KETABAHAN ITU MILIK SIAPA?


Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung” (Al Imran – 200)

Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (Al-Baqarah – 45)

Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Al-Baqarah – 155)

Ketabahan merupakan satu perkara yang amat perlu dalam persediaan kita untuk mewujudkan hasrat untuk mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Akar umbi ketabahan ialah kekuatan. Kekuatan kehendak, kemahuan dan hasrat bila dipadukan akan menjadi satu gabungan kekuatan yang tidak akan dapat dikalahkan. Individu yang memiliki kehendak yang kuat,diseiringkan dengan daya ketahanan yang penuh ketabahan,melayakkan mereka sebagai latarbelakang penunjang keyakinan mereka,maka mereka seperti memperolehi sasaran tujuan mereka itu.

Sebahagian besar individu bersedia untuk melemparkan jauh-jauh sasaran dan tujuan mereka apabila mereka melihat gajala-gejala timbulnya halangan-halangan dan kegagalan dalam usaha mereka. Mereka segera menyerah ketabahan kepada keadaan. Hanya individu tertentu sahaja yang mampu maju terus ke hadapan meskipun menghadapi tribulasi yang hebat, akhirnya mereka berjaya mencapai cita-cita mereka.

Ibnu Qayyim berpendapat;

Tidak ada satu perkara yang amat susah daripada ketabahan dan kesabaran samada pada perkara yang disukai atau dibenci oleh individu, terutamanya apabila melalui detik-detik kesempitan dan kesusahan hidup ini setelah melayari hamparan kebahagiaan dan kesenangan,maka ketika itulah amat memerlukan bekalan untuk meneruskan perjalanan dan perjuangan hidup ini iaitu bekalan ketabahan di atas ketentuan Qada’ dan Qadar Allah SWT.”

MENGUJI DIRI ANDA DALAM SOAL KETABAHAN

Tidak memiliki daya tahan atau kurang bersikap tabah itu sering menjadi sebab utama kegagalan individu. Secara umumnya,ini adalah merupakan kelemahan yang banyak dialami oleh manusia. Sikap ini merupakan kelemahan yang tidak dapat diatasi oleh manusia itu sendiri. Sukar atau mudahnya mengatasi kekurangan daya tahan ini bergantung kepada besar atau kecilnya hasrat individu itu. Titik tolak daripada semua hasil yang akan dicapai ialah hasrat. Hendaklah berpegang teguh dan istiqamah dengan hasrat yang hendak dicapai. Hasrat yang lemah akan menghasilkan natijah yang lemah,ibarat nyalaan api yang kecil sehingga dapat mengeluarkan kepanasan yang kecil dan sedikit sahaja.

Kalau anda menemui diri anda dalam keadaan ‘kurang ketabahan’, kelemahan ini anda akan dapat atasi dengan cara membentuk hasrat yang lebih besar lagi dalam diri anda. Lantaran itulah, untuk melaksanakan cita-cita ke arah sasaran yang tepat memerlukan bahan bakar iaitu;  hasrat yang bernyala-nyala. Cita-cita tidak akan menjadi kenyataan apabila anda memilih sikap yang negatif, malas atau tidak bersemangat.

Apabila anda merasa diri anda lemah atau kurang bersemangat, maka yakinilah bahawa anda masih belum memiliki ‘kesedaran yang mendalam’  ke arah usaha untuk  mencapai kejayaan. Sewajarnya anda memiliki sifat ini terlebih dahulu sebelum anda yakin akan mendapatkan kejayaan dan merasai kemenangan dalam perjuangan hidup ini.

Sedarilah bahawa semua orang yang berjaya pada mulanya memang mengalami kehidupan yang pahit. Perjuangan memerlukan tenaga, menuntut pengorbanan agar boleh bertahan untuk hidup sebagai seorang muslim yang berjaya di dunia dan akhirat. Detik yang menentukan kekuatan seseorang ialah ketika dia mengalami krisis.

Sesungguhnya ketabahan memerlukan kesabaran. Kesabaran adalah natijah daripada mujahadah dalam diri individu itu. Sesiapa yang berjaya mempertahankan kesabarannya dengan ketaatan kepada Allah SWT,sabar menanggung kesulitan dan menjauhi maksiat, maka dia telah memiliki ketabahan hakiki dan akan mengecapi hasrat yang dikehendakinya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az Zummar:10)

MEMANJAT MELALUI TEMBOK KEGAGALAN

Seorang pujangga menasihatkan: “Di atas kegagalan anda semalam,binalah bangunan kehidupan untuk hari esok. Letakkan bata-bata tujuan yang teguh,sediakan puing-puing raksaksa dari kejatuhan yang silam. Ukirlah menara-menara keazaman yang hebat bagi membenam lembah-lembah airmata kehampaan.”

Segelintir manusia sedar bahawa berdasarkan pengalaman mereka betapa tingginya nilai ketabahan itu. Mereka adalah orang-orang yang menerima kegagalan itu sebagai satu keadaan yang sifatnya adalah sementara sahaja, begitu juga bagi mereka yang menghadapi mehnah dalam perjuangan. Mereka adalah orang-orang yang mempunyai hasrat yang kuat,sehingga ketabahan yang mereka terapkan itu akhirnya mengubah kegagalan dan mehnah perjuangan sebagai pendorong utama mencapai kejayaan yang gilang gemilang.

Hasil kejayaan samada:  individu yang jatuh terbenam dalam kegagalan yang tidak muncul kembali ke permukaan atau individu yang menerima kegagalan itu sebagai hukuman yang dapat mendorong mereka ke arah berusaha dengan lebih tekun lagi. Golongan kedua inilah sangat beruntung nasib mereka, kerana mereka belajar dan menerima kenyataan sebagai satu muhasabah dan pemangkin kejayaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan sesungguhnya akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah:155)

ANDA MAMPU MELATIH DIRI ANDA SENDIRI UNTUK BERSIKAP TABAH

Ketabahan adalah sikap yang berkaitan dengan minda dan spiritual individu, oleh sebab itulah setiap individu dapat membina dan memupuknya berdasarkan langkah-langkah tertentu,antaranya;

1. Adanya ketegasan dalam penentuan sasaran dan tujuan hidup

Langkah pertama yang paling penting untuk dapat membina dan memupuk sikap tabah ialah apabila kita benar-benar menyedari apa yang kita ‘kehendaki’ dan ‘ingin capai’, ‘sebab’ sesuatu motif yang kuat itu sehingga dapat mendorong seseorang untuk mengatasi segala kesusahan.

2. Mempunyai hasrat yang bernyala-nyala

Apabila kita memiliki hasrat yang kuat untuk memperolehi sesuatu matlamat, maka dengan mudah sahaja kita mendapatkannya serta mempertahankan sikap tabah supaya sentiasa dapat bertahan.

3. Memiliki rasa percaya kepada diri sendiri

Apabila memiliki rasa percaya kepada diri sendiri untuk melaksanakan sesuatu perancangan,ini akan mendorong individu untuk melaksanakan sehingga selesai dengan sepenuh ketabahan hati dan fikiran tanpa tergugat.

4. Kemampuan menyusun perancangan yang jelas lagi tegas

Perancangan yang tersusun rapi, sekalipun mempunyai banyak kelemahan kerana kurang praktikal akan memberi landasan yang kuat bagi seseorang untuk bersikap tabah mengatasi segala kesulitan.

5. Menguasai ilmu pengetahuan dengan cermat

Apabila seseorang itu menguasai selok belok perancangan yang jelas,samada berdasarkan pengalamannya atau pengamatannya sendiri,maka pengetahuan yang dia miliki itu dapat mendorong kepada satu sikap yang berani dan tabah. Sebaliknya dengan pengetahuan yang serba kekurangan hanya akan lebih banyak meneka sahaja dan bukan menunaikan tugasnya berdasarkan ilmu pengetahuan yang dikuasainya. Dengan menguasai ilmu pengetahuan itu secara mantap,maka dia dapat menikmati daya tahu yang mantap.

6. Menjalin kerjasama yang erat dengan orang lain

Sikap ini akan dapat memupuk daya tahan yang kuat dalam dirinya. Untuk itu sewajarnyalah membina rasa simpati,saling memahami dan kerjasama yang harmonis dengan orang lain.

7. Memiliki daya kemahuan yang kuat

Dengan memiliki satu tujuan yang tegas dan jelas,seseorang itu akan memilih daya tahan yang kuat dalam memperjuangkan tujuan itu berdasarkan kemahuan yang kuat.

8. Memupuk kebiasaan yang kuat

Ketabahan itu sebenarnya adalah natijah daripada sesuatu kebiasaan. Kebiasaan itu kita jadikan sebahagian daripada pengalaman seharian kita yang merupakan unsur pembentukan kebiasaan yang kuat itu. Contohnya: rasa takut adalah musuh yang paling utama dan bahaya daripada semua musuh rohaniah kita, kita hapuskanlah secara efektif dengan memintasnya berulangkali dengan sikap keberanian.

MEMBENTUK KEBIASAAN UNTUK MEMILIKI KETABAHAN

Untuk mencapainya hanya dua perkara yang diperlukan ialah masa dan usaha. Langkah yang diperlukan:

  1. Satu tujuan yang pasti,yang didukungi oleh hasrat yang bernyala-nyala untuk memenuhinya.
  2. Satu perancangan yang jelas yang dizahirkan dalam bentuk tindakan yang berterusan.
  3. Satu fikiran jalan yang tertutup kepada semua pengaruh yang negatif dan mematahkan semangat.
  4. Mengadakan jalinan yang baik dengan seseorang atau golongan individu yang sentiasa memberi semangat kepada nada baik dalam perancangan mahupun tujuan.

Langkah yang berharga ini merupakan jaminan tiket untuk memasuki gelanggang imbalan yang cukup mahal  harganya bagi apa yang kita cita-citakan dalam hidup kita.

IDOLA KETABAHAN

Rasulullah SAW merupakanpemimpin terunggul dan kaunselor yang terbijak didunia. Ketabahan baginda SAW dengan memiliki kemantapan iman,keikhlasan yang tinggi kerana Allah SWT serta kesungguhan usaha dan konsep tawakkal yang hakiki telah mencetuskan kejayaan kepada masyarakat Islam dan menggemilangkan Islam seantero dunia. Suntikan ketabahan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW ini telah melahirkan Generasi Rabbani yang tahan uji,istiqamah dengan prinsip perjuangan dan memiliki motivasi yang timggi untuk maju di dunia dan akhirat serta berjaya menggenggam dunia di tangan mereka dan meletakakn akhirat di hati mereka.

Natijahnya,manusia melihat hamparan keizzahan Islam yang menghijau di bumi ini dengan beridolakan Nabi Muhammad SAW dan berpegang teguh  dengan Al Quran dan Sunnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman,sedangkan mereka tidak diuji?.” (Al Ankabut:2)

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga,padahal masih belum nyata bagi orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” (Al Imran:142)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Orang yang banyak mengalami ujian ialah para anbiya’,kemudian yang lebih mulia-mulia,kemudian mulia-mulia. Seseorang itu akan diuji mengikut agamanya. Jika dia kuat berpegang dengan agamanya maka ujiannya adalah hebat(kuat). Jika agamanya lembut maka ujian adalah mengikut kadar agamanya itu.”

Rujukan: Alquran & Hadis.
Rakaiz Ad dakwah – Dr.Majdi Hilali
Rukun Kejayaan   –  Imran Jaafar

Advertisements

SOLAT KHUSYUK JIWA TENANG


Oleh Idris Musa

Harian Metro

Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.

Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa’: 103)

Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.

Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.

Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad, berkata solat sangat dituntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir.

Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (HR Thabrani)

Syeikh Ismail menegaskan, banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.

“Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.

“Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah,” katanya.

Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud:

Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

Katanya, Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati.

Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam surah Thaaha, ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud: “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Syaikh Ismail berkata, solat dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran.

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)

Katanya, untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.

“Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.

“Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah,” katanya.

Katanya, solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.

“Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya,” katanya.

Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud:

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Sumber: Harian Metro

AKAL DAN NAFSU


Oleh: Ustaz Hassan Adli B. Haji Othman

Yang pertama-tamanya marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah Ta’ala kerana kita semua dilahirkan dalam keadaan sudah dianugerahkan akal dan nafsu. Kedua-dua perkara tersebut amatlah penting bagi manusia. Kalau kurang satu je daripada kedua tu pun da susah dibuatnya kita. Cubalah bayangkan kita dilahirkan dalam keadaan tidak berakal, alamatnya jadi orang tiga suku la kita(orang gila la). Kalau tak ada nafsu pun sama la juga. Hidup pun cam zombi jek, apa yang dilihat semua tak membawa makna bagi diri kita.

Orang hulur kek ke, mee goreng ke, pizza ke, semua bagi dia cam tengok batang kayu je. Tak rasa apa-apa pun. Kalau ada nafsu tapi tak pandai kawal pun masalah juga. Semua yang dia rasa nak dia gomo je, yang penting kehendak nafsu dia tercapai. Tak fikir da halal haram makruh sunat ke apa semua, yang penting dapat. Ish2..ni la yang orang kata binatang bertopengkan manusia. Ye la, da kalau hidup ni nak puas nafsu je, kan sama je ngan binatang tu. Dorang kan hidup tak diamanahkan apa-apa,maka boleh la nak ikut suka je apa nak buat.

Dalam Qur’an kalimah akal diulang sebanyak 29 kali. Tapi bukanlah semua kalimah tersebut bunyinya akal juga, akal tu disebutkan dalam perkataan lain tapi para ulama’ menafsirkannya sebagai akal.(paham x nih? x faham kontek penulis) Antara ayat Qur’an yang menyentuh tentang akal ialah firman Allah yang mana ertinya:-

Padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar kalam Allah(taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya,sedangkan mereka mengetahui(bahawa perbuatan mereka itu salah)?” (Al-Baqarah:75)

Kalau kita bandingkan manusia dengan robot,atau manusia dengan binatang, sebenarnya tak adalah jauh berbeza sangat pun. Manusia ada kaki, robot pun ada kaki, binatang pun ada kaki. Manusia ada kepala, robot pun ada kepala juga, macam tu la juga binatang, lebih kurang je dorang semua tu(cam la penulis bukan manusia juga,hu2..)

Cuma yang membezakan antara mereka semua adalah akal yang dimiliki oleh manusia. Akal yang dimiliki oleh manusia tidak dimiliki oleh binatang, robot, kayu, batu dan sebagainya. Dek kerana akallah manusia dimuliakan,oleh kerana akal jugalah manusia diagungkan. Lihat, betapa besar pengaruh akal pada manusia. Tujuan utama akal dikurniakan pada manusia adalah untuk mengenal Allah S.W.T, mengenal rasul-rasulnya,mengenal kitab-kitabnya dan pelbagai lagi ilmu-ilmu islam yang perlu diketahui sebagai landasan pada manusia untuk terus kekal berada di jalan yang lurus yang akan membawanya pada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kita semua dilahirkan bukanlah sekadar memenuhi muka bumi Allah Ta’ala,juga bukanlah sekadar untuk bersuka-ria memenuhi nafsu syahwat dengan membuta-tuli, tapi kita dilahirkan membawa satu amanah yang perlu kita laksanakan. Satu amanah yang mana satu ketika nanti kita semua akan disoal kembali tentang amanah-amanah tersebut. Firman Allah Ta’ala yang mana maksudnya:-

Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Az-Zariyat:56)

Nafsu juga merupakan satu anugerah yang amat bernilai bagi manusia. Dengan nafsulah manusia dapat memahami apa yang dikatakan nikmat,apa yang dikatakan lazat dan apa-apa lagilah yang menbawa kepada rasa ‘best’. Dengan nafsu manusia dapat merasai lazatnya ayam bakar,dengan nafsu manusia dapat merasa manisnya teh tarik mamak, tapi dengan bantuan lidah la, kalau tak ada lidah tak dapat juga nak rasa apa-apa. Tapi kena ingat! Secara garis besarnya nafsu memang akan membawa kita pada kejahatan dan kemaksiatan. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:-

Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan”. (Yusuf:53)

Adapun nafsu manusia itu mempunyai tiga tingkatan iaitu:-

  1. Nafsu Ammarah iaitu nafsu yang membawa pada keburukan
  2. Nafsu Lawwamah iaitu nafsu yang mencela
  3. Nafsu Mutma’innah iaitu nafu yang tenang lagi tenteram

Perbezaan antara nafsu dan akal itu amatlah besar. Nafsu sentiasa menginginkan kenikmatan tanpa mengira batasan syara’ manakala akal sentiasa membawa manusia pada perbuatan yang rasional, yang mengikut landasan syara’. Di situlah terletaknya fungsi akal. Sentiasa mengawasi nafsu agar sentiasa menuju ke arah kebaikan. Ibaratnya nafsu sebagai anak kecil yang buas dan akal sebagai ayah yang sentiasa menjaga anaknya dari apa-apa perkara yang membahayakan anaknya.

Sebagai kesimpulan, kita perlulah memastikan agar nafsu kita sentiasa menuruti akal. Kita perlu mendidik nafsu sehingga segala kehendak nafsu akan seiring dengan akal, seiring dengan landasan syara’. Moga-moga segala mujahadah yang kita lakukan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.

Wallahu’alam..

MENGHAYATI AIDIL FITRI


Pada ketika ini kita semua sedang dalam keadaan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri. Berziarah dan kunjung mengunjung, membuat rumah-rumah terbuka, menjamu sanak saudara dan sahabat handai.

Begitulah kebiasaan atau tradisi kita menyambut lebaran. Semoga kita menyambut Aidilfitri ini mengikut seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan.

Antara perkara yang dianjurkan oleh syara’ itu ialah :-

Pertama – bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan sewajarnya dilakukan dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.

Kedua – kunjung mengunjung ( berziarah ) tanda persaudaraan dan silaturrahim. Mengujudkan hubungan silaturrahim ini merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mengujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam riwayat Al-Imam At-Tarmizi :- Maksudnya :-

Hubungan silaturrahim adalah jalinan daripada tuhan yang pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah memutuskan hubungan dengannya.

Dalam pada itu patut kita ingat bahawa dalam kita asyik mengadakan kunjungan itu, janganlah pula sampai tertinggal sembahyang atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam seperti bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Ketiga – selain ziarah menziarahi di hari yang mulia ini, marilah kita sambut dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahu pun pakaian, jangan sampai wujud pembaziran yang akan menyebabkan kita menanggung beban dikemudian hari. Hari raya ini bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wataala dan hubungan kita sesama makhluk. Ingatlah akan Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali-Imran ayat 112 :-

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ۚ ذَ‌ٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿١١٢﴾

Mereka diliputi kehinaan dimana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali ( agama ) Allah dan tali perjanjian dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka mengingkari dengan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui.

Keempat – janganlah hendaknya ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan.

PUASA SYAWAL SEMPURNAKAN RAMADHAN


Oleh IBRAHIM ABDULLAH

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud:

Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh (riwayat Muslim).

Salah satu pintu kebaikan adalah berpuasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Mahukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai (riwayat Tirmizi).

Hadis ini menegaskan bahawa puasa merupakan perisai bagi Muslim baik di dunia mahu pun akhirat. Di dunia, puasa adalah perisai daripada perbuatan maksiat, sedangkan di akhirat adalah perisai daripada api neraka.

Justeru, untuk mendapatkan kecintaan Allah SWT, lakukanlah puasa sunat setelah melakukan yang wajib. Di antara puasa sunat yang Nabi anjurkan selepas melakukan puasa Ramadan adalah puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa ini mempunyai keutamaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Ayyub al-Ansari mengatakan Nabi bersabda bermaksud:

Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh (riwayat Muslim).

Pada hadis ini terdapat dalil tegas tentang dianjurkannya berpuasa enam hari di bulan Syawal dan pendapat inilah yang dipilih oleh mazhab Syafie, Imam Ahmad dan Abu Daud serta yang sependapat dengan mereka. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah menyatakan makruh.

Namun pendapat mereka ini lemah kerana bertentangan dengan hadis yang tegas di atas (rujuk Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim).

Puasa Setahun Penuh

Daripada Thauban, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

Barang siapa berpuasa enam hari setelah hari raya Aidilfitri, maka dia seperti berpuasa setahun penuh. Barang siapa berbuat satu kebaikan, maka baginya sepuluh kebaikan semisal. (riwayat Ibnu Majah dan disahihkan oleh Sheikh al-Albani dalam Irwa’ul Ghalil).

Orang yang melakukan satu kebaikan akan mendapatkan 10 kebaikan yang sama. Puasa Ramadan adalah selama sebulan bererti akan semisal dengan berpuasa 10 bulan. Puasa Syawal adalah enam hari bererti akan semisal dengan 60 hari yang sama dengan dua bulan.

Kerana itu seseorang yang berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari di bulan Syawal akan mendapatkan puasa seperti setahun penuh (rujuk Syarh an-Nawawi ‘ala Muslim).

Cara Melakukan Puasa Syawal

Imam Nawawi dalam Syarh Muslim mengatakan: “Para ulama mazhab Syafie menyatakan bahawa paling afdal melakukan puasa Syawal secara berturut-turut (sehari) selepas solat Aidilfitri. Namun jika tidak berurutan atau diakhiri hingga akhir Syawal maka seseorang tetap mendapatkan keutamaan puasa Syawal setelah sebelumnya melakukan puasa Ramadan.”

Sebab itu boleh berpuasa Syawal tiga hari selepas Aidilfitri misalnya, baik secara berturut-turut ataupun tidak, kerana dalam hal ini ada kelonggaran. Bagaimanapun, jika seseorang berpuasa Syawal hingga keluar waktu (bulan Syawal) kerana bermalas-malasan, ia tidak akan mendapatkan ganjaran puasa Syawal.

Jika seseorang itu ada keuzuran (halangan) seperti sakit, dalam keadaan nifas, sebagai musafir, sehingga tidak berpuasa enam hari di bulan Syawal, maka boleh mengqada (mengganti) puasa Syawal di bulan Zulkaedah (rujuk Syarh Riyadhul Salihin).

Tunaikan Qada Terlebih Dahulu

Lebih baik bagi seseorang yang masih memiliki qada puasa Ramadan untuk menunaikannya terlebih dahulu sebelum melakukan puasa Syawal. Ini kerana tentu sahaja perkara wajib haruslah lebih dahulu diutamakan daripada perkara sunat.

Alasan lainnya kerana dalam hadis di atas Nabi SAW mengatakan bermaksud: “Barang siapa berpuasa Ramadan.”

Jadi apabila puasa Ramadan belum sempurna kerana masih ada tanggungan puasa, maka tanggungan tersebut harus ditunaikan terlebih dahulu agar mendapatkan pahala seperti setahun penuh.

Apabila seseorang menunaikan puasa Syawal terlebih dahulu dan masih memiliki tanggungan puasa Ramadan, maka puasanya dianggap puasa sunat mutlaq (puasa sunat biasa) dan tidak mendapatkan ganjaran puasa Syawal kerana kembali kepada perkataan Nabi SAW tadi: “Barang siapa berpuasa Ramadan (rujuk Syarhul Mumthi’).”

Untuk berpuasa sunat selain puasa Syawal, maka boleh mendahulukannya sebelum mengqada puasa yang wajib selama masih ada waktu lapang untuk menunaikan puasa sunat tersebut. Puasa sunatnya tetap sah dan tidak berdosa.

Perlu diingat, menunaikan qada puasa wajib tetap lebih utama daripada melakukan puasa sunat. Ini yang ditekankan oleh Sheikh Muhammad bin Salih al-Usaimin dalam kitab Syarhul Mumthi’ kerana ada kekeliruan dalam permasalahan ini.

Niat Dan Membatalkan Puasa

Mengenai soal niat dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim. Rasulullah pernah masuk menemui keluarganya lalu menanyakan: “Apakah kamu memiliki sesuatu (yang biasa dimakan?).” Mereka berkata: “Tidak.” Kemudian Rasulullah mengatakan: “Kalau begitu sekarang saya berpuasa.”

Daripada hadis ini bererti seseorang boleh berniat di siang hari ketika melakukan puasa sunat. Nabi SAW juga kadang-kadang berpuasa sunat tetapi kemudian membatalkannya sebagaimana dikatakan Saidatina Aisyah dan terdapat dalam riwayat an-Nasa’i (rujuk Zadul Ma’ad).

Semoga kaum Muslimin dapat menyempurnakan ibadah puasa Ramadan dengan menunaikan ibadah puasa sunat Syawal. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada kita agar mampu menjalankan ibadah ini secara sempurna.

Sumber: Bicara Agama Utusan Malaysia 7 Sept, 2011.

TAUBAT MEMBERSIHKAN DIRI


Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’ : Ayat 17)

Islam menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan ini, barulah Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Walaubagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, kadang-kadang ada manusia yang tersungkur dan rebah akibat tergoda ajakan hawa nafsu bergelora.

Atau terjebak dalam kancah maksiat yang memperdayakan pandangan mata hati, akhirnya terpalit noda hitam dalam lubuk jiwanya. Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi menerangi hatinya yang tercalit karat dosa.

Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan diri daripada dosa membayangi dirinya.

Imam al-Raghib al-Ashfahani menerangkan: “Dalam istilah syarak, taubat ialah meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang pernah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang ditinggalkan dulu. Jika keempat-empat perkara itu sudah dipenuhi, bermakna syarat taubatnya sudah pun sempurna.”

Justeru, dapat difahami taubat mempunyai peranan untuk membersihkan diri daripada dosa. Oleh sebab itulah, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki makrifatullah.

Dengan taubat, manusia dapat memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat yang merugikan, seterusnya mempertingkatkan keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan segala bentuk ketaatan penuh keikhlasan hanya kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.” (Hadis Riwayat Darimi)

Allah berfirman dalam Surah Al-Tahrim, ayat 8 yang bermaksud:

Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

Perlu diinsafi, taubat tidak memadai hanya sekadar manis di bibir dengan melafazkan ucapan saja, selepas itu mengulangi semula perbuatan dosanya buat kesekian kalinya. Taubat yang sebenar menuntut seseorang melakukan lebih daripada itu.

Lanjutan itu, betapa perlunya kehidupan Muslim dihiasi amalan muhasabah dan menilai diri supaya dengan amalan itu dia dapat mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup. Kemudian, disusuli pula dengan amalan soleh yang bakal memperkuatkan ketahanan diri dan menggilap kemantapan jiwa menepis segala bentuk dugaan dan godaan mendatang.

Apabila ditinjau sirah Rasulullah SAW, Baginda adalah contoh teladan terbaik menjadi ikutan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan akan datang.

Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah:

Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

WUDHUK ZAHIR DAN BATIN


Oleh: Hassan Adli B. Haji Othman

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama HatimAl-Assam dan bertanya, “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?”

Hatim berkata, “Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu? “

Hatim berkata,”Wudhuk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air”.

Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

  1. Bertaubat
  2. Menyesali dosa yang telah dilakukan
  3. Tidak tergila-gilakan dunia
  4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya ‘ )
  5. Tinggalkan sifat berbangga
  6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu
  7. Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan”:

  1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,
  2. Syurga di sebelah kananku,
  3. Neraka di sebelah kiriku,
  4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan
  5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘ Siratalmustaqim ‘ dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun. Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Untuk munafaat kita bersama, Tolonglah sampaikan artikel ini kepada sahabat-sahabat. Sabda Nabi, ilmu itu milik Tuhan, barang siapa menyebarkan ilmud demi kebaikan, InsyaAllah Tuhan akan menggandakan 10 kali kepadanya. Wa Salam Ukhwah

%d bloggers like this: