MENGENAI DARAH ISTIHADHAH


Oleh: Ustaz Mohammad Elias b Abdul Jalil

Pengenalan Istihadhah

Istihadhah dari sudut bahasa mengalir dan berterusan.

Dari sudut syara`: Darah penyakit yang keluar dari hujung urat di bawah rahim perempuan melebihi masa sebanyak-banyak haidh dan masa sebanyak-banyak nifas sama ada keluar mengiringi darah haidh atau tiada. Kata setengah ulama` istihadhah ialah darah yang berhubung dengan darah haidh, semantara yang lainnya ialah darah pasad / rosak, seperti darah yang keluar dari pada perempuan yang belum sampai umur kedatangan haidh. Kata Sehik Ibnu Hajar perselihan itu hanya pada lafas jua tidak pada makna,

Istihadhah adalah hadas yang sentiasa, seumpama air kencing, wadi atau maziyang yang sentiasa keluar. Dengan itu ia tidak menegah daripada sembahyang, puasa, bersetubuh dan sebagainya, maka tidak diharamkan atas perempuan yang istihadhah dan orang yang sentiasa keluar air kencing, mazi atau wadi pekara yang diharamkan atas perempuan yang berhaidh atau yang bernifas.

Jenis-jenis Istihadhah

Darah istihadhah terbahagi kepada empat.

  1. Darah yang keluar sebelum umur haidh.
  2. Darah yang keluar kurang dari tempoh haidh
  3. Darah yang keluar melebihi tempoh haidh.
  4. Darah yang keluar melebihi tempoh nifas.

Langkah-langkah Yang Wajib Diambil Apabila Hendak Mengerjakan Solat

Wajib keatas perempuan yang isthadhah membasuh farajnya dan menyumbatnya dengan umpama kapas, jika tidak kesakitan dan tidak berpuasa. kewajibpan menyumbat disebab darahnya mengalir keluar, jika darahnya tidak keluar, tidak perlu menyumbatnya. Jika tidak memadai dengan sumbat sebab banyak darah dan tiada tertahan darah melainkan dengan cawat, maka wajib ia mencawatnya apabila tidak kesakitan. Adapun jika kesakitan  dengan sumbat atau cawat, tiada wajib kedua pekara itu. Dan jika ia berpuasa maka wajib atasnya meningalkan sumbat pada siang hari. Kemudian jika keluar darah setelah disumbat dan bercawat dengan ketidan cuai pada menyumbat dan mengikat cawat maka tidak mengapa, jika ada keluar darah.

Selepas itu hendaklah ia mengambil wuduk atau tayamum, jika ia memerlukan tayamum. Hendaklah kesemua ini dilakukan didalam waktu sembahyang. Tidak memadai dilakukan pekara ini sebelum masuk waktu. Dan wajib empat pekara ini dengan tertib seperti yang tersebut itu dan hendaklah dilakukan dengan segera. Kemudian hendaklah ia bersegera sembahyang, kerana mengurangkan hadas semungkin yang boleh. Tidak mengapa terlambat sedikit kerana maslaha sembahyang / pekara yang bergantung dengan sembahyang, seperti menutup aurat, menanti sembahyang berjemaah, menjawab orang bang dan ikamah dan baranng sebagainya daripada segala kesempurnaan sembahyang yang dituntut mengerjakannya. Jika dia terlambat bukan kerana maslaha sembahyang seperti makan batal wuduknya atau tayamum maka wajib dia mengulangi prkara di atas yani membasuh faraj, sumbat, cawat dan wuduk.

Wajib pula dia ulang membasuh farajnya, sumbat serta cawat dan berwuduk atau tayamum apabila ia hendak sembahyang fardu yang lain, demikianlah seteusnya pada sembahyang yang lain, sekalipun tidak tangal cawatnya dan tiada kesan darah pada tepi cawat. Adapun sembahyang sunat, tida perlu dia mengulang pakara yang tersebut itu.

Semua itu wajib diulang sekiranya darah ada pada cawat. sekiranaya tiada darah sama sekali maka hendaklah dia mengikat cawatnya sahaja dan jika ada darah tetapi darah itu dimaafkan maka dia wajib mengikatnya dan wajib mengambil wuduk.

Cara Membezakan Sifat Darah

Darah haidh dapat dibezakan daripada darah istihadhah dengan beberapa sifat

1. Perbezan pada warna maka warna yang terlebih kuat adalah hitam kemudian merah kemudian keemasan bercampur merah kemudian kuning kemudian keruh.

2.  Perbezan pekat atau cair darah maka yang pekat terlebih kuat daripada yang cair.

3. Perbezan pada bau maka yang berbau busuk terlebih kuat daripada yang kurang baunya.

4. Yang bersifat dengan dua sifat seperti hitam lagi pekat atau bau busuk terlebih kuat daripada yang bersipat dengan satu sifat seperti hitam sahaja.

5. Yang bersifat dengan tiga sifat seperti hitam, pekat lagi berbau busuk terlebih kuat daripada yang bersifat dengan dua sifat.

6. Apabila bertembung dua darah yang sama kuatnya seperti darah hitam serta pekat bertembung dengan hitam serta bau busuk maka yang terlebih dahulu itulah yang kuat.

Syarat Haidh Apabila Berhimpun Beberapa Sifat Darah

Jika berhimpun darah yang kuat seperti hitam dan yag dhaif seperti merah dan yang terlebih dhaif seperti kuning maka kesemua darah itu dikira haidh dengan tiga syarat

1. Terdahulu darah yang kuat daripada yang dhaif.

2. Hendaklah berhubong sekelian darah itu.

3. Tidak melebihi perhimpunan sekelian darah itu daripada    lima belas hari.

Kesemua sifat-sifat darah tidaklah diangap haidh melainkan datangnya dalam tempuh haidh. misalnya seorang wanita yang berumu sembilan tahun atau lebih melihat darah sama ada satu sifat seperti hitam pada tiap-tiap hari pada sekelian hari-hari haidh, atau beberapa sifat, seperti dia melihat darah yang berwarna hitam pada tiga hari permulan keluar darah dan empat hari berikutnya berwarna merah diikuti satu hari kuning, maka kesemua sifat itu dikira darah haidh kerana mengikut syarat diatas.

Apabila sifat darah yang berlainan melebihi lima belas hari, maka sifat yang melebih lima belas hari bukanlah haidh. Seperti melihat mereka itu aka darah  berwarna hitam lapan hari kemudian enam belas hari berwarna merah, maka darah hitam adalah haidh dan darah merah bukannya haidh. Dengan itu mereke  kedatangan haidh hanya lapan hari. Lagi akan datang keterangannya pada tajuk Masalah masalah yang boleh terjadi semasa seorang wanita berhaidh,  إن شاء الّلة تعالى

Syarat Tamyiz (Membezakan Sifat Darah)

Seorang wanita yang kedatangan darah berterusan dan  darahnya berlainan sifat seperti hitam kemudian merah maka jika kita hukumkan darah yang kuat sebagai haidh hendaklah dengan tiga syarat.

  1. Tidak kurang darah yang kuat daripada sehari semalam
  2. Tidak melampau darah yang kuat daripada sebanyak-banyak haidh
  3. Tidak kurang darah daif daripada sekurang-kurang suci / lima belas hari lima belas malam serta berturut.

Apabila tidak diperolih syarat-syarat yang tersebut seperti kurang darah yang kuat daripada sekurang-kurang haidh atau melebehi daripada sebanyak-banyak haidh atau kurang yang daif daripada sekurang-kurang suci atau tidak beturut-turut ia seperti melihat seorang akan darah sehari hitam,sehari merah,sehari hitam, sehari merah dan begitu seterusnya maka perempuan itu ketiadan syarat tamyiz

Syarat yang ketiga tempatnya apabila berkekalan darah, adapun jika putus ia seperti melihat perempuan  darah hitam sepuloh hari kemudian darah merah sepuloh hari kemudian berhenti darahnya maka hendaklah ia mengamalkan perbezan darah.

Keadaaan-keadaan Wanita Mustahadhah

Apabila seorang wanita kedatangan darah melebihi sebanyak-banyak haidh maka padanya jadi bercampur antara darah haidh dan istihadhah yang memungkinkan salah satu daripada tujuh keadan

  1. Wanita yang pertama kali kedatangan haidh dapat membezakan sifat darahnya. Contohnya seorang perempuan kedatagan darah yang kuat seperti berwarna hitam sepuloh hari kemudian bertukar darah yang lemah seperti merah untuk beberapa lama maka darah hitam adalah haidh dan darah merah darah istihadhah dengan syarat tidak kurang darah yang kuat daripada sekurang-kurang haidh, tidak melebehi ia sebanyak-banyak haidh dan tidak kurang darah yang daif daripada sekurang-kurang suci.
  2. Wanita yang pertama kali datang haidh tidak dapat membeza darah yang keluar / tidak ada syarat tamyiz seperti merah sekeliannya hinga beberapa bulan maka haidhnya sehari semalam sahaja dan darah yang lain istihadhah
  3. Wanita yang pernah datang haidh / beradat datang haidh, kemudian datang darah beterusan dan dia dapat membezakan sifat darahnya maka hendaklah ia mengira haidhnya mengikut sifat yang tidak melebehi sebanyak-banyak haidh. Seperti hitam lima hari pada permulannya kemudian tujuh hari darah berwarna merah dan mengiringi darah berwarna kuning beterusan, maka darah hitam dan merah adalah haidh dan darah yang berwarna kuning darah istihadhah.
  4. Wanita yang pernah kedatangan haidh sebelum berlaku istihadhah dan ia tidak dapat membezakan sifat darah yang keluar, tetapi ia Ingat tempoh haidh seperti tiga hari, tujuh hari atau sebagainya dan ingat masanya, seperti awal bulan, pertengahan bulan atau akhirnya maka Ia  dikehendaki mengikut adat hidh dan sucinya pada kadar dan  waktunya. Misalnya perempuan yang kedatangan darah lima hari pada awal bulan, bulan yang pertama, kemudian pada bulan yang kedua darahnya berterusan / isthadhah, maka darah haidhnya lima hari pada tiap-tiap awal bulan sementara baki darah yang keluar adalah isthadhah. Yang dikehendaki dengan adat disini memada sekali  datang haidh atau berulang-ulang adatnya. Wanita yang adatnya berkekalan lima hari pada tiap-tiap bulan kemudian berpindah adatnya kepada enam hari pada satu bulan sebelum isthadhah, kemudian isthadhah ia maka dihitungkan haidhnya mengikut bulan sebelum dia kedatangan isthadhah iaitu enam hari. Adapun jika adatnya berlain-lainan lagi teratur dan berulang duakali tiap-tiap satu, seperti berhaidh ia pada bulan yang pertama tiga hari, bulan ke dua lima hari,bulan ke tiga tujuh hari, bulan ke empat tiga hari bulan ke lima lima hari,bulan ke enam tujuh hari dan bulan seterusnya isthadhah,Maka bulan yang ke tujuh dihukumkan haidhnya tiga hari, bulan ke lapan lima hari dan bulan yang ke sembilan tujuh hari begitu lah seterusnya pusingan hukumnya. Maka jika tidak berulang dua adatnya, seperti mula isthadhahnya pada bulan yang ke empat seperti misal di atas hendaklah dikira haidhnya bulan yang sebelum datang isthadhah yaitu tujuh hari, jika tahu seorang masanya.
  5. Perempuan yang  ingat tempoh haidh tidak ingat masa kedatangan haida maka ia dipangil  mutahairah, lihat pada tajuk mutahairah.
  6. Perempuan yang ingat masa tdak tempuh, lihat pada tajuk mutahairah
  7. Perempuan yang  tidak ingat tempuh dan masa di pangil mutahairah mutlaqah. Lihat pada mutahayyirah

Ringkasan: Keadaan Perempuan Yang Musthadhah

Permulan datang darah terbahagi kepada dua

1. Dapat membezakan sifat darah, maka haidhnya mengikut perbezan darah.

2. tidak dapat membezakan sifat darah, maka haidhnya sehari semalam

Beradat Datang Darah Terbahagi Lima

1. dapat membezakan sifat darah, haidhnya mengikut perbezan darah

2. Tidak dapat membezakan sifat darah ada empat

  1. Ingat kadar dan waktu, haidhnya mengikut adat kedatangan darah
  2. Ingat kadar  lupa waktu, mutahayyirah  ( نَسِيئَة ) lalai
  3. Ingat waktu lupa kadar, mutahayyirah ( نَسِيئَة ) lalai
  4. Lupa keduanya, mutahayyirah ( مُطْلَقَة ) mutlakah

Peringatan:

Dengan semata-mata melihat perempuan akan darah pada masa yang ptut haidh, Wajib atasnya meningalkan sembahayang, puasa dan sebagainya dari pada suatu yang haram dikerjakan pada ketika haidh. Kemudian jika putus darahnya sebelum sehari semalam, nyatalah darah yang keluar itu bukan haidh, maka wajib atasnya mengqada`kan sembahayang dan puasa yang luput semasa kedatangan darah. Adapun jika putus darah itu kemudian daripada sehari semalam, maka nyatalah darah yang keluar itu adalah haidh.

Dengan semata-mata putus darah wajiblah dia mandi kerana mengarjakan ibadah seperti sembahayang dan sebagainya.kemudian apabila kembali darah sebelum  genap lima belas hari serta malamnya wajib pula ia meningalkan sembahayang dan sebagainya dari pada pekara yang mensyaratkan bersuci  dan jika putus pula wajib ia mandi dan sembahayang dan puasa hinga melebehi lima belas hari; pada ketika itu ia kembali kepada kebiasan haidh jika ia pernah kedatangan haidh sebelum ini atau pun dihukumkan darah haidhnya sehari semalam sahaja jika dia belum pernah kedatangan haidh,adapun darah yang tidak melebihi lima belas hari nyatalah bahawa tiap-tiap daripada darah dan selang-selang yang tidak ada darah dikira perempuan itu dalam haidh . maka bulan seterusnya hendaklah dikerjakan hukum haidh seperti sebelumnya .Maknanya perempuan itu hendak lah meningalkan sembahayang, puasa dan sebagainya walau pun pada ketika suci yang menyelangi antara dua haidh.

Advertisements

MENGENAI DARAH NIFAS


Darah Nifas

Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Apa yang dimaksudkan darah nifas?

Darah nifas ialah darah yang keluar dari faraj wanita kerana melahirkan anak.

Adakah darah yang keluar sebelum lahirnya anak juga dikira darah nifas?

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita sebaik sahaja selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Namun mereka berikhtilaf berkenaan darah yang keluar bersama dengan bayi atau sebelum kelahiran bayi; adakah termasuk darah nifas atau tidak?;

1. Bagi pandangan mazhab Syafi’ie; Darah nifas ialah darah yang keluar selepas lahirnya bayi sepenuhnya. Oleh demikian, darah yang keluar bersama bayi atau sebelumnya bukan darah nifas. Ia sama ada darah haid (jika ia sedang haid kerana mazhab Syafi’ie berpandangan harus wanita hamil kedatangan haid) atau darah fasad jika bukan haid.[1]

2. Di sisi mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit, begitu juga darah yang keluar bersama dengan keluarnya bayi adalah dikira darah nifas sama seperti darah yang keluar selepasnya.

3. Mengikut mazhab Imam Malik pula; darah nifas ialah darah yang keluar ketika bersalin dan selepasnya. Adapun darah yang keluar sebelum bersalin, maka ia bukan darah nifas tetapi darah haid di sisi mereka.

Berapa lamakah tempoh paling pendek bagi darah nifas?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam masalah ini;

1. Mengikut mazhab Syafi’ie; tempoh nifas paling pendek (selepas seorang wanita melahirkan anak) ialah ialah seketika atau sedetik (لحظة).

2. Para fuqahak yang lain berpendapat; tidak ada had bagi tempoh minima nifas kerana tidak terdapat nas Syarak menentukannya.

Adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi s.a.w. melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil-Jufuf iaitu wanita yang kering.

Berapa lamakah tempoh paling panjang bagi darah nifas?

Masalah ini juga diikhtilafkan oleh ulamak;

1. Jumhur ulamak –merangkumi ulamak-ulamak sahabat, mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, as-Sauri dan sebagainya- berpandangan; tempoh nifas yang paling panjang ialah 40 hari. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan;

Wanita-wanita bersalin pada zaman Nabi s.a.w. menunggu (selepas bersalin) hingga 40 hari” (HR Imam at-Tirmizi).

Berdasarkan pandangan jumhur ini; wanita bersalin jika ia mendapati darah masih keluar dari kemaluannya walaupun selepas 40 hari, maka darah yang keluar selepas 40 hari itu bukan lagi darah nifas, akan tetapi darah penyakit (istihadhah). Oleh itu, selepas 40 hari itu hendaklah ia mandi wajib dan menunaikan solat walaupun darah masih keluar. Keadaannya sama seperti wanita yang istihadhah dan tertakluk dengan hukum-hakamnya sebagaimana yang akan diterangkan nanti.

2. Imam Syafi’ie dan mazhabnya mempunyai pandangan berbeza dari pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, mengikut pandangan ini; darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas. Imam Syafi’ie berhujjah berdasarkan pengalaman, yakni menurut pengalaman dan pemerhatian beliau; terdapat wanita yang pernah mencapai tempoh nifas hingga 60 hari. Adapun tempoh 40 hari yang disebut oleh Ummu Salamah dalam hadis di atas, itu adalah tempoh kebiasaan nifas bagi kebanyakan wanita, bukan bermaksud tempoh maksimanya.

Bagaimana jika kelahiran melalui pembedahan?

Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan itu, darah itu adalah darah nifas. Jika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci. Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui jalan biasa atau dengan pembedahan.

Bagaimana dengan suci antara hari-hari nifas? Adakah masih dianggap dalam nifas atau dianggap dalam suci?

Seorang wanita selepas bersalin melihat darah keluar dari farajnya lima hari, kemudian ia mendapati empat hari berikutnya darah berhenti, kemudian datang semula selepas itu selama lima hari; apa kedudukannya pada hari-hari ketiadaan darah itu, adakah ia suci atau masih dianggap bernifas?

Jawapannya; menurut pendapat ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; jika tempoh berhenti darah itu l5 hari atau lebih, maka ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Darah yang keluar selepas itu dikira darah haid. Adapun jika kurang dari 15 hari, maka ia masih dianggap berada dalam nifas mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab. Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita itu dianggap tidak bernifas.

Bagaimana dengan wanita yang melahirkan bayi kembar?

Bagi wanita yang melahirkan anak kembar, menurut mazhab Syafi’ie; nifasnya dikira selepas kelahiran bayi kedua. Adapun darah yang keluar selepas kelahiran bayi pertama ia tidak dianggap darah nifas, tetapi darah haid jika berbetulan dengan kebiasaan haidnya atau dikira darah fasad/illah jika tidak berbetulan dengan kebiasaan haidnya.

Bagaimana dengan wanita yang keguguran anak? Adakah darah yang keluar selepas gugur itu dikira darah nifas?

Persoalan ini menjadi perbahasan di antara ulamak;

1. Mazhab Syafi’ie berpandangan; tidak disyaratkan untuk dikira darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan bidan mengesahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2. Menurut mazhab Imam Malik; seorang wanita dikira bernifas jika janin yang gugur itu telah berumur empat bulan. Jika yang gugur itu baru dalam peringkat ‘alaqah atau mudghah, maka tidak dikira nifas bagi darah yang keluar selepasnya.

Apakah hukum wanita yang berada dalam nifas?

Telah disepakati oleh sekelian ulamak (yakni telah berlaku ijmak) bahawa wanita yang menghadapi nifas hukumnya menyamai wanita yang haid. Oleh itu, dilarang/diharamkan ke atasnya perkara-perkara yang dilarang/diharamkan ke atas wanita yang kedatangan haid. Dan ia wajib mandi apabila kering darah nifasnya untuk membolehkannya melakukan solat, berjimak dengan suaminya dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang tidak harus ia lakukan melainkan setelah mandi wajib.

Nota Hujung;

[1]Para ulamak mazhab Syafi’ie memperincikan syarat darah nifas dengan penjelasan; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas. Disyaratkan juga, darah itu keluar sebaik sahaja selepas kelahiran iaitu dalam tempoh lima belas hari. Adapun selepas 15 hari atau lebih baru darah keluar (yakni sebelum itu darah tidak keluar walaupun setitik), maka darah yang keluar itu tidak dianggap darah nifas. Ia dianggap darah haid.

BAB DARAH WANITA – DARAH HAID


Oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

DARAH HAID

Berapa jeniskah darah yang keluar melalui kemaluan wanita (mengikut ilmu Fiqh Islam)?

Darah yang keluar melalui kemaluan wanita ada tiga jenis, iaitu;

1. Darah Haid
2. Darah Nifas
3. Darah Istihadhah

Pembahagian di atas telah menjadi ijmak ulamak (Lihat; Bidayatul Mujtahid, 1/69).

Apa yang dimaksudkan dengan darah haid?

Haid dari segi bahasa bermakna mengalir.

Adapun dari segi istilah ahli Fiqh, ia adalah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita dari dalam rahimnya (uterus) kerana semulajadi (bukan kerana penyakit atau kerana selepas melahirkan anak). Keluarnya pada masa tertentu apabila seorang wanita telah mencapai umur tertentu.[1]

Apakah syarat-syarat darah haid?

Syarat-syarat darah haid ialah;

  1. Warna darah yang keluar menepati ciri-ciri warna darah haid.
  2. Seorang wanita itu telah mencapai umur kemungkinan haid. Maka darah yang keluar sebelum umur tersebut tidak dianggap haid.
  3. Rahimnya kosong dari anak kerana wanita yang hamil tidak mungkin akan kedatangan haid mengikut jumhur ulamak (kecuali Syafi’ie dan Malik).
  4. Hendaklah tempoh kedatangan haid tidak kurang dari tempoh minimanya.
  5. Hendaklah kedatangannya tidak melebihi tempoh maksimanya.
  6. Hendaklah kedatangannya didahului oleh tempoh suci yang paling pendek (iaitu 15 hari mengikut mazhab Syafi’ie) bagi wanita yang telah biasa kedatangan haid.

Jika darah yang keluar memenuhi syarat-syarat di atas, ia adalah darah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid tetapi darah istihadhah.

Apakah warna darah haid?

Menurut ulamak; warna-warna darah haid ada lima, iaitu;

  1. Hitam
  2. Merah
  3. Asyqar (warna antara merah dan kuning)
  4. Kuning
  5. Keruh

Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam).

Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Aisyah r.a. dalam hadisnya) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

Bilakah warna kuning dan keruh dianggap haid dan bila pula tidak dianggap haid?

Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid. Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya tidak dianggap darah haid. Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haid) sebagai sesuatu (dari darah haid)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

Berapakah umur kemungkinan datangnya haid?

Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie, Hanafi, Hanbali dan kebanyakan ulamak mazhab Maliki); sekurang-kurang umur datangnya haid ialah sembilan tahun. Maka menurut pandangan ini, darah yang kelihatan sebelum sembilan tahun bukan darah haid, tetapi darah penyakit (istihadhah).

Sebahagian ulamak mazhab Maliki berpendapat; jika darah keluar dari kanak-kanak perempuan antara umur 9 hingga 13 tahun, hendaklah keadaannya ditanya kepada kaum wanita atau doktor yang berpengalaman. Jika mereka mengesahkan bahawa yang keluar adalah haid, maka darah itu adalah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid.

Wanita yang kedatangan haid –jika umurnya telah genap sembilan tahun mengikut pandangan jumhur tadi-, ia dianggap telah baligh dan dituntut melaksanakan kewajipan-kewajipan Syarak. Ia sama seperti kanak-kanak lelaki yang baligh kerana mimpi hingga keluar mani. Bagi kanak-kanak yang tidak bermimpi atau datang haid, umur balighnya ialah 15 tahun, yakni apabila masuk umur 15 tahun, maka mereka dikira baligh sekalipun tidak datang haid atau tidak berlaku mimpi tersebut.

Berapakah umur putusnya haid?

Menurut mazhab Syafi’ie; tidak ada umur tetap bagi putusnya haid. Ia hendaklah dikiaskan kepada ahli-ahli keluarga terdekat bagi seorang wanita dari pihak bapa dan juga pihak ibu seperti ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu-ibu saudara sebelah ibu. Hal tersebut kerana faktor keturunan. Namun jika perlu untuk dilihat kepada faktor umur, maka Imam Syafi’ie menganggarkan bahawa umur putus haid ialah selepas 62 tahun kerana ia adalah umur kebiasaannya wanita putus haid.

Mazhab Imam Abu Hanifah menetapkan umur putus haid sebagai 55 tahun. Selepas umur tersebut, darah yang keluar tidak lagi dinamakan haid mengikut pandangan yang terpilih dalam mazhab.

Menurut mazhab Maliki pula, umur putus haid dari 50 hingga 70 tahun. Jika darah masih keluar selepas umur 70 tahun, maka ia bukan haid tetapi istihadhah.

Mazhab Imam Ahmad pula menetapkan umur putus haid antara 50 hingga 60 tahun.antara dua tempoh ini merupakah tempoh syak di mana jika seorang wanita melihat darah semasa tempoh ini, maka ia tidak boleh berhenti dari ibadah sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan keluar dari khilaf. Namun jika umurnya genap 60 tahun dan darah masih keluar, maka darah yang dilihatnya bukan darah haid, tetapi istihadhah.

Apa yang perlu dilakukan oleh wanita yang telah putus haidnya?

Wanita yang telah putus haid, ia hendaklah bertindak sebagai perempuan yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain. Dalam masalah eddah pula, ia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan haid atau bilangan suci lagi. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah al-Talaq, ayat 4 yang bermaksud;

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Dan barang -siapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan datang haid?

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah ini;

Menurut jumhur ulamak; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengangdung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah penyakit.

Namun menurut Imam Syafi’ie, Malik dan al-Laits; perempuan mengandung ada kemungkinan datangnya haid. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidnya serta kelihatan ciri haid pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haid.

Berapa lamakah tempoh paling singkat berlakunya haid dan berapa pula tempoh paling panjang atau paling lama?

Dalam menentukan tempoh paling singkat dan tempoh paling panjang bagi haid, para ulamak berbeza pandangan;

  1. Menurut Imam Syafi’ie, Atha dan Abu Thur; tempoh haid yang paling singkat ialah sehari semalam (yakni 24 jam) secara berterusan.[2] Tempoh kebiasaan wanita kedatangan haid ialah selama enam atau tujuh hari. Adapun tempoh paling panjang bagi haid ialah lima belas hari. Maka berdasarkan pandangan ini; jika darah yang datang kurang dari sehari semalam atau melebihi lima belas hari, maka ia bukan darah haid tetapi darah penyakit atau istihadhah.
  2. Bagi Imam Abu Hanifah dan as-Sauri pula; tempoh haid paling singkat ialah tiga hari dan tempoh paling panjang ialah 10 hari.
  3. Mengikut Imam Malik pula, tidak ada batasan bagi tempoh haid yang paling singkat, yakni ada kemungkinan haid datang sedetik sahaja. Adapun tempoh paling panjang, terdapat tiga riwayat dari beliau iaitu; 15 hari, 17 hari atau tiada batasan.
  4. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haid dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haid baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari. Begitu juga tidak ada had bagi umur paling bawah untuk kedatangan haid dan juga umur paling lama/paling hujung. Sama juga, tidak ada had bagi sekurang-kurang masa suci antara dua haid. Menurut beliau lagi; bagi perempuan yang mula-mula kedatangan haid (مبتدأة), maka dikira/dihitung sebagai haid darah yang ia lihat selagi ia tidak menjadi mustahadhah (yakni perempuan yang kedatangan istihadhah iaitu darah yang keluar bukan pada masa yang sepatutnya). Begitu juga, perempuan yang berubah kebiasaan hari-hari haidnya (yakni hari-hari kebiasaan haidnya berubah sama ada bertambah atau berkurang atau bertukar pada hari-hari yang lain), maka perubahan itu adalah dikira haid sehinggalah ia mengetahui bahawa darah yang keluar itu bukan haid, tetapi istihadhah kerana darah yang keluar berterusan tanpa henti.

Suci di antara hari-hari kebiasaan haid; adakah dianggap haid atau tidak?

Dalam persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Mazhab Syafi’ie dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari haid dikira sebagai haid. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haid pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari adalah haid.

Berkata Imam Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna’; “Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minima haid (iaitu sehari semalam) atau lebih adalah dikira haid kerana mengikutinya (yakni mengikuti haid), tetapi dengan beberapa syarat, iaitu;

  1. Tempoh suci itu tidak melebihi 15 hari.[3]
  2. Darah-darah haid (yang keluar secara keseluruhannya) tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam.
  3. Suci itu hendaklah dikelilingi antara dua darah haid”.

b) Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpandangan; hari suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah dikira suci. Oleh demikian, seorang wanita pada hari suci tersebut hendaklah mandi dan menunaikan solat, harus ia berpuasa, beriktikaf, membaca al-Quran dan tidak ditegah suaminya mensetubuhinya pada hari suci itu.

Apakah larangan-larangan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid?

Wanita kedatangan haid dilarang/diharamkan oleh Syarak untuk melakukan perkara-perkara berikut;

  1. Mengerjakan solat
  2. Melakukan tawaf
  3. Menyentuh mushaf dan membawanya
  4. Membaca al-Quran
  5. Berhenti atau menetap di dalam masjid (termasuk beriktikaf)
  6. Melintasi masjid jika dikuatiri akan mencemarkan masjid
  7. Berpuasa
  8. Bersetubuh dengan suami
  9. Dijatuhkan talak ke atasnya

(*Untuk mendapatkan keterangan lebih terperinci sila baca dalam Bab Hadas yang dikemukakan sebelum ini)

Semua larangan di atas tidak terangkat kecuali setelah mandi wajib melainkan tiga larangan sahaja iaitu; puasa, talak dan melintasi masjid di mana ketiga-tiga larangan ini terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut harus dilakukan.

Bilakah wanita haid dibolehkan mandi wajib?

Bila ia mendapati darah haidnya telah habis, yakni telah kering. Sabda Nabi s.a.w. dalam hadis ‘Aisyah r.a. (mengikut satu riwayat darinya); “Apabila haid kamu telah habis, maka mandilah dan tunaikanlah solat”.

Apakah caranya untuk memastikan darah haid benar-benar habis?

Hendaklah dilakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak. Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haid belum habis.

Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Nota Hujung;

[1] Takrif ini adalah hasil gabungan pelbagai takrif ulamak. Lihat; al-Haidh wa an-Nifas wa Ahkami at-Taharah Lin-Nisa’, Ibrahim Muhammad Jamal, hlm. 18-19.
[2] Tidak disyaratkan berterusan itu dengan darah kelihatan mengalir keluar. Memadai dengan diketahui bahawa darah itu ada iaitu sekira-kira jika diletakkan kapas atau kain, akan terlihatlah kesan darah padanya.
[3] Jika seorang wanita mu’tadah melihat darah berwarna hitam selama lima hari, kemudian ia suci 15 hari, kemudian ia lihat selepas itu darah kuning selama lima hari pula, maka darah kuning itu adalah haid. Adapun tempoh 15 hari di antara darah hitam dan darah kuning itu dikira sebagai tempoh suci yang sempurna. (Ahkam at-Taharah, hlm. 67)

%d bloggers like this: