BERSUCI (MENYUCIKAN NAJIS)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Apa yang dimaksudkan najis?

Najis bermaksud kekotoran yang menghalang sahnya sembahyang, yakni; tidak sah sembahyang jika terdapat pada pakaian atau badan atau tempat sembahyang. Pada dasarnya, setiap benda yang ada di alam ini adalah suci dan tidak najis kecualilah perkara-perkara yang telah dinyatakan oleh Syara’ sebagai najis. Selagi tidak ada nas atau dalil Syara’ menjelaskan bahawa sesuatu itu najis, maka ia kekal dengan hukum asalnya iaitu suci dan bersih.

Apakah benda-benda yang dianggap najis oleh Syarak?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; empat benda disepakati oleh ulamak sebagai najis, iaitu;

  1. Bangkai haiwan darat yang berdarah mengalir
  2. Daging babi
  3. Darah dari haiwan darat jika ia mengalir, yakni banyak.
  4. Air kencing manusia dan tahinya.

Selain dari empat di atas (seperti; arak, tahi binatang, muntah dan sebagainya lagi) di kalangan ulamak terdapat beza pandangan; ada yang menganggapnya najis dan ada yang tidak. Menurut Imam asy-Syaukani; perkara-perkara yang ada dalil Syarak menyebutnya sebagai najis ialah;

  1. Tahi dan air kencing manusia
  2. Air liur anjing
  3. Tahi binatang (khusus kepada tahi kuda, baghal dan kaldai sahaja menurut beliau)
  4. Darah haid (lain dari darah haid (iaitu darah biasa) tidak najis menurut beliau).
  5. Daging babi

Hanya lima di atas sahaja –menurut Imam Syaukani- yang mempunyai dalil yang jelas dari Syarak tentang kenajisannya. Selain darinya adalah khilaf di kalangan ulamak”.[2]

Adapun dalam mazhab Syafi’ie, ada 13 perkara yang diputuskan sebagai najis berdasarkan ijtihad ulamak-ulamak mazhab, iaitu;

  1. Anjing; semua juzuk di badan anjing adalah najis.
  2. Babi; semua juzuk di badan babi adalah najis.
  3. Air kencing; semua jenis air kencing adalah najis sama ada dari manusia atau haiwan.
  4. Tahi; semua jenis tahi adalah najis sama ada tahi manusia atau haiwan.
  5. Air mazi; iaitu cecair nipis berwarna kekuningan yang keluar dari kemaluan ketika naik syahwat.
  6. Air madi; iaitu cecair kental berwarna putih yang keluar dari kemaluan selepas kencing atau selepas keletihan.
  7. Arak dan semua minuman yang memabukkan seperti tuak dan seumpamanya.
  8. Bangkai/mayat; kecuali mayat manusia, bangkai haiwan laut (ikan dan sebagainya) dan belalang.
  9. Darah; semua jenis darah adalah najis sama ada darah manusia atau haiwan.
  10. Nanah
  11. Anggota yang terpisah dari haiwan ketika masih hidupnya; kecuali bulu binatang yang halal dimakan seperti bulu biri-biri, bulu ayam dan sebagainya.
  12. Susu binatang yang tidak halal dimakan dagingnya.
  13. Muntah

Apakah kaifiyat bersuci dari najis yang ditetapkan oleh Syarak?

  1. Bersuci dengan menggunakan air
  2. Bersuci dengan air bercampur tanah
  3. Bersuci dengan benda-benda kesat
  4. Bersuci dengan menggosok ke tanah

Bagaimana caranya bersuci dengan air?

Menggunakan air adalah cara asal dalam bersuci. Tidak harus berpaling dari menggunakan air dalam bersuci kecuali dengan keizinan dari Syarak. Adapun cara bersuci dengan air ialah;

Pertama; Buang najis terlebih dahulu,

Kedua; Basuh tempat yang terkena najis itu dengan air hingga hilang sifat-sifatnya iaitu warnanya, baunya dan rasanya. Jika sekali basuhan telah dapat menghilangkannya, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Jika tidak, wajib diulangi lagi basuhan termasuk dengan menggosok-gosoknya atau melakukan seumpamanya. Setelah dibasuh berulang kali, namun warna najis masih tidak tanggal atau baunya masih tidak hilang, ketika itu dimaafkan, yakni basuhan dianggap sempurna dan tidak perlu diulangi lagi.

Dikecualikan jika najis itu ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan belum menikmati sebarang makanan kecuali susu ibunya, maka memadai dengan merenjis air hingga meratai kawasan yang terkena air kencing itu, kemudian dibiarkan kering. Tidak perlu membasuhnya atau mengalirkan air ke atasnya. Ummu Qais binti Mihsan –radhiyallahu ‘anha-. Menceritakan;

Beliau membawa seorang bayi lelaki yang belum memakan sebarang makanan kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-, tiba-tiba bayi itu kencing di atas pakaian baginda. Baginda meminta air, lalu merenjis pakaiannya dan baginda tidak membasuhnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Apakah najis yang perlu dibasuh menggunakan air bercampur tanah? Bagaimana caranya?

Iaitu najis anjing kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

Apabila bekas kamu dijilat oleh anjing, hendaklah kamu membasuhnya tujuh kali; kali pertama dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim).

Caranya ialah;

  1. Buang najis terlebih dahulu.
  2. Basuh tempat yang terkena najis anjing itu dengan air yang bercampur tanah (sekali sahaja).
  3. Bilas dengan air biasa sebanyak enam kali.

Oleh kerana cara membasuh najis anjing di atas lebih berat berbanding cara membasuh najis-najis yang lain, maka kerana itu najis anjing dinamakan ulamak dengan najis mughallazah (najis berat).

Adakah najis babi juga mesti di basuh dengan air bercampur tanah?

Ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang babi; adakah ia termasuk dalam najis berat (mughalladzah) sebagaimana anjing di atas, atau ia hanya terdiri dari najis biasa (seperti arak, air kencing, tahi dan sebagainya) yang mencukupi dibasuh dengan air seperti biasa? Ada dua pandangan;

Pertama; Jumhur ulamak berpandangan; babi sama seperti najis-najis yang lain, iaitu mencukupi dibasuh seperti biasa hingga hilang kesan-kesannya. Tidak perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tidak perlu menggunakan tanah. Mengikut pandangan jumhur ulamak, najis berat hanya satu sahaja iaitu anjing. Dalil mereka ialah sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Apabila anjing menjilat bekas salah seseorang dari kamu, cara menyucinya ialah dengan ia membasuhnya sebanyak tujuh kali, kali pertamanya dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Di dalam hadis ini, Nabi hanya menyebut anjing sahaja, tidak menyebutkan najis yang lain termasuk babi.

Kedua; mengikut mazhab Syafi’ie; babi sama seperti anjing, oleh itu ia mesti dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan mesti dengan air bercampur tanah. Dalil mereka ialah dengan mengkiaskannya kepada anjing kerana babi lebih buruk keadaannya dari anjing di mana pengharaman memakannya adalah sabit dengan nas al-Quran, adapun pengharaman memakan anjing hanya sabit dengan ijtihad.

Adakah harus tanah digantikan dengan sabun atau bahan pencuci lain?

Bagi masalah ini juga ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; tidak harus kerana cucian dengan tanah itu adalah arahan Syarak. Halnya sama seperti tayammum yang diarahkan oleh Syarak menggunakan tanah, maka tidak harus dialihkan kepada yang lain. Arahan menggunakan tanah itu bersifat ibadah, oleh itu tidak harus dinilai berdasarkan akal atau logik. Ini adalah pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie.

Pandangan kedua; harus tanah itu digantikan dengan sabun kerana penggunaan sabun lebih berkesan dari tanah dalam menghilangkan najis. Nabi menyebutkan tanah dalam hadis tadi bukan bertujuan membataskannya kepada tanah, tetapi untuk menegaskan perlunya penyucian najis berat itu dibantu dengan bahan lain di samping air. Masalah ini ada persamaannya dengan istinjak di mana selain dengan air, Nabi juga mengharuskan istinjak dengan batu. Menurut ulamak; walaupun nabi hanya menyebutkan batu, namun dikiaskan kepadanya bahan-bahan lain yang bersifat kesat dan berupaya menanggalkan najis seperti kertas, tisu kesat dan sebagainya. Nabi menyebut batu bukanlah bertujuan membataskannya kepada batu, tetapi untuk menjelaskan keharusan beristinjak dengan batu atau bahan-bahan lain yang mempunyai sifat yang sama. Ini adalah pandangan jumhur ulamak mazhab Hanbali.

Pandangan ketiga; Dalam keadaan terdapat tanah, wajiblah basuhan menggunakan tanah dan tidak harus berpindah kepada bahan yang lain sama ada sabun atau sebagainya. Jika tidak ada tanah, barulah harus menggunakan bahan yang lain menggantikan tanah. Ini adalah pandangan Abu Hamid (salah seorang ulamak mazhab Hanbali).

Apakah yang dimaksudkan dengan benda-benda kesat? Bilakah harus bersuci dengannya?

Benda-benda kesat adalah seperti batu, kertas atau tisu yang kesat, kayu dan sebagainya. Benda-benda kesat ini harus digunakan untuk beristinjak iaitu membersihkan najis di kemaluan setelah kencing atau berak. Telah sabit di dalam hadis bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam- menggunakan batu untuk beristinjak. Maka dikiaskan kepadanya segala benda yang kesat yang dapat menanggalkan najis dari dua saluran tersebut.

Apa syarat beristinjak dengan benda kesat?

Paling baik ialah berinstinjak dengan air kerana ia lebih menyucikan. Diharuskan beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja sekalipun terdapat air, tetapi hendaklah dengan memenuhi syarat-syarat di bawah;

  1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan. Tidak harus kurang dari tiga kali sapuan sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Salman –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Nabi menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai). Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).
  2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.
  3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.
  4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh menanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.
  5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang.

Sabda Nabi;

Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Bagaimana yang dikatakan bersuci dengan menggosok ke tanah?

Iaitu cara bersuci yang disebut oleh Nabi di dalam hadisnya;

Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua sepatunya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian tunaikan solat dengan memakai sepatunya itu”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Said al-Khudri r.a.).

Berdalilkan hadis ini, sebahagian ulamak –antaranya Imam Abu Hanifah- menegaskan;

Kasut atau sepatu yang terkena najis –sama ada kering atau basah- memadai menyucinya dengan menggosoknya ke tanah hingga hilang kesan najis pada kasut tersebut”.

Bagaimana cara menyucikan tanah yang dikenai najis?

Tanah yang terkena najis, cara menyucinya ialah;
Pertama; hendaklah dibuang terlebih dahulu najis jika kelihatan.
Kedua; setelah dibuang najis, curahkan sebaldi air ke atas tanah yang terkena najis itu dan biarkan ia kering. Abu Hurairah r.a. telah menceritakan;

Seorang lelaki dari pedalaman datang ke masjid Nabi s.a.w.. Tiba-tiba ia bangun dan kencing di satu penjuru masjid. Lalu Nabi s.a.w. berkata; “’Curahkan sebaldi air ke atas tempat yang terkena air kencingnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Jika seseorang itu selepas mengerjakan solat, ia ternampak najis di pakaiannya; adakah wajib ia mengulangi solatnya?

Para ulamak berbeza pandangan dalam masalah ini;

  1. Ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- menegaskan; batal solatnya dan wajib diulangi kerana ia menunaikan solat dalam keadaan tidak memenuhi syarat sahnya iaitu bersuci. Adapun sangkaannya semasa sedang solat –bahawa ia bersih dari najis-, maka sangkaan itu tidak dikira kerana telah terbukti salah. Kaedah Fiqh menyebutkan; “Tidak diambil kira sangkaan yag telah ternyata salahnya”.
  2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; tidak batal solatnya jika najis itu sedikit. Jika najis itu banyak, batallah solat dan wajib diulangi semula.
  3. Ada ulamak berpandangan; tidak batal solatnya secara keseluruhannya sama ada najis itu sedikit atau banyak. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari kami mengerjakan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Ditengah solat, Nabi menanggalkan dua kasutnya dan meletaknya di sebelah kirinya. Melihat berbuatan Nabi itu, kami pun turut melakukannya. Selesai solat, Nabi bertanya; “Kenapa kamu semua menanggalkan kasut?”. Kami menjawab; “Kami melihat kamu melakukannya, maka kami pun turut melakukannya”. Nabi berkata; “Di tengah solat tadi, Jibril datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat najis/kekotoran, maka kerana itulah aku menanggalkannya. Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua kasutnya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian bolehlah ia menunaikan solat dengan memakai kasutnya itu” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Berkata Imam al-Khattabi; hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa menunaikan solat sedang di pakaiannya terdapat najis yang tidak diketahuinya, maka solatnya adalah sah dan tidak perlu ia mengulanginya”. [3] Selain Imam al-Khattabi, ulamak yang berpandangan serupa ialah Imam Ibnu Taimiyyah. Di dalam al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan; “Sesiapa menunaikan solat dengan ada najis (di pakainnya) kerana lupa atau tidak tahu, tidak perlu ia ulangi solatnya”.[4]

__________________________

Nota Kaki

[1] Bidayatul-Mujtahid (1/101).
[2] Ad-Darari al-Madhiyyah, halaman 18.
[3] Bidayatul-Mujtahid (1/100).
[4] Al-Fatawa al-Kubra (5/327).

Advertisements

BERSUCI (MUKADIMAH)


OLEH: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Ijazah Sarjana Muda (Syari’ah) Uni. Al-Azhar (1997).
Diploma Takhassus Fiqh (Pra M.A) INSANIAH-Al-Azhar (2004)


Apakah perkara-perkara yang wajib kita lakukan sebelum solat?

  1. Bersuci
  2. Memakai pakaian menutup aurat
  3. Memastikan arah qiblat
  4. Menentukan telah masuk waktu jika solat yang hendak dilakukan merupakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu.

Apa dalil wajib bersuci?

Firman Allah;

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan”. (Surah al-Muddathir, ayat 4)

Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Tidak diterima solat tanpa bersuci” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Umar –radhiyallahu ‘anhu-).

Hadis ini menunjukkan bahawa bersuci adalah wajib sebelum menunaikan solat. Sekelian ulamak telah sepakat bahawa bersuci adalah salah satu syarat sahnya solat. Tidak sah solat tanpa bersuci.[1]

Apakah bentuk bersuci yang dituntut oleh Syarak sebelum solat?

  1. Bersuci dari najis
  2. Bersuci dari hadas
  3. Menyucikan batin (Tazkiyah an-Nafs)

Apakah skop bersuci dari najis?

  1. Membersihkan badan, pakain dan tempat ibadah dari najis
  2. Istinjak; iaitu iaitu menyucikan najis yang ada pada kemaluan (yakni zakar atau dubur) selepas kencing atau berak.
  3. Menyucikan kulit binatang

Apakah skop bersuci dari hadas?

  1. Mengambil wudhuk
  2. Mandi hadas atau mandi wajib
  3. Tayammum

Apakah alat atau bahan yang ditetapkan Syarak untuk bersuci?

  1. Air; air adalah bahan/alat asal yang ditetapkan Syarak untuk bersuci sama ada membersihkan najis atau menghilangkan hadas. Tidak harus meninggalkan air kecuali dalam kes-kes yang diizinkan oleh Syarak. [2]
  2. Tanah; iaitu bahan/alat bersuci yang ditetapkan Syarak untuk tayammum dan untuk membersihkan najis mughallazah (najis anjing dan babi)
  3. Benda-benda kesat; seperti batu, kertas, tisu, kayu dan sebagainya. Ia menjadi alat/bahan bersuci untuk beristinjak (iaitu membersihkan kemaluan selepas kencing atau berak).
  4. Bahan yang bersifat menghakis; iaitu bahan-bahan seperti kapur, tahi burung merpati, serbuk pencuci atau bahan kimia tertentu yang bersifat tajam dan menghakis. Ia menjadi bahan/alat bersuci untuk menyamak kulit.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyucian batin?

Penyucian batin bermaksud menyucikan hati dan akal dari aqidah dan kepercayaan kufur dan sesat yang boleh mengeluarkan seseorang itu dari iman. Selain bersuci zahir sebagaimana di atas, penyucian batin juga amat dititik-beratkan oleh Islam. Ini kerana solat dan ibadah-ibadah yang lain tidak sah melainkan dari orang yang beriman. Allah tidak menerima ibadah orang yang mensyirikkanNya atau mengkufuriNya termasuklah orang yang murtad dari agamaNya.

Selain itu, termasuk juga dalam pengertian penyucian batin yang mesti diperhatikan sebelum menunaikan solat ialah menyucikan hati dari sifat-sifat riyak, ujub dan sebagainya yang menafikan keikhlasan ketika mengerjakan solat. Ibadah yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah.

AIR

Apakah jenis air yang harus digunakan untuk bersuci?

Iaitulah air mutlak. Air mutlak ialah air yang semata-mata air, yang tidak dikaitkan dengan sebarang nama kecuali pada sebutan sahaja, bukan pada hakikatnya. Dipanggil dengan mutlak kerana apabila diitlakkan air (yakni disebut kalimah ‘air’ dengan tidak dikaitkan dengan sebarang nama yang lain seperti tepung, mawar, tebu, kopi dan sebagainya), maka difahami bahawa yang dimaksudkan ialah air yang semata-mata air, yang tidak dikaitkan dengan sebarang nama yang lain. Air sebegini mungkin dapat kita namakan dalam bahasa Melayu sebagai air murni atau air sejati. Menurut ulama’, air mutlak ini terbahagi kepada dua iaitu;

  1. Air yang turun dari langit; merangkumi air hujan, air embun dan salji.
  2. Air yang terbit dari bumi; merangkumi air sungai, air mata-air, air telaga dan air laut.

Apakah contoh-contoh air yang tidak harus digunakan untuk bersuci?

  1. Air kopi, air tebu, air mawar, air sirap, air gula dan sebagainya. Air-air jenis ini dinamakan air muqayyad iaitu air yang dikaitkan dengan nama-nama tertentu secara hakikatnya, maka ia tidak tergolong dalam air mutlak.
  2. Air mutlak yang berubah kerana dimasuki bahan asing hingga tidak dapat dipanggil air mutlak lagi. Contohnya, air yang dimasuki sabun dalam kuatiti yang banyak hingga tidak lagi dipanggil air melainkan “air sabun”. Air jenis ini dinamakan air mutaghaiyyir iaitu air yang berubah.
  3. Air najis atau air yang dicemari najis (yakni air mutanajjis).
  4. Air Musta’mal; iaitu air yang kurang dari dua kolah yang telah digunakan untuk menghilangkan hadas sama ada hadas besar (iaitu mandi wajib) atau hadas kecil (iaitu wudhuk yang wajib). Mengikut mazhab Syafi’ie, air Musta’mal tidak harus digunakan semula untuk bersuci. Namun ada di kalangan ulamak yang mengharuskannya, antaranya ulamak-ulamak mazhab Imam Malik.

Bagaimana jika air dimasuki najis?

Jika air adalah sedikit (iaitu kurang dua kolah), otomatik ia menjadi mutanajis (iaitu air yang bercampur dengan najis) sebaik sahaja terjatuh najis ke dalamnya sama ada nampak perubahan pada air atau tidak nampak. Tidak harus lagi ia digunakan untuk bersuci sekalipun air itu nampak elok. Namun sekiranya air itu banyak (iaitu lebih dua kolah), hendaklah diperhatikan;

  1. Jika nampak perubahan pada air itu (sama ada dari segi bau, warna dan sebagainya), maka air itu menjadi mutanajjis sebagaimana di atas.
  2. Jika tidak nampak sebarang perubahan, maka ia tidak menjadi mutanajjis, yakni ia masih dalam hukum asalnya iaitu suci dan harus digunakan untuk bersuci.

Hukum di atas adalah merujuk kepada sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- (yang bermaksud); “Apabila air sampai dua kolah nescaya ia tidak akan menjadi cemar atau kotor”. Dalam lafaz hadis yang lain disebutkan; “….tidak akan menjadi najis”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Hibban, ad-Daruqutni, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu)

Bagaimana caranya untuk menentukan kadar dua kolah mengikut ukuran semasa?

Sukatan air dua kolah jika ditimbang ialah 500 ritl (kati) Baghdad mengikut ukuran lama atau 192.857kg mengikut ukuran baru bersamaan 216 liter (iaitu lebih kurang 11 tin minyak tanah). Dari sudut keluasan tempat, bekas atau kolam, ukurannya ialah 1 ¼ hasta (yakni satu hasta suku) atau 60cm panjang, lebar, dan dalam.


[1] Al-Ijma’, Imam Ibnu al-Munzir (hlm. 17) dan Syarh Soheh Muslim (jil. 3, hlm. 104).
[2] Lihat; Ad-Darari al-Mudhiyyah, halaman 28-31.

BERSUCI (MANDI)


OLEH: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Apa maksud mandi wajib?

Mandi wajib bermaksud mandi yang diwajibkan oleh Syarak kerana sebab-sebab yang telah ditetapkan.

Apakah sebab-sebab yang mewajibkan mandi?

1. Jimak

Jimak bermaksud bersetubuh iaitu memasukkan zakar ke dalam faraj. Seorang muslim diwajibkan mandi selepas bersetubuh berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani” (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a..). Menurut Imam Nawawi; maksudnya “..khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan)..” di dalam hadis ini ialah; menenggelamkan zakar ke dalam faraj perempuan, bukan sekadar menyentuh luarannya sahaja. Ijmak ulamak menyatakan bahawa jika seorang lelaki meletakkan sahaja zakarnya di atas faraj perempuan tanpa memasukkannya, tidak wajib mandi sama ada ke atas si lelaki atau si perempuan. (Syarah Soheh Muslim, Kitab al-Haidh, bab Naskh al-Ma’ minal-Ma’…).

Mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan liwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.

Menurut Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi kalau yang disetubuhi itu adalah binatang sekalipun perbuatan itu berdosa. Imam Ibnu Hazm pula berpandangan; tidak wajib mandi jika tidak keluar mani. Baginya, yang mewajibkan mandi bukanlah semata-mata kerana berlakunya persetubuhan tetapi kerana keluar mani.

2. Keluar mani

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa wajib mandi dengan keluarnya mani. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak ada beza sama ada keluar mani itu kerana jimak, mimpi, berkhayal, mengeluarkannya dengan tangan, kerana melihat wanita atau kerana sebarang sebab, sama ada keluar mani itu dengan merasa lazat atau tanpa merasainya, sama ada yang keluar itu banyak atau sedikit, sama ada ketika jaga atau tidur, sama ada lelaki atau wanita, orang beraqal atau gila. Semuanya mewajibkan mandi. Bagi pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; tidak wajib mandi kecuali jika mani yang keluar adalah kerana syahwat dan keluarnya dalam keadaan memancut.

Kalau seseorang itu bermimpi (bersetubuh atau sebagainya) tetapi tidak nampak air mani pada badan atau pakaiannya apabila terjaga dari tidurnya atau ia ragu-ragu sama ada keluar mani atau tidak, maka dalam kes ini tidak wajib ia mandi. Namun jika ia melihat ada air mani pada badan atau pakaiannya dan ia tidak pasti; apakah ia telah bermimpi atau tidak? Dalam kes kedua ini, wajiblah ia mandi. Ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah) telah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran. Adakah wajib seorang wanita mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air mani’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam Ibnu Munzir; telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.

3. Haid dan nifas

Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)

Begitu juga berdasarkan hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Ayat dan hadis di atas menyentuh tentang haid. Dikiaskan kepadanya nifas kerana nifas adalah haid yang berkumpul. Begitu juga, nifas mengharamkan puasa, bersetubuh dan menggugurkan kewajipan solat sebagaimana haid. Maka wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebagaimana wanita yang haid. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.

4. Wiladah

Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.

Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya.

5. Mati

Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati ketika sedang dalam ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun bidara, kemudian kafankanlah dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat mandi hendaklah dilakukan oleh orang menguruskan mandiannya.

(*Selain orang mati syahid, ada dua lagi jenazah muslim yang tidak perlu dimandikan;
Mayat yang tidak dapat dimandikan kerana dibimbangi akan terlerai. Sebagai ganti ia hendaklah ditayammumkan. Seorang lelaki mati dan tidak ada orang untuk memandikannya melainkan seorang wanita ajnabi dan begitu juga sebaliknya. (al-Asybah Wa an-Nadzair, Imam as-Suyuti, hlm. 545-546)

6. Orang kafir yang masuk Islam

Menurut mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad; orang kafir yang memeluk Islam wajib ia mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bernama Tsumamah bin Usal telah ditangkap oleh tentera Islam dan ditambat di satu tiang masjid. Nabi berkata kepada para sahabatnya; “Lepaskan Tsumamah”. Setelah dilepaskan Tsumamah pergi ke satu kawasan air berdekatan masjid, lalu ia mandi. Kemudian ia memasuki masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Namun menurut jumhur ulamak termasuk mazhab Imam Syafi’ie dan Abu Hanifah; tidak wajib mandi atas orang kafir yang memeluk Islam, akan tetapi disunatkan sahaja. Ramai orang yang memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w., namun baginda tidak menyuruh mereka agar mandi sama ada sebelum atau selepas memeluk Islam. Adapun hadis tadi, ia hendaklah difahami sebagai sunat sahaja, bukan wajib.

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; dikecualikan jika ia berjunub semasa kafirnya, maka wajiblah ia mandi. Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi sekalipun berjunub semasa kafirnya kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Islam menghapuskan/ menggugurkan apa yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim dari Amru bin al-‘As r.a.)

7. Orang yang memandikan jenazah

Segolongan ulamak Salaf antaranya Saidina Ali, Abu Hurairah, Sa’id bin al-Musayyab, Ibnu Sirin, az-Zuhri dan sebagainya berpendapat; orang yang memandikan jenazah wajib ke atasnya mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa memandikan orang mati, maka hendaklah ia mandi. Sesiapa membawa orang mati, maka hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan).

Namun menurut pandangan Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Saidatina ‘Aisyah, al-Hasan, an-Nakha’ie, Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebagainya; tidak wajib ia mandi. Suruhan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas hanyalah suruhan sunat sahaja, iaitu digalakkan mandi bukan diwajibkan. Terdapat satu riwayat dari Imam Ahmad menyebutkan; wajib mandi itu hanya jika yang dimandikan itu adalah mayat orang kafir. Ini berdalilkan arahan Nabi s.a.w. kepada Saidina ‘Ali r.a. agar ia mandi tatkala ia memandikan bapanya (Abu Thalib).

Apakah perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun semasa mandi wajib?

Berdasarkan pandangan pelbagai ulamak, perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun di dalam mandi wajib ialah;

1. Menghilangkan najis pada badan sebelum mandi jika ada.

Rukun ini disebut dalam mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Ahmad. Dalilnya ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah” (Riwayat Imam al-Bukhari)

2. Niat

Wajib berniat di permulaan mandi semasa mula-mula menjirus air ke mana-mana bahagian badan; sama ada berniat melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat menghilangkan janabah atau hadas besar atau berniat mengharuskan perkara yang dilarang tanpa mandi seperti solat, tawaf dan sebagainya. Niat adalah wajib pada pandangan majoriti ulamak termasuk mazhab Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis Nabi yang menegaskan; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat”. Mazhab Imam Abu Hanifah berpendapat; berniat dipermulaan mandi hanya sunat sahaja, tidak wajib.

3. Meratakan air ke seluruh badan

Semasa mandi wajib meratakan air ke seluruh badan merangkumi; kulit yang nampak, rambut dan bulu, kulit di bawah rambut dan bulu –sama ada bulu itu tebal atau nipis-, kawasan-kawasan berlipat serta luaran kemaluan wanita (faraj) yang nampak ketika ia bertinggung. Rukun ini telah disepakati oleh sekelian ulamak.

Wajib menyampaikan air ke bahagian-bahagian berlipat di badan –sama ada lelaki atau perempuan-, bahagian dalam pusat, bahagian dalam cuping telinga (yakni bahagian berlekuk), celah-celah ketiak, celah papan punggung, celah-celah jari-jari tangan dan kaki dan kawasan-kawasan badan yang lain yang dihukum sebagai luaran badan. Begitu juga, bibir mulut (juga wajib dikenai air). Semua perkara tersebut telah disepakati oleh para ulamak. Bahagian mata, yang wajib dikenakan air ialah bahagian luar kelopak mata. Tidak wajib membasuh hingga ke dalam mata. Tidak wajib memasukkan air ke dalam corong telinga, memadai membasuh luarannya sahaja iaitu pangkal lubang telinga. Jika ada kekotoran di pangkal lubang telinga, hendaklah dicuci. (al-Majmu’, 2/228)

Jika di celah-celah kuku terdapat kekotoran yang menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi. Begitu juga, kalau di badan atau rambut terdapat bahan-bahan yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi melainkan dengan menanggalkannya terlebih dahulu. Jika rambut kusut hingga air tidak dapat sampai ke akar rambut (yakni kulit kepala), tidak sah mandi melainkan setelah rambut itu di keca-kecakan hingga air dapat menembusinya dan sampai ke akarnya. (Al-Majmu’, 1/529, 2/228).

Jika ada seurat dua rambut yang tidak dikenai air semasa mandi, adakah sah mandi? Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak sah mandi. Bagi Imam Abu Hanifah; sah mandi (yakni dimaafkan). (Al-Majmu’, 2/228).

Adakah wanita wajib merungkai sanggul atau dandanan rambutnya semasa mandi? Dan adakah wajib dibasuh rambut yang terurai? Persoalan ini akan kita jawab di depan nanti.

4. Mengambil wudhuk.

Menurut Imam Daud az-Dzahiri dan Imam Abu Tsur; wajib mengambil wudhuk semasa mandi wajib. Mengambil wudhuk adalah syarat sah mandi, yakni menurut mereka; tidak sah mandi tanpa didahului mengambil wudhuk. Mereka berdalilkan hadis-hadis yang menceritakan tentang cara mandi Nabi s.a.w. di mana di antara yang dilakukan oleh Nabi semasa mandi ialah mengambil wudhuk.

Namun pandangan mereka menyalahi sekelian ulamak yang lain yang sepakat menyatakan; mengambil wudhuk sebelum mandi adalah sunat sahaja, tidak lah wajib. Dalam pengertian yang lain; menurut majoriti ulamak mengambil wudhuk semasa mandi hanya disunatkan, bukan diwajibkan. Majoriti ulamak berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang menganyam rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi janabah?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci” (Riwayat Imam Muslim). Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. tidak menyebut tentang wudhuk, menunjukkan bahawa ia adalah sunat, tidak wajib. Imam Ibnu Rusyd menjelaskan; “Apa yang terdapat dalam hadis Ummu Salamah tersebut adalah rukun-rukun mandi yang diwajibkan”. (Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 62).

5. Menggosok

Menggosok seluruh anggota dengan tangan semasa mandi adalah wajib mengikut pandangan Imam Malik dan disokong oleh Imam al-Muzani (salah seorang murid Imam Syafi’ie). Namun mengikut pandangan majoriti ulamak; menggosok adalah sunat sahaja. Yang wajib ialah memastikan air sampai ke seluruh badan. Jika air dapat sampai tanpa menggosok, kekallah hukumnya sebagai sunat. Namun jika air tidak dapat sampai melainkan dengan menggosok (comtohnya; di celah-celah jari yang rapat-rapat), maka ketika itu barulah hokum menggosok itu berubah menjadi wajib.

6. Muwalat

Muwalat bermaksud berturut-turut dari mula mandi hingga selesai tanpa berhenti atau melakukan pekerjaan lain. Menurut Imam Malik; muwalat ini adalah wajib semasa mandi bagi orang yang ingat dan mampu melakukannya. Adapun ulamak-ulamak yang lain; muwalat tidaklah wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.

7. Berkumur dan Istinsyaq

Berkumur dan Istinsyaq adalah wajib dilakukan semasa mandi wajib mengikut pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w. kepada Ummu Salamah r.a. tadi; “….kemudian kamu siramkan air ke badan kamu..”, di mana menurut mereka; mulut dan hidung termasuk dalam pengertian badan yang mesti dikenai air semasa mandi. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah)

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; kedua-duanya hanya sunat sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; kedua-duanya adalah sunat muakkad di mana jika ditinggalkan adalah makruh. Imam Daud pula berpandangan; yang wajib hanya Istinsyaq sahaja. Adapun berkumur, tidak diwajibkan. Pandangan Imam Daud disokong oleh Imam Ibnu al-Munzir.

8. Membaca Bismillah

Menurut Imam Ahmad; membaca Bismillah ketika bersuci dari hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) adalah wajib. Masa membaca Bismillah ialah selepas niat dan sebelum mula melakukan perbuatan-perbuatan untuk bersuci. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil. 1, hlm. 96). Namun tuntutan membaca Bismillah semasa mandi ini tidaklah sekuat tuntutan semasa mengambil wudhuk. Menurut pandangan majoriti ulamak; membaca Bismillah ini hanya sunat sahaja, tidak wajib sama ada semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib.

Apakah perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh Nabi ketika mandi wajib?

Selain dari perbuatan-perbuatan rukun atau wajib di atas, perbuatan-perbuatan lain yang disyariatkan (atas nama sunat) semasa mandi ialah;

  1. Membasuh tangan terlebih dahulu.
  2. Menggunakan tangan kiri ketika membasuh kemaluan dan ketika menghilangkan najis di badan jika ada.
  3. Melakukan segala yang disunatkan semasa mengambil wudhuk.
  4. Mula mandi dari atas ke bawah; yakni dari kepala turun ke kaki.
  5. Memulakan mandi dari sebelah kanan; iaitu menjirus badan sebelah kanan, kemudian baru kiri. Tidak wajib tertib dalam memandikan angota badan. Namun disunatkan bermula dari kepala, kemudian bahagian atas badan dengan mendahulukan sebelah kanan.

Apakah hadis-hadis yang menjadi rujukan bagi sifat mandi yang sempurna?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; para ulamak sepakat menyebutkan bahawa sifat mandi yang paling sempurna ialah yang terdapat di dalam hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. dan Maimunah r.a..

1. Hadis ‘Aisyah r.a.

Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Muslim)

2. Hadis Maimunah r.a.

Maimunah r.a. menceritakan; “Aku telah menyediakan untuk Nabi s.a.w. air untuk baginda mandi wajib. Baginda (mandi dengan mula) membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali, kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya (yakni beristinjak), kemudian baginda menyapu tangannya ke tanah (untuk membersihkan tangan dari kesan najis selepas membasuh kemaluan atau istinjak tadi-pent.), kemudian baginda berkumur, beristinsyaq (membasuh hidung), membasuh muka dan dua tangannya (hingga ke siku), seterusnya baginda menyiramkan air ke seluruh jasadnya, berikutnya baginda s.a.w. mengalih/berganjak dari kedudukannya lalu mengakhiri mandi dengan membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kita perhatikan di dalam hadis Maimunah di atas; Rasulullah mengambil wudhuk tanpa membasuh kakinya iaitu baginda menangguh basuhan kaki ke hujung mandi.

Bagaimana caranya melakukan mandi wajib yang sempurna?

Untuk melakukan mandi wajib dengan sempurna, ikutilah langkah-langkah berikut;

Langkah pertama
Baca Bismillah sambil menghadirkan niat di dalam hati (iaitu niat melakukan mandi wajib atau niat menghilangkan hadas). Kemudian basuh kedua tangan sebanyak tiga kali.

Langkah ke dua
Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan (depan dan belakang) dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.

Langkah ke tiga
Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan. Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.

Langkah ke empat
Kemudian lakukan mandian dengan bermula di bahagian kepala terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan jari-jari hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.

Langkah ke lima
Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian diikuti ke sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

Langkah ke enam
Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; Apabila selesai mandian, disunatkan membaca doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil wudhuk .

Wanita yang mendandan rambut atau mempunyai sanggul; wajibkah ia merungkaikan sanggul atau dandanannya itu ketika mandi?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; jika air dapat membasahi rambut dan dapat sampai ke kulit kepala tanpa merungkainya, maka tidak wajib merungkainya. Jika tidak, wajiblah ia merungkai dandanan atau sangggulnya. Jadi, yang penting ialah memastikan air mengenai rambut dan kulit kepala.

Imam Ahmad membezakan antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Menurut beliau; jika mandi kerana junub, tidak wajib merungkai sanggul atau dandanan itu. Tetapi jika mandi kerana haid, wajiblah dirungkaikannya Ia berdalilkah dua hadis;

Pertama; hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang mendandan rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi junub?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci”(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi). Hadis ini menjadi dalil bahawa; jika seorang perempuan mandi kerana junub, tidak wajib ia merungkai dandanan rambutnya.

Kedua; hadis dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan; Asma’ binti Syakal telah bertanya Nabi tentang mandi selepas haid. Lalu Nabi menerangkan; “Sesiapa dari kamu (yang kering darah haidnya-pent.) hendaklah ia mengambil air dan daun sidrnya, kemudian hendaklah ia mengambil wudhuk dengan menyempurnakan wudhuknya. Kemudian hendaklah ia menuangkan air ke atas kepalanya, lalu menggosok-gosokkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu hendaklah ia menyiramkan air ke badannya. Berikutnya, hendaklah ia mengambil secebis (kapas atau sebagainya) yang diletakkan wangian kasturi, kemudian bersihkanlah dengannya”. Asma’ bertanya; “Bagaimana aku hendak membersih dengannya?”. Nabi menjawab; “Subhanallah! Bersihkan lah dengannya”. Aisyah pun berkata kepadanya –dengan berbisik-; “Kamu cucikan dengannya kesan darah (yang masih ada di faraj kamu)”. Kemudian ia (yakni Asma’) bertanya pula tentang mandi kerana junub. Nabi menjawab; “Hendaklah ia (yakni wanita yang berjunub) mengambil air, lalu mengambil wudhuk dengan memperelokkan wudhuknya. Kemudian ia tuangkan air ke atas kepalanya sambil menggosok-gosok kepala hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu ia siramkan air ke seluruh badannya”. Berkata Aisyah; “Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar. Perasaan malu tidak menegah mereka dari mendalami agama” (Riwayat Imam Muslim). Hadis kedua ini menunjukkan perbezaan bagi mandi wanita antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Semasa mandi kerana haid, diperintah oleh Nabi agar gosokan kepala dilakukan dengan sungguh-sungguh, sedangkan semasa mandi kerana junub baginda hanya menyuruh gosokan biasa sahaja. Jika dipadankan hadis ini dengan hadis pertama tadi, maka dapat disimpulkan bahawa; semasa mandi kerana haid wajiblah dandanan atau sanggul dirungkai agar gosokan dapat dilakukan dengan sungguh-sungguh sebagaimana yang disuruh oleh Nabi. Adapun semasa mandi kerana janabah, tidak wajib sanggul atau dandanan rambut dirungkai kerana sekalipun ia tidak rungkai, gosokan yang biasa masih dapat sempurnakan.

Apa hukum mandi telanjang?

Di khalayak ramai hukumnya adalah haram. Adapun di tempat yang tersembunyi atau tertutup, hukumnya harus. Berkata Qadhi ‘Iyadh; keharusan mandi bertelanjang di tempat yang tertutup atau tersembunyi dari orang lain merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulamak”. Keharusan ini berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. yang bercerita; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian (kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa; ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari). Berhujjah dengan hadis ini adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.

Sekalipun harus, namun yang terbaik ialah menutup aurat (yakni; sekalipun harus mandi bertelanjang di tempat tersembunyi, namun yang paling baik ialah mandi dengan menutup aurat). Dalilnya ialah hadis dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Imam Abu Laila menganggahi pandangan jumhur di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib; mana yang afdhal antara menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya ke hujung mandi?

Harus sama ada hendak menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya iaitu dengan membasuhnya di hujung mandi. Dalil menyegerakannya ialah hadis ‘Aisyah r.a.. Adapun dalil menangguhnya ialah hadis Maimunah r.a.. Kedua-dua hadis tersebut telah kita bentang tadi (sila rujuk kembali). Mana yang afdhal; menyegerakannya atau menangguhnya? Majoriti ulamak berpendapat; yang afdhal ialah menangguhnya. Mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; yang afdhal ialah menyegerakannya (yakni menyempurnakan wudhuk hingga basuhan kaki). Ini kerana kebanyakan riwayat dari ‘Aisyah dan Maimunah menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. menyempurnakan wudhuknya hingga basuhan kaki, tanpa menangguhnya ke hujung mandi. Menurut Imam Malik pula; jika tempat mandi itu tidak bersih, elok ditangguhkan basuhan kaki. Namun jika tempat mandi itu bersih, maka yang afdhal ialah menyegerakan basuhan kaki. (Nailul-Autar, jil. 1, kitab at-Toharah, Abwab al-Aghsal al-Mustahabbah, bab Sifati al-Ghusl).

Adakah perlu mengambil wudhuk sekali lagi selepas mandi?

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib hanya disunatkan sekali sahaja iaitu di awal mandi. Telah ijmak ulamak bahawa tidak disyari’atkan dua kali wudhuk dalam satu mandi. Ini berdalilkan hadis dari Aisyah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. tidak mengambil wudhuk selepas mandi junub”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari ‘Aisyah r.a.. Berkata at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Kecualilah jika seseorang telah melakukan perkara yang membatalkan wudhuk selepas selesai mandinya. Maka ketika itu, wajiblah ia memgambil wudhuk.
_______________________

Rujukan : Al-Majmu’, 1/529, 2/228.

BERSUCI (TAYAMMUM)


OLEH: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Apa makna tayammum?

Tayammum bermaksud menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua tangan sebagai ganti wudhuk dan mandi wajib ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air kerana sakit, terlalu sejuk atau sebagainya. Keharusan tayammum telah sabit dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Firman Allah di dalam al-Quran (bermaksud);

Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau mensetubuhi) perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu”. (al-Maidah: 6).

Bila diharuskan tayammum?

Secara dasarnya, ada dua sebab yang mengharuskan tayamumm;

  1. Kerana keputusan air; sama air tidak ada langsung atau ada sedikit dan tidak cukup untuk mengambil wudhuk.
  2. Kerana tidak mampu menggunakan air

Apakah dalil keharusan bertayammum apabila keputusan air?

Dalil keharusan bertayammum kerana keputusan air ialah hadis dari Said bin Abdurrahman bin Abza yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; Seorang lelaki datang berjumpa Umar r.a. dan bertanya; “Aku telah berjunub dan aku tidak menemui air (untuk mandi)”. Umar menjawab; “Janganlah kamu mengerjakan solat (hingga kamu menemui air)”. Namun ‘Ammar bin Yasir r.a. (yang ada bersama Umar ketika itu) berkata kepada Umar; “Tidakkah engkau ingat ketika kita sama-sama dalam satu musafir di mana kita berdua telah berjunub dan kita tidak menemui air (untuk mandi). Adapun kamu, maka kamu memilih untuk tidak menunaikan solat. Adapun aku, maka aku telah berguling di atas tanah (untuk bertayammum) dan kemudian aku menunaikan solat”. Apabila diceritakan kepada Nabi s.a.w., maka baginda berkata (kepada ‘Ammar); “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.

Apakah dalil keharusan bertayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

Dalilnya ialah hadis dari Amru bin al-As r.a. yang menceritakan; “Semasa dalam peperangan Zatus-Salasil, aku telah bermimpi (hingga keluar mani) pada malam yang bersangatan sejuk, lalu aku bimbang jika aku mandi mungkin akan membawa kebinasaan kepadaku. Maka aku pun bertayammum dan kemudian aku menunaikan solat Subuh bersama sahabat-sahabatku (tentera-tentera Islam). Apabila kami tiba di Madinah (setelah selesai perang), mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang telah aku lakukan (yakni bertayammum). Maka Rasulullah bertanya kepadaku; ‘Wahai Amru! Apakah kamu menunaikan solat bersama sahabat-sahabatmu sedangkan kamu berjunub?’. Lalu aku menjawab; ‘Aku teringat firman Allah;

“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”. (an-Nisa’; 29).

Maka kerana ayat itu aku pun bertayammum dan kemudian mengerjakan solat’. Mendengar peneranganku, Rasulullah s.a.w. ketawa dan baginda tidak berkata apa-apa”.

Imam ad-Daruqutni menceritakan bahawa Saidina ‘Ali ditanya berkenaan seorang lelaki yang berada dalam musafir, lalu ia ditimpa junub sedang air yang ada padanya hanya sedikit di mana ia bimbang jika air itu digunakan untuk mandi wajib menyebabkan ia kehausan. Jawab Saidina ‘Ali; “Hendaklah ia bertayammum”. Imam Ahmad pernah menceritakan; “Beberapa orang sahabat bertayammum dan mereka menyimpan air untuk minuman mereka”.

Apakah contoh-contoh keadaan yang mengharuskan tayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

  1. Tidak mampu menggunakan air kerana sakit, atau bimbang bertambah sakit, atau bimbang lambat sembuh. Hal tersebut diketahui dengan pengalaman atau makluman dari doktor.
  2. Air yang ada diperlukan (untuk minum dan sebagainya) pada ketika itu atau akan datang.
  3. Terdapat sangkaan yang kuat dalam dirinya bahawa akan ditimpa sakit jika ia menggunakan air.
  4. Takut kepada musuh yang menghalangnya dari mendapat air sama ada musuh itu manusia atau binatang buas.
  5. Air diperlukan untuk minuman haiwan yang bersamanya seperti kudanya atau sebagainya.
  6. Air diperlukan untuk menguli tepung, untuk memasak dan sebagainya.
  7. Air diperlukan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan (yakni mesti dibersihkan).
  8. Bimbang kepada sejuk yang bersangatan jika musim sejuk luar biasa.

Apakah syarat-syarat sah tayammum?

Untuk sahnya tayammum, para ulamak telah menggariskan syarat-syarat berikut;

  1. Hendaklah orang yang bertayammum mempunyai keuzuran yang menghalangnya dari menggunakan air iaitu kerana keputusan air atau tidak mampu menggunakan air.
  2. Berusaha mencari air terlebih dahulu jika tayammum dilakukan kerana keputusan air.
  3. Hendak lah tayammum itu dengan menggunakan tanah yang bersih
  4. Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu

Syarat pertama telahpun kita huraikan tadi iaitu tatkala memperkatakan tentang bilakah harus kita bertayammum. Untuk berikutnya kita huraikan syarat-syarat selebihnya iaitu yang bersangkutan dengan kewajipan mencari air, bahan tayammum (iaitu tanah menurut jumhur ulamak) dan waktu dilakukan tayammum.

Apa maksud mencari air?

Seseorang yang ingin bertayammum kerana ketiadaan air, wajib ia berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitarnya. Jika air tiada di rumah, hendaklah ia pergi ke masjid umpamanya atau ke rumah berdekatan moga-moga menemui air. Jangan semata-mata tiada air di rumah, lalu ia pun bertayammum. Setelah pasti benar-benar tidak ada air, barulah bertayammum. Mencari air itu wajib diulangi setiap kali hendak bertayammum. Tidak cukup dengan pencarian ketika kali pertama bertayammum sahaja.

Bagaimana jika ada air, namun tidak mencukupi untuk bersuci, adakah digunakan air baru tayammum atau terus tayammum?

Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;

Pandangan pertama; wajib digunakan air yang ada itu, kemudian barulah bertayammum bagi anggota yang tidak dapat dicuci dengan air. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie (dalam qaul jadidnya).

Pandangan kedua; hendaklah terus bertayammum dan tinggalkan air itu. Pandanagn ini adalah pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari al-Hasan, az-Zuhri, Hammad, Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’ie (dalam qaul qadimnya), Ibnu al-Munzir dan al-Muzanie (murid Imam Syafi’ie).

Kalau seseorang itu lupa bahawa dalam kenderaannya ada air atau ia lupa ada menyimpan air di satu tempat, lalu ia pun bertayammum dan mengerjakan solat; bagaimana hukumnya?

Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;

Pertama; menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak dipakai tayammum itu, yakni solatnya wajib diulangi semua setelah mengambil wudhuk dengan air tersebut. Hujjah mereka ialah; thoharah dengan air adalah perintah yang wajib. Ia tidak gugur semata-mata kerana lupa.

Kedua; menurut Imam Abu Hanifah; dipakai tayammum itu, yakni solatnya sah kerana lupa adanya air membawa ia kepada tidak dapat menggunakan air, maka halnya sama seperti orang yang ketiadaan air.

Adakah tayammum hanya harus dengan tanah sahaja? Bolehkah bertayammum dengan selain tanah?

Ada beberapa pandangan ulamak dalam masalah bahan yang harus digunakan untuk bertayammum;

Pertama; jumhur ulamak (mazhab Imam Syafi’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Abu Yusuf dan Daud az-Dzahiri) mensyaratkan tayammum hendaklah dengan tanah, tidak harus dengan pasir, batu, kapur dan sebagainya yang tidak dikategorikan sebagai tanah. Dan disyaratkan tanah itu pula hendaklah berdebu (yakni dapat melekat pada tangan bila ditepuk) dan bersih.

Kedua; Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berpendapat; tidak khusus kepada tanah sahaja. Harus tayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya. Malah menurut Imam Malik; harus tayammum dengan salji dan setiap yang melapisi permukaan bumi. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah juga tidak mensyaratkan bahan-bahan untuk bertayammum itu berdebu. Oleh itu, pada pandangan mereka; harus bertayammum di atas batu yang tidak ada debu atau di atas tanah licin yang tidak ada debu yang melekat di tangan apabila ditepuk di atasnya.

Adakah harus bertayammum dengan menepuk di dinding, di atas permaidani, di pakaian, di belakang binatang kenderaan atau sebagainya?

Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; mengikut pandangan mazhab Syafi’ie dan Ahmad; harus jika di atas tempat-tempat yang ditepuk itu ada terdapat debu yang dapat melekat di tangan sebagaimana yang disyaratkan tadi. Jika tidak terdapat debu padanya, tidak harus tayammum.

Kedua; mengikut Imam Malik; tidak harus melakukan tayammum dengan menepuk ke atas debu yang terdapat di atas pakaian, permaidani dan sebagainya itu. Menurut beliau, tayammum hendaklah dengan menepuk terus ke atas bumi.

Adakah harus bertayammum dengan tanah bernajis?

Tidak harus kerana tayammum wajib dengan tanah atau bahan yang bersih kerana Allah menyebutkan di dalam ayat “صعيدا طيبا” (sha’id yang bersih). Begitu juga, Nabi s.a.w. juga bersabda; “Sha’id (tanah) yang bersih adalah alat bersuci bagi seorang muslim jika ia tidak mendapati air sekalipun selama sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia menyapu air (yakni membasuh) badannya. Demikian itu lebih baik baginya”. Menurut Abu Hamid; hukum tersebut telah disepakati oleh sekelian ulamak.

Adakah disyaratkan masuk waktu sahnya tayammum?

Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; jumhur ulamak (terdiri dari mazhab Imam Malik, Syafi’ie, Ahmad dan lain-lain) berpandangan; tidak sah tayammum melainkan setelah masuk waktu solat sama ada tayammum kerana keputusan air atau kerana tidak mampu menggunakan air. Maksud ‘masuk waktu’ ialah tiba waktu yang mengharuskan suatu solat itu dilakukan. Disyaratkan masuk waktu kerana tayammum adalah toharah darurat seperti mana toharah wanita yang istihadhah di mana kedua-duanya tidak menghilangkan hadas, akan tetapi dilakukan hanya untuk mengharuskan solat sahaja. Maka sebagaimana wanita yang istihadhah tidak harus mengambil wudhuk melainkan setelah masuk waktu, begitu juga orang yang ingin melakukan tayammum juga tidak harus melakukannya melainkan setelah masuk waktu solat.

Kedua; Imam Abu Hanifah berpandangan; tayammum tidak terikat dengan waktu, yakni harus melakukan tayammum sekalipun belum masuk waktu. Beliau mengkiaskannya dengan wudhuk dan toharah-toharah yang lain (mandi, menyapu khuf, menghilangkan najis). Sebagaimana wudhuk harus dilakukan sebelum masuk waktu solat, maka tayammum juga sedemikian kerana ia disyariatkan sebagai ganti kepada kedua-duanya.

Apakah syarat tayammum bagi orang sakit atau luka?

Tidak semua jenis sakit atau luka mengharuskan tayammum. Sakit atau luka yang mengharuskan tayammum ialah sakit atau luka yang penggunaan air ditakuti akan menyebabkan at-talaf (kematian atau kemusnahan anggota) atau mendatangkan mudarat pada badan. Ia merangkumi;

  1. Akan menyebabkan kematian atau kerosakan pada aggota (التلف); lumpuh dan sebagainya.
  2. Penggunaan air menimbulkan penyakit yang membawa kematian atau kerosakan anggota.
  3. Menyebabkan sakit bertambah teruk atau penyakit semakin melarat.
  4. Menyebabkan lambat sembuh
  5. Menyebabkan kesakitan yang tidak tertanggung.
  6. Menimbulkan kecacatan dan kejelikan yang ketara pada badan; seperti kulit menjadi hitam atau sebagainya.

Kesan-kesan yang dibimbangi tersebut dari penggunaan air hendaklah disahkan oleh pengalaman sendiri atau berdasarkan makluman dari doktor yang mahir. Menurut mazhab Syafi’ie; doktor itu hendaklah muslim dan adil (tidak fasiq). Tidak diterima pengakuan atau pengesahan dari doctor kafir atau fasiq. Namun menurut mazhab Imam Malik; harus memakai pandangan atau makluman dari doktor kafir jika tidak ada doktor muslim.

Apakah syarat tayammum bagi orang yang kesejukan?

Syaratnya ialah tidak ada sebarang ikhtiar lagi yang dapat dilakuka bagi menggunakan air. Jika mampu berikhtiar sama ada dengan memanaskan air atau sebagainya, wajiblah dilakukan ikhtiar itu. Jika tidak mampu, barulah diharuskan tayammum.

Sejauhmanakah ibadah yang harus dilakukan dengan tayammum?

Tayammum mengharuskan apa yang diharuskan dengan wudhuk dan mandi. Seorang yang bertayammum harus mengerjakan solat fardhu, solat sunat, sujud tilawah, sujud syukur, membawa mushaf, membaca al-Quran dan beriktikaf. Hukum ini telah disepakati oleh ulamak.

Namun para Fuqahak berikhtilaf dalam menentukan bilangan solat fardhu yang harus dikerjakan dinisbahkan kepada satu tayammum yang dilakukan. Di sana ada tiga pandangan;

Pandangan pertama; tayammum sama seperti wudhuk iaitu tidak terikat dengan bilangan solat. Selagi tayammum tidak batal –iaitu dengan menjumpai air atau dengan berlakunya hadas-, maka harus untuk melakukan dengan tayammum itu seberapa banyak solat yang dikehendaki sama ada fardhu atau sunat dan tanpa mengira waktu. Pandangan ini merupakan pendapat Sa’id bin al-Musayyab, al-Hasan, az-Zuhri, as-Tsauri, Imam Abu Hanifah, al-Muzani dan ar-Ruyani.

Pandangan kedua; Jumhur ulamak yang terdiri dari Saidina ‘Ali, Ibnu Umar, Ibnu ‘Abbas, as-Sya’bi, an-Nakha’ie, Qatadah, Yahya al-Ansari, Rabi’ah, Malik, Syafi’ie, al-Laits, Ishaq dan Imam Ahmad. Mereka berpendapat; satu tayammum hanya untuk satu solat fardhu atau satu ibadah wajib sahaja. Oleh demikian, tidak harus menjamakkan dua solat dengan satu tayammum atau melakukan dua tawaf atau melakukan satu solat fardhu dengan satu tawaf fardhu, menghimpunkan dua solat nazar atau antara satu solat fardhu dengan satu solat nazar. Hendaklah diperbaharui tayammum untuk setiap solat fardhu yang hendak dilakukan setelah dipastikan tidak air terlebih dahulu. Adapun solat sunat, harus dilakukan seberapa banyak yang dikehendaki.

Pandangan ketiga; Imam Abu Tsur dan fuqahak mazhab Hanbali. Mereka berpandangan; Tayammum terikat dengan waktu di mana satu tayammum hanya bagi satu waktu solat fardhu sahaja. Seorang yang bertayammum boleh melakukan apa sahaja solat yang dikehendaki sama ada solat fardhu dalam waktu, solat fardhu yang luput, menjamakkan dua solat dan seberapa banyak solat sunat yang diingini selama belum masuk waktu lain. Apabila masuk waktu lain, batallah tayammum dan wajib diulangi semula tayammum bagi mengharuskan solat kembali. Kedaaannya menyamai seorang wanita istihadhah atau orang-orang lainnya yang melakukan toharah darurat.

Apakah anggota-anggota tayammum?

Berdasarkan ayat al-Quran tadi dan hadis-hadis Nabi s.a.w. (sebahagiannya telah kita sebutkan tadi), anggota tayammum hanya dua sahaja (sama ada tayammum bagi menggantikan wudhuk atau bagi menggantikan mandi) iaitu;

  1. Muka
  2. Dua tangan

Mengenai muka tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa keseluruhan kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka ketika tayammum kawasan muka tersebut wajib diratai dengan debu. Adapun tangan, maka para ulamak berbeza pandangan tentang kawasan yang wajib disapui debu;

Pertama; mengikut jumhur atau majoriti ulamak iaitu Saidina ‘Ali, Ibnu ‘Umar, al-Hasan al-Basri, as-Sya’bi, Salim bin Abdullah, Imam Malik, al-Laits, Imam Abu Hanifah dan Syafi’ie; kawasan tangan yang wajib disapui debu adalah sama sebagaimana yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk iaitu bermula dari hujung jari hinggalah ke siku. Mereka berdalilkan –antaranya- sabda Nabi s.a.w.; “Tayammum itu dua kali tepukan, sekali untuk disapu ke muka dan sekali untuk di sapu ke kedua tangan hingga ke siku”

Kedua; sekumpulan ulamak yang terdiri dari ‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Imam Syafi’ie (mengikut qaul qadimnya sebagaimana diceritakan oleh Abu Tsur) dan disokong oleh Ibnu al-Munzir berpandangan; kawasan tangan yang wajib disapui debu ketika tayammum hanyalah sampai ke pergelangan tangan sahaja Mereka berdalilkan hadis kisah ‘Ammar (yang telah kita kemukakan tadi) di mana Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.  Adapun hadis yang dijadikan hujjah oleh jumhur tadi ia adalah dhaif. Sebenarnya ia hanyalah pandangan Ibnu Umar, bukan sabda Nabi s.a.w..

Menurut Imam Nawawi; pandangan kedua di atas adalah kuat dari segi dalilnya dan lebih hampir kepada kehendak as-Sunnah.

Berapakah bilangan tepukan yang wajib semasa melakukan tayammum?

Rentetan dari khilaf di atas, berlaku pula khilaf dalam menentukan berapakah bilangan tepukan ke tanah yang mesti dilakukan oleh orang yang melakukan tayammum? Mengikut jumhur ulamak tadi; tayammum wajib dengan sekurang-kurangnya dua kali tepukan ke tanah; satu tepukan untuk disapu ke muka dan satu tepukan lagi untuk disapu kepada dua tangan hingga ke siku. Jika dua kali tepukan itu mencukupi untuk menyapu keseluruhan kawasan muka dan tangan (hingga ke siku), tidak perlu lagi ditambah. Jika tidak, wajiblah tepukan itu ditambah hingga debu meratai seluruh kawasan yang wajib disapu itu.

Adapun pandangan kedua di atas (‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq dan disokong oleh Ibnu al-Munzir), mereka menegaskan; yang wajib ialah sekali tepukan sahaja untuk kedua-dua anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan hingga pergelangannya.

Bilakah batalnya tayammum?

  1. Tayammum adalah bersuci gantian bagi wudhuk. Apabila berlaku kepada orang yang bertayammum perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhuk sebagaimana yang telah kita jelaskan dalam tajuk yang lalu (contohnya, ia telah terkentut atau tersentuh kemaluan atau sebagainya), maka batallah tayammumnya. Kesimpulannya, perkara-perkara yang membatalkan wudhuk juga akan membawa kepada batalnya tayammum.
  2. Bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air, tayammumnya batal apabila telah bertemu air. Sebaik bertemu air, dengan sendiri tayammumnya terbatal. Apabila hendak solat semula, wajib ia mengambil wudhuk, yakni tidak cukup dengan tayammumnya tadi sekalipun ia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan tayammumnya. Jika ia bertayammum tadi kerana ganti mandi wajib, hendaklah ia mandi wajib sebelum mengerjakan solat berikutnya.
  3. Jika seorang bertayammum, kemudian belum sempat mengerjakan solat ia telah menemui air, tidak harus ia menunaikan solat dengan tayammum itu, akan tetapi hendaklah mengambil wudhuk, kemudian baru tunaikan solat. Ini kerana tayammumnya dengan sendiri terbatal dengan kerana bertemu air sekalipun belum sempat mengerjakan solat. Jika air ditemui semasa sedang solat (seperti ada orang memberitahunya semasa sedang solat itu), jika ia ingin meneruskan solatnya diharuskan dan solatnya sah. Namun sebaik-baiknya ialah ia menghentikan solatnya, kemudian mengambil wudhuk dan melakukan semula solat. Jika air ditemui setelah selesai solat, sah lah solat yang ditunaikan sebelum bertemu air itu dan tidak perlu diulangi semula sekalipun waktu masih ada.
  4. Jika bertayammum kerana keuzuran (seperti sakit, sejuk keterlaluan dan sebagainya), tayammum dikira terbatal sebaik sahaja hilang keuzuran. Contohnya; jika seseorang bertayammum kerana sakit, maka sebaik ia sembuh dari sakit, batallah tayammumnya.

____________________________________

Nota Kaki

  • Lihat takrif Tayammum di dalam; Al-Mughni, 1/180.
  • Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim
  • Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Daruqutni. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar
  • As-Solah ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, hlm. 91.
  • Al-Mughni, 1/182-184, al-Majmu’, 2/269.
  • At-Tahzib, Imam al-Baghawi, 1/375.
  • Al-Majmu’, 2/294-295, al-Mughni, 1/183.
  • Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zar r.a.. Kata beliau; hadis ini hasan soheh.
    Dalam riwayat yang lain, lafaz hadis berbunyi;
    الصعيد الطيب وضوء المسلم، وإن لم يجد الماء عشر سنين. فإذا وجد الماء فليتق الله وليمسه بشرته، فإن ذلك خير
    “Sha’id yang baik adalah wudhuk seorang muslim ketika ia tidak menemui air sekalipun sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan sapulah kulitnya dengan air (yakni ratakanlah anggota wudhuknya dengan air). Demikian itu lebih baik baginya”. (Riwayat al-Bazzar dari Abu Hurairah r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; perawi-perawi hadis ini adalah soheh. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5154).
    Sabda Nabi s.a.w.; “…demikian itu lebih baik baginya”, bermaksud; bersuci dengan air itu lebih baik baginya dari segi keberkatan dan pahala. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5154).
  • Al-Majmu’, 2/248.
  • Al-Mughni, 1/182, al-Majmu’, 2/272
  • Al-Mughni, 1/195, at-Tahzib, 413-414, Tafsir Ibnu Kathir, 1/550 (Surah an-Nisa’, ayat 43)
  • At-Tahzib, 1/414.
  • As-Solah ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, hlm. 90.
  • Al-Mughni, 1/197.
  • At-Tahzib, 1/396.
  • At-Tahzib, 1/402.
  • Al-Mughni, 1/198-199, al-Majmu’, 2/317-318, at-Tahzib, 1/396-402.
  • Pandangan yang masyhur dalam mazhab Hanbali berbeza dengan pandangan yang dinaqalkan dari Imam Ahmad. Lihat; al-Majmu’, 2/318.
  • Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 1/413, al-Mughni, 1/198. Pandangan Abu Tsur; lihat dalam al-Mughni, 1/199 dan al-Majmu’, 2/318
  • Al-Majmu’, 2/242, al-Mughni, 1/189.
  • Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani dari Ibnu ‘Umar r.a.
  • Al-Majmu’, 2/241.
  • Al-Majmuk, 2/242.
  • Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
  • Al-Majmu’, 2/242.
  • Al-Majmu’, 2/241-242, al-Mugnni, 1/187.
  • Al-Majmu’, 2/242, al-Mughni, 1/187.

BERSUCI HADATH


Hadath

Hadath dari segi bahasa bererti sesuatu yang datang atau berlaku. Hadath dari segi syara‘ bermaksud sesuatu yang berlaku pada tubuh badan yang menyebabkan tidak sah sesuatu ibadah.

Ia terbahagi kepada hadath kecil dan hadath besar.

  1. Hadath kecil ialah sesuatu perkara yang membatalkan wudhu’.
  2. Hadath besar ialah sesuatu perkara yang mewajibkan mandi.

Sebab Hadath Dan Kesannya

Sebab hadath kecil adalah sebab yang membatalkan wudhu’. Maka kesan daripada berhadath kecil adalah terbatalnya wudhu’ dan diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

  1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
  2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
  3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.

Sebab hadath besar pula adalah berjunub, keluar haidh atau nifas dan melahirkan anak. Apabila seseorang berhadath besar kerana berjunub, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

  1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
  2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
  3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
  4. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
  5. Beri‘tikaf di dalam masjid.

Apabila seseorang berhadath besar kerana keluar haidh dan nifas, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

  1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
  2. Berpuasa.
  3. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
  4. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
  5. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
  6. Masuk, duduk dan beri‘tikaf di dalam masjid walaupun dengan wudhu’.
  7. Bersetubuh.
  8. Talaq.

Cara Menghilangkan Hadath

Untuk menghilangkan hadath kecil ialah dengan berwudhu’ atau tayammum apabila tidak dapat melakukan wudhu’. Untuk menghilangkan hadath besar ialah dengan mandi atau bertayammum sebagai ganti daripada mandi.

PENYAPUAN KHUF



PENGERTIAN KHUF

     

  • Khuf atau muzah ialah sejenis pakaian yang diperbuat daripada kulit yang menutup bahagian kaki yang diwajibkan basuh ketika berwudhu’ iaitu kaki dan buku lali ke atas, seperti sarung kaki. Bahagian khuf yang disapu ialah bahagian luar sebelah atas bukan tapak.
  • Menyapu khuf adalah sebagai gantian bagi membasuh kedua-dua belah kaki dalam berwudhu’. Ia adalah suatu rukhsah atau kelonggaran yang dibenarkan oleh syara‘ untuk kemudahan umat Islam terutamanya ketika musim sejuk.
  •  

CARA PENYAPUAN KHUF

     

  • Tempoh sesuatu pemakaian khuf ialah satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir, berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:
  •  

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam memberi (rukhsah untuk menyapu khuf) selama tiga hari dan tiga malamnya kepada orang musafir dan satu hari satu malam bagi orang yang bermukim”.

     

  • Tempohnya ialah bermula dari mula memakai khuf selepas mengangkat hadath sama ada berwudhu’ atau mandi mengangkat hadath.
  • Caranya ialah apabila seseorang itu selesai bersuci dari hadath sama ada mengambil wudhu’ atau mandi mengangkat hadath, ia hendaklah memakai kedua-dua belah khuf tanpa ditanggalkan lagi selama satu hari satu malam (24 jam). Apabila ia terbatal wudhu’ dengan sebab hadath kecil dalam tempoh 24 jam itu, maka ia mengambil wudhu’ semula tetapi bila sampai giliran membasuh kaki, ia tidak perlu membuka khuf dan membasuh kaki, sebaliknya menyapu di atas khuf yang dipakainya itu sebagai gantian membasuh kaki. Begitulah seterusnya setiap kali mengambil wudhu’ dalam tempoh 24 jam itu. Apabila tamat tempoh 24 jam tadi barulah ia wajib membasuh kaki semula ketika mengambil wudhu’ baru dan bermula pula tempohnya.
  •  

SYARAT KEHARUSAN PENYAPUAN KHUF

1. Memakai khuf ketika suci sepenuhnya daripada hadath besar dan kecil.

2. Khuf yang bersih serta menutup semua bahagian kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu’.

3. Khuf yang kukuh yang boleh digunakan untuk meneruskan perjalanan biasa.

4. Khuf yang sempurna dan tiada kerosakan padanya.

5. Khuf yang tidak meresap air.

6. Khuf yang tebal yang tidak menampakkan kulit kaki.

PERKARA YANG MEMBATALKAN PENYAPUAN KHUF

1. Semua perkara yang mewajibkan mandi hadath seperti berjunub, haidh dan nifas.

2. Mencabut salah satu khuf atau kedua-duanya sekali atau rosak khuf.

3. Tamat tempoh sapuan khuf iaitu satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang musafir.

PEMBAHAGIAN JENIS AIR


Air dari segi hukum terbahagi kepada tiga jenis, Iaitu:

1. Air yang suci dan boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air Mutlaq:

  • Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.
  • Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar , disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang . Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut .
  • Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya , seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya . Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air. Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan” .

  • Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.

b) Air Musyammas:

  • iaitu air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya.
  • Air yang suci lagi menyucikan yang lain tetapi makruh digunakan pada tubuh badan tidak pada pakaian.
  • Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat seperti besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuih badan menyebabkan ianya sopak, kusta dan sebagainya. Sebagaimana Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud :- “Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak.” (Riwayat Baihaqi)

2. Air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air Musta’amal:

Iaitu air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.

  • Yang dikatakan air Musta’amal pada mengangkatkan hadas ialah basuh kali yang pertama pada mandi atau wudhu’ yang wajib dan sudah bercerai daripada anggota.
  • Yang dikatakan air Musta’amal pada menghilangkan najis iaitu jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah.
  • Air daripada pokok-pokok dan air buah-buahan seperti daripada pucuk kelapa yang dibuat nira atau akar-akar kayu.

Air yang berubah ada dua cara :-

  • Berubah dengan Taqdiri – Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.
  • Berubah dengan Hissi – Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.

–       Cara mentaqdirkan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.

–        pada bau hendaklah ditaqdirkan dengan bau kemenyan Arab.

–        pada rasa hendaklah ditaqdirkan dengan rasa delima.

–       pada warna hendaklah ditaqdirkan dengan warna anggur.

Jika berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air musta’amal dan jika tidak berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air mutlak.

Air yang bercampur itu ada dua cara :-

  • Majawir
    Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak.
  • Mukhalit
    Bercampur dengan cara Mukhalit iaitu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air maka termasuk ke dalamnya nila maka dihukumnya air Musta’amal.

b) Air Muqayyad:

  • Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya (warna, rasa dan bau) menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain.

3. Air yang najis atau mutanajjis, iaitu air yang terkena benda najis. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air yang sukatannya kurang dari dua kolah dan terkena benda najis kecuali yang dimaafkan, sama ada berubah sifat (warna, rasa dan bau) atau tidak.

b) Air yang sukatannya lebih dari dua kolah dan berubah sifat (warna, rasa dan bau) sama ada perubahan itu sedikit atau banyak.

  • Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-

1.     Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin

2.     Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.

Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.

%d bloggers like this: