidak berhad pada satu tempat saja.
  5. Barang itu hendaklah sesuatu yang sah dijualbeli.

Syarat-syarat Sah Akad Jual Salam

Syarat-syarat sah akad jualbeli salam ialah :

  1. Hendaklah dijelaskan jenis dan sifat-sifat penting bagi barang yang hendak dijual itu.
  2. Hendaklah dijelaskan juga kadarnya.
  3. Hendaklah ditetapkan masa tempoh untuk mendapatkannya.
  4. Hendaklah barang itu boleh didapati bila sampai tempoh yang ditetapkan.
  5. Hendaklah barang itu biasa didapati, bukan jarang-jarang didapati.
  6. Hendaklah ditetapkan tempat menerimanya.
  7. Hendaklah dibayar tunai harganya.
  8. Akad jualbeli ini terus berjalan kuatkuasanya, ertinya tidak sah jika disyaratkan khiar.

Peringatan

  1. Bila diserah barang itu sebagaimana yang disifatkan di dalam akadnya atau lebih baik lagi, wajiblah menerimanya.
  2. Kalau barang itu terkurang dari apa yang telah disifatkan, harus menerimanya, tetapi tidak wajib.

Hikmah Jual Beli Salam

Di antara hikmat-hikmat diharuskan jualbeli secara salam ialah :

  1. Untuk memberi kemudahan kepada anggota masyarakat menjalankan urusan perniagaan.
  2. Untuk menanamkan perasaan tolong menolong di antara satu sama lain.

Budipekerti Dalam Jual Beli Salam

Di antara budipekerti dalam jual salam, ialah :

  1. Masing-masing hendaklah bersikap jujur dan tulus ikhlas serta hendaklah amanah dalam perjanjian-perjanjian yang telah dibuat.
  2. Penjual hendaklah berusaha memenuhkan syarat-syarat yang telah ditetapkan itu.
  3. Pembeli janganlah cuba menolak barang-barang yang telah dijanjikan itu dengan membuat berbagai-bagai alasan palsu.
  4. Sekiranya barang yang dibawa itu terkurang sedikit daripada syarat-syarat yang telah dibuat, masing-masing hendaklah bertolak ansur dan mencari keputusan yang sebaik-baiknya.


________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

KHIAR DALAM JUALBELI


Definasi

Khiar ertinya pemilihannya, iaitu hak memilih bagi penjual dan pembeli sama ada jualbeli itu hendak diteruskan ataupun tidak. Pembeli menarik kembali wangnya dan penjual menarik balik barangnya.

Hukum Khiar

Melakukan khiar adalah harus mengikut syarat-syaratnya yang tertentu. Penjual dan pembeli harus melakukan khiar selagi kedua-duanya belum berpisah. Hukum ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam, berkata ia : Rasulullah telah bersabda maksudnya:

Penjual dan pembeli harus melakukan khiar selagi kedua-duanya bersikap benar dan menerangkan, diberkati bagi kedua-duanya pada jualbeli kedua mereka, dan jika kedua-duanya menyembunyikan dan berbohong, dimusnahkan keberkatanl jualbeli keduanya itu.

Hikmah Pengharusan Khiar

Di antara hikmat-hikmat mengharuskan khir, dapat disimpulkan seperti berikut :

  1. Supaya kedua-dua pihak merasa puas hati dalam urusanl jualbeli.
  2. Untuk mengelakkan tipu menipu dalam urusan jualbeli
  3. Untuk menjamin kesempurnaan dan kejujuran bagi kedua-dua pihak.

Jenis-jenis Khiar

Khiar ada tiga jenis, iaitu :

  1. Khiar Majlis
  2. Khiar Syarat
  3. Khiar Aib (cacat)

Khiar Majlis

Khiar majlis ialah khiar yang dilakukan sebelum penjual dan pembeli berpisah ke mana-mana. Selagi belum berpisah, penjual atau pembeli boleh melakukan khiar walaupun tanpa sesuatu sebab, tak kira berapa lama mereka berada di majlis atau tempat akad itu ; atau mereka sama-sama keluar pergi ke mana-mana. Maka tidak boleh dilakukan khiar lagi jika :

  1. Kedua-duanya sudah berpisah
  2. Sudah menggunakan barang itu sebagai membuktikan jualan itu sudah selesai
  3. Ada sesuatu bukti yang menunjukkan jualan itu sudah selesai.

Khiar Syarat

Penjual dan pembeli boleh membuat syarat ketika akad jualbeli dalam tempoh tidak lebih daripada tiga hari, seperti kata penjual : “Saya jual barang ini kepada saudara dengan syarat saya boleh khiar dalam tempoh tiga hari.” Jawab pembeli: “Saya beli barang ini dengan syarat tersebut.” Dalam tempoh yang tersebut itu, berhaklah pihak-pihak yang membuat syarat itu melakukan khiar, penjual berhak menarik kembali barangnya, dan pembeli berhak menarik balik wangnya. Inilah yang dikatakan khiar syarat.

Khiar Aib

Jika barangyang dijual atau harganya didapati cacat yang mengurangkan nilainya, haruslah pembeli atau penjual melakukan khiar dengan syarat :

  1. Kecacatan itu berlaku sebelum daripada akad atau selepas akad tetapi sebelum diterimanya oleh pembeli atau penjual.
  2. Hendaklah segera menyerahkan kembali barang atau harga yang cacat itu.

Bila terdapat kecacatan yang mengurangkan nilainya itu, bolehlah dilakukan khiar walaupun tidak ada dibuat syarat khiar terlebih dahulu. Jadi bila diketahui ada kecacatan, hendaklah segera menyerahkan kembali barang kepada penjual atau harga kepada pembelinya. Tetapi jika lengah, tidak harus lagi melakukan khiar. Inilah yang dikatakan khiar cacat.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com

Berjual beli


JUALBELI YANG DILARANG


Dari keterangan-keterangan umum perniagaan haram dalam bab yang telah lepas, jualbeli atau perniagaan yang diharamkan, terbahagi kepada dua bentuk pengharaman iaitu :

  1. Haram tetapi sah akadnya
  2. Haram dan tidak sah akadnya

Haram Tetapi Sah Akadnya

Di antara jualbeli haram tetapi sah akadnya, ialah :

  1. Menjual sesuatu yang terang-terang akan dipergunakkan oleh pembelinya untuk tujuan maksiat.
  2. Penjualan secara kecoh, seperti penjual sengaja memperlihatkan barang-barang yang baik di sebelah atas, sedangkan di bawahnya terdapat barnag-barang yang buruk.
  3. Jualbeli dengan cara mengatasi jualan orang lain sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
  4. Jualbeli dengan mengatasi tawaran orang lain sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
  5. Jualbeli talaqir rukban (menyusung pedagang keluar kota), sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini
  6. Jualbeli di antara orang kota dengan orang-orang desa sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
  7. Jualbeli najsyin (menaik-naikkan harga) sebagaimana yang telah diterangsebelum ini.
  8. Melakukan ihtikar ke atas barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.

Demikianlah di antara jualan-jualan haram tetapi sah akadnya. Oleh yang demikian hendaklah berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan supaya tidak terlibat dengan urusan jualbeli yang diharamkan itu.

Haram Lagi Tidak Sah Akadnya

Di antara jualbeli yang diharamkan lagi tidak sah akadnya, ialah :-

1. Menjual air benih haiwan ternakan, hukumnya haram dan tidak sah akadnya kerana bukan saja tidak diketahui kadarnya, tetapi juga tidak dapat menerimanya.

Tetapi dalam urusan pembiakan ini menurut mazhab Hanbali harus mempersewakan jantan ternakan dalam tempoh masa yang tertentu. Tetapi sebaik-baiknya tuan punya haiwan tersebut meminjamkannya saja kepada pihak yang berkehendakan pembiakan itu dan cara inilah yang dianjurkan oleh Islam.

2. Begitu juga haram dan tidak sah menjual anak haiwan yang masih di dalam kandungan ibunya. Begitu juga tidak sah jika menjual salah satunya saja. Jika menjual haiwan yang bunting, termasuklah anaknya sekali yang di dalam kandungannya itu.

3. Tidak sah menjual buah-buahan yang masih di pokok kecuali setelah nyata baiknya. Umpamanya buah-buahan yang sedang memutik muda, tidak harus menjualnya kerana buah-buahan dalam waktu yang demikian sering gugur dan busuk. Kecuali setelah kelihatan baik dan tua. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :

Jangan kamu menjual buah-buahan sehingga nyata bainya.

4. Tidak sah menjual dengan bersyarat seperti kata penjual : “Saya jualkan motokar ini kepada saudara dengan harga $5,000.00 dengan syarat saudara jualkan rumah saudara itu kepada saya dengan harga ….”

5. Tidak sah menjual dengan syarat hutang umpamanya kata penjual” “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $200.00 dengan syarat saudara memberi hutang wang kepada saya sebanyak $100.00” dan sebagainya.

6. Tidak harus menjual daging dengan binatang sama ada dari jenis yang boleh dimakan atau bukan jenis yang boleh dimakan seperti menjual daging lembu dengan biri-biri atau lainnya seperti menjual daging biri-biri dengan hamar, berdasarkan riwayat Al-Hakim bahawa Rasulullah s.a.w. maksudnya;

Ia menegah dari dijual biri-biri dengan daging.

7. Tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh diterima seperti burung di udara, ikan di dalam laut atau sebagainya.

8. Tidak sah menjual barang-barang yang baru dibeli sebelum menerimanya kerana barang yang seperti itu belum lagi menjadi miliknya yang sempurna.

Demikianlah di antara beberapa bentuk penjualan yang diharamkan dan tidak sah akadnya. Oleh yang demikian sayugialah bagi setiap orang mengetahui bentuk-bentuk jualan yang tersebut agar tidak terlibat dengan perbuatan-perbuatan yang diharamkan itu.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com

Berjual beli


BEBERAPA PERNIAGAAN HARAM



Dalam Pendahuluan telah diterangkan secara ringkas keperluan manusia terhadap urusan muamalat dan  diterangkan beberapa hukum di sekitar jualbeli termasuk rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Pada kali ini akan diterangkan beberapa bentuk perniagaan yang terlarang dalam Islam.

Untuk mendapat keuntungan yang banyak dan mudah menjadi kaya, setengah-setengah penjual atau saudagar sanggup melakukan segala macam perniagaan dan berbagai-bagai tipu helah dalam urusan jualbeli. Mereka tidak memperdulikan kepentingan orang ramai asalkan mereka mendapat keuntungan yang berlipat-ganda. Di bawah ini diterangkan beberapa sumber kemasukan wang yang diharamkan oleh Islam, di antaranya ialah :

(1) Baiul gharari
(2) Penjualan yang menolong kemaksiatan dan najis,
(3) Perniagaan kotor,
(4) Penjualan dengan tipuan,
(5) Mengatasi jualan orang lain,
(6) Mengatasi tawaran orang lain,
(7) Talaqir Rukban,
(8) Baiu Haadirin Libaadin,
(9) Bai an-najsy,
(10) Nai nitajinitaj,
(11) Ihtikar

Baiul Gharari

Iaitu segala bentuk jualbeli yang mendatangkan kemudaratan, kerugian, bahaya atau sakit hati orang lain. Penegahan ini berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah katanya:

Rasulullah menegah daripada jualan berbahaya dan jualan secara melontar anak batu.

Termasuklah penjualan barang-barang yang entah di mana barang-barang yang tidak diketahui besar kecilnya, baik buruknya, tidak diketahui masa menerimanya, barang yang belum sempurna milik penjualnya, menjual ikan di dalam sungai, burung di udara, anak binatang di dalam perut, menjaul sehelai kain di dalam beberapa helai kain yang tidak dapat dilihat, menjual seekor biri-biri di dalam kumpulan yang ramai dan lai-lain sebagainya yang mendatangkan bahaya dan kerugian.

Penjualan Yang Menolong Kemaksiatan dan Najis

begitu juga dilarang segala bentuk penjualan yang menolong kepada kemaksiatan dan menjual benda-benda najis, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Ibnu Abdullah r.a. :

Daripada Jabir bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah sedang ia berada di Mekah sedang ia berada di Mekah: “Bahawa Allah dan rasulNya mengharamkan jualan arak, bangkai, babi dan berhala.

Perniagaan Kotor

Haram memakan hasil-hasil perniagaan kotor seperti hasil persundalan dan sebagainya. Tegahan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Masud Al-An-Ansari katanya:

Rasulullah s.a.w. menegah dari harga anjing dan hasil perempuan sundal danl upahan tukang nujum.

Penjualan Secara Tipu

Jualbeli yang mengandungi penipuan dan pengicuhan seperti penjual sengaja memperlihatkan barang dagangannya yang baik di sebelah atas dan yang buruknya di sebelah bawah. Berdasarkan hadis riwayat dari Abi Hurairah r.a. :

Bahawa Nabi s.a.w. melalui pada suatu longgokan makanan, lalu ia memasukkan tangannya pada tompokan itu lalu jari-jarinya terasa basah, baginda pun bersabda: “Apa ini wahai tuan punya makanan?” Jawabnya : Ia terkena hujan wahai Rasulullah.” Sabda nabi lagi: “Mengapa tidak engkau taruhkan sebelah atas supaya dilihat orang? Siapa-siapa menipu, bukanlah ia dari golonganku.

Mengatasi Jualan Orang lain

Haram menjual di atas orang lain seumpama penjual berkata kepada orang yang telah membeli barang-barang orang lain yang masih di dalam masa khiar : “Batalkan permbelian ini supaya saya menjual kepada saudara dengan harga yang lebih murah.” Larangan ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. bersabda ertinya:

Tidak harus menjual setengah kamu atas jualan setengah.

Mengatasi Tawaran Orang Lain

Begitu juga haram mengatasi tawaran orang lain seumpama pembeli telah bersetuju hendak membeli sesuatu barang, tiba-tiba datang orang lain menawar dengan harga lebih mahal daripada itu. Larangan ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Tidak harus menawar seseorang Muslim atas tawaran seseorang Muslim.

Menyekat Pedagang

Begitu juga haram menyekat barang-barang dagangan di luar kota dengan tujuan memborong barang-barang itu dengan harga yang murah. Umpamanya seorang peniaga pergi menanti di mana-mana jalan memborong barang-barang sebelum barang-barang itu sempat dibawa ke pasar dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran: Perbuatanl mencari untung yang berlebih-lebihan ini adalah haram berdasarkan hadis daripada Ibnu Masud daripada Nabi s.a.w. :

Bahawanya ia menegah daripada menemui jualan-jualan.

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. katanya :

Rasulullah menegah pergi menyusun pedagang-pedagang.

Jualbeli Haadirin Libaadin

Ialah juabeli antara orang kota dengan orang desa hukumnya haram iaitu seperti seorang desa datang ke kota membawa barang-barang dagangan yang diperlukan di kota untuk dijual. Tetapi ia tidak mengetahui harga pasaran pada masa itu. Saudagar kota segera mengambil peluang menyuruhnya tinggalkan saja barang-barang itu padanya supaya dapat ia menjualnya sedikit demi sedikit dengan harga yang lebih mahal. Perbuatan yang seperti ini adalah haram berdasarkan kepada hadis daripada Jabir katanya :

Tiada harus menjual orang kota bagi orang desa, biarkan orang-orang memberi rezeki oleh Allah, setengah mereka daripada setengah.

Jualbeli Najsy

Iaitu jualan dengan cara menaik-naikkan harga dengan tujuan menipu umpamanya penjual telah berpakat dengan seseorang yang pura-pura hendak membeli barangnya, tetapi sebenarnya ia tidak hendak membelinya, cuma untuk menipu dan mengelirukan orang ramai sahaja. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis riwayat daripada Ibnu Umar r.a. :

 Sesungguhnya Rasulullah menegah daripada jualbeli najsy.

Jualbeli Anak Dalam Kandungan

Ialah menjual keturunan anak ternakan yang masih dalam kandungan, seperti dikatakan: “Bila lembuku ini melahirkan anak yang di dalam kandungannya ini dan anaknya itu beranak pula, kujualkannya anaknya itu.” Penjualan yang seperti ini mungkin terjadi dan tempah menempah pembelian anaknya akan berlaku bila ternakan-ternakan itu baka keturunan baik. Orang-orang Arab di zaman dahulu pernah menjual keturunan anak-anak unta yang masih di dalam kandungan. Hukumnya haram dan tidak sah, berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar :

Bahawa Nabi s.a.w. telah menegah dari jualan anak bagi yang bunting.

Ihtikar

Ihtikar ialah menyimpan barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal supaya mendapat keuntunganl yang berlipat-ganda. Perbuatan yang seperti ini merupakan penindasan yang menyebabkan orang ramai mengalami kesulitan dan kesusahan. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis daripada Makmari bin Abdullah r.a. katanya: “Telah bersabd Rasulullah s.a.w. :

Siapa-siapa melakukan ihtikar dia adalah salah.

____________________________________

Jualan Lelong

Adapun jualan secara lelong, hukumnya harus berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik :

Bahawa Rasulullah pernah menjual pelana dan mangkuk, dan katanya: “Siapa mahu membeli pelana dan mangkuk ini?” Jawab seorang lelaki: “Saya mengambil kedua-duanya dengan satu dirham.” Maka Nabi s.a.w. berkata: “Siapa mahu lebih atas satu darham ?” Maka seorang lelaki memberikan dua dirham kepada Nabi, lalu Nabi menjual kedua-duanya kepadanya.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com

Berjual beli


CABARAN DALAM PERBANKAN SYARIAH


Penulis: Abu Abdillah Abdurrahman Al-Mar’i Hafidzhahullah Ta’ala

Pada asalnya, mengwujudkan bank Islam yang terhindar dari praktik riba dan peminjaman secara riba adalah sesuatu yang baik. Akan tetapi hakikatnyanya bahawa kebanyakan bank-bank Islam yang ada, tidak memenuhi apa yang dijanjikannya kepada kaum muslimin, bahkan mereka terseret kedalam berbagai muamalah yang rusak dan haram.

Muamalah yang dipraktikkan bank-bank Islam pada ketika ini majoritinya adalah apa yang dinamakan (menurut mereka) “Bai’ Al-Murobahah” (jual beli yang menguntungkan).

Sebahagian Ulama membela bank-bank ini, walaupun terjatuh pada kesalahan-kesalahan, maka tidak ada satupun yang ma’sum, sementara bank itu ingin meletakkan bangunan Islam secara nyata.

Namun yang sebenarnya, bank-bank tersebut lebih berbahaya dari bank-bank Konvensional yang mempraktikkan riba secara nyata, kerana orang-orang yang masuk kedalam transaksi bersama dengan bank-bank riba konvensional, mengetahui dengan yakin bahawa dia bermaksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Sedangkan orang-orang yang bermuamalah dengan bank-bank yang disebut sebagai bank-bank Islam mereka menganggap Taqarrub kepada Allah dengan bermuamalah bersama bank-bank tersebut (tidak merasa keliru). Sementara mereka ternyata bermuamalah dengan riba dan jual beli yang haram dan rusak, dalam keadaan mereka menyangka bahawa mereka berbuat dengan sebaik-baik perbuatan.

Untuk itu banyak dari kalangan para Ulama memperingatkan agar tidak bermuamalah dengan bank-bank “islam” ini.Bahkan peringatan untuk tidak bermuamalah dengan “bank-bank islam” tersebut lebih keras kerana bank itu memakai label Islam.

PENEGASAN
Kalau “Bai’ Al Amanah” (jual beli secara amanah) tidak ada perselisihan diantara para Ulama tentang bolehnya. Dan dinamakan jual beli amanah kerana orang yang menjual wajib baginya untuk secara amanah menyebutkan harga kepada pembeli, dan hal tersebut ada tiga macam:

a. Bai’ al-Murobahah. (jual beli yang memberi keuntungan)
Gambarannya: Saya membeli alat rekam (misalnya) dengan harga 1000, kemudian saya menjualnya kepada orang lain dengan keuntungan 200, maka ini adalah murobahah (keuntungan).
Akan tetapi bukan seperti itu Bai’ al-Murobahah yang praktikkan oleh bank-bank Islam.

b. Bai’ al-Wadhi’ah. (menurunkan harga)
Gambarannya: Saya membeli suatu barang dengan harga 1000 dan saya menjualnya ketika saya perlu, dengan harga 800.

c. Bai’ at-Tauliyyah (kembali modal)
Gambarannya: Saya membeli satu barang dengan harga 1000 dan kemudian saya menjualnya dengan harga 1000.

Maka dinamakan amanah kerana jual beli tersebut dibangun diatas amanah orang yang berbicara. Maka Bai’ al-Murobahah dengan gambaran diatas tidak ada perselisihan diantara para ulama tentang bolehnya, kecuali sekedar perselisihan yang ringan disisi sebahagian Ulama yang menyatakan Karohah (makruh/dibenci). Namun sebenarnya tidak ada sisi untuk menghukuminya makruh.

Akan tetapi al-Murabahah yang dilakukan oleh pelaku-pelaku bank-bank Islam tidak seperti murabahah yang seperti diatas sama sekali. Al-Murabahah yang ada pada pelaku-pelaku bank Islam memiliki bentuk / model sebagai berikut:

1. Model yang pertama: Seseorang yang perlu untuk membeli, datang kepada sebuah bank, lalu mengatakan: Saya ingin membeli sebuah mobil Xen.. (misalnya) yang dijual di Dialer si fulan, dengan harga 100 ribu real, kemudian perwakilan bank tersebut menulis akad jual beli antara dia dengan orang yang hendak membeli, perwakilan bank ini mengatakan: Saya akan jual kepadamu mobil tersebut dengan harga 110 ribu real untuk jangka waktu 2 tahun.

Maka perwakilan bank tersebut menjual mobil tersebut sebelum dia memilikinya. Kemudian perwakilan tersebut akan memberikan kepada orang yang ingin membeli itu wang seharga mobil dengan mengatakan: Pergilah dan belilah mobil tersebut. Dan perwakilan tersebut tetap dikantornya, tidak pergi kepemilik showroom (dealer) mobil.

Hukum model pertama ini:
Tidak diperselisihkan tentang tidak bolehnya model seperti ini, disebabkan oleh:

  • – hal itu adalah peminjaman yang menghasilkan manfaat (riba),
  • – dan juga menjual sesuatu yang belum dimiliki sipenjual.

2. Model kedua: sama modelnya dengan yang pertama, hanya saja model kedua ini ada bentuk tambahan yaitu: bahawa siperwakilan bank tersebut menghubungi sipemilik dealer dan mengatakan: Mobil merek tertentu ini telah aku beli dari kamu, dan mereka mengirimkan ke dealer tersebut wang melalui sarana pengiriman modern (on line, mis.), kemudian mereka mengatakan kepada orang yang ingin beli: Pergilah anda dan ambillah barangnya, kami telah menjualnya kepada anda dengan tambahan 10 ribu secara kredit.

Hukum model kedua ini adalah haram, tidak boleh, disebabkan:

  • – siperwakilan bank tersebut menjual sesuatu yang belum masuk dalam tanggungan/jaminan dia
  • – dan dia menjual barang sebelum Qabdl (dipegang /diterima).

3. Model ketiga: Sama dengan sebelumnya, hanya saja siperwakilan bank tersebut betul-betul pergi dengan membawa wang senilai harga barang yang diinginkan oleh orang yang ingin membelinya. Kemudian perwakilan bank tersebut membeli barang dari pemilik dealer, dan mengatakan: Berikan barang ini kepada sifulan, kemudian diapun pergi, dan dia telah menetapkan kepada orang yang hendak membeli adanya tambahan harga dan telah ditetapkan akad sebelum orang yang ingin membeli tersebut keluar dari bank.

Hukum model ketiga ini adalah diharamkan
Disebabkan oleh: pihak perwakilan bank tersebut menjual barang yang belum dia miliki, sementara akad dia sebenarnya adalah dia menjual wang dengan wang bersama adanya barang diantara mereka, seakan-seakan orang yang ingin membeli itu mengatakan: Pinjamkan kepadaku 100 ribu kerana saya akan pergi untuk membeli barang A (misalnya).

Maka siperwakilan bank itu menjawab: Saya tidak akan meminjamkan untuk kamu, namun saya akan mengambil barang itu dan saya akan jual kepada kamu.

Maka seakan-akan dia meminjaminya 100 ribu dengan pengembalian 110 ribu.(inilah hakekat jual beli wang dengan wang) dan telah disebutkan dari Ibnu ‘Abbas? ucapan beliau: ((penukaran Dirham dengan dirham sementara makanan adalah perantara))

4. Model ke empat: modelnya sama dengan sebelumnya, hanya saja si Perwakilan bank pergi kepemilik dealer dan mengatakan: kami telah membeli barang ini dari kamu, akan tetapi simpan saja barang ini sebagai barang titipan di sisimu. Kemudian si perwakilan bank ini pergi kepada orang yang ingin membeli, dan dia katakan: pergilah kamu kepadanya terimalah barang itu, kami telah membelinya.

Hukum model ke-empat ini:
Sebahagian ulama’ Ahlus Sunnah membolehkan model ini dikeranakan dia telah menjadikannya sebagai barang titipan.

Yang benar adalah terlarang, kerana Nabi? melarang untuk menjual barang sampai para pedagang itu membawanya ke tempat mereka, dan Beliau melarang dari sesuatu yang belum dipegang tangan (menerima). Maka apabila si Perwakilan bank tersebut membeli mobil, dia harus mengeluarkannya ke tempat yang tidak ada lagi kepemilikan dan kekuasaan si penjual tersebut.

5. Model ke-lima: Orang yang ingin membeli datang ke sebuah bank, dan dia menginginkan suatu barang. Maka pihak bank berkata: kami akan memenuhinya untukmu. Dan bisa saja keduanya bersepakat atas adanya keuntungan terlebih dahulu, kemudian si perwakilan itu pergi ke dealer dan dia membawa barang tersebut ke lokasi bank, kemudian terjadilah akad jual beli, dalam keadaan bank itu sungguh telah memiliki barang tersebut dan tidak menjualnya kecuali setelah dia memilikinya dan qobdl (dia telah terima), maka bagaimana hukumnya ?

Hukum model ke-lima ini adalah:
Apabila jual beli tersebut dalam bentuk keharusan maka hal itu adalah termasuk jual beli barang yang belum ada pada dia dan jual beli barang yang belum masuk dalam tanggungan dia. Sebagaimana yang telah lalu (yaitu tidak boleh) (kerana akad telah ditetapkan terlebih dahulu sebelum adanya barang,pent).

Adapun apabila tidak terjadi keharusan membeli, maka hukumnya diperselisihkan:

a) Jumhur berpendapat bolehnya, dengan alasan bahawa dalam akad ini tidak ada keharusan untuk menyempurnakan akad atau harus mengganti rugi kalau barangnya rusak, bahkan barang tersebut masih tanggungan bank, dan bank tidak mengetahui apakah orang yang akan datang itu akan membelinya ataukah tidak. sehingga pihak bank siap menanggung risiko dengan membeli barang tersebut, kemudian pihak bank tersebut jika telah datang barang itu, ia memiliki hak untuk menjualnya kepada selain orang yang ingin membeli barang tersebut, sebagaimana pula orang yang ingin membeli barang tadi juga berhak untuk tidak jadi membeli, maka tidak ada dalam model ini menjual barang yang belum diqobdl oleh penjual atau barang yang yang tidak dimilikinya, maka hukumnya boleh.

Dari kalangan ulama’ sekarang yang memperbolehkan adalah:
Al Imam Ibnu Baz, Syaikh Al Fauzan, Al Lajnah Ad Daaimah, dan kebanyakan dari para ulama’. Bahkan sebahagian mereka berkata tidak ada masalah dalam hal bolehnya.

Asy Syaikh Al Albani dan Asy Syaikh Ibnu ‘Utsaimin mengharamkan model ini. Dan diketahui hal tersebut merupakan pendapat Asy Syaikh Al Albani kerana beliau mengarahkan kepada pembahasan Abdurrohman Abdul Kholiq khususnya dalam masalah ini dia menguatkan tentang haramnya model tersebut dan Syaikh Al Albani tidak memberikan komentar atasnya, dan kesimpulan pembahasan Ibnu Abdil Kholiq adalah bahawa hal itu merupakan hilah (tipu muslihat) dari pinjaman yang menghasilkan manfaat.

Termasuk alasan ulama yang melarangnya adalah bahawa model semacam ini hakekatnya adalah pinjaman dirham dengan dirham dan masalah ini termasuk muamalah ‘inah (salah satu jenis praktik riba) bahkan Asy Syaikh Al ‘Utsaimin berkata: bahawa hal itu lebih berbahaya dari ‘inah, beliau katakan dalam “Syarh Al Mumthi’ dan disebahagian fatwa beliau. Dan tempat lain beliau mengatakan: itu adalah benar-benar riba, disebahagian tempat beliau mengatakan: itu adalah hilah atas riba .

Mereka menyebutkan dalil-dalil tentang bahayanya banyak ber-hilah terhadap syariat. Mereka mengatakan: sesungguhnya orang – orang yang datang dengan sesuatu yang haram secara nyata itu lebih ringan dari orang yang datang dengan sesuatu yang haram dengan berhilah, dan membungkusnya dengan label islam. Dan biasanya orang yang ingin membeli tidak akan membatalkan kerana dia perlu terhadap barang tersebut, maka dia akan mengambilnya.

Yang rojih: bahawa model seperti ini adalah syubhat. Walaupun majoriti ulama’ berpendapat boleh, namun tidak didapati dalil yang jelas yang menunjukkan bahawa masalah ini termasuk riba atau haram.

Maka tidak diketahui dari kalangan ulama’ yang berpendapat haram kecuali Ibnu ‘Utsaimin dan berdasar dugaan yang kuat bahawa Syaikh Al Albani juga berpendapat haram, sungguh telah sampai kepadaku dari saudaraku (seiman) yang berasal dari mesir bahawa mereka bertanya kepada Syaikh Al Albani (tentang masalah ini) maka dijawab oleh beliau: sesungguhnya seluruh muamalah dengan bank-bank ini tidaklah benar dan bank-bank ini lebih berbahaya dari bank-bank riba (konvesional)

Faedahnya:

Berkata Abu Abdillah:
Model yang terakhir ini hampir-hampir tidak ditemukan di seluruh bank, sebab tidak masuk akal bila sebuah bank memenuhi untukmu satu barang kecuali setelah ada jaminan, akad dan saksi-saksi, maka tidak ada perlunya untuk berselisih dalam masalah ini, dan hendaknya kita berhati-hati dari bermuamalah dengan bank-bank tersebut dengan seluruh jenisnya dan seluruh muamalahnya dan kita sepakat dengan Al Allamah Al Albani dan Al ‘Utsaimin, kerana bentuk (akad jual beli) model yang terakhir dengan tanpa keharusan (membeli barang tersebut) adalah bagaikan fatamorgana belaka hampir tidak didapati pada sebuah bank dari bank-bank tersebut.

Wallahu a’lam.

____________________________________

Diterjemahkan dari “Kitab Al-Buyu”, karya Abu Abdillah Abdurrahman Al-Mar’i Hafidzhahullah Ta’ala, hal:90-92. Oleh: para penuntut ilmu yang bermukim di Kalimantan Timur.

Sumber: http://shirotholmustaqim.wordpress.com