• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

DEFINISI, HUKUM, DALIL DAN SEJARAH HAJI


DEFINISI HAJI

Mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan Haji untuk menunaikan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Haji merupakan perlakuan ibadah umat islam yang mempunyai banyak simbolik yang dikemukakan kepada manusia dalam bentuk penonjolan diri, demostrasi atau perisytiharan, bukan menuntut sesuatu yang bersifat kebendaaan atau keduniaan, tetapi demontrasi untuk menyatakan tauhid dengan slogan dan laungan kalimah suci, Allahhu Akhbar, Allah Maha Besar, berulang-ulang kali dengan keyakinan dan ketaqwaan, pengakuan yang jelas dan tegas sekalipun kufur atau musyrikin tidak menyenanginya.

Pengisytiharan tauhid yang jelas dan laungan talbiah yang tegas dilakukan serentak menyebut nama Allah, “Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni’mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak”, dilaungkan bukan kerana sesuatu kekurangan, tetapi penyataan sesuatu ibadah dalam bentuk demontrasi menentang syirik, kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mentauhidkan Allah.

Sikap dan pendirian yang tegas dalam perkara ‘ubudiah yang menjadi ajaran para anbia’ sejak zaman-berzaman perlu diisytihar dengan jelas supaya sekali-kali jangan terlibat dengan syirik atau tanghut.Sebaliknya hendaklah mengabdikan diri semata-mata kerana Allah – diri, pemikiran, fizikal, harta benda dan nawaitunya hanya semata untuk Allah.

Segala bentuk kesesatan, syirik atau penyembahan system yang menuju ke arah taghut wajib dijauhi.Islam tidak menuntut sikap bertindak balas terhadap pihak yang memsongkan akidah, tetapi bersikap Islam, kebaikan dan keamanan. Bagaimanapun, jika mereka sering dan terus berusaha menyelewengkan manusia daripada mentauhidkan Allah maka diwujudkan suatu amalan ibadah dalam bentuk demonstrasi terang-terangan bagi melawan kerja-kerja mereka yang sesat sekalipun orang-orang musyrikin, golongan kuffar dan munafiqun tidak menyenanginya.

HUKUM DAN DALILNYA

Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.

Dalil dari al-Quran:

Haji adalah merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama’, fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah yang bermaksud:

Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah – Surah Al- Baqarah ayat 196.

Dalam pada itu Ibnul Qaiyim menguatkan pendapat bahawa mulai diwajibkan haji itu ialah pada tahun ke sembilan atau ke sepuluh Hijrah. Sesiapa yang menafikan hukum wajib haji itu maka bererti kufur dan murtadlah ia dan terkeluar dari Agama Islam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:-

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. – Surah Ali’ Imran ayat 97.

Dalil dari Hadis:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Islam dibina atas lima rukun.” Baginda s.a.w. menyebut di antaranya ialah ibadat Haji. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga.” Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan.” Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah s.w.t. memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji.” Lalu seorang lelaki bertanya Baginda s.a.w.: “Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun, wahai Rasullullah?” Rasulullah s.a.w. hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Baginda s.a.w. menjawab: “Jika aku katakan ya, nescaya kamu wajib mengerjakan pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat haji ketika kamu berkemampuan.”

Semua imam-imam fiqh bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.

SEJARAH HAJI

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :

Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk.

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI

Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan “Hijjatul Wada’/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA’

Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

  1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.
  2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa “Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah”.
  3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan “Apakah itu Haji?”. Sabdanya yang bermaksud “Haji itu berhenti di Arafah”. Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
  4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :

Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Waallahu ‘alam.

____________________________________
Sumber:
Al-azim.com (Jabatan Mufti Melaka)
Lembaga Tabung Haji
Tanbihul_ghafilin.tripod.com

Advertisements

MENGAGUNGKAN SYIAR ALLAH DALAM IBADAH HAJI


Mengagungkan syiar Allah dalam ibadah haji

Oleh DR. MUHAMAD RAHIMI OSMAN

UMAT Islam dari seluruh dunia yang akan menunaikan haji pada tahun ini sedang membanjiri kota Mekah kerana menunggu hari wuquf di Arafah.

Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan hari wuquf iaitu 9 Zulhijjah 1432H akan jatuh pada hari Sabtu bersamaan 5 November 2011. Wuquf adalah kemuncak bagi ibadat haji. Tanpanya tidak terlaksana ibadat haji. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Haji adalah (wuquf di) Arafah.

Keutamaan wuquf juga adalah berkaitan dengan peristiwa Hajjatul Wada’ (haji terakhir) Rasulullah SAW yang mana baginda menyampaikan khutbah penting dan bersejarah sebagai pesanan kepada 124,000 para sahabat yang menunaikan haji bersama baginda dan kepada seluruh umat Islam umumnya.

Ibadat haji adalah rukun Islam ke lima yang difardukan ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan. Rukun Islam yang lain boleh dikerjakan di mana saja umat Islam berada, tetapi berbeza dengan ibadat haji yang Allah SWT telah memilih Mekah al-Mukarramah dan sekitarnya untuk menjadi Tanah Suci-Nya agar kaum Muslimin mendatanginya dari seluruh penjuru bumi untuk mengerjakan ibadat haji.

Mekah sebagai tanah suci di sisi Allah dan Rasul-Nya telah diberi keistimewaan dan keutamaan yang banyak. Allah menyebutnya dalam al-Quran beberapa kali dengan beberapa nama seperti Makkah, Bakkah, Ummul Qura, al-Baladul Amin, al-Baldah dan al-Masjidil Haram.

Kepelbagaian nama itu menunjukkan mulianya sesuatu yang dinamai tersebut dan agungnya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan demi negeri (Mekah) yang aman. (at-Tin: 3), dan firman-Nya yang bermaksud:

Aku benar-benar bersumpah dengan negeri ini (Mekah), dan kamu (Muhammad) bertempat di negeri (Mekah) ini. (Al-Balad: 1-2).

Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda kepada bumi Mekah: “Sesungguhnya engkau negeri yang paling baik, dan paling aku cintai. Andai kaummu tidak mengusirku, maka aku tidak akan tinggal di tempat selainmu.”

Beberapa tempat yang dituntut umat Islam mengagungkan dengan menunaikan ibadat seperti yang disyariatkan adalah seperti berikut:

1. Masjid Haram

Masjid Haram adalah masjid yang paling utama keistimewaannya berbanding masjid-masjid lain di seluruh pelosok bumi. Ia adalah masjid yang tertua didirikan di muka bumi ini.

Oleh itu umat Islam dituntut mengunjunginya dan beribadat di dalamnya. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar r.a maksudnya: Beliau berkata kepada Rasulullah SAW,

Masjid manakah yang pertama dibina di bumi ini? Rasulullah bersabda: Masjidul Haram.” Aku bertanya lagi: “Kemudian masjid apa?” Jawab baginda : “Masjidul Aqsa.” Aku bertanya berapa lama tempoh antara keduanya: Baginda bersabda: Empat puluh tahun, bila saja tiba waktu solat kepada kamu, maka solatlah di dalam keduanya kerana keutamaan ada pada keduanya.”

Dalam sebuah hadis lain dari Jabir, Rasulullah SAW bersabda: “Solat di Masjidku lebih utama 1,000 kali daripada solat di masjid lain kecuali Masjidul Haram. Dan solat di Masjidul Haram lebih utama 1,000 kali berbanding solat di masjid selainnya.”

2. Kaabah

Keistimewaan Masjid Haram juga adalah kerana di sana terletaknya Baitullah yang suci iaitu Kaabah yang menjadi kiblat seluruh kaum Muslimin di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk membinanya.

Keistimewaan Kaabah kerana ia dihubungkan dengan dua rukun Islam iaitu solat dan haji. Solat tidak sah tanpa menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maka hadapkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah muka kamu ke arahnya. (al-Baqarah: 144).

Begitu juga ibadat haji tidak sah tanpa melakukan tawaf di Kaabah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan kewajipan manusia terhadap Allah SWT adalah mengerjakan haji di Baitullah (iaitu) bagi sesiapa yang berkemampuan menanggung perjalanan ke Baitullah (ali-‘Imran: 97)

Mengagungkan Kaabah hendaklah dilakukan sesuai dengan cara yang telah disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya iaitu menghadap ke arahnya, mengelilinginya untuk bertawaf, menyentuh hajarul aswad dan Rukun Yamani dan boerdoa di Multazam.

Adapun perbuatan selainnya seperti bergantung pada kelambu Kaabah, menyentuh dan mencium selain hajarul aswad kerana meminta barakah adalah termasuk amalan mengagungkan Kaabah dengan cara menyalahi petunjuk Nabi SAW. Di sekitar Kaabah juga terdapat Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim yang mana diperintahkan untuk mendirikan solat dan berdoa pada keduanya.

3. Safa dan Marwah

Kedua-duanya adalah bukit terletak di sebelah timur Kaabah yang disyariatkan untuk melakukan Saie di antara keduanya yang menjadi rukun kepada ibadat haji dan umrah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah. Maka barang siapa yang menunaikan haji atau umrah di Baitullah, maka tiada dosa baginya mengerjakan sa’i di antara ke duanya. (al-Baqarah: 158)

Imam Thabari ketika menafsirkan ‘sebahagian dari syiar Allah’ menjelaskan ia termasuk tanda-tanda kekuasaan Allah yang dijadikan bagi hamba-hamba-Nya untuk beribadah dengan cara berzikir dan berdoa pada keduanya.

4. Arafah, Muzdalifah dan Mina

Ketiga-tiga tempat ini termasuk tempat-tempat yang diagungkan yang dikenali sebagai masy’aril haram, syiar-syiar yang suci dan tempat-tempat yang wajib dikunjungi dalam ibadah haji.

Arafah dikunjungi pada hari Arafah sahaja iaitu pada hari kesembilan dari bulan Zulhijjah untuk melaksanakan wuquf, berzikir dan berdoa kepada Allah bermula daripada gelincir matahari sehingga terbenamnya matahari.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai (Arafat) dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang. (al-Baqarah: 199)

Dari Arafah, para hujjaj bergerak ke Muzdalifah pada malam Hari Raya Aidiladha atau malam hari Nahr ( hari sembelihan) untuk melakukan mabit (bermalam) padanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafat, maka berzikirlah kepada Allah di Masy’aril Haram. Dan berzikirlah kepadaNya sebgaimana cara yang ditunjjukkanNya kepada kamu, dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk orang-orang yang sesat. (al-Baqarah: 198)

Mina pula adalah tempat ketiga masy’aril haram dikunjungi semasa ibadah haji selepas Arafah dan Muzdalifah. Amalan yang disyariatkan di mina ialah bermalam (mabit), melempar tiga jumrah iaitu jumratul Kubra, Wusta dan Sughra, dan menyembelih binatang korban pada hari ke-10 hingga ke-13 Zulhijjah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang telah ditentukan. Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (ke Mekah dari Mina), sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 203)

Sesungguhnya Allah SWT memilih bumi Mekah dan sekitarnya untuk dimulia dan diagungkan. Ia adalah tempat suci yang dikenali sebagai masy’aril haram yang telah disyariatkan keutamaannya oleh Allah SWT.

Di tempat-tempat ini, jemaah haji dan umrah dituntut mengagungkan syiar Allah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Demikianlah (perintah Allah).

Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah (melalui amalan tertentu dalam ibadat haji dan tempat-tempat tertentu yang dikhususkan) maka sesungguhnya ia terbit dari hati yang bertakwa. (al-Haj: 32).

Sumber: Bicara Agama Utusan Malaysia

PENGERTIAN SEBENAR HAJI MABRUR


Bersama Tabung Haji: Oleh Zulkarnain Ali

TUNTUTAN ISLAM: Niat menunaikan haji mesti ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah.

Keikhlasan tunai ibadat perlu bermula dari rumah, tidak boleh riak.

ISTILAH mabrur lebih mashyur di bibir masyarakat daripada mengetahui maknanya yang sebenar. Apakah yang dimaksudkan haji mabrur?

Ibn Kholawaih mentakrifkan al-Mabrur sebagai al-Maqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan (tarjih) oleh Imam Nawawi dengan pendapat itu (tidak bercampur dosa).

Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ‘Kelebihan Haji Mabrur’, manakala Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab ‘Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan’.

Ini berdasarkan dua riwayat utama, Abu Hurairah dan Aisyah Radiyallahu’anha iaitu:

Riwayat dari Abu Hurairah Radiyallahu’anhu:

Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya: Haji yang mabrur (diterima).

Aku dengar Nabi bersabda: sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa-dosa).

Riwayat ‘Aisyah Radiyallahu’anha:

Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan. Adakah kami perlu berjihad? Sabda baginda: Tidak, akan tetapi seafdal-afdal jihad ialah haji yang diterima (mabrur).

Bagaimana Mencapai Haji Mabrur?

Secara umumnya, sebagai seorang yang taat kepada Allah dan Rasulnya yang ingin mencapai haji yang diterima di sisi Allah, hendaklah memenuhi kriteria berikut:

  • Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riak (menunjuk-menunjuk).

Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith di atas dengan berkata;

Mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan al-mabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak riak pada hajinya.

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Malah, Rasulullah mengajar kita dengan doa yang telah thabit di dalam hadisnya, antaranya doa ketika bermusafir:

Ya Allah, Engkaulah Empunya permusafiran ini, dan khalifah bagi (menjaga) keluarga (ku), aku berlindung dengan-Mu dari keburukan permusafiran, kekaburan penglihatan, keburukan pada harta dan keluarga.

  • Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.

Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:

Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin mengikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat al-Quran.

Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan. Kemudian Rasulullah membacakan lagi:

Wahai orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” (Surah al-Baqarah 172).

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata ‘Ya Tuhanku’ sedangkan punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima?”.

  • Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.

Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah di dalam sunnahnya. Sebagai seorang Muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.
Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.

Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab

Kau hanya sebuah batu yang tidak mampu membawa mudarat dan faedah, kalau bukan kerana aku lihat Rasulullah mengucupnya, sudah aku tidak aku mengucupnya.(Muttafaqun Alaih).

Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.

  • Selepas menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji.

Ini sesuai dengan hadis:

Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah: Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita itu: Ya. Sabda Nabi: Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)“. (Sahih Bukhari No Hadith 1720, 6771).

Adakah Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Besar?

Imam al-Munzir antara yang berpendapat mengatakan bahawa haji yang diterima diampunkan sekali gus dosa yang besar mengikut mafhum hadis berikut;

Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama mendalami sebenar inti pati fardu haji. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang diterima hajinya di sisi Allah Ta’ala. Dan kembalinya kita ke tanah air dari Makkah biarlah berdasarkan hadis yang telah disebutkan;

“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa)”.

INTI PATI

  • Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.
  • Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
  • Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
  • Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.
  • Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).

– Penulis adalah Pengurus (Hal Ehwal Haji Antarabangsa), Lembaga Tabung Haji.

Sumber: Blog Mutiara Hati (http://nurjeehan.hadithuna.com/2007/09/pengertian-sebenar-haji-mabrur/)

%d bloggers like this: