ZIARAHILAH RUMAH ALLAH DI MUKABUMI INI


Daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah s.a.w. bersabda ”Sesungguhnya rumah-rumah Allah di bumi ini adalah masjid-masjid, dan sesungguhnya hak (wajib) atas Allah untuk memuliakan orang yang menziarahinya di masjid-masjid.” (Riwayat Thabrani)

Ziarah Tiga Masjid

Daripada Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan Masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)”

Gandaan Pahala Sembahyang di Masjid

Kelebihan Masjidil Haram ialah: Mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seratus ribu (100,000) gandaan pahala sembahyang di masjid lain dan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.

Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah : Mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu (1,000) hingga sepuluh ribu (10,000) gandaan pahala sembahyang di masjid lain, dan didalamnya ada makam Nabi s.a.w. dan sebuah taman dari taman-taman syurga (kawasan yang dikenali sebagai Raudah).

Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah : Mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima ratus (500) gandaan pahala sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi s.a.w.

Pahala sembahyang di Masjid Jamek (masjid atau surau yang didirikan sembahyang Jumaat) ialah 150 kali ganda fadhilat sembahyang sendirian di rumah.

Pahala sembahyang di surau iaitu masjid yang tidak didirikan sembahyang Jumaat ialah 25 kali ganda fadhilat sembahyang sendirian di rumah.

Masjid atau Surau

Masjid adalah perkataan Arab yang bermaksud “tempat sujud” manakala perkataan Surau pula berasal dari Iran, juga mempunyai maksud yang sama. Pada hakikatnya masjid dan surau adalah sama.

Di Malaysia, masjid dan surau dibezakan. Masjid, selain dari digunakan untuk sembahyang fardhu 5 waktu, ia juga digunakan untuk mendirikan sembahyang Jumaat, berbanding dengan surau hanya digunakan untuk sembahyang fardhu 5 waktu sahaja tetapi tidak untuk mendirikan sembahyang Jumaat.

Namun akhir-akhir ini, surau-surau juga telah diberi kebenaran untuk melakukan sembahyang Jumaat. Peliknya, sembahyang Jumaat yang fardhu boleh dilakukan di surau, tetapi sembahyang tahiyyatul masjid yang hukumnya cuma sunat tidak boleh dilakukan di surau?, sedangkan masjid dan surau adalah dua perkara yang sama cuma berbeza dari segi nama dan pentadbiran sahaja.

Adab Ketika Menziarahi/Memasuki Masjid

1) Masuk dengan kaki kanan, keluar dengan kaki kiri

2) Membaca doa ketika masuk masjid juga berdoa ketika keluar masjid.

Apabila kamu semua masuk ke dalam masjid, maka katalah;“Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku pintu-pintu rahmat-Mu.”. Apabila keluar, maka katakanlah;“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu daripada kelebihan-kelebihan-Mu.” (Muslim)

3) Melakukan 2 rakaat sembahyang sunat tahiyyatul masjid sebelum duduk atau membaca apa-apa zikir dan terus duduk sekiranya ada pengajian sedang dijalankan.

Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia bersolah sebanyak dua rakaat“.( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4) Memakai pakaian yang cantik-cantik dan berhias untuk ke masjid.

A’raf [31] : Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah swt tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

_________________________________
Sumber: Blog Nasbun Nurain

Advertisements

MASJID QIBLATAIN


MASJID Qiblatain di Madinah al-Munawarah antara tiga masjid tertua di dunia selain Masjid Quba dan Masjid an-Nabawi. Pada asalnya ia dinamakan Masjid Bani Salamah kerana pembinaannya di atas bekas tapak rumah Bani Salamah.

Dalam sejarah perkembangan Islam, ia dinamakan Masjid Qiblatain kerana mempunyai dua kiblat, iaitu menghadap ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan satu lagi ke arah Masjidil Haram di Makkah.

Batu asas pembinaannya dilakukan sendiri Nabi Muhammad s.a.w dan siap pada 623. Baginda pernah bermalam di masjid itu selama 20 hari.

Rasulullah menerima wahyu daripada malaikat Jibril mengutuskan supaya arah qiblat ditukar ke arah Makkah. Ketika itu baginda berada dalam rakaat kedua solatnya, turun wahyu memerintahkannya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Maka, baginda berperingkat mengubah arah kiblat menghala ke Makkah. Perubahan arah kiblat menjadi tamparan hebat kepada kaum Yahudi yang sebelum itu begitu berbangga dengan kiblat mereka di Baitulmaqdis.

Sejarah awal pentadbirannya terletak di bawah Umar al-Khatab, kemudian diserahkan kepada pemerintahan Uthmaniah dengan penyeliaan Sultan Sulaiman yang bertanggungjawab melakukan pengubahsuaian terhadap masjid bersejarah itu.

Berdekatan Masjid Qiblatain terdapat sebuah telaga dimiliki seorang Yahudi. Dengan nasihat nabi, telaga itu ditebus daripada pemiliknya oleh Uthman Affan dengan harga 20,000 dinar bagi menjadikannya milik umat Islam sepenuhnya.

Masjid itu mampu menampung kapasiti seramai 2,000 jemaah pada satu masa. Antara imam dan khatibnya termasuk Sheikh Salleh bin Awad al-Mughamisi, Sheikh Muhammad Khalil, Sheikh Muhammad Ayub dan Sheikh Ahmad bin Ali bin Abdul Rahman.

Pembesaran masjid berlaku pada 1543 pabila Sultan Sulaiman diarah melakukan pembesaran masjid bagi menampung jemaah semakin bertambah.

Pada 1987 projek pembesaran masjid dilakukan mengikut keperluan semasa tanpa mengubah struktur binaan asal. Namun, masjid lama dirobohkan bagi memberi nafas baru bagi menyerlahkan seni bina Islam.

Masjid Qiblatain berbentuk ortogenal geometri itu dihiasi dua tangga masuk bagi membolehkan jemaah lelaki dan wanita keluar masuk ke masjid melalui pintu berasingan.

Kedudukan dewan solatnya mempunyai aras berbeza dengan bahagian utara supaya menampakkan keunikan tersendiri.

Masjid berkenaan terletak di bahagian barat laut dari Madinah, di Jalan Khalid bin Walid, sempena kehebatan pahlawan Islam tersohor pada zaman Rasulullah.

Kini, Masjid Qiblatain mempunyai pelbagai kemudahan prasarana sesuai sebagai pusat tumpuan jemaah haji dari dalam dan luar negara.

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan Ahmad bin Hambal, Al-Nasai, Ibnu Majah dan Hakim, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang mendirikan solat dua rakaat di Masjid Qiblatain, maka Allah memberikan ganjaran pahalanya seperti pahala mengerjakan satu umrah.

Justeru, tidak hairanlah masjid itu menjadi tumpuan jemaah haji dan umrah dari seluruh pelosok dunia.

____________________________________________________
Susunan Abdul Jalil Ishak
http://www.hmetro.com.my

MASJID NABAWI


Masjid Nabawi merupakan masjid pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w setelah penghijrahan baginda berserta para sahabat dan pengikut setia ke Madinah. Masjid tersebut dibangunkan pada bulan Rabiulawal tahun pertama Hijrah bersamaan September 622 Masihi. Pada masa Nabi s.a.w dan Khulafa ar-Rasyidin, masjid itu berfungsi sebagai tempat beribadah (solat), menuntut ilmu dan musyawarah bagi melaksanakan kegiatan kemasyarakatan.

Kini masjid tersebut berdiri megah, dengan lebih daripada 230 tiang setinggi 5 meter dan memiliki 10 buah menara, enam di antaranya setinggi 99 meter. Dengan berkembangnya Islam di dunia, Masjid Nabawi mengharumkan kota Madinah al-Munawwarah (kota penerang dunia dengan ajaran Islam). Hingga kini, jemaah haji sering berziarah ke makam Nabi Muhammad s.a.w yang terletak di dalam kompleks masjid tersebut.

Selain itu, terdapat makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Pada bahagian lain, terdapat taman (raudah), di antara bekas rumah Nabi s.a.w dengan mimbar yang ditandai dengan tiang-tiang berwarna putih. Di tempat inilah jemaah haji dan umrah melakukan solat, wajib atau sunat, sesuai dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

Di antara bilikku dengan mimbarku terletak sebuah taman di antara taman-taman syurga. (Anas bin Malik)

Masjid Nabawi memiliki keutamaan dan keistimewaan tersendiri berbanding masjid-masjid lain. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

Solat di masjidku lebih utama daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali di Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali daripada solat di tempat lain. (Riwayat Ahmad)

Pada awalnya, Masjid Nabawi hanya berukuran 70 x 60 hasta (1 hasta bersamaan lebih kurang 61 cm). Lalu Nabi s.a.w memperluaskan masjid itu ke sebelah timur, barat dan utara sehingga menjadi 2,475 meter persegi. Saidina Umar al-Khattab (581-644 M) memperluaskan lagi masjid tersebut menjadi 140 x 120 hasta dan menambah tiga pintu; dua pintu di sebelah utara dan sebuah pintu untuk jemaah wanita di sebelah timur. Saidina Uthman ibni Affan (576-656 M) menggantikan tiang pohon kurma dengan batu, menggantikan atap dan memperluaskan bahagian lantai.

Kerja-kerja pembaikan dan perluasan masjid itu juga dilakukan pada zaman pemerintahan Walid bin Abdul Malik (705-715 M) dan Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), khalifah Bani Umaiyah. Pada zaman al-Mahdi (775-785 M), khalifah Abbasiah, berlakunya penambahan atau perluasan 100 hasta lagi. Sultan Malik az-Zahir (m. 1277 M – penguasa Mamluk) memperbaiki atap yang terbakar dan menambah menara. Salim II (1566-1674 M), sultan Uthmaniah, mula menggunakan marmar. Pembangunan dan pembaikan besar-besaran dilakukan oleh Sultan Abdul Majid (1839-1861 M). Dinding, tiang serta mihrab diukir dan dihiasi dengan kaligrafi. Hingga ke zaman Uthmaniah, keluasan Masjid Nabawi telah mencapai 10,303 meter persegi. Kerajaan Arab Saudi meneruskan perluasan masjid tersebut sehingga 16,500 meter persegi.

Di Masjid Nabawi terdapat beberapa mihrab: Mihrab Nabawi (di timur mimbar), tempat pertama kali Nabi Muhammad s.a.w mengimami solat berjemaah; Mihrab Sulaiman (di sebelah mimbar), hadiah Sultan Sulaiman bin Salim (Turki); Mihrab Uthmani (di tengah kiblat); Mihrab Tahajjud (di sebelah utara), tempat Nabi s.a.w sering melakukan solat tahajjud; dan Mihrab al-Majidi (di sebelah utara), tempat berkumpul ahl as-suffah, Muhajirin yang kehabisan bekalan ketika hijrah ke Madinah.

Kronologi Masjid Nabawi

622 (Masihi) – Didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
629 – Diperluas oleh Nabi s.a.w.
638 – Diperluas oleh Saidina Umar al-Khattab.
650 – Saidina Uthman Affan menggantikan tiang dan atap serta memperluas bahagian lantai.
707 – Diperbaiki oleh Walid bin Abd Malik dan Umar bin Abd Aziz (Bani Umaiyah).
778 – Diperluas oleh al-Mahdi (Bani Abbasiah).
1247 – Terbakar.
1256 – Malik az-Zahir (Mamluk) menambah menara serta lantai bahagian hadapan.
1468 – Diperbaiki oleh Asyraf Qaitbay (Penguasa Mamluk).
1481 – Terbakar lagi.
1574 – Salim I (Uthmaniah) menggunakan marmar.
1818 – Diperbesar oleh Mahmud II (Uthmaniah). Kubah dicat hijau.
1849 – Dibangun besar-besaran oleh Sultan Abdul Majid (Uthmaniah).
1952 – Diperluas oleh Raja Abd Aziz ibnu Sa’ud (Arab Saudi).
1984 – Diperluas dan diperbaiki oleh Raja Fahd (Arab Saudi).

___________________________________________
Sumber: http://lurim.blogspot.com

KEDUDUKAN MASJID DALAM ISLAM


Masjid adalah sebuah bangunan yang dikhaskan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dan ia merupakan tempat yang mulia dan suci dalam Islam.

Selain dari menjadi lambang kepada syiar Islam, masjid juga sebagai pusat bagi mengembangkan ajaran-ajaran Islam, pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam kerana di dalamnya umat Islam dapat beribadat dengan lebih khusyuk dan tawaduk, dapat mengerjakan sembahyang berjemaah, memperolehi ilmu pengetahuan dan dapat menerima nasihat dan pengajaran demi untuk kebaikan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat.

Justeru itulah usaha yang mula-mula sekali dibuat oleh Rasulullah s.a.w. semasa baginda berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, ialah mendirikan masjid Quba’, iaitu sebuah masjid yang disifatkan oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai masjid yang didirikan atas dasar takwa.

Firman Allah,

Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa semenjak mula-mula dibina adalah lebih patut engkau mendirikan sembahyang di dalamnya. Di dalam masjid itu terdapat beberapa orang lelaki yang suka supaya dirinya bersih, sedang Allah kasih kepada orang yang bersih.

Firmannya lagi,

Manakah yang lebih baik, orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya atas takwa kepada Allah dan keredhaannya, atau orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya di atas tepi jurang yang runtuh sehingga ia jatuh bersama-samanya dalam neraka jahanam ? sedang Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.

Kemudian tidak lama selepas Rasulullah menetap di Madinah baginda mendirikan sebuah .lagi masjid di bandar Madinah yang lebih terkenal dengan Masjid an Nabawi yang juga disifatkan oleh baginda sebagai “masjid yang telah dibina atas dasar takwa”. Sebagaimana diterangkan oleh baginda di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dalam “Syarhu Jamiu At-Tarmizi.”

Memandangkan kepada pentingnya pembinaan masjid dalam perkembangan agama Islam Rasulullah telah menggalakkan umatnya supaya mendirikan masjid di mana sahaja mereka berkampung, sebagaimana yang diterangkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah Radiallahu Anha, katanya ;

Rasulullah s.a.w. telah menyuruh umatnya mendirikan masjid di tempat-tempat perkampungan dan hendaklah sentiasa dibersihkan dan diharumkan. (Ahmad dan Abu daud dan Al-Tarmizi)

Dalam hadis yang lain pula Rasulullah telah menerangkan kelebihan orang yang mendirikan masjid atau balasan yang akan didapati oleh orang-orang yang mendermakan hartanya untuk mendirikan masjid seperti tersebut di dalam sebuah hadis :

Dari Usman Radiallahu Anhu katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, ertinya:

barangsiapa membina sebuah masjid semata-mata ikhlas kerana Allah Taala nescaya Allah taala akan membinakan untuknya sebuah rumah di syurga.

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis tersebut jelaslah bahawa seseorang yang hendak membuat amal jariah mendirikan masjid atau mengeluarkan harta sebagai derma mendirikan masjid mestilah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dicontohkan oleh nabi Muhammad s.a.w.. Seterusnya elakkan diri dari mengandungi niat atau tujuan yang kotor yang tidak diredhai oleh Allah.

Sebagaimana firmannya;

Di antara mereka terdapat juga orang-orang yang mendirikan masjid untuk mendatangkan mudarat dan kufur, dan mencerai beraikan antara orang-orang yang beriman dan sebagai pengintip kepada orang-orang yang memerangi Allah dan Rasulnya semasa dahulu serta mereka bersumpah dengan katanya, “Tiadalah kami bermaksud untuk memperbuat masjid ini melainkan semata-mata kebaikan ” sedang Allah mengetahui bahawa mereka orang yang bohong.

KEISTIMEWAAN MASJIDIL HARAM, MASJID AN-NABAWI DAN MASJIDIL AQSA


Keistimewaan Masjidil Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Aqsa

Masjid yang paling utama di dalam Islam ialah Masjidil haram di Mekah Al-Mukarramah kemudian Masjid an-Nabawi, di Madinatul Munawwarah dan selepas itu Masjidil Aqsa di Palestin iaitu berdasarkan kepada sebuah hadis yang bererti,

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu dari Nabi Muhammad Sallallhu ‘alaihi Wasallam sabdanya:

Tidak sepatutnya ( bersusah payah ) keluar belayar ( untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali ( pergi ) ketiga-tiga buah masjid (yang berikut): Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul (Masjidi an-Nabawi di Madinah) dan Masjidil Aqsa di Palestin.” Hadis Al-Bukhari

Dalam hadis-hadis yang lain ada menerangkan kelebihan ketiga-tiga masjid tersebut di antaranya yang bererti ,

Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu Rasulullah Sallallu ‘alaihi Wasallam telah bersabda;

Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku ( Masjidil nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1 000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram.”

Kemudian diterangkan lagi dalam sebuah hadis yang bermaksud; Dari Jabir Radhiallahu Anhu ; bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain.”

Daripada hadis-hadis di atas Nabi menggalakkan untuk menziarahi ketiga-tiga masjid yang bersejarah iaitu Masjidil Haram di Mekah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin. Di samping itu, baginda menggalakkan juga kepada umat Islam sama ada yang tinggal menetap di Mekah, di Madinah atau yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji kemudian mengerjakan sembahyang sebanyak-banyak yang dapat di kedua-dua masjid yang mulia itu bagi mendapat pahala yang berganda-ganda.

Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan pula secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan sembahyang di masjid Nabi sebanyak 40 waktu berturut-turut iaitu :-

Ertinya :

Dari Anas bin Malik Radhiallahu Anhu, Rasulullah Sallallhu ‘alaihi Wasallam bersabda;

Sesiapa sembahyang di masjidku 40 sembahyang (dengan syarat) ia tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan dari azab siksa dan (ia juga akan bersih) dari sifat munafik.

Biasanya orang-orang yang pergi menunaikan haji dan menziarahi masjid dan makam Nabi di Madinah, untuk mendapatkan kelebihan ini mereka akan tinggal di Madinah selama 8 hari sekurang-kurangnya iaitu untuk mengerjakan sembahyang dalam 40 waktu selain daripada mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang dituntut.

Mengenai kelebihan Masjidil Aqsa pula ada diterangkan dalam hadis-hadis yang lain yang bermaksud,

Satu sembahyang yang dikerjakan di masjid itu lebih afdhal daripada 500 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Demikianlah kelebihan ketiga-tiga masjid itu iaitu satu sembahyang yang dikerjakan di Masjidil Haram lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain ( kecuali Masjid Nabi di Madinah dan Masjid Aqsa di Palestin, dan satu sembahyang yang dikerjakan di Masjid Nabi (di Madinah) pula lebih afdal daripada 1 000 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain ( kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabi) sementara satu sembahyang yang dikerjakan di Masjidil Aqsa (di Palestin) lebih afdhal daripada 500 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain (kecuali Masjidil Haram dam Masjidil Nabawi).

Di samping itu, Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah mengakui bahawa Masjid Quba’ adalah sebuah masjid yang dikasihinya dan kerap kali baginda menziarahinya serta sembahyang di dalamnya.

Abdullah bin Omar Radiallahu Anhu ada meriwayatkan “adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam selalu berziarah ke Masjid Quba'” dan satu riwayat lagi menyatakan Rasulullah berziarah ke Masjid Quba’ setiap hari Sabtu, kadang-kadang menunggang unta dan terkadang-kadang berjalan kaki serta menunaikan sembahyang sunat dua rakaat di dalamnya.

Usaid bin Zahir Radiallahu Anhu pula meriwayatkan sebuah hadis yang maknanya “satu sembahyang di dalam masjid Quba’ diberi pahala seperti menunaikan satu ibadat umrah.”

SEJARAH MASJIDIL HARAM


إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ ﴿٩٦﴾

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. – Al- Imran, ayat 96.

Sejarah Ka’bah

Dikenali juga dengan nama Baitullahil Haram iaitu sebuah binaan batu yang tertua sekali di dunia yang dibina untuk tujuan ibadat. Kaabah adalah Kiblat bagi umat Islam menunaikan ibadah terutama ibadah solat. Tidak sah solat jika tidak menghadapkan wajah ke arah Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam. Ka’bah adalah bangunan suci Muslimin yang terletak di kota Mekkah di dalam Masjidil Haram. ia merupakan bangunan yang dijadikan patokan arah kiblat atau arah solat bagi umat Islam di seluruh dunia. Selain itu,ia merupakan bangunan yang wajib dikunjungi atau diziarahi ketika musim haji dan umrah.

Ka’bah berbentuk bangunan kubus yang berukuran 12 x 10 x 15 meter . Ka’bah disebut juga dengan nama Baitallah atau Baitul Atiq (rumah tua) yang dibangunkan pada masa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail setelah Nabi Ismail berada di Mekkah atas perintah Allah.

Jika kita rujuk Al-Qur’an surah Ibrahim ayat 37 yang berbunyi:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ ﴿٣٧﴾

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Ka’bah telah wujud sewaktu Nabi Ibrahim AS menempatkan isterinya Hajar dan bayi Ismail di lokasi tersebut. Jadi Ka’bah telah ada sebelum Nabi Ibrahim.


Ketika Nabi saw berusia 30 tahun,saat itu beliau belum diangkat menjadi rasul.Bangunan ini dibina kembali akibat banjir yang melanda kota Mekkah pada ketika itu. Sempat terjadi perselisihan faham antara ketua suku atau kabilah ketika hendak meletakkan kembali Hajar Aswad.Namun berkat hikmah Rasulullah, perselisihan itu berjaya diselesaikan tanpa kekerasan dan pertumpahan darah.

Pada zaman Jahiliyyah sebelum diangkatnya Rasulullah saw menjadi Nabi sampai perpindahannya ke kota Madinah, ka’bah penuh dikelilingi dengan patung – patung yang merupakan Tuhan bangsa Arab padahal Nabi Ibrahim as yang merupakan nenek moyang bangsa Arab mengajarkan tidak boleh mempersekutukan Allah, tidak boleh menyembah Tuhan selain Allah yang satu, tidak ada yang menyerupaiNya dan tidak beranak dan diperanakkan.

Setelah pembebasan kota Makkah, Ka’bah akhirnya dibersihkan dari patung – patung tanpa kekerasan dan tanpa pertumpahan darah.

Selepas itu, bangunan ini diuruskan dan dipelihara oleh Bani Sya’ibah sebagai pemegang kunci ka’bah dan pemerintahan serta pelayaran haji diatur oleh pemerintahan yang adil iaitu pemerintahan khalifah Abu Bakar, Umar bin Khattab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Muawwiyah bin Abu Sufyan, Dinasti Ummayyah, Dinasti Abbasiyyah, dan Dinasti Usmaniyah Turki.

Pada zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail as, Stuktur asa bangunan Ka’bah terdiri atas dua pintu dan pintunya terletak diatas tanah, tidak seperti sekarang yang pintunya terletak agak tinggi. Namun ketika Renovasi Ka’bah akibat bencana banjir ketika Rasulullah saw berusia 30 tahun,bangunan ka’bah dibuat hanya satu pintu serta ada bahagian ka’bah yang tidak dimasukkan ke dalam bangunan ka’bah yang dinamakan Hijir Ismail (lihat gambar)yang diberi tanda setengah lingkaran pada salah satu sisi ka’bah.Ketika itu pintunya dibuat tinggi letaknya supaya hanya suku Quraisy yang boleh memasukinya.

RekaBentuk Kaabah

Bentuk dan pembinaan Kaabah sungguh istimewa. Tingginya 15 meter/49.22 kaki. Bentuknya hampir-hampir 4 persegi, mempunyai 4 penjuru:

      Keterangan :

  1. Hajarul Aswad
  2. Pintu Kaabah
  3.  Mizab atau Pancur Emas
  4. Syazarwan (konkrit kaki kaabah)
  5.  Hijir Ismail
  6. Multazam
  7.  Maqam Nabi Ibrahim a.s.
  8. Rukun (penjuru) Hajarul Aswad
  9. Rukun (penjuru)Yamani
  10.  Rukun (penjuru) Syami
  11.  Rukun Iraqi
  12. Kiswah Kaabah
  13.  Garis Mula Tawaf

* Penjuru Hajarul Aswad yang menghala ketimur, kedudukan Hajarul Aswad dari lantai lebihkurang 1.5 meter.

* Penjuru Iraqi, menghala ke Pihak negeri Iraq. Jaraknya dari penjuru Hajarul Aswad lebih kurang 12 meter/39.37 kaki. Di sinilah terletaknya pintu Kaabah dan Multazam.

* Penjuru Syami, menghala ke negeri Syam, jaraknya dari penjuru iraqi lebih kurang 11 meter/36.1 kaki dan di sinilah terletaknya Hijir Ismail. Hijir Ismail adalah sebahagian dari Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. Maka tidak sah tawaf melalui sebelah dalam Hijir Ismail kerana ia sebahagian dari Kaabah.

* Penjuru Yamani, iaitu penjuru yang menghala ke negeri Yaman. Jaraknya dari Penjuru Syami lebih kurang 12 meter/41.02 kaki, dan Jaraknya ke Penjuru Hajarul Aswad 10.25 meter/33.63 kaki.

Pembinaan dan Pembaikpulih

Diriwayatkan bahawa Kaabah dibina beberapa kali sehingga kehari ini. Dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as, iaitu daripada permata Yaquut merah. Kemudian diangkat ke langit pada banjir besar yang melanda Makkah. Kata-kata ini disokong oleh firman Allah:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿١٢٧﴾

Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah berserta Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya engkaulahyang maha mendengar lagi maha mengetahui,” – surah al-Baqarah, ayat 127.

Sendi itu diangkat menunjukkan bahawa sendi, iaitu asasnya sudah pun ada (dibina), jadi Baitulllah al-haram sudah pun ada sebelum Ibrahim as dan Ibrahim membinanya semula di atas asas itu. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Adam telah mengerjakan haji sebanyak 40 kali dari India ke Makkah berjalan kaki, kekallah ia tawaf Kaabah itu, begitu juga diikuti oleh anaknya hingga pada hari berlakunya banjir, lalu Allah angkatkan ke langit kempat.

Diriwayatkan bahawa Allah membina di langit sebuah rumah yang dikenali sebagai Baitul Makmur. Dia menyuruh malaikat supaya tawaf sekelilingnya, kemudian Dia menyuruh malaikat di bumi supaya membina sebuah rumah di bumi mengikut ukurannya dan bentuknya, dan mereka hendaklah tawaf sebagaimana ahli langit tawaf Baitul Makmur.

Sebenarnya Nabi Ibrahim tidak tahu di mana ia harus membinanya, lalu Allah memberitahu kepadanya tempatnya dengan angin yang bertiup. Angin tadi menyapu sekeliling rumah itu, lalu Ibrahim membinanya di tapak asal.Dalam doa Ibrahim as, ada dalil yang menunjukkan bahawa dia membina binaan itu di atas asas yang terdahulu sebagaimana firman Allah:

Rabbanaa taqabbal minna – surah al-Baqarah, ayat 127.

‘Taqabbal minna’ bermaksud “terimalah daripada kami (amalan kami).”Ada perbezaan di antara lafaz ‘qabul’ dan ‘taqabbul’ dalam bahasa Arab. Lafaz ‘taqabbul’ dibina atas takalluf atau susah payah; digunakan apabila sesuatu perkara yang dibuat itu ada kekurangan yang mana tidak layak diterima amalan itu melainkan melalui jalan kemurahan Allah.Berbeza dengan lafaz ‘qabul’.

Lafaz ini tidak ada makna seperti lafaz ‘taqabbul’. Seandainya Ibrahim as membina asasnya sebagaimana binaannya, nescaya kerjanya menjadi lengkap dan sempurna, tiada lagi kekurangan, dan dia tidak berdoa dengan lafaz ‘taqabbul’, sebaliknya dengan lafaz ‘qabul’.

Pemilihan lafaz ‘taqabbul’ ini sebagai pengiktirafan daripada Ibrahim as sendiri dan juga anaknya Ismail as mengenai kekurangan dalam pekerjaan itu. Dia tahu bahawa bukan dia atau Ismail yang membina binaan Kaabah itu dari awal, dia hanya mengangkat sendi-sendinya. Dibina oleh Quraisy sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw dan Rasul sendiri hadir bersama mereka ketika pembinaan berkenaan.

Tatkala mereka ingin meletakkan Hajarul Aswad, mereka berbalah-balahan di antara satu sama lain, siapa atau puak mana yang diberikan kemuliaan untuk meletakkan batu berkenaan ke tempat asalnya. Mereka kemudian bersetuju untuk melantik orang yang mula-mula sekali ke Masjidil Haram. Kebetulan Nabi Muhammad saw adalah orang yang pertama masuk.

Dengan kepintaran Baginda saw, disuruhnya puak yang bertelagah itu menyediakan satu bentangan kain, kemudian meletakkan batu itu di tengah-tengahnya.Masing-masing ketua setiap suku kaum memegang bucu kain itu dan dibawa ke tempat letaknya, kemudian Nabi Muhammad saw sendiri mengambil Hajarul Aswad dan meletakkan di tempatnya.

Dibina oleh Abdullah bin Az-Zubair ra., iaitu binaan yang kekal sampai ke hari ini. Selepas Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail, membina Rumah itu, Allah mengarahkannya supaya menyeru manusia datang bersembahyang di situ, lalu Nabi Ibrahim berkata:

“Wahai Tuhanku, suaraku tidak sampai (untuk menyeru semua manusia).” Allah berfirman: “Hendaklah kau azan dan Aku menyampaikannya.”

Nabi Ibrahim terus naik ke Bukit Safa dan menyeru:

Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhanmu telah membina sebuah rumah dan mewajibkan ke atas kamu haji ke Baitul ‘Atiq, maka hendaklah kamu menyahut seruan Tuhan kamu itu, dan kerjakanlah haji di Baitullah al-haram supaya dengannya Dia akan memberikan kamu pahala dan menjauhkan kamu daripada api neraka. Lalu ia berkata: Labbaikallahumma labbaik’.

Golongan pertama yang menyahut seruan itu ialah ahli Yaman (penduduk Yaman), merekalah yang paling banyak mengerjakan haji. Setiap yang mempunyai niat buruk terhadap rumah itu, pasti Allah akan membinasakannya. Lihatlah kepada tentera bergajah Abrahah yang ingin meruntuhkan Kaabah, Allah menghantar ke atas mereka burung ababil yang melontari mereka dengan batu daripada neraka lalu hancurlah mereka seumpama daun yang dimakan ulat.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim mengangkat sendi rumah itu bersama Ismail. Adapun sendinya memang sudah pun ada. Faktor alam sekelilinglah yang menutup atau melitupi sendi ini, lalu Allah zahirkan pada Ibrahim ketika awalnya ketika Ismail masih bayi.Selepas Ismail meningkat usianya sehingga boleh membantu ayahnya, Allah memerintahkan Ibrahim mengangkat sendi-sendi tadi.

Sesungguhnya Ibrahim telah mengetahui (dengan petunjuk Allah) tanah wadia atau lembah yang khusus padanya ada Baitullah. Seandainya ia tidak mengetahui dengan tepat kedudukan Rumah Allah di tanah itu, kenapa pula Nabi Ibrahim datang bersama Hajar dan anaknya lalu meninggalkan mereka di situ, sambil berdoa sebagaimana dalam firman-Nya:

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dekat Rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati,” – surah Ibrahim, ayat 37.

Kata Nabi Ibrahim itu menunjukkan bahawa kewujudan Rumah Allah itu sudah pun diketahui ketika ia hendak menempatkan isteri dan anaknya di situ. Akan tetapi tempat kedudukan Rumah itu tidak diketahui oleh Ibrahim. Ini adalah peringkat pertama bagi hubungan Ibrahim dengan Rumah berkenaan.Kemudian datang peringkat kedua, iaitu Allah menerangkan kepada Ibrahim kedudukan rumah itu. Firman Allah:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ ﴿٢٦﴾

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu dan sucikanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).- (Surah al-Hajj, ayat 26)

Kemudian Allah berfirman selepas daripada itu:

Sucikanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).- (Surah al-Hajj, ayat 26)

Kerja ini tidaklah terlalu rumit bagi Ibrahim melakukannya seorang diri kerana hanya menyapu pasir dan batu kecil yang menutupi asas binaannya.Sebab itulah Ismail tidak mengambil peranan menolongnya pada peringkat ini. Lagipun, Baginda masih kecil ketika itu. Kemudian datang marhalah ketiga yang mana perlu kepada bantuan. Ketika ini Ismail sudah membesar yang mencapai peringkat boleh menolong bapanya. Pada marhalah ini, Ismail muncul sebagai pembantu Nabi Ibrahim dalam mengangkat sendi binaan. Maka turunlah ayat yang bermaksud:

Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah bersertaIsmail (seraya berdoa): Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami),sesungguhnya engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui” – surahal-Baqarah, ayat 127.

Ayat ini menunjukkan penyertaan Ismail dalam doa itu menandakan bahawa Ismail sudah pun dalam usia yang ia tahu ia turut serta dalam beribadat kepada Tuhan yang ia minta perkenan. Rumah Allah yang pertama dibina di atas muka bumi ini ialah rumah yang disambung binaannya oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Allah berfirman bermaksud:

Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia,” – surah Ali Imran, ayat 96.

Selagi rumah itu dijadikan untuk manusia, maka secara automatik yang meletakkannya (yang membinanya) adalah bukan daripada golongan manusia. Sesungguhnya Rumah Allah itu dibangunkan untuk tujuan ibadat kepada Allah. Allah yang memilih tempatnya dan mengkhabarkan kepada malaikat akan batas-batasnya. Sebab itulah ayat ini datang dengan ayat pasif, tidak disebutkan siapa pembinanya (faa-‘il dalam bahasa Arabnya). Pembuatnya tidak disebutkan sebagai lambang pembinanya adalah ghaib, iaitu Allah, yang melaksanakannya juga di alam ghaib, iaitu malaikat.

Apabila kita melihat kepada perkataan ‘An-Naas’ dalam ayat itu, kita akan dapati bahawa ia mencakupi semua individu manusia, dari Adam hinggalah ke hari kiamat. Tetapi, mungkin dipersoalkan, kenapakah permulaan itu bermula dari zaman Ibrahim, bukan daripada Adam lagi? Bukankah Adam juga manusia dan termasuk dalam perkataan ‘An-Naas’ seperti dalam ayat itu. Sebagaimana yang disebutkan di atas bahawa sesungguhnya Kaabah dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as. Ibnu Kathir dalam tafsirnya memetik hadis daripada sahih Muslim, daripada Abu Dzar berkata:

“Aku telah bertanya Rasulullah saw mengenai masjid yang pertama sekali dibina dibumi, lalu Baginda menjawab: Masjidil-Haram. Aku berkata: Kemudian apa? Masjidil-Aqsa, kata Baginda. Aku bertanya lagi: Berapa jarak masa antara kedua-duanya? Rasulullah menjawab: 40 tahun, kemudian tanah/bumi ini dijadikan untukmu sebagai masjid, maka di mana saja kamu berada, hendaklah kamu solat.”

Mujahid berkata: Saling berbangga-bangga antara orang Islam dan orang Yahudi. Yahudi berkata: Baitulmaqdis lebih agung dan lebih mulia daripada Kaabah kerana ia tempat yang pernah didatangi oleh nabi-nabi dan ia terletak di tempat yang suci.

Orang Islam berkata: Bahkan Kaabah lebih afdhal, lalu turunlah ayat daripada surah Ali Imran ini. Kata Mujahid lagi, Allah telah mencipta tempat asas rumah itu 2000 tahun sebelum diciptakan mana-mana makhluk di atas muka bumi ini dan sendinya sudah pun ada di lapisan bawah bumi yang ketujuh. Ada pun Masjidil Aqsa dibina oleh Nabi Sulaiman a.s sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh An-Nasaei dengan isnad yang sahih daripada Abdullah bin Amru.

Timbul kemusykilan di sini kerana jarak masa di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman agak panjang. Ada yang mengatakan lebih daripada 1,000 tahun. Sudah tentu ini ada percanggahan di antara dua hadis tadi. Bagi menjawab persoalan ini, kita ambil satu riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman hanya memperbaharui saja asas yang dibina oleh orang lain sebagaimana ada riwayat yang mengatakan bahawa orang pertama membina Rumah Allah itu ialah Adam. Maka tidak mustahil ada daripada anaknya yang membina Baitulmaqdis selepas 40 tahun Kaabah dibina. Kemungkinan juga ia dibina oleh malaikat selepas ia membina Kaabah di Makkah dengan izin Allah. Semua itu adalah mungkin, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Baitullah terletak di Makkah seperti yang disebut dalam ayat daripada surah Ali Imran bahawa Rumah itu di Bakkah. Bakkah mengikut Al-Qurthubi ialah kawasan letaknya asas Baitullah itu manakala Makkah ialah negeri Makkah seluruhnya. Jadilah Kaabah sekarang kiblat umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah salah satu lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia. Bahkan, umat sebelum Nabi Muhammad saw juga berjalan bersama nabi mereka ke arah mentauhidkan Allah yang Esa. Lihatlah peristiwa Nabi Ibrahim ketika saat akhir Baginda sebelum meninggal dunia. Dipanggil semua anak cucunya (Ismail, Ishak, Yaakub dan lain-lain) dan diberikan wasiat untuk mereka.Bukannya harta dan wang ringgit tetapi dengan pesanan:

Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu matikecuali dalam memeluk agama Islam,” – surah al-Baqarah, ayat 132.

Begitu juga tatkala Yaakub hendak meninggal dunia, Baginda bertanya kepada anaknya apa yang akan disembah mereka selepas Baginda meninggal dunia. Lalu mereka semua menjawab:

Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail, Yaakub, Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.” surah al-Baqarah, ayat 133.

Akan tetapi, daripada keturunan inilah juga munculnya Yahuda (anak Yaakub) yang akhirnya namanya diambil sebagai satu agama, iaitu Yahudi. Dari keturunan ini jugalah lahirnya agama Nasrani yang menyeleweng lagi sesat. Alangkah baiknya andainya mereka semua kembali kepada agama asal nenek moyang mereka sebagaimana pengakuan mereka dulu. Tahun 64H

Zaman Khalifah Abdullah Ibnu Zubair, membinanya kembali sebagaimana plan yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Syaidatina A’isyah r.ah.

Dalam tahun 74H  – Zaman Abdul Malik bin Marwan mengubahnya kembali, membuang tangga kayu yang telah dibina oleh Abdullah ibnu Zaubair, setelah beliau mendengar hadith daripada Rasulullah ketika mengunjungi kaabah bagi melakukan umrah, beliau sungguh menyesal.

Dalam tahun 1039H Sultan Murad Khan – 2 bahagian dinding Kaabah di timur dan barat telah runtuh kerana banjir besar. Hal ini berlaku pada 20 Sya’aban 10 Hijrah bersamaan 3 April 1620 Masehi.

Dalam tahun 1996 – Kaabah diubahsuai binaannya sehingga sekarang dengan bentuk yang berbeza dengan bangunan yang dibina oleh Abdullah ibnu Zubair mahupun Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Yang tetap hanyalah Kedudukan Hajarul Aswad sahaja.

Hajar Aswad

Hajar Aswad merupakan batu yang dalam agama Islam dipercayai berasal dari syurga. Yang pertama kali meletakkan Hajar Aswad adalah Nabi Ibrahim as. Dahulu kala batu ini memiliki sinar yang terang dan dapat menerangi seluruh jazirah Arab. Namun semakin lama sinarnya semangkin malap dan hingga akhirnya sekarang berwarna hitam. Batu ini memiliki aroma wangi yang unik. Sehingga kini, batu Hajar Aswad tersebut diletakkan di sisi luar Ka’bah sehingga mudah bagi seseorang untuk menciumnya. Mencium Hajar Aswad adalah Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama – kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang – orang musyrik. Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat.

Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam ” . Riwayat Ahmad dan Turmizi

Pada awal tahun gajah, Abrahan Alasyram penguasa Yaman yang berasal dari Habsyah atau Ethiopia, membangunkan gereja besar bertujuan untuk menghancurkan Ka’bah dan memindahkan Hajar Aswad supaya dapat mengikat bangsa Arab untuk melakukan Haji ke Sana. Abrahah kemudian mengeluarkan perintah supaya penyerangan terhadap Mekkah dan dipimpin olehnya dengan pasukan gajah untuk menghancurkan Ka’bah. Beberapa suku Arab menghalang pasukan Abrahah, tetapi pasukan gajah tidak dapat dikalahkan.

Abrahah telah mengirimkan utusan kepada penduduk kota Mekkah bahawa mereka tidak akan bertempur dengan jika mereka tidak menghalang penghancuran Ka’bah. Abdul Muthalib,ketua suku Quraisy, mengatakan bahawa ia akan mempertahankan hak-hak miliknya, tetapi Allah akan mempertahankan rumah-Nya, Ka’bah.Hari berikutnya, ketika Abrahah bersiap untuk masuk ke dalam kota, kelihatan burung-burung yang membawa batu-batu kecil dan melemparkannya ke pasukan Ethiopia. Kesannya semua orang telah terbunuh. Kejadian ini diabadikan Allah dalam surah Al-Fil.

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ ﴿١﴾

(1) Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ ﴿٢﴾

(2) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?

وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ ﴿٣﴾

(3) Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan;

تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ ﴿٤﴾

(4) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras;

فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ ﴿٥﴾

(5) Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Makam Ibrahim

Makam Ibrahim bukan kubur Nabi Ibrahim sebagaimana banyak orang berpendapat. Makam Ibrahim merupakan bangunan kecil terletak di sebelah timur Ka’bah. Di dalam bangunan tersebut terdapat batu yang diturunkan oleh Allah dari syurga bersama-sama dengan Hajar Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di saat beliau membangun Ka’bah bersama sama puteranya Nabi Ismail. Dari zaman dahulu batu itu sangat terpelihara, dan sekarang ini sudah ditutup dengan kaca berbentuk kubbah kecil. Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim yang panjangnya 27 cm, lebarnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat orang ramai.

Multazam

Multazam terletak antara Hajar Aswad dan pintu Ka’bah berjarak kurang lebih 2 meter. Dinamakan Multazam kerana dilazimkan bagi setiap muslim untuk berdoa di tempat itu. Setiap doa dibacakan di tempat itu sangat diijabah atau dikabulkan. Maka disunahkan berdoa sambil menempelkan tangan, dada dan pipi ke Multazam sesuai dengan hadis Nabi saw yang diriwayatkan sunan Ibnu Majah dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash.

Akhir kata,semoga artikel “Ka’bah” ini boleh membawa mangfaat, menyejukan hati dan menambahkan semangat kita dalam mengenal dan mencintai rumah Allah S.A.W

%d bloggers like this: