SHEIKH ISMAIL BIN HAJI MUHAMMAD SALLEH


Koleksi Karya: Allahyarham Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah
_______________________________

Sheikh Ismail dilahirkan pada 17 Syaaban 1311H. Beliau merupakan anak kepada Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim juga cicit kepada Haji Ishak, pengasas pondok Pulau Pisang dan Kadi Besar Negeri Kubang Pasu semasa pemerintahan Tunku Anom.

Beliau mendapat pendidikan awal dari bapanya di Pondok Pulau Pisang. Pada tahun 1330H, beliau berangkat ke Mekah bersama ayahnya untuk menyambung pelajaran di Masjidil Haram. Setelah tamat, beliau menyambung lagi pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir selama lima tahun mulai 1346H hingga 1351H dan berjaya mendapat ijazah Aliahtul Qarbak. Gurunya ialah Sheikh Abdul Wasif dan Sheikh Ali Maliki. Semasa menuntut di Timur Tengah, Sheikh Ismail mengambil peluang melawat Palestin dan kemudian kembali ke Mekah lagi pada tahun 1352H.

Apabila pulang ke tanahair pada tahun 1353H, beliau diminta oleh Haji Muhammad Salleh mengajar di Pondok Pulau Pisang dan sebagai tenaga pengajar kanan bersama Dr. Burhanuddin Helmi. Pondok Pulau Pisang ketika itu berada di puncak kemasyhuran hingga ke rantau Indonesia dengan jumlah pelajar antara 800 ke 1000 orang. Namun, tugas Sheikh Ismail di situ tidak lama apabila beliau dilantik sebagai Pemeriksa Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah oleh Duli Yang Teramat Mulia Tunku Mahmud lbni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Sepanjang tugas itu, beliau berusaha memajukan sistem persekolahan agama yang masih menjadi ikutan dan panduan pada masa kini.

Sheikh Ismail sebagai ulama dan nasionalis, beliau juga salah seorang yang terbabit mempengaruhi Jepun mengembalikan kedudukan, kekuasaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Beliau banyak menghasilkan kitab berkaitan dengan sistem dan peraturan persekolahan agama waktu itu. Malangnya, kebanyakan kitab yang berguna itu hilang dan hanya dua buah sahaja yang ditemui iaitu Hidayat-An-Nufus dan Tarbiyat-Ul-Auladiyah. Kitab Hidayah Nufus berkaitan doa-doa dalam sembahyang, dihimpun dan dihurai secara terperinci dari segi kaedah amalannya di samping menerangkan manfaat kepada umat Islam menurut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Sementara Kitab Tarbiyah Auladiyah pula menerangkan kebaikan Islam sebagai satu cara hidup ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat.

Menjelang tahun 1356 H, Sheikh Ismail dilantik sebagai Kadi Besar Negeri Kedah selama dua tahun sahaja. Beliau berjaya memberi sumbangan besar ke arah perkembangan Islam. Walaupun sibuk dengan jawatan itu, beliau masih sempat melawat dan mengajar di pondok Pulau Pisang yang sedang ditadbir oleh bapanya, Haji Muhammad Salleh. Beliau turut memberi sumbangan fikiran, tenaga dan modal untuk meningkatkan taraf pondok itu sebagai pusat pendidikan. Sheikh Ismail bertanggungjawab memberi nama kepada pondok itu sebagai Madrasah lshakiah dan serentak dengan itu kaedah pendidikan tradisional dikemaskinikan mengikut sistem pengajaran moden ketika itu.

Pada tahun 1358H, Sheikh Ismail menjadi Pengerusi Majmak Syeikhul Islam Negeri Kedah hingga 23 Syawal 1364H. Peranan utamanya sepanjang memegang jawatan itu ialah berusaha menjayakan penubuhan Jabatan Zakat Negeri bertujuan mengumpul dan membahagikan kutipan zakat kepada golongan asnaf yang lapan. Jabatan Zakat Negeri ditubuhkan atas kehendak dan titah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Mahmud lbni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah. Untuk maksud menjayakan penubuhan jabatan itu, satu rang undang-undang berhubung dengan penubuhannya, cara-cara kutipan dan agihan telah disusun oleh Sheikh Ismail untuk melicinkan perjalanan sesuai dengan syiar Islam bersama dua orang lagi ulama iaitu Haji Yaakob Haji Ahmad (Yaakob Puteh) Kadi Daerah Kota Star dan Haji Abdul Ghani Haji Awang, Kadi Besar Negeri Kedah.

Selama tiga tahun lapan bulan Jepun memerintah Tanah Melayu, Sheikh Ismail sentiasa berusaha agar kedaulatan Islam tidak tercemar. Beliau cuba mempengaruhi Jepun supaya melindungi kesucian agama Islam dengan menyuarakannya dalam satu persidangan wakil-wakil pertubuhan Islam Tanah Melayu pada 5 April 1943 di Singapura. Sebagai ulama dan nasionalis, beliau juga salah seorang yang terbabit mempengaruhi Jepun mengembalikan kedudukan, kekuasaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu. Pada 21 Januari 1943 Sheikh Ismail menjadi wakil raja di suatu mesyuarat antara Jepun dengan wakil Raja-raja Melayu dan Sumatera di Singapura. Pada kesempatan inilah beliau mencurahkan isi hati agar orang-orang Melayu dilindungi dan kedaulatan Raja-rajanya dikembalikan sebagai simbol perpaduan.

Sheikh Ismail meninggal dunia pada 23 Syawal 1364H dalam usia 53 tahun iaitu setahun selepas Haii Muhammad Salleh meninggal. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Masjid Pulau Pisang berhampiran kubur ayah dan nendanya. Setelah beliau pulang ke rahmatullah, nadi keunggulan pondok itu sebagai pusat ilmiah Islam diteruskan oleh adiknya, Tuan Haji Kassim

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: