• SELAMAT DATANG

    Asalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 68 other subscribers
  • KLIK PAUTAN

AIDILFITRI – ANTARA ADAT DAN IBADAT


Hari Raya Aidil Fitri akan menjelang kembali. Ia disambut berulang-ulang pada tiap-tiap tahun dan disyariatkan oleh Allah s.w.t. untuk Umat Islam merayakannya. Ianya disambut menandakan kesyukuran Umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan fardu puasa sepanjang bulan Ramadan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan menahan hawa nafsu dari perkara-perkara yang ditegah di dalam bulan puasa.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.

Umat Islam merayakan Hari Raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah s.w.t. di antaranya sembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita Umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban. Sehubungan dengan ini Allah berfirman di dalam Al Quran, ertinya: “

Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda

Barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang kafir yang ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyarakkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah SWT hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadhan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:

Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya :”Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.” dan daripada Anas r.a.:

Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.”

Walaubagaimanapun kekeliruan terhadap Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka yang merupakan pesta atau majlis hiburan.

Marilah kita hidupkan malam Aidil Fitri dengan ibadah bukan dengan gelaktawa dan hiburan. Bergembira di hari raya selalu disalah ertikan. Kita sepatutnya gembira dengan menunjukkan kesyukuran dan membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid. Bukan dengan muzik dan bunyian mercun.

Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun diulang-ulang setiap kali tibanya hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.

Maksud takbir :

Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah.

“Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janji-Nya, yang memuliakan tentera-tenteraNya tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya.”

“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allah-lah segala puji-pujian.”

Allahu ‘alam
– Mursal_Mujmal-
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman

AIDIL FITRI SAMBUTAN KEMENANGAN RAMADAN


Setelah sebulan berpuasa maka tibanya satu syawal untuk kita menyambut Hari Raya. Kedatangan satu syawal hendaklah disambut oleh seluruh umat Islam. Ia adalah hari menyambut kemenangan kerana telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dan amalan-amalan lain dalam bulan ramadan,. Pada hari tersebut tidak dibenarkan seorang pun berpuasa. Bahkan haram hukumnya malah tidak sah bagi orang yang hendak berpuasa.

Banyak perkara yang perlu dilakukan apabila masuknya sahaja satu syawal. Di antaranya ialah:

1.

Melaungkan takbir bermula dari tenggelamnya matahari akhir Ramadan sehingga sejurus sebelum Solat Hari Raya didirikan.Firman Allah s.w.t:

“dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) serta kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat pertunjukNya dan supaya kamu bersyukur”

Takbir hendaklah dilakukan dengan suara yang nyaring secara beramai-ramai dengan penuh bersemangat diseluruh tempat samada di masjid, surau, rumah dan tempat-tempat awam yang ramai pengunjung. Ia merupakan syiar yang memberi ketegasan tentang akidah dan keesaan Allah.

2. Digalakkan memhidupkan malamnya dengan berqiamullail.
3. Mandi Sunat Hari Raya samaada bagi orang yang akan pergi menunaikan Solat Hari Raya maupun tidak.
4. Sunat memakai pakaian yang terbaik yang ada untuk pergi menunaikan Solat Hari raya.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Mengadakan solat sunat hari Raya di kawasan lapang seperti padang supaya semua orang dapat datang termasuk wanita yang haid (wanita yang haid boleh mendengar khutbah ).
7. Pergi menuju ketempat solat melalui satu jalan dan apabila balik dari menunaikan solat melalui jalan yang lain.
8. Menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan Solat Hari Raya.
9. Ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai
10. Bermaaf-maafan antara satu sama lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan.
11 Banyakkan bersedekah kepada fakir dan miskin.
12. Menunaikan puasa 6 hari pada bulan syawal.

Satu perkara yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita ialah amalan menziarahi kubur pada pagi Hari Raya. Amalan menziarahi kubur adalah satu amalan yang baik untuk mengingati kematian tetapi jangan sampai meletakkan satu kemestian bahawa mesti menzirahi kubur pada pagi hari raya sedangkan ia boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja tanpa menentukan waktu ditakuti jadi salah faham dalam masyarakat.

Oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor

MENGHAYATI AIDIL FITRI


Pada ketika ini kita semua sedang dalam keadaan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri. Berziarah dan kunjung mengunjung, membuat rumah-rumah terbuka, menjamu sanak saudara dan sahabat handai.

Begitulah kebiasaan atau tradisi kita menyambut lebaran. Semoga kita menyambut Aidilfitri ini mengikut seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan.

Antara perkara yang dianjurkan oleh syara’ itu ialah :-

Pertama – bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan sewajarnya dilakukan dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.

Kedua – kunjung mengunjung ( berziarah ) tanda persaudaraan dan silaturrahim. Mengujudkan hubungan silaturrahim ini merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mengujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam riwayat Al-Imam At-Tarmizi :- Maksudnya :-

Hubungan silaturrahim adalah jalinan daripada tuhan yang pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah memutuskan hubungan dengannya.

Dalam pada itu patut kita ingat bahawa dalam kita asyik mengadakan kunjungan itu, janganlah pula sampai tertinggal sembahyang atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam seperti bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Ketiga – selain ziarah menziarahi di hari yang mulia ini, marilah kita sambut dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahu pun pakaian, jangan sampai wujud pembaziran yang akan menyebabkan kita menanggung beban dikemudian hari. Hari raya ini bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wataala dan hubungan kita sesama makhluk. Ingatlah akan Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali-Imran ayat 112 :-

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿١١٢﴾

Mereka diliputi kehinaan dimana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali ( agama ) Allah dan tali perjanjian dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka mengingkari dengan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui.

Keempat – janganlah hendaknya ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan.

AIDILFITRI DARI PERSPEKTIF ISLAM


Aidilfitri Dari Perspektif Islam

Aidilfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin adalah merupakan satu syiar. Sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal. Hari raya adalah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadhan.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya Radiallahuanhu baginda bersabda maksudnya :-

Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum muslimin menghadap tuhan yang pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Aljaizah ( hari mendapat ganjaran ).

Pada hari raya ini kita disunatkan sesama Islam saling mengucapkan tahniah dengan mendoakan diantara satu sama yang lain seperti mengucapkan yang ertinya : semoga Allah menerima daripada kita dan menerima daripada awak.

Adapun maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang kita buat di bulan Ramadhan. Ahli jumaat sekalian, Marilah kita menyambut hari raya ini dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala.

Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan.

Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu. Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :-

  • Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang bertentangan dengan syariat.
  • Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan sifat belas ihsan.
  • Kesungguhan beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala – Sifat suka berjemaah di masjid.
  • Sifat tabah sabar dan tahan diuji serta lain-lain lagi. Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ath-Thuur, ayat 17-19,

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَعِيمٍ ﴿١٧﴾ فَاكِهِينَ بِمَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ وَوَقَاهُمْ رَبُّهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ ﴿١٨﴾ كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٩﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan yang tidak ada taranya. Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh tuhan mereka dan mereka dipelihara tuhan daripada azab neraka. Dan dikatakan kepada mereka : ” Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan .”

________________________________________________
Sumber: Laman Web Jabatan Mufti Melaka

BERHARI RAYA MENURUT SUNNAH NABI


Oleh: Amru Alhaz Bin Adnan

Setelah genap sebulan Umat Islam berhempas pulas menjalankan ibadah berpuasa, kini tibalah masanya meraikan kejayaan itu dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Seluruh Umat Islam di Dunia dan Malaysia khususnya meraikan sambutan Eidul Fitri dengan bentuk dan adat yang berbeza,. Bagi rakyat Malaysia sambutan Eidul Fitri disambut dengan acara ziarah menziarahi sanak saudara dengan memakai pakaian yang terbaik dan cantik-cantik.

Seluruh ahli keluarga berhimpun dan berkumpul bersama.  Sebaliknya Umat Islam di sebahagian Tanah Arab pula meraikan cuti  umum hari raya dengan membawa ahli keluarga keluar makan, tidak kurang juga yang pergi  berkelah dan bersiar-siar. Apa pun jenis dan cara sambutan mereka, kesemuanya pasti menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan dan keseronokan.

Di sebalik kemeriahan sambutan Eidul Fitri, Islam telah meletakkan garis panduan berkaitan tatacara menyambut  hari kebesaran. Inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa selaras dengan natijah ibadah berpuasa itu disyariatkan. Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turut sama meraikan hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Hal ini boleh dilihat dengan tindakan Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Eidul Fitri  dan Eidul Adha. Anas bin Malik r.a berkata:

Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Hadis Riwayat al-Nasaai)

Persoalan yang timbul ialah sejauh mana kesedaran kita selaku Umat Islam memastikan tatacara kita meraikan hari lebaran ini tidak bercanggah daripada anjuran dan sunnah baginda Rasulullah S.A.W.

Amalan Bertakbir

Amalan bertakbir pada 1 syawal merupakan amalan yang disyariatkan  Bermula sebaik sahaja terlihatnya hilal  (maghrib 1 syawal ) dan berakhir sehingga imam selesai berkhutbah di pagi Syawal. Firman Allah S.W.T:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾

Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur. – Surah al-Baqarah : 185

Ketika seluruh kaum keluarga berkumpul beramai-ramai pada malam hari raya, ramai yang melupakan anjuran bertakbir. Kita lebih selesa menonton rancangan –rancangan hiburan di kaca televisyen, tidak kurang juga  yang berkesempatan berkaraoke sehingga larut malam. Jika ditinjau di masjid-masjid sebenarnya tidak ramai yang memanfaatkan peluang yang ada menyertai jemaah malaungkan kalimah agung yang suci ini.

Satu perkata yang perlu ditekankan juga ialah anjuran Rasulullah agar Umat Islam bertakbir dengan suara yang lantang ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat menunaikan Solat Sunat Eidul Fitri walaupun kebanyakan Umat Islam memandang remeh sunnah ini. Bertakbir dengan cara sebegini antara lain sebenarnya bertujuan menyerlahkan keagungan syiar Islam di samping menjadi contoh kesepakatan umat Islam  di mata masyarakat bukan Islam.

Lafaz Ucapan Hari Raya

Lafaz ucapan hari lebaran seperti “Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin” sudah menjadi sinonim bagi Umat Islam di Malaysia. Namun, cara dan lafaz yang lebih bertepatan dalam  meneladani sunnah Baginda ialah berdasarkan apa yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:

Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan  ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu). ( Kitab Fath al-Bari)

Justeru, mulai daripada syawal  pada tahun ini, adalah tidak salah kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W.

Etika Pemakaian

Umum mengetahui,  merupakan satu sunnah kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian terbaik dan tercantik pada hari raya. Imam Syafie menyebut di dalam Kitab al-Umm:

Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.

Adapun bagi  kaum wanita pula walaupun sunnah hukumnya memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah mengelakkan diri daripada  memakai pakaian yang boleh menarik perhatian kaum lelaki seperti pakaian yang  terlalu bercorak-corak, pakaian nipis yang menampakkan bentuk tubuh badan  serta perhiasan yang berlebih-lebihan. Mereka juga dilarang sama sekali memakai wangi wangian yang berlebihan sehingga menarik perhatian orang disekelilingnya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina. ( Hadis riwayat al-Nasaai)

Realiti yang berlaku, ramai para wanita yang tidak pandai mengukur had-had dan etika pemakaian mereka ketika berhari raya sehingga ramai yang kelihatan berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang. Dalam keadaan ini, pahala sunnah yang diharapkan bertukar menjadi dosa jika tidak dipelihara batasan-batasannya..

Kesimpulannya, Setiap usaha dan amalan yang bertujuan meneladani sunnah merupakan batu loncatan kita mengharapkan syafaat Nabi Muhammad S.A.W. Percayalah, amalan sunnah itu dirasakan sesuatu yang asing kerana kita selaku Umat Islam sendiri yang menjadikannya asing. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma ini dapat disambut dengan penuh penghayatan dan kemeriahan  selari dengan perintah Allah dan RasulNya.


________________________
Sumber: Portal Masjid Negara

RAYAKAN AIDILFITRI DENGAN TAKWA


Oleh: Aminudin Mansor

Setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan dengan pelbagai ujian dan dugaan, umat Islam menyambut Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemenangan dan kejayaan.

Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Walau bagaimanapun Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebih-lebihan semasa menyambut hari  perayaan ini.

Firman Allah SWT:

وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَ‌ٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا ﴿٢٧﴾

Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (al-Israa’:26-27)

Oleh itu umat Islam mestilah menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh bermakna melakukan perkara-perkara kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara mungkar .Amalan pada malam Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan berzikir.Takbir raya eloklah dilakukan di mana sahaja dan  pada sebarang waktu, sama ada selepas sembahyang fardhu, ketika menziarahi saudara-mara, menerima tetamu dan sebagainya.

Secara khususnya waktu takbir Hari Raya Aidilfitri bermula dari sejak matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan.

Takbir Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan bertakbir pada sepanjang malam hari raya tersebut sama ada dirumah, masjid,surau  dan sebagainya.   Di setengah kampung dan tempat, amalan bertakbir sudah menjadi kebiasaan dan tradisi yang baik yang diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah-rumah jiran atau saudara-mara bagi merapatkan silatul rahim di samping menjamu hidangan yang disediakan.

Amalan dan nilai murni menyambut hari raya Aidilfitri seperti ini wajarlah dikekalkan. Daripada Abu Umamah RA, daripada Rasulullah SAW sabdanya:

Sekiranya mengerjakan amal ibadat pada malam  Hari Raya (Aidifitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu” (HR Ibnu Majah)

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan selepas hijrah. Dalam hal ini Anas bin Malik berkata; Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu penduduk Madinah telah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka  rayakan. Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan  dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha” –    (HR: Ahmad, Abu Daud, Nassa’ei dan Al-Baihaqi)

Allah SWT. berfirman:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾

…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur” – (Al-Baqarah: 185)

Jelaslah bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan petunjuk yang diberikan-Nya. Antara cara kesyukuran yang patut ditunjukkan ialah kesederhanaan dalam apa juga  keadaan ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tanpa pembaziran, boros, atau menunjuk-nunjuk.

Amalan dan nilai murni yang wajar dilakukan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah menghidupkan malam dengan ibadat.  Antara ibadat tersebut ialah banyakkan berzikir, istighfar,bersedekah, membaca al-Quran dan memuji kebesaran Allah SWT. Manakala amalan yang baik sebelum menunaikan sembahyang hari raya disuruh mandi bersugi (membersihkan gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.

Sewajarnya dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata,

Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami”.

Amalan mulia ini haruslah digalakkan kepada umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Buraidah berkata; “Rasulullah SAW tidak berangkat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri sebelum baginda SAW makan. Sebaliknya untuk sembahyang Aidilfitri, Rasulullah SAW tidak makan sebelum selesai mengerjakan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, barulah Rasulullah SAW Memakan hati binatang yang telah dimasak iaitu kurbannya”.

Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya Aidilfitri antaranya menggeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Menziarahi kubur juga digalakkan dilakukan pada hari raya Aidilfitri seperti yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini, sebagai mengingati mereka yang telah pergi.

Kesimpulannya, sambutan Hari Raya Aidilfitri bolehlah dilakukan mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam dengan melakukan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian ziarah-menziarahi sesama sanak saudara, sahabat handai juga jiran tetangga untuk mengukuhkan silatul rahim di kalangan umat Islam dan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah atas segala nikmat-Nya serta meraikan kejayaan menunaikan sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

SALAM AIDIL FITRI