RAHNUN (GADAIAN)


RAHNUN (GADAIAN)

Definasi

Rahnun perkataan Arab. Dari sudut bahasa bererti : kekal, tetap dan tahan. Kata “rahnum” diekwivalenkan dengan kata “gadaian” dalam bahasa Malaysia, ertinya menurut bahasa ialah mempertaruhkan sesuatu umpamanya menggadai nyawa, menggadaikan tanahair dan sebagainya.

Menurut istilah hukum fekah atau hukum syarak kata “rahnum” atau “gadai” itu ialah : menjadikan sesuatu barang sebagai cagaran kepada sesuatu hutang buat menjelaskan hutang itu ketika tidak kuasa membayarnya.

Dalil Gadaian

Hukum bergadai adalah harus iaitu harus bergadai dengan sesuatu atau apa-apa barang yang sah diperjualbelikan. Ertinya apa-apa barang atau sesuatu yang sah dijual maka sahlah digadai.

Dalil asal sebelum ijmak yang menunjukkan keharusan bergadai ini ialah :

1. Firman Tuhan maksudnya:

Dan jika kamu dalam perjalanan dan tidak memperolehi jurutulis, hendaklah kamu menerima gadaian.

2. Riwayat daripada Anas katanya, bermaksud

Rasulullah s.a.w. menggadaikan baju rantai di sisi Yahudi di Madinah dan baginda mengambil daripadanya gandum untuk keluarganya.

3. Daripada Aisyah r.a. : Ertinya :

Bahaya Nabi s.a.w. telah membeli daripada seorang Yahudi makanan kepada suatu tempoh, dan baginda menggadaikan kepadanya baju rantai kepunyaannya yang diperbuat daripada besi.

Gadaian Dalam Islam

Berhutang adalah merupakan suatu jalan bagi mengatasi kesulitan perbelanjaan tetapi kadang-kadang orang-orang yang berkemampuan tidak sanggup hendak memberi hutang kepada seseorang yang dipercayainya kecuali dengan sesuatu cagaran. Dengan adanya cagaran itu, hutang yang diberikan itu akan terjamin dan terselamat. Memandangkan kepada keadaan inilah Islam mengharuskan bermualamat dengan cara bergadai iaitu berhutang dengan meletakkan suatu pertaruhan atau cagaran supaya terjamin pembayarannya bila mana sampai tempohnya kelak. Dengan cagaran itu, pihak memberi hutang tidak merasa apa-apa keraguan lagi kerana bila sampai tempohnya nanti, walaupun orang yang berhutang itu tidak sanggup menjelaskannya, pemberi hutang yang memegang gadaian itu boleh menjualnya dan mengambil harganya sekadar yang telah diperhutangkannya.

Umpamanya Ramzi memerlukan wang sejumlah $3,000.00. Untuk mendapat wang sejumlah tersebut ia terpaksa berhutangl daripada Fakhri dengan menggadaikan kebun getahnya iaitu sebagai cagaran kepada hutangnya itu dengan perjanjian apabila ia tidak dapat melunaskan hutangnya itu dalam tempoh yang telah ditetapkan, Fakhri bolehlah menjual kebun tersebut; dan jika harganya lebih mahal daripada jumlah wang yang diperhutangkan itu, wang selebihnya itu hendaklah diberikan kepada Ramzi kerana ianya adalah kepunyaan Ramzi.

Muamalat hutang dengan cagaran sebagaimana yang tersebut di atas inilah dikatakan rahnun (gadai). Ramzi yang memerlukan wang itu dinamakan rahin (penggadai). Fakhri yang memberikan wang dinamakan murtahin (pemegang gadai). Kebun yang dicagarkan itu dinamakan marhun (yang digadaikan). Wang sebanyak $3,000.00 itu dinamakan marhun bih (hutang gadaian). Muamalat cara ini mestilah dengan ada ucapan di antara si penggadai dan si pemegang gadai.

Rukun-rukun Gadaian

Dari keterangan-keterangan di atas nyatalah, rukun-rukun gadaian itu empat perkara iaitu :-

1. Rahin dan murtahin (penggadai dan pemegang gadai). Kedua-duanya hendaklah:

(a) Keahlian mengurus hartanya (ahliyatut Tabaru). Dengan syarat ini, penjaga, bapa atau lainya, tidak boleh menggadaikan harta kanak-kanak dan harta orang-orang gila kecuali jika terpaksa atau ternyata ada keuntunganya.

(b) Akil baligh: tidak sah bagi kanak-kanak dan orang-orang gila.

(c) Tidak dipaksa : melakukan gadai mestilah dengan kehendak sendiri. Tidak sah jika dipaksa.

2. Barang yang digadai – barang-barang yang digadai hendaklah barang-barang yang sah diperjualbelikan. Barang-barang yang tidak sah diperjualbelkan, tidak sah ianya digadaikan.

3. Marhun bih – bayaran atau barang yang diberi kepada penggadai itu mestilah hutang yang dimaklumi. Maka tidak sah jika tidak berupa hutang seumpama benda yang wajib diganti seperti barang yang dirampas, barang pinjaman atau sebagainya.

4. Sighah – tidak sah gadaian melainkan dengan ijab dan Kabul. Syarat-syaratnya sama dengan syarat-syarat pada urusan berjualbeli. Maka tidak sah jika diselangi oleh perkataan lain atau berselang lama. Juga tidak sah jika bertaklik dan jika memakai jangka waktu.

Menurut pendapat setengah ulama, sah bergadai secara unjuk terima, rida meridai di antara kedua pihak seperti kata orang yang hendak berhutang: “Berilah hutang kepada saya sebanyak $500.00 dan saya berikan kepada saudara grant tanah saya ini sebagai gadaiannya”. Maka diberikan wang sebanyak yang tersebut dan pemberi wang menerima grant itu sebagai cagarannya.

Tarik Balik Gadaian

Harus bagi penggadai, menarik balik akadnya atau memasukhkan gadaiannya itu selagi pemegang gadai atau wakilnya belum memegang barang gadaian itu. Jika sudah memegangnya, berjalanlah kuatkuasa gadaian itu dan penggadai tidak lagi berhak menarik balik gadaiannya dan tidak lagi berhak memerintah yang boleh menghilangkan hak milik hartanya itu seperti hendak menjual atau mewakafkannya atau sebagainya.

Menggunakan Barang Gadaian

Sesungguhnya barang yang digadai itu adalah masih menjadi hak kepunyaan penggadai. Oleh yang demikian penggadai (rahin) harus mengambil faedah daripada apa yang digadainya itu jika tidak mengurangkan nilai harganya seperti menunggangi haiwan, mendiami rumah atau sebagainya. Bahkan ia boleh memberi sewa sekiranya diizinkan oleh pemegang gadai.

Adapun pemegang gadai, tidak harus ia mengambil faedah daripada barang gadaian itu atau menggunakannya. Tetapi ada setengah-setengah ulama mengatakan harus sekiranya diizinkan oleh orang yang menggadai. Jadi, sekiranya pemegang gadai mengambil munafaat dari barang gadaian itu, sayugialah penggadai dengan tulus ikhlas dan bersih hati menghalalkan faedah-faedah barang gadaian itu sebagai mengenang budi di atas pertolongannya memberi hutang kepadanya itu. Dengan cara ini juga, terhindar dari bahaya riba. Jika ditinjau dari sudut kemanusiaan, pemegang gadai kurang elok mengambil faedah dari barang gadaian, kerana jika demikian, hilanglah semangat memberi pertolongan kepada orang-orang yang berhajat atau dalam kesusahan itu.

Perbelanjaan Ke Atas Barang Gadaian

Jika barang gadaian itu berkehendakan perbelanjaan seperti makan minum ternakan, menyiram pokok-pokok yang digadai atau sebagainya, maka segala perbelanjaan itu adalah tertanggung ke atas penggadai (rahin), bukannya ke atas pemegang gadai (murtahin).

Rusak Barang Gadaian

Pemegang gadai merupakan pemegang amanah ke atas barang yang digadaikan kepadanya. Ia bertanggungjawab menjaganya dengan penuh perhatian. Jadi, jika berlaku kerosakan yang tidak sengaja, tidaklah dikenakan apa-apa gantian ke atasnya. Kecuali jika berlaku kerosakan dengan sebab kecuaian atau ketaksirannya, wajib pemegang gadai menggantikannya. Dan kerosakan yang berlaku ke atas barang gadaian itu tidak sedikitpun menggugurkan hutang.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

One Response

  1. […] Read the original: RAHNUN (GADAIAN) […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: