• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

BEBERAPA ISU DALAM PLURALISME AGAMA


Kertas ini adalah salah satu dari yang dibentangkan semasa Wacana Fahaman Pluralisme Agama dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam:

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله  الكريم

Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama – Satu Pengamatan Ringkas

Oleh: Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Mungkin ada mereka di kalangan Muslimin yang boleh tertarik hati, selepas beberapa dekad dalam menjalankan kegiatan dakwah dan keilmuan di Dunia Melayu Sunni ini, kepada aliran-aliran baharu yang muncul di Barat, seperti misalnya aliran ‘pluralisme agama’ atau ‘religious pluralism’ dan memandangnya sebagai aliran yang paling absah dari segi intelektuil dan rohaninya; maka kalau perkara yang sedemikian itu berlaku, sudah tentu atas nama rasa kasihan belas terhadap umat –termasuk pihak yang berkenaan – timbul rasa sayu yang tidak terkira di hati kita bila mengingatkan bahawa mereka yang asalnya terlibat dalam dakwah, berfikiran sayangkan bangsa dan watan, terlibat dalam kalangan para penerajunya, terpengaruh dengan gerakan Islam (terkesan dengan pemikiran Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hicks, walaupun ini tidak dinyatakan dengan terang-terangan, dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin.

Berlatarbelakangkan ‘serangan intelektuil Barat’ atas umat ini dalam bentuk ‘pluralisme agama’ diperturunkan dalam nota sederhana ini beberapa pengamatan tentang fenomena ini sebagai respon awalan terhadapnya.

Pluralisme yang ditakrifkan sebagai kenyataan pluralisme (‘sheer fact of pluralism’) (seperti dalam laman web projek pluralisme Universiti Harvard, antara lainnya)[1] sebagai keberadaan pelbagai agama dalam sesebuah negara atau masyarakat –dalam erti ini pluralisme diamalkan dalam Islam walaupun di Madinah di zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya seperti di Andalusia dan kerajaan Othmaniah Turki. Demikian pula pluralisme agama dalam erti adanya ruang awam di mana para penganut pelbagai agama bertemu dan berhubung serta mengadakan interaksi untuk memahami antara satu sama lain, itu juga sesuatu yang diterima dalam Islam, kerana kelainan umat manusia dalam kelompok-kelompok dan bangsa wujud untuk saling kenal mengenali antara sesama mereka sebagai bani Adam; ini juga diterima dalam Islam semenjak zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam, dan ia harmonis dengan ajaran Islam.[2] Tetapi pluralisme dalam erti kenisbian dalam kebenaran hakiki dan mutlak itu tidak dibolehkan dalam agama Islam.[3]

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hicks yang meninggalkan sikap eksklusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak munasabah pada akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat, mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat.

Bila berhadapan dengan persoalan pluralisme agama, maka mungkin orang yang datang dari latar belakang Islam akan tergerak-gerak hatinya untuk mengemukakan bait-bait Jalaluddin al-Rumi untuk membuktikan bahawa Jalal al-Din Rumi adalah orangnya yang boleh dikemukakan sebagai peribadi yang memahami gagasan sedemikian, antaranya ialah seperti :

‘Lampu-lampu adalah banyak tetapi Cahaya adalah satu, ia datang dari Seberang Sana. Kalau anda terus menerus melihat kepada lampu anda tersesat; kerana dari situ munculnya rupa lahir bilangan dan kepelbagaian.’

Lalu dari situ dibuat kesimpulan bahawa inilah bait yang mengatasi debat-debat dan pertelingkahan, kerana orang yang mencapai pengalaman ‘mengatasi bentuk rupa’ (beyond forms) seperti Rumi sebenarnya memahami secara sarwajagat konsep-konsep yang am seperti dari mana datangnya insan? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia keluar dari hidup alam benda ini dengan maut? Dan orang sepertinya mengetahui jalan kehidupan secara rohaniah membawa kita kepada pencarian yang bersifat semesta menuntut kebenaran dan keadilan dan keutamaan moral dan etika. Kita bergembira dengan keindahan dalam diri kita dan di sekeliling kita. Kita cintakan ilmu, kedamaian dan keselamatan, tapi kita berada di tengah-tengah pelbagai rahasia dan pelbagai tidak ketentuan dalam alam sekeliling kita.

Dunia kita terpecah-pecah penuh dengan kehodohan, keganasan dan ketidakadilan; dalam ini semua agama memberi kepada kita peluang untuk merealisasi nilai-nilai yang menyatupadukan kita seperti Jalal al-Din Rumi ini. Dengan sangkaan seperti itu kita terperosok ke dalam sangkaan bahawa tokoh ini tokoh pluralisme. Tetapi kita terlupa beliau adalah Ulama Ahli Sunnah, yang berpegang dengan akidah dan Syariah, yang mengkritik penyembah berhala, Yahudi dan agama Kristian. Bahkan bila orang bertanya tentang Tuhan sebagai Jesus dalam Triniti dia menyebut dengan menunjukkan keheranan bagaimanakah orang kurus yang tinggi beberapa meter yang berlari-lari sekeliling negeri kerana dicari orang untuk dibunuh disebut sebagai Tuhan Yang mencipta alam?

Lagi pun kalaulah ada bait-bait lain yang menyebut tentang adanya pengalaman yang memberi fahaman bahawa sebenarnya tidak ada perbezaan pada peringkat tertinggi sekali dalam agama, itulah yang menyatupadukan kita, lalu difahami ia tokoh yang berbicara bahawa semua agama ada keabsahan, kita tersilap. Ini kerana, yang tokoh demikian maksudkan ialah itu bagi orang yang mencapai kehampiran dengan Tuhan pada tahap yang tertinggi –dalam mushahadah, dalam penyaksian rohaniah (atau spiritual witnessing); ia bukan merujuk kepada peringkat akal atau pengalaman biasa duniawi, ia bukan akidah. Maka kalau difahamkan bahawa itulah akidah beliau maka itu tersilap, sebab kalau akidah dia demikian mengapa pula ia menyebut kesalahan-kesalahan Yahudi, kesalahan Kristian dan penyembah berhala dengan akidah yang salah? Dan kalau kita teruskan lagi menyebut hal ini: apa ertinya mesej-mesej para nabi dan rasul dalam naratif Quran yang menentang kesyirikan, kekufuran dengan kepelbagaian bentuk dan rupanya, adakah kita menganggap mereka ‘tidak faham kesatuan agama’, kita sekarang yang memahaminya, mereka tidak, baharu sekarang kita “bertemu” dengan hakikat ini?

Dan mungkin ada orang yang datang dari kalangan Muslimin yang terpesona dengan gagasan pluralisme dalam erti ini teringin untuk menyebut Dante sebagai tokoh yang ‘mencapai’ erti pluralisme agama, mengatasi semua bentuk, yang mengedari ‘semuanya benar’ lalu menyebut baitnya yang bermaksud

only when the waves of seductive greed are calmed and the human race rests free in the tranquillity of peace.”

[‘Hanya bila gelombang-gelombang sifat rakus diri didamaikan dan umat manusia berehat dalam kebeningan dan kedamaian’.]

Tetapi kita perlu menyedari bahawa ajaran tentang mencapai kedamaian dalam diri dengan membebaskannya daripada kongkongan nafsu itu kebenaran yang sarwajagat, bila itu berlaku pada umat manusia dunia akan aman. Tetapi ini bukannya bukti untuk pandangan ‘semua agama adalah benar’, dan itu bukan pegangan Dante pun. Kalau demikian pegangan Dante mengapakah beliau, dalam ‘Divine Comedy’nya, dalam ‘Inferno’ meletakkan nabi Muhammad salla’Lahu ‘alaihi wa sallam dan Ali dalam neraka? Ia menyatakan nabi Muhammad sebagai ‘the chief of those who create schisms’? Ertinya dia menolak Islam, sebagaimana seorang paderi dalam program TV Larry King baru-baru ini menolak kebenaran Islam katanya mereka menyembah Tuhan yang salah! Agama mereka palsu! Jelas Dante bukan tokoh plurarisme agama dalam erti Hicks yang membicarakannya. Maka menyebut Dante dalam konteks pluralisme agama dalam erti Hicks adalah langsung tidak berkenaan.

Adakah boleh dikaitkan Dante yang membenci Islam dan nabi Muhammad dihubungkannya dengan tokoh-tokoh intelektuil dan rohani Islam termasuk al-Farabi atau ibn Rushd untuk membantu manusia berfikir tentang dunia yang perlu diamankan daripada konflik? Adakah ini caranya?

Nampaknya kata-kata Dalai Lama lebih munasabah dalam hal ini.

Orang yang terpengaruh dengan pluralisme agama seperti yang dihuraikan oleh Hicks mungkin berkata bahawa mengutamakan satu agama dalam sesebuah negara seperti menjadikan Islam sebagai agama persekutuan adalah bertentangan dengan semangat pluralisme agama, tetapi ini masih berlaku walaupun dalam demokrasi-demokrasi yang sudah teguh seperti di Eropah dan di Asia Barat dan Asia Tenggara. Dengan itu orang yang berfikir demikian mahu supaya isu asasi tentang kebebasan beragama perlu ditangani dengan disekalikan perbincangan itu dengan kebebasan dhamir atau ‘freedom of conscience’.

Pada kita Muslimin kalau seseorang itu mempunyai agama katakanlah agama Kristian yang yakin dengan kebenaran agamanya dan ia beramal dengan baik dan tidak mengganggu orang lain atau memudaratkan orang lain, maka itu diterima, walaupun agamanya berlainan dengan kita Muslimin. Di negara kita misalnya Islam adalah agama persekutuan tetapi sistem-sistem kepercayaan lain dibenarkan diamal dalam keadaan aman dan sejahtera (‘in peace and security’ tetapi jangan secara tidak aman dan tidak sejahtera).

Mereka yang terpengaruh dengan pluralisme agama dalam erti yang tersebut mungkin berpendapat bahawa apa juga agamanya seseorang itu, baik ia Islam, Kristian, Yahudi, Sikh, dan Hindu dan lain-lain lagi, mungkin mempercayai adanya kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (‘the higher truths’) yang mengatasi amalan-amalan lahiriah semata dan ibadat semuanya tertumpu kepada kebenaran yang satu: yakni kita semua dari Allah dan kepadaNya kita semua kembali. (Whatever the religion, whether it be Islam, Christianity, Judaism, Sikhism, Hinduism and many others, I believe that the higher truths which go beyond mere practice and ritual all converge on the singular truth: and that is from God we were sent forth and unto God shall we return).

Kalaulah pendirian yang demikian ini benar-menganggap sebagai jalan kebenaran di sisi Tuhan- maka perjuangan nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam mendepani agama penyembah berhala, agama Yahudi dan Kristian zamannya adalah tidak bererti lagi sebab semuanya tertumpu kepada kebenaran yang mengatasi bentuk-bentuk lahiriah itu. Ertinya Nabi Muhammad seolah-olah ‘tidak memahami kebenaran yang lebih tinggi’ itu, demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar serta para sahabat lainnya. Allah meredhai mereka semuanya. Tidak pernah ada pernyataan sedemikian dalam tamadun Islam dan wacana intelektuil dan rohaniahnya. Yang disebut-sebut sedemikian berhubung dengan nama-nama seperti Ibn ‘Arabi dan Jalal al-Din Rumi, misalnya oleh Schuon dan yang sepertinya adalah perbuatan ‘menjual nama’ bukan berdasarkan hakikat yang sebenarnya. Ini boleh diperhatikan, katakanlah tentang ibn Arabi bahawa syahadahnya dalam awal ‘Futuhat’ adalah syahadah dalam akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah, bukan “syahadah” “wahdatul wujud” yang disebut-sebut orang itu. Pencatit yang kerdil ini ada menterjemahkan syahadah wali Allah ini dalam membincangkan kontribusi Hamzah Fansuri dalam persuratan Melayu di Sibolga Sumatra tidak lama sebelum ini. Ini terjemahan syahadah itu, mungkin pertama kali, dalam bahasa Melayu.

Orang yang berfikir demikian mungkin membuat kenyataan bahawa penganjur-penganjur dalam agama-agama mungkin membuat pengakuan tentang benarnya agama mereka, dan tidak menyebut unsur-unsur yang menyatupadukan semua pihak. Dia mungkin berkata bahawa kalau kita boleh menerima perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) maka pluralisme agama menjadi tenaga yang menyatukan bukan yang memecahbelahkan. Mungkin padanya itulah jalan menuju cahaya mengelak kegelapan, jalan mengelak perang menuju kepada kedamaian dan keamanan, demikian seterusnya.

Masalah pada Muslimin yang berpegang kepada agamanya ialah pluralisme agama terletak atas asasi sangkaan pandangan yang bercanggah dengan Qur’an, Sunnah dan ijma’. Our’an datang mengajarkan kebenaran agama yang diajarkan para anbia, agama-agama yang berubah daripada yang asal itu tidak boleh kita ikuti, sebab ia bersalahan dengan ajaran tentang penasakhan agama dengan kedatangan Islam dalam wahyu dari Tuhan. Mereka, bagaimanapun, yang mengikut agama-agama mereka dengan baik, yang tidak menggangu kita, kita hidup aman dengan mereka, dan kita boleh berkerjasama dengan mereka dalam ‘commonality’ yang am seperti nabi saw dengan Orang Yahudi dan Kristian di Madinah itu. Ini diamalkan sehingga ke zaman kerajaan Othmaniah Turki dengan sistem ‘millet’nya. Ini juga berlaku di zaman kerajaan Andalusia di Sepanyol. Dan itulah yang menjadi pegangan kita; itulah yang kita yakini sebagai kebenaran. Mereka yang hendak berkongsi dengan kebenaran ini saudara kita, yang tidak memudaratkan kita, bahkan mereka hidup dengan aman damai, kita juga hidup dengan aman damai dengan mereka. Kita boleh menghormati nilai-nilai yang baik yang ada pada sistem-sistem kepercayaan (‘belief-systems’) lain tetapi pada kita agama yang diterima di sisi Allah adalah al-Islam dalam erti Islam yang dibawa oleh nabi salla’Llahu alaihi wa sallam, yang disebut dalam Qur’an, Sunnah dan ijma’ itu dengan perpanjangannya dalam wacana arusperdana umat Islam ini, bukan ‘islam’ yang ditakwil-takwil mengikut huraian peribadi berdasarkan kata kerjanya.

Maka kalau pihak yang terpengaruh dengan teori Hicks dan sepertinya dan berkata bahawa tidak kena Muslimin menolak nilai kebebasan bersuara (dalam erti Barat sekarang), kemerdekaan media, demokrasi (dalam acuan Barat secara totok), dan kemerdekaan dhamir, dan melihat budaya kepelbagaian agama sebagai percubaan untuk mencapai hegemoni, pada kita, yang tidak diterima ialah yang bercanggah dengan batasan-batasan syara’, tauhid, akhlak, dan kerohanian Islam. Aspek-aspeknya yang tidak bercanggahan dengan kita kita menerimanya; ertinya bukan menolak secara total dan bukan menerima secara total.Ini kerana panduan Islam adalah menyeluruh dan sepadu, bukan terpisah-pisah.Kalau ada kecurigaan terhadap konsep pluralisme Barat itu di kalangan Muslimin, itu ada alasannya, dengan kolonialismenya (lihat huraian Edward Said dalam ‘Culture and Imperialism’ dan ‘Orientalism’nya), kemudian sekarang globalisasi dengan kesannya parah ke atas Muslimin, kemudian falsafah pascamodernisme, yang membuahkan ‘Islam Liberal’ yang ditaja oleh mereka. Ini juga mengingatkan kita kepada Rand Corporation Report, Civil Democratic Islam laporan Cheryl Benard itu. Tetapi kita boleh terbuka dalam bertemu dengan mereka dalam ruang-ruang yang munasabah.

Kalau pihak yang berpendirian begini menggunakan nama-nama ulama terkenal, untuk ‘menjual’ konsep pluralisme ala Hicks itu kita merasakan kita perlu bercermat tentang hal ini dan melihat wacana ilmu Islam secara menyeluruh bukan dengan menebok-nebok bahagian tertentu kemudian membentangkannya seolah-olah ia mewakili sikap intelektuil Islam seluruhnya, misalnya hukum bila setengah fuqaha membuat keputusan memberi ruang kepada penganut system kepercayaan lain memutuskan hukum mengikut aturan agama mereka dalam amalan-amalan yang ‘ganjil’ seperti orang Zoroaster mengawini anak perempuannya sendiri atau yang sepertinya. Kita boleh menegaskan bahawa kita tidak tenang menerima konsep pluralisme agama dalam erti seperti yang dihuraikan oleh Hicks dan yang sepertinya kerana pada sisi wacana arusperdana Islam –yang menjadi neraca muktamad dalam umat-ini kezindikan dan kesyirikan bukan kebenaran dan tauhid.

Bila orang yang terlibat dalam pemikiran pluralisme cara Barat ini menyesali bagaimana orang Islam ‘terlupa’ kepada hikmat kebijaksanaan dalam kesarjanaan klasik Islam, maka mungkin terlintas juga pada kalbu kita, tidak mungkinkah orang yang berkata demikian sebenarnya sudah ‘terlupa’ kepada kebijaksanaan itu, sebab itu ia memilih untuk menerima ‘pluralisme’ dalam erti mereka, dan tidak terus setia kepada wacana arusperdana umat ini yang dijamin oleh nabi salla’Llahu alaihi wa sallam akan kekal sehingga ke akhir zaman.Ini kerana keberadaan alam ini ialah kerana wacana ini dan manifestasi kebenarannya dalam hidup manusia. Kalau tidak ayat-ayat yang bermaksud ‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu [dalam Islam mengikut epistemology dan kebenaran arusperdananya’ dan ayat yang bermaksud ‘Dialah yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi seperti itu juga, maka turun Perintah antara itu semua supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Ia meliputi segalanya dalam ilmuNya’ dan ayat yang bermaksud ‘[berkait dengan nabi Muhammad selamat di gua perlindungannya] supaya jadilah Kalimah Allah itu yang paling tinggi dan yang menentangnya paling rendah’ dan hadis sahih yang bermaksud ‘dunia ini akan kiamat bila tidak ada lagi orang yang menyebut ‘Allah’, ‘Allah,’ dan hadith yang menyebut tentang ‘kiamat berlaku bila semua manusia adalah sejahat-jahatnya’] [tidak ada lagi kebenaran hakiki yang diajarkan oleh para anbia dalam alam ini, maka alam ini hilanglah sebab bagi penerusan wujudnya. (Apa juga yang mungkin dikatakan oleh pascamodernisme dan fahaman-fahaman dari mereka seperti Hicks dan sebagainya).

Adapun tentang adanya konflik di kalangan umat manusia kerana keyakinan agama masing-masing, bila wajar, pada kita konflik umat manusia adalah perkara yang berlaku secara tabi’i, dunia dengan keadaannya sebagai dunia, bukan syurga jannatul firdaus. Kita mengelak konflik yang tidak perlu yang mesti dielakkan; tetapi kalau konflik itu dicetuskan oleh pihak lain untuk tujuan hegemoninya, kita perlu tangani dengan berkesan dan betul; kita tidak berkata bahawa oleh itu kebenaran pada kami adalah kebenaran, kebenaran yang ada pada anda adalah seperti kami, kelainan hanya sangkaan sempit yang tidak benar, timbul daripada kedangkalan akal, keadaan keladak pada roh, sebenarnya semuanya betul dan benar. Jangan kita berkelahi. Yang kita katakan ialah bahawa kebenaran itu kebenaran, dan pada kami kami yakin ada kebenaran, dan apa yang tidak benar adalah tidak benar, tapi kalau anda hendak berterusan dengan pandangan anda anda jangan ganggu kami dan mengatakan bahawa kebenaran yang ada pada kami tidak benar sebetulnya, yang sebetulnya semua benar. Kita katakan: bagi anda pegangan dan agama anda, bagi kami pegangan dan agama kami. Kalau kita bertujuan mengelak konflik lalu kita perkenalkan pluralisme hanya untuk mengelak konflik, itu ertinya kita membatalkan ajaran para anbia, rasul, ulama, mujtahidin, dan para mujjadid dalam umat ini; kita hendak meletakkan kebenaran di bawah peristiwa, bukan menghakimkan peristiwa mengikut kebenaran (we put history above truth and knowledge and not truth and knowledge above history).

Ajaran Quran ialah kita meletakkan ilmu dan kebenaran untuk menghakimkan sejarah bukan sebaliknya. Kita dengan pihak lain berhubung mengikut etika, dan kita mahu mereka berhubung dengan kita mengikut etika, dan kita berbeza pandangan dengan secara beretika, bukan dengan secara memaksa orang, termasuk memaksa ‘secara berwacana’, sebab itu terlarang, lainlah dengan ulil-amri dalam umat Islam, sebab mereka wajib kita taati selepas daripada Allah dan Rasul, melainkan dalam kemaksiatan dan kekufuran. Dijauhkan Allah. Kita tegaskan, kita berbeza pandangan dengan beretika, bukan dengan memperkenalkan ajaran kenisbian dalam ilmu dan kebenaran. Memperkenalkan pluralisme dan kenisbian dalam ilmu, kebenaran dan nilai hanya kerana hendak mengelak konflik, itu kebaculan intelektuil, rohani, moral, dan budaya; ia kemuflisan rohani dan kenaifan intelektui; maha suci Allah. Dunia adalah ‘negeri ujian’ bukan tempat memperkenalkan kenisbian dan pluralisme kerana mengelak konflik. Mereka yang memperjuangkan demokrasi secara falsafah sosial mutlak pun tidak ‘mencairkan’ demokrasi mutlak mereka untuk mengelak konflik dengan pihak lain. Mengapa kita diajar dan dipujuk untuk ‘mencairkan’ pegangan kita atas nama keabsahan kenisbian dan pluralisme? Maka dalam menegakkan kebenaran yang diredhai Allah dan Rasul kita teruji dalam hidup ini, kita redha, dan kita tidak berpegang kepada kenisbian dan pluralisme kebenaran hanya untuk mengelak konflik.

Kalaulah ada pihak yang sengaja berbicara tentang ‘clash of civilizations’ atau ‘pembenturan peradaban’ atau ‘pertentangan peradaban’ kita tidak perlu terperusuk ke dalam ‘lubang biawak’ itu (mengingatkan hadith Baginda s.a.w. tentang umat kita cenderung mengikut Ahlil-kitab sehingga memasuki lubang biawak [intelektuil] mereka), bagi kita umat manusia hendaklah dipandang dari segi kenal mengenali, memandang makhluk sebagai ‘hamba-hamba Tuhan’ baik di Timur atau di Barat, tetapi kita perlu berwaspada tentang kebenaran dan mengikutnya, serta berwaspada tentang kepalsuan dan jangan mengikutnya. Sikap kita bukan tertumpu kepada ‘orangnya’ tetapi kebenaran yang mesti dijadikan pegangan dan kepalsuan yang mesti dielakkan. Ini sedemikian penting sehingga ia wajib kita peringatkan diri tentangnya dalam bacaan sembahyang setiap rakaat. (ayat tentang mereka yang dikurniakan ni’mat dan mereka yang dimurkai Tuhan). Ma sha’Allah. Kita juga tidak memandang kepada label-label, ‘fundamentalis’kah, ‘moderate’kah, atau apa juga yang diberikan oleh pihak luar terhadap umat dan ahlinya, kita dikelas-kelaskan seperti makhluk yang dikaji dalam makmal, makmal budaya. Sebaliknya kita mesti menumpukan perhatian kepada kebenaran dalam umat yang disepakati, dengan menjaga khilaf-khilaf dalam bidang rantingnya. Kita selesaikan perbezaan, dengan beradab, mengikut ‘neraca [intelektuil dan rohani] yang betul’ (al-qistas al-mustaqim). Perbuatan label-melabel itu kita tinggalkan, kecuali ia bersesuaian dengan neraca intelektuil arusperdana umat. Inilah pendirian kita.

Tentang pengajaran daripada sejarah yang mesti dimanafaati , itu jelas dari ajaran Quran yang menyuruh manusia mendapat pengajaran daripada ‘hari-hari Allah’ yang menyebut kemenangan dan rahmat Ilahi bagi mereka yang mengikut kebenaran ajaran para anbia dan mengelak kepalsuan pihak yang menentang mereka. Sebab itu diajarkan supaya kita memberi peringatan tentang ‘hari-hari Allah’[4] dalam sejarah manusia. Demikian pula sejarah disebutkan kepada Nabi kita s.a.w. supaya baginda mendapat kekuatan hati dan keteguhan jiwa dengannya (????? ?? ??????)[5].Kita tidak berbicara tentang sejarah dari segi kebebasan atau sebaliknya, sebab penekanan kita adalah ketundukan kepada Hukum dan kehendak Tuhan, sebab kita ‘khalifah’ dan ‘hamba’Nya. Bacaan sejarah sebagai ‘kebebasan’ atau ‘kehambaan’ itu bacaan pascamodernis atau bacaan liberalis, bukan bacaan secara panduan Quran, sunnah dan epistemologi arusperdana umat Muhammad ini. Maha suci Allah.

Kalau dipuji negara-negara tertentu, kerana Barat memujinya, dengan alasan ia mengamalkian ‘liberal demokrasi’ dan ia sudah berada pada ‘garis penghabisan’ berjaya, kita perlu ingat kepada fahaman memisahkan agama daripada hidup kemasyarakatan dan berkembangnya Islam yang menjadi khadam kepada falsafah pascamodernisme yang mengajarkan kepelbagaian kebenaran dan kenisbian nilai-nilai, yang semuanya menyanggahi Syariat Islam dan ajarannya tentang halal dan haram serta kebenaran dan kebatilan, pahala dan dosa. Adakah ini yang hendak dijayakan dalam negara kita yang berpegang kepada Quran dan hadith serta kefahaman tentangnya mengikut wacana dan epistemologi Sunni? Maha suci Allah. Ini mengingatkan kita kepada ajaran kaum zindik yang disebut-sebut zaman lampau dalam teks-teks Islam klasik yang masih relevan sekarang dan bila-bila sebab wacana asasi Sunni kekal sampai kiamat sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam hadith sahih.

Kalau dalam senario semasa ada berlaku pihak yang memperjuangkan prinsip jihad kemudian itu diberi keabsahan untuk berlakunya keganasan, maka wajib diperhatikan bahawa ini tidak ada dalam takrifan jihad yang muktabar, yang cukup dengan syarat-syaratnya, yang melarang penyerangan atas mereka yang tidak berdosa, kanak-kanak dan wanita, yang melarang merosakkan gereja, tempat penyembahan agama Yahudi, dan seterusnya. Dan ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk sesiapa menerima pluralisme dalam erti bahawa kebenaran adalah nisbi, banyak, kalau tidak bacaan fatihah dalam sembahyang dan dalam wacana Islam tidak ada makna, sebab kita diperintah mengikut ‘al-sirat al-mustaqim’ dan mengelak ajaran dan jalan mereka yang dimurkai Allah dan jalan mereka yang sesat Dan jihad dalam erti yang sahih dengan syarat-syaratnya tidak terbatal. Ia terus ada dan menjadi kewajipan bila cukup syarat-syaratnya dan kita berupaya mengamalkannya. Mungkin bagi mereka yang berpegang kepada pluralisme dalam erti yang batil menganggap jihad terhapus, hukum Tuhan terhapus (pada golongan Islam liberal ‘hukum Tuhan’ tidak ada). Dijauhkan Allah.

Kalau disebutkan bahawa dalam agama Islam kebebasan berupa satu daripada matlamat-matlamat yang lebih tinggi, kemudian disebutkan bahawa ia sama dengan apa yang ada dalam sebuah demokrasi berperlembagaan, dengan kebebasan dhamir atau ‘conscience’ manusia, kebebasan untuk menyuarakan penentangan terhadap penindasan, atau seruan kepada perbaikan dan hak atas harta, itu semua tidak boleh disamakan dengan pluralisme yang dicanangkan oleh setengah pihak yang merancang untuk kepentingan hegemoni mereka. Amalan demokrasi dalam Islam wajib taat kepada peraturan syara’ tentang halal dan haram, kebebasan dhamir atau ‘freedom of conscience’ bukan bererti sama dengan yang ditafsirkan dalam ‘The First Amendment’ bagi perlembagaan Amerika Syarikat kerana kita terpandu oleh tuntutan wahyu dalam Quran dan tuntutan sunnah nabi dalam hadith yang menyuruh kita menerima Islam sebagai kebenaran yang berdiri sebagai mewakili kebenaran agama Islam yang diajar kepada semua anbia dalam sejarah manusia. Oleh itu dhamir orang yang beriman wajib tunduk kepada tuntutan fitrah ini; yang lain mesti dielakkan sebab itu terlarang. Perlu diingatkan lagi: kebebasan dalam Islam tertakluk di bawah ajaran Allah dan Rasul bukan boleh mengikut falsafah pascamodernisme yang mengajar kebenaran yang pelbagai (‘multiple truths’); kalau demikian seruan para nabi sebagaimana yang ada dalam Quran tidak bermakna apa-apa lagi.

Akhirnya, prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, dengan beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Wallahu a’lam. Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan.Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekelian alam.

Sumber-sumber rujukan antaranya:

  1. Abdul Rashid Moten ,”Religious Pluralism in Democratic Societies: Challenges and Prospects for Southeast Asia, Europe, and the United States in the New Millennium”. Contemporary Southeast Asia.Journal Volume: 29. Issue: 1. 2007. pp 204 ff,2007 Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)
  2. Brad Stetson ,Pluralism and Particularity in Religious Belief. Praeger Publishers. Westport , CT. 1994
  3. Jeannine Hill Fletcher ,Article Religious Pluralism in an Era of Globalization: The Making of Modern Religious Identity”. Journal : Theological Studies. Volume: 69. Issue: 2. , 2008.pp. 394 ff.
  4. J. Gordon Melton ,Article : “Religious Pluralism: Problems and Prospects” Journal: Brigham Young University Law Review. Volume: 2001. Issue: 2. , 2001.
  5. Jung H. Lee ,Article : “Problems of Religious Pluralism: a Zen Critique of John Hick’s Ontological Monomorphism” Journal: Philosophy East & West. Volume: 48. Issue: 3. Publication Year: 1998.p. 453+.
  6. Lucas Swaine ,The Liberal Conscience: Politics and Principle in a World of Religious Pluralism. Columbia University Press. New York . 2006.
  7. Michael Jinkins – Christianity, Tolerance, and Pluralism: A Theological Engagement with Isaiah Berlin ‘s Social Theory. Routledge. New York . 2004.
  8. Peter G. Danchin – editor, Elizabeth A. Cole – editor, Protecting the Human Rights of Religious Minorities in Eastern Europe . Columbia University Press. New York . 2002.
  9. Richard E. Wentz, The Culture of Religious Pluralism , Westview Press, 1998
  10. Richard Hughes Seager edit. with the assistance of Foreword by Ronald R. Kidd Diana L. Eck ,The Dawn of Religious Pluralism
    Voices from the World’s Parliament of Religions, 1893 ,published in Association with The Council for a Parliament of the World’s Religions
  11. S. Wesley Ariarajah, “Kenneth Cracknell, in Good and Generous Faith: Christian Response to Religious Pluralism”. Journal The Ecumenical Review. Volume: 58. Issue: 3-4. 2006.pp 400ff
  12. William C. Allen “Stephen Kaplan, Different Paths, Different Summits: A Model for Religious Pluralism”, Journal of Ecumenical Studies. Volume: 41. Issue: 1. , 2004. p 102.
  13. Harvard Pluralism project: http://www.pluralism.org/articles/eck_1993_challenge_of_pluralism?from=articles_index

[1]http://www.pluralism.org

[2] Quran Surah al-Hujurat: 13.

[3] Pluralism dalam OED yang terbesar itu ialah:no 4 ialah: The presence or tolerance of a diversity of ethnic or cultural groups within a society or state; (the advocacy of) toleration or acceptance of the coexistence of differing views, values, cultures, etc.

1924 H. KALLEN Culture & Democracy in U.S. 43 Cultural growth is founded upon Cultural Pluralism. Cultural Pluralism is possible only in a democratic society whose institutions encourage individuality in groups, in persons, [and] in temperaments. 1969 Guardian 20 Sept. 4/4 A good deal of discussion at the conference..has been about pluralism as opposed to assimilation. 1976 Times 7 Aug. 14/4 To be in favour of pluralism is to declare that one does not intend to hound or persecute theologians or catechists whose expression of faith differs from your own. 1995 N.Y. Rev. Bks. 19 Oct. 30/1 The institutions and practices of liberalism are likely to open public space to previously repressed and invisible groups, turning a merely theoretical or potential pluralism into an actual on-the-ground pluralism.

[4] Ayat bermaksud ‘Berilah peringatan kepada mereka tentang hari-hari Allah’, Surah Ibrahim:5.

[5] Al-Furqan:”32.

Sumber: http://muafakatmalaysia.com/

PANDANGAN ISLAM TERHADAP PLURALISME


Propaganda fahaman pluralisme agama yang semakin hari semakin hebat telah dilakukan di negera-negara Islam merupakan masalah serius yang perlu ditanggani secara serius. Adalah penting bagi setiap orang Islam untuk mengetahui agenda dan hala tuju hendak ke manakah pluralisme agama itu sebenarnya. Namun begitu, adalah lebih afdal lagi jika orang Islam lebih memberikan tumpuan untuk memahami dan mendalami ajaran Islam khususnya yang berkaitan dengan status agama-agama lain. Menurut Dr. Syamsuddin Arif (2010) terdapat beberapa pandangan Islam telah diberikan kepada PLURALISME AGAMA

  • Pertama, dalam aqidah Islam telah disepakati oleh semua kaum Muslimin bahawa tidak ada di muka bumi ini suatu agama yang benar kecuali agama Islam, yang ajarannya membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya. Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al‘Imran 85;

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾

Barangsiapa mencari agama lain selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

  • Kedua,  hukumnya menyakini bahawa setiap orang bukan Islam (non-Muslim), sama ada dia itu Yahudi, Nasrani dan selain mereka itu adalah KAFIR dan bakal jadi penghuni NERAKA, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Bayyinah 1 dan 6:

لَمْ يَكُنِ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ مُنفَكِّينَ حَتَّىٰ تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ ﴿١﴾ رَسُولٌ مِّنَ اللَّهِ يَتْلُو صُحُفًا مُّطَهَّرَةً ﴿٢﴾ فِيهَا كُتُبٌ قَيِّمَةٌ ﴿٣﴾ وَمَا تَفَرَّقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَةُ ﴿٤﴾ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَ‌ٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ ﴿٥﴾ إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ أُولَـٰئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ ﴿٦﴾

(1) Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata, (2) Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci, (3) Terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar. (4) Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata. (5) Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. (6) Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam Neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.

  • Tambahan pula terdapat hadis yang diriwayatkan dalam Shahih Muslim bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

وَالَّذِيْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَيِسْمَعُ بِيْ أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ يَهُوْدِيٌّ وَلاَ نَصْرَانِيٌّ ثُمَّيمُوْتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِيْ أُرْسِلْتُ بِهِ إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِالنَّارِ

Demi Dia yang jiwaku ada di TanganNya, tidak seorangpun dari umat manusia yang mendengar [seruan]ku, Yahudi maupun Nasrani, kemudian mati dan belum/tidak beriman dengan ajaran yang aku bawa melainkan dia menjadi penghuni neraka.

  • Ketiga, WAJIB hukumnya bagi seorang Muslim menyakini bahawa Taurat dan Injil itu telah dimansuhkan oleh al-Quran al-Karim, dan bahawa kedua kitab tersebut telah diubah, diselewengkan, ditambah dan dikurangi, sebagaimana jelas diterangkan di dalam al-Quran surah al-Maidah 13:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثَاقَهُمْ لَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قَاسِيَةً ۖ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ ۙ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ ۚ

Namun karena mereka melanggar janji, Kami kutuk mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka memindahkan firman Allah dari tempat-tempatnya, dan mereka juga melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya.

  • Terakhir, berdasarkan prinsip-prinsip ‘Aqidah dan Syari‘at Islam di atas, maka propaganda pluralisme agama, pendekatan agama-agama dan peleburan agama-agama adalah amat halus. Tujuannya mencampur-adukkan yang haq dengan yang batil, merosak sendi-sendi ajaran Islam, dan menyeret pemeluknya ke arah permurtadan. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah 217:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ

Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka dapat mengembalikan kamu dari agamamu [kepada kekafiran] andai kata mereka mampu.

 Firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa’ 89:

وَدُّوا لَوْ تَكْفُرُونَ كَمَا كَفَرُوا فَتَكُونُونَ سَوَاءً ۖ

Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama [dengan mereka]:

Akhirnya dapat kita simpulkan bahawa Pluralisme Agama itu suatu doktrin, ajaran, ideologi, aqidah, keyakinan dan way of life yang mengakui semua agama adalah sama dan setara, sama benar, otentik, valid, dan merupakan jalan keselamatan yang baik. Maka terang sekali bahawa pluralisme ini tidak mungkin diterima oleh orang Muslim kerana ianya bercanggah dengan ajaran Islam yang tertera di dalam kitab suci al-Qur’an dan Sunnah/Hadits Rasulullah S.A.W.

______________________________

Sumber:apanamadotcom.wordpress.com

PLURALISME AGAMA DAN BAHAYANYA KEPADA UMAT ISLAM


OLEH: AL-FAQIR ILA’LLAH MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Latar belakang:

Penulis ini (Al-Faqir Ila’Llah) semenjak lapan puluhan lagi menyebut tentang kewajipan mempertahankan Ahlis Sunnah di negara ini dan di Dunia Melayu; atas prinsip itu beliau menyatakan bahawa aliran-aliran yang bercanggah dengannya dan merosakkannya hendaklah dijauhi: aliran Syiah, anti hadith Kassim Ahmad (sekarang katanya menjadi pluralis pula), Wahabi, Hasan Anak Rimau Kelantan, aliran orang mengaku wakil Mahadi, mengaku wali kutub, dan macam-macam lagi, aliran menanti Mahadi yang ghaib yang tidak lama lagi akan muncul, dan sekarang aliran John Hick yang hendak dibawa masuk oleh setengah pihak di Malaysia ini.

Paling tidak patut sekali bila ada pula pihak yang mengizinkan dirinya menjadi saluran bagi masuknya aliran John Hick ke dalam negeri ini. Maka bila kita tolak aliran John Hick –pluralisme agama versinya- kita mesti tolak pula pihak yang mengizinkan dirinya menjadi saluran aliran itu masuk ke ke dalam negeri kita, demi agama, bangsa dan tanah air, kata datuk nenek kita dulu.

Yang ditolak di sini ialah pluralisme agama aliran John Hick yang menganggap semua agama membawa kepada ‘salvation’ atau syurga dan semua agama adalah sama. Adapun pluralisme agama dalam erti adanya beberapa agama dalam sebuah negeri (‘sheer fact of pluralism’) seperti yang diistilahkan dalam Universiti Harvard dan laman webnya, dan yang diisyaratkan dalam Perlembagaan Malaysia, yang itu tidak ada masalah pada pandangan kita.

Kemudian huraian penulis ini berkenaan dengan isu-isu yang berkaitan itu ialah bersifat huraian dengan dalil, bukan ‘serangan’, ‘serangan lain’, ‘huraian dan penerangan dengan dalil’ lain. Yang disuruh dalam Quran ialah ‘menyeru kepada jalan agama Tuhan’ dengan hikmah kebijaksanaan, nasihat yang baik dan mujadalah dengan cara yang paling baik; itulah yang cuba dibuat oleh penulis ini. Tuduhan-tuduhan terhadapnya yang hendak dikaitkan dengan hal-hal yang tidak berkenaan, itu tidak berfaedah dibicarakan.

Kalau kita gunakan istilah-istilah itu mengikut ‘Kamus Dewan’ ia jelas dan tidak timbul memahami tulisan ini sebagai ‘serangan’; itu tidak ‘manis’ cakapnya kalau disamakan serangan dengan huraian dengan dalil, dan bahasanya pula bukan bahasa menyerang tetapi bahawa penerangan dengan penuh sayang. Lagi pula penulis kerdil ini bukan membuat ulasan ini bila pihak berkenaan itu tidak berjawatan, itu tidak timbul; yang timbul ialah bila pihak yang berkenaan itu mula menyalurkan pemikiran John Hick ke dalam Malaysia, barulah penulis ini membuat huraian, bukan ‘menyerang’, maha suci Allah.

Satu perkara lagi: tidak ada motif politik dalam huraian-huraian ini. Yang ada ialah motif hendak menjaga kemurnian pegangan Ahli Sunnah di negeri ini yang memang disuruh oleh Dr. al-Qaradhawi beberapa bulan lalu sebagaimana yang ada dalam media Arab. Penulis ini kurang arif tentang bidang politik ini; beliau berminat untuk sama-sama menjaga akidah, semenjak puluhan tahun lalu. Pihak yang hendak mengaitkan usaha penulis ini dengan politik tertentu, ia bertanggungjawab dengan Tuhannya. Penulis ini mengucap: Hasbuna’Llahu wa ni’mal Wakil.

1. Persoalan Ekslusif Agama (Religious Exclusivism) – hanya satu agama sahaja yang benar, manakala agama lain adalah salah.

Kalau pihak yang terpengaruh dengan ajaran John Hick berpendapat bahawa: Golongan-golongan

John Hick - Pelopor Aliran Pluralisme Agama yang kian menular di Malaysia.

agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke jalan keselamatan/syurga (salvation) adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar. Maka Pluralisme Agama adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perpecahan tersebut.

Maka jawabnya ialah: Pluralisme yang mengajar penganutnya tentang tidak ada kebenaran mutlak dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan/kebahagian/ syurga, tidak boleh diterima, malah ditolak dalam agama Islam. Sekiranya diterima anjuran Pluralisme itu maka tiada ertinya firman-firman Al Quran yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq (kebenaran) dan dengan itu kebatilan akan hilang.

2. Persoalan Pendapat Ahli Sufi Jelaluddin al-Rumi

Kalau pendapat tokoh yang tertentu itu ialah: Pluralisme Agama dianjurkan sejak dari abad ke-13 lagi. Buktinya kata-kata oleh penyair sufi, Jelaluddin al-Rumi yang menyebut; “Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan” (The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality).

Maka jawapannya untuknya ialah: Pandangan ini tidak benar kerana Jelaluddin al-Rumi adalah seorang Muslim, Sunni, bermazhab Hanafi yang bersyair dalam konteks kerangka Islam dan bukannya di luar konteks Islam. Bukannya antara agama Islam dengan agama-agama lain. Tentang simbolik ‘cahaya’ dan ‘lampu’ itu perlu dilihat dari segi amalannya sebagai seorang sufi yang bersyair dalam kerangka Islam. Ia berbicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, menuju ke alam hakikat. Namun begitu, mesti berpegang kepada syariat dan bukan meninggalkannya. Memang John Hick menganggap Rumi sebagai tokoh pluralisme dalam tulisan-tulisannya, ini bukan bererti bahawa orang Islam yang memahami Rumi sebagai ulama Ahli Sunnah menganggap dia demikian sebab dalam Ahli Sunnah pendirian yang sedemikian tidak pernah ada; hanya Orientalis yang mahu mengkategorikan mereka demikian, dan itu digunakan sebagai senjata untuk memasukkan pendirian itu ke dalam Islam walhal pendirian yang demikian ditolak dalam umat ini. Kalaulah orang Islam menerima pendirian ini maka dalam Ahli Sunnah musnahlah imannya. Dijauhkan Allah.

Bagaimanakah kita hendak tuduh wali Allah sebagai pluralis seperti pemikir Barat, walhal ia mendendangkan bait-bait ini – dalam alam akliah dan rohaniah tradisi agama dan umatnya:

Dalam Kitab ke 2 Kisah 1 ada bait-bait yang bermaksud ‘Sekarang dengarlah kepada bentuk lahir kisahku. Tetapi itupun engkah asingkanlah biji benih daripada jeraminya, mengapa para anbia diutuskan. Tuhan mengutuskan mereka untuk tujuan ini, iaitu untuk mengasingkan kekufuran daripada iman (infidelity from faith, (www.intratext.com/DCT/ENG0134/_PK.HTM)

Jelaluddin al-Rumi adalah seorang Muslim, Sunni, bermazhab Hanafi yang bersyair dalam konteks kerangka Islam dan bukannya di luar konteks Islam. Beliau tidak mempelopori Pluralisme.

Tuhan mengutuskan para anbia kepada umat manusia supaya mereka dapat menghimpun biji benih yang murni dan baik di atas talam mereka: Yang kafir dan yang mu’min, Muslim dan Yahudi, sebelum para anbia datang mereka semua sama, sebelum mereka datang kita semua sama, (we were All alike)[sebab tidak ada neraca], Dunia ini [umpama seperti] suatu malam, dan kita semua ahli musafir dalam gelap, sehingga bila matahari para anbia muncul, ia berteriak, ‘Pergilah wahai tidur, selamat datang wahai cahaya murni! Sekarang mata boleh membezakan warna-warna, ia boleh melihat perbezaan antara batu permata mahal dengan anak batu…

Tuhan menamakan Hari Bangkit “hari itu”

Siang hari menunjukkan keindahan merah dan kuning.

Kata-kata ‘anal-haq’ berupa cahaya pada mulut Mansur [al-Hallaj], pada mulut Fir’aun ‘Aku Tuhanmu Yang Maha Tinggi’ berupa kekufuran

Yang dipegang oleh Rumi adalah agama anbia seperti yang ada dalam Quran yang membezakan apa itu iman dan kufur, apa itu permata anak batu ajaran sesat dan apa itu permata mahal. (Ada lagi bait-bait yang boleh dibentangkan untuk menunjukkan bahawa Maulana ini bukan tokoh pluralis seperti yang didakwakan oleh Orientalis untuk memasukkan teori mereka ke dalam umat ini-dengan itu ia merosakkan akidah umat Islam dan sekaligus menurunkan darjat mereka daripada penyaksi-penyaksi hakikat rohani yang murni kepada darjah rendah spekulator falsafah cara Barat-maha suci Allah, yang menyedari ilmu pada paras minda sahaja, tidak jauh dari itu, dan orang Islam yang tidak meneliti teks-teks mereka dalam konteks diri ulama berkenaan, alam rohani mereka, dan masyarakat serta budaya dan amalan mereka terpedaya dengan dakwaan itu kononnya perkara demikian ‘sudah ada dalam Islam’ ‘walhal orang tidak sedar!’ Maha suci Allah.

Antara bait-bait lain itu ialah seperti berikut: Selepas menyebut fikiran manusia dimasuki pengaruh Setan dalam diri manusia dan kerja-kerjanya dan pelbagai perkara lagi ia; menyuruh seseorang itu membuang pengaruh bisikan Setan itu dengan zikir dan doa katanya.

Ucapkanlah la haula wa la quwwata illah billah, untuk membuang Setan daripada dunia dan jiwa kamu, dana katanya lagi:

Ada disebutkannya bahawa orang –orang yang membenci para nabi dan aulia pada hakikatnya membenci diri mereka sendiri, sebagaimana halnya dengan orang-orang sakit berkelahi dengan tabib atau anak-anak berkelahi dengan guru mereka. Para nabi dan aulia dijadikan demi untuk menjadi ujian bagi tabiat kejadian manusia, supaya dengan itu orang-orang yang baik-baik boleh dibezakan daripada orang-orang yang jahat… (sumber sama).

Dengan ini maka tidak munasabah bait-bait seperti ini datang daripada pluralis ala Jon Hick walaupun Orientalist seperti John Hick mendakwa Rumi adalah tokoh pluralis, mungkin untuk menyedapkan hatinya sendiri, dan sekaligus supaya orang Islam terpedaya dengan pengamatannya itu. Dijauhkan Allah.

Beberapa kali saya bertanya kepada Prof. Ajmal Abd Razak di ISTAC yang mengkaji Mathnawi Rumi semua sekali sehingga ia menterjemahkannya dalam bahasa Melayu, buat pertama kali dalam sejarah persuratan Islam Nusantara, bolehkah kita kategorikan Rumi sebagai tokoh pluralis, beliau menjawab, dan saya bersyukur kepada Tuhan, ‘Tidak’. Itu sudah cukup bagi saya. Ertinya orang yang mengkategorikan Rumi sebagai tokoh pluralis dalam erti John Hick dan yang sepertinya adalah orang yang tidak memahami beliau daripada telaah terus ke atas teksnya sendiri, tetapi ia ‘mendengar cerita’ daripada mulut Orientalis, dan merasa selesa dan mendapat keuntungan dengannya. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Sepatutnya kita menelaah dengan kritis apa yang ditulis oleh Edward Said dalam bukunya ‘Orientalism’-untuk mendidik diri kita dalam bidang ini.

3. Persoalan Konsep Agama Adalah Universal

Berkenaan dengan pendapat pihak yang mengikut John Hick yang menyatakan bahawa: Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? yang bermaksud persamaan universal (universal concepts) antara semua agama untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan.

Maka boleh dijawab bahawa: Konsep ini berlawanan dengan anjuran Al Quran. Kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang Allah utuskan kepada Nabi dan Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW.

4. Persoalan Pendapat Dante, Penyair Kristian abad ke-14

Kalau Dante dianggap sebagai penganut pluralisme agama seperti John Hick maka jawapannya ialah: Dante, penyair Kristian di Itali pada abad ke-14 menganjurkan untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat bukan semata-mata dengan ‘Kuasa’ tetapi juga dengan ‘Akal’. Visi Dante ini sama dan boleh dihubungan dengan visi tokoh-tokoh Islam termasuk al Farabi dan Ibn Rushd.

Maka jawapan untuk ini ialah: Dante tidak menganjurkan pluralisme agama dalam erti John Hick. Beliau hanya menerima agamanya (Kristian), ajaran Katolik dan menolak agama lain. Dalam epik puisi ‘The Divine Comedy’, karya Dante, beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW dan Saidina Ali rd ke dalam neraka. Dalam ajaran Islam, setelah turunnya al Quran maka mansuhlah semua sistem kepercayaan lain, dan ajaran Quran adalah universal. Dalam Islam, ‘Akal’ semata-mata bukan penentu kepada kesejahteraan tetapi kebahagiaan juga bergantung kepada kepercayaan tentang ‘Wahyu’ dan ‘Syariat’ dan beramal dengan kedua-duanya. Sebab itu al Farabi dan Ibn Rushd tidak bergantung kepada ‘Akal’ semata-mata tetapi beriman kepada ‘Wahyu’ Al Quran dan Syariat Nabi Muhammad SAW. Tentang ibn Rushd boleh diingatkan bahawa ia pakar dalam Syariat dan dia kadhi atau mufti di Sepanyol; lihat kitabnya yang terkenal ‘Bidayah al-Mujtahid’. Kedua-duanya bukan ‘pluralis’ dalam erti John Hick. Menyebut kedua-duanya dan mengaitkannya dengan pluralisme ala John Hick adalah perbuatan jenayah ilmiah yang tidak boleh dimaafkan, walaupun dikatakan itu adalah “dari segi yang lain”

Tentang Dante bukan pluralis dalam erti John Hick dan keteguhannya dengan teologi Katolik (dengan itu ia bukan pluralis) ini jelas dalam kenyataan tentangnya dalam ‘The Catholic Encyclopedia on line’. Kenyataan tentangnya nya ialah: Pendiriannya dari segi teologi (Katolik) sebagai Katolik yang ortodok (yakni yang benar dan diterima dengan baik) sudah terbukti dengan banyaknya dan berkali-kali diabsahkan. (has been amply and repeatedly vindicated) akhir-akhir ini khususnya oleh Dr Moore yang menyatakan ‘Tidak ada kesan dalam tulisan-tulisannya tentang syak atau rasa tidak puas hati tentang mana-mana bahagian ajaran Gereja dalam perkara doktrin yang ditentukan oleh pihak berotoritas (gereja Katolik).’

Beberapa bukti daripada penulisannya sendiri tidak kurang pula bahagian penutup ‘Monarchia’ sendiri menjadi saksi tentang hormatnya Dante terhadap kuasa kerohanian pope dan jawatannya yang beliau terima sebagai berasal dari Tuhan (of Divine Origin). Tidak kurang menariknya khususnya –yang menunjukkan pegangan ortodoksnya (yakni pegangan yang benar dan asal pada sisi golongan Katolik) bagaimana peranan yang dimainkan oleh Mary the Virgin (Siti Maryam pada pegangan Katolik) dalam syair keagamaannya dari awal sampai akhirnya. Ia berupa sebagai penglahiran syair yang berpunca dari ilham terisyarat dalam kenyataan Richard of St. Victor (bermaksud): Melalui Mary bukan sahaja cahaya rahmat diberikan kepada manusia di bumi tetapi bahkan pemandangan terhadap Tuhan yang dikurniakan kepada roh-roh dalam Syurga’. Tidak munasabah Dante yang mempunyai pegangan Katholik semacam ini menjadi penganjur pluralisme seperti yang dianjur oleh John Hick sebagaimana yang dinyatakan oleh pihak yang berkenaan itu. Jadi debatan Dante sebagai tokoh pluralis tidak ada hujah yang boleh dibuat pegangan.

5. Persoalan Konsep Kebebasan Beragama vs Pluralisme Agama

Kalau dipersoalkan bahawa: Pada hari ini wujud kebebasan beragama (freedom of religion) tetapi tidak seharusnya diketepikan Pluralisme Agama (Religious Pluralism); yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama. Perkara ini lebih ketara di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Kebebasan dan kerukunan dalam beragama, BUKAN bermakna menghalalkan Pluralisme Agama

Maka perlu dijawab: Jika negara-negara Islam, adalah wajar kerajaannya berpihak kepada Islam dan memelihara syariat-syariatnya. Dalam Islam, kerajaan tidak boleh menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kerana kebenaran itu tetap ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran tersebut. Sebab itu, al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memastikan pihak kerajaan memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai apabila berlaku penyelewengan akidah ajaran Islam. Tetapi pihak kerajaan tidak boleh menganiayai pihak yang bukan Islam, mereka tetap diberi hak untuk mengamalkan agama mereka. Sudah tentu mereka mesti mengamalkan keadilan dan ihsan lepada pihak lain sebagaimana yang diajarkan dalam Qur’an.

6. Persoalan Firman Allah, ‘Tidak Ada Paksaan Dalam Agama

Kalah pihak yang terpengaruh dengan aliran John Hick berhujah: Al Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman ‘tidak ada paksaan dalam agama’, maka mestilah perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak maka kenyataan Al Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti.

Maka perlu diberi jawapan bahawa: Ayat berkenaan dengan Tidak ada paksaan dalam agama’ (2:256) dalam Islam bermaksud bahawa umat Islam tidak boleh memaksa bukan Islam supaya memeluk Islam. Ia terletak pada pilihannya. Tetapi apabila seseorang itu sudah Islam maka ia tertakluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama Islam. Kita tidak menafsir kebebasan beragama itu bermakna kebebasan untuk murtad bagi orang Islam.

Maka umat Islam tidak seharusnya mengikuti falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama apabila falsafah itu sendiri bercanggah dengan Quran. Dalam Islam ‘freedom of conscience’ (kebebasan jiwa) bukannya kebebasan ala Barat tetapi harus tunduk kepada akidah dan syarak Islam.

7. Persoalan Konsep Menuju Kepada Yang Satu

Kalau pihak yang beraliran seperti itu berhujah bahawa : Guru Granth Sahib, Kitab Agama Sikh memberitahu kepada semua manusia bahawa seseorang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian (spiritual paths) akan membawa kepada Yang Satu dan akan menjadi bebas merdeka tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan turun ke dalam api neraka dan terbakar di dalamnya. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dan mereka akan berterusan tenggelam dalam nikmat Kebenaran.

Maka perlu diberi jawapan bahawa: Dalam Islam konsep ‘Menuju Kepada Yang Satu’ perlu dilihat dalam konteks Quran. Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu membawa kepada kekaburan, itu akan mengundang masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid juga bukannya Yang Satu, begitu juga kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, juga bukan Yang Satu dalam Al Quran.

8. Persoalan Semua Kepercayaan Agama Adalah Sama

Kalau pihak mereka itu berhujah bahawa: Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu serta yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang paling tinggi (higher truths) akan mengatasi amalan- amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

Maka perlu diberi jawapan bahawa: kebenaran-kebenaran yang tertinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth) juga perlu dilihat dalam konteks Al Quran. Apabila diturunnya Al Quran, maka terputuslah kebenaran agama-agama lain (sebab ajaran Quran adalah ‘muhaiminan ‘alaih: dia menjaga kebenaran agama-agama), sebab itu umat Islam adalah saksi terhadap umat manusia, sebagaimana Rasulullah adalah saksi bagi umat Islam. Menurut Islam tidak ada yang benar, melainkan ajaran al-Quran.

9. Persoalan Perintah-Perintah Eksklusif (Exclusivist Claims)

Kalau golongan ini berhujah dan mengatakan: Hari ini, terdapat pemimpin-pemimpin agama-agama dunia tertentu yang terus menerus membuat pengakuan-pengakuan Eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi berbanding dengan penerimaan perkara-perkara yang disepakati bersama (commonality) yang mampu menghubungkan semua manusia. Kalaulah kita menerima hakikat bahawa memang terdapat kepelbagaian, maka Pluralisme Agama adalah jawapannya kerana mampu menyatukan. Itulah jalannya untuk membawa keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan.

Untuk fahaman begini perlu diberi jawapan: Adalah janggal sekiranya umat Islam menerima Bible dan kitab-kitab lain selain Al Quran sebagai ‘wahyu’. Teori John Hick yang mengatakan hanya Pluralisme Agama yang membawa kebahagian dan syurga sepatutnya tidak mempengaruhi umat Islam yang setia dengan wahyu Al Quran.

10. Persoalan Konsep Kebebasan

Golongan pluralis ala John Hick mungkin berhujah mempersalahkan umat Islam dan berkata: kaum muslimin masih lagi berterusan berprejudis; menolak nilai kebebasan bersuara (free speech), kebebasan media (free press), demokrasi, dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience). Mereka memandang budaya Pluralisme Agama sebagai satu bentuk konspirasi teragung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga dilihat sebagai jerat untuk menyeludup masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tetapi sebenarnya ini merupakan suatu penyelewengan apabila dilihat menurut perlaksanaan hukum Islam. Di luar daripada kepentingan polisi awam, memang tidak ada kewajipan agama untuk orang Islam mengenakan undang-undang dan nilai-nilai umat Islam ke atas seluruh masyarakat.

Dari segi ideologi, sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan islah. Muslimin hendaklah membebaskan diri daripada amalan-amalan lama menggunakan klise dan menjaja-jajanya (cliche-mongering) serta mengenakan label-label kepada orang, dan bergerak melewati kepentingan-kepentingan kelompok yang sempit. Penemuan semula garapan terhadap pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan.

Untuk ini perlu diberi jawapan: Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan hati nurani (freedom of conscience), pada muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada orientasi Syara’: Kalau kebebasan itu tidak bertentangan dengan Syara’, maka kebebasan itu dialu-alukan, tetapi sekiranya kebebasan itu yang bertentangan dengan Syara’ maka ia perlu dijauhi.

Sudah tentu bagi Muslimin, Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata-mata. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektual dan rohaniah. Dijauhkan Allah Pihak yang berbicara tentang nilai kebebasan manusia sejagat perlu juga menghormati manusia beragama dalam mengamalkan agamanya dan bukannya hendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata-mata. Itu pun bercanggah dengan nilai hak-hak asasi manusia.

11. Persoalan Syariat Islam

Kalau golongan mereka berhujah: Syariat itu bukannya hanya tertulis di atas batu, dan ia mengalami evolusi (perubahan) secara dinamik. Demi untuk mempertahankan aliran moderat, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi lebih menarik, mengikut kaedah yang bersifat universal dan kekal abadi.

Dikatakan bahawa pluralisme dalam dunia yang terbahagi-bahagi ini akan menambah lagi perpecahan kepuakan yang membawa pula kepada suara yang diulang-ulang tentang ‘pertembungan tamadun’ yang telah dan masih meletihkan yang seperti ianya sama dengan pukulan ‘gendang purba’ itu. Bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Eliot: Sejarah boleh berupa sebagai perhambaan, sejarah boleh pula berupa sebagai kebebasan.

Oleh itu, kita mesti membebas diri kita daripada penipuan konsep tentang pertembungan tamadun dan menumpukan semula perhatian kita kepada pertembungan yang menggelegak (bahaya) dalam umat Islam itu sendiri. Kita boleh melihat suatu pertembungan yang lebih merbahaya dan membimbangkan yang berlaku dalam tamadun yang sama (Islam), antara yang lama dan baharu (the old and the new), yang lemah dan kuat (the weak and the strong), moderat (liberal) dan fundamentalis (the moderates and the fundamentalists), dan antara modernis dan traditionalis (the modernists and the traditionalists).

Turki dan Indonesia dengan terang sedang merintis jalan demokrasi bagi umat Islam untuk ikutan mereka. Kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah yang segera akan berlaku juga berupa suatu kenyataan yang jelas tentang tahap demokrasi liberal dapat dicapai, walaupun, sayangnya, hambatan-hambatan yang dibentangkan di hadapannya oleh setengah negara-negara ahli itu sangat nyata memberi isyarat tentang Islamophobia yang ada. Di Asia Tenggara, Indonesia sudahpun mencapai garis penyudah [dalam amalan demokrasinya] manakala jiran-jirannya yang muslimin dalam negara masing-masing masih lagi terlekat dalam tahap permulaan jalannya.

Untuk ini mesti diberi jawapan: Kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahli Sunnah tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baru yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman berzaman boleh berubah. Tetapi kalau perubahan itu melibatkan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan. Dan seperkara lagi: usaha mengembalikan umat kepada wacana Ahli Sunnah akan menyatupadukan pegangan dan pemikiran mereka dengan pegangan itu, sebagaimana yang jelas dalam sejarah dan nas-nasnya. Yang menimbulkan masalah ialah pihak-pihak yang tidak mahu kembali kepada aliran arus perdana dan berkeras hendak mengagung-agungkan pemikir-pemikir tertentu.

12. Persoalan Jihad

Kalau pihak pluralis itu berhujah mengatakan: Hari ini jihad dilaungkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengesahkan perbuatan-perbuatan keganasan dalam pelbagai bentuk dan rupanya, tetapi akhirnya menjadi kabur antara garis jihad dan keganasan. Mujurlah adanya pentadbiran Obama, maka kita telah melihat sesetengah perubahan berbanding polisi Bush yang mengamalkan sifat percanggahan dan memilih bulu, dalam memerangi keganasan, dengan memberi sokongan kepada para autokrat (penguasa kuku besi) di dunia Islam di satu pihaknya, dan menjadi jaguh kebebasan dan demokrasi di satu pihak lain pula. Walaupun selepas lebih setahun semenjak pentadbirannya (Obama) itu, kita masih lagi menanti untuk melihat perubahan-perubahan yang penting (substantive) dalam isi (substance) polisi luar negara Amerika dalam hubungan dengan Dunia Islam.

Maka mesti diberi jawapan: Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam kalangan setengah umat Islam (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan itupun jangan diremehkan) itu tidak boleh dijadikan dalil bahawa itu penafsiran yang menyeluruh yang mewakili arus perdana umat Islam. Bagaimanapun, ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak yang pada masa lalu, mahupun sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

Mudah-mudahan kita semua kembali kepada panduan wacana Ahli Sunnah wal-Jamaah, amin. Wallahu a’lam.

%d bloggers like this: