SEKULARISME DI MALAYSIA: SUATU CATATAN


Fahaman sekular adalah merujuk kepada perkataan Latin iaitu saeculum yang bererti generasi atau zaman. Dalam agama Kristian sekular bermaksud agama itu bertentangan dengan gereja. Untuk pengertian yang lebih jauh sekular merujuk kepada sesuatu yang dimiliki atau yang bersangkutan dengan dunia lahir sahaja dan tidak ada kena mengena dengan keabadian. Dalam perbincangan ini sekular bermakna kehidupan yang tidak ada kaitan dengan perkara ghaib, atau perkara agama. Dengan begitu sekularisme adalah bermakna satu fahaman yang memisahkan agama dari kehidupan ini, khususnya kehidupan bernegara. Ugama adalah masalah peribadi yang tidak mempunyai kaitan dengan negara. Manusia adalah bebas dari asuhan agama dan ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Sekularisme menentang sebarang pengaruh agama dan manusia bebas menentukan kepercayaan dan arah haluan hidupnya sendiri.

Teras kepada sekularisme ialah politik yang berasaskan kepada perkauman atau pun kebangsaan, atau apa yang kita panggil nasionalisma. Manakala ekonominya pula berasaskan laissez faire dan falsafah individualisma.Ia kemudiannya merebak ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya hidup mereka yang merupakan pemujaan kepada modenisma, materialisma dan pemujaan hawa nafsu.

Menelusuri sekularime di Malaysia, ia sebenarnya datang bersama-sama penjajah Inggeris yang menakluk negara ini dari tangan Belanda. Dalam Perjanjian Pangkor pada 1874 antara Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan Sir Andrew Clarke, syarat penting dalam perjanjian itu ialah residen Inggeris akan menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri kecuali mengenai agama Islam dan adat Istiadat Melayu. Dengan semikian segala urusan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang negeri terserah kepada Inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka yang tidak pernah memikirkan soal agama dan sebagainya. Di sini para Sultan sudah kehilangan hak politik dan pemerintahan dan tidak lagi berkuasa untuk mencegah usaha-usaha menanamkan fahaman sekular yang dibawa oleh Inggeris. Dan akhirnya berlakulah apa yang dinamakan pemisahan politik dari agama, atau agama dari negara.

Bila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos, 1957 dasar pemisahan di antara agama dan negara itu diteruskan dan dikekalkan dalam bentuk konstitusi iaitu dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam Bahagian 1, ceraian 1,2,3 dan 4, soal agama diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri manakala soal pemerintahan diserahkan kepada wakil rakyat tidak kira samada Islam dan bukan Islam. Akhirya terpisahlah Islam dari pemerintahan kerajaan Tanah Melayu itu.

Sebagai langkah untuk menguatkan lagi sekularisme, penjajah Inggeris merancang dan telah pun berjaya melahirkan segolongan pemimpin di kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan sistem pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu sendiri.

Golongan ini kemudian berjaya memesongkan akidah dan perjuangan masyarakat Islam di Tanah Melayu, dan mereka seterusnya berjaya menanamkan fahaman sekular itu ke dalam tubuh masyarakat Melayu sehingga orang-orang Melayu yang beragama Islam itu turut memuja fahaman kebendaan dan sesuatu yang berlandaskan hawa nafsu.

Bidang yang paling teruk menerima kesan sekularisasi adalah bidang pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah merupakan saluran dan alat terpenting untuk mencorakkan haluan hidup manusia itu sendiri. Stamford Raffles adalah seorang pegawai Inggeris yang bertanggung jawab mengemukakan rancangan halus untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui pendidikan beliau merencanakan Singapura sebagai pusat bagi kebangkitan semula peradaban asli kuno dan menyegarkan menerusi penyebaran perluasan pengaruh Inggeris dan faedah-faedah pendidikan dalam kemajuan ekonomi Barat. Beliau telah mengemukakan gagasan pusat Pengajian Asia Tenggara bagi mencapai matlamat ini. Beliau berhasrat untuk melahirkan bangsa-bangsa yang bijaksana dan terpelajar selaku orang suruhan yang jujur kepada sistem pentadbiran penjajah. Ia juga menyarankan supaya pendidikan untuk anak-anak Melayu mestilah menerusi tulisan rumi dalam usaha mengurangkan pengaruh Islam di kalangan orang-orang Melayu.

Selanjutnya perkara yang menjadi perhatian Inggeris ialah bidang ekonomi. Mereka memperkenalkan sistem kapitalis yang mengagungkan riba, jika tidak berasaskan riba sesuatu sistem itu tidak akan dapat dijalankan. Sistem ini berasaskan dasar laissez-faire yang berteraskan kebebasan individu yang hanya mementingkan keuntungan peribadi. Manusia diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan kekayaan di mana akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlansung dan menjadi amalan masyarakat. Akhirnya manusia menjadi haiwan ekonomi, dan mereka pun memilih cabang-cabang Islam yang hanya sesuai dengan jiwa mereka, dan tidak lagi berfikir untuk menegakkan Islam dan melaksanakan jihad seperti yang dikehendakki Islam.

Demikianlah masyarakat Melayu mula membenci orang-orang yang hidup sederhana, yang tidak menyintai dunia, dan yang mengamalkan sikap zuhud. Segala-galanya dinilai dengan wang ringgit. Masalah negara dilihat penyelesaiannya dari sudut ekonomi, dan bukannya dengan cara yang dikehendakki oleh Islam. Kemudian pada dekad-dekad terakhir lapan puluhan lahirlah Dasar Ekonomi Baru, Amanah Saham Nasional, 30 peratus penyertaan bumiputra dalam sektor perusahaan, Loteri Kebajikan Masyarakat, dan berbagai lagi perkara yang menjurus kepada soal kebendaan semata yang kesemuanya bertentangan dengan prinsip Islam.

Aspek politik adalah yang paling utama menerima kesan dari sekularisme. Perlembagaan Malaysia adalah bukti yang paling jelas dalam hal ini. Ia menafikan kekuasaan Allah, Rasulnya dan AlQuran. Politik dan agama menjadi terpisah.Sedangkan sepertimana yang kita tahu dalam Islam agama dan politik adalah satu.Tidak bercerai berai. Hijrahnya Rasul saw adalah untuk mendirikan negara Islam di Madinah. Ini bermakna Islam dan politik tidak dapat dipisahkan, di mana ia bertentangan sama sekali dengan hakikat perjalanan politik di Malaysia. Politik kita sekarang adalah acuan dari Barat, politik yang mengutamakan nafsu dan kebendaan.

Apabila benda-benda menguasai manusai, maka mereka pun tenggelam dalam suasana hidup yang tidak ada berpedoman, semuanya bertuhankan nafsu. Sebab itulah hidup masyarakat kita hari ini sedang menuju ke arah kehancuran, akibat merebaknya pengaruh sekularisme itu, bahkan ianya dibelai pula oleh pemerintah kita, oleh kerajaan BN, menjadikan orang Islam di Malaysia terlalu individualistik, hidup mementingkan diri, mengejar kemewahan dan sebagainya. Projek-projek membazir sudah menjadi semacam satu pemujaan, semuanya adalah kerana faham kebendaan telah berakar umbi ke dalam jiwa Melayu yang mengaku beragama Islam. Mampukan orang-orang Melayu sorot balik ke belakang? Soalnya terletak kepada orang Melayu sendiri. Namun pengaruh sekularisme bukanlah semudah itu untuk dibuang, apalagi ia telah tertanam ke dalam jiwa dan dijunjung pula oleh kaum pemerintah. Inilah halangan-halangan utama untuk menyebarkan akidah Islam, apalagi untuk memberikan kefahaman tentang negara Islam kerana fahaman itu amat bertentangan dengan jiwa Islam yang murni itu

Dan jika sekiranya kita berminat untuk menegakkan Islam, kita haruslah memerangi fahaman ini yang menjadi halangan utama ke arah merealisasikan cita-cita Islam itu. Bersediakah kita?

PAKITAM,

11032001.

Sumber: MindaRakyat

Advertisements

SEKULARISME ANCAMAN UTAMA AKIDAH UMAT ISLAM


SEKULARISME ANCAMAN UTAMA AKIDAH UMAT ISLAM
Sumber: Suara Kebangkitan (mykhilafah.com)

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ ﴿٤٤﴾ 

Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.- (Surah Al-Maidah, Ayat 44)

Mukadimmah

Rentetan dari pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis Thanksgiving Dinner yang diadakan oleh Gereja Methodist Damansara Utama pada awal Ogos lepas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan titah dan melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri Selangor [UM 11/10/11].

Profesor Dr. Abdul Aziz Bari

Pensyarah UIAM, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari, yang memberi komen tentang kewajaran titah Sultan Selangor itu telah dikelar hebat oleh banyak pihak dan terbaru beliau telah dipanggil oleh polis untuk disoalsiasat. Terkait dengan perkembangan isu akidah umat Islam ini, satu himpunan sejuta umat (HIMPUN) akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober, bertemakan ‘Selamatkan Akidah Umat Islam’.

Pengerusi Bersama HIMPUN, Dr. Yusri Mohamed yang merupakan bekas Presiden ABIM menyatakan, sudah lebih 1000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju untuk menyertai perhimpunan tersebut. Parti Islam SeMalaysia (PAS) bagaimanapun telah menyatakan pendirian rasmi untuk tidak hadir. Perhimpunan yang dikatakan tidak mempunyai motif politik ini, walaupun dipuji namun menimbulkan pelbagai tandatanya khususnya kerana mendapat kelulusan (permit) polis. Ini kerana, umum mengetahui bahawa PDRM tidak akan mengeluarkan sebarang permit atau berkompromi dengan mana-mana perhimpunan yang ‘tidak serasi’ dengan kehendak kerajaan.

Dalam pada kita membincangkan tentang usaha pemurtadan umat Islam oleh puak Kristian yang kita tidak nafikan akan kewujudannya, namun ada satu perkara lain yang jauh lebih membahayakan akidah umat Islam, tidak disedari dan tidak dibincangkan oleh sebahagian besar kaum Muslimin. Perkara tersebut adalah ‘sekularisme’. Sekularisme yang berasal dari ideologi (mabda’) Kapitalisme adalah satu bentuk ajaran yang memisahkan agama dari kehidupan (faslu deen ‘anil hayah). Ideologi Kapitalisme adalah ideologi kufur yang tertegak atas dasar pemisahan agama dari kehidupan. Idea pemisahan agama dari kehidupan (sekularisme) ini menjadi akidah kepada ideologi ini, sekaligus sebagai qiyadah fikriyah (kepemimpinan berfikir) serta qa’idah fikriyah (kaedah berpikir)nya. Berlandaskan qa’idah fikriyah ini, penganut akidah ini berpendapat bahawa manusia berhak membuat peraturan (undang-undang) hidupnya sendiri.

Mereka mempertahankan kebebasan manusia yang terdiri dari kebebasan berakidah/beragama (freedom of religion), kebebasan berpendapat (freedom of opinion), kebebasan hak milik (freedom of ownership) dan kebebasan bertingkahlaku (personal freedom). Dari kebebasan hak milik ini lahirlah sistem ekonomi kapitalis, yang termasuk perkara paling menonjol dalam mabda’ (ideologi) ini atau yang dihasilkan oleh akidah mabda’ ini. Kerana itu, mabda’ tersebut dinamakan mabda’ kapitalisme, sebuah nama yang diambil dari aspek yang paling menonjol darinya. Demokrasi yang dianut oleh mabda’ ini, berasal dari pandangannya bahawa manusia berhak membuat peraturan (undang-undang).

Menurut mereka, rakyat adalah sumber kekuasaan dan rakyatlah yang membuat undang-undang (melalui wakilnya). Rakyat jugalah yang menggaji ketua negara untuk menjalankan undang-undang yang telah dibuatnya. Rakyat berhak mencabut kembali kekuasaan itu dari ketua negara, sekaligus menggantikannya termasuklah merubah undang-undang sesuai dengan kehendaknya.

Kelahiran mabda’ ini bermula pada saat kaisar (caeser) dan raja-raja di Eropah dan Rusia menjadikan agama sebagai alat untuk memeras, menganiaya dan menghisap darah rakyat. Para pemuka agama waktu itu dijadikan perisai untuk mencapai keinginan mereka. Maka timbulah pergolakan sengit yang kemudian membawa kebangkitan bagi para ahli falsafah dan cendekiawan. Sebahagian mereka mengingkari adanya agama secara mutlak sedangkan yang lainnya mengakui adanya agama, tetapi menyeru agar dipisahkan dari kehidupan dunia. Akhirnya pendapat majoriti dari kalangan ahli falsafah dan cendekiawan itu cenderung memilih idea yang memisahkan agama dari kehidupan, yang kemudian menghasilkan usaha pemisahan antara agama dengan Negara.

Kemudian, disepakati pula pendapat untuk tidak mempermasalahkan agama, dilihat dari segi apakah diakui atau ditolak. Fokus masalahnya adalah agama itu harus dipisahkan dari kehidupan. Idea ini dianggap sebagai kompromi (jalan tengah) antara pemuka agama yang menghendaki segala sesuatu itu harus tunduk kepada mereka, atas nama agama, dengan ahli falsafah dan cendekiawan yang mengingkari agama dan dominasi para pemuka agama. Oleh itu, idea sekularisme sama sekali tidak mengingkari adanya agama, namun dalam masa yang sama tidak memberikan agama sebarang peranan dalam menyelesaikan masalah-masalah kehidupan. Apa yang mereka lakukan adalah memisahkan agama dari kehidupan. Berdasarkan hal ini, maka akidah yang dianut oleh Barat secara keseluruhannya adalah sekularisme, yakni pemisahan agama dari kehidupan. Akidah ini merupakan qa’idah fikriyah yang menjadi landasan bagi setiap pemikiran di mana di atas dasar inilah ditentukan setiap arah pemikiran manusia dan arah pandangan hidupnya. Berdasarkan hal (pemisahan) inilah, pelbagai masalah hidup diselesaikan. Ideologi ini dijadikan sebagai qiyadah fikriyah yang dikembang dan disebarluaskan oleh Barat ke seluruh dunia.

Bagaimana Sekularisme Mengancam Akidah

Idea faslu deen ‘anil hayah (pemisahan agama dari kehidupan) adalah idea kufur kerana Islam sama sekali tidak memisahkan agama dari kehidupan. Idea ini dibawa dan dikembangkan oleh Barat ke dunia Islam setelah mereka mula menjajah Negara Islam. Setelah berjaya menakluk negeri-negeri umat Islam (termasuk Malaysia) penjajah kuffar Barat terus menancapkan sistem pemerintahan sekular mereka di setiap wilayah umat Islam. Sistem dan undang-undang Islam yang sedia ada dibuang lalu diganti dengan sistem dan undang-undang mereka yang dikenali sebagai sistem demokrasi.

Lord Reid - Pengasas Undang-Undang Kuffar Di Tanah Melayu

Barat lalu melantik ejen mereka dari kalangan penguasa Muslim dan mengajar penguasa ini memerintah dengan cara membuat undang-undang sendiri, sesuai dengan kaedah berfikir mereka yang memisahkan agama dari kehidupan. Maka para penguasa yang telah terbius dengan pemikiran kufur ini pun mula memerintah dengan cara yang diajar oleh Barat dan terus meninggalkan Islam dari pemerintahan. Inilah yang berlaku dari satu generasi ke satu generasi di mana pemerintahan negara umat Islam, walaupun telah merdeka dari penjajah, namun terus-menerus dikuasai oleh puak sekular sehinggalah ke hari ini.

Kita semua tahu bahawa sisi penting dari ajaran Islam adalah yang berkaitan dengan aktiviti penguasa (yang sedang memerintah) berhubung dengan penerapan hukum (undang-undang) di dalam Negara. Menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan adalah suatu yang wajib secara qath’ie (pasti/tegas). Allah SWT berfirman,

Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

Pembahasan dan pemahaman yang benar tentang ayat ini amat penting untuk diketahui memandangkan seseorang itu boleh keluar dari akidah Islam (menjadi kafir) atas sebab tidak berhukum dengan hukum Allah. Lantas, siapakah golongan yang terkena ayat ini dan dalam keadaan apakah ia boleh menjadi kafir?

Sesungguhnya kata “yahkum” (berhukum) pada ayat tersebut serta ayat lain (seperti surah 5:45 dan 5:47) adalah mencakupi siapa sahaja yang memiliki otoriti dan kekuasaan untuk memutuskan suatu masalah (hukum) dan menerapkannya baik sebagai ketua negara atau para menteri atau orang-orang yang memperoleh kuasa dari mereka untuk memutuskan suatu masalah. Dengan kata lain, setiap orang yang memiliki otoriti untuk memutuskan dan menerapkan suatu hukum, maka ia termasuk ke dalam pengertian “yahkum” dalam ayat di atas. Oleh yang demikian, siapa sahaja yang memutuskan dan menerapkan suatu hukum dengan cara yang tidak diizinkan oleh Allah, maka ini bermakna dia telah berhukum dengan selain hukum yang diturunkan oleh Allah, baik kerana kebodohannya atau kerana kesengajaannya. Apabila seseorang itu telah berhukum dengan selain yang diturunkan oleh Allah dengan rasa redha, puas dan tanpa rasa bersalah serta membenarkan apa yang dilakukannya, maka jelas dia telah keluar dari Islam (kafir) berdasarkan ayat di atas.

Sebagai contoh, keharaman riba adalah suatu yang qath’ie berdasarkan sumber dan maknanya yang qath’ie. Bila ada seseorang penguasa yang membuat undang-undang yang membolehkan riba, maka dia sebenarnya telah mengambil selain syariat Allah serta menerapkan hukum selain yang diturunkan oleh Allah dan menghalalkan apa yang jelas diharamkan oleh Allah. Apabila dia mengakui bahawa dialah yang membuat undang-undang tersebut, menerapkannnya dan mempertahankan penerapannya serta redha dan puas dengan penerapannya, maka dia telah dengan jelas mengukuhkan kekufurannya.

Masalah ini bukanlah masalah ijtihadi (yang perlu diijtihadkan) akan tetapi ia adalah kefahaman yang secara langsung boleh diambil dari nas ayat di atas. Sama sahaja kedudukannya sama ada pemerintah tersebut menghalalkan riba, arak, judi, zina, murtad, meniadakan hukum potong tangan (hudud) atau menggantikan hudud dengan undang-undang yang lain dan seumpamanya, maka kesemua ini bermaksud bahawa pemerintah tersebut tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan dan dengan jelas termasuk dalam ayat di atas.

Dalam hal ini, perlu dibezakan di antara orang yang melakukan riba tetapi meyakini bahawa riba tersebut haram, dengan orang yang melakukan riba tetapi meyakini bahawa riba tersebut tidak haram. Orang yang pertama hanya dinilai pelaku maksiat manakala orang kedua telah jatuh kafir. Ini kerana, orang pertama masih mengakui kesahihan hukum syarak meskipun menyeleweng sedangkan orang kedua mengingkari hukum syarak yang qath’ie yang termasuk dalam hal ma’lum min ad-deen bi ad-dharurah (suatu yang maklum secara pasti di dalam agama).

Manakala bagi para penguasa yang membuat undang-undang dengan meninggalkan hukum syarak yang qath’ie dengan keyakinan bahawa hukum tersebut lebih baik dari hukum Allah, maka dia sesungguhnya telah jatuh kafir tanpa perlu ditakwil lagi. Sama jugalah kedudukan anggota-anggota legislatif yang membuat undang-undang yang bertentangan dengan hukum syarak yang meyakini bahawa undang-undang tersebut lebih baik dari hukum Allah, maka sesungguhnya mereka telah jatuh kafir tanpa perlu ditakwil lagi. Allah SWT berfirman,

Tidakkah kamu melihat orang-orang yang mengaku dirinya beriman dengan apa yang diturunkan kepadamu dan yang telah diturunkan sebelummu. Mereka hendak berhukum kepada taghut padahal mereka telah diperintahkan mengkufurinya. Dan syaitan itu ingin menyesatkan mereka sejauh-jauhnya. [TMQ an-Nisa’ (4):60].

FirmanNya lagi,

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan”
[TMQ an-Nisa’ (4):65].

Selain golongan penguasa dan legislatif sebagai pemegang otoriti untuk menerapkan hukum, dari sudut rakyat, walaupun rakyat bukanlah orang yang berkuasa untuk menerapkan hukum, namun sama sahaja dari segi bahaya ancaman akidah yang wujud. Di dalam Surah at-Taubah (9) ayat 31, Allah SWT telah mengingatkan kita tentang kerosakan akidah golongan Yahudi dan Nasara,

Mereka menjadikan rahib-rahib dan pendeta-pendeta mereka sebagai Tuhan selain Allah.

Ketika Rasulullah SAW ditanya bagaimanakah mereka menjadikannya sebagai Tuhan, baginda menjawab,

Mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, lalu mereka (orang bawahan) mentaatinya”. Sedarlah wahai kaum Muslimin rahimakumullah!

Terdapat begitu banyak persoalan yang kalian tidak hiraukan atau kalian menganggapnya remeh, namun sebenarnya ia merupakan persoalan yang besar yang boleh mengeluarkan kalian dari akidah Islam, tanpa kalian sedari. Lihatlah pada hari ini, apakah penguasa-penguasa kalian telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah? Demi Allah, mereka sebenarnya telah dan sedang berbuat demikian!!! Namun berapa ramai di kalangan kalian yang terus mentaati penguasa ini dengan menganggap perkara tersebut sebagai ‘tiada apa-apa’. Sedarlah wahai mereka yang berakal, sekiranya kalian mentaati (atau tidak mengingkari) mereka, bererti kalian telah menjadikan mereka sebagai Tuhan-Tuhan selain Allah yang bermaksud kalian telah mensyirikkan Allah…nauzubillahi min zalik!!!

Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa para penguasa kalian itulah yang merupakan ‘kepala’ kemungkaran. Sistem yang mereka terapkan adalah sumber kepada segala kemungkaran. Rasulullah SAW berpesan kepada kita,

Barangsiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu (hendaklah ia mengubahnya) dengan lisannya, jika tidak mampu, dengan hatinya. Akan tetapi, yang demikian itu (dengan hati) adalah selemah-lemahnya iman. [HR Muslim].

Di dalam riwayat lain disebut,

Dan di luar itu sudah tidak ada lagi sebutir keimanan pun.

Justeru, apabila seorang Muslim itu lemah untuk merubah dengan tangannya, maka ia tidak boleh lemah untuk merubah dengan lisan dan hatinya. Apabila dia tidak pernah membenci kemungkaran yang dilakukan oleh penguasa dan tidak pula mengingkarinya di dalam hati, maka sudah tidak ada lagi sedikitpun keimanan dalam dirinya, dengan kata lain hatinya telah dipenuhi kekufuran. Justeru, fikirkanlah wahai insan yang masih boleh berfikir, apakah kalian hanya pasrah atau malah kalian redha dan berpuas hati dengan penguasa dan sistem kufur yang diterapkan sekarang tanpa ada sedikitpun perasaan atau usaha untuk merubahnya? Betapa bahayanya akidah kalian sekiranya kalian terus berdiam diri (redha dan puas) dengan sistem kufur yang diterapkan oleh para penguasa sekarang. Inilah perkara yang kalian anggap sebagai remeh tetapi ia sebenarnya memberi kesan yang cukup besar kepada akidah kalian.

Khatimah

Sedarlah wahai kaum Muslimin rahimakumullah, bahawa ancaman kristianisasi tidaklah sehebat ancaman sekularisasi yang ternyata boleh merosakkan akidah dengan dampak yang lebih besar. Selain sekularisme, ancaman liberalisme dan pluralisme juga sama bahayanya. Berbeza dengan kristianisasi, ancaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme merupakan senjata ampuh puak kuffar Barat dalam menggelincirkan akidah umat Islam tanpa disedari oleh umat Islam itu sendiri. Justeru, bersihkan dan sucikanlah diri-diri kalian, masyarakat kalian serta para penguasa kalian dari segala bahaya penyesatan akidah sekularisme, liberalisme dan juga pluralisme yang jauh lebih berbahaya dari kristianisasi.

Yakinlah wahai kaum Muslimin bahawa hal ini tidak akan dapat dilakukan kecuali sekiranya kalian kembali kepada akidah dan syariat Islam yang sebenar yang didasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Yakinlah bahawa Perlembagaan kufur Lord Reid, undang-undang dan mahkamah syariah yang ada pada hari ini tidak akan dapat menyelamatkan akidah umat Islam, malah semua inilah yang menjadi perosak akidah umat Islam kerana di dalamnya terdapat hukum selain hukum yang diturunkan oleh Allah. Yakinlah bahawa tidak akan tertegak syariat Islam secara hakiki tanpa dihancurkan sistem kufur yang ada hari ini dari akar umbinya, lalu digantikan dengan sistem Islam (sistem Khilafah) dengan memberikan kekuasaan kepada seorang Khalifah yang beriman dan bertakwa kepada Allah dan Hari Akhir yang akan menerapkan hukum sebagaimana yang diturunkan oleh Allah Azza wa Jalla. Dengan penerapan hukum Allah sahajalah, maka akidah pemimpin dan rakyat akan sentiasa terpelihara, Insya Allah.

HAKIKAT SEKULARISME DAN KAEDAH PENYEBARANNYA


OLEH: IRWAN BIN MOHD SUBRI

Artikel ini dipetik dan diubah suai dari buku “Mauqif al-Islam Min al-Tayyarat Wa al-Mazahib al-Mu’asharah” karangan Prof. Dr. Taha Abd al-Salam Khudhair dan Prof. Dr. Hasan Muharram al-Sayyid al-Huwaini, pensyarah jabatan akidah dan falsafah, kuliah Usuluddin Universiti al-Azhar Mesir)
________________________________

Sekular atau dalam bahasa arabnya dipanggil “al-‘Ilmaniyyah” diambil dari perkataan ilmu (dalam bahasa arab = ‘ain, lam dan mim). Kononnya dari segi mafhum, ia bermaksud mengangkat martabat ilmu, jadi ia tidak bercanggah dengan mafhum Islam yang juga menjadikan ilmu sebagai satu perkara penting bagi manusia dan menyeru kepada ilmu sejak wahyu pertama lagi. Tetapi sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada “al-‘Ilmaniyyah” hanyalah satu tipu daya dan berselindung di sebalik slogan ilmu. Sebenarnya kalau diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah “al-Ladiniyyah” yakni tanpa agama atau “al-La’aqidah” yakni tanpa akidah. Tokoh pemikir Islam Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang sekularisme.

Istilah “al-‘Ilmaniyyah” dipilih untuk mengabui mata umat Islam agar menerimanya kerana jika digunakan istilah “al-Ladiniyyah” atau “al-La’aqidah”, sudah pasti umat Islam akan menolaknya. Sebab itulah kita merasakan betapa jahatnya penterjemahan sekular kepada istilah “al-‘Ilmaniyyah” dengan tujuan mengabui mata dan betapa jahatnya golongan ini yang ingin menutup perbuatan mereka tanpa diketahui oleh kebanyakan orang. Bagi anak didik sistem sekular, mereka tidak segan silu menerima dan bermati-matian mendokongnya kerana mereka memang telah diprogramkan untuk menyebarkan fahaman sekularisme. Namun bagi ulama-ulama Islam yang faham hakikat sebenar makna Islam, mereka bermati-matian pula menentang penyebaran fahaman ini yang jelas bertentangan dengan hakikat Islam. Jadi sudah tentu berlaku satu pertembungan antara pendokong sekularisme dan ulama-ulama Islam dalam mempertahankan “hakikat” masing-masing.

1.0 SEKULARISME ANTARA TIMUR DAN BARAT

Tidak menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat di barat. Ini berpunca dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati manusia, dengan erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.

Eropah pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah fahaman sekularisme yang bererti “memisahkan agama (Kristian) dari negara”. Suasana kacau bilau dalam agama Kristian hasil penyelewengan yang berlaku dalamnya (-ia berpunca dari perancangan yahudi-) memungkinkan tertegaknya fahaman sekularisme di samping agama Kristian yang sedia ada. Sekularisme disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk mengongkong pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan gereja. Bagi pejuang sekular, mereka menganggap dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja dan menjadi orang yang beragama Kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan agama.

Sekularisme adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut fahaman sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan dengan soal agama atau gereja.

Apabila fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur, golongan ini tidak menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan pemisahan agama (Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa yang terjadi dalam Kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap penganutnya. Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan agama (Islam) dari negara kerana negara mengikut fiqh Islam ialah sebahagian dari agama bukannya satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin tertegaknya agama (dengan sempurna) tanpa negara (yang boleh menguatkuasakan undang-undang agama) dan tidak mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau) jika tidak ada agama (yang boleh memandunya).

Al-Syahid Hasan al-Banna dalam “Majmu’ah Rasa’il” menegaskan bahawa Islam merupakan sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya. Ia merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi, keadilan, undang-undang, ilmu, jihad, dakwah, tentera dan lain-lain. Pendek kata tidak ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum untuk umat Islam dalam memandu kehidupan mereka. Sebagai contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran ayat 19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang sosial (lihat surah Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba’ ayat 15), bidang undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa’ ayat 59) dan juga bidang-bidang yang lain.

Islam tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman sekularisme di sampingnya dengan membahagikan tugas antara keduanya iaitu, Islam hanya berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme pula berfungsi di dalam urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi kerana Islam merupakan satu agama yang terkandung di dalamnya akidah dan syariat sekaligus dan ia tidak membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam bidang akidah. Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang diredhainya hanyalah Islam yang suci. FirmanNya yang bermaksud, “Sesungguhnya al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam”, surah Al-Imran ayat 19.

Jadi untuk menyamakan Islam dengan agama Kristian dan percubaan memasukkan fahaman sekular ke dalam Islam adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta manusia iaitu Allah s.w.t, ia selamat dari cacat cela. Kristian pada asalnya agama tauhid tetapi telah diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan mereka. Sekularisme bukan berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari fahaman kufur ini dan tidak ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat Islam yang mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak perlu beramal dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.

Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan “politik suku agama suku” tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi. Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 85, maksudnya : “adakah kamu percaya (beriman) kepada sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya? Sebaliknya Allah memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya melalui firmanNya surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam keseluruhannya”.

2.0 CARA-CARA PENYEBARAN SEKULARISME

Semenjak penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara. Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, mereka berjaya melaksanakannya. Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini dilaksanakanan melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang. Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.

2.1 PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN

Antaranya ialah :

1. Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral:-

  • Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin kepada pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi kemudahan dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan kewangan ataupun tidak dibantu langsung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada pengajian sekularisme.
  • Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama dan tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang disengajakan. Begitu juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan bidang-bidang lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam “ketidaksedaran” dan akan menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu “jika kita memilih bidang agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup”, maka dengan itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama.

Bukanlah bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu “bukan Islam”, seperti kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras kepada mereka. Tidak salah seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim itu menjadi jurutera, tetapi biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan Islam.

2. Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di samping itu, akan tertanam dalam diri pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran Islam. Dengan berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan dalam bab makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.

3. Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya. Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa sukatan pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam. Pelonggaran sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan tujuan untuk melemahkan pelajar-pelajar Islam.

4. Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang kesannya ialah menghina bahasa Arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan bahasa asing. Penghinaan bahasa arab sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara Arab.

5. Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan ketika pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini akan membawa kepada 2 keadaan :

  • Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain, lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara barat dan juga Amerika Syarikat.
  • Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah sampai masa “keinginan”, anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama “berdamping” dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.

2.2 PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA

Jikalau sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah. Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.

Realiti yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater, akhbar, majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu perkembangan nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan gambar separuh bogel atau “tidak sempat memakai baju dan seluar” banyak disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda mudi. Sepatutnya media massa itu menjadi “mimbar dakwah” yang menyeru kepada kebaikan dan menyampaikan kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan umat Islam dari agamanya.

2.3 PENYEBARAN SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG

Golongan sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari “kuasa” pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya, untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan undang-undang sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang khilafah Islam. Di Mesir “pengsekularan” undang-undang dilakukan ketika penjajahan Inggeris dengan mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang Perancis secara khususnya.

Undang-undang Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kahwin (Ahwal Syakhsiah) atau yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara, jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.

Ini adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul. Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan Islam yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan golongan sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan mereka di dunia dan akhirat.

Islam dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya’rawi sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir sempat berkata : “sedarlah bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan yang batil”. Maka umat islam perlulah mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

SIAPAKAH MUSLIM MODERAT?


Pada 18 Disember yang lalu, sebuah akhbar online Canada, Toronto Star, telah menerbitkan sebuah artikel yang mengesyorkan supaya pengharaman bukan hanya dibuat terhadap niqab (penutup wajah/purdah) dan burqa (penutup seluruh tubuh), tetapi dibuat juga terhadap  hijab (tudung kepala).

Artikel tersebut menyatakan , “burqa dan niqab merupakan tradisi yang memandang bahawa perempuan sebagai objek seksual, seorang penggoda, yang mana dengan gerakan pergelangan kaki mereka dapat membawa lelaki (makhluk yang lemah yang tidak mampu menahan godaan ini) untuk bertekuk lutut di hadapan mereka. Ini adalah sistem nilai yang menjijikkan dan saya menolaknya. Begitu juga dengan semua warga Kanada yang menganut feminisme sekular. Jadi marilah kita mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan hijab.”

Artikel tersebut menggunakan istilah “Muslim moderat” untuk menggambarkan orang-orang yang menyatakan bahawa, “Hukum pemakaian penutup kepala bukan hanya memalukan wanita, tetapi merupakan suatu penghinaan terhadap laki-laki.”

“Muslim Moderat”:  Adakah Suatu Ukuran yang Islami?

Artikel sebegini memberikan gambaran sebenar untuk kita melihat bagaimana amalan media, ahli politik oportunis dan lain-lain yang memuji-muji sebahagian orang Islam sebagai “Muslim moderat” dan mencela sebahagian umat Islam yang lain sebagai militan, radikal dan ekstrimis. Adalah merupakan suatu perkara yang ‘membanggakan’ jika dapat menampilkan diri sebagai sebahagian daripada kelompok moderat yang (kononnya) tidak menunjukkan pandangan negatif. Sebelum menggunakan istilah-istilah seperti ‘Muslim Moderat’ dan ‘Muslim Ekstrimis’, kita perlu memahami terlebih dahulu makna istilah-istilah tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan “Muslim moderat”? Siapakah pula yang dikatakan “ekstrimis”?

Sebahagian manusia mungkin berpendapat bahawa istilah-istilah sebegini tidak merbahaya. Bagi mereka, semua ini hanyalah suatu cara untuk membezakan antara Muslim yang ‘baik’ dan yang ‘buruk’.  CNN  melabel negara Algeria sebagai ‘ekstrimis’ kerana mengharamkan import terhadap arak. Sebelum wujudnya pengharaman tersebut,  Algeria dianggap sebagai “moderat.”

Untuk menganalisa masalah ini (atau dalam apa jua perkara), pertama-tamanya kita perlu merujuk kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah. Adakah Rasulullah SAW pernah membahagi-bahagikan atau membeza-bezakan para sahabat r.a. kepada puak ‘moderat’ dan puak ‘ekstrimis’? Adakah para sahabat r.a. pernah membanding-bandingkan antara satu sama lain dengan kayu ukur ‘moderat’ atau ‘ekstrim’?

Allah SWT berfirman:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu”. [TMQ al-Hujuraat (49) :13]Oleh karena itu, tindakan mengelompokkan kaum Muslimin kepada ‘moderat’ dan ‘ekstremis’ adalah suatu perbuatan yang diada-adakan dalam Islam. Hal ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana generasi ulama Islam dan perkara ini baru sahaja diperkenalkan ke dalam wacana Islam.

Menjadikan Islam Kelihatan Buruk

Kenyataan daripada penulisan wacana tersebut bertujuan supaya Islam dilihat sebagai buruk. Media, lembaga kajian  dan ahli-ahli politik sentiasa mengecam Islam sebagai ‘militan’,  ‘radikal’ dan ‘ekstrimis’, sehinggakan umat Islam sendiri merasa terancam apabila mereka ingin mengamalkan perintah agama mereka sendiri. Antara contohnya:

Larangan Minum Arak: Kaum Muslimin dianggap sebagai ekstrimis kerana melarang umat Islam yang lain untuk membeli arak di dalam negeri kaum Muslimin sendiri. CNN melaporkan, “suatu pungutan suara yang mengejutkan telah dilakukan oleh parlimen Algeria bertujuan untuk mengharamkan pengimportan arak di negara Muslim moderat yang mana ini merupakan tanda kembalinya ekstrimisme Islam …”. Kita dapat melihat bahawa media menganggap pengambilan arak sebagai salah satu ciri khas sebagai seorang ‘Muslim moderat’. Sebaliknya, seseorang yang melarang umat Islam daripada mengambil arak adalah seorang ‘ekstrimis’.

Pemakaian Hijab (tudung): The Toronto Star, sebuah akhbar yang berhaluan kiri di Kanada , menjadikan hijab sebagai sumber ketakutan dan menyeru kepada pengharamannya. Artikel dalam akhbar tersebut memuji-muji puak “Muslim Moderat” kerana membenci hukum pemakaiannya bagi wanita untuk menutup rambut mereka sepertimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, iaitu dengan memakai jilbab (yang menutupi tubuh) dan pemeliharaan adab sopan antara lelaki dan wanita ketika berhubungan antara satu sama lain.
Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali (sebagai Muslim), kerana itu mereka tidak diganggu”. [TMQ Al-Ahzab (33): 59]

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

“Dan (bagi wanita) hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)…”. [TMQ An-Nur (24) : 31]Meninggalkan Kewajiban Menegakkan Khilafah: Suatu penulisan terbitan RAND yang bertajuk“Membangunkan Rangkaian Muslim Moderat” menyatakan bahawa: “Sama ada falsafah politik yang berasal dari Barat ataupun sumber-sumber daripada Al-Quran, untuk boleh dianggap sebagai demokratik, semuanya harus secara tegas mendukung pluralisme dan hak asasi manusia yang diakui secara antarabangsa… Dukungan terhadap demokrasi bermakna bertentangan dengan konsep negara Islam … Muslim moderat memegang suatu  pandangan bahawa tidak ada sesiapa yang boleh bercakap bagi puhak Tuhan (agama). Sebaliknya, perkara ini adalah merupakan kesepakatan masyarakat, sebagaimana yang digambarkan melalui pandangan umum (public opinion) yang diungkapkan secara bebas, itulah yang menentukan apa yang Tuhan inginkan dalam sebarang perkara tertentu”.

Ini secara langsung menyerang konsep Khilafah yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW. Kita semua menyedari bahawa para sahabat r.a. yang telah menggantikan Rasulullah SAW dalam mendirikan Khilafah, di mana negara tersebut menerapkan hukum syari’ah berdasarkan Al-Qur’an, as-Sunnah, Ijma’ sahabat  dan qiyas. Mereka tidak pernah menerapkan undang-undang berdasarkan keinginan kolektif rakyat.

Oleh kerana itu, lembaga kajian atau para pemikir, personaliti media dan ahli-ahli politik tertentu telah mendefinisikan “Muslim moderat” sebagai seseorang yang bersedia untuk meninggalkan perintah Allah SWT apabila perkara itu bertentangan dengan nilai-nilai liberal yang berasal daripada akidah sekular. Dari sudut yang lain, seseorang Muslim yang mentaati perintah-perintah Allah SWT dianggap sebagai seorang yang ekstrim dan ia harus dijauhi oleh masyarakat.

Bahaya Kompromi

Kita juga harus menyedari tentang bahaya melakukan kompromi. Kita mungkin terpengaruh untuk ‘mengurangkan’ amalan-amalan hukum Islam dengan harapan akan dianggap sebagai moderat. Namun, Allah SWT telah memberi amaran kepada kita terhadap amalan seperti ini:

وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ

““Mereka menginginkan supaya kamu berkompromi, maka mereka (juga) akan berkompromi.” [TMQ al-Qalam (68) : 9]Walaupun taktik dalam mempromosikan “Muslim moderat” ini merupakan perkara yang baru, tetapi sebenarnya ini bukanlah topik yang baru. Kekuasaan kolonial telah berusaha selama berabad-abad untuk membuatkan kaum Muslimin untuk menerapkan sekularisme sebagai  rujukan utama hidup mereka. Visi untuk menimbulkan mentaliti terjajah telah disosialisasikan pada tahun 1854 oleh Mountstuart Elphinstone, yang mengatakan bahawa, “kita tidak boleh bermimpi atas adanya kepemilikan abadi, tetapi harus menerapkan bagi diri kita sendiri untuk  membawa kaum pribumi ke dalam suatu negara yang akan mengakui hak mengatur diri mereka sendiri melalui cara yang mungkin bermanfaat bagi kepentingan kita …”

Tetap Berpegang Teguh pada Agama

Umat Islam pada hari ini telah jatuh berkali-kali setelah pelbagai kali cubaan. Apabila kita membaca akhbar, menghidupkan televisyen atau melayari internet, kita dapat melihat bahawa berita-berita yang berunsur tuduhan dan pembohongan sering dilemparkan terhadap agama kita, Nabi SAW atau umat Islam. Tekanan sebegini telah memaksa sebahagian daripada kaum Muslimin untuk menjelaskan tentang Islam dengan cara yang salah bertujuan untuk meredakan kritikan-kritikan tersebut, dengan harapan agar mereka dianggap sebagai ‘moderat’. Kita tidak sepatutnya jatuh ke dalam perangkap ini. Sebaliknya, kita perlu menguatkan hubungan kita dengan Allah SWT dan ingat bahawa Allah SWT telah pun memberi peringatan kepada kita tentang ujian-ujian tersebut. Antaranya:

وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا


“Dan kamu pasti akan mendengar banyak perkara yang sangat menyakitkan hati dari orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu (Yahudi dan Nasrani) dan daripada orang-orang yang mempersekutukan Allah (musyrik)”
[TMQ al-Imran (3) : 186]

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَوَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan (sahaja) dengan mengatakan: “Kami telah beriman”, dan (sedangkan) mereka belum diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” [TMQ al-Ankabut (29) : 2-3]Dan Rasulallah SAW juga telah mengingatkan kita bahawa di akhir zaman ini, akan datang suatu masa di mana apabila kita berpegang teguh kepada Deen ini, ia adalah ibarat menggenggam bara api”. [HR At-Tirmidzi]

Dalam suasana yang penuh dengan fitnah ini, kita harus menguatkan kembali komitmen kita terhadap Allah SWT, bekerja keras untuk mempertahankan identiti Islam kita serta tetap percaya terhadap diri sendiri sebagaimana Allah SWT telah menjanjikan kepada kita :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. [TMQ Muhammad (47) :7]Kita juga harus menyedari bahawa tujuan sebenar daripada keberadaan kita di dunia ini adalah untuk mencapai redha Allah SWT, dan kelak kita akan dibangkitkan kembali bersama-sama dengan para sahabat Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, kita harus tabah atas segala ujian  yang menimpa kita dan tetap teguh dengan tugas dakwah yang sedang kita pikul. Seseorang  yang beriman tidak akan pernah merasa rugi ketika dia menahan penderitaan hanya untuk mendapatkan redha Allah SWT  kerana sesungguhnya dia sedang bekerja untuk mendapatkan balasan yang abadi, iaitu syurga Allah yang kekal abadi.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh menakjubkan urusan orang-orang yang beriman.  Seluruh hidupnya adalah menguntungkan, dan itu hanya terdapat pada orang beriman. Jika dia mendapat kebaikan dan bersyukur maka itu adalah baik untuknya, dan jika dia mendapat keburukan dan dia bersabar maka itu juga baik untuknya.” [HR Muslim].

Jika kita melihat para sahabat ra, kita akan dapati bahawa mereka adalah contoh yang terbaik dalam keteguhan hati dan ketabahan. Mereka mendapat ujian yang sama dengan apa yang kita hadapi di mana orang-orang kafir menggunakan cara yang keji  untuk memberi gambaran buruk terhadap Islam. Orang-orang kafir berusaha untuk membuat Islam supaya kelihatan buruk dengan cara menghalang dakwah Islam. Allah SWT berfirman:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ تَبْغُونَهَا عِوَجًا وَأَنْتُمْ شُهَدَاءُ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Katakanlah: “Wahai ahli Kitab, mengapa kamu menghalang-halangi daripada jalan Allah terhadap orang-orang yang telah beriman, kamu menghendakinya (jalan Allah) supaya menjadi bengkok, padahal kamu menyaksikan?” [TMQ Al-Imran (3) : 99]Kaum Quraisy juga menggunakan propaganda untuk menuduh Rasulullah SAW dan para sahabat ra sebagai punca perkara-perkara ekstrim dalam masyarakat. Meskipun terminologi (istilah-istilah) yang mereka gunakan adalah berbeza-beza, namun tujuan mereka adalah sama, iaitu untuk menekan umat Islam supaya pemikiran umat Islam selari dengan pemikiran, emosi, dan hukum Quraisy yang kufur. Contohnya Al-Waleed bin Al-Mughirah, dia memimpin dalam merancang strategi propaganda untuk memulaukan Rasulullah SAW. Beberapa ideanya (seperti menuduh Nabi sebagai penyair, tukang tilik, orang yang telah dirasuk oleh jin dan lain-lain) telah ditolak kerana itu semua tidak realistik. Mereka menuduh Nabi sebagai seorang penyihir yang menggunakan kata-kata untuk  memutuskan hubungan keluarga.

Walaupun dalam suasana fitnah dan ketakutan, Rasulullah SAW dan para sahabatnya tetap berdiri teguh di atas deen mereka dan tidak berganjak walaupun berada di dalam tekanan. Sebaliknya para sahabat  menunjukkan keberanian yang sangat hebat. Contohnya, ketika Rasulullah SAW dan para sahabatnya tinggal di Mekah sebelum berhijrah, Abdullah bin Mas’ud ra mengatakan bahawa dia mahu memperdengarkan Al-Quran pada masyarakat Quraisy. Jadi pada suatu pagi, dia pergi ke Ka’bah dan membaca ayat Al-Qur’an dengan suara yang lantang, lalu orang-orang Quraisy menyerangnya. Setelah dia kembali (dalam keadaan cedera) kepada para sahabat, mereka berkata: “Inilah yang kami khuatirkan apa yang akan terjadi kepadamu”.

Dia menjawab, “Musuh-musuh Allah tidak pernah lebih hina di mataku daripada saat ini, dan jika kamu mahu, saya akan pergi lagi dan melakukan perkara yang sama esok.”

Allah SWT akhirnya memenangkan mereka atas musuh-musuh mereka di dunia ini dan memberikan mereka kesenanganNya di akhirat:

رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ

“Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah”. [TMQ at-Taubah (9) : 100]Jika kita menginginkan redha Allah SWT, kita wajib mengikuti apa yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, maka kita akan digolongkan bersama-sama orang-orang yang diredhaiNya. Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan  dan tekad untuk menanggung penderitaan di zaman ini dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam memikul dakwah Islam serta mengembalikan kehidupan Islam di dunia ini, insyaallah. Amin.

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, sedangkan kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” [TMQ al-Imran (3) : 139]Sumber: Khilafah.Com

%d bloggers like this: