ORIENTALIS BARAT ADA NIAT TERSIRAT MENYESATKAN UMAT ISLAM


Oleh: Mohamad Sofee Razak

UMAT Islam kini berdepan dengan serangan secara terancang sama ada secara fizikal dan minda. Usaha musuh untuk menjatuhkan Islam dan menyesatkan umatnya ini tidak pernah luntur sejak sekian lama. Mereka akan melakukan apa saja bagi memastikan Islam dan umatnya terus berada di landasan yang salah dalam melaksanakan propaganda supaya arahan, kewajipan dan amalan agama diragui dan ditinggalkan penganutnya sendiri.

Ini yang sedang dan sudah dilakukan golongan bijak pandai bukan Islam. Golongan orientalis yang secara ilmiah dan melalui hujah akademik menyerang pemikiran masyarakat Islam supaya mereka berasa sangsi dan tidak yakin dengan segala ajaran serta tuntutan agama yang disyariatkan.

Keadaan ini kesinambungan dan bukti bahawa sejak dulu, orientalis komited menyerang agama Islam melalui tulisan dan perbincangan akademik sama ada dalam atau luar pusat pengajian tinggi yang boleh didapati di dalam banyak saluran seperti tesis, buku, jurnal, majalah dan tulisan di internet.

Serangan golongan orientalis dan pendokongnya terdiri daripada kalangan intelektual dan sarjana adalah dalam pelbagai bentuk dan saluran termasuk mempertikaikan kesahihan kitab suci al-Quran serta terjemahannya; riwayat hadis, sunnah dan sirah Rasulullah; mempersenda tradisi penulisan buku ilmiah karangan ulama muktabar; tidak relevan kaedah fiqh dan sebagainya.

Melalui metodologi ilmiah, wacana, dialog dan penulisan akademik. Mereka cuba menimbulkan keraguan, kelemahan dan mencari kesilapan atau kelonggaran yang mungkin berlaku dalam penulisan karya agung ulama dan pemikir Islam terdahulu di mana keadaan ini sedikit sebanyak turut mempengaruhi budaya, pemikiran, tindak tanduk, kritikan dan kepercayaan sebahagian umat Islam yang terdedah dengan agenda mereka secara sedar atau sebaliknya, terutama melalui pembacaan bahan penulisan atau penerbitan dalam dan luar negara.

Dr. Atikullah Abdullah

Menurut Dr Atikullah Abdullah dalam makalah bertajuk Orientalis Timbulkan Was-Was Terhadap Islam, perkataan orientalis mempunyai banyak makna dan menurut sarjana besar seperti Edward W Said dalam magnum opusnya Orientalism di mana orientalis merujuk kepada sesiapa saja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji mengenai hal ehwal Timur.

Dalam pengertian khusus, orientalisme lebih merujuk kepada gerakan pengkajian hal ehwal Islam dan masyarakat Muslim oleh orang Barat sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau keagamaan dan politik. Terdapat pelbagai tujuan dan misi gerakan orientalis ini yang antaranya meliputi aspek keagamaan, akademik, perniagaan, ekonomi dan politik.

Menurut Mahmud Hamdi Zaqzuq pula, orientalis adalah mereka yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam mengenai agama mereka dan golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja.

Mahmud Hamdi Zaqzuq

Ada orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya. Keadaan ini banyak berlaku ketika zaman penjajahan ketika emperialisme British dan Belanda.

Golongan ketiga ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif dan mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran seperti Edward William Lane yang menghasilkan kamus Arabic-English Lexicon diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam nahu Arab dan dirujuk oleh pakar nahu Arab sendiri.

Di samping itu, orientalis AJ Wensink menghasilkan Mu’jam al-Hadith al-Nabawiyy iaitu sebuah karya lengkap dan sangat bermanfaat untuk pengkaji dan pencari asal-usul sesuatu hadis. Namun begitu, sebahagian besar mereka dilihat aktif memainkan peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jika tidak meninggalkannya terus.

Sumber: Institut Al-Qayyim

Advertisements

AIDILFITRI – ANTARA ADAT DAN IBADAT


Hari Raya Aidil Fitri akan menjelang kembali. Ia disambut berulang-ulang pada tiap-tiap tahun dan disyariatkan oleh Allah s.w.t. untuk Umat Islam merayakannya. Ianya disambut menandakan kesyukuran Umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan fardu puasa sepanjang bulan Ramadan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan menahan hawa nafsu dari perkara-perkara yang ditegah di dalam bulan puasa.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.

Umat Islam merayakan Hari Raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah s.w.t. di antaranya sembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita Umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban. Sehubungan dengan ini Allah berfirman di dalam Al Quran, ertinya: “

Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda

Barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang kafir yang ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyarakkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah SWT hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadhan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:

Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya :”Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.” dan daripada Anas r.a.:

Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.”

Walaubagaimanapun kekeliruan terhadap Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka yang merupakan pesta atau majlis hiburan.

Marilah kita hidupkan malam Aidil Fitri dengan ibadah bukan dengan gelaktawa dan hiburan. Bergembira di hari raya selalu disalah ertikan. Kita sepatutnya gembira dengan menunjukkan kesyukuran dan membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid. Bukan dengan muzik dan bunyian mercun.

Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun diulang-ulang setiap kali tibanya hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.

Maksud takbir :

Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah.

“Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janji-Nya, yang memuliakan tentera-tenteraNya tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya.”

“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allah-lah segala puji-pujian.”

Allahu ‘alam
– Mursal_Mujmal-
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman

AIDIL FITRI SAMBUTAN KEMENANGAN RAMADAN


Setelah sebulan berpuasa maka tibanya satu syawal untuk kita menyambut Hari Raya. Kedatangan satu syawal hendaklah disambut oleh seluruh umat Islam. Ia adalah hari menyambut kemenangan kerana telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dan amalan-amalan lain dalam bulan ramadan,. Pada hari tersebut tidak dibenarkan seorang pun berpuasa. Bahkan haram hukumnya malah tidak sah bagi orang yang hendak berpuasa.

Banyak perkara yang perlu dilakukan apabila masuknya sahaja satu syawal. Di antaranya ialah:

1.

Melaungkan takbir bermula dari tenggelamnya matahari akhir Ramadan sehingga sejurus sebelum Solat Hari Raya didirikan.Firman Allah s.w.t:

“dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) serta kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat pertunjukNya dan supaya kamu bersyukur”

Takbir hendaklah dilakukan dengan suara yang nyaring secara beramai-ramai dengan penuh bersemangat diseluruh tempat samada di masjid, surau, rumah dan tempat-tempat awam yang ramai pengunjung. Ia merupakan syiar yang memberi ketegasan tentang akidah dan keesaan Allah.

2. Digalakkan memhidupkan malamnya dengan berqiamullail.
3. Mandi Sunat Hari Raya samaada bagi orang yang akan pergi menunaikan Solat Hari Raya maupun tidak.
4. Sunat memakai pakaian yang terbaik yang ada untuk pergi menunaikan Solat Hari raya.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Mengadakan solat sunat hari Raya di kawasan lapang seperti padang supaya semua orang dapat datang termasuk wanita yang haid (wanita yang haid boleh mendengar khutbah ).
7. Pergi menuju ketempat solat melalui satu jalan dan apabila balik dari menunaikan solat melalui jalan yang lain.
8. Menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan Solat Hari Raya.
9. Ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai
10. Bermaaf-maafan antara satu sama lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan.
11 Banyakkan bersedekah kepada fakir dan miskin.
12. Menunaikan puasa 6 hari pada bulan syawal.

Satu perkara yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita ialah amalan menziarahi kubur pada pagi Hari Raya. Amalan menziarahi kubur adalah satu amalan yang baik untuk mengingati kematian tetapi jangan sampai meletakkan satu kemestian bahawa mesti menzirahi kubur pada pagi hari raya sedangkan ia boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja tanpa menentukan waktu ditakuti jadi salah faham dalam masyarakat.

Oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Selangor

AIDILFITRI DARI PERSPEKTIF ISLAM


Aidilfitri Dari Perspektif Islam

Aidilfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin adalah merupakan satu syiar. Sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal. Hari raya adalah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadhan.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya Radiallahuanhu baginda bersabda maksudnya :-

Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum muslimin menghadap tuhan yang pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Aljaizah ( hari mendapat ganjaran ).

Pada hari raya ini kita disunatkan sesama Islam saling mengucapkan tahniah dengan mendoakan diantara satu sama yang lain seperti mengucapkan yang ertinya : semoga Allah menerima daripada kita dan menerima daripada awak.

Adapun maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang kita buat di bulan Ramadhan. Ahli jumaat sekalian, Marilah kita menyambut hari raya ini dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala.

Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan.

Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu. Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :-

  • Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang bertentangan dengan syariat.
  • Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan sifat belas ihsan.
  • Kesungguhan beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala – Sifat suka berjemaah di masjid.
  • Sifat tabah sabar dan tahan diuji serta lain-lain lagi. Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ath-Thuur, ayat 17-19,

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَعِيمٍ ﴿١٧﴾ فَاكِهِينَ بِمَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ وَوَقَاهُمْ رَبُّهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ ﴿١٨﴾ كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٩﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman syurga dan nikmat kesenangan yang tidak ada taranya. Mereka bersenang lenang dengan apa yang dikurniakan oleh tuhan mereka dan mereka dipelihara tuhan daripada azab neraka. Dan dikatakan kepada mereka : ” Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman yang lazat serta baik kesudahannya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan .”

________________________________________________
Sumber: Laman Web Jabatan Mufti Melaka

BERHARI RAYA MENURUT SUNNAH NABI


Oleh: Amru Alhaz Bin Adnan

Setelah genap sebulan Umat Islam berhempas pulas menjalankan ibadah berpuasa, kini tibalah masanya meraikan kejayaan itu dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Seluruh Umat Islam di Dunia dan Malaysia khususnya meraikan sambutan Eidul Fitri dengan bentuk dan adat yang berbeza,. Bagi rakyat Malaysia sambutan Eidul Fitri disambut dengan acara ziarah menziarahi sanak saudara dengan memakai pakaian yang terbaik dan cantik-cantik.

Seluruh ahli keluarga berhimpun dan berkumpul bersama.  Sebaliknya Umat Islam di sebahagian Tanah Arab pula meraikan cuti  umum hari raya dengan membawa ahli keluarga keluar makan, tidak kurang juga yang pergi  berkelah dan bersiar-siar. Apa pun jenis dan cara sambutan mereka, kesemuanya pasti menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan dan keseronokan.

Di sebalik kemeriahan sambutan Eidul Fitri, Islam telah meletakkan garis panduan berkaitan tatacara menyambut  hari kebesaran. Inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa selaras dengan natijah ibadah berpuasa itu disyariatkan. Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turut sama meraikan hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Hal ini boleh dilihat dengan tindakan Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Eidul Fitri  dan Eidul Adha. Anas bin Malik r.a berkata:

Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Hadis Riwayat al-Nasaai)

Persoalan yang timbul ialah sejauh mana kesedaran kita selaku Umat Islam memastikan tatacara kita meraikan hari lebaran ini tidak bercanggah daripada anjuran dan sunnah baginda Rasulullah S.A.W.

Amalan Bertakbir

Amalan bertakbir pada 1 syawal merupakan amalan yang disyariatkan  Bermula sebaik sahaja terlihatnya hilal  (maghrib 1 syawal ) dan berakhir sehingga imam selesai berkhutbah di pagi Syawal. Firman Allah S.W.T:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾

Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur. – Surah al-Baqarah : 185

Ketika seluruh kaum keluarga berkumpul beramai-ramai pada malam hari raya, ramai yang melupakan anjuran bertakbir. Kita lebih selesa menonton rancangan –rancangan hiburan di kaca televisyen, tidak kurang juga  yang berkesempatan berkaraoke sehingga larut malam. Jika ditinjau di masjid-masjid sebenarnya tidak ramai yang memanfaatkan peluang yang ada menyertai jemaah malaungkan kalimah agung yang suci ini.

Satu perkata yang perlu ditekankan juga ialah anjuran Rasulullah agar Umat Islam bertakbir dengan suara yang lantang ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat menunaikan Solat Sunat Eidul Fitri walaupun kebanyakan Umat Islam memandang remeh sunnah ini. Bertakbir dengan cara sebegini antara lain sebenarnya bertujuan menyerlahkan keagungan syiar Islam di samping menjadi contoh kesepakatan umat Islam  di mata masyarakat bukan Islam.

Lafaz Ucapan Hari Raya

Lafaz ucapan hari lebaran seperti “Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin” sudah menjadi sinonim bagi Umat Islam di Malaysia. Namun, cara dan lafaz yang lebih bertepatan dalam  meneladani sunnah Baginda ialah berdasarkan apa yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:

Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan  ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu). ( Kitab Fath al-Bari)

Justeru, mulai daripada syawal  pada tahun ini, adalah tidak salah kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W.

Etika Pemakaian

Umum mengetahui,  merupakan satu sunnah kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian terbaik dan tercantik pada hari raya. Imam Syafie menyebut di dalam Kitab al-Umm:

Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.

Adapun bagi  kaum wanita pula walaupun sunnah hukumnya memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah mengelakkan diri daripada  memakai pakaian yang boleh menarik perhatian kaum lelaki seperti pakaian yang  terlalu bercorak-corak, pakaian nipis yang menampakkan bentuk tubuh badan  serta perhiasan yang berlebih-lebihan. Mereka juga dilarang sama sekali memakai wangi wangian yang berlebihan sehingga menarik perhatian orang disekelilingnya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina. ( Hadis riwayat al-Nasaai)

Realiti yang berlaku, ramai para wanita yang tidak pandai mengukur had-had dan etika pemakaian mereka ketika berhari raya sehingga ramai yang kelihatan berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang. Dalam keadaan ini, pahala sunnah yang diharapkan bertukar menjadi dosa jika tidak dipelihara batasan-batasannya..

Kesimpulannya, Setiap usaha dan amalan yang bertujuan meneladani sunnah merupakan batu loncatan kita mengharapkan syafaat Nabi Muhammad S.A.W. Percayalah, amalan sunnah itu dirasakan sesuatu yang asing kerana kita selaku Umat Islam sendiri yang menjadikannya asing. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma ini dapat disambut dengan penuh penghayatan dan kemeriahan  selari dengan perintah Allah dan RasulNya.


________________________
Sumber: Portal Masjid Negara

RAYAKAN AIDILFITRI DENGAN TAKWA


Oleh: Aminudin Mansor

Setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan dengan pelbagai ujian dan dugaan, umat Islam menyambut Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemenangan dan kejayaan.

Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Walau bagaimanapun Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebih-lebihan semasa menyambut hari  perayaan ini.

Firman Allah SWT:

وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾ إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَ‌ٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا ﴿٢٧﴾

Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (al-Israa’:26-27)

Oleh itu umat Islam mestilah menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh bermakna melakukan perkara-perkara kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara mungkar .Amalan pada malam Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan berzikir.Takbir raya eloklah dilakukan di mana sahaja dan  pada sebarang waktu, sama ada selepas sembahyang fardhu, ketika menziarahi saudara-mara, menerima tetamu dan sebagainya.

Secara khususnya waktu takbir Hari Raya Aidilfitri bermula dari sejak matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan.

Takbir Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan bertakbir pada sepanjang malam hari raya tersebut sama ada dirumah, masjid,surau  dan sebagainya.   Di setengah kampung dan tempat, amalan bertakbir sudah menjadi kebiasaan dan tradisi yang baik yang diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah-rumah jiran atau saudara-mara bagi merapatkan silatul rahim di samping menjamu hidangan yang disediakan.

Amalan dan nilai murni menyambut hari raya Aidilfitri seperti ini wajarlah dikekalkan. Daripada Abu Umamah RA, daripada Rasulullah SAW sabdanya:

Sekiranya mengerjakan amal ibadat pada malam  Hari Raya (Aidifitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu” (HR Ibnu Majah)

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan selepas hijrah. Dalam hal ini Anas bin Malik berkata; Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu penduduk Madinah telah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka  rayakan. Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan  dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha” –    (HR: Ahmad, Abu Daud, Nassa’ei dan Al-Baihaqi)

Allah SWT. berfirman:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾

…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur” – (Al-Baqarah: 185)

Jelaslah bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan petunjuk yang diberikan-Nya. Antara cara kesyukuran yang patut ditunjukkan ialah kesederhanaan dalam apa juga  keadaan ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tanpa pembaziran, boros, atau menunjuk-nunjuk.

Amalan dan nilai murni yang wajar dilakukan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah menghidupkan malam dengan ibadat.  Antara ibadat tersebut ialah banyakkan berzikir, istighfar,bersedekah, membaca al-Quran dan memuji kebesaran Allah SWT. Manakala amalan yang baik sebelum menunaikan sembahyang hari raya disuruh mandi bersugi (membersihkan gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.

Sewajarnya dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata,

Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami”.

Amalan mulia ini haruslah digalakkan kepada umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Buraidah berkata; “Rasulullah SAW tidak berangkat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri sebelum baginda SAW makan. Sebaliknya untuk sembahyang Aidilfitri, Rasulullah SAW tidak makan sebelum selesai mengerjakan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, barulah Rasulullah SAW Memakan hati binatang yang telah dimasak iaitu kurbannya”.

Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya Aidilfitri antaranya menggeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Menziarahi kubur juga digalakkan dilakukan pada hari raya Aidilfitri seperti yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini, sebagai mengingati mereka yang telah pergi.

Kesimpulannya, sambutan Hari Raya Aidilfitri bolehlah dilakukan mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam dengan melakukan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian ziarah-menziarahi sesama sanak saudara, sahabat handai juga jiran tetangga untuk mengukuhkan silatul rahim di kalangan umat Islam dan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah atas segala nikmat-Nya serta meraikan kejayaan menunaikan sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

MALAM NUZUL QURAN 17 RAMADAN


Pada setiap 17 Ramadhan , umat Islam memperingati tepat ulangtahun Malam Nuzul Quran yang berlaku pada 610M. Nuzul Al-Quran adalah salah satu rahmat Allah swt yang terbesar buat umat manusia sejagat. Ia mempunyai ingatan dan pengajaran yang besar kepada kita pada hari ini, bahkan kepada kesemua bani insan hingga ke Hari Kiamat.

 Nuzul Quran bererti “Penurunan Al-Quran” oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw melalui Jibril pada malam 17 Ramadan tahun 610M di Gua Hirak, di puncak bukit Jabal Nur, Makkah Al-Mukarramah. Ketika nabi Muhammad saw sedang mengasingkan diri dari kekufuran dan kemaksiatan kaumnya di Mekah, datang Jibril menyampaikan 5 ayat pertama Surah Al-Alaq (Iqrak, bismirabbaikalladzi khalaq …) sekaligus terlantiklah Nabi Muhammad saw sebagai Rasul Allah yang terakhir dan Nabi Akhir Zaman.

Diantara pengajaran-pengajaran Nuzul Quran ialah :

(1) Allah swt memilih para rasulnya dikalangan mereka yang memiliki peribadi yang mulia. Jika kita hendak mewarisi peranan para Anbiyak ini, maka kita juga seharusnya memiliki akhlak yang luhur, keikhlasan yang tinggi dan ketabahan yang tidak berbelah bagi.

(2) Walaupun belum dipilih menjadi Nabi dan Rasul, Nabi Muhammad saw telah dapat menilai keburukan tingkahlaku kaum Quraisy yang telah menjadi adat kebiasaan turun temurun seperti minum arak, zina, membunuh anak, riba, menipu dalam timbangan, menindas orang lain, membezakan manusia berdasarkan warna kulit dan sebagainya. Kesemua ini menyebabkan Baginda saw mengasingkan dirinya di Gua Hirak. Oleh itu diantara pra-syarat utama bagi seorang daie (pendakwah) ialah kebencian hatinya terhadap keruntuhan yang sedang berlaku didalam masyarakatnya, walaupun ianya telah nampak biasa dan menebal serta menjadi lumrah dalam masyarakat.

Jahiliyah hari ini tidak kurang parahnya seperti arak, zina, buang anak, rasuah, kezaliman ke atas orang lain dan sebagainya. Persoalannya, adakah kesemua ini menyebabkan seseorang itu insaf keadaan tersebut, luluh hatinya mengenangkan nasib umatnya dan bertekad bersungguh-sungguh untuk merubah keadaan tersebut ? Atau saban hari dia membaca akhbar dan mendengar berita yang menyedih dan menjijikkan, namun kesemua itu tidak mengesani jiwanya dan menggerakkan anggotanya untuk berdakwah?

Terdapat orang Melayu yang pilih untuk bertapa (mengasingkan diri didalam gua, hutan, pondok dll) untuk mencontohi Rasulullah saw bertapa di dalam Gua Hirak. Mereka tersilap. Mereka bertapa di tempat tersembunyi dan tidak nampak atau bergelumang dengan masyarakat, sedang dari Gua Hirak, Nabi Muhammad saw dapat melihat bandar Mekah (foto di atas), bahkan Masjidil Haram dan Kaabah (yang bercahaya terang di tengah-tengah foto) dengan jelas dan menyeluruh, merenung dan berfikir bagaimana untuk mengubah kaumnya. Setelah Nuzul Quran dan mendapat panduan Ilahi dalam berdakwah, Nabi saw berkerja keras siang malam dan bergelumang dalam mesyarakat, tidak naik lagi ke Gua Hirak. “Telah berlalu masa tidur wahai Khadijah”, kata Nabi saw kepada isterinya.

(3) Membaca atau “Iqrak” mempunyai peranan yang sangat penting kepada masyarakat Islam dan diantara sebab utama dalam merubah nasib mereka. Hampir ianya menjadi salah satu ciri umat di Barat yang memimpin dunia hari ini. Adapun di Dunia Islam, minat kepada membaca masih belum melata dan menebal.

(4) Betapa hebat dan kuatnya jiwa Rasulullah saw dalam bukan sahaja menerima ayat-ayat Al-Quran tetapi juga menerima bebanan Dakwah yang terkandung didalam ayat-ayat tersebut. Baginda saw hanya menggigil ketakutan tetapi tidak binasa jiwanya. Sekiranya pada malam itu Al-Quran diturunkan bukan kepada Baginda saw, tetapi kepada Gua Hirak atau Jabal Nur itu sendiri, nescaya akan pecah bukit tersebut lantaran tidak tertanggung amanah yang diberikan oleh Allah swt. “Kalau Kami turunkan Al-Quran ini keatas bukit, nescaya engkau akan melihatnya tunduk dan pecah kerana takut kepada Allah. Demikian perumpamaan Kami berikan kepada manusia supaya mereka berfikir” (Al-Quran).

Alangkah jauhnya ramai umat Islam zaman kini yang tidak membaca Al-Quran. Jika membacanya, ramai pula yang tidak memahaminya. Jika memahaminya, ramai pula yang tidak takut, tidak kecut, tidak mengigil kerana takut kepada Penurunnya dan kepada amanah-amanah yang terkandung didalamnya yang mesti dilaksanakan !! 

Di belakang ialah bukit Jabal Nur dan dipuncaknya yang teratas sekali (kiri) terdapat Gua Hirak. Al-Quran diturunkan ke hati Nabi saw menyebabkan Baginda saw mengigil. Jika Al-Quran diturunkan ke atas bukit Jabal Nur, nescaya ia akan pecah. Semoga Allah swt mengurniakan kita hati-hati yang kental seperti hati Rasulullah saw yang lebih kental dari bukit Jabal Nur. Perjuangan Islam memerlukan mereka yang mempunyai hati-hati yang kental terutama dalam menghadapi dugaan-dugaan yang sangat mencabar dan dalam berbagai bentuk dan format. Kita inginkan ramai para Duat yang memiliki hati yang kental. Kita mohon perlindungan Allah dari menjadi mereka yang berdakwah bukan dari kefahaman Seerah dan keimanan mendalam, sebaliknya dari semangat muda dan keluangan masa. Bila tamat pengajian, berada di alam kerja, wang ringgit, kereta dan banglo, hati-hati yang kurang kental menjadi tawanan dunia dan disibukkan ke arah halatuju dan jalan yang lain pula.

(5) Tidak lengkap mengingati malam Nuzul Quran jika tidak menyebut nama Khadijah ra, isteri tersayang Rasulullah saw. Ketika Rasulullah saw mengigil ketakutan, Khadijah ra tenang lagi menenangkan suaminya !! “Aku takut akan diriku (akan ditimpa musibah dek jembalang tersebut)”, sabda Rasulullah saw, ketika menceritakan pertemuannya dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

Kalla !!! Ma yukhzikallahu abada !!!” (Sekali-kali tidak !!! Allah tidak akan membuat sesuatu yang buruk kepada kamu !!! Sesungguhnya engkau menghubungkan Silaturrahim, menyumbang kepada orang yang tidak mempunyai harta, memikul bebanan (orang yang memerlukan bantuan) … “,

Tegas Khadijah ra dengan penuh kasih sayang yang yakin akan latarbelakang suaminya yang bersih, tidak mungkin sebersih itu Allah swt akan mendatangkan suatu yang buruk kepada insan yang sebegitu dikenalinya. Rasulullah saw beriman dalam keadaan menggigil dan ketakutan yaitu ketika bertemu dengan Jibril. Khadijah ra pula beriman dalam keadaan kasih dan yakin yaitu ketika bertemu dan mendengar apa yang diceritakan oleh suaminya, Rasulullah saw.

Khadijah bukan sahaja beriman tetapi menTasdiqkan imannya. Tasdiq lebih tinggi dari Iman. Tasdiq ialah membenarkan kepercayaan (Iman) dengan amal perbuatan dan pengorbanan. Khadijah ra membenarkan Imannya dengan memberi dorongan kepada Rasulullah saw dalam berdakwah, menghulurkan harta kekayaannya demi kemajuan dan memberi lonjakan kepada Dakwah Islam lebih-lebih lagi di Tahun-tahun Pemboikotan yang zalim. Oleh itu Jibril telah memaklumkan kepada Rasulullah saw bahawa satu rumah di Syurga telah dibina untuk Khadijah ra. Nabi saw pula bersabda bermaksud,

Demi Allah !! Allah belum pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepada aku ketika manusia lain mengkufuri aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku dan tidak mempercayai risalah yang aku bawa. Dia memberi aku akan harta-hartanya ketika manusia lain mengenakan pemboikotan kepada aku …”.

Selama 23 tahun Nabi saw berdakwah yang penuh dengan peperangan dan penekanan, namun hanya tahun kematian Khadijah ra Nabi menamakan tahun tersebut ‘Aam Al-Huzn’ (Tahun Kesedihan).

Di tanah Perkuburan Al-Ma’la. Di belakang tingkap-tingkap hijau adalah kubur isteri pertama Rasulullah saw, Khadijah binti Khuwailid ra dan Asmak binti Abu Bakar ra.

Itulah umat yang terdahulu. Bagi mereka (pahala) terhadap prestasi mereka, dan bagi kamu adalah prestasi kamu” (Al-Quran).

(6) Penurunan Wahyu dan berhubungnya Langit dengan bumi melalui perantaraan Wahyu adalah suatu nikmat yang hanya dirasai oleh para Sahabat ra dan mereka yang memahami Al-Quran dan merasai kemanisannya. Ummu Aiman adalah seorang sahabiah yang hidup panjang di zman Nabi saw dan Khulafak Rasyidin. Di zaman Khulafak Rasyidin, pada suatu hari para Sahabat ra melihat beliau menangis, lalu berkata, “Kenapa menangis wahai Ummu Aiman, bukankah Rasulullah saw kini berada ditempat yang lebih baik?”. Ummu Aiman ra menjawab,

Saya mengetahui bahawa Rasulullah saw kini berada di tempat yang lebih baik, tetapi yang menyebabkan saya menangis ialah kerana Wahyu kini telah terputus (tidak seperti di zaman Nabi saw masih hidup)”.

Apakah nikmat yang lebih hebat dari menerima kalam Allah swt yang turun dari langit, menerang dan membimbing, menegur dan memberi amaran, mendidik dan menguatkan jiwa hingga mereka menjadi Khaira Ummah Ukhrijat linnas (Umat yang terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia). (rujuk kitab tafsir Fi Dzilalil Quran oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb, surah Al-Alaq).

Tiada kesejahteraan dan kejayaan bagi masyarakat dunia dulu, kini dan akan datang melainkan hidup berpandukan Al-Quran yang diturunkan oleh Tuhan Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana. Itu adalah keyakinan orang-orang yang beriman. Bahkan itu adalah kesimpulan orang-orang yang berpengalaman melihat dan mengamati kesudahan mereka yang engkar dan membelakangi undang-undang Al-Quran samada dikalangan orang-orang kafir atau mereka yang mengaku Islam.

Berjalanlah kamu dimuka bumi dan lihatlah kesudahan orang-orang yang mendustakan (Al-Quran) …” (Al-Quran).

Ustaz Halim INIJALANKU  www.inijalanku.wordpress.com

%d bloggers like this: