ZAKAT KWSP


Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diwajibkan zakat apabila dikeluarkan daripada simpanan tersebut. Ia berkonsepkan zakat simpanan atau mata wang. Jumhur Ulama’ Fiqh sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh oran-orang Arab terdahulu dalam berurusniaga sebelum kedatangan Islam.

Mata wang emas dikenali sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham. Setelah Rasulullah S.A.W diutus menjadi Rasul, maka dinar dan dirham telah diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurusniaga. Kewajipan zakat wang simpanan ini bersandarkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith Nabi S.A.W.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

…..Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (dengan balasan) azab seksa yang tersangat pedihnya. (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan hartabenda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselarkan dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (lalu dikatakan kepada mereka):”Inilah apa yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, oleh itu rasakanlah azab dari) apa yang kamu simpan it.u –  (At-Taubah: 34-35)

Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda, maksudnya:

Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haulnya (genap setahun), diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat emas, kecuali kamu mempunyai 20 dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah, dan tidak diwajibkan zakat dalam sesuatu harta kecuali genap setahun. – ( Hadis Riwayat Abu Daud)

Wang KWSP ialah wang simpanan milik individu yang disimpan dalam KWSP sepanjang tempoh perkhidmatan dan ianya telah mencukupi kesemua syarat-syarat wajib kecuali syarat “Sempurna Milik”. Syarat “Sempurna Milik” akan dipenuhi sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan dari KWSP. Pengeluaran boleh dibuat semasa berkhidmat ataupun bersara.

Terdapat dua pendapat di dalam pengiraan zakat KWSP iaitu:

1. Milik Tak Sempurna
Mengikut pandangan ini, zakat hanya wajib dikeluarkan ketika bersara atau mengeluarkan sebahagian wang daripada KWSP semasa cukup umur. Kadarnya adalah 2.5%. Sebagai contoh, jika pencarum mengeluarkan wang sebanyak RM100,000 maka zakatnya, adalah RM2,500. (Sebagau makluman, Pusat Pungutan Zakat menggunakan pandangan ini dalam pengiraan zakat KWSP)

2. Milik Sempurna
Mengikut pandangan ini, wang yang tersimpan di dalam KWSP dikenakan zakat apabila ianya cukup nisab dan haul (caruman wang pekerja sahaja iaitu tidak termasuk caruman majiakan). Ini bermakna ianya wajib dikeluarkan zakat pada tiap-tiap tahun apabila memenuhi syarat-syaratnya walaupun wang tersebut masih berada didalam tabung KWSP. Kadarnya adalah 2.5% apabila caruman melebihi nisab.

KAEDAH PENGIRAAN :

KAEDAH 1 :2.5% ke atas caruman yang dikeluarkan sebaik sahaja wang dikeluarkan.

KAEDAH 2:2.5% ke atas caruman setiap pekerja berdasarkan kepada penyata tahunan.
Contohnya :
Seseorang yang mempunyai caruman bahagiannya sebanyak RM100,000 x 2.5% (kadar zakat) = RM2,500 bayaran zakat bagi tahun tersebut.

___________________________
Sumber:
1) PPZ, MAWIP
2) Portal E-Mousque
3) Pusat Zakat Melaka

Advertisements

ZAKAT TERNAKAN


Zakat ternakan ialah zakat yang dikenakan ke atas binatang-binatang yang diternak daripada jenis lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan unta apabila sempurna syarat-syaratnya.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Daripada Muaz Ibnu Jabal, beliau berkata: Baginda Rasulullah saw telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku daripada setiap 48 ekor lembu, 1 ekor lembu musinnah** (seekor lembu betina yang umurnya mencapai 3 tahun) dan dari tiap-tiap 30 ekor lembu, tabi’* atau tabiah (satu ekor lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun).”

(Riwayat Ibu Majah)

Syarat Zakat Ternakan:-

  1. Syarat diwajibkan zakat ke atas binatang-binatang ternakan ialah “Saaimah” ertinya binatang-binatang itu dipelihara di padang ternakan bebas.
  2. Binatang -binatang yang dipelihara bagi tujuan membantu kerja seperti lembu yang dipelihara untuk mengangkat barang-barang atau untuk membajak sawah tidak diwajibkan zakat.
  3. Nisab hendaklah berkekalan di sepanjang haul.
  4. Nisab zakat lembu ialah 30 ekor dan kambing 40 ekor. 
  5. Tidak dikenakan zakat bagi bilangan yang lebih daripada kadar nisab yang pertama tetapi belum sampai kadar yang kedua. Begitulah seterusnya.

Kiraan Zakat Ternakan Lembu/Kerbau

Kadar Nisab  Kadar Zakat
Bilangan (ekor) Bilangan Jantina Umur
30-39 1 ekor Jantan 1 tahun lebih *
40-59 1 ekor Betina 2 tahun lebih *
60-69 2 ekor Jantan 1 tahun lebih *
70-79 1 ekor dan 1ekor Jantan Dan Betina 1 tahun lebih *dan 2 tahun lebih *
80-89 2 ekor Betina 2 tahun lebih *
90-99 3 ekor Jantan 1 tahun lebih *
100-109 2 ekor dan 1 ekor Jantan Dan Betina 1 tahun lebih * dan 2 tahun lebih *
110-119 2 ekor Jantan 1 tahun lebih *
120- ke atas 3 ekor atau 4 ekor Betina atau Jantan 2 tahun lebih * atau 1 tahun lebih *

Panduan:

  1. Apabila bilangan itu lebih daripada yang di nyatakan diatas maka bagi setiap 30 ekor lembu diwajibkan zakat 1 ekor anak lembu jantan yang berumur
    1 tahun.Bagi setiap 40 ekor lembu di wajibkan zakat satu ekor anak lembu betina yang berumur 2 tahun.
  2. Tetapi jika ternakan bercampur,maka zakatnya terserah kepada pembayar sama ada boleh memberi lembu/kerbau yang lain atau daripada peliharaan itu.
    Pilihlah yang sederhana untuk keluarkan zakat.

Nota : *   Tabi` : Lembu jantan berumur 1 tahun lebih
** Musinnah : Lembu betina berumur 2 tahun lebih

Kiraan Zakat Ternakan Kambing/Biri-Biri

Kadar Nisab   Kadar Zakat
Bilangan (ekor) Bilangan Jantina Umur
40-120 1 ekor kambing biri-biri atau 1 ekor kambing Jantan/Betina

1 tahun

2 tahun

121-200 2 ekor kambing biri-biri atau 2 ekor kambing Jantan/Betina 1 tahun
201-399 3 ekor kambing biri-biri atau 3 ekor kambing Jantan/Betina

1 tahun

2 tahun

Penambahan
seterusnya:
Setiap 100 ekor
1 ekor kambing biri-biri atau 1 ekor kambing Jantan/Betina 2 tahun


Panduan:

  1. Setiap pertambahan 100 ekor, zakatnya di tambahkan 1 ekor kambing 2 tahun dan seterusnya.
  2. Jika semua kambing sampai nisab itu jantan maka harus di keluarkan yang jantan sebagai zakat,
    tetapi apabila ada antaranya yang betina hendaklah sebahagian dari zakat yang dikeluarkan itu betina.
  3. Jika bercampur kambing dan biri-biri serta beberapa jenisnya maka apabila cukup nisab,bolehlah dikeluarkan
    zakat mengikut plihan tuannya sama ada kambing atau biri-biri.

_______________________
Sumber: http://www.zakatkedah.com/index.php/ternakan

ZAKAT EMAS DAN PERAK


Zakat Emas & Perak
Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).

Dalil Wajib Zakat:

Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.  Surah At-Taubah: (34-35)

Sabda Rasulullah s.a.w:

Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”. (Hadis riwayat Abu Hurairah)


Kaedah Kiraan Zakat Emas & Perak:

  • Emas Perhiasan Wanita
    • Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram
    • Contoh:
      (Timbangan emas x harga semasa x 2.5%)
      900 gram x RM50 = RM45000 x 2.5% = RM1125
  • Emas Yang Disimpan
    • Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.
    • Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram
    • Contoh:
      Timbangan emas x harga semasa x 2.5%
      90 gram x RM50 = RM4500 x 2.5% = RM112
  • Perak
    • Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih
    • Contoh:
      800 gram perak x RM0.90(segram) x 2.5% = RM18

Sumber: Lembaga Zakat Selangor

ZAKAT WANG SIMPANAN


Pengertian Wang Simpanan

Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan.

Zakat dikenakan ke atas jumlah baki terendah dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.

Contoh Akaun Simpanan

Tarikh Masuk Tarikh Keluar Amaun (RM) Baki (RM)
01/01/XXXX 10,000.00 10,000.00
23/04/XXXX 2,000.00 8,000.00
30/05/XXXX 3,000.00 5,000.00
10/07/XXXX 200.00 5,200.00
12/08/XXXX 1,200.00 4,000.00
11/11/XXXX 2,000.00 6,000.00
31/12/XXXX 1,000.00 7,000.00

Baki terendah dalam jadual ini ialah RM 4,000. Ia telah melebihi nisab dan genap setahun. Tahun haul dalam contoh ini dikira dari 01/01/xxxx – 31/12/xxxx.

Contoh Pengiraan

Baki Terendah = RM4,000 (melebihi nisab)
Zakat = RM4,000 x 2.5%

Pengiraan Bagi Pendeposit Yang Memiliki Beberapa Akaun Simpanan

Sekiranya pendeposit memiliki beberapa akaun simpanan di dalam bank atau lain-lain institusi kewangan, perlu menjumlahkan kesemua baki terendah bagi setiap akaun simpanan. Zakat dikenakan apabila jumlah baki terendah tersebut menyamai atau melebihi nisab.

Contoh Pengiraan Zakat Pelbagai Buku Akaun Simpanan

Haul : 1/1/xxxx – 31/12/xxxx

Buku Simpanan Baki Terendah (RM)
Buku 1 4,000.00
Buku 2 1,000.00
Buku 3 15,000.00
Jumlah Baki Terendah 20,000.00

Jumlah baki terendah : RM 20,000 (melebihi nisab)

Zakat = RM 20,000 x 2.5% = RM 500

Akaun Simpanan Tetap

Bagi akaun simpanan tetap, zakat dikenakan ke atas simpanan pokok yang disimpan dalam jangkamasa tertentu.

Contoh: Simpanan tetap : RM10,000

Zakat : RM10,000 x 2.5% (kadar zakat) = RM250

_____________________

Sumber: Pusat Pungutan Zakat, MAIWP

 

ZAKAT PENDAPATAN


Takrifan Zakat Pendapatan

Menurut Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dan Dr. Hussein Shahatah, zakat gaji dan pendapatan diistilahkan sebagai zakat al-Mal al-Mustafad iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan profesional.

Takrif Zakat Gaji dan Pendapatan

Zakat Gaji dan Pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup, bersara atau mati dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli profesional.

Terdapat dua kaedah mengira zakat pendapatan iaitu:

RM RM
Cara 1 Pendapatan Kasar Setahun x 2.5% (jika melebihi nisab)
Contoh: RM30,000.00 x 2.5% 250
Cara 2 Pendapatan Yang Layak di Zakat x 2.5% (setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenarkan)
Contoh:
A. PENDAPATAN dari sumber seperti elaun, bonus, dividen yang diterima (setahun) 30,000
B. TOLAK PERBELANJAAN yang dibenarkan (setahun)
1. Diri 8,000
2. Isteri 3,000
3. Anak 4 orang x RM1,000 4,000
4. Pemberian kepada ibu bapa (contoh: RM100 × 12) 1,200
5. KWSP (contoh: 11%) 3,300
6. Caruman ke organisasi / koperasi / institut kewangan yang membayar zakat bagi pihak pencarum dan pendeposit (contoh: Lembaga Tabung Haji) 900
Jumlah Tolakan 20,400
C. PENDAPATAN YANG LAYAK DIZAKAT (A – B) 9,600
D. ZAKAT YANG WAJIB DIBAYAR (kerana C lebih dari nisab) RM9,600 × 2.5% 240
E. JUMLAH POTONGAN GAJI ZAKAT SEBULAN (RM240 ÷ 12 bulan) 20

Sumber: Pusat Pungutan Zakat, MAIWP

MUALLAF MENURUT SISI PANDANGAN FIQH ZAKAT


“Muallaf” Menurut Sisi Pandangan Fiqh Zakat

Mengenai asnaf Muallaf Qulubuhum, Imam Al-Tabari di dalam menafsirkan ayat 60 Surah Al-Taubah berkata bahawa Allah SWT menjadikan sedekah (zakat) dalam dua maksud iaitu, pertama bagi menampung keperluan orang-orang Islam dan keduanya bagi membantu Islam dan memperkuatkannya. Dalam usaha membantu Islam dan memperkuatkannya zakat diberikan samada kepada golongan fakir miskin dan kaya kerana ia diberikan bukan atas dasar keperluan kepada zakat (seperti orang fakir dan miskin memerlukannya) tetapi ia diberikan seperti kepada orang yang berjihad di jalan Allah. Ia diberikan samada kepada kaya atau miskin bagi tujuan berperang dan bukannya memenuhi keperluan hidupnya. Begitulah bagi golongan Muallaf Qulubuhum, mereka diberikan zakat meskipun kaya bagi membaiki keadaan agama Islam mereka dan supaya menjadi pendokongnya[1].

Berkenaan dengan makna Muallaf Qulubuhum pula, Hassan Ayub (1973) berpendapat ia adalah merujuk kepada golongan yang dijinakkan hati sama dan kafir atau Islam. Bagi orang kafir zakat diberikan bukan kerana mereka fakir tetapi tujuan diberikan zakat kepada mereka adalah supaya mereka dapat menerima Islam dan mengelakkan kemudaratan yang dilakukan mereka terhadap Islam. Manakala bagi mereka yang memeluk Islam zakat diberikan bertujuan untuk kebaikan mereka yakni memperkukuhkan pegangan Islam mereka[2].

Muhammad ’Ali Al-Sobuni (1997) pula berpendapat bahawa Muallaf Qulubuhum ialah mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW dengan tujuan supaya menjinakkan hati mereka untuk masuk Islam atau supaya menetapkan diri mereka dalam Islam[3]. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: Nabi SAW telah memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi”[4].

Muhammad ’Uqlah (1985) berpendapat bahawa golongan ini diberikan zakat adalah demi kemaslahatan dakwah dan negara Islam. Ini kerana dengannya dapat meningkatkan lagi kekuatan Islam dan mendapat sokongan dari orang Islam dan bukan Islam seterusnya mampu melemahkan musuh Islam[5].

Secara umumnya asnaf Muallaf Qulubuhum terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

Pertama: Golongan yang diberikan zakat oleh Nabi SAW bagi tujuan menjinakkan hati mereka agar mereka dan kaum mereka memeluk Islam.

Kedua: Golongan yang sudah masuk Islam, tetapi masih lemah Islamnya, oleh itu diberikan zakat bagi tujuan menguatkan Islam mereka.

Ketiga: Golongan kafir yang diberikan zakat bagi mengelakkan kejahatan mereka terhadap Islam.

Para ulama berbeza pendapat dalam soal penerusan agihan zakat kepada asnaf Muallaf Qulubuhum pada zaman ini kepada dua pendapat iaitu:

Pertama: Asnaf Muallaf Qulubuhum diberikan zakat kerana maksud dari pemberian tersebut pada zaman Rasulullah SAW masih wujud sehingga ke hari ini.

Kedua: Tidak diberikan zakat kepada asnaf ini kerana para khulafa Al-Rasyidin selepas baginda SAW dan para sahabat tidak memberikannya zakat.

Pendapat kedua ini adalah pendapat jumhur ulama iaitu Mazhab Maliki, Al-Syafie dan Abu Hanifah. Dalil mereka adalah berdasarkan kepada tindakan Saidina Umar Al-Khattab r.a yang tidak memberikan zakat kepada asnaf ini dan ianya dipersetujui oleh Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq r.a. Ini berdasarkan dalil berikut:


روي أن عيينة بن حصن والأقرع بن حابس وعباس بن مرداس، جاءوا إلى أبي بكر الصديق، وطلبوا منه نصيبهم – من سهم المؤلفة قلوبهم- فكتب لهم به كتابا

Diriwayatkan oleh ’Uyainah bin Hisn, Al-’Aqra’ bin Habis dan ’Abbas bin Mirdas di mana mereka telah bertemu dengan Abu Bakar Al-Siddiq r.a dan mereka meminta darinya (zakat) dari asnaf Muallaf Qulubuhum. Lalu (Abu Bakar) menulis surat untuk mereka. Kemudian mereka menemui Umar Al-Khattab r.a dan menyerahkan surat tersebut. Namun Umar enggan memberikan zakat kepada mereka dan beliau mengoyak surat tersebut sambil berkata: Ini (zakat) diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kamu adalah sebagai menjinakkan hati kamu kepada Islam. Jika kamu tetap dengan Islam, dan sekiranya tidak maka antara kami dan kamu adalah pedang!! Lalu beliau membacakan firman Allah Taala:

وقل الحق من ربكم ومن شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر) ﭽ ﭼ الكهف: ٢٩ )

Maksudnya: (( dan Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah Yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa Yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa Yang mahu kufur ingkar, biarlah Dia mengingkarinya…)).

Kemudian mereka kembali bertemu Abu Bakar r.a dan berkata kepadanya: Wahai Amir Al-Mukminin, apakah kamu Khalifah atau Umar? Engkau tuliskan untuk kami surat, kemudian dikoyakkan oleh Umar. Jawab Abu Bakar: Dialah khalifah kalau dia mahu[6]. Umar bin Al-Khattab r.a juga pernah berkata:


“كنا نؤلف حين كان الإسلام في ضعف، أما الآن وقد عز وقويت شوكته فلا حاجة بنا للتأليف”

Maksudnya: “Kami menjinakkan hati ketikamana Islam lemah, adapun sekarang ia telah muliah dan kuat, maka tiada keperluan lagi untuk menjinakkan (dengan zakat)”.

Mereka yang berpihak kepada pendapat kedua berpendapat bahawa dalil di atas menunjukkan bahawa Khalifah Abu Bakar r.a telah bersetuju dengan tindakan Umar Al-Khattab r.a dan menurut mereka tiada sebarang riwayat yang menyatakan bahawa para sahabat termasuk Uthman Al-Affan r.a dan Ali r.a memberikan zakat bagi asnaf berkenaan[7].

Pendapat pertama pula ialah pandangan di kalangan Mazhab Hanbali yang melihat bahawa tindakan Umar Al-Khattab r.a dan para sahabat bukanlah pemansuhan kepada asnaf tersebut. Ia adalah penilaian semasa adakah wujud atau tidak keperluan memberikan zakat kepada asnaf berkenaan ketika itu. Pada zaman Umar Al-Khattab beliau melihat bahawa sebab pemberian kepada asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi menjinakkan hati sudah tidak wujud. Kerana Islam pada pendapatnya sudah kuat maka tidak perlu diberikan zakat kepada asnaf ini. Namun begitu bahagian zakat bagi asnaf ini tetap ada sepertimana disebut di dalam Al-Quran dan tidak dimansuhkan. Justeru jika wujudnya kembali sebab untuk menjinakkan hati bagi asnaf Muallaf Qulubuhum iaitu bagi memperkukuhkan dan mempertahankan Islam, maka golongan ini bolehlah diberikan zakat semula sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

[1] Al-Tabari, Jami’ Al-Bayan Fi Takwil Al-Quran, jilid 14 hlm 316.
[2] Hassan Ayub, Al-Zakah Fi Al-Islam,1973, Dar Al-Qalam Kuwait, hlm 107.
[3] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, 1997 Dar Al-quran Al-Karim, Beirut. hlm 107.
[4] Ibnu Jarir Al-Tobari, Jami Al-Bayan, jld10 hlm 157.
[5] Muhammad ‘Uqlah Al-Ibrahim, Al-Tatbiqat Al-Tarikhiyyah Wa Al-Mu’asirah Li Faridhah Al-Zakah, Dar Al-Dhiya, Beirut, hlm 79.
[6] إعلاء السنن 9/72 والذخيرة للقرافي 3/146.
[7] Muhammad Ali Al-Sobuni, Faridhah Al-Zakah Fi Al-Islam, hlm 109.
Catatan Zuridan Mohd Daud at 08:47

%d bloggers like this: