SHEIKH IDRIS AL-MARBAWI


Koleksi Karya: Allahyarham Ustaz Wan Mohd. Shaghir Abdullah

_______________________________

Sheikh Idris Al-Marbawi

Kitab Tafsir Surah Yasin karangan Imam Asy-Syaukani terjemahan bahasa Melayu oleh Sheikh Idris Al-Marbawi atas permintaan percetakan Musthafa Al-Baby Al-Halabi Mesir tahun 1353H. Ulama besar yang diperkenalkan pada kali ini tidak asing bagi kebanyakan pelajar-pelajar Alam Melayu amnya, dan di Malaysia khususnya. Beliau sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Beliau ialah Sheikh Muhammad Idris Abdur Rauf al-Marbawi, seorang ulama yang berketurunan dari Kampung Merbau, Perak. Dilahirkan pada tahun 1893 M di Mekah, dan tarikh kembalinya beliau ke rahmatullah juga telah banyak ditulis orang pada 10 Oktober 1989, dimakamkan di Kampung Lubuk Merbau, Perak pada usia 96 tahun.

TOK KENALI ANTARA GURU SHEIKH IDRIS AL-MERBAWI

Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah dari Tok Kenali Kelantan. Sebelum ini, artikel mengenai Tok Kenali pernah dibicarakan penulis dengan judul Tok Kenali: Ulama Peringkat Wali yang dikeluarkan pada Isnin, 2 Oktober 2006.

Namun dirasakan perlu dibicarakan lagi secara umum berkenaan guru kepada Sheikh Idris Marbawi tersebut. Tok Kenali adalah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam bersistemkan pondok di Malaysia, bahkan juga seluruh Alam Melayu.

Beliau ialah murid yang paling dipercayai oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, sehinggakan tiada satu rahsia perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh beliau. Beliau meninggalkan murid yang sangat ramai. Antara yang menjadi ulama besar adalah Sheikh Idris Marbawi dan Sheikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber ini penulis perolehi daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, seorang Mufti Mempawah Indonesia, yang didengar penulis pada tahun 1969 di Indonesia, Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah, yang didengar pada tahun 1970, Kadi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala Patani pada tahun 1970, Kadi Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ramai yang lain yang belum perlu disebutkan).

KARYA-KARYA YANG DIHASILKAN

Sheikh Idris al-Marbawi meninggalkan karya-karya yang tidak kurang banyaknya. Terdapat dua karya beliau yang sangat terkenal, sehingga masih digunakan sehingga ke hari ini iaitu Qamus al-Marbawi dan Bahrul Mazi. Keterangan maklumat mengenai kedua-dua karya tersebut adalah berikut:

KAMUS IDRIS AL-MARBAWI

Kamus Arab-Melayu karangan Syeikh Idris Al-Marbawi

Kamus Idris al-Marbawi adalah judul sebenar dalam persuratan. Dalam percakapan umum dinamakan kamus Marbawi. Kamus ini bukan kamus Arab-Melayu yang pertama ditulis. Terdapat kamus lain ditulis sekitar tahun berhampirannya. Namun, kamus ini mendapat tempat tersendiri dalam bidang perkamusan. Antara keistimewaan kamus ini berbanding yang lainnya adalah kamus Arab-Melayu yang ditulis dengan Melayu-Jawi dan yang pertama paling luas penyebarannya di seluruh dunia Melayu. Bahkan ia turut digunakan oleh masyarakat Melayu di Mekah, Mesir dan beberapa tempat lain.

Ia turut digunakan oleh hampir semua orang yang belajar bahasa Arab dari kalangan suku kaum Melayu, Jawa, Bugis dan sebagainya. Dalam mukadimahnya, beliau meluahkan yang terkandung dalam hatinya demi kemajuan bangsa Melayu, iaitu katanya: “Kemudian dari itu, maka sebelum masuk mengarang kamus ini, lebih dulu menerangkan maksudku mengadakannya, ialah memajukan bangsaku Melayu, sekiranya menuntut bahasa Arab adalah kamus penyuluhnya yang diharap, mendapatkan pelajarannya umpama nahu dan saraf.”

Kamus ini mengandungi dua juzuk. Juzuk pertama yang mengandungi 384 halaman dimulakan huruf Alif dan berakhir dengan Zha, yang mengandungi 18,000 kosa kata perkataan Arab yang diberi takrif atau ertinya ke dalam bahasa Melayu, dan terdapat juga 700 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Dalam juzuk kedua pula mengandungi 401 halaman, yang dimulakan daripada huruf ‘Ain dan berakhir dengan huruf Ya, juga terdapat 18,000 kosa kata Arab dan 500 yang diisyaratkan dalam bentuk gambar.

Berkenaan maklumat-maklumat lainnya berkaitan kamus Marbawi tersebut, telah banyak penulis bicarakan dalam Berita Harian, 28 Mac 2006 (Selasa) dengan judul ‘Kamus Marbawi Rujukan Pelajar Kuasai Bahasa Arab.’

BAHRUL MAHZI

Karya Syeikh Idris al-Marbawi yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mutkhtasar Sahihit Tarmizi. Ia merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi dan disyarah oleh beliau. Terjemahan Sahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu.

Kitab Bahrul Mahzi

Bahrul Mazi adalah karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilidnya, adalah seperti berikut:

  • Jilid I : Tanpa menyebut tarikh. Tebal 227 halaman. Menerangkan bicara bersuci dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 126 hadis dan 591 masalah.
  • Jilid II: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 454 masalah.
  • Jilid III: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 240 halaman. Menerangkan bicara sembahyang dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 161 hadis dan 558 masalah.
  • Jilid IV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan bicara sembahyang; zakat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 115 hadis dan 519 masalah.
  • Jilid V: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 208 halaman. Menerangkan bicara puasa dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 110 hadis dan 473 masalah.
  • Jilid VI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara haji dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 108 hadis dan 458 masalah.
  • Jilid VII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan bicara umrah dan jenayah. Terdiri daripada 114 hadis dan 483 masalah.
  • Jilid VIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan baki bab-bab jenayah dan membicarakan Kitabun Nikah. Terdiri daripada 99 hadis dan 330 masalah.
  • Jilid IX: Tarikh selesai menulis malam Rabu, 29 Syawal 1357 H di rumah berdekatan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Tebal 224 halaman. Menerangkan bab-bab talak, li’an dan jual beli. Terdiri daripada 117 hadis dan 226 masalah.
  • Bab-bab jualan
    Jilid X: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Menerangkan baki bab-bab jualan, bab-bab kadi, diat dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 180 hadis dan 259 masalah.
  • Jilid XI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan korban, nazar-nazar, sumpah-sumpah, perjalanan Nabi dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 151 hadis dan 486 masalah.
  • Jilid XII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Menerangkan perang sabil, pakaian, makanan dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 170 hadis dan 353 masalah.
  • Jilid XIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Menerangkan minum-minuman, kebaktian, perhubungan rahim dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 152 hadis dan 472 masalah.
  • Jilid XVI: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 224 halaman. Melengkapi atas baki bab-bab perhubungan rahim, perubatan, faraid, wala’, hibah, qadar dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 138 hadis dan 395 masalah.
  • Jilid XV: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 248 halaman. Melengkapi bab-bab huru-hara, ta’bir mimpi dan saksi-saksi. Terdiri dari 105 hadis dan 301 masalah.
  • Jilid XVI: Tarikh akhir Bab ar-Ru‘ya dan mengiringi bab-bab syahadah. Selesai malam Rabu, 21 Ramadan 1359 H/1940 M. Melengkapi atas bab-bab mimpi, saksi-saksi dan zuhud. Terdiri daripada 128 hadis dan 237 masalah.
  • Jilid XVII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 232 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat kiamat; pelembut hati, wara’ dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 100 hadis dan 210 masalah.
  • Jilid XVIII: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab sifat syurga, neraka, iman dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 109 hadis dan 210 masalah.
  • Jilid XIX: Tanpa menyebut tarikh. Tebal 228 halaman. Melengkapi atas bab-bab ilmu, minta izin dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 148 hadis dan 266 masalah.
  • Jilid XX: Tarikh dicatat oleh pengarangnya, katanya: “Telah selesai hamba daripada menulis dan mengarangkan juzuk yang kedua puluh ini dengan kurnia Allah SWT kemudian daripada tergendala mengarangnya 16 tahun. Iaitu mula perang Inggeris dengan Jerman dan Jepun dan Itali pada tahun 1949, dan sudah juzuk ini pada malam Rabu 25 Ramadan dan 1373 bersamaan 18 Mei 1955.” Melengkapi atas baki bab-bab adab, misal-misal, bab-bab pahala Quran dan barang yang takluk dengannya. Terdiri daripada 127 hadis dan 311 masalah.
  • Jilid XXI: Mulai penulisan pada hari Khamis, 26 Syaaban 1374 H/19 Mei 1955 M, dan diselesaikan pada 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M. Tebal 255 halaman. Melengkapi atas segala bab tafsir. Terdiri daripada 92 hadis dan 335 masalah.
  • Jilid XXII: Dimulai 25 Rabiulakhir 1376 H/10 Disember 1955 M, dan selesai pada malam 2 Jamadilakhir 1377 H/24 Disember 1957 M. Tebal 242 halaman. Melengkapi atas tafsir setengah-setengah ayat di dalam surah al-Maidah dan lain-lainnya. Terdiri daripada 95 hadis dan 351 masalah.

Penerbitan keseluruhan diusahakan oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, mulai tahun 1352 H/1933 M. Pada kata aluan jilid pertama, pengarangnya menerangkan bahawa beliau telah belajar ilmu hadis daripada Sheikh Muhammad Ibrahim as-Samaluti, iaitu guru hadis yang mengajar berpuluh-puluh tahun di Jami’ Saiyidina Husein di Kaherah, Mesir. Bahawa ketika pulang ke rumah, beliau terus mencatat pelajarannya sehingga tersusunlah kitab besar Bahrul Mazi tersebut.

TAFSIR SURAH YASIN

Tafsir Surah Yasin

Sebuah lagi karangan Sheikh Idris al-Marbawi yang kurang tersebar ialah kitab Tafsir Surah Yasin. Asal kitab ini adalah karangan Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad asy-Syaukani dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Sheikh Idris al-Marbawi atas permintaan Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H.

Pada mukadimah Sheikh Idris al-Marbawi menulis: “Adapun kemudian daripada itu, maka telah menuntut kepada hamba oleh Syarkah wa Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir bahwa hamba terjemahkan tafsir yasin karangan asy-Syaukani daripada Arab kepada Melayu…”.

Kitab ini telah diterbitkan oleh Mathba‘ah Mustafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir pada tahun 1353H/ 1935 M.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN DUA KALIMAH SYAHADAH


Sumber : Abu Nur al-Dununiy

FASAL PERTAMA: PENGENALAN

Barangsiapa yang berlaku kepadanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, maka dia telah murtad iaitu keluar dari agama Islam atau putus dari ikatan agama Islam. Murtad termasuk dosa kufur yang merupakan dosa paling besar di sisi Allah taala dan tidak ada lagi dosa yang lebih besar dari dosa kufur.

Bagi menyelesaikan masalah murtad tidak dapat tidak kita mesti mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan murtad. Oleh itu, seseorang yang mukallaf itu wajib mempelajari perkara yang boleh membatalkan Dua Kalimah Syahadah supaya dia tidak terjerumus ke dalam kancah murtad dan supaya dapat mengislamkan kembali mereka yang telah murtad. Ini kerana orang yang tidak mengetahui sesuatu kemudaratan tidak dapat menyelamatkan dirinya dan orang lain dari kemudaratan tersebut.

FASAL KEDUA: SEBAB-SEBAB MURTAD

Tiga perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad seperti yang telah diterangkan oleh para ulama di kalangan empat mazhab, iaitu: kufur i’tiqadiyy, kufur fi’liyy, kufur qawliyy.

Kufur I’tiqadiyy

Kufur i’tiqadiyy ialah kekufuran dengan sebab niat, pegangan, kepercayaan atau keyakinan dalam hati. Antara contoh kufur i’tiqadiyy ialah:

  1. Ragu-ragu atau syak terhadap Allah dan rasul-Nya atau al-Quran atau hari Akhirat atau syurga atau neraka atau ganjaran-Nya atau balasan-Nya atau hukum-Nya atau syiar-Nya atau perkara yang telah diijmakkan (disepakati) oleh para ulama mujtahidin.
  2. Kepercayaan bahawa alam ini azali pada jisim dan unsurnya atau unsurnya sahaja.
  3. Menafikan salah satu sifat dari sifat-sifat Allah yang telah diijmakkan seperti sifat Maha Mengetahui segalanya.
  4. Mensifatkan Allah dengan suatu sifat yang tidak layak bagi-Nya seperti mensifatkan-Nya mempunyai jasad, bertempat, berakal dan seumpamanya.
  5. Menghalalkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti zina, liwat, membunuh, mencuri, merompak, menyamun, arak, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan seumpamanya.
  6. Mengharamkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti berjual beli, nikah dan seumpamanya.
  7. Menafikan kefarduan pada perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai wajib atau fardu hukumnya dengan ijmak seperti solat fardu atau salah satu daripada rukun-rukun solat (seperti sujud), zakat, puasa, haji, wuduk, menutup aurat dan seumpamanya.
  8. Berniat atau berazam mahu menganut agama bukan Islam pada masa akan datang.

Perhatian: Lintasan hati tidak menyebabkan murtad kerana ia muncul di dalam hati tanpa kehendak seseorang.

Kufur Fi’liyy
Kufur fi’liyy ialah kekufuran dengan sebab perbuatan yang zahir meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur fi’liyy ialah:

  1. Sujud kepada berhala atau matahari atau bulan atau sesuatu selain Allah yang dianggap sebagai tuhan.
  2. Sujud kepada manusia dengan tujuan menyembahnya.
  3. Perbuatan menghina hukum atau syiar Islam seperti melempar mushaf al-Quran, kitab atau helaian yang mengandungi ayat al-Quran, hadis atau hukum-hukum agama Islam ke tempat yang jijik atau kotor.
  4. Memakai syiar agama bukan Islam dengan tujuan berbangga atau kagum dengan agama bukan Islam tersebut seperti memakai rantai salib dan baju yang ada salib.

Kufur Qawliyy
Kufur qawliyy ialah kekufuran dengan sebab perkataan kufur yang diugkap dengan sengaja meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur qawliyy ialah:

  1. Memanggil seorang muslim yang lain: “Wahai kafir!” atau “Wahai Yahudi!” atau “Wahai Kristian!” atau “Wahai orang yang tiada agama” dengan maksud agama Islam yang dianut oleh muslim itu sebagai agama yang bersifat kufur, atau sebagai agama Yahudi, atau sebagai agama Kristian, atau sebagai bukan agama. Jika panggilan tersebut dengan maksud untuk menyamakan perbuatan jahat muslim tersebut dengan perbuatan orang kafir, atau orang Yahudi, atau orang Kristian, atau orang yang tiada agama, maka itu bukan suatu kekufuran.
  2. Menghina, memperlekeh, merendah-rendah atau mempersenda-sendakan salah satu daripada sifat-sifat, nama-nama Allah, janji-Nya, ancaman-Nya, kitab-Nya, nabi-nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-hukum-Nya, syiar-Nya dan seumpamanya.
  3. Menafikan salah satu daripada sifat-sifat wajib bagi Allah dan para nabi-Nya.
  4. Mensifatkan dengan sifat mustahil kepada Allah dan para nabi-Nya.

Perhatian: Lima keadaan perkataan kufur dikecualikan dari dihukumkan sebagai murtad, iaitu;

  1. Keadaan tersasul: iaitu perkataan yang terluncur di lidah tanpa sengaja atau tanpa kehendak.
  2. Keadaan hilang akal atau belum baligh. Namun, wajib ke atas kita menegah atau melarang orang yang hilang akal atau kanak-kanak tersebut dari mengungkapkan perkataan kufur.
  3. Keadaan dipaksa dengan ugutan bunuh atau seumpama bunuh, iaitu dengan syarat; orang yang dipaksa itu masih lagi beriman di dalam hatinya, tidak meredai dan tidak beriktikad dengan perkataan kufur tersebut.
  4. Keadaan menghikayatkan atau menceritakan perkataan kufur sama ada memulakan dengan menyatakan pihak yang berkata dengan perkataan kufur tersebut iaitu sebelum perkataan kufur, contohnya: “Golongan Wahhabi berkata: “Allah duduk di atas Arasy”, atau dengan menyatakan pihak yang berkata tersebut selepas perkataan kufur iaitu dengan berniat terlebih dahulu sebelum bercerita bahawa akan menyatakan pihak yang berkata itu selepas perkataan kufur tersebut, contohnya: “[Berniat bahawa akan menyatakan bahawa puak Wahhabi mengungkapkan perkataan kufur ini] Allah duduk di atas Arasy”. Kata puak Wahhabi”.
  5. Keadaan seseorang yang mentakwil dengan ijtihadnya dalam memahami hukum syarak dalam perkara yang bukan qat’iyy. Contohnya golongan yang enggan membayar zakat pada zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakr dengan takwilan mereka bahawa zakat wajib dibayar pada zaman hayat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa-sallam kerana doa keampunan baginda buat mereka ketika membayar zakat adalah suatu ketenangan dan penyucian dari dosa buat mereka berdasarkan ayat 103 surah al-Tawbah.

Kaedah: Setiap pegangan, perbuatan atau perkataan yang menunjukkan penghinaan terhadap Allah, kitab-kitab-Nya, para nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-Nya, syiar-Nya, janji-Nya atau ancaman-Nya adalah suatu kekufuran.

TUKKU PALOH – TOKOH ULAMA’ TERENGGANU


Tukku Paloh - Tokoh Ulama' Terengganu

Pada abad ke-19,seorang ulama besar di kenali Tukku Paloh yang dilahirkan di Terengganu pernah membantu negeri berkenaan menghalang penjajahan British. Nama sebenarnya,Sayid Abdul Rahman bin Muhamad al-Idrus yang juga dianggap ulama kerohanian yang banyak berkecimpung dalam bidang pentadbiran dan diplomatik di Terengganu.

Dengan ketegasan dan kepintaranya dalam hal ehwal diplomatik,Tukku Paloh sering diberi peluang mewakili sultan dalam perundingan dengan British hingga kerajaan Inggeris gagal menawan Terengganu. Dalam suatu kisah, beliau dilaporkan berkata

‘Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya tolak walau atas alasan apa sekali pun tetapi kalau hendak tanah, silakan. Isilah kedalam kapal tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.’

Itu adalah antara jawapan Tukku Paloh kepada wakil British ketika perundingan antara British dengan kerajaan Terengganu yang diwakilinya. Jawapan berbentuk sindiran itu diluahkan dengan tenang tetapi nyata menyakitkan hati wakil British berkenaan. Mereka lantas bangun untuk beredar tetapi dengan kuasa Allah punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi.

Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi mereka turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Ketika itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja

‘Sudahlah tuan-tuan hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan-tuan hendak ambil.’

Tukku Paloh yang hidup dalam zaman pemerintahan lapan sultan silih berganti dan pengaruhnya yang paling kuat ialah ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III, iaitu Sultan Terengganu ke 11. Dilahirkan pada 1817 di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu, beliau adalah nasab ke 32 daripada Rasulullah S.A.W di kalangan keluarga al-Idrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein RA, anak Sayidatina Fatimah az-Zahrah RA binti Rasulullah SAW. Tukku Paloh yang diterima sebagai penasihat pertama dan utama sultan

Makam Tukku Paloh, Ulama besar Terengganu pada suatu masa dahulu

dalam pelbagai hal itu mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri dan beberapa ulama tempatan sebelum mengikut jejak langkah ayahnya mendalami ilmu dan meluaskan pengetahuan di Makkah.

ULAMA besar itu bukan saja arif dalam ilmu tasawuf dan tereqat, malah beliau pernah menghasilkan kitab dan risalah mengenai soal kerohaniaan. Sekembalinya dari Makkah, Tukku Paloh terus mengajar di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga,Terengganu. Langkah awal itu diikuti kegiatan lebih mencabar dalam bidang pentadbiran , pemerintahan dan penentangan penjajahan British. Selain memainkan peranan penting untuk menentang British , beliau diamanahkan Sultan Zainal Abidin mentadbir kawasan Paloh disamping mengawasi daerah Hulu Terengganu, termasuk Kuala Berang hingga Cabang Tiga.

Dalam usaha memastikan Paloh terhindar daripada perbuatan maksiat dan pelanggaran undang-undang,Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayid Abdul Rahman bin Muhammad Al-Idrus, menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dikenali dengan nama Budak Raja. Pasukan Budak Raja itu bertanggungjawab menjaga keamanan seperti tugas yang dipikul oleh pasukan polis hari ini.

Untuk memastikan keselamatan kebajikan masyarakat setempat, cacatan sejarah menyatakan Tukku gemar keluar pada malam hari,malah pada hari tertentu beliau keluar dengan berselubung Kain di kepala. Tindakannya itu untuk memudahkan beliau meninjau kehidupan masyarakat ddan sekiranya ada perkara tidak baik berlaku, Tukku Paloh memerintah Budak Raja untuk membuat tangkapan pada keesokan hari. Sikap dan keprihatinanya itu memperlihatkan tanggungjawab Tukku Paloh terhadap keselamatan nak buah seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Umar al-Khattab ra. Selain gemar keluar pada waktu malam, beliau juga mempunyai mahkamah keadilan sendiri di Paloh yang diberikan mandat oleh sultan untuk menyelesaikan persoalan besar serta mengadili penjahat di kawasa pentadbirannya.

Dalam kehidupannya, Tukku Paloh lebih banyak berhubung secara peribadi dengan Sultan Zainal Abidin III berbanding perhubungan resmi. Hubungan erat itu terbukti apabila salah seorang isteri Tukku Paloh, Tengku Mandak ialah kekanda Sultan Zainal Abidin sendiri. Sultan berkenaan juga menyerahkan anaknya, Tengku Sulaiman, kepada Tukku Paloh untuk dijadikan anak angkat serta diberi didikan agama.

Tengku Sulaiman kemudian menjadi Sultan Terengganu ke 13 yang memerintah dari 1920 hingga 1942. Selepas jatuh sakit, pada 1917 ketika berusia 100 tahun, Tukku Paloh menghembuskan nafas terakhir diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III setahun kemudian.

_____________________________

Sumber : Metro Ahad 28 Mei 2000 dan 4 Jun 2000

TOK KENALI -TOKOH INTELEKTUAL ISLAM KELANTAN


Tok Kenali (Syaikh Muhammad Yusof bin Ahmad) 1870-1933 merupakan seorang ulama sekaligus seorang intelektual Islam dari negeri Kelantan yang memandang penting tentang pendidikan Islam di negeri itu. Malah ilmu yang dimilikinya tersebar luas ke Nusantara. Tokoh ini dilahirkan di Kampung Kenali, Kota Bharu, Kelantan. Beliau menuntut di Mekah selama 22 tahun dan kembali ke tanahair pada tahun 1909.

Mempunyai semangat yang kental bagi menyebarkan Islam serta pendidikannya, Tok Kenali mendirikan pusat pengajian pondok Kendali pada tahun 1911. Institusi pondok ini kemudiannya menjadi pusat pengajian Islam yang dikenali hingga kini. Semasa hayatnya beliau menjadi guru agama di Masjid Besar Al-Muhammadi. Dilantik menjadi anggota Majlis Ulama Kelantan. Menjadi anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Kelantan. Pernah menjawat jawatan Penolong Mufti dan menjadi Ketua Pelajaran Agama Islam.

Tok Kenali (Syaikh Muhammad Yusof Ahmad)

Tok Kenali (Syaikh Muhammad Yusof Ahmad)

Pada 11 Julai 1918 bersamaan 1 Syawal 1336, tokoh ini mengasaskan majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam, Kelantan. Paling terhormat ialah majalah ini diterbitkan terus hingga kini, yang telah menjangkau usia 84 tahun. Tok Kenali menjadi Ketua Pengarang, majalah Pengasuh di samping terus menjadi “Tuan Guru” serta pemimpin Islam yang berwibawa dengan ilmu yang dimilikinya. Beliau terus menulis dalam majalah Pengasuh sehingga di saat akhir hayatnya.

Daya usaha yang dilaksanakan oleh Tok Kenali itu telah meninggalkan kepada kita khazanah ilmu yang tidak ternilai malah menjadi amalan kita semua pada hari ini. Pelajarnya ramai di merata tempat yang masing-masing menyumbang usaha murni gurunya. Malah dapat dirasakan nama tokoh ini harum semerbak di Nusantara walaupun beliau telah lama meninggalkan kita semua. Terdapat dua buah buku yang merakamkan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali, dan buku-buku tersebut ialah Pusaka Tok Kenali dan sebuah lagi Cerpen Warisan Tok Kenali hasil usaha Abdullah Al-Qari bin Haji Salleh terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat juga berpuluh rencana serta kajian yang ditulis oleh penulis-penulis untuk menjadi bahan yang amat berguna untuk kita meneliti jasa bakti yang ditinggalkan oleh Tok Kenali.

Pada tahun-tahun 60-an misalnya, cerita-cerita tentang Tok Kenali begitu diminati bukan sahaja oleh kanak-kanak tetapi juga oleh segenap lapisan masyarakat. Di negeri Pahang misalnya, Tok Kenali memang dikenali serta diingati sebagai seorang yang “keramat” iaitu sangat mulia di sisi Allah S.W.T. Cerita-cerita tentang tokoh ini sering sahaja diceritakan oleh guru-guru yang mengajar al-Quran selepas murid-muridnya belajar mengaji.

Dalam mengkaji tokoh ini terdapat beberapa perkara yang sangat menarik untuk diketahui mengenainya. Perkara yang dimaksudkan ialah amalan-amalan Tok Kenali, tulisan-tulisannya tentang Islam, syair yang pernah dibacakannya, cerita-cerita daripada Tok Kenali, dan kata-kata pujangganya di samping kitab-kitab yang ditulisnya. Sebagai seorang Tuan Guru yang bijaksana, Tok Kenali menyelitkan cerita dalam pengajarannya. Cara pengajaran sedemikian, menjadikan pengajarannya menarik dan tidak menjemukan murid-muridnya. Dalam hal ini Abdullah Al-Qari menyenaraikan sebanyak 21 buah cerita yang pernah disampaikan oleh Tok Kenali semasa mengajar. Antara cerita-cerita itu diberikan tajuk “Ikut Bapamu Tetapi Takutkan Allah”, “Sebab Setitis Susu”, “Penebus Belanja Ayah”, “Orang Cerdik dan Orang Bodoh”, “Berfikir Sebelum Bernazar”, dan beberapa yang lain.

Walau bagaimanapun, Tok Kenali tidak menuliskan cerita-cerita ini. Namun, cerita-cerita tersebut masih diingati oleh murid-muridnya yang kebanyakannya telah menjadi guru agama sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke Rahmatullah. Melihat sekali imbas ternyata cerita-cerita yang disampaikan oleh Tok Kenali ini merupakan cerita-cerita rakyat yang sangat tinggi nilai moralnya. Apatah lagi cerita-cerita yang sedemikian ini telah diselitkan semasa menyampaikan pengajaran agama, pastinya memberikan lebih makna dan kesan kepada pendengarnya.

Selain itu, tokoh ini telah menulis kitab di samping menulis dalam majalah Pengasuh di bawah pimpinannya selaku Ketua Pengarang dan majalah Al-Hidayah. Terdapat sembilan buah kitab yang dihasilkan oleh Tok Kenali dan ada antara kitab-kitab tersebut yang dikembangkan oleh murid-muridnya. Kitab-kitab yang dimaksudkan termasuk:

  1. Khasiat Binatang
  2. Kitab Mujarobat
  3. Kitab Tasyif
  4. Sangkalan Terhadap Kaifiah; Hadiah dan Doa Yassin.
  5. Ilmu Risik Tok Kenali
  6. Ilmu Penyecah Tok Kenali
  7. Ilmu Makjun Tok Kenali
  8. Ilmu Julab Tok Kenali
  9. Tulisan-tulisan tangan Tok Kenali dalam pelbagai hal yang ada hubungan dengan pengajaran Islam.

Menurut sejarah, setelah Tok Kenali tamat pengajian di Makkah, beliau kembali ke tanah air untuk membina bangsanya dengan berlandaskan Islam. Beliau menjadi guru agama yang berwibawa di samping menjadi pemimpin kepada majalah Pengasuh yang merupakan media bagi menyampaikan pengajaran dan pemikiran kepada masyarakat. Untuk itu beliau mendirikan institusi pondok yang sehingga kini masih diwarisi.

Sahsiah peribadi yang tinggi dan terpuji yang dimiliki oleh Tok Kenali telah menjadikan beliau seorang ulama rujukan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai seorang intelektual Islam yang membina bangsanya tanpa ragu. Kewibawaan Tok Kenali bergelombang bukan sekadar di Kelantan tetapi juga dirasakan oleh seluruh masyarakat tanah air serta Nusantara amnya.

Tegasnya, Tok Kenali telah mengasaskan landas pendidikan yang cukup teguh di Kelantan di samping ulama-ulama lain di negeri itu. Gelombang ini juga dapat dirasakan dengan lahirnya ramai cerdik pandai Islam dari negeri itu. Malah terdapat institusi-institusi pondok yang masih kekal sehingga hari ini walaupun pendekatan dan perkembangannya sudah disesuaikan dengan aliran zaman. Inilah kesan kewibaan ilmu yang dimiliki oleh Tok Kenali yang sangat mulia di sisi Allah S.W.T.

%d bloggers like this: