RAHMAT SELURUH ALAM DI DALAM KITAB-KITAB UMAT DAHULU (BAH. 2)


Saringan Buah Pena Al-Ustadz Dr Ali Jumaat (Mufti Negara Mesir)

Al-Ustadz Dr Ali Jumaat (Mufti Negara Mesir)

Khabar-khabar Gembira Tentang Nabi saw di dalam Perjanjian Baru.

Kitab Perjanjian Baru merupakan baki kitab suci bagi umat Nasrani (Kristian), ia adalah bahagian yang terpenting di sisi mereka. Ia dipanggil dengan nama Injil kerana ia disandarkan kepada Nabi Isa as. Tidak beriman dengan Kitab Perjanjian Baru ini seorang pun di kalangan Bangsa Israel melainkan dari kaum Nasrani. Golongan Nasrani membahagikan Kitab Suci itu dua bahagian, Perjanjingan Lama seperti yang telah lalu dan Perjanjian Baru.

Kitab Injil Perjanjian Baru

Injil atau Perjanjian Baru atau juga dikenali dengan himpunan risalah –risalah ini merupakan bahagian yang baru di dalam kitab suci di mana golongan Nasrani menamakan catatan-catatan sebelum zaman kebangkitan Nabi Isa as dengan panggilan Perjanjian lama dan selepas zaman kebangkitannya dengan panggilan Perjanjian Baru. Ia mengandungi 27 kitab yang mana empat kitab pertama daripadanya dipanggil kitab-kitab Injil secara rambang iaitu Matta, Marqus, luqa dan Yuhana. Andaian yang dapat kita buat berdasarkan nama-namanya jelas bahawa kitab-kitab itu ditulis oleh pengikut-pengikut setia Nabi Isa as.

Kitab Injil Perjanjian Lama

Ianya merupakan himpunan sepuluh kitab-kitab lain yang tersebar pada awal-awal tahun masihi yang kemudiannya dibatalkan oleh perhimpunan Ugama Kristian kali pertama yang terkenal, diadakan di Nicea (Izniq sekarang) di Asia Kecil pada tahun 325 Masihi di bawah kelolaan Maharaja Kaisar Rom yang bernama Qastantien yang agung di mana telah diputuskan bahawa hanya empat buah kitab ini sahaja yang dibenarkan sebagai sandaran dan selain daripadanya diperintahkan supaya dibakar. Oleh yang demikian ianya terkenal dengan nama Injil-injil Induk atau Injil-injil di sisi undang-undang.

Kitab Injil yang disebut di dalam Al-Quran adalah lain daripada Injil-injil terbabit, tetapi yang dimaksudkan dengan Injil di dalam Al-Quran adalah wahyu asal yang diturunkan secara langsung kepada Nabi Isa as yang dikenali di kalangan orang-orang yang sezaman dengannya dengan nama di dalam bahasa Yunani sebagai “Evangelion” yang bermaksud “Khabar Gembira”.

Himpunan kitab-kitab Perjanjian Baru adalah seperti berikut:

  1. Matta
  2. Marqus
  3. Luqa
  4. Yuhana
  5. Tugas-tugas Para Utusan
  6. Risalah Paulus Kepada Rom
  7. Risalah Paulus (1) kepada Korenses
  8. Risalah Paulus (2) kepada Korenses
  9. Risalah Paulus kepada Galaty
  10. Risalah Paulus kepada Efesus
  11. Risalah Paulus kepada Piliey
  12. Risalah Paulus kepada Kolosy
  13. Risalah Paulus (1) kepada Thesaloniky
  14. Risalah Paulus (2) kepada Thesaloniky
  15. Risalah Paulus (1) kepada Themoses
  16. Risalah Paulus (2) kepada Themoses
  17. Risalah Paulus kepada Titus
  18. Rislah Paulus kepada Pilemon
  19. Risalah Paulus kepada Ibrani
  20. Risalah James
  21. Risalah Petros (1)
  22. Risalah Petros (2)
  23. Risalah Yuhana (1)
  24. Risalah Yuhana (2)
  25. Risalah Yuhana (3)
  26. Risalah Yahuza
  27. Mimpi Yuhana

Tidaklah dapat disangkalkan apabila Nabi saw disebut di dalam Kitab Perjanjian Lama yang merupakan Kitab Suci bagi kaum Yahudi, secara tidak langsung ia juga menjadi bukti terhadap kaum Nasrani (Kristian) kerana mereka juga beriman dengannya dan menganggapnya sebahagian daripada kitab suci mereka. Apa yang telah dipaparkan mengenai perkhabaran-perkhabaran tentang Nabi saw di dalam Perjanjian Lama telah cukup untuk menjadi hujah ke atas Yahudi dan Nasrani dengan serentak kerana mereka semua mempercayai bahawa ianya wahyu daripada Allah swt, kecuali mereka berusaha memalingkan maksudnya kepada sebaliknya.

Adapun perkhabaran-perkhabaran dan isyarat-isyarat mengenai Nabi saw di dalam Kitab Perjanjian Baru amatlah banyak. Sesungguhnya Nabi Isa as banyak membawa berita gembira mengenainya kerana tidak terdapat di antara Beliau dengan Nabi saw oleh nabi yang lain. Disebabkan demikian berita-berita mengenainya amat banyak sehinggakan juga terdapat di dalam Kitab-kitab Injil yang sudah diubah. Di antaranya seperti berikut:

1. Di dalam Yuhana (16/7) Isa Al-Masih berkata: “Adalah suatu yang baik bagi kamu bahawa aku akan meninggalkan sekalian kamu jauh, kerana sekiranya tidak aku pergi sesungguhnya orang yang membawa hidayat itu tidak akan mendatangi kamu, tetapi bahawasanya apabila telahku pergi, akanku utuskan beliau kepada kamu”

2. Kemudian Isa Al-Masih menerangkan sifat pembawa hidayat itu dengan katanya: “Sesungguhnya dia tidak sekali-kali mengeluarkan perkataan daripada dirinya sendiri, tetapi dia akan berkata-kata mengikut apa yang dia dengari daripada wahyu”. (Yuhana 16/3)

Ini adalah suatu yang disifatkan oleh Allah swt mengenai Nabi saw di dalam Al-Quran di mana firmanNya bermaksud:

Tidaklah ia melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya. (An-Najm;4)

3. Di dalam Yuhana (14/16) berkata Isa Al-Masih: “Akan daku memohon daripada Bapa, dia akan mengurniakan kepada kamu semua Paracietus yang lain yang akan bersama kamu selama-lamanya”.

Perkataan Paracletus dari segi lafaznya bererti Ahmad (Yang Terpuji). Inilah adalah berbetulan dengan apa yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud:

Daku (Isa Al-Masih) membawa khabar gembira berkenaan rasul yang akan datang selepasku bernama Ahmad (As-Shaf:5)

4. Di dalam Matta (11/14) berkata Isa Al-Masih: “Sekiranya kamu mahu menerima, maka inilah di Iliya yang teguh keazamannya, nanti akan tiba kedatangannya, sesiapa yang mempunyai dua telinga hendaklah dia dengar.”

Kiraan daripada jumlah huruf perkataan Iliya sama dengan kiraan jumlah perkataan Ahmad.

5. Di dalam Matta (17/11) berkata Isa Al-Masih: “Sesungguhnya Iliya akan tiba pertama kalinya dan dia akan mendatangi segala sesuatu.”

6. Di dalam Matta (21/32) Selepas Isa Al-Masih membuat perumpaan seorang tuan rumah yang menanam anggur dan menyerahkannya kepada penanam-penanam anggur, Isa Al-Masih seterusnya berkata: “Adakah tidak kamu baca di dalam kitab-kitab, sesungguhnya batu yang telah dipinggirkan oleh pembina-pembina binaan telah menjadi tapak kepada dinding-dinding bangunan daripada pihak tuhan. Ini merupakan suatu perkara yang pelik dan pelik pada mata-mata kita. Kerana demikian daku menegaskan kepada kamu, sesungguhnya kerajaan Allah akan dicabut daripada kamu dan akan diberikan kepada umat yang mengusahakan buah-buahnya. Barangsiapa jatuh ke atas batu tersebut dia akan hancur dan barangsiapa yang ditimpa batu itu dia akan binasa”.

Batu yand dimaksudkan oleh Isa Al-Masih itu merujuk kepada Nabi Ismail as yang telah dipinggirkan bersama-sama ibunya oleh Sarah (Isteri Nabi Ibrahim as). Adalah suatu perkara yang pelik di sisi BaniIsrael bahawa kerajaan Allah akan dicabut dan diberikan kepada keturunan saudara-saudara mereka iaitu bangsa Arab, sebagaimana juga merupakan perkara pelik bagi mereka bahawa Hajar (Ibu Nabi Ismail as) bukanlah seorang yang merdeka pada mula-mulanya, dia hanyalah hamba kepada Sarah. Nabi saw yang lahir daripada keturunan Nabi Ismail as itulah yang dimaksudkan dengan batu yang menjadi tapak binaan yang Allah swt reda terhadap sesiapa yang mengikutinya dan membinasakan sesiapa yang ingkar terhadapnya di dunia dan di akhirat.

7. Di dalam Yuhana (4/19,20,21) perbualan seorang perempuan dengan Isa Al-Masih di mana perempuan itu berkata kepada Al-Masih: “Wahai penghuluku, aku meyakini bahawa engkau seorang nabi. Sesungguhnya datuk moyang kami telah bersujud (sembahyang) pada bukit ini, dan engkau sentiasa berkata: Sesungguhnya pada Urasyalem merupakan tempat yang mesti dilakukan sujud padanya”. Lalu Al-Masih berkata kepadanya:

“Wahai perempuan, percayalah kepadaku sesungguhnya akan tiba suatu masa yang mana kamu tidak lagi bersujud padanya, tidak pada bukit ini dan tidak pada Urasyalem”.

Ini merupakan isyarat Nabi Isa as berkenaan pemalingan kiblat dan ianya bertepatan dengan apa yang difirmankan oleh Allah swt yang berbunyi:

Akan berkata orang-orang bodoh dari kalangan manusia apakah yang memalingkan mereka (orang-orang yang beriman) daripada kiblat yang telah mereka berhadap ke arahnya (al-Baqarah;142)

hingga firmanNya berbunyi:

Sesungguhnya kerap kali kami telah melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang mengadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah wajahmu kearah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaa’bah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka-muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberikan Kitab (Yahudi dan Nasrani) megetahui bahawa ia adalah perintah benar dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak sekali-kali lalai terhadap apa yang mereka lakukan (Al-Baqarah;144)

8. Di dalam Yuhana (15/26) berkata Isa Al-Masih mengenai Nabi saw, ujarnya: “Sekiranya datang ‘Munhamana’ dialah orang yang Allah swt utuskan kepada sekalian kamu.”

Perkataan ‘Munhamana’ yang merupakan bahasa Siryani secara lafaznya bererti ‘Muhammad’. Perlu diambil perhatian bahawanya perkhabaran Nabi Isa as ini telah digugurkan daripada cetakan-cetakan baru bagi kitab Injil, tetapi ianya masih terdapat di dalam cetakan-cetakan yang lama bagi Kitab Injil.

9. Di dalam Yuhana (16/13) berbunyi: “Apabila tibanya ruh kebenaran itu, maka dia akan memimpin kamu kepada seluruh kebenaran kerana dia tidak mengeluarkan perkataan daripada dirinya sendiri, bahkan dia berkata-kata mengenai apa yang dia dengari dan dia akan memberitahu kamu tentang perkara-perkara yang akan berlaku.”

Perkhabaran di dalam Kitab Injil Barnabas

Apa yang telah lalu merupakan isyarat-isyarat dan perkhabaran-perkhabaran yang terdapat di dalam 4 buah kitab Injil yang rasmi dan diakui di sisi kebanyakkan golongan-golongan Nasrani (Kristian). Kita tidak terdedah sehingga sekarang kepada Injil-injil yang tidak diakui oleh pihak gereja yang mana bilangannya lebih banyak, di antaranya adalah Kitab ‘Injil Barhaba’ yang terdapat di dalamnya khabar-khabar gembira mengenai Nabi Muhammad saw secara terang dan jelas.

Kitab Injil Barnabas berusia lebih 1500 tahun yang ditemui baru-baru ini. Ia dikawal ketat oleh pihak berkuasa sebelum diserahkan kepada Muzium Etnografi Ankara, Turki dan akan dipamerkan tidak lama lagi. Artikel Lanjut Disini

Di dalamnya juga terdapat penegasan bahasa Isa Al-Masih adalah seorang hamba Allah. Di sana terdapat kitab-kitab Injil yang lain yang wujud pada kurun pertama dan ke-dua Masihi tetapi kemudiannya dibatalkan oleh pihak gereja selain Injil Barnaba.

Di antara Injil-injil tersebut:

– Injil Abyon – Injil Tujuh Puluh

– Injil Yaakub – Injil Dua Belas

– Injil Thomas – Injil Peringatan

– Injil Nicodem – Injil Ibrani

– Injil Petros – Injil Mesir

– Injil Yason – Injil Many

– Injil Marqiune. –Injil Kehidupan

Yang menguatkan kewujudan Injil Barnaba dalam usia yang lama bahawa di sana terdapat catatan surat pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Ketua Gereja Rom yang pertama iaitu Pope Glacius, telah menduduki kerusi Ketua Gereja pada tahun 492 Masihi iaitu 79 tahun sebelum kelahiran Nabi saw., di mana Baginda dilahirkan pada 571 Masihi. Pope berkenaan telah menyenaraikan kitab-kitab Injil yang diharamkan membacanya, di antaranya ialah kitab yang dipanggil Injil Barnaba.

Satu-satunya naskhah yang tekenal sekarang adalah naskah Itali yang terapat di dalam perpustakaan Di Raja Viena. Ia dianggap kesan sejarah yang paling berharga di mana naskhah ini mempunyai 225 muka surat yang tebal daripada kertas yang dibuat daripada kapas dan dijilid dengan kertas yang kukuk serta dibalut dengan kulit. Orang pertama yang menjumpai naskhah ini adalah Kremer, Menteri Raja Prusia sewaktu beliau menetap di Amsterdam. Beliau meminjam naskhah berkenaan pada tahun 1709 Masihi daripada perpustakaan salah seorang orang-orang kenamaan di Amsterdam. Selepas empat tahun kemudian pembesar Holand ini telah menghadiahkan naskhah terbabit kepada Prince Jugend Savoy yang berminat terhadap kesan-kesan sejarah. Naskhah ini kemudiannya berpindah bersama bahan-bahan perpustakaan Prince berkenaan ke perpustakaan di Raja Nemsa.

Barnabas Bible urdu 001 - 487x800px Barnabas Bible urdu 002 - 487x800px
Barnabas Bible urdu 003 - 514x800px Barnabas Bible urdu 003 - 514x800px
Barnabas Bible urdu 005 - 514x800px Barnabas Bible urdu 006 - 514x800px
Klik imej untuk pembesaran.
Manuskrip Injil Barnabas dalam bahasa Urdu yang menerangkan tentang Nabi Muhammad dan Islam. Lihat tanda-tanda merah dan hijau dalam manuskrip. Sumber: 4shared Document

Sesungguhnya telah didapati naskhah yang lain di Spanyol pada awal kurun ke-18 di dalam 220 muka surat yang mengandungi 222 fasal. Naskhah ini telah sampai ke tangan seorang orientalis bernama Sale, kemudiannya berpindah ke tangan Doktor Mancius yang merupakan salah seorang anggota sebuah fakulti di Oxford. Beliau lalu menterjemahkannya ke bahasa Inggeris.

Perkhabaran-perkhabaran di dalam Kitab Injil Barnaba yang menyebut tentang Nabi saw adalah seperti berikut:

  1. Di dalam Barnabas (17/22-23) Isa Al-Masih berkata: “Akan datang selepasku kemegahan sekelian nabi-nabi dan wali-wali, dia akan keluar sebagai cahaya yang menerangi kegelapan-kegelapan yang menyulubungi perkataan para anbiya’, kerana dia adalah Rasulullah (utusan Allah).
  2. Di dalam Barnabas (36/6) Isa Al-Masih berkata: “Sesungguhnya telah datang segala anbiya’ kecuali Rasulullah yang akan datang selepasku, kerana bahawasanya Allah mengkehendaki berlakunya demikian sehinggalah aku yang akan menyediakan jalannya.”
  3. Di dalam Barnaba (42/13) ketika Isa Al-Masih di tanya adakah beliau rasul yang ditunggu-tunggukan itu? Beliau menjawab dengan katanya: “Sesunguhnya mukjizat-mukjizat yang Allah lakukan ke atas dua tanganku menunjukkan bahawa aku berkata-kata mengikut apa yang dikehendaki Allah. Tidaklah sekali-kali aku mengira diriku sebanding dengan orang yang kamu tanya mengenainya, kerana bahawasanya aku tidak layak untuk menghurai ikatan-ikatan kasut atau tali-tali sepatu Rasulullah yang kamu namakannya sebagai Mesiyyah (Utusan) itu. Dia dicipta sebelumku dan akan datang selepasku, dia akan membawa kata-kata kebenaran dan tidak ada bagi ugamanya itu kesudahan.”

Kebanyakan teks-teks di atas dan juga kesemua teks-teks Injil Barnabas menerangkan bahawa nabi yang ditunggu itu adalah Nabi Muhammad saw yang lahir daripada keturunan Nabi Ismail as dan ugamanya akan tersebar luas lagi diikuti, sedangkan kita tidak pernah mendengar tentang ugama yang tersebar serata dunia setelah Nabi Isa as melainkan ugama Islam.

Perkhabaran-perkhabaran Di dalam Kitab-kitab Lain.

Bukanlah kitab-kitab umat dahulu kala hanya terbatas kepada kitab-kitab suci yang diturunkan daripada langit sahaja, bahkan termasuk di dalamnya kitab-kitab yang menjangkau usia yang lama. Diantaranya ialah kitab-kitab suci Ugama Hindu dan bilangannya amat banyak, tetapi secara umumnya ia terbahagi kepada empat bahagian:

  1. Kitab Veda, yang bererti: Pengetahuan
  2. Upanisyad
  3. Purana, yang bererti : Usia Lampau
  4. Brahmana Granat

Sesungguhnya kitab-kitab suci ini ditulis di dalam bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa India Kuno. Tidak mengetahui bahasa ini sekarang melainkan hanya sami-sami Hindu.

Kitab Veda adalah dianggap sebagai kitab yang paling suci di antara segala kitab dan ia juga dikira sebagai kitab yang tertua di mana para ahli cendiakawan mereka berselisih pendapat mengenai tarikh penulisannya. Kebanyakan pendapat rata-rata mengatakan ianya ditulis sekitar 2000 atau 3000 tahun sebelum Masihi. Kitab Veda terbahagi kepada empat iaitu: Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda.

Kitab Regweda dalam aksara Dewanagari dari abad ke-19. - Sumber:id.wikipedia.org

Di dalam Sama Veda (2:6,8) terdapat sebutan mengenai Nabi saw secara terang-terangan di mana teks itu berbunyi: “Telah menerima Ahmad syariat ugamanya daripada tuhannya. Syariat ini keseluruhannya adalah hikmat. Sesungguhnya aku akan menerima daripadanya cahaya seperti cahaya matahari yang sempurna”.

Adapun Kitab Purana yang boleh kita terjemahkannya sebagai “Kitab-kitab Orang Dahulu Kala” disebabkan ertinya adalah “Usia Lampau”, ia merupakan kitab yang paling banyak tersebar di antara kitab-kitab suci lain. Ia membicarakan tentang cerita-cerita dongeng yang berkaitan dengan permulaan kejadian makhluk, kehidupan dewa-dewa dan raja-raja. Ia merupakan kitab yang paling banyak bilangannya, hampir empat puluh kitab semuanya.

Salah satu ilustrasi dalam kitab WarahaPurana - sumber:id.wikipedia.org

Di antaranya himpunan kitab yang dinamakan “Maha Purana” yang bererti Kitab Purana yang terbesar di mana ia terdiri daripada lapan belas buah kitab. Di antaranya lagi himpunan kitab yang dinamakan Upa Purana iaitu Kitab Purana tambahan atau yang kedua dan ia terdiri daripada 18 buah kitab juga. Di sana terdapat empat buah kitab yang lain, salah satu daripadanya yang akan kita perkatakan mengenainya iaitu Kitab Pahaveshia Purana yang bererti “Purana Masa Hadapan”. Kitab ini menyebut tentang Nabi Adam as dan Hawa dengan panggilan Adaman dan Haryavati dan juga tentang keturunan mereka.

Kitab ini juga menyebut tentang Nabi Isa as dengan panggilan “Anak Tuhan” dan turut menyebut tentang Nabi Muhammad saw. Golongan Hindu menganggap bahawa teks-teks tersebut suatu pembohongan yang diadakan dan dimasukkan pada zaman Raja India bernama Akbar yang berusaha untuk menyatukan semua ugama, tetapi mereka tidak mempunyai bukti terhadap perkara itu, hanya dakwaan semata-mata. Sedangkan teks tersebut masih wujud sehingga hari ini.

Berikut adalah teks mengenai perkhabaran yang menyebut nama Nabi saw di dalam kitab Pahaveshia Purana (Barti Saraj Barap ke-3: 303 ayat yang ke-5) berbunyi:

Akan muncul Malitsyaha (seorang asing yang bukan berbangsa Hindi) sebagai guru rohani bersama pengikut-pengikutnya. Beliau dikenali dengan nama Muhammad Raja, setelah dianugerahkan Mahadeva berbangsa Arab ini pembasuhan di dalam Panjajavia dan air Janaj (penyucian daripada dosa). Sesungguhnya orang yang mempersembahkan hadiah-hadiah kepadanya menguatkan lagi kebenaran, dan aku melihatnya dengan penuh penghormatan sambil berkata: “Aku jadikan bagi engkau segala kemuliaan, wahai kemegahan padang pasir! Wahai yang mendiami bumi Arab! Demi sesungguhnya engkau telah menghimpun kekuatan yang besar untuk memerangi syaitan dan engkau adalah terpelihara daripada musuh-musuh dari golongan Malitsyaha (orang-orang asing yang bukan berbangsa Hindi, yang dimaksudkan ialah golongan kafir Quraish). Wahai gambaran tuhan yang tertinggi dan tuhan yang terbesar! Aku adalah hamba kepadamu, pimpinlah daku seperti seorang yang tercampak diantara dua kakimu.

Sesungguhnya golongan Malitsyaha telah mengusir syaitan yang sesat (Abrahah berbangsa Habsyi) yang telahku bunuh dan akan muncul pada kali yang lain seorang yang diutuskan daripada musuh yang kuat supaya mereka dapat melihat jalan yang lurus dan supaya diberikan mereka hidayat yang diketahui melalui Muhammad yang aku berikan kepadanya gelaran Brahma. Dia seorang yang bertungkus lumus menarik golongan Bhesaji kepada jalan kebenaran.

Wahai Raja! Tidak perlu engkau pergi kepada bumi golongan Bhesaji yang jahil itu bahkan engkau menjadi sebagai seorang yang menyucikan dengan anugerahku di mana sahaja engkau berada”. Pada suatu malam dengan peraturan daripada langit akan adanya seorang lelaki yang bersangatan kuat. Di dalam rupa seorang Bhesaji dia berkata kepada Raja Yahuja: “Wahai Raja! Sesunggunya Aryadaharmak telah dicipta untuk menguasai seluruh ugama, tetapi sebagai menepati wasiat-wasiat Asywar Barmatama maka sesungguhnya aku akan menguatkan akidah yang teguh bagi golongan yang memakan daging. Sesungguhnya orang yang mengikutiku akan menjadi seorang lelaki yang berkhatan, tidak mempunyai ekor rambut (iaitu rambut yang dibuat oleh sami-sami di bahagian belakang seperti ekor) yang melepaskan janggut, lagi melakukan kebangkitan, yang melaungkan seruan kepada sembahyang dan dia akan menjadi seorang yang memakan yang halal, ia akan memakan semua jenis binatang kecuali khinzir. Mereka tidak mencari kesucian pada tempat-tempat suci tetapi mereka menyucikan diri melalui peperangan dengan memerangi umat-umat yang tidak berugama. Sesungguhnya mereka dipanggil sebagai golongan Muslimani dan aku akan menjadi sebagai penegak kepada ugama ini yang merupakan ugama bagi umat yang memakan daging.

Telah benar Allah Yang Maha Agung di mana dia berfirman:

Sesungguhnya demikian itu ada tersebut di dalam kitab-kitab orang yang dahulu kala. (As-syu’ara : 196).

Seorang pendita hindu bernama Propesor Pandit Vedaprakash Upadhyay telah mengarang sebuah buku yang diberi tajuk: ‘Penjelmaan Kalki’ dan beliau menyebut di dalamnya bahawa kitab-kitab suci mereka menyebut bahawa nama bapa “Kalki” ialah “Bhagath Vishnu” yang bermaksud: “Hamba tuhan” di mana Vishnu bererti “tuhan” dan Bhagath bererti ‘hamba’. Ini menepati nama bapa Nabi saw iaitu Abdullah (Hamba Allah), sebagaimana nama ibu Kalki pula ialah Sumanib yang bermaksud: Ketenangan, kesejahteraan atau keamanan. Ini menepati nama ibu Nabi saw iaiti Aminah. Di antara sifat-sifat Kalki ialah beliau mempunyai kuda yang boleh terbang ke permukaan langit dan ini menepati binatang Buraq, sebagaimana Kalki adalah dilahirkan dikepulauan pada hari yang ke-12. Sesungguhnya Nabi saw juga lahir pada kepulauan Arab pada hari yang kedua belas Rabiul Awal. Disebut juga bahawa makanan Kalki adalah buah tamar dan zaitun dan beliau adalah manusia yang paling benar, paling beramanah dan beliau sentiasa membawa pedang.

Sememangnya penganut-penganut Hindu menyandarkan di dalam kitab-kitab mereka kepercayaan terhadap dewa-dewa dan kepercayaan-kepercayaan karut, mereka juga mempercayai bahawa Kalki itu adalah jelmaan dewa-dewa, dia adalah yang awal dan yang akhir di mana dia adalah dewa yang sangat berkuasa, di lahirkan dari keluarga Hindu.

Tulisan ini merupakan tinjauan terhadap perkhabaran-perkhabaran gembira yang terdapat di dalam kitab-kitab suci di sisi umat-umat yang terdahulu. Semoga Allah memberi hidayat dengannya kepada mereka yang masih tidak beriman dengan Nabi kesudahan yang dijanjikan iaitu Muhammad saw dan Semoga Allah menambahkan keyakinan kepada orang-orang yang mengikutinya terhadap ugama mereka sehingga mereka akan mewarisi bumi keseluruhannya, menepati firman Allah yang berbunyi:

Supaya menjadi yakin oleh mereka yang diberikan kitab dan bertambah keimanan orang-orang yang telah beriman dan supaya tidak merasa ragu oleh orang-orang yang diberikan kitab dan orang-orang yang beriman. (Al-Mudassir : 31)

DARIPADA MAJALAH “AN-NUR AL-MUHAMMADI” Bilangan ke-4,2007M/1428H)

Keluaran : Maktabah Darul Jawamiul Kalim

Penterjemah:
Nik Mohd Shahrail Bin Nik Ibrahim
Jun 2009M / Jumada Akhir 1430H

__________________________________________
Dikemaskini dari sumber: blog khairuummah

Advertisements

RAHMAT SELURUH ALAM DI DALAM KITAB-KITAB UMAT DAHULU (BAH. 1)


Saringan Buah Pena Al-Ustadz Dr Ali Jumaat (Mufti Negara Mesir)

Dengan nama Allah dan Kepujian hanya bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Sayyidina Rasulullah saw dan keluarganya, sahabat-sahabatnya serta mereka yang mengikutinya.

Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya banyak telah kami membicarakan tentang kenabian Nabi saw dan perilaku-perilaku Baginda daripada sumber-sumber ugama kita yang kuat lagi dipercayai, dan kami ingin pada kali ini untuk melihat kenabian Nabi saw di dalam kitab-kitab umat dahulu. Kenapakah umat Islam berkeyakinan bahawa Nabi saw telah disebut di dalam kitab-kitab terdahulu?

Sesungguhnya asas keimanan kita yang teguh terhadap kepastian terdapat sebutan mengenai Nabi saw di dalam kitab-kitab terdahulu (walaupun kita berkeyakinan bahawa ianya telah diubah) adalah perkhabaran dari Allah swt kepada kita mengenai perkara tersebut di dalam Al-Quran di mana firmanNya yang bermaksud:

Orang-orang yang mengikut Rasulullah, Nabi yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) yang mana mereka dapati tertulis (nama dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara baik dan melarang mereka daripada perkara-perkara keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan ke atas mereka segala benda yang buruk dan dia juga menghapuskan daripada mereka bebanan dan belengu-belengu yang ada pada mereka. (al-A’raf:157)

Maka jelas di dalam ayat ini bahawa Nabi saw disebut di dalam kitab Taurat dan Injil. Demikian lagi firmanNya :

Ia (Al-Quran) dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah ke dalam hatimu supaya engkau (wahai Nabi Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia), (ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. Dan sesungguhnya demikian itu tersebut di dalam kitab-kitab orang yang dahulu kala. Adakah tidak menjadi keterangan kepada mereka bahawa pendeta-pendeta Bani Israel mengetahui tentang kebenarannya itu?” (as-Syuara’:194-197)

Ayat-ayat ini menerangkan bahawa al-Quran dan penurunannya ke atas Nabi saw ada tersebut di dalam kitab-kitab umat terdahulu dan para pendeta bani Israel mengetahui tentangnya. FirmanNya:

Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang mengadah ke langit maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah wajahmu ke arah Masjid Haram (tempat letaknya Kaa’bah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka-muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberikan kitab (Yahudi dan Nasrani) mengetahui bahawa ia adalah perintah yang benar dari tuhan mereka. Dan Allah tidak sekali-kali lalai terhadap apa yang mereka lakukan”. (Al-Baqarah;144)

Di dalam ayat ini menunjukkan bahawa Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) mengetahui pemalingan kiblat seperti yang akan kami sebutkan nanti. Pada apa yang akan dipaparkan ini, kita dapat melihat khabar-khabar gembira tentang Nabi saw di dalam kitab Perjanjian Lama.

Khabar-khabar Gembira Tentang Nabi SAW di dalam Perjanjian Lama

Perjanjian Lama adalah kitab yang dipercayai oleh kaum Yahudi sebagai satu-satunya wahyu tuhan. Ia merupakan kitab suci bagi mereka. Panggilan Kitab Taurat ditujukan kepada lima bahagian daripada Kitab Perjanjian Lama itu, walaupun ianya tidak ada kaitan langsung dengan Kitab Taurat sebenar, kecuali beberapa ayat yang berselerak yang masih kekal daripada Taurat yang asal.

Adapun yang baki daripada Kitab Perjanjian Lama, ianya ditulis selepas zaman Nabi Musa a.s. diselangi masa yang lama sehingga beratus-ratus tahun. Kebanyakkan daripadanya berkenaan sejarah kebangsaan bagi umat Yahudi.

Mengenai pengarang-pengarangnya sudah tentu dengan pasti mereka bukanlah nabi-nabi sepertimana disandarkan kitab-kitab tersebut kepada nama-nama mereka. Ia tidak lebih daripada sangkaan semata-mata ataupun angan-angan.

Sesungguhnya Kitab Perjanjian Lama ini telah pun diterjemah kepada bahasa Yunani pada kurun ke-3 sebelum masihi di Iskandariah (Mesir) pada zaman pemerintahan Iskandar yang agung (Alexander The Great) dan selepasnya. Terjemahan bahasa Yunani ini dipanggil dengan nama Sab’iiniyyah dan ia merupakan terjemahan yang menjadi ikutan kepada pengarang-pengarang Kitab Perjanjian Baru selepas daripadanya.

Kitab Perjanjian Lama ini atau lebih dikenali dengan Kitab Suci Yahudi adalah turut menjadi kepercayaan kepada umat Nasrani (Kristian) tetapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia satu-satunya kitab daripada tuhan bahkan mereka menganggapnya sebagai satu bahagian daripada kitab suci mereka. Adapun kaum Yahudi tetap mereka tidak mempercayai Kitab Perjanjian Baru, walau satu huruf daripadanya.

Sesungguhnya Kitab Perjanjian Lama mempunyai beberapa bahagian kitab, di mana setiap kitab-kitab tersebut disandarkan kepada nama seorang nabi dari kalangan nabi-nabi a.s. Ianya dimulakan dengan lima kitab yang pertama yang dianggap sebagai kitab Taurat, kemudian kitab yang disandarkan kepada Nabi Yashyu’ a.s dan berakhir dengan kitab yang disandarkan kepada Mulakhi.

Kitab suci Yahudi ini atau Perjanjian Lama mengandungi 39 kitab seperti berikut:

Sesungguhnya telah disebut tentang Nabi saw di dalam Kitab Perjanjian lama mengenai nama Baginda, sifatnya dan qabilahnya lebih daripada sekali pada beberapa tempat, di antaranya:

1. Tersebut di dalam Kitab At-Takwin (29/10) yang merupakan awal-awal himpunan Kitab Perjanjian Lama, berbunyi: “Sentiasalah tongkat Kerajaan atau hukum Syariat berada di hadapan Yahuza sehinggalah datang Shayaluh dan akan tunduk kepadanya seluruh umat.”

Ini bermaksud kekuasaan memerintah dan kenabian tidak akan pupus daripada Yahuza dan keturunannya sehinggalah datang seseorang yang tertentu dengan sifat kekuasaan dan kenabian dan seluruh umat akan tunduk patuh kepadanya. Tidak diketahui di dalam catatan sejarah bahawa ada seorang nabi yang menguasai permukaan bumi dan umat-umat keseluruhannya tunduk kepadanya selepas daripada Yahuza (anak lelaki Nabi Ya’kub) melainkan Rasulullah saw.

2. Tersebut di dalam Perjanjian Lama pada naskhah yang telah diteliti isinya yang menjadi induk (RSV) di mana ianya telah dikeluarkan oleh pertubuhan Kitab Suci Britan di dalam Kitab At-Tasniyyah (18/18) termaktub di dalam catatan yang dihadapkan kepada Nabi Musa a.s. daripada tuhannya, berbunyi: Daku akan mengutus kepada mereka (Bani Israel) seorang nabi dari kalangan saudara-saudara mereka seperti engkau dan akanKu jadikan kalamKu pada mulutnya.”

Barangkali khabar gembira ini menunjuk kepada perpindahan kenabian daripada Bani Israel kepada bangsa Arab. Ini kerana, sekiranya nabi yang dimaksudkan itu dari kalangan Bani Israel nescaya tentulah berbunyi: Daku akan mengutus kepada mereka (Bani Israel) seorang nabi dari kalangan mereka”, tetapi apa yang tercatat adalah perkataan: “Dari kalangan saudara-saudara mereka”. Ini merujuk kepada bangsa Arab kerana Nabi Ismail as yang merupakan datuk kepada bangsa Arab adalah saudara kepada Nabi Ishak yang merupakan datuk kepada bangsa Israel. Kita tidak pernah mendengar tentang seorang nabi yang diutuskan sebagai Rasul dari kalangan bangsa Arab selain daripada Nabi Muhammad saw.

3. Dalam membicarakan tentang nabi yang ditunggu-tunggu yang akan membawa syariat yang diberkati, di dalam kitab yang sama (Kitab At-Tasniyyah (23/2) berbunyi: Datangnya cahaya daripada tuhan dari Sina dan menjelang naik kepada mereka dari Saa’yar dan berkilau-kilauan dari bukit Faran dan datang bersama-samanya sepuluh ribu orang-orang suci sedangkan syariat yang bercahaya pada tangan kanannya.”

Ini menunjuk kepada tiga tempat datangnya wahyu yang terbesar iaitu Sina tempat wahyunya Nabi Musa as, Sa’ayar tempat wahyunya Nabi Isa as dan Faran iaitu Mekah dan bumi Hijaz yang didiami Nabi Ismail as. Yang mengatakan Faran itu adalah Mekah adalah Kitab Perjanjian Lama itu sendiri di mana telah tersebut pada tempat yang akhir di dalam membicarakan tentang Nabi Ismail as yang berbunyi: “Sentiasa Allah bersama kanak-kanak itu (Nabi Ismail as) lalu dia menjadi dewasa dan tinggal di padang pasir, dia membesar sebagai seorang yang pandai memanah dan mendiami di padang pasir Faran. Ibunya telah menjodohkannya dengan seorang perempuan dari bumi Mesir.” – Kitab At-Takwin (21/20-21)

Sepuluh ribu orang-orang suci tersebut adalah bilangan sahabat-sahabat Nabi saw ketika pembukaan Mekah. Jika tidak, siapakah nabi yang diwahyukan di Bukit Faran (Mekah) yang datang bersama sepuluh ribu pengikutnya itu?

4. Di dalam Kitab Habquq (3/3) berbunyi: “Seorang yang suci dari Bukit Faran keagungannya meliputi langit dan bumi di mana langit dan bumi penuh dengan kepujiannya”.

5. Di dalam Kitab Ashi’ya (42/11-13) berbunyi: “Supaya berkumandang di padang pasir dan Bandar-bandar akan suaranya. Itulah negeri-negeri yang didiami oleh Qaidar, tempat tinggal seorang yang perkasa. Supaya mereka melaungkan dari puncak-puncaknya dan mengagungkan seorang pemimpin serta mereka menzahirkan kepujiannya di seluruh kepulauan. Sesungguhnya pemimpin itu akan keluar sebagai seorang yang perkasa dan menyebarkan keberanian sebagai pahlawan perang. Dia akan disebut-sebut dan dilaungkan namanya. Dia akan mendapat kemenangan ke atas musuh-musuhnya”.

Di sini terdapat isyarat menunjuk kepada peribadi Qaidar yang merupakan anak lelaki Nabi Ismail as di mana dari kalangan anak cucunya adalah bangsa Quraish yang lahir daripadanya Nabi saw. Juga terdapat isyarat yang menunjukkan kepada azan dan penyebutan Nabi saw di dalam azan dan pengagungan terhadapnya, juga tentang perang jihadnya dan kemenangannya mengalahkan musuh-musuhnya di dalam peperangan-peperangannya itu. Sesungguhnya catatan sejarah tidak mengetahui seorang nabi daripada bumi yang didiami Qaidar yang dilaungkan namanya dari puncak-puncak bukit yang terlibat di dalam peperangan-peperangan dan mendapat kemenangan ke atas musuh-musuhnya melainkan Rasulullah saw. Jika ianya bukan Baginda saw maka cubalah penafsir-penafsir Kitab Perjanjian Lama sebutkan kepada kami siapakah yang dimaksudkan itu?!!

6. Di dalam Kitab Ashi’ya (60-1-2, 6-7) berbunyi: “Bangkitlah! Sesungguhnya telah tiba cahayamu, keagungan tuhan telah terbit ke atasmu. Inilah dia kegelapan yang menyelubungi bumi dan sekelian umat. Adapun engkau sesungguhnya cahaya daripada tuhan menyelubungimu dan memperlihatkan keagungan ke atasmu, lalu seluruh umat akan berjalan di dalam cahayamu dan raja-raja di dalam cahaya ketibaanmu. Akan meliputi kepadamu unta-unta dalam bilangan yang banyak, unta-unta negeri Madyan dan Aiyfa, semuanya datang dari Syaiba membawa emas dan haruman. Semua kambing biri-biri Qaidar berkumpul kepadamu dan binatang-binatang Kibas dari Nabayut akan berkhidmat kepadamu di mana ianya diterima naik ke atas tempat penyembelihanKu, dan nanti akan dimuliakan rumah keagunganKu”.

Ini adalah khabar gembira yang menyebut tentang kambing biri-biri Qaidar yang akan diterima sebagai sembelihan kerana Allah dan akan dimuliakan rumah keagunganNya (Kaa’bah). Manakah kambing biri-biri Qaidar yang disembelih di sisi rumah yang mulia yang telah lama usia di Baitullah Al-Haram Mekah selain apa yang berlaku pada zaman Nabi saw.

7. Di dalam kitab Ashi’ya (21/13-17) berbunyi: “Sesungguhnya wahyu dari pihak negeri-negeri Arab pada bumi yang berlekuk-lekuk (tanah tidak rata). Pada negeri-negeri Arab terdapat golongan Tabietien, wahai rombongan-rombongan dari tempat yang berhampiran! berilah air ketika bertemu orang yang dahaga, wahai penghuni-penghuni bumi padang pasir! dan berikanlah roti kepada orang yang lari. Sesungguhnya mereka telah melarikan diri daripada pedang-pedang dan busur-busur panah yang diikat dan daripada huru-hara peperangan. Sesungguhnya beginilah seperti yang dikatakan oleh tuhan, pada tempoh setahun (seperti tahun pekerja yang diberi upah) akan gugur semua keagungan Qaidar dan segala busur panah daripada pahlawan-pahlawan keturunan Qaidar akan lenyap”.

Di sana terdapat ikatan yang jelas di antara dua perkhabaran ini dan di antara apa yang disebut di dalam Kitab At Tasmiyyah dahulu yang membicarakan tentang cahaya yang bergermelapan. Sesungguhnya Nabi Ismail as telah mendiami bumi Faran yang dilahirkan padanya Qaidar yang merupakan datuk yang teratas bagi bangsa Arab. Telah ditetapkan ke atas anak cucu Qaidar bahawa mereka akan didatangi wahyu daripada Allah swt dan akan dipersembahkan binatang-binatang korban sebagai mengagungkan rumah Allah swt kerana sesungguhnya kegelapan telah meliputi bumi pada kurun-kurun yang lampau, sebagaimana juga yang telah ditetapkan ke atas anak cucu Qaidar dan pemanah-pemanah serta pahlawan-pahlawan mereka bahawa mereka semua akan lenyap di antara tahun pertama selepas hijrah di hadapan pedang yang terhunus dan busur panah yang diikat.

Adakah di sana peribadi yang lain yang dimaksudkan daripada perkataan ini selain Muhammad saw? Seperti itu juga kisah sepuluh ribu orang-orang suci yang tersebut di dalam kitab At-Tasniyyah yang mengandungi maksud yang penting. Ini kerana peristiwa pembukaan Mekah adalah satu-satunya peristiwa penting di dalam sejarah bumi Faran yang membuktikan kebenaran kisah berkenaan, di mana Rasulullah saw memasuki Mekah dengan mengetuai sepuluh ribu pengikut-pengikutnya yang beriman menuju ke Baitullah sedang pada tangan kanannya kesudahan segala Syariat.

8. Ketika Bani Israel pulang ke tempat peribadatan (Baitul Muqaddis) setelah mereka bebas daripada tawanan bangsa Babylon dan mendapat keizinan Raja Kisra Qaurus berbangsa Parsi yang telah membebaskan mereka dan menguasai Baitul Muqaddis ketika itu, Allah telah mengutuskan Nabi Hijie untuk memberi berita gembira kepada perhimpunan manusia tentang perutusan yang penting berbunyi:Akan Daku goncangkan seluruh umat dan akan datang Hamadah kepada seluruh umat dan akan Daku penuhi rumah ini dengan kemuliaan, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Hanya bagiku emas dan perak, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Sesungguhnya kemuliaan rumah yang akhir adalah lebih agung daripada kemuliaan rumah yang pertama, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Di tempat inilah akan Daku kurniakan Syalum, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam.” Kitab Hijie (9/7-9).

Di dalam terjemahan Kitab Suci, perkataan Hamadah dan Syalum yang merupakan dua perkataan di dalam bahasa Ibrani (Hebro) telah diterjemahkan dengan erti keamanan dan kesejahteraan secara berturut-turut. Ini adalah sesuatu yang tidak tepat, jika tidak nescaya perkhabaran ini menjadi suatu harapan yang penuh kesamaran dan tidak mempunyai mesej yang jelas. Sesungguhnya perkataan Hamadah dan Syalum sebenarnya memberi gambaran yang halus kepada makna perkataan Ahmad dan Islam. Teks di dalam bahasa Ibrani (Hebro) berbunyi: “Fie Ya Fu Hamadah Kaul Hajuyiem” yang bermaksud: “Akan datang Hamadah kepada seluruh umat.”

9. Pada bahagian akhir segala Kitab Perjanjian Lama kita akan dapati perkhabaran yang lain daripada Kitab Mulakhi (3/1) berbunyi: “Akan Daku utuskan rasulKu lalu dia akan menyediakan jalan di hadapanKu dan secara tiba-tiba dia akan mendatangi Haikal (Baitul Muqaddis). Dialah pemimpin yang kamu mencari-carinya, rasul yang dijanjikan yang mana kamu sukacita terhadapnya. Sesungguhnya dia pasti akan tiba. Demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam”.

Tidakkah terbukti kebenaran perkhabaran tentang kedatangan pemimpin yang dimaksudkan secara tiba-tiba ke tempat Haikal (Masjidil Aqsa) melainkan ketika Nabi Muhammad saw menziarahinya di malam Israk dan Mikraj di mana Baginda berhimpun dengan sekelian para nabi di tempat berkenaan. Maka inilah bukti yang membenarkan perkhabaran tersebut.

10. Di dalam Kitab Danial (7/14) mengisyaratkan tentang Nabi saw dan keluasan kerajaannya di mana ia berkata: “Sekelian bangsa dan umat di bumi akan tunduk kepada Barnashya”.

Di sana tidak ada seseorang yang menguasai negeri-negeri dan menyebarkan agamanya di mana segala jenis bangsa dan umat di muka bumi termasuk Rom dan Parsi tunduk kepadanya selain Nabi Muhammad saw.

11. Di dalam Kitab Danial (7/27) lagi mengisyaratkan tentang kekuasaan orang-orang yang beriman selepas Nabi saw, di mana ia berkata: “Kerajaan dan kekuasaan di bawah langit akan diberikan kepada bangsa-bangsa di kalangan orang-orang yang beriman”.

12. Kami sudahi perkhabaran-perkhabaran daripada Kitab Perjanjian Lama dengan Kitab Armiya (9/28), ketika mana Armiya ditanya tentang Nabi yang sebenar beliau menjawab: “Sesungguhnya dia adalah Nabi yang akan membawa khabar gembira mengenai agama Islam”.

Tidak pernah ada seorang nabi yang membawa suatu ugama dengan nama ugama Islam melainkan Nabi saw.

Bersambung ke……. ‘Bahagian Kedua’……

DARIPADA MAJALAH “AN-NUR AL-MUHAMMADI” Bilangan ke-4, 2007M / 1428H)

Keluaran : Maktabah Darul Jawamiul Kalim

Penterjemah:
Nik Mohd Shahrail Bin Nik Ibrahim
Jun 2009M / Jumada Akhir 1430H

___________________________________
Sumber: blog khairuummah

BIBLE ASAL BERITAHU KEDATANGAN NABI MUHAMMAD DI JUMPAI


 
Sebuah Bible rahsia yang dipercayai Nabi Isa (Jesus) telah memberitahu akan kedatangan Nabi Muhammmad s.aw ke dunia telah menimbulkan minat yang mendalam dari Vatican.

Di katakan bahawa Pope Benedict XVI ingin melihat sendiri buku yang berusia 1500 tahun itu, yang ramai mengatakan ia adalah dari Gospel Barnabas, yang telah disembunyikan oleh kerajaan Turki semenjak 12 tahun lepas.

Naskah yang bernilai £14 juta itu yang ditulis tangan dalam helaian tinta huruf emas, ditulis dalam bahasa Aramaic iaitu bahasa asal Nabi Isa (Jesus) , mengandungi ajaran-ajarannya dan ramalan kedatangan Nabi selepasnya.

Bible rahsia yang memberitahu kedatangan Nabi Muhammad s.a.w

Kitab yang ditulis diatas kulit binatang ini dijumpai oleh pihak polis Turki ketika operasi anti penyeludupan pada tahun 2000. Ia dijaga dengan rapi hinggalah tahun 2010, akhirnya diserahkan kepada Ankara Ethnography Museum dan diletakkan untuk pameran awam.

Rujukan;
http://www.dailymail.co.uk/news/article-2105714/Secret-14million-Bible-Jesus-predicts-coming-Prophet-Muhammad-unearthed-Turkey.html

NABI MUHAMMAD SAW – CAHAYA PETUNJUK AKHIR ZAMAN


NABI MUHAMMAD SAW – CAHAYA PETUNJUK AKHIR ZAMAN

Di kala Aminah melahirkan bayinya,
Dunia terang bermandikan cahaya,
Cahaya yang amat kita perlukan,
Petunjuk jalan kebahagian.

(Syair Al-Abbas bin Abdul Mutalib)

Kelahiran

Keheningan pagi Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah bersamaan 20 April 571 Masihi seisi alam Makkah al-Mukarramah dikejutkan dengan suara tangisan seorang bayi lelaki. Lahirnya diterangi dengan cahaya petanda dirinya bakal menerangi seluruh alam sebagai Rasul terakhir. Begitulah istimewanya kelahiran putera Siti Aminah dan Abdullah.

Fatimah al-Thaqfiyah yang menyaksikan kelahiran nabi junjungan berkata, “Saya saksikan ketika Siti Aminah melahirkan bayi yang kemudian ternyata menjadi pemimpin dunia. Saya lihat rumah tempat bayi itu dilahirkan bermandikan cahaya. Bintang-bintang kelihatan sangat dekat, sehingga saya bimbang kalau-kalau bintang itu jatuh di atas kepala saya.”

Kelahiran Nabi Muhammad SAW disambut dengan gembira oleh keluarganya terutamanya Abdul Muttalib. Seminggu kemudian, datuknya Abdul Muttalib mengadakan jamuan sempena memberi nama seperti yang dimimpikan oleh Siti Aminah iaitu Muhammad yang membawa maksud orang yang terpuji.

Oleh kerana keturunan Baginda adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isi keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Baginda. Kaum Quraisy tidak menafikan betapa tingginya darjat dan susur galur keturunan baginda. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada mereka. Banyak riwayat menceritakan Quraisy telah mencela baginda dengan banyak isu yang direka-reka tetapi bukan membabitkan isu keturunan.

Salasilah ringkas keturunan Rasullullah SAW (klik untuk pembesaran imej)

Nabi Muhammad kemudiannya disusui oleh jariah (hamba perempuan) Abu Lahab, bernama Thuwaibah al-Aslamiyah. Selepas beberapa hari, Nabi Muhammad S.A.W diserahkan pula kepada Halimatusaadiah dari perkampungan Bani Sa’ad. Kampung itu jauhnya kira-kira 50 km dari Makkah ke arah Taif. Adat menyerahkan bayi kepada ibu susu ini merupakan kebiasaan bangsawan Arab. Nabi Muhammad S.A.W berada di bawah jagaan Halimatusaadiah sehingga usia nabi mencecah empat tahun.

Baginda menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di perkampungan Bani Saad. Oleh itu Baginda membesar dengan tubuh yang kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang bersih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda dengan baik sekali pun masih kecil usianya. Bakat-bakat baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir di bawah kilauan pancaran matahari dan udara bersih.

Sepanjang masa Muhammad tinggal bersama-samanya, hidup Halimatusaadiah sekeluarga menjadi senang, rezekinya bertambah, kambingnya membiak dan kebunnya menjadi. Malah, dikisahkan Halimah sendiri merasa hairan kerana kambingnya tiba-tiba saja menjadi gemuk semenjak kedatangan Muhammad. Itulah keajaiban Tuhan, memberi petanda bahawa Muhammad itu bukan insan biasa sebaliknya bakal pembawa cahaya dan kebenaran.

Muhammad pula begitu sihat dan cerdas. Dia hidup di kalangan masyarakat yang tidak terpengaruh dengan amalan menyembah berhala dan melakukan maksiat. Muhammad dapat mempelajari bahasa Arab yang tulen. Dia juga dapat mempelajari cara hidup masyarakat desa yang hidup bertani dan menternak kambing serta kaya dengan budi bahasa dan beradab.

Dada Rasulullah Dibedah Jibril A.S

Tempoh dua tahun telah berlalu, tiba sudah saat Baginda dikembalikan kepada Siti Aminah. Namun berat sekali rasanya untuk Halimatusaadiah melepas anak susuannya pergi. Lantas dipujuk Siti Aminah agar dapat memberi keizinan memelihara Nabi barang setahun dua lagi. Tambahan pula, rasa kasih pada Muhammad sudah melebihi anak sendiri. Akhirnya, Halimatusaadiah berjaya memujuk Siti Aminah untuk terus memelihara walaupun anak susuannya itu telah habis tempoh penyusuannya, iaitu dua tahun.

Dikatakan ketika baginda berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun maka berlakulah peristiwa ajaib iaitu dada baginda dibedah oleh malaikat.

Muslim meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah pernah didatangi malaikat Jibril ketika baginda masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan kanak-kanak sebaya yang lain.

Jibril yang lazimnya muncul dalam rupa seperti manusia telah menangkap baginda lalu tanpa membuang masa, dada Nabi Muhammad telah dibelah terutama di bahagian organ hati lalu dikeluarkan organ itu.

Daripada organ itu, Jibril telah mengeluarkan sebuku darah, sesetengah riwayat mengatakan sebuku darah itu berwarna hitam lalu mereka berkata: “Inilah bahagian syaitan yang ada padamu!”

Lalu organ hati itu dimasukkan ke dalam sebuah tembikar emas lalu dibasuhkan hati itu dengan air zam zam. Hati yang telah dicuci bersih itu kemudiannya dikembalikan semula ke tempat asalnya dan dada Rasulullah dicantumkan semula. Rasulullah SAW dikatakan terpinga-pinga dengan kejadian yang menimpa baginda itu. Tetapi berbeza dengan mereka yang menyaksikan bagaimana Nabi Muhammad telah ditangkap dan dibedah dadanya itu.

Belum sempat mereka menyaksikan kejadian itu sehingga habis dan Jibrail hilang dari pandangan, dalam serba ketakutan rakan-rakan Rasulullah itu kemudiannya berlari kepada ibu susu baginda, Halimah dan memberitahu bahawa Nabi Muhammad telah dibunuh oleh seorang lelaki. Mereka berkata dengan cemas: “Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!”

Lalu apabila mereka kembali semula ke tempat kejadian, didapati Nabi Muhammad berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Kejadian yang penuh makna itu, bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan di hati Halimah. Beliau begitu bimbangkan mengenai soal keselamatan Nabi Muhammad dan jika terjadi sebarang yang tidak diingini tentu sahaja beliau tidak dapat melindungi anak yatim itu.

Ini menyebabkan Halimah merasakan sudah tiba masanya beliau terpaksa juga berpisah dengan Rasulullah demi kebaikan anak itu sendiri. Walaupun perpisahan itu bakal mencalarkan kebahagiaan beliau selama ini kerana dapat membesarkan seorang anak yang sebaik Rasulullah. Namun beliau sedar anak susuannya perlu kembali ke tempat asal usulnya di mana baginda dilahirkan dahulu.

Mulianya tingkah laku Nabi Muhammad S.A.W seawal kecil sudah jelas terpancar apabila dia pernah menolong budak yang diusik oleh budak-budak nakal dan diajaknya ke rumah ibu susunya. Dia merelakan bajunya diberikan kepada budak yang malang itu. Ketika usianya lima tahun dia dikembalikan kepada ibunya, Siti Aminah.

Berpisahlah Halimatul Saadiah dengan anak susuan yang selama ini menjadi penyeri hatinya. Sudah bertaut kasih dan sayang di hatinya terhadap Muhammad sehingga kalau boleh tidak ingin lagi mereka terpisah. Bagi Nabi Muhammad, jasa ibu susuannya itu tetap dikenang sehingga baginda pernah bersabda yang bermaksud; “Bahawa dia (Halimatus Saadiah) adalah ibuku setelah ibuku sendiri”

Kehilangan Bonda Tercinta

Baginda membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah meninggal dunia ketika ibu baginda baru mengandungkan baginda dua bulan. Abdullah telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang berniaga dari Syam.

Tinggallah Nabi Muhammad SAW bersama ibunya. Baginda diasuh oleh ibunya dengan belaian kasih sayang. Apabila usianya menjangkau enam tahun ibunya membawanya pergi ke Yathrib (Madinah) dengan tujuan menziarahi saudara maranya yang mendiami Yathrib, agar Nabi Muhammad S.A.W dapat berkenalan dengan saudara-saudaranya. Di samping menziarahi kubur ayahnya iaitu Abdullah yang dikebumikan di sana. Inilah kali pertama, Nabi bakal ‘bertemu’ dengan ayah yang amat dirinduinya. Meski hanya melihat tanah kuburan tetapi itu sudah cukup bagi menghilangkan kesepian hati seorang anak yatim yang tidak pernah menerima kasih sayang seorang ayah.

Pemergian mereka berdua turut diiringi oleh Ummu Aiman. Dalam perjalanan pulang ke Makkah, Siti Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia lalu dikebumikan di Abwa. Saat paling menyedihkan sekali lagi menimpa nabi. Ibunya pula menyusul pergi menghadap Ilahi. Tiada apa yang mampu dikatakan anak sekecil itu ketika melihat ibu sendiri menghembuskan nafas di depan mata. Ketika sakit tenat, Aminah sempat berpesan kepada anak kesayangannya “Ya Muhammad, kun rajullan, li annanni saamutu”. (Wahai Muhammad, jadilah seorang lelaki sejati kerana sesungguhnya aku akan mati).

Pesanan itu amat bermakna walau Nabi masih kecil untuk mengerti. Bayangkan kesedihan yang terpaksa ditanggung oleh nabi. Usianya baru saja enam tahun, masih inginkan pelukan manja dan perhatian sempurna daripada ibu tercinta. Apakan daya, Allah SWT nyata ingin menguji kesabaran Nabi.

Maka pulanglah Nabi Muhammad SAW bersama Ummu Aiman ke Makkah. Nabi Muhammad SAW kini sudah menjadi yatim piatu. Kasih ayah tidak dirasainya, kasih ibu sebentar sahaja. Hanya kasih Allah kekal abadi terhadapnya.

Setelah ibunya meninggal dunia, Nabi kemudiannya dijaga oleh datuknya, Abdul Muttalib. Kasih sayang Abdul Muttalib kepada cucunya melimpah ruah. Sangat sedih dihatinya apabila mengenang cucu kesayangan kini sudah tiada belaian ayah dan bonda. Sayu sekali rasanya setiap kali melihat Muhammad termenung apabila sesekali teringatkan ibunya Aminah yang sudah pergi. Kerana itu, Abdul Muttalib sangat melebihkan Muhammad di dalam setiap layanannya. Bagi Muttalib, Muhammadlah buah hati utama, pengarang jantung di kala suka dan duka. Jika boleh, ingin diberinya kasih sayang yang melimpah ruah agar Muhamamad tidak merasa kekurangan dirinya yang yatim piatu. Begitu sekali kasih sayang Abdul Muttalib kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagi Abdul Muttalib, Nabi Muhammad SAW adalah cucunya yang paling istimewa sehinggakan Nabi Muhammad SAW diberi tempat yang terhormat dalam majlis-majlis yang diadakan. Pernah Abdul Muttalib menyuruh anak-anaknya memberikan tempat duduk mereka kepada Nabi Muhammad SAW.

“Kamu mesti mendudukkan Muhammad semula ke tempatnya, di tengah-tengah. Muhammad buah hati, belahan jiwaku…,” beritahu Abdul Muttalib.

Keunggulan baginda telah dikatakan sejak kecil lagi. Tampak pada raut wajahnya tanda-tanda kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang melihat baginda. Apabila Nabi datang ke majlis datuknya semasa kanak-kanaknya, baginda duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika datuknya duduk di atas tilam itu, tiada seorang anak-anaknya (bapa saudara nabi) akan duduk di atasnya. Oleh itu bapa saudara baginda cuba menariknya daripada tilam tersebut. Lantas Abdul Muttalib berkata ,”Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki keistimewaan.”

Semasa di bawah asuhan datuknya, Nabi Muhammad menunjukkan sikap terpujinya. Dia pernah membantu orang yang lapar dan miskin mendapatkan bantuan daripada datuknya, walapun orang itu memasuki rumahnya (ibunya) tanpa izin. Malahan baginya orang itu dianggapnya sebagai tetamunya.

Nabi Muhammad SAW tidak terpengaruh dengan cara hidup orang Makkah yang suka berpesta dan berfoya-foya. Dia hanya menghargai sesuatu yang bermutu misalnya pidato Qis. Dalam pidato itu Qis memperingatkan orang akan erti hidup dan mati.

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Begitu juga dengan Abdul Muttalib yang sudah tua. Bimbang sekali hatinya memikirkan bagaimana nasib Muhammad setelah ketiadaannya. Cepat-cepat Abdul Muttalib menyampaikan wasiat kepada Abu Talib agar kelak dapat menjaga Muhammad. Akhirnya perpisahan itu tiba juga. Abdul Muttalib meninggal dunia ketika berusia 95 tahun. Ketika itu Nabi Muhammad S.A.W berusia lapan tahun. Sekali lagi perpisahan dengan orang tersayang dirasai Nabi. Kesedihannya terpaksa ditanggung sendiri. Datuk yang selama ini menatangnya bagai minyak yang penuh juga sudah pergi.

Di bawah Didikan Abu Talib

Selepas pemergian datuknya, Abdul Muttalib, bapa saudaranya Abu Talib menerima wasiat Abdul Muttalib untuk menjaga Nabi Muhammad SAW. Dia menerima wasiat itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan Abu Talib ikhlas menjaga Nabi Muhammad S.A.W walaupun anak-anaknya sendiri sudah ramai.

Tinggallah Nabi Muhammad SAW di rumah bapa saudaranya itu. Nabi bukanlah seorang yang suka menumpang dan duduk berdiam diri. Malah Baginda seorang yang ringan tulang kerana sentiasa membantu saudara-saudara sepupunya membuat kerja rumah. Malah baginda mengambil upah menjaga kambing orang lain untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga Abu Talib. Sikapnya yang begitu menjadikan Abu Talib begitu sayangkannya.

Bukan sekadar itu sahaja, Nabi Muhammad SAW sanggup mengharungi padang pasir yang panas semasa mengikuti rombongan dagangan Abu Talib ke Syam. Padahal perjalanan itu tidak mudah dan begitu jauh, sedangkan usianya baru 12 tahun.

Ketika kafilah dagangan itu berhenti di Busra, Pendeta Bahira memberitahu Abu Talib akan tanda-tanda kerasulan yang ada pada Nabi Muhammad S.A.W. Katanya kepada Abu Talib, “Bawalah pulang anak saudaramu ini. Jangan sampai dia ditemui oleh Yahudi, nanti dibunuhnya. Anak ini kelak akan menjadi Nabi akhir zaman.”

Peperangan Fijar

Sewaktu Nabi Muhammad SAW berusia kira-kira 14 tahun, tercetus peperangan Fijar. Dinamakan Fijar kerana ia terjadi dalam bulan haram iaitu bulan Zulhijjah, Zulkaedah, Muharam dan Rejab. Peperangan ini sememangnya dicela kerana tidak menghormati bulan-bulan yang mulia ini.

Peperangan itu terjadi di antara suku Quraisy dan Kinanah dengan suku Hawazin dan Thaqif. Suku Quraisy Bani Hasyim dipimpin oleh al-Zubair bin Abu Muttalib; dibantu oleh Abu Talib, Hamzah dan al-Abbas. Manakala suku Hawazin dipimpim oleh Qais. Nabi tidak menyukai peperangan itu. Nabi Muhammad SAW tidak mahu terlibat dalam peperangan tersebut. Bagaimana pun setelah dipujuk dengan alasan membantu mempertahankan diri dan kaum Quraisy yang bertahan tidak menyerang, Nabi Muhammad SAW hanya melibatkan dirinya bersama-sama budak lain untuk mengumpulkan anak panah musuh. Anak panah itu diberikan kepada bapa-bapa saudaranya untuk dipanahkan semula ke arah musuh. Peperangan ini berlarutan sehingga empat tahun.

Sumpah Setia Damai

Peperangan ini mengundang kekesalan di kalangan pembesar suku kaum Quraisy. Mereka mula mencari jalan untuk berdamai. Zubair Bin Abdul Muttalib antara pembesar yang mahukan jalan perdamaian.

Nabi Muhammad SAW yang turut bersuara menyatakan baginda tidak menyukai peperangan dan kekejaman serta membayangkan untuk mengadakan perdamaian di kalangan penduduk Makkah. Pandangan baginda disambut baik oleh al-Zubair.

Justeru al-Zubair menyeru ketua-ketua suku kaum Quraisy untuk berkumpul dan membuat persetujuan bersama untuk hidup dalam aman damai dan tiada lagi peperangan. Perjanjian ini diadakan di rumah Abdullah bin Jud’an. Perjanjian ini dinamakan `Hilf al-Fudul’

Berniaga di Syam

Usia Nabi Muhammad SAW kini mencecah 25 tahun dan baginda sudah mempunyai pelbagai pengalaman dalam hidup. Baginda mahu berdikari dan terlibat di dalam dunia perdagangan.

Begitupun Baginda tidak mempunyai sebarang harta untuk diperdagangkan. Namun jiwanya sungguh besar dan mempunyai sifat dan keperibadian yang sungguh mulia. Berbekalkan jiwa dan sifat mulia dan luhur itu, Baginda menerima amanah dari Khatijah binti Khuwailid untuk memimpin kafilah dagangannya ke Syam. Kunjungannya ke Syam merupakan kunjungan kedua. Baginda ditemani Maisarah.

Nabi Muhammad SAW mengawal barang-barang dagangan yang dibawanya dengan berhati-hati. Setelah sampai ke Syam dia memilih tempat yang strategik untuk menjual barang-barang dagangannya.

Cara-cara Nabi Muhammad SAW menjual barang amat menarik. Dia menjelaskan keadaan sebenar barang-barang yang dibawanya dan membubuh tanda harga. Dia melayan pelanggan dengan mesra jujur dan ikhlas. Kerana sifat mulia itulah, Nabi akhirnya menjadi orang kepercayaan kepada Khadijah. Sifatnya yang amanah itu nyata sukar ditemui pada orang lain dan bermulalah gelaran “al-Amin” buat Nabi Muhammad SAW.

Begitulah antara cebisan kisah Rasul junjungan mulia kita dari kelahirannya sehingga berusia 25 tahun. Sejak kecil lagi, baginda sudah diuji dengan ujian yang sangat berat sehinggakan sukar sekali bagi kita membayangkan bagaimana baginda boleh membesar dengan begitu sempurna. Permulaan hidupnya yang dipenuhi kisah sedih adalah permulaan yang akhirnya membentuk Nabi Muhammad dengan sahsiah mulia dan bersemangat waja. Moga-moga kita mendapat pengajaran berharga daripada kisah ini.

_________________________________

Sumber :

Fiqh Al-Sirah 1,Tulisan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti,diterjemah oleh Ustaz Mohamed Darus Sanawi Terbitan Dewan Pustaka Fajar 1983.

Ringkasan Riwayat Hidup Nabi Muhammad SAW (Abdul Rahman Rukaini), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1992

KENAPA MENYAMBUT MAULID NABI?


Artikel Ehsan: Blog Pondok Habib (http://pondokhabib.wordpress.com/)

KENAPA KITA MENYAMBUT MAULID NABI??? INILAH HUJJAH-HUJJAHNYA KENAPA KITA MENYAMBUT MAULID NABI..

Oleh Al-Asyairah Al-Syafii pada pada 07hb Februari 2011 pukul 4.22 ptg

SEJARAH PERINGATAN MAULID NABI

Soalan:

Siapakah orang yang pertama menyambut maulid Nabi???

Jawab:

Peringatan Maulid Nabi pertama kali dilakukan oleh raja Irbil (wilayah Iraq sekarang), bernama Muzhaffaruddin al-Kaukabri, pada awal abad ke 7 hijriyah. Ibn Katsir dalam kitab Tarikh berkata:

“Sultan Muzhaffar mengadakan peringatan maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal. Beliau merayakannya secara besar-besaran. Beliau adalah seorang yang berani, pahlawan,` alim dan seorang yang adil -semoga Allah merahmatinya-”.

Dijelaskan oleh Sibth (cucu) Ibn al-Jauzi bahawa dalam peringatan tersebut Sultan al-Muzhaffar mengundang seluruh rakyatnya dan seluruh para ulama’ dari berbagai disiplin ilmu, baik ulama’ dalam bidang ilmu fiqh, ulama’ hadits, ulama’ dalam bidang ilmu kalam, ulama’ usul, para ahli tasawwuf dan lainnya. Sejak tiga hari, sebelum hari pelaksanaan mawlid Nabi beliau telah melakukan berbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin yang akan hadir dalam perayaan Maulid Nabi tersebut. Segenap para ulama’ saat itu membenarkan dan menyetujui apa yang dilakukan oleh Sultan al-Muzhaffar tersebut. Mereka semua berpandang dan menganggap baik perayaan maulid Nabi yang dibuat untuk pertama kalinya itu.

Ibn Khallikan dalam kitab Wafayat al-A`yan menceritakan bahawa al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah datang dari Moroco menuju Syam dan seterusnya ke menuju Iraq, ketika melintasi daerah Irbil pada tahun 604 Hijrah, beliau mendapati Sultan al-Muzhaffar, raja Irbil tersebut sangat besar perhatiannya terhadap perayaan Maulid Nabi. Oleh kerana itu, al-Hafzih Ibn Dihyah kemudian menulis sebuah buku tentang Maulid Nabi yang diberi judul “al-Tanwir Fi Maulid al-Basyir an-Nadzir”. Karya ini kemudian beliau hadiahkan kepada Sultan al-Muzhaffar.

Para ulama’, semenjak zaman Sultan al-Muzhaffar dan zaman selepasnya hingga sampai sekarang ini menganggap bahawa perayaan maulid Nabi adalah sesuatu yang baik. Para ulama terkemuka dan Huffazh al-Hadits telah menyatakan demikian. Di antara mereka seperti al-Hafizh Ibn Dihyah (abad 7 H), al-Hafizh al-’Iraqi (W. 806 H), Al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani (W. 852 H), al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H), al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H), SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H), al-Imam al-Nawawi (W. 676 H), al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660 H), mantan mufti Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i (W. 1354 H), Mantan Mufti Beirut Lubnan iaitu Syeikh Mushthafa Naja (W. 1351 H) dan terdapat banyak lagi para ulama’ besar yang lainnya. Bahkan al-Imam al-Suyuthi menulis karya khusus tentang maulid yang berjudul “Husn al-Maqsid Fi ‘Amal al-Maulid”. Karena itu perayaan maulid Nabi, yang biasa dirayakan di bulan Rabi’ul Awwal menjadi tradisi ummat Islam di seluruh dunia, dari masa ke masa dan dalam setiap generasi ke generasi.

Hukum Peringatan Maulid Nabi

Peringatan Maulid Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam yang dirayakan dengan membaca sebagian ayat-ayat al-Qur’an dan menyebutkan sebagian sifat-sifat nabi yang mulia, ini adalah perkara yang penuh dengan berkah dan kebaikan kebaikan yang agung. Tentu jika perayaan tersebut terhindar dari bid`ah-bid`ah sayyi-ah yang dicela oleh syara’. Sebagaimana dijelaskan di atas bahwa perayaan Maulid Nabi mulai dilakukan pada permulaan abad ke 7 Hijrah.

Ini bererti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, para sahabat dan generasi Salaf. Namun demikian tidak bererti hukum perayaan Maulid Nabi dilarang atau sesuatu yang haram. Kerana segala sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam atau tidak pernah dilakukan oleh para sahabatnya belum tentu bertentangan dengan ajaran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam sendiri. Para ulama’ menyatakan bahawa perayaan Maulid Nabi adalah sebahagian daripada bid`ah hasanah (yang baik). Ertinya bahawa perayaan Maulid Nabi ini merupakan perkara baru tetapi ia selari dengan al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi dan sama sekali tidak bertentangan dengan keduanya.

Dalil-Dalil Mengenai Peringatan Maulid Nabi

Peringatan Maulid Nabi masuk dalam anjuran hadith nabi untuk membuat sesuatu yang baru yang baik dan tidak menyalahi syari`at Islam. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

“مَنْ سَنَّ فيِ اْلإِسْـلاَمِ سُنَّةً حَسَنـَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَىْءٌ”. (رواه مسلم في صحيحه)”.

Ertinya:

Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun. (Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya).

Faedah daripada Hadith tersebut:

Hadith ini memberikan kelonggaran kepada ulama’ ummat Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam untuk melakukan perkara-perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Qur’an, al-Sunnah, Athar (peninggalan) mahupun Ijma` ulama’. Peringatan maulid Nabi adalah perkara baru yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu-pun di antara dalil-dalil tersebut. Dengan demikian bererti hukumnya boleh, bahkan salah satu jalan untuk mendapatkan pahala. Jika ada orang yang mengharamkan peringatan Maulid Nabi, bererti ia telah mempersempit kelonggaran yang telah Allah berikan kepada hamba-Nya untuk melakukan perbuatan-perbuatan baik yang belum pernah ada pada zaman Nabi.

2. Dalil-dalil tentang adanya Bid`ah Hasanah yang telah disebutkan dalam pembahasan mengenai Bid`ah.

3. Hadits yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim di dalam kitab Shahih mereka. Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah tiba di Madinah, beliau mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram). Rasulullah bertanya kepada mereka: “Untuk apa mereka berpuasa?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari ditenggelamkan Fir’aun dan diselamatkan Nabi Musa, dan kami berpuasa di hari ini adalah karena bersyukur kepada Allah”. Kemudian Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

أَنَا أَحَقُّ بِمُوْسَى مِنْكُمْ

Ertinya:

Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kalian (orang-orang Yahudi).

Lalu Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berpuasa dan memerintahkan para sahabat baginda untuk berpuasa.

Faedah daripada Hadith tersebut:

Pengajaran penting yang dapat diambil daripada hadith ini ialah bahawa sangat dianjurkan untuk melakukan perbuatan bersyukur kepada Allah pada hari-hari tertentu atas nikmat yang Allah berikan pada hari-hari tersebut. Sama ada melakukan perbuatan bersyukur kerana memperoleh nikmat atau kerana diselamatkan dari bahaya. Kemudian perbuatan syukur tersebut diulang pada hari yang sama di setiap tahunnya. Bersyukur kepada Allah dapat dilakukan dengan melaksanakan berbagai bentuk ibadah, seperti sujud syukur, berpuasa, sedekah, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Bukankah kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam adalah nikmat yang paling besar bagi umat ini?!

Adakah nikmat yang lebih agung daripada dilahirkannya Rasulullah pada bulan Rabi’ul Awwal ini?! Adakah nikmat dan kurniaan yang lebih agung daripada pada kelahiran Rasulullah yang menyelamatkan kita dari jalan kesesatan?! Demikian inilah yang telah dijelaskan oleh al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani.

4. Hadits riwayat al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya. Bahawa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ketika ditanya mengapa beliau puasa pada hari Isnin, beliau menjawab:

ذلِكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيْهِ

Ertinya:

Hari itu adalah hari dimana aku dilahirkan”. (Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim)

Faedah daripada Hadith tersebut:

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam melakukan puasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah, bahawa pada hari itu baginda dilahirkan. Ini adalah isyarat daripada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, ertinya jika baginda berpuasa pada hari isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahiran baginda sendiri pada hari itu, maka demikian pula bagi kita sudah selayaknya pada tanggal kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam tersebut untuk kita melakukan perbuatan syukur, misalkan dengan membaca al-Qur’an, membaca kisah kelahiran baginda, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik dan lainnya. Kemudian, oleh kerana puasa pada hari isnin diulangi setiap minggunya, maka bererti peringatan maulid juga diulangi setiap tahunnya. Dan kerana hari kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam masih diperselisihkan oleh para ulama’ mengenai tanggalnya, -bukan pada harinya-, maka boleh sahaja jika dilakukan pada tanggal 12, 2, 8, atau 10 Rabi’ul Awwal atau pada tanggal lainnya. Bahkan tidak menjadi masalah bila perayaan ini dilaksanakan dalam sebulan penuh sekalipun, sebagaimana yang telah ditegaskan oleh al-Hafizh al-Sakhawi seperti yang akan dinyatakan di bawah ini.

Fatwa Beberapa Ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah:

1. Fatwa al-Syaikh al-Islam Khatimah al-Huffazh Amir al-Mu’minin Fi al-Hadith al-Imam Ahmad Ibn Hajar al-`Asqalani. Beliau menyatakan seperti berikut:

أَصْلُ عَمَلِ الْمَوْلِدِ بِدْعَةٌ لَمْ تُنْقَلْ عَنِ السَّلَفِ الصَّالِحِ مِنَ الْقُرُوْنِ الثَّلاَثَةِ، وَلكِنَّهَا مَعَ ذلِكَ قَدْ اشْتَمَلَتْ عَلَى مَحَاسِنَ وَضِدِّهَا، فَمَنْ تَحَرَّى فِيْ عَمَلِهَا الْمَحَاسِنَ وَتَجَنَّبَ ضِدَّهَا كَانَتْ بِدْعَةً حَسَنَةً”. وَقَالَ: “وَقَدْ ظَهَرَ لِيْ تَخْرِيْجُهَا عَلَى أَصْلٍ ثَابِتٍ

Ertinya:

Asal peringatan maulid adalah bid`ah yang belum pernah dinukikanl daripada (ulama’) al-Salaf al-Saleh yang hidup pada tiga abad pertama, tetapi demikian peringatan maulid mengandungi kebaikan dan lawannya (keburukan), jadi barangsiapa dalam peringatan maulid berusaha melakukan hal-hal yang baik sahaja dan menjauhi lawannya (hal-hal yang buruk), maka itu adalah bid`ah hasanah”. Al-Hafizh Ibn Hajar juga mengatakan: “Dan telah nyata bagiku dasar pengambilan peringatan Maulid di atas dalil yang thabit (Sahih).

2. Fatwa al-Imam al-Hafizh al-Suyuthi. Beliau mengatakan di dalam risalahnya “Husn al-Maqshid Fi ‘Amal al-Maulid”. Beliau menyatakan seperti berikut:

عِنْدِيْ أَنَّ أَصْلَ عَمَلِ الْمَوِلِدِ الَّذِيْ هُوَ اجْتِمَاعُ النَّاسِ وَقِرَاءَةُ مَا تَيَسَّرَ مِنَ القُرْءَانِ وَرِوَايَةُ الأَخْبَارِ الْوَارِدَةِ فِيْ مَبْدَإِ أَمْرِ النَّبِيِّ وَمَا وَقَعَ فِيْ مَوْلِدِهِ مِنَ الآيَاتِ، ثُمَّ يُمَدُّ لَهُمْ سِمَاطٌ يَأْكُلُوْنَهُ وَيَنْصَرِفُوْنَ مِنْ غَيْرِ زِيَادَةٍ عَلَى ذلِكَ هُوَ مِنَ الْبِدَعِ الْحَسَنَةِ الَّتِيْ يُثَابُ عَلَيْهَا صَاحِبُهَا لِمَا فِيْهِ مِنْ تَعْظِيْمِ قَدْرِ النَّبِيِّ وَإِظْهَارِ الْفَرَحِ وَالاسْتِبْشَارِ بِمَوْلِدِهِ الشَّرِيْفِ. وَأَوَّلُ مَنْ أَحْدَثَ ذلِكَ صَاحِبُ إِرْبِل الْمَلِكُ الْمُظَفَّرُ أَبُوْ سَعِيْدٍ كَوْكَبْرِيْ بْنُ زَيْنِ الدِّيْنِ ابْنِ بُكْتُكِيْن أَحَدُ الْمُلُوْكِ الأَمْجَادِ وَالْكُبَرَاءِ وَالأَجْوَادِ، وَكَانَ لَهُ آثاَرٌ حَسَنَةٌ وَهُوَ الَّذِيْ عَمَّرَ الْجَامِعَ الْمُظَفَّرِيَّ بِسَفْحِ قَاسِيُوْنَ

Ertinya:

Menurutku: pada dasarnya peringatan maulid, merupakan kumpulan orang-orang beserta bacaan beberapa ayat al-Qur’an, meriwayatkan hadith-hadith tentang permulaan sejarah Rasulullah dan tanda-tanda yang mengiringi kelahirannya, kemudian disajikan hidangan lalu dimakan oleh orang-orang tersebut dan kemudian mereka bubar setelahnya tanpa ada tambahan-tambahan lain, adalah termasuk bid`ah hasanah (bid`ah yang baik) yang melakukannya akan memperolehi pahala. Kerana perkara seperti itu merupakan perbuatan mengagungkan tentang kedudukan Rasulullah dan merupakan penampakkan (menzahirkan) akan rasa gembira dan suka cita dengan kelahirannya (rasulullah) yang mulia. Orang yang pertama kali melakukan peringatan maulid ini adalah pemerintah Irbil, Sultan al-Muzhaffar Abu Sa`id Kaukabri Ibn Zainuddin Ibn Buktukin, salah seorang raja yang mulia, agung dan dermawan. Beliau memiliki peninggalan dan jasa-jasa yang baik, dan dialah yang membangun al-Jami` al-Muzhaffari di lereng gunung Qasiyun.

3. Fatwa al-Imam al-Hafizh al-Sakhawi seperti disebutkan di dalam “al-Ajwibah al-Mardliyyah”, seperti berikut:

لَمْ يُنْقَلْ عَنْ أَحَدٍ مِنَ السَّلَفِ الصَّالِحِ فِيْ الْقُرُوْنِ الثَّلاَثَةِ الْفَاضِلَةِ، وَإِنَّمَا حَدَثَ “بَعْدُ، ثُمَّ مَا زَالَ أَهْـلُ الإِسْلاَمِ فِيْ سَائِرِ الأَقْطَارِ وَالْمُـدُنِ الْعِظَامِ يَحْتَفِلُوْنَ فِيْ شَهْرِ مَوْلِدِهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّفَ وَكَرَّمَ- يَعْمَلُوْنَ الْوَلاَئِمَ الْبَدِيْعَةَ الْمُشْتَمِلَةَ عَلَى الأُمُوْرِ البَهِجَةِ الرَّفِيْعَةِ، وَيَتَصَدَّقُوْنَ فِيْ لَيَالِيْهِ بِأَنْوَاعِ الصَّدَقَاتِ، وَيُظْهِرُوْنَ السُّرُوْرَ، وَيَزِيْدُوْنَ فِيْ الْمَبَرَّاتِ، بَلْ يَعْتَنُوْنَ بِقِرَاءَةِ مَوْلِدِهِ الْكَرِيْمِ، وَتَظْهَرُ عَلَيْهِمْ مِنْ بَرَكَاتِهِ كُلُّ فَضْلٍ عَمِيْمٍ بِحَيْثُ كَانَ مِمَّا جُرِّبَ”. ثُمَّ قَالَ: “قُلْتُ: كَانَ مَوْلِدُهُ الشَّرِيْفُ عَلَى الأَصَحِّ لَيْلَةَ الإِثْنَيْنِ الثَّانِيَ عَشَرَ مِنْ شَهْرِ رَبِيْع الأَوَّلِ، وَقِيْلَ: لِلَيْلَتَيْنِ خَلَتَا مِنْهُ، وَقِيْلَ: لِثَمَانٍ، وَقِيْلَ: لِعَشْرٍ وَقِيْلَ غَيْرُ ذَلِكَ، وَحِيْنَئِذٍ فَلاَ بَأْسَ بِفِعْلِ الْخَيْرِ فِيْ هذِهِ الأَيَّامِ وَاللَّيَالِيْ عَلَى حَسَبِ الاسْتِطَاعَةِ بَلْ يَحْسُنُ فِيْ أَيَّامِ الشَّهْرِ كُلِّهَا وَلَيَالِيْهِ

Ertinya:

Peringatan Maulid Nabi belum pernah dilakukan oleh seorangpun daripada kaum al-Salaf al-Saleh yang hidup pada tiga abad pertama yang mulia, melainkan baru ada setelah itu di kemudian. Dan ummat Islam di semua daerah dan kota-kota besar sentiasa mengadakan peringatan Maulid Nabi pada bulan kelahiran Rasulullah. Mereka mengadakan jamuan-jamuan makan yang luar biasa dan diisi dengan hal-hal yang menggembirakan dan baik. Pada malam harinya, mereka mengeluarkan berbagai-bagai sedekah, mereka menampakkan kegembiraan dan suka cita. Mereka melakukan kebaikan-kebaikan lebih daripada kebiasaannya.

Bahkan mereka berkumpul dengan membaca buku-buku maulid. Dan nampaklah keberkahan Nabi dan Maulid secara menyeluruh. Dan ini semua telah teruji”. Kemudian al-Sakhawi berkata: “Aku Katakan: “Tanggal kelahiran Nabi menurut pendapat yang paling sahih adalah malam Isnin, tanggal 12 bulan Rabi’ul Awwal. Menurut pendapat lain malam tanggal 2, 8, 10 dan masih ada pendapat-pendapat lain. Oleh kerananya tidak mengapa melakukan kebaikan bila pun pada siang hari dan waktu malam ini sesuai dengan kesiapan yang ada, bahkan baik jika dilakukan pada siang hari dan waktu malam bulan Rabi’ul Awwal seluruhnya .

Jika kita membaca fatwa-fatwa para ulama’ terkemuka ini dan merenungkannya dengan hati yang suci bersih, maka kita akan mengetahui bahawa sebenarnya sikap “BENCI” yang timbul daripada sebahagian golongan yang mengharamkan Maulid Nabi tidak lain hanya didasari kepada hawa nafsu semata-mata. Orang-orang seperti itu sama sekali tidak mempedulikan fatwa-fatwa para ulama’ yang saleh terdahulu. Di antara pernyataan mereka yang sangat menghinakan ialah bahawa mereka seringkali menyamakan peringatan maulid Nabi ini dengan perayaan hari Natal yang dilakukan oleh orang-orang Nasrani. Bahkan salah seorang dari mereka, kerana sangat benci terhadap perayaan Maulid Nabi ini, dengan tanpa malu dan tanpa segan sama sekali berkata:

إِنَّ الذَّبِيْحَةَ الَّتِيْ تُذْبَحُ لإِطْعَامِ النَّاسِ فِيْ الْمَوْلِدِ أَحْرَمُ مِنَ الْخِنْزِيْرِ

Ertinya:

Sesungguhnya binatang sembelihan yang disembelih untuk menjamu orang dalam peringatan maulid lebih haram dari daging babi.

Golongan yang anti maulid seperti WAHHABI menganggap bahawa perbuatan bid`ah seperti menyambut Maulid Nabi ini adalah perbuatan yang mendekati syirik (kekufuran). Dengan demikian, menurut mereka, lebih besar dosanya daripada memakan daging babi yang hanya haram sahaja dan tidak mengandungi unsur syirik (kekufuran).

Jawab:

Na`uzu Billah… Sesungguhnya sangat kotor dan jahat perkataan orang seperti ini. Bagaimana ia berani dan tidak mempunyai rasa malu sama sekali mengatakan peringatan Maulid Nabi, yang telah dipersetujui oleh para ulama’ dan orang-orang saleh dan telah dianggap sebagai perkara baik oleh para ulama’-ulama’ ahli hadith dan lainnya, dengan perkataan buruk seperti itu?!

Orang seperti ini benar-benar tidak mengetahui kejahilan dirinya sendiri. Apakah dia merasakan dia telah mencapai darjat seperti al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Hafizh al-Suyuthi atau al-Hafizh al-Sakhawi atau mereka merasa lebih `alim dari ulama’-ulama’ tersebut?! Bagaimana ia membandingkan makan daging babi yang telah nyata dan tegas hukumnya haram di dalam al-Qur’an, lalu ia samakan dengan peringatan Maulid Nabi yang sama sekali tidak ada unsur pengharamannya dari nas-nas syari’at agama?! Ini bererti, bahawa golongan seperti mereka yang mengharamkan maulid ini tidak mengetahui Maratib al-Ahkam (tingkatan-tingkatan hukum). Mereka tidak mengetahui mana yang haram dan mana yang mubah (harus), mana yang haram dengan nas (dalil al-Qur’an) dan mana yang haram dengan istinbath (mengeluarkan hukum). Tentunya orang-orang ”BODOH” seperti ini sama sekali tidak layak untuk diikuti dan dijadikan ikutan dalam mengamalkan agama ISLAM ini.

Pembacaan Kitab-kitab Maulid

Di antara rangkaian acara peringatan Maulid Nabi adalah membaca kisah-kisah tentang kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Al-Hafizh al-Sakhawi menyatakan seperti berikut:

وَأَمَّا قِرَاءَةُ الْمَوْلِدِ فَيَنْبَغِيْ أَنْ يُقْتَصَرَ مِنْهُ عَلَى مَا أَوْرَدَهُ أَئِمَّةُ الْحَدِيْثِ فِيْ تَصَانِيْفِهِمْ الْمُخْتَصَّةِ بِهِ كَالْمَوْرِدِ الْهَنِيِّ لِلْعِرَاقِيِّ– وَقَدْ حَدَّثْتُ بِهِ فِيْ الْمَحَلِّ الْمُشَارِ إِلَيْهِ بِمَكَّةَ-، وَغَيْرِ الْمُخْتَصَّةِ بِهِ بَلْ ذُكِرَ ضِمْنًا كَدَلاَئِلِ النُّـبُوَّةِ لِلْبَيْهَقِيِّ، وَقَدْ خُتِمَ عَلَيَّ بِالرَّوْضَةِ النَّـبَوِيَّةِ، لأَنَّ أَكْثَرَ مَا بِأَيْدِيْ الْوُعَّاظِ مِنْهُ كَذِبٌ وَاخْتِلاَقٌ، بَلْ لَمْ يَزَالُوْا يُوَلِّدُوْنَ فِيْهِ مَا هُوَ أَقْبَحُ وَأَسْمَجُ مِمَّا لاَ تَحِلُّ رِوَايَتُهُ وَلاَ سَمَاعُهُ، بَلْ يَجِبُ عَلَى مَنْ عَلِمَ بُطْلاَنُهُ إِنْكَارُهُ، وَالأَمْرُ بِتَرْكِ قِرَائِتِهِ، عَلَى أَنَّهُ لاَ ضَرُوْرَةَ إِلَى سِيَاقِ ذِكْرِ الْمَوْلِدِ، بَلْ يُكْتَفَى بِالتِّلاَوَةِ وَالإِطْعَامِ وَالصَّدَقَةِ، وَإِنْشَادِ شَىْءٍ مِنَ الْمَدَائِحِ النَّـبَوِيَّةِ وَالزُّهْدِيَّةِ الْمُحَرِّكَةِ لِلْقُلُوْبِ إِلَى فِعْلِ الْخَيْرِ وَالْعَمَلِ لِلآخِرَةِ وَاللهُ يَهْدِيْ مَنْ يَشَاءُ

Ertinya:

Adapun pembacaan kisah kelahiran Nabi maka sepatutnya yang dibaca itu hanya yang disebutkan oleh para ulama’ ahli hadith di dalam kitab-kitab mereka yang khusus menceritakan tentang kisah kelahiran Nabi, seperti al-Maurid al-Haniyy karangan al-‘Iraqi (Aku juga telah mengajarkan dan membacakannya di Makkah), atau tidak khusus -dengan karya-karya tentang maulid saja- tetapi juga dengan menyebutkan riwayat-riwayat yang mengandungi tentang kelahiran Nabi, seperti kitab Dala-il al-Nubuwwah karangan al-Baihaqi.

Kitab ini juga telah dibacakan kepadaku hingga selesai di Raudhah Nabi. Kerana kebanyakan kisah maulid yang ada di tangan para penceramah adalah riwayat-riwayat bohong dan palsu, bahkan hingga kini mereka masih terus mengeluarkan riwayat-riwayat dan kisah-kisah yang lebih buruk dan tidak layak didengar, yang tidak boleh diriwayatkan dan didengarkan, justeru sebaliknya orang yang mengetahui kebatilannya wajib mengingkari dan melarangnya untuk dibaca.

Padahal sebenarnya tidak boleh ada pembacaan kisah-kisah maulid dalam peringatan maulid Nabi, melainkan cukup membaca beberapa ayat al-Qur’an, memberi makan dan sedekah, didendangkan bait-bait Mada-ih Nabawiyyah (pujian-pujian terhadap Nabi) dan syair-syair yang mengajak kepada hidup zuhud (tidak loba kepada dunia), mendorong hati untuk berbuat baik dan beramal untuk akhirat. Dan Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki”.

Kesesatan Fahaman WAHHABI yang Anti Maulid

Golongan yang mengharamkan peringatan Maulid Nabi berkata:

Peringatan Maulid Nabi tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah, juga tidak pernah dilakukan oleh para sahabatnya. Seandainya hal itu merupakan perkara baik nescaya mereka telah mendahului kita dalam melakukannya”.

Jawab:

Baik, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam tidak melakukannya, adakah baginda melarangnya? Perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah tidak semestinya menjadi sesuatu yang haram. Tetapi sesuatu yang haram itu adalah sesuatu yang telah nyata dilarang dan diharamkan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Disebabkan itu Allah ta`ala berfirman:

“وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا”. (الحشر: 7)

Ertinya:

Apa yang diberikan oleh Rasulullah kepadamu maka terimalah dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah. (Surah al-Hasyr: 7)

Dalam firman Allah ta`ala di atas disebutkan “Apa yang dilarang ole Rasulullah atas kalian, maka tinggalkanlah”, tidak mengatakan “Apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah maka tinggalkanlah”. Ini Berertinya bahawa perkara haram adalah sesuatu yang dilarang dan diharamkan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam tetapi bukan sesuatu yang ditinggalkannya. Sesuatu perkara itu tidak haram hukumnya hanya dengan alasan tidak dilakukan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Melainkan ia menjadi haram ketika ada dalil yang melarang dan mengharamkannya.

Lalu kita katakan kepada mereka:

Apakah untuk mengetahui bahawa sesuatu itu boleh (harus) atau sunnah, harus ada nas daripada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam secara langsung yang khusus menjelaskannya?

Apakah untuk mengetahui boleh (harus) atau sunnahnya perkara maulid harus ada nas khusus daripada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang menyatakan tentang maulid itu sendiri?! Bagaimana mungkin Rasulullah menyatakan atau melakukan segala sesuatu secara khusus dalam umurnya yang sangat singkat?! Bukankah jumlah nas-nas syari`at, baik ayat-ayat al-Qur’an mahupun hadith-hadith nabi, itu semua terbatas, ertinya tidak membicarakan setiap peristiwa, padahal peristiwa-peristiwa baru akan terus muncul dan selalu bertambah?! Jika setiap perkara harus dibicarakan oleh Rasulullah secara langsung, lalu dimanakah kedudukan ijtihad (hukum yang dikeluarkan oleh mujtahid berpandukan al-Quran dan al-Hadith) dan apakah fungsi ayat-ayat al-Quran atau hadith-hadith yang memberikan pemahaman umum?! Misalnya firman Allah ta`ala:

وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ”. – الحج: 77

Ertinya:

Dan lakukan kebaikan oleh kalian supaya kalian beruntung. (Surah al-Hajj: 77)

Adakah setiap bentuk kebaikan harus dikerjakan terlebih dahulu oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam supaya ia dihukumkan bahawa kebaikan tersebut boleh dilakukan?! Tentunya tidak sedemikian. Dalam masalah ini Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam hanya memberikan kaedah-kaedah atau garis panduan sahaja. Kerana itulah dalam setiap pernyataan Rasulullah terdapat apa yang disebutkan dengan Jawami` al-Kalim ertinya bahawa dalam setiap ungkapan Rasulullah terdapat kandungan makna yang sangat luas. Dalam sebuah hadith sahih, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

مَنْ سَنَّ فيِ اْلإِسْـلاَمِ سُنَّةً حَسَنـَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَىْءٌ”. (رواه الإمام مسلم في صحيحه)

Ertinya:

Barangsiapa yang melakukan (merintis perkara baru) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala dari perbuatannya tersebut dan pahala dari orang-orang yang mengikutinya sesudah dia, tanpa berkurang pahala mereka sedikitpun”. (Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam Sahih-nya).

Dan di dalam hadith sahih yang lainnya, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ”. (رواه مسلم)

Ertinya:

Barang siapa merintis sesuatu yang baru dalam agama kita ini yang bukan berasal darinya maka ia tertolak”. (Diriwayatkan oleh al-Imam Muslim)

Dalam hadith ini Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam menegaskan bahawa sesuatu yang baru dan tertolak adalah sesuatu yang “bukan daripada sebahagian syari`atnya”. Ertinya, sesuatu yang baru yang tertolak adalah yang menyalahi syari`at Islam itu sendiri. Inilah yang dimaksudkan dengan sabda Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam di dalam hadith di atas: “Ma Laisa Minhu”. Kerana, seandainya semua perkara yang belum pernah dilakukan oleh Rasulullah atau oleh para sahabatnya, maka perkara tersebut pasti haram dan sesat dengan tanpa terkecuali, maka Rasulullah tidak akan mengatakan “Ma Laisa Minhu”, tapi mungkin akan berkata: “Man Ahdatsa Fi Amrina Hadza Syai`an Fa Huwa Mardud” (Siapapun yang merintis perkara baru dalam agama kita ini, maka ia pasti tertolak). Dan bila maknanya seperti ini maka bererti hal ini bertentangan dengan hadith yang driwayatkan oleh al-Imam Muslim di atas sebelumnya. Iaitu hadith: “Man Sanna Fi al-Islam Sunnatan Hasanatan….”.

Padahal hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim ini mengandungi isyarat anjuran bagi kita untuk membuat sesuatu perkara yang baru, yang baik, dan yang selari dengan syari`at Islam. Dengan demikian tidak semua perkara yang baru itu adalah sesat dan ia tertolak. Namun setiap perkara baru harus dicari hukumnya dengan melihat persesuaiannya dengan dalil-dalil dan kaedah-kaedah syara`. Bila sesuai maka boleh dilakukan, dan jika ia menyalahi, maka tentu ia tidak boleh dilakukan. Karena itulah al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan seperti berikut:

وَالتَّحْقِيْقُ أَنَّهَا إِنْ كَانَتْ مِمَّا تَنْدَرِجُ تَحْتَ مُسْتَحْسَنٍ فِيْ الشَّرْعِ فَهِيَ حَسَنَةٌ، وَإِنْ كَانَتْ مِمَّا تَنْدَرِجُ تَحْتَ مُسْتَقْبَحٍ فِيْ الشَّرْعِ فَهِيَ مُسْتَقْبَحَةٌ

Ertinya:

Cara mengetahui bid’ah yang hasanah dan sayyi-ah (yang dicela) menurut tahqiq (penelitian) para ulama’ adalah bahawa jika perkara baru tersebut masuk dan tergolong kepada hal yang baik dalam syara` bererti ia termasuk bid`ah hasanah, dan jika tergolong kepada hal yang buruk dalam syara` maka berarti termasuk bid’ah yang buruk (yang dicela).

Bolehkah dengan keagungan Islam dan kelonggaran kaedah-kaedahnya, jika dikatakan bahawa setiap perkara baharu itu adalah sesat?

Soalan:

Golongan yang mengharamkan peringatan Maulid Nabi biasanya berkata: “Peringatan maulid itu sering dimasuki oleh perkara-perkara haram dan maksiat”.

Jawab:

Apakah kerana alasan tersebut lantas peringatan maulid menjadi haram secara mutlak?! Pendekatannya, Apakah seseorang itu haram baginya untuk masuk ke pasar, dengan alasan di pasar banyak yang sering melakukan perbuatan haram, seperti membuka aurat, menggunjingkan orang, menipu dan lain sebagainya?! Tentu tidak demikian. Maka demikian pula dengan peringatan maulid, jika ada kesalahan-kesalahan atau perkara-perkara haram dalam pelaksanaannya, maka kesalahan-kesalahan itulah yang harus diperbaiki. Dan memperbaikinya tentu bukan dengan mengharamkan hukum maulid itu sendiri. Kerana itulah al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani telah menyatakan bahawa:

أَصْلُ عَمَلِ الْمَوْلِدِ بِدْعَةٌ لَمْ تُنْقَلْ عَنِ السَّلَفِ الصَّالِحِ مِنَ الْقُرُوْنِ الثَّلاَثَةِ، وَلكِنَّهَا مَعَ ذلِكَ قَدْ اشْتَمَلَتْ عَلَى مَحَاسِنَ وَضِدِّهَا، فَمَنْ تَحَرَّى فِيْ عَمَلِهَا الْمَحَاسِنَ وَتَجَنَّبَ ضِدَّهَا كَانَتْ بِدْعَةً حَسَنَةً

Ertinya:

“Asal peringatan maulid adalah bid`ah yang belum pernah dinukil dari kaum al-Salaf al-Saleh pada tiga abad pertama, tetapi meskipun demikian peringatan maulid mengandungi kebaikan dan lawannya. Barangsiapa dalam memperingati maulid serta berusaha melakukan hal-hal yang baik sahaja dan menjauhi lawannya (hal-hal buruk yang diharamkan), maka itu adalah bid`ah hasanah”.

Kalangan yang mengharamkan peringatan Maulid Nabi berkata:

“Peringatan Maulid itu seringkali menghabiskan dana yang sangat besar. Hal itu adalah perbuatan membazirkan. Mengapa tidak digunakan sahaja untuk keperluan ummat yang lebih penting?”.

Jawab:

Laa Hawla Walaa Quwwata Illa Billah… Perkara yang telah dianggap baik oleh para ulama’ disebutnya sebagai

membazir?! Orang yang berbuat baik, bersedekah, ia anggap telah melakukan perbuatan haram, yaitu perbuatan membazir?! Mengapa orang-orang seperti ini selalu saja berprasangka buruk (suuzhzhann) terhadap umat Islam?! Mengapa harus mencari-cari dalih untuk mengharamkan perkara yang tidak diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya?! Mengapa mereka selalu sahaja beranggapan bahawa peringatan maulid tidak ada unsur kebaikannya sama sekali untuk ummat ini?! Bukankah peringatan Maulid Nabi mengingatkan kita kepada perjuangan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dalam berdakwah sehingga membangkitkan semangat kita untuk berdakwah seperti yang telah dicontohkan baginda?! Bukankah peringatan Maulid Nabi memupuk kecintaan kita kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dan menjadikan kita banyak berselawat kepada baginda?! Sesungguhnya maslahat-maslahat besar seperti ini bagi orang yang beriman tidak boleh diukur dengan harta.

Golongan yang mengharamkan peringatan Maulid Nabi sering berkata:

“Peringatan Maulid itu pertama kali diadakan oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Tujuan beliau saat itu adalah membangkitkan semangat ummat untuk berjihad. Bererti orang yang melakukan peringatan maulid bukan dengan tujuan itu, telah menyimpang dari tujuan awal maulid. Oleh kerananya peringatan maulid tidak perlu”.

Jawab:

Kenyataan seperti ini sangat pelik. Ahli sejarah mana yang mengatakan bahawa orang yang pertama kali mengadakan peringatan maulid adalah sultan Salahuddin al-Ayyubi. Para ahli sejarah, seperti Ibn Khallikan, Sibth Ibn al-Jauzi, Ibn Kathir, al-Hafizh al-Sakhawi, al-Hafizh al-Suyuthi dan lainnya telah bersepakat menyatakan bahawa orang yang pertama kali mengadakan peringatan maulid adalah Sultan al-Muzhaffar, bukan sultan Shalahuddin al-Ayyubi. Orang yang mengatakan bahawa sultan Salahuddin al-Ayyubi yang pertama kali mengadakan Maulid Nabi telah membuat “fitnah yang jahat” terhadap sejarah. Perkataan mereka bahawa sultan Salahuddin membuat maulid untuk tujuan membangkitkan semangat umat untuk berjihad dalam perang salib, maka jika diadakan bukan untuk tujuan seperti ini bererti telah menyimpang, adalah perkataan yang sesat lagi menyesatkan.

Tujuan mereka yang berkata demikian adalah hendak mengharamkan maulid, atau paling tidak hendak mengatakan tidak perlu menyambutnya. Kita katakan kepada mereka: Apakah jika orang yang hendak berjuang harus bergabung dengan bala tentara sultan Salahuddin? Apakah menurut mereka yang berjuang untuk Islam hanya bala tentara sultan Salahuddin sahaja? Dan apakah di dalam berjuang harus mengikuti cara dan strategi Sultan Salahuddin sahaja, dan jika tidak, ia bererti tidak dipanggil berjuang namanya?! Hal yang sangat menghairankan ialah kenapa bagi sebahagian mereka yang mengharamkan maulid ini, dalam keadaan tertentu, atau untuk kepentingan tertentu, kemudian mereka mengatakan maulid boleh, istighatsah (meminta pertolongan) boleh, bahkan ikut-ikutan tawassul (memohon doa agar didatangkan kebaikan), tetapi kemudiannya terhadap orang lain, mereka mengharamkannya?! Hasbunallah.

Para ahli sejarah yang telah kita sebutkan di atas, tidak ada seorangpun daripada mereka yang mengisyaratkan bahawa tujuan maulid adalah untuk membangkitkan semangat ummat untuk berjihad di dalam perang di jalan Allah. Lalu dari manakah muncul pemikiran seperti ini?!

Tidak lain dan tidak bukan, pemikiran tersebut hanya muncul daripada hawa nafsu semata-mata. Benar, mereka selalu mencari-cari kesalahan sekecil apapun untuk mengungkapkan “kebencian” dan “sinis” mereka terhadap peringatan Maulid Nabi ini. Apa dasar mereka mengatakan bahawa peringatan maulid baru boleh diadakan jika tujuannya membangkitkan semangat untuk berjihad?! Apa dasar perkataan seperti ini?! Sama sekali tidak ada. Al-Hafizh Ibn Hajar, al-Hafizh al-Suyuthi, al-Hafizh al-Sakhawi dan para ulama’ lainnya yang telah menjelaskan tentang kebolehan peringatan Maulid Nabi, sama sekali tidak mengaitkannya dengan tujuan membangkitkan semangat untuk berjihad. Kemudian dalil-dalil yang mereka kemukakan dalam masalah maulid tidak menyebut perihal jihad sama sekali, bahkan mengisyaratkan saja tidak. Dari sini kita tahu betapa rapuhnya dan tidak didasari perkataan mereka itu apabila berkaitan dengan hukum, istinbath dan istidhal. Semoga Allah merahmati para ulama’ kita. Sesungguhnya mereka adalah cahaya penerang bagi umat ini dan sebagai ikutan bagi kita semua menuju jalan yang diredhai Allah. Amin Ya Rabb.

KELAHIRAN RASULULLAH MEMIMPIN MANUSIA KEPADA KEGEMILANGAN HIDUP


Mukaddimah

Sebut saja bulan Februari, tentu ramai akan teringat Hari Valentine. Dalam keseronokan sebahagian besar dari umat Islam yang tidak tahu atau tidak mahu mengakui keharaman meraikan hari kekasih ini, mungkin ada yang tidak perasan atau mungkin tidak mengambil cakna tentang satu peristiwa penting bagi umat Islam. Tarikh kelahiran kekasih Allah dan junjungan mulia kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu 12 Rabiulawal bagi tahun 1432H ini jatuh pada 15 Februari 2011, sehari selepas sambutan hari Valentine. Sambutan hari Valentine ini dalam kalangan umat Islam merupakan salah satu bukti bahawa pada akhir zaman ini umat Islam sebenarnya telah berpaling daripada hukum Allah yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kalau dulu manusia hidup dalam masyarakat jahiliyyah yang tidak beriman pada Allah, hari ini pula umat Islam sendiri hidup dalam masyarakat jahiliyyah kerana Islam hanya dipraktikkan dalam amalan individu dan yang berunsur ibadah sahaja. Persoalannya, adakah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini hanya untuk masyarakat Arab Jahiliyyah 1500 tahun dahulu sahaja sehinggakan umat Islam hari ini mengabaikan pengamalan syariatnya? Inilah persoalan yang akan dikupas dalam tulisan ini.

Amalan Jahiliyyah Terkubur

Lahirnya Muhammad ke dunia ini dan diutuskannya menjadi Rasul Allah, penyebar risalah Allah, membawa rahmat ke sekalian alam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21):107].

“(Mereka Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ an-Nisa’ (4):165].

Perutusan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam kepada masyarakat Arab jahiliyyah membawa impak perubahan yang sangat besar. Daripada aspek agama dan kepercayaan, penyembahan kepada berhala ditentang dan baginda menawarkan penyembahan kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menciptakan manusia. Budaya menipu dalam timbangan semasa jual beli dihapuskan. Begitu juga dengan tabiat meminum arak, membunuh anak perempuan hidup-hidup kerana takut miskin dan demi menjaga harga diri, menjadikan wanita sebagai hamba seks dan banyak lagi amalan jahiliyyah lainnya telah terkubur dengan kedatangan Islam.

Serentak dengan itu, bermulanya pembinaan individu dengan aqidah Islam sehingga lahirnya muslim yang bersyakhsiyah (jati diri) Islam. Tanpa bertangguh, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya mengumpul mereka, membentuk satu kelompok yang berjuang mengamalkan Islam di tengah-tengah kerosakan masyarakat kuffar. Kelompok ini teguh mempertahankan bahawa Allah itu Tuhan yang wajib disembah dan Rasulullah itu pesuruh Allah. Bagi mengubah sistem kehidupan kuffar yang membelenggu mereka, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para sahabat berusaha menegakkan sebuah negara Islam untuk diterapkan di dalamnya hukum Allah secara kaffah. Hijrah ke beberapa tempat dilalui oleh mereka sehinggalah masyarakat Yathrib (Madinah) menerima baginda sebagai pemimpin negara, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memimpin daripada segenap aspek kehidupan termasuk sistem ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan lain-lain.

Menurut Zeeneth Kausar (1995) dalam kertas kerjanya Women’s Issues: Women’s Perspectives, Islam meletakkan wanita dalam tiga kategori penting mengikut keupayaannya iaitu sebagai ibu, isteri dan anak perempuan. Ibu diletakkan di tempat paling tinggi selepas Allah dan RasulNya. Bagi wanita Islam yang berkahwin, mereka mempunyai hak-hak tersendiri sepanjang perkahwinannya sama seperti lelaki serta masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan terhadap keluarga (ibu, isteri, anak perempuan) dan masyarakat (guru, pengasuh, pemimpin , penasihat, perawat dan lain-lain dalam semua sektor). Sebagai seorang Islam, wanita perlu mempunyai penghayatan Islam yang jelas dan keimanan yang kukuh supaya dapat dimanifestasikan keimanan dan jiwa Islam itu dalam ibadah, akhlak, pergaulan, pekerjaan dan segala aktiviti dalam kehidupannya. Ini penting supaya wanita tetap menjaga maruah dan kehormatan dirinya daripada kaca mata Islam seperti sentiasa menjaga aurat, menjaga tutur kata dalam pergaulan, menjauhkan segala yang mendekatkan diri wanita kepada zina, bersikap positif dan berdaya saing sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Islam.

Ironinya, kehidupan umat Islam masa kini kelihatan telah melintasi sejarah menyeberangi zaman kegemilangan pemerintahan Islam. Masyarakat Islam telah kembali menjadi masyarakat jahiliyyah yang tiada pegangan hidup.

Tabiat Menganiaya Wanita dan Kanak-kanak Perempuan.

Bila diimbas kembali rentetan tragedi yang melibatkan penderaan dan penganiyaan ke atas wanita, kita akan dapati bahawa trauma ini tidak pernah lenyap daripada kehidupan masyarakat. Antara isu yang nampaknya semakin meruncing saban tahun adalah kes simbahan asid yang bukan sahaja menyebabkan mangsanya menanggung kesakitan yang amat sangat tetapi juga terpaksa menjalani kehidupan dengan kecacatan kekal. Pada 27 Januari 2007, seorang suami bertindak nekad menyimbah asid ke belakang badan isterinya, Ramlah Mohamad, 26, kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Pada 9 April 2010, seorang peneroka bertindak di luar batasan apabila tergamak menyimbah asid ke muka dan tubuh isterinya, Zarina Wahab, selepas wanita itu menolak untuk melakukan hubungan seks. Pada 10 Januari 2011, seorang lelaki disabitkan kesalahan cuba membunuh isterinya yang sedang hamil, Nor Shamila, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi berdasarkan statistik yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia dan jumlah sebenar (mangsa) lebih dari itu, cuma tidak dilaporkan. Di peringkat global pula, sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dipukul, dipaksa melakukan aktiviti seksual atau didera sepanjang hayatnya [Berita Harian, 28/11/2010].

Awal tahun 2011 juga disambut dengan beberapa kes dera ke atas kanak-kanak. Pada 9 Januari 2011, Nordiana Qistina Nurafizan, 3 tahun, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang serius akibat dari 73 kesan penderaan di seluruh tubuhnya. Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad berusia setahun turut menjadi mangsa kekejaman yang dipercayai dilakukan oleh bapa dan ibu tirinya [Utusan Malaysia Online, 11/1/2011]. Tidak dilupakan kes bualan orang ramai yang melibatkan kanak-kanak berusia 18 bulan, K Haresvarran yang mati dipukul dan dipijak jiran yang menjaganya serta Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, mati ditendang dan dipijak teman lelaki ibunya pada tahun lalu.

Statistik di negara kita menunjukkan kes penderaan fizikal yang dilaporkan di Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dari 1999 hingga 2006 ialah sekitar 100 kes setahun. Selain itu, 42 peratus daripada pendera adalah ibu bapa sendiri, iaitu bapa 22 peratus dan 16 peratus di kalangan ahli keluarga. Di Amerika Syarikat (AS), negara berkenaan menyediakan peruntukan RM384.8 bilion (AS$104 bilion) setahun bagi menangani isu penderaan kanak-kanak hasil laporan bahawa empat kanak-kanak dilaporkan mati setiap hari kerana didera serta diabaikan daripada aspek psikologi, emosi dan seksual. Secara purata, 31 peratus wanita di dalam penjara di AS disabitkan kesalahan melakukan penderaan ke atas kanak-kanak. Di United Kingdom (UK) satu hingga dua peratus kanak-kanak mengalami penderaan fizikal sejak peringkat kanak-kanak. Malah, lebih tiga juta orang dewasa, iaitu satu dari 12 orang dewasa menyatakan mengalami tanda lebam akibat penderaan fizikal ketika kanak-kanak dan sembilan peratus menderita dengan kesan jangka panjang. [Berita Harian, 9/3/2010]

Dalam Islam, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

“Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula”. [HR Ahmad].

Seruan Islam yang telah lama sampai kepada kita dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mengharamkan suami/bapa memukul apatah lagi mendera isteri mengikut hawa nafsu. Pukulan hanya dibenarkan dalam rangka untuk mendidik isteri dan anak-anak. Salah satu dalil tentang kebolehan bagi para suami untuk memukul ketika menta’dib (mendidik) isterinya adalah sepertimana ayat berikut:

“Laki-laki adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Maka wanita solehah adalah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka. Isteri-isteri yang kalian khuatiri melakukan nusyuz  maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka”. [TMQ an-Nisa’ (4): 34].

Islam juga membolehkan melakukan pukulan sebagai ta’dîb terhadap anak. Ibnu Amr bin al-’Ash meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda:

“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika tetap enggan mengerjakan solat)”. [HR Abu Dawud dan al-Hakim].

Di dalam hukum fikih, pukulan dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, Dharb mubarrih iaitu pukulan yang kuat/keras sehingga dikhuatiri boleh mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mencacatkan anggota tubuh badan. Pukulan seperti ini adalah dilarang dalam syariah dan termasuk sebagai perkara yang diharamkan. Kedua, Dharb ghairu mubarrih ialah pukulan ringan yang tidak mengalirkan darah serta tidak dikhuatiri akan menimbulkan kebinasaan jiwa atau kecacatan pada tubuh badan, patah tulang dan sebagainya. Pukulan jenis kedua ini menurut syariah boleh dilakukan kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran syariah, iaitu setelah dilakukan maw’izhah dan hajr (nasihat dan pemisahan tempat tidur). (An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan).

Para fuqaha mengatakan bahawa dharb ghairu mubarrih adalah pukulan yang tidak melukakan isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak meninggalkan parut pada tubuh badannya dan tidak boleh dilakukan pada wajah. Pukulan tersebut juga tidak harus berpusat pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul secara terus-menerus agar tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara fuqaha, ada yang menyatakan bahawa, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh dengan cemeti (cambuk/rotan) dan tongkat.”

Begitulah sedikit penerangan mengenai bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini begitu melindungi wanita dan anak-anak daripada perbuatan ganas suami/bapa. Sebagai suami atau bapa, pukulan hanya dibenarkan bagi tujuan ta’dib (mendidik) isteri atau anak dan bukannya untuk melampiaskan kemarahan atau membalas dendam. Namun, apa yang dikisahkan daripada peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan bahawa para suami dan bapa tidak lagi mengikut syariat Allah dan contoh tauladan yang ditunjukkan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Tidak cukup dengan isu penderaan wanita di dalam negara oleh ahli keluarga sendiri, sejenak kita telusuri nasib wanita di belahan dunia yang sentíasa ditindas oleh musuh Islam.

Muslimah Di belahan Dunia yang Ditindas Musuh.

Pada 31 Disember 2011, berdasarkan keterangan dari pihak media yang dilaporkan Maan, seorang wanita Palestin meninggal dunia akibat menghirup gas pemedih mata yang ditembakkan Israel ke arah mereka ketika melakukan demonstrasi damai mingguan di desa Bil’in. Pasukan Israel menembak bertin-tin gas pemedih mata ke arah mereka yang selalu melakukan demonstrasi secara  damai. Sekitar 250 orang cedera, termasuk seorang remaja yang ditembak wajahnya dengan tabung gas pemedih mata. Kekejaman Israel jelas ketara kerana mereka menggunakan gas pemedih mata yang dilarang di Eropah pada tahun 60-an dan 70-an kerana menyebabkan kematian, tetapi mereka terus menggunakannya di Palestin [Buletinonliner.com, 3/1/2011].

Yayasan Solidariti Hak Asasi Manusia Antarabangsa menyatakan bahawa seorang tahanan wanita Palestin, Kifah Auni Qutsy yang berasal dari kota Birah, terperosok di penjara Israel menderita kekurangan immunisasi badan yang menyebabkan penyempitan pembuluh darah seperti mengalami Gangrene, penyakit yang menggugurkan jari tangan disebabkan tidak sampainya darah ke jari [iLuvislam.com, 20/10/2010]. Tidak jauh bezanya dengan insiden di atas, pada 10 Januari 2011, Yayasan Perlindungan Tahanan “Yusuf ash Shidiq” melaporkan bahawa para tahanan wanita Palestin terpaksa menanggung kenaikan harga yang tinggi di kantin penjara Israel dan mereka dipaksa membeli dari sana, terutama pakaian dan alas kaki (selipar/kasut). Lebih teruk lagi, keluarga tahanan tidak dibenarkan untuk membawakan alas kaki untuk tahanan penjara. Akhirnya mereka dipaksa untuk membelinya di kantin penjara yang harganya mencapai 80 dolar. Selain itu kantin tahanan juga tidak memiliki banyak barang yang diperlukan para wanita, namun pihak penjara tetap menolak kiriman daripada keluarga tahanan. Kebelakangan ini juga, pihak penjara menghadkan jumlah pakaian yang masuk ke penjara. Laporan ini menyebutkan bahawa para tahanan wanita, khususnya di penjara Damon, mengalami kekurangan air minuman yang bersih. Hal ini juga memaksa para tahanan membeli air bersih daripada kantin penjara dengan harga yang sangat mahal [Republikan Online, 10/1/2011].

Di pelosok bumi yang lain, Islam dihina nasib muslimah seperti hidup dalam penjara di tanah air sendiri. Mereka dinafikan haknya untuk menjalankan kewajipannya dalam berpakaian menurut Islam.Sebagai contoh dalam sebuah artikel menyatakan,“burqa dan niqab merupakan tradisi yang memandang bahawa perempuan sebagai objek seksual, seorang penggoda, yang mana dengan gerakan pergelangan kaki mereka dapat membawa lelaki (makhluk yang lemah yang tidak mampu menahan godaan ini) untuk bertekuk lutut di hadapan mereka. Ini adalah sistem nilai yang menjijikkan dan saya menolaknya. Begitu juga dengan semua warga Kanada yang menganut feminisme sekular. Jadi marilah kita mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan hijab.” Itulah artikel yang telah diterbitkan oleh sebuah akhbar online Canada, Toronto Star, pada 18 Disember 2011 yang mengesyorkan supaya pengharaman bukan hanya dibuat terhadap niqab (penutup wajah/purdah) dan burqa (penutup seluruh tubuh), tetapi juga terhadap  hijab (tudung kepala).

Sungguh sakit mata yang memandang dan pedih hati yang merasakan penderitaan yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia ini akibat penindasan yang didalangi musuh-musuh Islam. Jadi, umat Islam wajib memikirkan cara untuk menyelesaikannnya habis-habisan. Usaha yang diambil bukan setakat membantu mengisi perut-perut mereka yang kemudian akan tembus terburai dengan tembakan peluru, bukan setakat membekalkan selimut dan pakaian membaluti tubuh-tubuh mereka yang kemudian akan terbakar dengan serangan bom, bukan setakat menyediakan khidmat perubatan merawat luka-luka mereka yang kemudian akan diseksa dengan bom kimia, tetapi usaha yang dapat menghalau tentera Israel dan pakatannya kerana masalah Palestin dan negara-negara umat Islam lain adalah masalah penjajahan, fizikal dan mental, bukan masalah kemiskinan. Pencabulan terhadap hak umat Islam dalam melaksanakan kewajipannya bukan masalah kelemahan ketaqwaan individu tetapi masalah tekanan undang-undang kuffar yang dipaksakan ke atas mereka.

Tindakan Yang Diambil oleh Pemimpin Islam Ke atas Musuh Islam

Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, seorang wanita Muslimah tersingkap auratnya apabila seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ telah mengikat hujung kain yang dipakainya pada kerusi. Ketika itu, seorang lelaki Muslim telah bangun membela dengan membunuh Yahudi tadi. Sebagai membalas dendam, puak Yahudi membunuh pula lelaki Muslim itu. Kaum Muslim yang lain telah membantu kaum keluarga lelaki Muslim itu, dan Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menghantar pasukan tentera Muslim untuk menyerang Yahudi Bani Qainuqa’ dan selepas lima belas hari, kaum Muslim berjaya menghapuskan seluruh Bani Qainuqa’ dari tanah Madinah.

Khalifah Islam yang memerintah selepas para Sahabat mengambil Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam menyelesaikan masalah yang sama. Imam Ibnu Athir mencatatkan dalam “Al-Kamil fi Tarikh”, sebuah kisah yang terkenal mengenai seorang wanita Muslimah yang telah ditangkap oleh puak Rom dan ditahan di satu tempat bernama ’Amuriyyah. Tidak puas dengan menahan beliau, mereka juga telah cuba untuk mencabul kehormatan wanita Muslimah itu. Bersendirian dan ketakutan, wanita itu memanggil nama Khalifah pada ketika itu “Oh Mu’tasim”. Seorang lelaki menyaksikan kejadian ini, lantas bertemu dengan Khalifah Mu’tasim dan memaklumkan beliau tentang kejadian itu. Tatkala Mu’tasim mendengar tentang rintihan wanita itu, beliau menyahutnya dengan penuh keberanian, “Labbaik (Aku datang menyahut seruanmu).” Mu’tasim mempersiapkan sepasukan bala tenteranya dan melancarkan serangan untuk menyelamatkan wanita itu. Pasukan tentera beliau telah menawan pihak musuh dan memasuki ‘Amuriyyah. Selepas menghancurkan kubu kuat musuh, mereka sampai kepada wanita itu serta berjaya membebaskannya.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula telah mengirim sepucuk surat kepada Tahanan Perang Muslimin di Konstantinopel. Beliau memberitahu mereka: “Kalian mengatakan dirimu adalah Tahanan Perang. Sebenarnya, kalian bukanlah begitu. Kalian telah dipenjarakan kerana berjihad untuk Allah. Aku ingin memberitahukan kalian semua, apabila aku memberi sesuatu kepada semua kaum Muslimin, aku akan memberikan lebih kepada kaum keluarga kalian dan aku mengirimkan si polan dan si polan membawakan 5 dinar untuk setiap seorang dari kalian. Seandainya bukan kerana aku risaukan penguasa diktator Roman yang akan merampasnya dari kalian, sudah pasti aku akan mengirim lebih lagi. Aku juga telah mengutus si polan bin si polan untuk memastikan pembebasan setiap dari kalian, tanpa mengira berapa pun wang tebusan yang perlu dibayar. Maka bergembiralah kalian! Salam Sejahtera.”

Begitulah usaha-usaha yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan pemimpin umat Islam demi membela nyawa dan maruah umat Islam. Sesungguhnya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda:

“Seorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lainnya, maka janganlah dia menindas saudaranya dan jangan sekali-kali dia menyerahkan saudaranya yang lain kepada pihak yang menindas”.[HR Bukhari].

Kembalilah kepada Sirah Perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam

Wahai muslimah yang berfikir!

Sejak terpadamnya cahaya kegemilangan Islam di Turki pada tahun 1924, pemimpin umat Islam yang manakah sanggup melakukan seperti apa yang telah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para Khalifah lakukan untuk melindungi kalian? Jawapannya tidak ada. Para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini adalah pemimpin khianat. Tatkala nyawa dan maruah umat Islam berada di hujung tanduk dengan ancaman pelbagai jenis jenayah, kekejaman dan penindasan di seluruh penjuru dunia, para pemimpin hina ini sibuk mengatur lawatan kepada musuh, sibuk mencari keuntungan berunding urusan perdagangan dengan bermanis muka dan berlembut lidah. Inilah hakikat pemimpin umat Islam! Sepatutnya dengan kuasa yang ada, mereka wajib memerintah dengan hukum Islam seperti Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintah. Diterapkannya sistem pendidikan Islam yang mendidik insan bertaqwa sehingga tiada yang berani menganiayai wanita khususnya dan umat Islam amnya kerana takutkan dosa. Diajarkannya sistem sosial Islam yang mewujudkan masyarakat amar ma’ruf nahi mungkar. Diamalkannya pula sistem politik Islam yang mewajibkan penguasa-penguasa umat Islam memimpin mereka dengan tali Allah. Sebaliknya pemimpin hari ini mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengeluarkan umat Islam daripada segala penderitaan dan ketakutan selain terus asyik dengan kenikmatan dunia dan berbaik-baik dengan musuh yang tidak akan henti-henti meratah umat Islam. Kita tidak mahukan pemimpin yang telah berpaling dari hukum Allah ini.

Sesungguhnya Allah telah menjelaskan bahawa siapa sahaja yang tidak mengimani Al Qur’an, membenarkan berita yang disebutkan di dalamnya, tidak meyakini perintah yang diwajibkan di dalamnya, dialah yang dikatakan berpaling daripada zikir pada Allah. Bahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengancam kepada orang yang berpaling dari zikir ini iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda bahwa orang tersebut akan diberikan penghidupan yang sempit di dunia dan akhirat. Allah berfirman:

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan.” [TMQ Thaaha (20): 124-126].

Oleh itu, sanggupkah kita membiarkan pemimpin-pemimpin yang diancam Allah ini sama-sama mengheret kita ke dalam kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat?

Jadi, marikah kita telusuri semula sirah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam. Firman Allah Subhanahu wa T’aala:

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa”. [TMQ al-An’am (6): 153]

Sememangnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mencerminkan keperibadian Islam yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia dalam segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah” [TMQ al-Ahzab (33): 21].

Hakikatnya lagi, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bukan sahaja menunjukkan contoh peribadi yang baik sebagai suami, bapa, sahabat dan peniaga, tetapi baginda juga memetakan jalan bagi umat Islam dalam membentuk individu yang bertaqwa, menyampaikan Islam di tengah-tengah masyarakat kuffar, berjuang bersama kelompok sahabat mendirikan sebuah negara Islam dan seterusnya menerapkan segala syariat Allah di situ serta ke wilayah-wilayah yang lain. Pemimpin yang sebeginilah yang kita perlukan. Dia adalah Khalifah yang akan memerintah Daulah Islam suatu masa nanti seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah  Sallallahu Alaihi wa Sallam atas usaha kita. Inilah amanah yang telah diwariskan oleh baginda kepada kita. Sedarlah wahai umat Islam, jalan-jalan yang dipetakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam itu tidak akan pudar daripada sirah kerana ia wajib terus dilalui oleh umatnya.

Khatimah

Sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menghidupkan Islam di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyyah bukan semata-mata sejarah yang perlu diceritakan untuk memperingati baginda sempena sambutan kelahiran baginda setiap tahun.  Ia sebenarnya adalah hukum yang tertaklif pada umat Muhammad untuk terus diamalkan. Bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya menyelamatkan malah melindungi maruah dan martabat wanita serta umat Islam daripada lembah jahiliyyah, begitulah kita umat Islam hari ini wajib lakukan. Daripada tahap pembinaan individu, penyatuan dalam kelompok dakwah kepada mendirikan daulah Islam, itulah jalan yang wajib dilalui oleh setiap individu untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah. Wallahu a’lam bisshawab.

__________________________________

Sumber : Fikratul-Ummah-Februari-2011 – mykhilafah.com

KEPUTERAAN RASULULLAH SAW DAN PENYUSUANNYA


Adapun nasabnya Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam, ialah; Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Mutalib, ‘Abdul Mutalib dipanggil dengan nama Syaibah Al-Hamd bin Hashim bin ‘Abdul Manaf, nama ‘Abdul Manaf ialah Al Mughirah bin Khusai, dinamakan Zaidan bin Khilab bin Mur rah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalif bin Fihri bin Malik bin Nadri bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Mu’ad bin Adnan.

Setakat itulah sahaja apa yang telah disepakati mengenai Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Adapun yang ke atas dan itu ada bersalahan pendapat, yang payah hendak dipegang. Tetapi tiada sebarang khilaf atau bersalahan pendapat mengenai Adnan itu adalah di antara anak cucu Nabi Ismail ‘alaihissalam anak kepada Ibrahim ‘alaihissalam, dan Allah telah memilihnya dan sebaik-baik kabilah dan suku, tidak pernah diresapkan sesuatu daripada kecemaran jahiliyyah kepada sesuatu dari nasabnya.

Diriwayatkan oleh Muslim dengan sanadnya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam:

“Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah di antara anak-anak Ismail, dan dipilihnya Quraisy dan Kinanah, dan dipilihnya Hashim dan Quraisy dan dipilihnya saya dari Bani Hashim”.

Baginda dilahirkan pada Tahun Gajah, iaitu tahun di mana Abrahah Al Asyram telah melanggar masuk ke kota Makkah dalam rangka percubaannya hendak menawan dan memusnahkan Al-Ka’bah. Namun demikian percubaannya tadi telah menemui kegagalan yang amat pahit di mana Allah Subhanahu Wata’ala telah mengutuskan sekumpulan Burung-burung Ababil mencedera dan memusnahkan angkatannya itu. Kejadian ini telah diterangkan di dalam Al-Qur’an dengan jelas sekali. Mengikut pendapat yang paling hampir dengan kenyataan, Baginda telah dilahirkan pada hari Isnin tanggal 12 haribulan Rabi’ul Awal.

Baginda adalah yatim ketika dilahirkan. Ayahandanya wafat ketika Baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah lahir Baginda dipelihara oleh datuknya ‘Abdul Muttalib yang kemudian disusukan kepada seorang perempuan dari puak Sa’d Bakr yang bernama Halimah binti Abi Zuwaib. Ini adalah mengikut adat resam orang-orang ‘Arab di kala itu.

Ahli sirah telah sebulat suara mengatakan bahawa kampung Bani Sa’d ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam ke rumah Halimah dan menyusu darinya ketika itu juga keadaan pun berubah. Kampung yang dulunya kering tandus mulai menghijau, kambing ternakan yang dahulu kelaparan kini bila kembali dan ladang ternakan kelihatan riang dan uncang-uncang susunya penuh dengan susu.

Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Muslim (salah Seorang Imam Hadith Nabi) bahawa Rasulullah telah dibedah perutnya semasa bersama Bani Sa’d. Ketika itu Baginda baru berusia lima tahun. Selepas itu dihantar kembali ke pangkuan ibunya. Bondanya telah wafat ketika Baginda berusia enam tahun. Ini membawa Baginda menjadi seorang yatim piatu. Dengan itu maka datuknya pula yang mengambil peranan mendidik Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam tetapi tidak berapa lama datuknya pula berpindah ke alam baqa’. Masa itu Baginda berusia lapan tahun dan dipelihara oleh bapa saudaranya pula Abu Talib.

Pengajaran Dan Renungan

Dengan segala apa yang berlaku di peringkat ini bolehlah kita mengambil beberapa kesimpulan pengajaran dan pengiktibaran:

  • Mengenai nasab keturunan Baginda Shallallahu ‘alaihi Wasallam seperti yang telah kami jelaskan, kedapatan beberapa dalil yang jelas yang menunjukkan bahawa dalam semua bangsa manusia, bangsa ‘Arab yang telah dipilih oleh Allah, dalam semua bangsa ‘Arab, kabilah atau suku Quraisy pula dipilihnya, dalilnya itu jelas kedapatan dalam hadith riwayat Muslim seperti yang telah kami sebutkan, malah banyak lagi hadith yang sama maksudnya, antaranya ialah hadith riwayat Tirmizi:

“Bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi Wasallam berdiri di atas minbar lantas berkata: “Siapakah saya ini?” Para sahabat menjawab: “Engkau utusan Allah, selamat atas engkau”. Ujar Baginda lagi: “Saya Muhammad anak Abdullah anak Abdul Muttalib, sesungguhnya Allah telah jadikan makhluq (manusia), kemudian Ia jadikan mereka dua golongan, maka Ia jadikan saya dalam golongan mereka yang paling baik, kemudian Ia jadikan mereka beberapa kabilah, maka Ia jadikan dalam kabilah mereka yang paling baik, kemudian Ia jadikan beberapa rumah (rumahtangga) maka Ia jadikan saya dalam rumah yang paling baik, dan saya adalah orang yang paling baik di antara mereka.” (Tirmizi: J. 9. H. 236. Kitabul Muflaqib)

Dan ketahuilah bahawa konsep kasih kepada Rasul Shallallahu ‘alaihi Wasallam, ialah kasih kepada kaum yang dalam kalangan mereka lahirnya Rasul Shallallahu ‘alaihi Wasallam, juga kasih kepada kabilah yang dalam kalangan mereka diputerakan Baginda. Ini bukan kerana fanatik kepada orang-orang bangsa itu, tetapi adalah kerana semata-mata hakikat, kerana pada hakikatnya bangsa ‘Arab Quraisy itu telah mendapat kemuliaan dan penghormatan disebabkan hubungan mereka dengan Rasul Shallallahu ‘alaihi Wasallam, dan ini tidak boleh disangkal sama sekali.

Namun demikian, tidak juga boleh dinafikan bahawa adanya keburukan pada orang-orang ‘Arab atau orang Quraisy itu kerana penyimpangan mereka dan jalan Allah Subhanahu Wata’ala atau menyeleweng dan garis-garis panduan yang telah dipilih oleh Allah untuk hamba-hambanya, kerana penyimpangan dan pemesongan dan garis panduan tersebut bererti tersingkir terputus dan hubungan dengan Rasul Shallallahu ‘alaihi Wasallam.

  • Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam dilahirkan dengan keadaan yatim piatu. Sesudah itu datuknya pula meninggal. Peristiwa ini menyebabkan Rasulullah hidup di peringkat kecilnya tanpa mendapat kasih sayang dari ibu, dan jagaan serta perhatian yang sewajar dari bapa. Kesemuanya ini bukan berlaku secara kebetulan sahaja tetapi segala-galanya ini adalah mengikut apa yang telah digariskan oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk masa depan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam dan ini adalah sebahagian dan hikmat Ilahi, agar tidak sesiapa pun menaruh sangkaan buruk bahawa seruan Nabi Muhammad ini adalah dan ilham dan latihan ibunya semasa menyusu ataupun hasil dan tunjuk ajar dan bapa dan datuknya, kerana datuknya ‘Abdul Muttalib adalah manusia yang terkemuka di kalangan kaumnya, lebih-lebih lagi soal pembekalan makanan dan minuman untuk jama’ ah haji adalah di bawah kelolaan dan tanggungjawabnya.

Sudah menjadi adat dan resam alam, datuk atau bapa akan menurunkan warisan kepada cucu atau anak di bawah jagaan mereka. Tetapi suratan Ilahi tidak membiarkan kesempatan kepada mereka yang engkar dan bertujuan jahat, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam telah dibesarkan dan dipelihara jauh dan jagaan dan peliharaan ibu bapa. Demikian juga di masa Baginda masih bayi. Sebagai satu lagi hikmat Ilahi ialah Baginda telah dikirimkan ke kampung di bawah peliharaan Bani Sa’diah. Selepas datuknya meninggal dunia maka tanggungjawab memelihara terserah kepada bapa saudaranya pula, Abu Talib. (Umur ‘Abdul Mutalib pun tidak panjang buat memelihara Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam). Datuknya sempat memikul tanggungjawab itu hanya buat masa tiga tahun sahaja.

Sebagai kesimpulan kepada hikmat Ilahi tadi, disudahi dengan penolakan dan keengganan Abu Talib menerima dan memeluk agama Islam, agar tidak disyaki orang lagi bahawa Abu Talib sedikit sebanyak memain peranan penting dalam usaha mengasuh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam ke arah da’wahnya itu kerana semuanya ini merupakan plot perkembangan yang berjangkit antara satu sama lain, yang membawa kedudukan dalam puak kepada kedudukan di dalam kaum dan seterusnya kepada penganjuran yang lebih luas dan pangkat kedudukan yang lebih tinggi.

Beginilah arus hikmat Ilahi yang mahukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam hidup dengan keadaan yatim piatu. Hanya arahan dan jagaan Ilahi sahaja dapat men jauhkan tangan-tangan yang cuba memanjanya, menjauhi wang, harta kekayaan dan yang cuba memewahkan kehidupannya. Ini berlaku supaya jangan timbul di jiwanya semangat kebendaan atau gilakan pangkat. Oleh itu segala-galanya tidak mendorongkan Baginda ke arah kepenganjuran, yang mana mungkin mengelirukan di antara kenabian dengan pengaruh dunia, yang akan disangka orang kelak sengaja dibuat-buat yang pertama (kenabian) demi untuk mencapai yang kedua (pengaruh).

  • Mengikut apa yang diceritakan oleh ahli sirah, bahawa rumah dan perkampungan Halimah As Sa’diyyah telah dilanda kemarau yang dahsyat. Namun kedatangan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam telah merombak segala-galanya. Tanaman kembali subur menghijau, biri-biri dan unta yang kurus kering dengan hanya kulit yang melekat di tulang-tulang berubah menjadi binatang yang sihat dan gemuk berlemak.

Kesemuanya ini menunjukkan kedudukan martabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam di sisi Allah semasa Baginda masih bayi lagi. Sebagai contoh penganugerahan Ilahi yang nyata kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam ialah pengurniaan dan limpahan rahmat kepada Halimah As Sa’diyyah yang telah memelihara Baginda. Ini tidaklah menjadi suatu perkara yang pelik dan ganjil. Tidakkah pernah kita meminta supaya Tuhan menurunkan hujan di musim kemarau dengan berkat para salihin dan berkat keluarga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam, agar do’a dan permintaan kita itu dikabulkan Tuhan? Maka bagaimana pula kalau satu tempat itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam sendiri berada di dalamnya, perkampungan tadi sudah sewajarnya menerima ganjaran dan rahmat Ilahi yang telah sanggup menerima, memelihara dan menyusu Rasulullah. Kehijauan rumput dan tanah menyubur adalah berkat Baginda yang lebih berkesan daripada hujan.

Kalaulah sebab-musabab itu di tangan Tuhan, maka sudah sewajarnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam mendahului segala sebab-musabab dan limpah kumiaNya. Lebih jelas lagi Rasulullah ini adalah rahmat Allah untuk manusia sejagat. Tegasnya Allah sendiri telah menyebut di dalam Al-Qur’an yang bermaksud:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk ‘alam sejagat”. (Al-Anbiya’: 107)

  • Peristiwa pembedahan perut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam semasa Baginda tinggal bersama Halimah As-Sa’diyyah merupakan salah satu tanda kenabian dan tanda pemiihan Tuhan terhadapnya untuk sesuatu yang mulia. Peristiwa ini telah diperihalkan dengan betul dan benar melalui beberapa orang sahabat. Antaranya Anas bin Malik radhiallahu ‘anh. Perihalnya terdapat dalam kitab Hadith Muslim yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam telah didatangi Jibril ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak. Jibril ‘alaihi salam telah merebahkan dan membelah betul-betul dengan hati dan mengeluarkannya. Kemudian dikeluarkan seketul darah sambil berkata, inilah sasaran syaitan ke hati engkau. Lepas itu dibasuhnya di dalam tas dan emas dengan air zam-zam, barulah dimasukkah semula ke tempat asalnya dan kanak-kanak yang lain berkejaran la menemul ibu penyusunya Halimah melaung laung; Muhammad telah dibunuh dan mereka semua meluru ke arab Nabi Muhammad dan didapati pucat lesu.”

Hikmat llahi di sini bukanlah membuang buli-buli kejahatan. Allah sahaja yang lebih mengetahui dan tubuh badan Rasulullah kerana kalaulah di sana terdapat buli-buli kejahatan yang merupakan sumber kejahatan maka sudah tentu boleh dirubah manusia jahat menjadi baik dengan cara pembedahan. Tetapi hikmat Ilahi yang jelas di sini ialah mengiklan dan mengisytiharkan kerasulan Baginda dan menjadikannya ma’sum dan mempersiapkan Baginda untuk menerima wahyu dan kecil lagi dengan cara yang boleh dilihat dengan mata kasar kerana dengai jalan ini membawa orang percaya dan beriman dengan risalah pengutusannya dengan mudah. Pembedahan tadi adalah pembersihan rohani dengan suatu cara yang boleh dinampakkan oleh pancaindera supaya ini menjadi canang Ilahi kepada manusia seluruhnya dengan boleh dilihat dan didengar.

Sebab yang membawa kita percayakan peristiwa pembedahan ialah kerana kebenaran dan sahnya cerita ini. Kalaulah perkara ini sudah jelas bak di tengahari maka tidak ada sebab-sebab yang boleh kita larikan dan kebenarannya. Tetapi bagi mereka yang lemah iman kepada Tuhan, perkara ini membawa kepada kelemahan iman mereka terhadap kenabian dan kerasulan Muhammad Shallallahu ‘alaihi Wasallam. Orang yang seperti ini tidak ada bezanya sama ada mereka mengetahui atau tidak akan hikmat-hikmat Ilahi dan sebab-sebabnya.

Allahu a’lam bisshawab.

Fiqh as-Sirah, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi

%d bloggers like this: