• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

PERINGATAN KEPADA GOLONGAN YANG MENYERU UNTUK TIDAK BERMAZHAB


Mungkin terdapat sesetengah golongan yang cetek penyelidikkan dan pengetahuannya tentang perbahasan di dalam ilmu-ilmu agama Islam berpendapat bahawa masyarakat awam pada hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan para ulama, masyarakat hanya perlu mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja secara terus. Mereka berpendapat sudah cukup dengan segulung ijazah sarjana ataupun Phd sudah melayakkan seseorang itu tidak mengikuti mana-mana mazhab. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan para ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam. Sesiapa sahaja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar bahkan ada yang lebih dangkal lagi mengatakan seseorang itu telah sesat dan kafir. Adakah kenyataan seperti ini benar-benar ilmiah?

Apabila kenyataan seperti ini keluar dari mulut seseorang maka telah terbukti kecetekkan mereka di dalam memahami perbahasan para ulama muktabar. Mereka membayangkan bahawa para ulama mazhab terdahulu telah mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas-nas al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Penyakit seperti ini berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (anti mazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab. Sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah yang tidak diketahui kepada para ulama sesuatu yang diajar oleh agama Islam itu sendiri.

Muslim yang tidak bermazhab dan berlagak pandai dari ulama' adalah "berpenyakit". Penyakit seperti ini berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (anti mazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya kepada ahli zikir (alim ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya. – (Surah al-Nahl: Ayat 43).

Berkata Imam Syatibi:

Fatwa-fatwa para mujtahid itu bagi orang awam bagaikan dalil syariat bagi para mujtahid. Adapun alasannya ialah ada atau tidak adanya dalil bagi orang yang bertaqlid adalah sama sahaja kerena mereka sedikitpun tidak mampu mengambil faedah daripadanya. Jadi masalah meneliti dalil dan istinbath (mengeluarkan hukum) bukanlah urusan mereka dan mereka tidak diperkenankan untuk melakukan hal tersebut. – (Kitab: al-Muwafaqat).

Pujian patut diberikan terhadap usaha tegas pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyedari bahaya pemikiran alLa mazhabiyyah ini lantas mengeluarkan risalah penerangan bertajuk Bahaya Anti Mazhab. Selain itu, salah seorang ulama Islam masa kini iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut menulis sebuah kitab bertajuk alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah (kitab ini ada diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu) membicarakan perihal alLa Mazhabiyyah ini secara khusus. Selain daripada Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti, masih ramai lagi ulama yang bangkit menjelaskan perkara ini melalui tulisan-tulisan dan ceramah-ceramah mereka supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan ini. Pujian dan sokongan juga mesti diberikan terhadap pihak mufti-mufti negeri dan alim ulama tempatan yang sentiasa memberikan penjelasan kepada masyarakat awam berkenaan bahayanya fahaman alLa Mazhabiyyah.

Berkata Imam Ghazali:

Bagi golongan awam adalah wajib bagi mereka meminta pendapat dan mengikut (bertaqlid) dengan ulama. – (Kitab: al-Mustasfa).

Jika mereka mendakwa dan mendabik dada dengan dakwaan mereka hendak mengikut al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. sahaja maka ketahuilah bahawa para ulama muktabar terdahulu beribu-ribu kali ganda lebih memahami dan mengenali sesuatu dalil itu sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Kenyataan seperti ni seringkali kita dengari dari lidah-lidah mereka yang tidak memahami kedudukan khilaf mazhab di dalam Islam lantas memperkecilkan dan merendah-rendahkan para ulama muktabar terdahulu dengan anggapan para ulama terdahulu mengeluarkan hukum tanpa disandarkan secara tepat kepada al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. Mereka merasakan diri mereka terlalu hebat berbanding para ulama muktabar sedangkan asal mereka juga tidak terlepas daripada mengambil ilmu agama dari lidah-lidah dan kitab-kitab para ulama tersebut. Kita katakan kepada golongan ini: Benar, kami juga mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. secara bersungguh-sungguh, akan tetapi ikutan kami dengan kefahaman dan penerangan daripada para ulama muktabar!

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil ilmu (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. – (Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Mereka hanya berpegang dan menganggap bahawa pendapat mereka sahaja yang betul walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil-dalil maksum. Golongan ini turut merasakan mereka sahajalah yang mengikuti al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W. yang merupakan sumber utama untuk mengeluarkan hukum lantas mengatakan sesiapa yang tidak mengikut pendapat mereka adalah jumud, tidak tajdid, tidak ilmiah dan tidak memahami dalil-dalil. Adakah mereka juga maksum sepertimana Rasulullah S.A.W.?

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:

Ya, benar kalian berpegang dengan nas maksum yang diwahyukan dari Allah Taala tetapi kefahaman kamu terhadap nas tersebut bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas sahaja. – (Kitab: Kaifa Nataamalu Maa Turath).

Mendakwa boleh berijtihad oleh seseorang yang tidak berkelayakkan merupakan seburuk-buruk perkara dan kerosakkan yang paling merbahaya mengancam syariat Islam pada masa kini. Golongan ini menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahidin bahkan menganggap imam-imam tersebut sebagai penyekat dan penentang syariat Islam. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan mereka sendiri. Golongan ini merupakan pendukung slogan-slogan tertentu dengan selalu mengajak kepada perbahasan, perdebatan, pengkajian semula untuk menyokong pendapat mereka sendiri yang mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram. Masyarakat yang harmoni pada suatu ketika dahulu menjadi riuh rendah dan kacau-bilau pada hari ini dengan isu-isu yang mereka bawakan ini.

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:

Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda pada zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutamanya di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar di dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, di dalam masa yang sama ilmu Bahasa Arab serta komponen-komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang. Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka-neka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mahir dengan ilmu fiqh apatah lagi untuk menyelami lautan perbahasan yang luas yang akan menjadikan mereka lebih mahir dan berkemampuan untuk memahami dengan baik. Sesungguhnya mereka ini sepertimana kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu. – (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd).

Kata-kata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi ini sememangnya benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Kita berani mengatakan jikalau kita bertanya kepada golongan ini, berapa banyakkah ayat-ayat al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. yang mampu mereka hafal dan fahami, kita yakin jawapan mereka ialah amat sedikit hafalan dan fahaman mereka walaupun telah memiliki segulung Phd. Ini belum ditanya lagi berapa banyakkah ilmu agama yang mereka pelajari dan fahami daripada para ulama serta pelbagai persoalan lain lagi. Bagaimanakah mereka boleh mendakwa mereka begitu memahami Islam dan mengatakan pendapat mereka sahajalah yang benar sedangkan ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. belum mampu mereka kuasai sepenuhnya? Sedangkan para ulama muktabar yang telah memahami dan menguasai segala ilmu tidak merasa diri hebat bahkan merekalah yang paling merendah diri kerana takutkan Allah Taala.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah Taala di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama. – (Surah Faathir: Ayat 28).

Adalah menjadi satu kesilapan besar apabila mencari hukum-hakam agama di dalam kitab-kitab matan hadis secara mentah. Seseorang yang hanya mengetahui nas-nas hadis tidak boleh berijtihad sendiriran tanpa bantuan ahli fiqh yang mahir. Sedangkan ahli fiqh ini pula terdiri daripada golongan yang mesti menguasai ilmu-ilmu al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. sebelum mereka layak untuk mengeluarkan hukum-hakam. Golongan yang menegah orang lain daripada mengikut mazhab dan ulama muktabar adalah pencetus kepada tertubuhnya sebuah lagi mazhab yang baru. Mazhab ini adalah mazhab yang kelima tajaan mereka diri sendiri.

Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi:

Ada golongan yang memerangi konsep bermazhab, memerangi mazhab fiqh dengan melarang walaupun daripada golongan awam untuk bertaqlid. Pada masa yang sama mereka bertaqlid dengan pandangan guru mereka maka jadilah mazhab yang kelima. – (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min Murahaqah Ila al-Rusyd).

Namun Islam tidak pernah menutup terus pintu ijtihad bagi sesiapa sahaja yang telah mencapai tahap ulama mujtahid dengan syarat-syarat yang amat ketat. Layakkah golongan tersebut mendakwa bahawa mereka mampu berijtihad sedangkan al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. tidak dihafal dan difahami? Jadilah kita seorang penuntut ilmu agama dengan terus-menerus belajar bersungguh-sungguh dan ikhlas. Tuntutlah ilmu sehingga ke akhir hayat. Moga-moga kita turut layak untuk menjadi salah seorang ulama pada suatu hari nanti dan bukan berlagak menjadi ulama. Wallahualam.

KESIMPULAN

Perkara ini benar-benar berlaku di Malaysia pada ketika ini. Walaupun saya berada jauh di perantauan sekarang dan kesuntukkan masa sentiasa mencemburui saya, masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Malaysia sentiasa saya ikuti melalui medium internet dan sebagainya lagi. Semoga dengan tulisan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak boleh menjelaskan kepada masyarakat berkenaan bahaya anti mazhab ini terhadap syariat Islam.

____________________________________

Sumber Asal: Sudut Agama, akhbar Berita Harian pada 5 Disember 2009.

IMAM AHMAD HANBAL (164H-241H)


Imam Ahmad Hanbal (164h-241h)

Beliau ialah Abu Abdillah Ahmad Bin Hanbal Bin Hilal Bin Asad Asy-Syibaaniy,beliau telah dilahirkan di Baghdad pada tahun 164 hijrah bahkan menetap di situ, bapa beliau telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi, lalu beliau pun dijaga oleh ibunya sahaja dan telah menasihati beliau agar mempelajari ilmu agama, maka beliau pun menghafaz Al-Quran dan telah memperdalami ilmu Bahasa Arab, dan ketika beliau berumur 15 tahun beliau pun mulai mempelajari Ilmu Hadith, dan beliau telah mengembara ke berbagai-bagai bandar dan negara untuk mempelajari ilmu seperti Kufah, Basrah, Mekah, Madinah, Syam dan Yaman, hasil daripada pengembaraan ilmiah ini telah membuatkan beliau mengetahui betapa banyak hadith-hadith nabi yang mulia, lalu beliau pun mengumpulkan hadith-hadith tersebut dan menghafaznya sehingga jadilah beliau imam yang hebat di zamanya.

Beliau telah berjumpa dengan Imam Syafiey dan telah berguru denganya, dan beliau merupakan diantara anak murid Imam Syafiey yang paling utama di Baghdad, kemudian beliau pun menjadi seorang mujtahid yang mustaqil (1), para ulama’ telah menyifatkan beliau dengan gelaran Al-Haafiz dan Al-Hujjah, bahkan Imam Syafiey juga telah mengiktiraf keilmuan Imam Ahmad dan juga telah menyatakan kepercayaanya terhadap ketinggian ilmu Imam Ahmad, dan ketika mana Imam Syafiey meninggalkan Kota Baghdad dan ingin berhijrah ke Mesir untuk menetap di sana, beliau telah mengatakan: 

Telah aku tinggalkan Kota Baghdad ini, dan tidaklah aku meninggalkanya dengan seorang insan pun yang sangat bertaqwa dan sangat faaqih dari Imam Ahmad Bin Hanbal

Maka ini merupakan suatu persaksian yang benar dari seorang imam yang sangat besar di dalam Ilmu Feqh kepada anak muridnya yang cerdik yang telah berguru denganya selama 2 tahun bermula dari tahun 195 hijrah sehinggalah ke tahun 197 hijrah, maka tidak peliklah Imam Ahmad merupakan seorang imam yang besar di dalam Ilmu Hadith dan juga imam di dalam Ilmu Feqh, dan begitu juga merupakan imam yang sangat wara’ dan zuhud, beliau telah pergi menemui Allah Taala pada tahun 241 hijrah.

Usul-usul Mazhab

Sesungguhnya Imam Ahmad telah mengasaskan mazhabnya ini di atas usul-usul yang berikut :

(1) Beliau telah beramal dengan nas dari Al-Quran dan As- Sunnah, dan ketikamana beliau mendapati nas dari keduanya, beliau pasti akan beramal denganya, tanpa melihat-lihat pendapat yang bercanggah dengan nas tersebut, walaupun ianya datang dari para sahabat yang utama, disebabkan itu kita dapat lihat beliau telah mengambil hadith “Al-Mabtutah”  iaitu hadith dari Fatimah Binti Qis walaupun Umar Bin Al-Khattab radiallahu anhu berselisih pendapat dengan hadith tersebut, dan juga beliau telah mengambil hadith nabi yang mengatakan: “Tiadanya sebarang perwarisan harta kepada penganut dua agama (yang berbeza)” (2) walaupun Muaz Bin Jabal radiallahu anhu dan Muawiyah Bin Abi Sufyaan radiallahu anhu telah berselisih pendapat dengan hadith tersebut, dan kedua orang sahabat nabi yang mulia ini telah berpendapat bahawa boleh diwariskan harta seorang yang kafir kepada muslim.

Beliau akan beramal dengan hadith yang sahih, dan beliau tidak akan mendahulukan sebarang amalan juga sebarang pendapat dan juga kata-kata sahabat daripada hadith sahih, beliau tidak beramal dengan Ijmak As-Sukutiy bahkan beliau mengingkari pada beramal dengan Ijmak. (4)

(2) Beliau beramal dengan fatwa sahabat ketikamana beliau tidak menjumpai sebarang nas dari Al-Quran dan As-Sunnah terhadap sesuatu masalah, dan jika beliau menjumpai di dalam masalah tersebut apa-apa fatwa dari para sahabat dan beliau tidak menjumpai pula sebarang perselisihan terhadap fatwa tersebut maka beliau akan beramal denganya dan tidak pula menamakanya sebagai Ijmak,dan beliau akan berkata: “Aku tidak mengetahui langsung apa-apa yang bercanggah dengan fatwa tersebut”

(3) Jika terdapatnya berbagai-bagai pendapat para sahabat radiallahu anhum di dalam sesuatu masalah,maka beliau akan memilih pendapat-pendapat yang paling dekat dengan Al-Quran dan As-Sunnah, dan beliau tidak akan lari daripada pendapat-pendapat tersebut, dan kadangkala beliau hanya akan mengambil fatwa sahaja jika beliau tidak dapat mencari pendapat yang terkuat daripada sekalian pendapat-pendapat tersebut.

(4) Beliau beramal dengan Hadith Mursal, dan begitu juga dengan hadith dhoif bahkan mendepankanya daripada Al-Qiyas,selagimana beliau tidak menjumpai sebarang hadith, kata-kata para sahabat dan juga Ijmak yang bercanggah denganya.

(5) Beliau juga beramal dengan Al-Qiyas ketika dharurat, yang mana jika beliau tidak menjumpai langsung sebarang keputusan daripada keempat-empat usul tadi terhadap sesuatu masalah.

Selain daripada kelima-lima usul ini, terdapatnya pengkaji terhadap furu’ Mazhab Hanbali mengatakan bahawa beliau ada beramal dengan Al-Istishab sepertimana yang dilakukan oleh Imam Syafiey bahkan beliau menggunakanya secara meluas melebihi para imam yang lain, dan begitu juga beliau ada beramal dengan Masalihul Mursalah jika beliau tidak menjumpai sebarang nas, atsar dan juga Al-Qiyas terhadap sesuatu masalah, beliau juga beramal dengan Sadduz Zaraie’.

Cabaran Yang dihadapi oleh Imam Ahmad…

Ketikamana Khalifah Al-Ma’mun menghantar suratnya kepada pegawainya yang bertugas di Baghdad, beliau telah meminta di dalam surat tersebut agar dikumpulkan segala ulama’ dan qadhi serta imam-imam agar ditanyakan kepada mereka tentang Al-Quran itu makhluq atau bukan makhluq, jika sesiapa diantara mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu bukan makhluq maka dia akan dilucutkan daripada jawatan tersebut, dan barangsiapa yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluq maka dia akan dikekalkan dengan jawatan yang disandangnya, dan sesungguhnya para fuqaha’ semuanya telah sebulat suara (melainkan para ulama’ Al-Mu’tazilah) mengatakan bahawa Al-Quran itu bukanlah makhluq, namun disebabkan kelemahan diri seorang manusia, dan perasaan takut untuk dilucutkan dari jawatan itu timbul, telah menyebabkan sebahagian daripada mereka mengiyakan kata-kata pemerintah ketika itu, tetapi terdapat juga sebahagian daripada mereka yang telah menentang keras perkara tersebut diantaranya ialah Imam Ahmad Bin Hanbal, beliau telah digari dengan rantai besi yang berat dan telah dipenjarakan disebabkan perbuatan beliau itu…

Dan ketikamana Khalifah Al-Ma’mun mendengar bahawa Imam Ahmad tetap juga berkeras dengan pendirianya walaupun telah diseksa dengan begitu teruk sekali, beliau telah diarahkan agar dihantar ke pihak khalifah di Khurasan dalam keadaan digari dan dirantai dengan rantai besi, tetapi Khalifah Al-Ma’mun telah mangkat sebelum sempat Imam Ahmad dihantar kepadanya.

Setelah kemangkatan Khalifah Al-Ma’mun, Khalifah Al-Mu’tasim pula menggantikanya dengan menaiki takhta pemerintahan, dan khalifah tersebut juga bersamaan dengan khalifah sebelumnya dengan mengatakan bahawa Al-Quran itu ialah makhluq, maka tinggallah Imam Ahmad meringkuk di dalam penjara dengan penuh penderitaan, walaupun didalam keadaan yang digari dan dibelenggu dengan rantai besi beliau tetap juga memperbanyakkan ibadah beliau kepada Allah dengan penuh tekun sekali, dan bersolat bersama-sama ahli penjara yang lain.

Dan Khalifah Al-Mu’tasim telah meminta para ulama’nya untuk berdebat dengan Imam Ahmad berkenaan dengan mengatakan Al-Quran itu makhluq, tetapi Imam Ahmad telah berjaya menutup mulut para ulama’ duniawi tersebut dengan satu soalan sahaja dengan mengatakan : “Bawakanlah kepadaku satu dalil daripada kitabullah dan sunnah nabiNya yang mengatakan Al-Quran itu makhluq!!”

Beliau tetap teguh kemas dengan pendirianya itu walaupun pihak khalifah telah mencuba memujuknya dengan berbagai-bagai cara samada secara lembut ataupun kasar, beliau telah ditawarkan dengan berbagai pangkat dan hadiah-hadiah, begitu juga beliau telah dikenakan dengan seksa yang berat, tetapi pendirian beliau tidak sedikit pun berganjak walau seinci.

Dan apabila Khalifah Al-Mu’tasim tidak berdaya lagi untuk memujuk beliau, maka baginda pun mengarahkan agar disiapkan suatu alat penyeksaan untuk menyeksa beliau, mereka juga telah memukul beliau sehingga terkehel bahunya dan terpercik darah di belakang badanya, tetapi beliau tetap juga tidak berganjak dari perkataanya walau sedikit pun.

Sesungguhnya Al-Maruzi (5) iaitu salah seorang dari ulama’ duniawi yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluq telah berkata kepada beliau : “Bukankah Allah Taala telah berkata : (( Dan janganlah kalian membunuh diri kalian sendiri [An-Nisa’ : 29] ))??”  lalu Imam Ahmad pun berkata kepadanya : “Bunuhlah diriku ini dan aku tidak mahu sesat seperti kesemua mereka itu”

Dan apabila Khalifah Al-Mu’tasim berasa khuatir yang Imam Ahmad akan mati disebabkan begitu banyaknya penyeksaan yang telah dikenakan ke atas beliau dan juga akan menyebabkan rakyat bangkit membela beliau, baginda pun mengarahkan agar beliau dilepaskan dan dihantar ke keluarga beliau semula, beliau telah meringkuk di dalam penjara selama 28 bulan.

Selepas kejadian tersebut, Imam Ahmad pun menghilangkan dirinya daripada pandangan masyarakat dalam beberapa ketika sehinggalah tampuk pemerintahan bertukar daripada Al-Mu’tasim dan Al-Muwatsiq kepada Khalifah Al-Mutawakkil yang telah menghentikan terus segala fitnah tersebut barulah beliau memunculkan diri beliau semula,baginda pun membersihkan kembali nama beliau dan telah mengangkat kembali ketinggian ilmunya sehingga melonjak naik melebihi para ulama’ lain yang sezaman denganya.

Karangan-karangan Imam Ahmad

Di antaranya ialah kitab “Al-Musnad” di dalam bidang Al–Hadith,iaitu suatu kitab hadith hasil periwayatan anaknya Ali daripada beliau,di dalam kitab agung ini terkandung di dalamnya 40 000 buah hadith,dan karangan beliau di dalam bidang usul fiqh pula ialah “Thoa’tur Rasul” dan begitulah juga kitab “An-Naasikh Wal Mansuukh” dan juga kitab “Al-‘Ilal” manakala hasil karangan beliau di dalam ilmu aqidah pula adalah seperti “Kitabus Sunnah Muusilul Mu’taqidi Ilal Jannah” dan juga kitab : “Ar-Raddu ‘Alaz Zanadiqah” dan kitab beliau di dalam bidang Feqh pula adalah seperti “Kitabus Solat Wama Yalzimu Fiiha” dan juga kitab “Kitabul Asyribah” dan juga “Kitabuz Zuhud” dan “Kitabul Wara’ Wal ‘Ilmi” kesemua kitab-kitab hasil karangan beliau yang telah dinyatakan ini sebahagianya ada yang telah dicetak manakala sebahagian lagi masih lagi berbentuk manuskrip tidak dicetak lagi.

Sesungguhnya Imam Ahmad tidak mengumpulkan sendiri pendapat-pendapatnya di dalam bidang Feqh tetapi anak-anak murid selepasnya yang telah mengumpulkan pendapat-pendapat beliau tersebut,dan pengumpulan mereka yang terpenting sekali di dalam bidang Feqh adalah “Masaielu ‘An Ali Bin Ahmad Bin Hanbal” iaitu suatu bentuk pengumpulan pendapat tentang segala jawapan-jawapan Imam Ahmad terhadap segala permasalahan yang telah ditanyakan kepada beliau, yang mana ianya meliputi setiap bab di dalam Ilmu Feqh.

Anak-anak murid Imam Ahmad Bin Hanbal

Sesungguhnya anak-anak murid Imam Ahmad cerdik-cerdik belaka,mereka telah mempelajari mazhabnya seterusnya menyebarkanya ke seluruh ceruk negera-negara islam,dan diantara mereka ialah anak beliau sendiri iaitu Soleh, anak sulung Imam Ahmad yang telah bertanggungjawab menyebarkan mazhab bapanya sendiri,dan begitulah juga anak beliau yang lain seperti Abdullah yang telah bertanggungjawab mengumpulkan segala hadith-hadith sahih di dalam kitab bapanya “Al-Musnad” dan telah membahagikanya mengikut bab,dan dia juga telah mengedarkan kitab tersebut setelah menyempurnakanya.

Dan diantara ulama’- ulama’ Mazhab Hanbali yang bekerjasama mengembangkan mazhab ini adalah seperti:

(1) Abu Bakar Al-Atsram : Beliau ialah Abu Bakar Ahmad Bin Muhammad Bin Haani’ Al-Khurasaniy Al-Baghdadiy atau lebih dikenali dengan Al-Atsram.Beliau telah meninggal dunia pada tahun 273 hijrah dan beliau merupakan diantara faqih yang paling a’lim yang telah mengembangkan Mazhab Hanbali,beliau juga mempunyai hasil karangan beliau sendiri iaitu : “As-Sunanu Fil Fiqhi ‘Ala Mazhabi Ahmada Wa Syawahidihi Minal Hadith”         

(2) Abu Bakar Al-Khallal : Beliau ialah Abu Bakar Ahmad Bin Muhammad Al-Khallal,beliau meninggal dunia pada tahun 311 hijrah,beliau telah berguru Ilmu Feqh dengan beberapa orang Ashabul Imam Ahmad,beliau juga telah mengembara ke beberapa buah negara dan mengumpulkan segala pendapat-pendapat yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad,dan beliau ada mengarang sebuah kitab yang bertajuk : “Al-Jaamik Al-Kabir”

(3) Abu Al-Qasim Al-Khirqi : Beliau ialah Abul Qasim Umar Bin Abi Ali Al-Husin Al-Khirqi Al-Baghdadiy yang meninggal pada tahun 334 hijrah,beliau mempunyai banyak hasil karangan seperti kitab: “Mukhtasaratul Masyhur Fil Feqh” iaitu suatu kitab yang sesuai untuk orang yang baru ingin mengenali mazhab ini, beliau lebih dikenali dengan “Al-Khirqi”  (kain perca) kerana beliau dahulunya merupakan penjual kain perca dan pakaian.

Begitulah juga tidak dilupakan Imam yang mulia iaitu Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah rahimahullahu taala yang mempunyai betapa banyak hasil karanganya sendiri dan fatwa-fatwa beliau yang sangat masyhur dan juga beliau telah menyumbang jasa yang sangat besar di dalam mengembangkan mazhab bahkan telah memperbaharuinya.Beliau meninggal dunia pada tahun 728 hijrah.

Begitulah juga tidak dilupakan anak murid kepada imam yang mulia ini iaitu Al-Imam Al-Allamah As-Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah yang mengarang kitab “I’lamul Muwaqi’in” yang meninggal pada tahun 751 hijrah,dan juga tidak dilupakan jasa As-Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab yang meninggal pada tahun 1260 hijrah yang telah menjadikan Mazhab Hanbali sebagai suatu mazhab rasmi di Daulah Ibni Saud di Najd dan Hijaz,para pengikut mazhab ini telah berusaha dengan menyebarkan kitab-kitab besar mazhab ini kepada para fuqaha’ Mazhab Hanbali di Arab Saudi dan juga di Negara Arab Teluk,mereka telah mengedarkanya secara percuma kepada semua pelajar agama dan para ulama’ di negara tersebut.

Sebab Kurangnya Pengikut Imam Ahmad Bin Hanbal

Diantara sebab kurangnya pengikut Imam Ahmad Bin Hanbal adalah disebabkan oleh faktor politik dan bukanlah disebabkan oleh faktor kekerasan dan paksaan kepada pengamalnya seperti yang menjadi sangkaan ramai orang,kerana Mazhab Hanbali adalah mazhab yang paling terbuka dan yang paling menyenangkan serta memberikan kemudahan kepada orang,tetapi mazhab ini telah terpalit oleh tuduhan tersebut kerana mazhab ini pada kurun yang keempat hijrah merupakan mazhab yang paling ramai pengaruhnya di Baghdad, lalu para pengamal mazhab ini pun terlalu fanatik denganya dan telah mengembangkanya dengan cara kekerasan dan paksaan,mereka juga telah menyeksa orang ramai jika mereka berpandangan bahawa perkara tersebut menyalahi hukum syarak, dan keadaan fanatik sedemikian telah menyebabkan para pengamal Mazhab Syafiey bangkit di Baghdad dengan memusuhi mereka dan berbalah sesama mereka,lalu keadaan ini telah menyebabkan ramai orang lari daripada bermazhab dengan mazhab ini,oleh yang demikian,mazhab ini telah terpalit dengan tuduhan mazhab yang jumud,memaksa dan berpendapat dengan pendapat yang tiada toleransi kepada pengamalnya yang mana ianya berlarutan sehinggalah ke hari ini,dan masih juga ada sesetengah orang yang tidak langsung mengkaji mazhab ini menyangka bahawa Mazhab Hanbali ini merupakan mazhab yang jumud dan mazhab yang mengamalkan kekerasan…

Tetapi hakikatnya ialah mazhab ini merupakan mazhab yang sangat adil dan jauh daripada tuduhan jumud dan mengamalkan kekerasan kepada pengamalnya,contoh yang sangat jelas ialah seperti sifat toleransi agama islam kepada para penganutnya.

Dan diantara sebab yang lain pula ialah tiadanya pemerintahan yang berperanan untuk  mengembangkan mazhab ini,sepertimana yang berlaku kepada beberapa mazhab-mazhab yang lain,dan perkara ini menyebabkan mazhab ini kurang pengikutnya berbanding mazhab-mazhab yang sudah diterangkan dahulu,tetapi hal tersebut terjadi sebelum mazhab ini dijadikan sebagai mazhab rasmi di Negara Arab Saudi,dan kekallah mazhab ini sebagai mazhab rasmi di negara tersebut serta negara-negara Teluk Arab yang lain.

Penerangan:

(1) Mujtahid yang mustaqil : Berkatanya As-Syeikh Al-Allamah Syah Waliyullah Ad-Dahlawi di dalam kitabnya yang bertajuk : “Aqdul Jayyid Fi Ahkamil Ijtihad Wat Taqlid” bahawa para mujtahid itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Mujtahid Mustaqil dan Mujtahid Muntasib…marilah dikenalkan dahulu apakah kriteria Mujtahid Mustaqil ini dan siapakah diantara orang-orangnya??

Kriteria Seorang Mujtahid yang mustaqil adalah :

(1) Mengeluarkan ijtihad-ijtihadnya dengan berasaskan kepada usul-usulnya yang tersendiri.

(2) Mampu mengkaji ayat-ayat Al-Quran dan atsar-atsar dengan pengetahuanya tentang hukum-hakam yang telah pun diketahui dan dijawab sebelumnya,dan mampu memilih dalil yang kuat daripada dalil-dalil yang saling bercanggah diantaranya,dan mampu juga mencari dalil yang terkuat daripada kebarangkalian hukum serta mampu pula memberikan peringatan terhadap kecacatan hukum daripada dalil-dalil tadi,yang mana kemahiran-kemahiran ini merupakan sepertiga daripada ilmu Imam Syafiey rahimahullahu taala.

(3) Mampu menerangkan segala masalah-masalah yang tidak pernah dijawab sebelumnya berdasarkan dalil-dalil tadi.

Dan diantara orang-orangnya ialah : Kesemua fuqaha’ para sahabat dan tabi’een dan kesemua para fuqaha’ mazhab empat ( Imam Hanafi,Imam Malik,Imam Syafiey dan Imam Ahmad Bin Hanbal ) begitu juga Zaid Bin Ali,Ja’far As-Sodiq,Imam At-Tsauri,Al-Auzai’ey,Al-Laits Bin Saad,At-Thobari,Imam Daud Bin Ali Az-Zahiri dan lain-lain.

Imam Abu ‘Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad, Iraq, pada tahun 164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur muda, iaitu 30 tahun. Ahmad kemudiannya dibesarkan oleh ibunya Saifiyah binti Maimunah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal al-Qur”an sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith yang terkenal. Imam Ahmad bin Hanbal meneruskan pengajian hadithnya dengan sekian ramai guru dan beliau pada akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal lebih daripada sejuta hadith termasuk barisan perawinya.

Pada tahun 189H/805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak lama kemudian ke Makkah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan Imam as-Syafi’e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf, Husain ibn Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abdullah ibn Khalid, ‘Abdurrahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan ‘Abdurrazzaq ibn Humam, seorang ahli hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama.

Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. al-Qasim ibn Salam pernah berkata:

Ahmad bin Hanbal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui tentang as-Sunnah selain beliau. Beliau tidak pernah bersenda gurau, selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Mu’tazilah yang diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu. Mereka (pemerintah) memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut. Imam Ahmad enggan dan ini menyebabkan beliau dirotan di dalam penjara sehingga tidak sedarkan diri.

Akibat ketegasan Imam Ahmad bin Hanbal serta tekanan daripada para orang ramai akhirnya menyebabkan pihak pemerintah Abbasid telah terpaksa membebaskan beliau dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M, ketika berusia 77 tahun Hijriah. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu “al-Musnad” yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar para sahabat radhiallahu ‘anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan ayah mereka, iaitu ‘Abdullah bin Ahmad dan Shaleh bin Ahmad.

________________________________________

Allahu a’lam bisshawab.

Imam Hanbali digelar Al-Hakam kerana dapat menghafaz lebih 700,000 hadis dan berpengetahuan mendalam mengenai ilmu hadis. Melayakkan beliau mengeluarkan fatwa dalam hukum Fikah.  Imam Hanbali juga seorang yang sangat kuat beribadat, beliau sembahyang sunat 300 rakaat sehari semalam dan khatam Al-Quran seminggu sekali.Beliau sangat menghormati guru-gurunya. Ketika Imam Syafie menziarahinya di rumah, beliau segera bangun mengemaskan diri, menyambut  kedatangan gurunya lalu diberikan tempat duduk yang  tinggi sementara dia duduk di bawah. Imam Hanbali tidak gemar bergurau senda, lebih suka mendiamkan diri dan berfikir. Bercakap apabila menjawab soalan mengenai hokum agama.  Suka  bergaul dengan orang-orang miskin dan kurang bergaul dengan orang kaya  dan orang-orang berpangkat.

Khalifah Harun Ar-Rasyid pernah bertanya kepada Imam Syafie tentang orang yang layak menjadi Kadi di Yaman. Imam Syafie mencadangkan muridnya Imam Ahmad. Apabila Imam Ahmad Mengunjungi Imam Syafie, beliau ditawarkan dengan jawatan tersebut  tetapi ditolaknya  dengan berkata ” Saya datang menemui tuan bukan untuk mendapatkan jawatan daripada khalifah”.Imam Hanbali  terkenal dengan sikap  pemurah.  Jirannya  pernah memberinya  sepinggan anggur dibalasnya dengan  gula, garam dan beberapa pinggan buah-buahan.Semasa  pemerintahan Khalifah Al-Makmum bin Harun Ar-Rasyid, beliau menganut  fahaman Muktazilah yang  berpendapat  Al-Quran  itu makhluk yang bersifat baharu.  

Baginda memaksa ulama-ulama  menerima pendapat itu tetapi Imam Hanbali menentangnya  dengan  mengatakan  Quran itu kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhamad melalui malaikat Jibrail.Akibat penentangannya itu  Imam Hanbali ditangkap lalu dipenjara kemudian disebat dengan rotan dalam memaksanya tunduk kepada fahaman Muktazilah.  Beliau disebat dengan rotan  sehingga kulitnya mengelupas dan keluar darah. Setelah khalifah  Al Makmun meninggal dunia diganti  khalifah Al Muktasyim. Beliau terus memenjarakan  Imam Hanbali  kerana melindungi fahaman Muktazilah. Sehinggalah Khalifah Al-Mutawakkil  yang menganut mazhab Ahli sunnah wal jamaah berkuasa barulah Imam Hanbali dibebaskan.Dalam usaha memujuk Imam Hanbali  Khalifah Al-Mutawakkil menghadiahkan 10,000 dirham.

Wang itu diambilnya  tetapi kemudiannya  disedekahkan kepada fakir miskin.Pada hari-hari tuanya Imam Hanbali menjadi tempat rujukan orang ramai khususnya di Baghdad. Dalam menentapkan hukum beliau lebih mengutamakan Al-Quran dan As-Sunnah dan pendapat  para sahabat Rasulullah.Imam Hanbali meninggal dunia pada pagi hari Jumaat  12 Rabiul Awal  tahun 241 hijrah bersamaan 855 masihi ketika berusia 77 tahun dan dikebumikan di Baghdad.

MAZHAB BANTU MEMAHAMI AGAMA


SOALAN:
Apakah maksud sebenar mazhab dan apakah kepentingan kita mengikut sesuatu mazhab?

JAWAPAN:

MAZHAB menurut kamus dewan adalah: “Cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam”. (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm: 1010).

Mazhab adalah berasal daripada bahasa arab, yang bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. Soalan sebegini sudah acap kali orang bertanya.

Bila baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang bertanya soalan yang seumpama dengan ini lantas apa yang terlintas di benak saya, adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada mazhab?

Saya tidak salahkan yang bertanya, tetapi saya yakin pertanyaan ini adalah sebagai landasan mendapat penjelasan yang betul dalam persoalan yang dimusykilkan.

Kepentingan bermazhab adalah bagi membolehkan kita mengamalkan agama dengan faham yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan lebih mudah.

Contohnya hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari dalam kitab bersuci, wuduk, di bawah tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44 hadis.

Kadang-kadang dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin lebih lagi. Mungkin juga di antara hadis-hadis itu pada zahirnya macam bertentangan tetapi hakikatnya tidak. Semua ini orang awam boleh faham ke untuk menghasilkan hukum?

Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah, tapi tidaklah sampai dimudah-mudahkan Islam itu.

Pandangan peribadi saya adalah lebih baik orang awam di negara ini berpegang kepada satu mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi pegangan majoriti penduduk dunia.

Saya juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang lain. Tetapi negara ini kita sudah serasi dan menjadi pegangan untuk kian lama.

Silibus fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab Syafie. Oleh sebab itu, saya berani mengatakan mazhab Syafie telah menjadi mazhab rasmi masyarakat yang beragama Islam di negara ini.

Keadaan umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai aliran dan pemikiran selepas kewafatan Rasululah SAW. Terutama pada zaman Saidina Ali yang muncul berbagai-bagai fahaman seperti aliran Khawarij, Mu’tazilah dan Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju manusia.

Oleh kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah al-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Thabarani: “Bahawa pada akhir zaman, umat ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka sahabatnya pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)”.

ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan juga sunnah sahabat-sahabat Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (Zaman 300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat Imam ASWJ iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Al-Shafiei dan Imam Hambali tersebut hidup pada zaman tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.

Mendalami Ilmu

Imam Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir pada tahun 93 hijrah dalam kurun yang pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada pada 150 hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164 hijrah.

Semua mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan terkenal dengan ketokohan mereka dalam bidang ilmu. Seawal usia mereka telah menghafal al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka akan mendalami ilmu hadis serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.

Mereka sanggup berehlah ribuan batu untuk mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit maung dalam mencari ilmu. Sepanjang riwayat hidup mereka kita akan dengar yang baik-baik, yang indahnya mereka adalah ulama yang jujur dalam menegakkan kebenaran demi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Perjuangan mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Keempat-empat Imam tersebut juga boleh mengistinbatkan hukum selain dari al-Quran dan al-hadis. Selain itu, keempat-empat mereka juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan umum.

Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang bernama Al Wasit, Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha, Imam Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin Hambal).

(Mazhab bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya adalah ulama bermazhab Hambali) dalam kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di dalamnya.

Keempat-empat Imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan al-hadis.

Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran dan al-hadis mana yang diterima pakai. Kerana itu digelar muqalidin atau pengikut.

Memang sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim. Walaupun sebenarnya ramai yang ingin menjadi alim.

Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang jahil amat ramai. Dalam pada itu patutkah diminta pendapat orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan hadis?

Tidak munasabah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang demikian berpegang kepada satu mazhab yang muktabar seperti mazhab Syafie adalah lebih baik dan lebih selamat.

Ini kerana kita akan seragam dalam penghayatan dan pengamalan serta mengelakkan pertelingkahan antara satu sama lain.

Sumber: Bicara Agama Utusan

PERKEMBANGAN MAZHAB DALAM ISLAM


Oleh : Y. Bhg. Dato Haji Ishak bin Haji Baharom
(Bekas Mufti Negeri Selangor)

_______________________________________

AL-QURAN

Agama Islam diutus oleh Allah S.W.T. kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini. Sumber atau pokok ajarannya ialah Al-Quran AlKarim, iaitu sebuah kitab yang tidak ada sedikit pun kebatilan dan kepalsuan di dalamnya, yang diturunkan oleh Allah dari langit. Firman Allah yang bermaksud:

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya ( tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya) , ia pula menjadi pentunjuk bagi orang-orang ( hendak ) bertakwa.” (Al-Baqarah : 2)

Al-Quran adalah sebuah kitab yang mengandungi aqidah (kepercayaan) dan Syariah (undang-undang). Ia membicarakan tentang amal ibadah dan juga membicarakan tentang perlembagaan atau sistem hidup duniawi, seperti undang-undang keluarga, hukum jual-beli, peraturan perbicaraan harian, hukum-hukum yang berhubung dengan jenayah dan balasannya, dan juga sistem perhubungan antara satu sama lain serta perhubungan antarabangsa.

AL-HADITH

Di samping Al-Quran sebagai sumber pertama bagi segala hukum-hakam, terdapat pula hadith-hadith Rasulullah S.A.W. yang merupakan sebagai penghurai dan penafsir dari Al-Quran. Tiap-tiap bab atau fasal hukum fiqh, yang di dapati hadith-hadith yang menerangkan apa-apa yang perlu diterangkan dan dijelaskan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya.” (An-Nahl : 44)

Rasulullah menerangkan ajaran-ajaran Islam kepada manusia dengan perkataan-perkataan, perbuatan-perbuatan dan perakuan-perakuan.

Di zaman Rasulullah manakala orang-orang Islam menghadapi sesuatu masalah tentang hukum-hukum, mereka terus menemui Rasulullah dan bertanya kepada junjungan apa yang dimusykilkan. Rasulullah menjawab pertanyaan mereka dengan wahyu yang diturunkan kepada junjungan. Firman tuhan yang bermaksud :

Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (samada Al-Quran atau Hadith) tidak lain melainkan wahi yang diwahyukan kepadanya.” (An-Najm : 2-3)

AL-IJTIHAD

Rasulullah S.A.W. mengajar sahabat-sahabatnya perkara-perkara yang berhubung dengan agama. Mereka adalah orang yang baik penerimaan, halus fahaman, benar, jujur dan ikhlas. Dari itu maka segala percakapan dan perbuatan mereka boleh diterima dan dibuat pedoman. Rasulullah membenarkan mereka berijtihad, jika tidak ada nas atau hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith. Dengan syarat tidak terkeluar dari prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan agama yang telah ditetapkan.

Kebenaran dan Permulaan Ijtihad

Rasulullah telah mengutuskan sahabatnya yang bernama Muaz Bin Jabal ke negeri Yaman sebagai pendakwah, juga sebagai kadi. Sebelum pemergiannya, Rasulullah telah menemuduganya dengan sabdanya :

Wahai Muaz, bagaimanakah engkau menyelesaikan sesuatu masalah, jika engkau ditanya orang?” Jawab Muaz ,”Aku akan menghukum dengan hukuman yang didapati di dalam kitab Al-Quran.” Tanya Rasulullah lagi; “Jika tidak ada hukuman dalam Al-Quran?” Kata Muaz; “Aku akan hukum dengan sunnah Rasulullah(Al-Hadith). “Rasulullah bersabda lagi : “Jika sekiranya tidak ada dalam hadith?”, Jawabnya; “Aku akan berijtihad.” Kemudian Rasulullah S.A.W. menepuk-nepuk dada Muaz sambil bersabda : “Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada utusan Rasulullah ( Muaz ) denagn perkara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya.” (Riwayat Imam Ahmad & Tirmidzi)

Inilah pengakuan Rasulullah mengenai ijtihad.

Mengenai penerimaan tuhan dengan hasil ijtihad, jelas dalam sabdanya yang bermaksud :

Barangsiapa berijtihad dan betul ijtihad maka ia memperolehi dua pahala. Dan barangsiapa berijtihad dan salah ijtihadnya, maka ia dapat satu pahalanya sahaja”.

Perlunya Kepada Ijtihad

Manakala kehidupan manusia semakin hari semakin luas dan bercabang-cabang, dan manusia sendiri bertambah-tambah ramai dari semasa ke semasa, maka bidang ilmu fiqh dengan sendirinya menjadi luas, kehidupan orang-orang Islam semakin maju. Ajaran-ajaran Islam telah tersebar luas ke seluruh dunia. Maka banyaklah peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang berlaku, sedangkan nas-nas hukum dari Al-Quran dan hadith-hadith nabi ada masa dan batas-batasnya. Tetapi peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian tetap berkembang dengan luasnya tanpa berhenti-henti. Justeru itu maka tidak dapat tidak, perlu adanya perbincangan hukum dan ijtihad.

Di Zaman Khulafa Ar-Rasyiddin

Di zaman khulafa Ar-Rasyiddin telah zahir perkara-perkara perumpamaan ijtihad. Di antara mereka yang telah tampil kemuka dalam konteks ini, ialah Saidina Umar Al-Khattab, dan masa inilah bidang ilmu fiqh telah menonjol beberapa langkah maju ke hadapan.

Tiap-tiap sahabat nabi mengambil kesimpulan dari Al-Quran dan hadith sekadar yang mereka dapat, dan memberitahu kepada orang lain pendapat-pendapat mereka. Dari itu perjalanan ilmu fiqh terus maju kehadapan lagi.

Di antara sahabat-sahabat nabi yang berijtihad di Madinah : Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali, Abdullah Bin Umar, Zaid Bin Tsabit, Ubai Bin Kaab, Abu Musa As-Asyari dan lain-lain. Sementara di Mekah pula : Abdullah Bin Abbas. Di Kufah : Abdullah Bin Utbah. Di Mesir : Abdullah Bin Umar Al-Aash dan lain-lain.

Pepecahan mereka di beberapa negeri adalah diibaratkan bintang-bintang yang bertaburan di langit, dan mereka adalah menjadi ikutan umat Islam kerana sifat-sifat mulia dan peribadi yang tinggi yang dimiliki oleh mereka. Pengiktirafan Rasulullah S.A.W. terhadap mereka adalah jelas dan tegas. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Sahabat-sahabatku adalah laksana bintang-bintang di langit, siapa dari mereka yang kamu ikut nescaya kamu dapat petunjuk.”

Ilmu fiqh di kalangan sahabat dan tabiin tidak beku dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi mengambil kira sama tentang hukum-hukum untuk menimbang sebab-sebab (alat) masa hendak menghukum atau memberi fatwa.

Perundangan Terus Berkembang

Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. ada mempunyai ramai murid-murid yang belajar dari mereka. Murid-murid itu digelar tabiin kerana mereka tidak sempat bertemu dengan Rasulullah, tetapi cuma berjumpa dengan sahabat-sahabat nabi sahaja, mereka mengikut ajaran-ajaran Rasulullah dan jalan-jalan sahabat nabi. Apa yang jelas bahawasanya perpindahan tabiin ke seluruh negeri dan bandar-bandar pada masa itu menyebabkan ramai menghadapi bermacam-macam peristiwa dan kejadian yang belum dilalui oleh sahabat-sahabat sebelumnya. Maka sudah menjadi kewajipan kepada mereka mencari, membahas dan mengkaji hukum-hukum untuk menghadapi peristiwa itu. Maka dengan itu bertambah luaslah lagi bidang ilmu fiqh.

Patut disebut bahawa ilmu fiqh sahabat-sahabat para tabiin tidak beku dengan berpegang kepada lafaz-lafaz nas sahaja, tetapi ia mengambil kira sama tentang hukum-hukum untuk menimbang akan sebab-sebab (ilah) masa hendak menghukum itu atau untuk memberi fatwa. Sebagaimana yang jelas diketahui, bahawa pendapat mereka bermacam-macam dan berlainan. Ini disebabkan berlainan tempat dan kedudukan negeri masing-masing. Disamping berlebih kurang tentang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith nabi. Oleh demikian terhasilah berlainan pendapat di antara satu dengan yang lain maka inilah yang dinamakan mazhab.

Di antara tabiin yang berijtihad diwaktu itu ialah : Said Al-Musayyab dan Abdullah bin Umar di Madinah. Yahya bin Said, Rabiah bin Abdul Rahman, Atha bin Rabah di Mekah. Hassan Al-Basri di Basrah, Thowas bin Kasan di Yaman, Makhul di Syam.

Di Zaman Umar bin Abdul Aziz

Pada tahun 100 Hijrah di zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, beliau telah menghantar ulama dan fuqaha ke seluruh negera. Selanjutnya kerajaan Bani Umayyah telah hilang, timbul pula kerajaan bani Abasiyah, disamping itu timbul pula pertelingkahan di antara orang-orang Alawiyyin dengan orang-orang Abasiyyin. Dan pertelingkahan di antara Syiah dan Khawarij. Turut berlaku pada masa itu penyambungan di antara pemikiran orang Arab dan Yunani (Grik Tua), iaitu sebagai natijah dari terjemahan dan pemindahan ilmu pengetahuan. Di masa itu juga mula disusun sunnah-sunnah nabi, fatwa-fatwa dan pendapat ulama. Dan ilmu fiqh di waktu itu telah masyhur ke seluruh pelusuk negeri dan ramailah orang yang mengikutnya dan beramal dengannya, sebagai natijahnya terdirilah beberapa golongan atau pengikut fuqaha.

Di zaman inilah nama imam-imam empat serangkai telah muncul dan temasyhur. Mereka adalah diumpamakan bulan purnama yang dikelilingi oleh bintang-bintang yang berselerak di sekelilingnya.

Al-Ijma dan Al-Qiyas

Al-Quran dan Al-Hadith adalah sumber asasi bagi ilmu fiqh Islam, yang mana pada permulaannya ialah di zaman Rasulullah S.A.W. , sumber-sumber ini bertambah mengikut peredaran masa dan bidang luas ilmu fiqh.

Selain daripada Al-Quran dan Al-Hadith ialah pendapat Rasulullah S.A.W. yang sama dinamakan ijma. Maksud dengan ijma ialah persetujuan atau permuafakatan ulama di atas satu perkara atau hukum yang tidak ada nas dari Al-Quran dan Al-Hadith pada satu-satu masa.

Di sana terdapat juga “Al-Qiyas” kerana bahawasanya hukum syara pada gholibnya mempunyai beberapa ilah atau sebab-sebab yang boleh diketahui, apabila terdapat hukum yang dinaskan, maka bolehlah dipindahkan hukum itu kepada perkara yang tidak ada nas jika terdapat sama ilahnya. Seperti wajib zakat pada padi adalah diqiyaskan daripada gandum, kerana terdapat sama pada ilatnya, iaitu mengeyangkan dan tahan disimpan.

Maka dapat dibuat kesimpulan, bahawasanya Al-Quran, Al-Hadith, Al-Ijma dan Al-Qiyas merupakan sumber-sumber hukum yang terus hidup subur dan menjadi perbendaharaan yang besar yang membuka luas pintu-pintu bidang ilmu fiqh Islam, ia menambah perbendaharaan, kekuatan dalam hukum-hukum Islam.

Mazhab-Mazhab Yang Muktabar Dalam Islam.

Sebenarnya mazhab-mazhab dalam Islam adalah banyak, kerana ulama-ulama yang bekemampuan terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi, para tabiin dan tabi Al-Tabiin yang mempunyai cukup syarat-syarat dan keperluan berijtihad adalah ramai, tetapi mengikut pendapat ulama, bahawasanya mazhab yang muktabar yang boleh dibuat pendapat dan beramal untuk umum cuma empat mazhab sahaja, mengikut qaul yang rajih. Iaitu : Mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali kerana keempat-empat mazhab ini ada mempunyai peraturan-peraturan, kaedah-kaedah dan panduan-panduan yang sempurna lagi lengkap yang ditulis oleh mereka dalam kitab-kitab mereka. Yang mana menjadi bahan-bahan yang tak ternilai dalam perbendaharaan undan-undang Islam. Adapun mazhab-mazhab yang lain, maka tidak ada mempunyai kaedah-kaedah yang cukup yang dibukukan untuk dijadikan panduan dalam bidang perundangan sebagaimana yang empat tadi.

Ada juga mazhab-mazhab yang lain lagi selain daripada mazhab yang empat, tetapi tidaklah begitu terkenal dan lengkap dan tidak mempunyai kaedah-kaedah usul-usul yang dibukukan.

Mazhab Hanafi

Adalah diasaskan oleh Nu`man Bin Tsabit. Lahir pada tahun 80 Hijrah. Beliau adalah seorang berjiwa besar dan berakhlak tinggi. Juga beliau seorang yang bijak dalam ilmu pengetahuan. Cekap memberikan satu-satu keputusan bagi masalah-masalah atau problem yang dihadapi. Oleh kerana beliau seorang yang berpengetahuan, bijak dan berakhlak mulia, maka beliau dapat membuat perhubungan yang rapat dengan pembesar negara. Ia mendapat tempat yang baik dalam masyarakat dan berjaya menyandang jawatan yang tinggi dalam pemerintahan.

Iman Abu Hanifah terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di negeri Iraq. Dan beliau juga sebagai ketua ahli fikir (ahli ra`u). Golongan cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai “akal dalam ilmu pengetahuan”.

Semasa hidupnya, beliau dapat menuruti bermacam-macam pertumbuhan dan perkembangan ilmu pengetahuan, baik di bidang ilmu dan politik mahupun ilmu agama. Zaman beliau memang dikenali sebagai zaman pertumbuhan politik, agama dan ideologi-ideologi dan ism-ism yang bermacam-macam. Beliau dapat hidup dalam dua zaman pemerintahan Umaiyah dan juga di zaman pemerintahan `Abasiyah.

Sesungguhnya Abu Hanifah seorang yang luas pemikiran dan banyak ilmu. Tetapi beliau sangat merendah diri. Beliau tidak terpedaya dengan fikirannya sendiri. Dan beliau pernah berkata “Bahawasanya pendapat kami adalah salah satu dari pendapat dan jika didapati pendapat yang lebih baik dan tepat maka pendapat itu lebih benar dan utama”.

Abu Hanifah seorang yang berperibadi tinggi dalam majlis perbahasan. Beliau tidak sekali-kali menghina mereka yang berbahas dengan mereka. Mereka tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang berbahas dengannya, kerana beliau berpendapat : “Sesiapa yang mengkafirkan seseorang maka ia terlebih dahulu kafir dari orang itu.”

Mazhab Maliki

Pengasas mazhab Maliki ialah Malik Bin Anas, lahirnya di kota Madinah dalam tahun 93 hijrah. Beliau dilahirkan 13 tahun selepas lahirnya Iman Abu Hanifah. Semasa hidupnya, Iman Malik dapat menurut dua corak pemerintahan : Umaiyah dan Abasiyah, di mana perlingkahan sengit dua pemerintahan sering terjadi. Di masa itu juga pengaruh ilmu pengetahuan Arab, Parsi dan Hindi tumbuh dengan suburnya dikalangan masyarakat di waktu itu.

Iman Malik menghafaz Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. Ingatannya sangat kuat dan menjadi adat kepadanya. Manakala beliau mendengar hadith-hadith daripada guru-guru, terus disimpulkan tali bagi menyenangkan perhitungan bilangan hadith-hadtih yang sudah beliau pelajari.

Pada permulaan hidup Imam Malik bercita-cita menjadi biduan tetapi ibunya menasihatkan supaya beliau meninggalkan cita-cita itu, dan meminta beliau supaya mempelajari ilmu fiqh, beliau menerima nasihat ibunya dengan baik.

Iman Malik adalah seorang guru yang miskin, pernah satu hari kayu bumbungnya rumahnya telah roboh, terus beliau menjual kayu itu untuk mendapat sedikit wang untuk perbelanjaan hidupnya, tetapi pada akhirnya beliau dimurahkan Allah akan rezekinya sehingga beliau menjadi seorang kaya. Setelah baliau menjadi seorang kaya, beliau memakai pakaian yang mahal dan memakai bau-bauan yang baik. Imam Malik adalah seorang yang aktif dalam menuntut ilmu. Beliau banyak membuat perhubungan dengan ahli-ahli hadith dan ulama. Imam Malik dianggap sebagai ketua atau imam bagi ilmu hadith. Sanad-sanad (sandararan-sandaran) yang dibawa oleh beliau termasuk salah satu sanad-sanad yang terbaik dan benar. Beliau seorang yang dipercayai, adil dan kuat ingatannya, cermat dan halus memilih rawi-rawi hadith. Pendek kata Imam Malik adalah orang yang tidak diragui dalam konteks ini.

Imam Malik tetap berpegang teguh S.A.W. dalam menganggap hadith-hadith itu petunjuk, penyuluh kepada manusia. Tidak harus seseorang meninggalkan dan membelakangkannya.

Sebelum Imam Malik menjadi guru, beliau lebih dahulu mendalami dalam bidang pelajaran sehingga kadang-kala beliau tidak tidur. Setelah fikiran beliau matang dan benar-benar berkebolehan barulah beliau mengajar.

Hukum-hukum fiqh yang diberikan oleh Imam Malik adalah berdasarkan Al-Quran dan hadith. Imam Malik menjadikan hadith sebagai pembantu bagi memahami Al-Quran, Imam Malik sangat cermat dalam memberi penerangan dan hukum-hukum. Beliau berfikir panjang sebelum memberi satu-satu hukum atau fatwa. Beliau pernah berkata : “Kadang-kala aku berjaga satu malam suntuk untuk mencari jawapan bagi satu-satu soalan yang dikemukakan kepada aku”. Apabila beliau ditanya satu-satu hukum, beliau terus berkata kepada penanya “Pulanglah dahulu supaya aku dapat berfikir”. Ramai manusia merendah-rendahkan Imam Malik dengan sebab beliau melewatkan menjawab sebarang pertanyaan. Imam Malik menangis dan berkata “Aku bimbang kerana aku akan disoal satu hari nanti dalam ( hari kiamat)”.

Mazhab Syafie

Mazhab Syafie adalah diasaskan oleh Muhamad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 105 hijrah, sebuah bandar yang bernama Ghizah di Palestin . Beliau seorang miskin, tetapi kaya dengan semangat dan bercita-cita tinggi dalam menuntut ilmu. Beliau banyak mengembara dalam menceduk dan menimba ilmu. Imam Syafie dianggap seorang yang dapat memadukan antara hadith dan fikiran dan membentuk undang-undang fiqh. Pada permulaannya beliau cenderung dalam bidang sastera dan syair-syair, tetapi beliau mengubah pendiriannya kepada mempelajari ilmu fiqh dan hadith hingga sampailah beliau ke kemuncak yang paling tinggi dalam bidang tersebut.

Imam Syafie ialah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadith dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad yang ke-2 hijrah. Imam Ahmad Bin Hanbal pernah berkata : diceritakan kepada nabi muhamad S.A.W. bahawa Allah menghantar kepada umat ini seorang pembaharu kepada agama, Umar Bin Abdul Aziz dihantar untuk abad yang pertama dan aku harap Imam Syafie merupakan mujadid abad yang kedua.

Nama asalnya ialah Muhamad Bin Idris, lahir di bandar ghizah di Palestin pada tahun 105 hijrah, inilah tarikh paling masyur dikalangan ahli sejarah. Beliau adalah keturunan Bani Hashim dan Abdul Mutalib. Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah S.A.W. pada datuk Rasulullah iaitu Abdul Manaf.

Semasa muda Imam Syafie, hidup dalam kemiskinan, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang-tulang untuk ditulis di atasnya, terkadang-kadang beliau terpaksa pergi ke tempat-tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya.

Imam Syafie menghafaz Al-Quran dengan mudah, iaitu semasa beliau masih kecil lagi, beliau menghafaz dan menulis hadith-hadith. Beliau sangat tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu bahasa Arab. Untuk tujuan itu beliau pernah mengembara ke kampung dan tinggal bersama dengan puak Hazyal selama 10 tahun. Kerana puak ( kabilah ) Hazyl terkenal suatu kabilah yang paling baik bahasa Arabnya. Imam Syafie banyak menghafaz syair-syair dan qasidah dari puak Hazyl, begitu juga beliau banyak menumpukan masa dan tenaganya kepada sastera dan sejarah pada masa mudanya, tetapi Allah menghendaki dan melorongkan kepadanya dalam bidang ilmu fikah.

Di antara sebabnya, pada suatu hari Imam Syafie bersyair sambil menunggang kuda bersama-sama beliau seorang lelaki. Lalu berkata lelaki itu, tidak sesuai engkau bersyair kerana itu boleh menjatuhkan maruah. Alangkah baiknya belajar ilmu fiqh? Kata-kata itu sangat memberi kesan kepada Imam Syafie. Dari sejak itu beliau menumpukan masa dan tenaga kepada ilmu fiqh.

Salah seorang guru Imam Syafie dalam pelajaran ilmu fiqh dan hadith ialah Imam Malik. Ilmu fiqh yang dibawa oleh Imam Syafie adalah merupakan satu zaman perkembangan ilmu fiqh dalam sejarah perundangan Islam kerana beliaulah yang menghimpunkan atau menyatukan ilmu fiqh ahli-ahli akal dan fikir dengan ilmu fiqh ahli-ahli akal dan hadith. Ilmu fiqh Imam Syafie juga merupakan ikatan sunnah dan qias, dan pemikiran dengan beberapa pertimbangan dan sekatan sebagaimana ia juga ilmu fiqh yang menetapkan cara-cara atau peraturan untuk memahami Al-Quran dan Al-Hadith. Juga ia menetapkan kaedah-kaedah pengeluaran hukum dan kesimpulannya. Lantaran itulah beliau berhak dianggap penaja bagi ilmu usul fiqh.

Mazhab Hanbali

Nama bagi pengasas Imam Hanbali ialah Ahmad Bin Mohamad Bin Hanbal. Lahir di bandar Baghdad pada tahun 164 hijrah. Ibnu Hanbal adalah dari keluarga miskin, kerana bapanya tidak meninggalkan di waktu matinya melainkan sebuah rumah yang kecil yang didiaminya. Untuk menampung kehidupannya, belaiu terpaksa bekerja di kedai jahit untuk mengambil upah.

Ibnu Hanbal menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau tetap mempelajari hadith sehingga beliau menjadi seorang imam, orang pernah berkata kepadanya: “Sampai bilakah engkau nak menuntut ilmu? Padahal engkau sudah mencapai darjat paling tinggi dan engkau telah menjadi imam bagi seluruh umat Islam?” Imam Ibnu Hanbal menjawab: “Aku menuntut ilmu dari hujung dunia hinggalah ke pintu kubur.” Memang benar beliau tidak pernah jemu menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Imam Syafie adalah salah seorang dari guru Ahmad Bin Hanbal. Ibnu Hanbal bertemu Imam Syafie semasa di Hijaz, sewaktu beliau menunaikan fardu haji, Imam Syafie mengajar di Masjidil Haram. Ibnu Hanbal mempelajari daripadanya, kemudian mereka bertemu pula pada kali kedua di Baghdad, Imam Syafie menasihatinya supaya beliau mengikutnya ke Mesir. Imam Ibnu Hanbal bercadang mengikutinya tetapi niatnya tak sampai.

%d bloggers like this: