• SELAMAT DATANG

    Asalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 68 other subscribers
  • KLIK PAUTAN

KENALI IFRIT ATAU JIN IFRIT


Kenali IFRIT Atau JIN IFRIT
ifrit_37335

Ifrit ialah nama bagi segolongan jin kafir yang di antara mereka diberi kekuatan dan kepintaran oleh Allah s.w.t. yang ampunya hati busuk terhadap manusia.

Dalam peristiwa antara Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis, termaktub dalam al-Quran tentang kisah burung Hud-hud yang memberitahu kepada Nabi Sulaiman tentang adanya seorang raja perempuan di negeri Saba’, yang terletak di selatan semenanjung Arab. Dalam Surah an-Nahl ayat 34 diceritakan tentang kesuburan tanah Saba’ yang dapat mengeluarkan hasil bumi berlipat ganda. Ratu Saba’ yang bernama Balqis mempunyai singahsana yang diperbuat daripada emas, bertatahkan ratna mutu maknikam dan batu permata yang mahal-mahal. Dikatakan bahawa nama ayahnya ialah Shurahil, ibunya daripada bangsa jin bukan manusia.

Menurut Ath-Tha’labi dan al-Hafiz Ibn Kathir, bapa Ratu Balqis adalah raja besar. la enggan berkahwin dengan seorang perempuan Yaman. la telah jatuh cinta dengan seorang perempuan jin namanya Rayhanah binti As-Sakn dan melahirkan Ratu Balqis. Nama yang dipilih oleh ibunya untuk Ratu Balqis ialah Talqamah. Setengah pendapat mengatakan Balqamah.
Burung Hud-hud telah memberitahu Nabi Sulaiman bahawa Ratu Balqis dan kaumnya sujud kepada matahari (an-Naml ayat 24). Diterangkan juga bahawa biarpun kepercayaan mereka kepada Allah itu ada, namun yang mereka utama ialah penyembahan terhadap matahari. Syaitan telah memesongkan kepercayaan mereka. Mereka telah dipujuk-pujuk, dirayu oleh iblis dan syaitan hingga mereka terpedaya. Mereka merasakan bahawa amalan dan kepercayaan yang mereka lakukan itu adalah amalan yang baik dan benar.
Mendengarkan berita Hud-hud itu, Nabi Sulaiman telah berjanii akan menyelidiki kebenaran kata-kata tersebut. Setelah itu Nabi Sulaiman telah memerintahkan Hud-hud menghantar surat kepada Ratu Balqis.Baginda telah memanggil pembesar-pembesarnya apabila menerima surat yang menyuruhnya tunduk dan tidak membesarkan diri itu. Ratu Balqis mengatakan bahawa surat tersebut adalah surat mulia dari seorang raja yang besar lagi perkasa, yang memakai nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Para pembesar sepakat menjawab bahawa mereka mempunyai kelengkapan yang kuat dan cukup namun demikian segala keputusan terletak pada ratu sendiri.
Ratu Balqis telah mengambil keputusan untuk memberi hadiah kepada Nabi Sulaiman (an-Naml ayat 35), kerana menurut kebiasaannya hadiah itu boleh mempengaruhi keputusan seseorang. Menurut tafsir Ibn Abbas, Ratu Balqis berkata kepada para pembesarnya kalau hadiah itu diterima ini menunjukkan bahawa Nabi Sulaiman itu hanya seorang raja dan perlu diperangi. Jika hadiah itu ditolak ini menunjukkan bahawa ia adalah seorang yang perlu diikuti. Nabi Sulaiman telah menolak hadiah tersebut dan mengancam akan memerangi Ratu Balqis.
Setelah utusannya kembali semula ke Saba’, Ratu Balqis merasakan bahawa kerajaannya tidak berupaya hendak melawan Nabi Sulaiman. Tidak ada faedahnya kalau ia bersikap membesarkan diri. Kemudian baginda memerintahkan utusan itu kembali semula mengadap Nabi Sulaiman dengan berita ia akan segera datang bersama raja-raja dalam negerinya untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut tentang agama yang diperkatakannya itu. Setelah itu baginda pun memerintahkan pengawal-pengawal istana mengemas singahsana yang diperbuat daripada emas padu bertatahkan maknikam, batu zamrud, zabarzad dan mutiara itu untuk disimpan dalam sebuah peti besar tujuh lapis dan disuruh kunci serta dipelihara dengan baik agar tidak ada yang mendekati duduk di atasnya atau melihatnya sehingga ia kembali dari menemui Nabi Sulaiman. Kemudian baginda pun keluar menuju ke Sham bersama-sama rombongannya.
Semasa Ratu Balqis dalam perjalanan menuju ke istana Nabi Sulaiman, dalam masa yang sama, Nabi Sulaiman telah memerintahkan jin-jin melaporkan perjalanan tersebut. Setelah beberapa hari sahaja lagi rombpngan itu akan tiba ke istana Nabi Sulaiman, baginda telah bertanya kepada orang-orang besarnya jika ada di antara mereka yang boleh membawa singgahsana Ratu Balqis ke tempat Nabi Sulaiman sebelum ia datang menyerah diri menerima agama yang didakwahkan. Mendengarkan pertanyaan tersebut salah satu ifrit telah berjanji bahawa ia akan membawa singahsana Ratu Balqist sebelum Nabi Sulaiman berdiri dari tempat duduknya. Ifrit berjanii dengan mengatakan bahawa yang dikatakan itu adalah benar. Singahsana tersebut tidak akan rosak, tidak akan terdapat cacat cela barang sedikit pun terhadap singahsana tersebut biarpun antara Palastin dan Saba itu jaraknya beratus-ratus batu seperti yang tersebut dalam al-Quran
Surah an-Naml ayat 38 dan 39. (Maksudnya)
(Nabi Sulaiman) berkata, wahai orang-orang besar, siapakah di antara kamu yang akan membawakan singahsahanya sebelum dia datang kepadaku dalam keadaan berserah diri. Berkata ifrit (yang cerdik) daripada bangsa jin, aku akan datangkan kepadamu sebelum engkau berdiri dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku berupaya dan boleh dipercayai untuk melakukan demikian.
Mendengarkan janji ifrit sedemikian rupa, seorang lelaki alim ahli kitab bernama Asif bin Burkhya, yang dikatakan sebagai setiausaha peribadi Nabi Sulaiman telah sanggup mendatangkan singahsana tersebut sebelum mata Nabi Sulaiman berkelip. Kesanggupan ini termaktub dalam :-
Surah an-Naml ayat 40: (Maksudnya)
Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab, Aku akan datangkan singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkelip. Maka setelah dilihatnya singgahsana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: Ini adalah kurnia Tuhanku untuk menguji aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (alam nikmatnya). Dan barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, Lagi Maha Mulia.
Terdapat berbagai-bagai riwayat tentang lelaki ahli al-Kitab yang sanggup membawa singahsana Ratu Balqis dalam sekelip mata yang mencabar keupayaan ifrit tadi. Selain nama Asif tadi, ada riwayat mengatakan bahawa orang tadi ialah Nabi Hidir, manakala riwayat lain pula mengatakan bahawa orang itu sebenarnya ialah Nabi Sulaiman sendiri.

 

Biar apa perbezaan riwayat mengenainya, maksud sebenar yang perlu difahami di sini ialah ifrit yang tersebut dalam al-Quran ini adalah daripada jenis jin yang bijak dan mempunyai keupayaan luar biasa, yang umumnya kebijaksanaan seperti ini tidak dapat ditandingi atau dilakukan oleh manusia biasa. Namun demikian berdasarkan peristiwa tersebut ternyata bahawa manusia yang berilmu itu lebih bijak dan berupaya mengalahkan kekuatan ifrit yang begitu perkasa dan bijaksana. Jelasnya bahawa ifrit adalah daripada golongan jin. Di antara mereka ada yang bijak dan tidak bijak. Namun demikian, umumya tabiat ifrit adalah untuk merosakkan manusia. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ifrit pernah datang untuk menggoda supaya Rasulullah terputus daripada mengerjakan sembahyangnya:
Sesungguhnya ada satu ifrit daripada golongan jin mencuba ke atasku (lalu melintas di hadapanku) malam tadi untuk mengoda agar sembahyangku putus.

 

ALQURAN SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT


Abu Umamah r.a. berkata : “Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya
kami semua mempelajari Al-Qur’an, setelah itu Rasulullah S.A.W
memberitahu tentang kelebihan Al-Qur’an.

Gambar-Al-Quran-8
Telah bersabda Rasulullah S.A.W :” Belajarlah kamu akan Al-Qur’an, di
akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang
sangat memerlukannya.”
Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, ” Kenalkah
kamu kepadaku?” Maka orang yang pernah membaca akan menjawab :
“Siapakah kamu?”
Maka berkata Al-Qur’an : “Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan
juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di
waktu siang hari.”
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur’an itu : “Adakah kamu
Al-Qur’an?” Lalu Al-Qur’an mengakui orang yang pernah membaca
mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan
kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayah dan ibunya pula, yang muslim diberi perhiasan yang tidak
dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya
bertanya : “Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami
tidak sampai ini?”
Lalu dijawab : “Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari
Al-Qur’an.”

KISAH DUA ORANG ULAMAK


Oleh: Mohd. Khafidz bin Soroni
Kisah Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki dengan Syeikh ‘Abdur Rahman bin Sa’di

Suatu ketika Sayyid ‘Alawi duduk dalam halaqahnya di Haram Makki, dan sedang duduk di suatu sudut lain Syeikh ‘Abdur Rahman bin Sa’di, pengarang sebuah kitab tafsir. Orang ramai pula sedang bersolat dan bertawaf. Dan di langit awan mendung sedang berarak. Kemudian hujan pun turun. Air hujan yang turun di atas Kaabah mengalir keluar melalui saluran mizab. Lantas ramai orang bergegas ke mizab tersebut untuk mendapatkan air daripadanya. Lalu mereka membasahkan baju dan badan mereka dengannya sebagai mengambil berkat.

Melihat hal itu, sekumpulan ‘orang badwi’ menegah mereka kerana menyangka ianya adalah syirik. Kata mereka: “Jangan, wahai orang-orang musyrik,.. syirik, syirik!”. Lalu semua orang pun beredar dan menuju ke halaqah Sayyid ‘Alawi. Mereka bertanya tentang perkara tersebut, dan beliau mengharuskannya. Lantas orang ramai pun pergi sekali lagi ke mizab tersebut. ‘Orang-orang badwi’ tadi pergi kepada halaqah Syeikh ‘Abdur Rahman dan mengadu kepadanya. Lantas beliau pun pergi bertemu dengan Sayyid ‘Alawi. Maka ramai orang berkumpul kepada dua orang ulama tersebut.

Kata Syeikh Abdur Rahman: Betulkah tuan mengatakan kepada orang ramai bahawa dalam air hujan tersebut ada barakah? Jawab Sayyid ‘Alawi: Bahkan, ada dua barakah. Balas Syeikh Abdur Rahman: Macammana demikian? Jawabnya lagi: Kerana Allah Ta’ala berfirman dalam kitab-Nya mengenai hujan (ونزلنا من السماء ما ء مباركا) “Dan Kami turunkan daripada langit air yang diberkati”, dan mengenai Kaabah pula (إن أول بيت وضع للناس للذي ببكة مباركا) “Sesungguhnya rumah pertama Allah yang dibina untuk manusia ialah yang berada di Makkah lagi diberkati”. Maka sekarang terkumpul dua barakah; barakah air hujan dan barakah baitullah ini.

Mendengar itu, Syeikh Abdur Rahman merasa takjub: Subhanallah, macammana kami boleh lupa hal ini? Lalu beliau pun berterima kasih kepada Sayyid ‘Alawi dan meminta izin untuk beredar. Lantas kata Sayyid ‘Alawi: Nanti dulu ya syeikh, tidakkah kamu lihat ‘orang-orang badwi’ itu menyangka bahawa apa yang dibuat oleh orang ramai itu sebagai syirik? Mereka tidak berhenti mengkafirkan orang dan melontar mereka dengan tuduhan syirik, sehingga melihat orang yang seumpama tuan yang dapat menegah mereka. Pergilah ke mizab dan ambil air hujan tersebut di hadapan mereka agar mereka membiarkan orang ramai. Kemudian Syeikh Abdur Rahman pun pergi ke mizab dan mengambil sendiri air hujan itu sebagai mengambil berkat. Akhirnya ‘orang-orang badwi’ tadi meninggalkan orang ramai setelah melihat syeikh mereka berbuat demikian.

Syeikh Abdur Rahman bin Sa’di duduk di tengah-tengah.

Kisah ini telah diceritakan oleh Syeikh ‘Abdul Fattah Rawah al-Makki di dalam kitab Thabatnya. Lihatlah bagaimana akhlak para ulama dan keakuran mereka terhadap kebenaran apabila sudah nyata.

ENAM PERKARA YANG ALLAH SWT SEMBUNYIKAN


Allah SWT selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya sendiri dan berkata:

“Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.”

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. “Tidak”

Kemudian Jibrail a.s berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail a.s solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud.

“Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.’ Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.”

Kemudian Jibrail a.s berkata: “Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?”

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. “Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal…”

Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa. Setelah Jibrail a.s mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

“Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? ”

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. “Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan…. ..”

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan… Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

  1. Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

  2. Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

  3. Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

  4. Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

  5. Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

  6. Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

KAUM ‘AAD DIMUSNAHKAN ALLAH


Allah SWT mengutus Nabi Hud a.s kepada kaum ‘Aad yang menghuni daerah al-Ahqaf di sekitar Hadhramaut, Yaman. ‘Aad, suatu kaum yang dianugerahkan kelebihan daripada segi kekuatan tubuh badan, keelokan paras rupa dan kekuasaan, namun mereka berbuat syirik dan melakukan kezaliman dan menjajah hamba-hamba Allah.

Makam Nabi Hud a.s di Hadhramaut, Yaman.

Kaum ‘Aad berkata: Siapakah yang lebih besar kekuatannya daripada kami. (al- Fussilat: 15). Seperti halnya Nabi Hud, kaum ‘Ad juga merupakan keturunan Nabi Nuh, namun mereka tidak mengakui keesaan Allah SWT meskipun Nabi Hud telah memperingatkan mereka.

Oelh kerana itu, Allah SWT membinasakan mereka melalui azab-Nya. Allah mengisahkan perdebatan antara Nabi Hud a.s dengan kaumnya menerusi firman-Nya yang bermaksud:

Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum ‘Ad saudara mereka , Hud. Ia berkata: “Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada AIlah bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?” Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal, dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

Hud berkata: “Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku ini adalah utusan dari Rabb semesta alam.

Mereka berkata: “Apakah kamu datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah saja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh bapak-bapak kami, maka datanglah adzab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar.”

Ia (Hud) berkata: “Sungguh sudah pasti kamu akan ditimpa azab dan kemarahan dari Rabbmu. Apakah kamu sekalian hendak berbantah dengan aku tentang nama-nama (berhala) yang kamu dan nenekmu menamakannya, padahal Allah sekali-kali tidak menurunkan hujah untuk itu. Maka tunggulah (azab itu), sesungguhnya aku juga termasuk orang yang menunggu bersama kamu”. (al-‘Araaf: 65-71)

Bahkan mereka meminta didatangkan azab Allah sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka menjawab “Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari (menyembah) ilah-ilah kami? Maka datangkanlah kepada kami azab yang telah kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar”.

Setelah itu Allah mendatangkan azab yang membentang di ufuk pada waktu mereka amat memerlukan hujan. Datanglah awan yang mereka anggap sebagai tanda datangnya nikmat hujan yang mereka nantikan, namun ternyata adalah azab Allah kepada mereka.

Adakah ini imej kaum ‘Aad yang telah dimusnakan oleh Allah satu ketika dulu?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka:

“Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami”. (Bukan)! Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera, (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih, yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabbnya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa. (al-Ahqaf: 24-25)

Dalam ayat lain, iaitu dalam surat al-Haqqah ayat 6-8, Allah menjelaskan keadaan mereka, yang bermaksud:

Adapun kaum ‘Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus; maka kamu lihat kamu ‘Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tanggul-tanggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal di antara mereka.

Syaikh ‘Abdurrahman as-Sa’di mengatakan, setelah mereka menguasai dunia dan mencapai kemuliaan, semua keperluan hidup diperolehi, daerah dan kabilah di sekelilingnya tunduk kepada mereka, tiba-tiba Allah mengirim angin yang sangat dingin dan kencang saat hari-hari bencana tersebut agar mereka merasakan kehinaan di dunia dan azab akhirat lebih hina lagi.

Kaum Nabi Hud a.s dihancurkan Allah dengan angin yang sangat kencang dan cuaca teramat sejuk selama tujuh malam lapan hari, disebabkan kekufuran dan kemaksiatan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya.

KISAH LANGIT DENGAN BUMI


Adapun terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan langit. Berkata dia kepada langit, “Hai langit, aku lebih baik dari kamu kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara, beberapa laut, sungai-sungai, tanam-tanaman, beberapa gunung dan lain-lain.”

Berkata langit, “Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari, bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, ‘arasy, kursi dan syurga ada padaku.”

Berkata bumi, “Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang yang baik).”

Bumi berkata lagi, “Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam, seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari’atnya juga di tempatku.”

Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, “Ya Allah, Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga.”

Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, “Janganlah engkau (Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau ‘Izrail jangan engkau mencabut nyawa pada malam ini.”

Jibrail A.S. bertanya, ” Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?” Allah S.W.T berfirman, maksudnya, “Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan buraq itu.”

Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu lalu bertanya, “Mengapa engkau menangis, ya buraq?” Berkata buraq, “Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi. Aku laksana dibakar oleh api kerinduan.”

Berkata Jibrail A.S., “Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang engkau rindukan itu.”

Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu’alam. Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA


Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku.”
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuang tentera Islam.

Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, “Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa.”

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud,
Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung.”
Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.Seterusnya Khansa berkata,
Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal.”
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah.

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas- ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi.”
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,
“Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah.”
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi.”
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang- abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
Bukanlah aku putera Khansa’, bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana ‘Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku.”
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil saja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!”

 Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan ‘Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid.”