• SELAMAT DATANG

    Asalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 68 other subscribers
  • KLIK PAUTAN

KONSEP TASAWWUF MENURUT KACAMATA AHLI SUFI


KONSEP TASAWWUF MENURUT KACAMATA AHLI SUFI*

Oleh: Dr. Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi**
Universiti Darul Iman Malaysia

Pendahuluan

Tasawuf merupakan satu cabang ilmu keislaman yang sudah diakui kebenarannya. Dari segi penamaan, ia ternyata baru muncul dalam dunia Islam. Namun hakikatnya tasawuf itu sudahpun wujud di zaman Nabi s.a.w. dan lebih dikenali dengan nama ilmu ihsan, ilmu nafi`, ilmu batin atau ilmu di dalam hati (fi al-qalb). Nama tasawuf hanya mula muncul di zaman pengkelasan ilmu. Ilmu ini semakin hari semakin dipinggirkan, bahkan ia merupakan ilmu yang mula-mula akan pupus dari jiwa manusia. Mengenai ilmu ini `Ubadah bin Samit menjelaskan “sekiranya engkau ingin tahu, akan aku khabarkan kepadamu ilmu yang mula-mula diangkat dari manusia, iaitu al-khusyu`”. Tulisan ini akan menjelaskan mengenai ilmu tasawuf tersebut dengan memberikan tumpuan kepada konsep dan kedudukannya dalam Islam, cara mencapainya dan juga peranannya.

Beberapa Tanggapan Yang Kurang Tepat Mengenai Tasawuf

Tasawuf seringkali disalahfahami dan dijelaskan secara yang mengelirukan. Gambaran-gambaran yang diberikan terhadap tasawuf adakalanya bersifat menakutkan, sukar atau mustahil dicapai atau menyentuh sudut-sudut tertentu tasawuf itu. Hal ini selalunya terjadi apabila tasawuf itu dihuraikan oleh orang yang tidak berkeahlian serta tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi mengenainya, atau orang yang sememangnya tidak menyukai tasawuf, atau mereka yang terpengaruh dengan ulasan-ulasan yang diberikan oleh pengkaji-pengkaji tasawuf semata-mata tanpa menyelami dan menghayatinya dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri atau orientalis barat.

Antara gambaran yang selalu diberikan kepada tasawuf ialah semata-mata kemuliaan akhlak, tiada yang lain dari itu. Penelitian terhadap definisi tasawuf yang diberikan oleh para ulama mendapati bahawa di antara definisi itu ada yang menyentuh kemuliaan akhlak, namun tokoh yang sama juga ada memberikan definisi lain yang menyentuh sudut yang lain pula. Hal seperti ini selalu terjadi dalam tasawuf dan ini berdasarkan kepada kaedah yang diketahui umum di kalangan ahli tasawuf iaitu sesuatu jawaban itu adalah berdasarkan kepada situasi orang yang bertanya. Mengaitkan tasawuf dengan akhlak adalah betul, kerana tasawuf itu tidak dapat dipisahkan dari akhlak di mana ia merupakan buah atau hasilnya, tetapi menggambarkan tasawuf sebagai semata-mata akhlak adalah tidak tepat. Ini kerana kedapatan dari kalangan ahli falsafah yang menjuarai, membela dan memperjuangkan akhlak ini, namun mereka buka ahli sufi. Begitu juga ditemui orang-orang yang berakhlak mulia, tetapi mereka sendiri tidak beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Tasawuf juga selalu dikaitkan dengan kezuhudan yang merujuk kepada makna ketiadaan pemilikan atau membuang, menolak serta menjauhkan diri dari perkara-perkara keduniaan. Gambaran itu ternyata tidak tepat, meskipun ditemui definisi yang diberikan oleh sebahagian ulama tasawuf yang menyentuh sudut kezuhudan ini. Ternyata bahawa kezuhudan sebenar yang mereka maksudkan ialah kezuhudan jiwa. Ini kerana dari kalangan mereka ada yang merupakan golongan hartawan dan hidup kaya seperti Sayyiduna `Uthman ibn `Affan r.a. yang disifatkan oleh ahli tasawuf sebagai orang yang berada pada maqam tamkin. Kalaulah tasawuf itu memestikan seseorang itu membuang duniawi sehingga tidak memiliki apa-apa, bererti mereka itu tidak tergolong dalam golongan ahli tasawuf yang diakui. Adapun ahli tasawuf yang memilih hidup dalam suasana kezuhudan, mereka itu berbuat demikian kerana beberapa sebab, antaranya kerana mereka secara kebetulan merupakan orang-orang miskin, atau mereka sedang menjalani riyadah ruhaniyyah, atau kerana jiwa mereka sedang mengalami dhawq yang cenderung kepada gaya hidup zuhud.

Tasawuf juga selalu digambarkan sebagai peribadatan lahiriah, iaitu ahli tasawuf itu ialah orang yang menekuni ibadat khusus seperti solat, puasa, qiyam al-lail, zikir dan sebagainya, dan menghabiskan masa dengan ibadat itu sahaja tanpa memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lain dari itu. Gambaran itu juga tidak tepat meskipun terdapat definisi tasawuf yang menyentuh sudut peribadatan ini. Sememangnya ahli tasawuf itu suka menekuni ibadat sebagai bukti pengabdian diri mereka terhadap Allah. Namun tidak semua dari kalangan ahli tasawuf itu yang kehidupan mereka bercorak peribadatan lahiriah semata-mata seperti yang terlihat pada gambaran kehidupan golongan `ubbad/nussak, bahkan ditemui dari kalangan ahli tasawuf itu yang selalu sibuk dengan pelbagai urusan kehidupan, seperti Sayyiduna Abu Bakr al-Siddiq r.a. yang disifatkan oleh ahli tasawuf sebagai orang yang terawal mengeluarkan ungkapan yang mengandungi isyarat sufi.

Selain itu tasawuf juga sering digambarkan sebagai kecenderungan dan usaha memperolehi kekeramatan yang merujuk kepada pengertian kejadian luar biasa. Menggambarkan tasawuf seperti ini ternyata tidak tepat dan mengelirukan sekalipun ia biasa terjadi di kalangan ahli tasawuf. Terjadi perkara-perkara yang menyalahi adat kebiasaan pada diri ahli tasawuf itu bukanlah satu kemestian bahkan perkara luar biasa juga boleh terjadi pada orang yang terlibat dengan kekufuran dan kesyirikan seperti pendita, petapa dan ahli sihir. Ahli tasawuf yang sebenar tidak memberikan tumpuan kepada perkara seperti itu, malah apa yang menjadi tumpuan mereka ialah kekeramatan ilmu, iman dan taqwa. Inilah pendirian para ulama tasawuf ternama seperti al-Qushayri, al-Tustari, al-Tusi, al-Shadhili, Ibn al-`Arabi dan lain-lain. Oleh itu memahami tasawuf sebagai usaha mencapai kejadian luar biasa adalah suatu kekeliruan.

Pengertian Tasawuf Menurut Ahlinya

Menggambarkan tasawuf dengan gambaran akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah semata-mata seperti yang telah dijelaskan, ternyata tidak tepat dan tidak menggambarkan intipati serta gambaran menyeluruh tentang tasawuf itu. Pengertian sebenar tasawuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”. Ternyata bahawa hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Pencapaian mushahadah inilah yang akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat dan dari sini jugalah timbulnya berbagai persoalan ilmu tasawuf.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati dari sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain dari Allah dari lubuk hati dan nyata kebenaran Allah di cermin hati itu (tajalli) iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

Pengertian tasawuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Menurut beliau, tasawuf itu ialah pembersihan hati (tasfiyah) dari sesuatu yang lain dari Allah. Menurut beliau, tasawuf itu diambil dari perkataan safa (musafat) iaitu bermaksud orang yang Allah bersihkan batinnya. Pengertian ini jugalah yang ditemui pada definisi tasawuf yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Bakr al-Kattani. Menurut beliau, tasawuf itu ialah kejernihan hati (safa’) dan penyaksian batin (mushahadah). Shaykh Ahmad Zaruq pula menjelaskan bahawa tasawuf telah dihurai, ditafsir dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu, semua itu terhimpun pada satu pengertian sahaja iaitu benarnya tawajjuh hati kepada Allah. Permulaan tawajjuh hati itu ialah terhasilnya intibah (kesedaran jiwa) yang membawa kepada taubah yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai maqamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dari-Nya. Di sinilah terhasilnya mushahadah dan inilah kemuncak ihsan.

Kedudukan Tasawuf Dalam Islam

Tasawuf adalah maqam ihsan. Ia merupakan sebahagian dari tiga bahagian utama agama iaitu islam, iman dan ihsan. Ketiga-tiga rukun agama ini dapat dilihat dengan jelas dalam hadis Jibril a.s. Ketika Jibril a.s. datang menemui Nabi s.a.w. dalam rupa seseorang yang tidak pernah dikenali oleh para sahabat, beliau telah mengemukakan beberapa pertanyaan mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Pertanyaan itu sebenarnya merupakan suatu perkhabaran iaitu bertujuan mengkhabarkan kepada umat tentang rukun-rukun agama. Perkara ini dapat dilihat di mana Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa “ Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu tentang agama kamu”.

Dari penjelasan Nabi s.a.w. terhadap pertanyaan Jibril jelas menunjukkan bahawa Islam itu merujuk kepada amalan lahiriah iaitu perlaksanaan terhadap perintah-perintah agama yang berpaksi pada lima rukun utamanya iaitu shahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Iman pula merujuk kepada keyakinan hati terhadap rukun-rukun iman yang berpaksi pada enam rukun utamanya itu kepercayaan kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari akhirat dan qada’ serta qadar. Manakala ihsan pula merujuk kepada amalan batin manusia iaitu penyaksiaan hati terhadap hadrat ilahi. Oleh itu islam melibatkan anggota lahiriah manusia, iman pula melibatkan anggota dalaman manusia iaitu hati, manakala ihsan pula merupakan gerak jiwa manusia.

Iman itu boleh diumpamakan sebagai tapak binaan, islam itu sebagai binaan asas, dan ihsan itu pula ialah pelengkap, penyempurna dan penyeri binaan. Tanpa iman, binaan tidak akan terbina kerana ketiadaan tapak. Tanpa islam, bererti hanya memiliki tapak tanpa ada binaan. Tanpa ihsan, bererti hanya memiliki tapak dan binaan asas tanpa pelengkap dan penghiasnya. Kesempurnaan hanya tercapai dengan ketiga-tiga perkara itu. Memiliki tapak semata-mata tanpa ada bangunan menjadikan seseorang itu merasai keperitan kepanasan matahari dan kesejukan hujan. Demikian juga orang yang hanya beriman tanpa melaksanakan tuntutan islam akan diazab di akhirat sekiranya dosa-dosanya itu tidak diampunkan Allah, namun kesudahannya dia tetap ke syurga juga kerana keimanannya itu. Memiliki tapak dan binaan asas pula menjadikan seseorang itu dapat berteduh namun tempat berteduhnya itu tidak sempurna kerana tidak memiliki kelengkapan dan hiasan, malahan seringkali terdedah kepada kecurian. Demikian juga orang yang beriman dan melaksanakan tuntutan islam tetapi tidak berihsan, amalan yang dilakukan itu kurang sempurna malahan kadang-kadang amalan tersebut tidak diterima dan mengundang kemurkaan Allah. Perkara seumpama inilah yang dapat dilihat pada firman Allah yang bermaksud “celakalah bagi orang yang bersolat”.

Tasawuf sebenarnya merupakan saripati atau jiwa agama. Dengannya agama itu dapat dirasai kebenaran dan kemurniannya. Ia merupakan penyempurna kepada agama itu sendiri di mana ia memberikan nilaian tambahan terhadap keimanan dan keislaman. Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “iman yang paling utama ialah bahawa engkau mengetahui bahawa Allah itu menyaksikan engkau di mana sahaja engkau berada”. Hadis ini menunjukkan bahawa iman itu mempunyai tingkatan yang berbeza, dan tingkatan iman yang paling utama ialah iman yang didasari atas pengetahuan dan penyaksian terhadap hakikat tilikan Allah serta taklukan sifat-sifat-Nya terhadap diri manusia. Inilah yang dikatakan ihsan seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Iman itu boleh diumpamakan sebagai tapak binaan, islam itu sebagai binaan asas, dan ihsan itu pula ialah pelengkap, penyempurna dan penyeri binaan.

Cara Mencapai Tasawuf

Menurut Imam al-Ghazali, setiap maqam agama itu seperti taubat, sabar, syukur, reda, tawakkal dan sebagainya, adalah terdiri dari tiga perkara iaitu ilmu, amal dan hal (nur). Dengan ketiga-tiga perkara inilah tercapainya kesempurnaan maqam agama itu. Hal atau nur inilah merupakan intipati ilmu tasawuf. Ilmu diperolehi menerusi pengkajian dan pembelajaran dan ilmu itu pula menghendaki pengamalan. Amal yang jujur, bersungguh-sungguh, istiqamah dan berdasarkan ilmu itulah yang akan membuahkan hal. Oleh itu tasawuf dicapai menerusi ilmu dan amal. Perkara ini dapat dilihat pertunjuknya dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an, antaranya ialah firman Allah yang bermaksud “dan orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami (Allah), pasti Kami (Allah) akan tunjukkan (hidayat) kepada mereka jalan-jalan Kami (Allah)”, firman Allah yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menjadikan untuk kamu pemisah (furqan iaitu nur yang memisahkan antara haq dan batil)”, dan ayat-ayat lain lagi.

Adapun amal yang menghasilkan tasawuf itu ialah amal yang berfungsi membersih dan mentawajjuhkan hati kepada Allah iaitu apa yang diistilahkan sebagai mujahadah dan riyadah. Amalan, tata-cara, adab-adab serta tunjuk-ajar dalam melaksanakan mujahadah dan riyadah inilah yang dinamakan tarekat. Mengenai amal tarekat ini, ulama tasawuf menjelaskan bahawa tarekat itu ialah engkau mengqasadkan hatimu kepada-Nya. Iaitu bermaksud, tarekat itu ialah berusaha sedaya upaya mentawajjuh dan menumpukan tumpuan hati kepada Allah menerusi amalan yang dilaksanakan. Apabila tawajjuh hati mula dicapai dan dirasai serta menjadi semakin kuat dan teguh, ia akan membawa kepada penyaksian batin (mushahadah) terhadap hakikat-hakikat tauhid iaitu apa yang disebut hakikat. Mengenai hakikat ini ulama tasawuf menjelaskan bahawa hakikat itu ialah engkau menyaksikan-Nya.

Intipati dari semua amal mujahadah dan riyadah yang membawa kepada tercapainya tasawuf itu ialah zikir. Menurut Ibn Qayyim, semua amal itu disyariatkan adalah untuk melaksanakan dhikrullah, iaitu apa yang dimaksudkan dengan amal-amal itu ialah dhikrullah. Menurut beliau lagi, tidak ada jalan untuk mendapatkan ahwal dan ma`rifah itu kecuali menerusi zikir. Zikir sebagai amal penting dalam riyadah dan mujahadah ini dapat dilihat kebenarannya dalam banyak pertunjuk Nabi s.a.w. kepada para sahabat r.a. Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. ada menganjurkan para sahabat supaya memperbaharui iman. Mereka bertanya tentang cara bagaimana iman itu dapat diperbaharui. Nabi s.a.w. menjelaskan dengan sabda baginda yang bermaksud “perbanyakkan menyebut La ilaha illallah”. Memperbaharui iman itu bukan bermaksud menambah kepercayaan-kepercayaan baru, tetapi bermaksud memperteguh, memperdalam dan memperhalusi keyakinan sehingga hakikat-hakikat tauhid yang diimani dapat disaksikan kebenarannya oleh matahati. Caranya ialah selalu mengulangi kalimat tauhid sehingga ia tertanam teguh dalam hati sanubari.

Dalam riwayat yang lain, Nabi s.a.w. pernah mentalqinkan kalimat tauhid ini kepada sekumpulan sahabat. Shaddad ibn Aus meriwayatkan bahawa kami berada di sisi Nabi s.a.w. ketika baginda bersabda “angkatkan tangan-tangan kamu, lalu katakanlah La ilaha illallah”.

Kesan-Kesan Tasawuf

Tasawuf selalu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Memang benar tasawuf itu bersifat peribadi kalau ia dilihat dari segi intipati atau hakikat tasawuf itu. Namun tasawuf itu mempunyai kaitan rapat dengan perkara-perkara lain yang tidak dapat dipisahkan dan mempunyai natijah serta kesan yang tertentu hasil dari pencapaiannya. Secara umumnya, pencapaian tasawuf itu akan mewujudkan, memperteguhkan dan mengharmonikan dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah sebagai pencipta dan pentadbir alam ini dan hubungan dengan manusia sebagai penghuni dan pemakmur dunia ini.

Hakikat ini dapat diperhatikan kenyataannya dalam satu riwayat di mana Nabi s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat mengenai orang yang paling afdal dan tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat. Nabi s.a.w. menjawab “iaitu orang-orang yang banyak zikirnya terhadap Allah”. Ternyata bahawa zikir yang merupakan kekunci penting dalam usaha mencapai tasawuf itu menjadi ciri utama bagi orang yang dikira sebagai paling utama dan tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat. Dengan tercapainya tasawuf itu akan membuahkan berbagai ahwal, maqamat dan amalan yang dengannya seseorang itu mendapat kemuliaan dan mencapai ketinggian darjat di dunia dan juga di sisi Allah. Antara kesan-kesan tasawuf itu ialah:

1-Memperteguhkan keimanan dan membina jatidiri muslim.

Tasawuf berfungsi memperteguhkan keimanan dan keyakinan serta menetapkan pendirian seseorang muslim. Apabila batin manusia bersih dari kekotoran sifat-sifat yang tercela dan dari kecintaan terhadap sesuatu yang lain dari Allah, akan terpancarlah (tajalli) cahaya kebenaran ilahi di dalam hati. Kesannya manusia dapat menyaksikan hakikat kebenaran Allah dan kepalsuan sesuatu yang lain dari-Nya dengan terang dan nyata. Inilah nur yang disebut dalam firman Allah yang bermaksud “maka sesiapa yang dilapangkan Allah dadanya untuk Islam, maka dia itulah orang yang berada di atas cahaya (nur) dari Tuhannya”. Mengenai nur ini Nabi s.a.w. menjelaskan “bahawa nur itu, apabila memasuki hati, ia akan menjadi luas dan lapang (terbuka hijab)”. Iaitu hati yang terhijab dengan pelbagai hijab rohani sehingga ia terhalang dari menyaksikan kebenaran Allah, apabila ia disinari dengan nur ilahi, akan tersingkaplah hijab-hijab tersebut lalu ia dapat menyaksikan kebenaran ilahi.

Nur tersebut membawa kepada peningkatan darjat keimanan dan keyakinan hati serta memperteguhkan pendirian. Dalam keadaan ini, hati manusia tidak lagi dipengaruhi oleh sebab musabab, tidak merasa bimbang dan takut terhadapnya serta tidak lagi meletakkan pergantungan hati terhadapnya. Dia tidak merasa gelisah terhadap sumber-sumber rezeki, persoalan hidup atau mati, susah atau senang, kaya atau miskin, untung atau rugi, dapat atau tidak, menang atau kalah dan sebagainya lagi. Ini kerana hatinya telah menyaksikan dengan terang dan nyata kebenaran kewujudan Allah dan adanya ketentuan (qada’ dan qadar) dari-Nya terhadap semua makhluk-Nya. Dia berkeyakinan penuh bahawa tidak akan terjadi sesuatu itu kecuali dengan kekuasaan, kehendak, ketentuan dan keizinan dari-Nya. Inilah kewalian yang sebenar-benarnya seperti yang digambarkan dalam firman Allah yang bermaksud “ketahuilah bahawa wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan ke atas mereka dan mereka itu tidak berduka cita”.

Inilah tingkatan iman yang utama iaitu iman yang didasari penyaksian batin terhadap kebenaran ketuhanan Allah. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “iman yang paling afdal ialah bahawa engkau mengetahui (dengan yakin) bahawa Allah menyaksikan dirimu di mana saja engkau berada”. Di sinilah letaknya jati diri seseorang mukmin. Allah memperteguhkan orang mukmin itu dengan keyakinan ini. Dalam al-Qur’an dijelaskan bahawa “Allah memperteguhkan orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang teguh”. Menurut ahli tafsir, kata-kata yang teguh itu ialah kalimat tauhid (La ilaha illallah), iaitu kalimat iman dan taqwa.

2-Menimbulkan kesedaran jiwa

Intipati tasawuf itu ialah benarnya tawajjuh hati ke hadrat ilahi. Permulaan tawajjuh hati itu ialah timbulnya kesedaran jiwa (intibah). Seseorang yang mengalami intibah itu akan menyedari kelemahan, kekurangan dan kesilapan dirinya. Kesedaran inilah yang akan membawa kepada taubat dan usaha memperbaiki dan menyempurnakan diri. Kesedaran ini jugalah yang membangkitkan usaha gigih dalam meningkatkan dan memartabatkan diri. Isyarat ini dapat dilihat dalam al-Qur’an di mana Allah berfirman yang bermaksud “dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri lalu mereka mengingati Allah, lantas mereka beristighfar terhadap dosa-dosa mereka, dan tiadalah yang mengampunkan dosa-dosa itu melainkan Allah, dan mereka itu tidak berlarutan dalam melakukan apa yang telah mereka lakukan sedangkan mereka mengetahuinya”.

3-Membina keperibadian dan akhlak mulia.

Tasawuf itu dari satu sudut ialah pencapaian akhlak mulia. Akhlak tidak dapat dipisahkan dari tasawuf di mana akhlak itu adalah merupakan buah atau hasil dari tasawuf. Pencapaian tasawuf membawa kepada pembentukan akhlak mulia. Mengenai akhlak ini, Abu Bakr al-Kattani menjelaskan bahawa “tasawuf itu ialah akhlak, sesiapa yang menambahkan akhlakmu, maka sesungguhnya dia telah menambahkan kesufianmu”. Hakikat ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “orang-orang mukmin yang paling sempurna iman ialah mereka yang paling baik akhlak”

Apabila seseorang itu mula merasai hakikat tasawuf dengan sendirinya dia akan berakhlak mulia, kerana pencapaian hakikat tasawuf itu membawa kepada kelembutan hati. Kelembutan hati itulah yang melahirkan berbagai akhlak mulia. Oleh itu semakin tinggi tahap kesufian seseorang itu maka semakin mulia akhlaknya. Nabi s.a.w yang merupakan imam ahli tasawuf adalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

4-Membentuk insan yang bertanggungjawab

Tasawuf itu dari satu dimensi ialah merasai hakikat iman dan mencapai martabat ihsan. Sekurang-kurang martabat ihsan itu ialah seseorang itu merasai dan menyedari bahawa dirinya sentiasa dalam tilikan dan pandangan Allah. Kesedaran inilah yang akan menjadikan seseorang itu merasa bertanggungjawab. Orang yang mengalami kesedaran ini akan merasai bahawa dirinya akan dipersoalkan di hadapan Allah mengenai tanggungjawabnya terhadap dirinya, keluarganya dan juga masyarakatnya. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “perumpamaan orang-orang yang beriman dalam perkara kasih sayang, rahmat merahmati, dan belas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu tubuh, apabila satu anggota mengadu kesakitan maka seluruh anggota yang lain akan merasainya dengan tidak dapat tidur malam dan demam”.

Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa “iman itu ada lebih dari enam puluh tiga cabang, yang paling tinggi ialah ucapan La ilaha illallah, yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti di jalanan, dan sifat malu merupakan salah satu cabang iman”. Kemantapan dan kemurnian iman hasil dari pencapaian tasawuf akan menimbulkan rasa prihatin dan tanggungjawab terhadap orang lain. Timbulnya dorongan untuk tidak menyakitkan orang lain dan membuang sesuatu yang boleh menyakitkan mereka seperti yang disebut dalam hadis adalah merupakan hasil dari kemurnian jiwa atau tercapainya tasawuf.

5-Mewujudkan persaudaraan, perpaduan, dan sifat rahmat sesama manusia

Tasawuf itu dari satu sudut merupakan peningkatan tahap keimanan dan kesempurnaannya. Apabila tasawuf itu dicapai dan dirasai hakikatnya ia akan menimbulkan suatu keadaan kejiwaan di mana seseorang itu merasa kasih dan bertanggungjawab terhadap semua manusia dan juga makhluk-makhluk lain. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “tidak beriman seseorang kamu itu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dikasihinya untuk dirinya sendiri”. Demikian juga Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “orang mukmin terhadap orang mukmin yang lain adalah seumpama binaan di mana sebahagiannya memperteguhkan sebahagian yang lain”.

Penutup

Dari penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa tasawuf itu sebenarnya merupakan pencapaian martabat ihsan yang merupakan jiwa agama. Ia adalah satu dari tiga tunggak utama agama Islam. Pencapaian martabat ini bukan sahaja memperteguhkan hubungan seseorang itu dengan Tuhannya dalam bentuk peningkatan nilai keimanan, ibadah dan akhlak, malah juga hubungannya dengan sesama manusia dalam bentuk kewujudan rasa hormat menghormati, tanggungjawab dan keharmonian muamalah.

* Tajuk ini adalah salah satu tajuk kertas kerja yang pernah dibentangkan di Seminar Kebangsaan Kefahaman Taswwuf Nusantara anjuran Persatuan Pelajar Usuluddin UDM dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu pada 13 Februari 2006. Ketua Pengarah seminar ini adalah saya sendiri. Sebarang persoalan sila hubungi saya.

** Merupakan salah seorang pensyarah saya di Universiti Darul Iman Malaysia dalam matapelajaran Tasawuf. Beliau juga adalah khalifah bagi tarikat Qadariyah Wal Nadsyabandiyah.

Wallahualam.

TASAWWUF DAN PERANANNYA DALAM PEMBINAAN KERANGKA SPRITUAL AHLI SUNNAH WA AL-JAMA’AH


Oleh:Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi
Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Universiti Darul Iman Malaysia Kampus KUSZA

Pendahuluan

Tasawwuf merupakan salah satu dari tiga tiang asas agama Islam. Ia merupakan dimensi kerohanian bagi agama ini. Dengannya Iman dan keyakinan menjadi lebih kuat, perlaksanaan terhadap tuntutan syariat menjadi lebih sempurna dan penghayatan nilai-nilai akhlak menjadi lebih berkesan. Tanpanya Iman hilang kemanisannya, amal ibadah hilang kekhusyukannya dan akhlak hilang kemurniannya. Ia seumpama kawalan keselamatan dan perhiasan bagi sesebuah rumah yang menjadikannya lebih selamat dan bernilai tinggi. Memiliki keimanan semata-mata tanpa keislaman dan keihsanan adalah seumpama memiliki tapak rumah. Sekalipun pemiliknya ada tempat bertapak namun dia terdedah kepada kepanasan matahari dari basahan hujan. Memiliki keimanan dan keislaman semata-mata pula tanpa keihsanan adalah seumpama memiliki tapak dan rumah yang tidak siap dan tidak sempurna. Sekalipun pemiliknya ada tempat berteduh namun ia terdedah kepada kecurian dan rumahnya tidak bernilai tinggi. Manakala ihsan pula adalah seumpama rumah yang lengkap dan berperhiasan yang bukan sahaja selamat dihuni malah bernilai tinggi.

Dunia Islam telah melahirkan ramai tokoh ahli tasawwuf berkalibar. Mereka telah meletakkan asas-asas, menghuraikan permasalahan dan menulis karya-karya demi menyebarkan ilmu dan menjaga tasawwuf daripada penyimpangan dan penyelewengan golongan yang jahil, berpura-pura dan berniat jahat terhadap tasawwuf dan Islam. Hasil daripada usaha mereka inilah huraian mengenai tasawwuf yang murni masih dapat ditemui sampai sekarang termuat dalam karya-karya mereka sekalipun wujudnya unsur-unsur kesamaran dan penyelewengan yang disebarkan oleh golongan Batiniyyah dan sebagainya yang berlabel dan berselindung di sebalik nama tasawwuf. Kertas kerja ini akan menjelaskan beberapa perkara asas yang akan memberikan gambaran tentang tasawwuf seperti yang dihuraikan oleh para ulamanya yang muktabar.

Konsep Tasawwuf

Tasawwuf selalu diberikan gambaran yang menyentuh sudut-sudut tertentu sahaja terutamanya ketinggian akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah. Menggambarkan tasawwuf dengan gambaran-gambaran tersebut ternyata tidak tepat dan tidak menyentuh intipati sebenar dan menyeluruh tentang tasawwuf itu. Pengertian sebenar tasawwuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tawhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawwuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai beberapa tingkatan tertentu. Pencapaian mushahadah ini akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat. Dari sinilah timbulnya berbagai persoalan tasawwuf yang dibicarakan secara panjang lebar oleh ahli sufi dalam karya-karya mereka.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawwuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati daripada sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain daripada Allah dari lubuk hati dan zahir kebenaran Allah di hati itu (tajalli) sehingga ia dapat melihat dengan jelas tanda-tanda keagunganNya dan merasai kehebatanNya iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

Pengertian tasawwuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Menurut beliau, tasawwuf itu ialah penyucian hati (tasfiyah) daripada sesuatu yang lain dari Allah. Shaykh Ahmad Zaruq telah meneliti definisi-definisi yang telah dikemukakan oleh para ulama tasawwuf dan membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa tasawwuf telah dihurai, ditafsir dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu. Semua itu terhimpun atau merujuk kepada satu pengertian sahaja iaitu “benarnya tawajjuh hati kepada Allah”. Permulaan tawajjuh hati itu ialah terhasilnya intibah (kesedaran jiwa) yang membawa kepada taubah yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai maqamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dariNya. Di sinilah terhasilnya mushahadah dan inilah kemuncak ihsan.

Kedudukan Tasawwuf Dalam Islam

Agama Islam secara umumnya menjadi lengkap dengan adanya tiga perkara iaitu islam, iman dan ihsan yang merupakan tiga rukun agama. Kedatangan Jibril a.s. menemui Nabi s.a.w. dan seterusnya bertanyakan baginda tentang islam, iman dan ihsan dalam peristiwa yang terkenal itu adalah bertujuan mengkhabarkan tentang rukun agama yang terdiri dari tiga perkara tersebut. Perkara ini dapat diperhatikan pada penjelasan Nabi s.a.w. yang bermaksud “sesungguhnya dia itulah Jibril yang datang kepada kamu bagi mengajarkan kepada kamu agama kamu”.

Ketika Nabi s.a.w. ditanya tentang islam baginda menjelaskan bahawa ia adalah mengucap dua kalimat shahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu. Apabila Nabi s.a.w. ditanya tentang iman baginda menjelaskan bahawa ia adalah percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan percaya kepada ketentuan Allah sama ada baik atau buruk. Apabila Nabi s.a.w. ditanya pula tentang ihsan baginda menjelaskan bahawa ia adalah beribadat kepada Allah seolah-olah melihat-Nya sekiranya tidak melihat-Nya maka Allah itu melihat hamba-Nya. Keseluruhan rukun islam adalah merujuk kepada amalan lahiriah manusia. Rukun iman pula merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan hati. Manakala ihsan pula merujuk kepada penyaksian hati yang membawa kepada pencapaian hakikat keikhlasan.

Pengamalan terhadap rukun Islam diistilahkan sebagai syariat atau maqam Islam. Manakala peningkatan tahap kebersihan dan kejernihan rohani yang dicapai hasil daripada pengamalan terhadap syariat itu diistilahkan sebagai tarekat atau maqam Iman. Tarekat itu pula membawa kepada sesuatu yang diistilahkan sebagai hakikat atau maqam Ihsan. Hakikat itu secara keseluruhannya bermaksud pencapaian dan penyaksian rohani terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadat. Hakikat atau maqam Ihsan inilah merupakan intipati tasawwuf.

Dengan kata lain syariat atau maqam Islam itu ialah ibadat kepada Allah yang berasaskan keyakinan terhadap-Nya semata-mata. Tarekat atau maqam Iman itu ialah gerakan rohani iaitu peningkatan tahap kehadiran hati dan kebersihan batin yang berlaku di sebalik ibadat tersebut. Manakala hakikat, maqam Ihsan atau tasawwuf itu pula ialah penyaksian hati terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Allah sehingga fana´ dalam penyaksian tersebut. Hakikat adalah hasil atau natijah yang diperolehi daripada tarekat dan tarekat itu pula adalah natijah yang didapati daripada syariat.

Ahli tasawwuf menggunakan istilah yang berbagai-bagai dalam menggambarkan ketiga-tiga perkara ini. Antaranya, ada yang menjelaskan syariat itu sebagai `ibadah, tarekat itu `ubudiyyah dan hakikat itu `ubudah. Ada juga yang menggambarkan syariat itu sebagai khidmah (praktik atau amali), tarekat itu qurbah (pendekatan diri) dan hakikat itu wuslah (pencapaian rohani). Ada juga yang menyebut syariat itu sebagai ibadat, tarekat itu hudur (kehadiran hati) dan hakikat itu shuhud (penyaksian rohani). Apa yang jelas, kepelbagaian istilah tersebut adalah merujuk kepada perkara yang sama. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa tasawwuf ialah maqam Ihsan yang merupakan hasil daripada perlaksanaan terhadap syariat secara yang lebih murni, teratur, terfokus, terpimpin dan istiqamah yang menatijahkan peningkatan tahap kejernihan rohani iaitu apa yang disebut sebagai tarekat.

Tasawwuf Bukan Hanya Pengetahuan Tetapi Juga Satu Pencapaian

Dari satu sudut, tasawwuf mempunyai dua pengertian iaitu pengertian umum dan pengertian khusus. Pengertian umum bagi tasawwuf secara keseluruhannya ialah satu bentuk ilmu tentang cara-cara mendidik dan membersihkan hati yang mana ia boleh diketahui menerusi pembelajaran dan pengkajian. Antara tokoh-tokoh tasawwuf yang mendefinisikan tasawwuf sebagai satu bentuk ilmu ialah Shaykh Ahmad Zaruq dan Haji Khalifah. Menurut Shaykh Ahmad Zaruq tasawwuf itu ialah satu ilmu yang bertujuan memperbaiki hati dan mengkhususkannya bagi Allah semata-mata tanpa sesuatu yang lain dariNya. Manakala Haji Khalifah pula mendefinisikan tasawwuf sebagai satu ilmu yang dengannya diketahui cara peningkatan golongan manusia yang sempurna dalam mencapai tingkatan kebahagiaan mereka.

Manakala tasawwuf dengan pengertiannya yang khusus pula merujuk kepada pencapaian hakikat-hakikat tasawwuf tersebut sehingga ia menjadi suatu pengalaman bagi diri seseorang itu dan seterusnya menjadi sifat yang sebati dengan dirinya. Antara ahli tasawwuf yang mendefinisikan tasawwuf dengan pencapaian hakikatnya ialah Shaykh Junayd al-Baghdadi dan Shaykh Ma`ruf al-Karakhi. Antara definisi al-Junayd terhadap tasawwuf ialah “bahawa yang sebenar (al-Haq) itu menghapuskan engkau dari diri engkau dan menghidupkan engkau dengan-Nya”. Keterangan beliau ini adalah mengisyaratkan kepada keadaan fana’ yang dirasai oleh hamba. al-Junayd juga pernah ditanya tentang tasawwuf lalu menjawab “iaitu engkau berserta Allah tanpa sebarang ikatan”. Kenyataan beliau ini pula mengisyaratkan kepada kedekatan rohani dan pencapaian hakikat. Manakala al-Karakhi pula mendefinisikan tasawwuf itu sebagai “berpegang dengan hakikat dan tidak berkeinginan terhadap apa yang dimiliki oleh makhluk”.

Imam al-Ghazali telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau, tasawwuf itu permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian (mawhibah). Ilmu itu membongkar apa yang dikehendaki, amal itu membantu dalam menuntut (apa yang dikehendaki), dan pemberian itu menyampaikan kepada kemuncak cita-cita. Gabungan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dapat dilihat dalam definisi beliau di atas di mana beliau telah membahagikan tasawwuf itu kepada tiga peringkat iaitu permulaan (ilmu), pertengahan (amal) dan kesudahan (pemberian). Ketiga-tiga perkara tersebut terangkum dalam pengertian tasawwuf. Demikian juga Shaykh Ibn `Ajibah di mana beliau juga telah menggabungkan kedua-dua pengertian tasawwuf ini dalam satu definisi. Menurut beliau tasawwuf itu adalah satu ilmu yang mana dengannya diketahui cara-cara berjalan menuju ke hadrah Allah, membersihkan batin daripada perkara-perkara keji dan menghiasinya dengan berbagai bentuk perkara kebaikan. Permulaannya ilmu, pertengahannya amal dan kesudahannya pemberian ilahi.

Beberapa Elemen Asasi Tasawwuf

Terdapat beberapa elemen yang membentuk tasawwuf. Antara elemen utama yang membentuk tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati, peribadatan, ahklak dan kezuhudan.

i-Kesucian Diri dan Penyaksian Hati

Kesucian diri merupakan intipati bagi tasawwuf. Ia bermaksud sucinya diri daripada pelanggaran terhadap hukum syariat, sifat-sifat kecelaan, pegangan atau keyakinan yang batil dan juga tumpuan, tilikan serta pergantungan hati kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Kesucian diri ini akan membawa kepada penyaksian hati terhadap kebenaran ketuhanan Allah, keagungan, keindahan dan kesempurnaanNya. Pencapaian penyaksian hati ini akan membuahkan keyakinan yang mantap selain akhlak yang mulia dan ibadat yang murni.

Elemen kesucian diri ini dapat dilihat dalam banyak takrifan yang diberikan oleh para ulama tasawwuf antaranya ialah takrifan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Bakr al-Kattani, Shaykh Abu Sa`id al-Khrraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Dalam mentakrifkan tasawwuf, al-Kattani menyebut bahawa tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati (mushahadah). Al-Kharraz telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa “(sufi itu ialah) orang yang tuhannya telah membersihkan hatinya sehingga hatinya dipenuhi dengan cahaya hidayah dan orang yang berada dalam kelazatan dengan mengingati Allah. al-Jilani pula menjelaskan bahawa asal perkataan sufi itu ialah sufiya yang di ambil dari perkataan al-musafat. Kerana itu dikatakan bahawa sufi itu ialah orang yang bersih daripada penyakit-penyakit nafsu, bebas (bersih) daripada sifat-sifat kecelaannya, melalui jalan-jalan kesufian yang terpuji, berpegang dengan hakikat-hakikat kebenaran dan tidak tenteram (cenderung) hatinya kepada sesuatu makhluk.

ii-Peribadatan

Tasawwuf juga mengandungi elemen peribadatan iaitu kesungguhan, ketekunan, ketertiban dan keikhlasan dalam melaksanakan amal ibadah. Ini bererti sufi itu ialah orang yang menekuni amal ibadah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dalam bentuk yang lebih sempurna, teratur dan istiqamah. Elemen peribadatan dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat pada definisi yang dikemukakan oleh Shaykh `Ali al-Muzayyin. Tasawwuf menurut beliau ialah ketaatan atau kepatuhan kepada Allah. Begitu juga Imam al-Ghazali yang antara definisi beliau terhadap tasawwuf ialah mencampakkan diri dalam `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah) dan bergantung hati dengan rububiyyah (ketuhanan Allah).

iii-Akhlak

Ketinggian akhlak juga merupakan antara elemen asasi tasawwuf. Ini bererti sufi itu ialah orang yang berakhlak mulia dan bersih daripada akhlak yang keji. Elemen akhlak dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat dalam takrifan yang dikemukakan oleh Abu Bakr al-Kattani. Tasawwuf itu menurut beliau ialah akhlak, sesiapa yang melebihi engkau pada akhlak, maka sesungguhnya dia melebihi engkau pada kejernihan rohani. Begitu juga Ahmad al-Jariri di mana tasawwuf itu menurut beliau ialah bersifat dengan semua akhlak yang murni dan bersih daripada semua akhlak yang hina.

iv-Kezuhudan

Antara elemen asasi tasawwuf ialah kezuhudan dengan erti ketidakcenderungan hati kepada perkara keduniaan, bukan semata-mata meninggalkan perkara keduniaan. Elemen kezuhudan dalam tasawwuf dapat dilihat antara lain pada takrifan yang diberikan oleh Samnun. Tasawwuf menurut beliau ialah bahawa engkau tidak memiliki sesuatu dan tiada sesuatu yang memiliki engkau. Begitu juga yang terdapat pada takrifan Ma`ruf al-Karakhi di mana tasawwuf menurut beliau ialah berpegang dengan hakikat dan berputus-asa (tidak berkeinginan) terhadap apa yang ada pada tangan (milik) makhluk.

Elemen-elemen seperti peribadatan, berakhlak mulia dan kezuhudan lahiriah secara berasingan tidak menggambarkan hakikat sebenar tasawwuf, namun ia adalah sebahagian daripada elemen yang membentuk tasawwuf dan tidak dapat dipisahkan daripadanya. Ketekunan melakukan amal ibadah tidak semestinya menunjukkan kesufian. Demikian juga memiliki akhlak yang mulia dan kezuhudan. Namun seorang sufi itu pasti menekuni amal ibadah, berakhlak mulia dan bersifat zuhud dalam bentuk yang sesuai dengan keadaan mereka.

Tasawwuf dan `Itiqad Yang Benar

Tasawwuf tidak dapat dihayati secara sebenarnya dan diselami secara mendalam sehingga sampai kepada hakikatnya oleh golongan yang berpegang dengan akidah yang menyimpang daripada landasan akidah yang hak iaitu Akidah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. al-Baghdadi dalam al-Farq Bayn al-Firaq telah menyenaraikan kumpulan ahli tasawwuf sebagai satu golongan daripada Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Manakala al-Isfarayini pula dalam al-Tabsir fi al-Din menjelaskan bahawa antara keistimewaan mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah yang membezakannya daripada mazhab-mazhab lain ialah adanya tasawwuf yang bersih daripada perkara bid`ah.

Tokoh-tokoh tasawuf terkenal telah menegaskan tentang keperluan seseorang kepada aqidah yang benar dalam usaha menghayati tasawwuf. Sebagai contoh, al-Daqqaq iaitu guru kepada al-Qushayri menjelaskan bahawa seseorang salik yang berada pada peringkat permulaan perjalanan kerohaniannya semestinya membetulkan pegangan dan keyakinannya terhadap Allah s.w.t iaitu pegangan yang bersih daripada sangkaan dan keraguan, bebas daripada kesesatan dan bid`ah dan bersumberkan dalil serta hujah. Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh al- al-Ghazali. Beliau menyebut bahawa perkara yang mula-mula sekali yang mesti dilakukan oleh seseorang yang mahu menempuh jalan Allah ialah mempunyai pegangan yang betul dan bersih daripada perkara bid`ah. Keterangan al-Daqqaq dan juga al-Ghazali ini jelas menunjukkan bahawa aqidah yang dikehendaki seseorang itu mempelajari dan meyakininya ialah aqidah yang bersih daripada sebarang bid`ah, sangkaan dan keraguan, malah ia berasaskan keyakinan yang bersumberkan bukti dan dalil yang kukuh serta jelas. Aqidah tersebut merupakan aqidah yang membetuli aqidah Salaf iaitu aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.

Aqidah Salaf secara umumnya ialah mengakui dan mempercayai Tuhan yang maha esa, tiada tuhan melainkan Dia yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan seperti hidup, mengetahui, berkuasa, berkehendak dan lain-lain lagi sebagaimana Allah sifatkan dhat-Nya dengan sifat-sifat tersebut yang ditemui dalam al-Qur’an, hadith Nabi s.a.w, keterangan para sahabat dan juga tabi`in. Demikian juga Tuhan maha suci daripada sifat-sifat kekurangan seperti berjisim, bertempat, bersifat dengan sifat-sifat makhluk, mempunyai arah tertentu, mempunyai warna, mempunyai rupa-bentuk dan sebagainya. Mengenai mutashabihat (perkara-perkara yang menimbulkan kesamaran) seperti Allah bersemayam (istiwa´) di atas `Arash, Allah mempunyai tangan (al-yad), muka (al-wajh) dan lain-lain lagi seperti yang terdapat dalam al-Qur´an dan hadith, maka pegangan Salaf dalam perkara ini ialah mempercayai dan meyakininya secara umum dengan menyerahkan penentuan maksud sebenar perkara tersebut kepada Allah dan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya dan perkara-perkara tersebut thabit bagi Allah sebagaimana Allah menthabitkan bagi diri-Nya dalam al-Qur´an.

Al-Ghazali pula telah menerangkan dengan lebih terperinci lagi tentang perkara ini dengan menjelaskan bahawa mazhab Salaf mengandungi tujuh perkara iaitu, Pertama: Mensucikan Allah daripada sifat-sifat kebendaan seperti berupa, berbentuk, berjisim dan seumpamanya. Kedua: Membenarkan dan mempercayai apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu benar dan ia merupakan perkara sebenar seperti yang disabda dan dimaksudkan oleh baginda. Ketiga: Mengakui kelemahan atau ketidakmampuan dirinya untuk mengetahui maksud perkara-perkara tersebut dan ia bukanlah urusannya. Keempat: Berdiam diri iaitu tidak bertanya tentang maksud perkara-perkara tersebut dan juga tidak berusaha mencari maksudnya di samping mengetahui bahawa bertanya tentang perkara tersebut adalah bid`ah. Kelima: Menahan diri daripada melakukan tasarruf (ubah-suai) pada lafaz-lafaznya dengan merubah, menukar dengan bahasa lain, menambah, mengurangi, mencantum dan memisahkannya malah tidak menuturkannya kecuali dengan lafaz asalnya. Keenam: Menahan diri daripada mencari maksud perkara-perkara tersebut dan berfikir tentangnya. Ketujuh: Menyerahkan pengetahuan tentang maksud perkara-perkara tersebut kepada ahlinya iaitu tidak beranggapan bahawa oleh kerana perkara tersebut tidak diketahuinya kerana kelemahan dirinya, maka ia juga tidak diketahui oleh Rasulullah s.a.w, para nabi, siddiqin atau juga awliya´.

Termasuk dalam perkara membetulkan aqidah ialah membetulkan kepercayaan dan keyakinan terhadap para nabi dan rasul a.s. dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Kepercayaan kepada para nabi dan rasul ini ialah mengakui kenabian para nabi a.s. secara umum dan kenabian nabi Muhammad s.a.w secara khusus, kewajiban mematuhi dan mengikuti apa yang diperintah dan dilarang oleh baginda dan juga kewajiban mempercayai setiap perkara yang disampaikan mengenai sifat-sifat Allah, kebangkitan, syurga, neraka, perhimpunan, perhitungan, melihat Allah, hari kesudahan dan kehancuran dunia, azab kubur dan perkara-perkara lain lagi yang diriwayatkan daripada baginda s.a.w.

Dalam hal berkait perkara aqidah ini, seseorang itu tidak cukup hanya dengan bertaqlid (ikutan) semata-mata tanpa mengetahui dan memahami dalil-dalil iaitu dalil akal dan dalil naqli (al-Qur´an dan hadith). Ini kerana, bertaqlid semata-mata tanpa didasari dalil-dalil yang kuat menjadikan seseorang itu mudah terpedaya dengan tipu-daya syaitan yang menimbulkan berbagai was-was dan keraguan yang akhirnya menyebabkan dia tergelincir daripada landasan aqidah yang betul sebagaimana dikehendaki. Mengenai perkara ini, seorang tokoh tasawuf terkenal iaitu Ahmad al-Jariri menegaskan bahawa sesiapa yang keyakinannya tidak berdasarkan ilmu tauhid iaitu tidak memerhati, mempelajari dan memahaminya dengan betul berdasarkan dalil-dalilnya, maka tipu-daya akan menggelincirkan dan menjatuhkannya ke jurang kebinasaan.

Tasawwuf dan Keterikatan Dengan Syariat

Tasawwuf sering dikaitkan dengan fahaman “hakikat itu isi dan syariat itu kulit”. Lantaran itu segolongan orang yang merasakan diri mereka bertasawwuf mengambil sikap memandang remeh kepada syariat dan meringan-ringankannya malah mencuai dan mengabaikannya. Begitu juga tasawwuf sering dikaitkan dengan fahaman “gugur taklif” di mana menurut fahaman ini seseorang itu apabila sampai ke satu tingkatan yang tinggi dalam hubungan dengan tuhan akan gugur kewajiban melaksanakan syariat. Lantaran itu mereka tidak lagi melaksanakan solat dan kewajiban-kewajiban agama yang lain kerana merasa cukup dengan niat dan gerak hati semata-mata. Mereka beranggapan bahawa orang-orang yang melaksanakan kewajiban agama tersebut adalah terhijab dan bersifat kulit semata-mata.

Fahaman ini bukanlah fahaman tasawwuf yang sebenar. Ia adalah fahaman golongan Batiniyyah yang diseludup masuk ke dalam pemikiran tasawwuf. Tokoh-tokoh tasawwuf telah menjelaskan kebatilan fahaman ini dalam karya-karya mereka dan meletakkan garis panduan mengenainya. Mereka menetapkan bahawa antara prinsip utama tasawwuf ialah keterikatan dengan hukum-hukum syariat.

Dalam peristilahan ilmu tasawwuf, syariat itu merujuk kepada pengertian suruhan atau perintah melaksanakan `ubudiyyah dan perlaksanaan manusia terhadap perintah tersebut. Mengenai perkara ini al-Qushayri menyebut bahawa syariat itu ialah perintah supaya melaksanakan `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah)…, syariat itu datang dengan mentaklifkan makhluk (manusia)…,syariat itu ialah beribadat kepada Allah…, syariat itu ialah perlaksanaan terhadap apa yang diperintahkan. Syariat juga adakalanya digunapakai di kalangan ahli tasawwuf dengan maksud al-Qur’an dan juga al-Sunnah. Oleh itu keterikatan dengan syariat bermaksud penjagaan terhadap suruhan dan larangan Allah dan tidak menyalahi al-Qur’an dan juga sunnah.

Ulama tasawwuf menyatakan dengan tegas bahawa syariat itu adalah asas atau dasar utama yang diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan sama sekali dalam perjalanan menuju kepada Allah. Terdapat ramai dari kalangan mereka yang menegaskan tentang perkara ini antara mereka ialah Sahl ibn `Abd Allah al-Tustari, al-Junayd al-Baghdadi, Abu Yazid al-Bistami, `Abd al-Qadir al-Jilani, `Abd al-Wahhab al-Sha`rani dan lain-lain. Mengenai perkara ini al-Tustari menyatakan bahawa “dasar-dasar kami ada tujuh perkara iaitu berpegang dengan kitab Allah (al-Qur’an), mengikuti sunnah rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti makhluk, menjauhi dosa-dosa, taubat dan menunaikan hak”.

Al-Junayd pula menegaskan bahawa “mazhab kami ini terikat dengan al-Kitab dan al-Sunnah”. al-Bistami pula telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa sufi itu ialah orang yang mengambil kitab Allah dengan tangan kanannya dan sunnah Rasulullah s.a.w. dengan tangan kirinya (berpegang dengan kedua-duanya). al-Jilani pula mengajarkan “terbanglah kepada Allah dengan dua sayap iaitu al-Kitab dan al-Sunnah, dan masuklah (hadrah)-Nya sedangkan tangan engkau berada pada tangan Rasul s.a.w. al-Sha`rani pula menyebut “sesungguhnya tarekat ahli sufi itu ditimbang (diukur) dengan al-Qur’an dan al-Sunnah seperti menimbang emas dan permata. Oleh itu orang yang menjalaninya memerlukan neraca syarak pada setiap gerak-gerinya”. Selanjutnya beliau berkata “sesungguhnya hakikat tarekat ahli sufi itu ialah ilmu dan amal, tulang dan dagingnya adalah syariat dan hakikat, tidak hanya dengan salah satu dari kedua-duanya sahaja.

Bagi ulama tasawwuf, terjadinya perkara-perkara yang luar biasa yang menjadi sebahagian daripada tanda-tanda kewalian, menjadi tidak bermakna jika wujud kepincangan dalam persoalan syariat ini. Shaykh Abu Yazid al-Bistami ialah antara tokoh tasawwuf yang banyak menyentuh tentang perkara ini. Beliau pernah berkata bahawa “sekiranya engkau melihat kepada seorang laki-laki yang diberikan kekeramatan sehingga dia dapat terbang di udara, maka janganlah engkau terpedaya dengannya sehinggalah engkau melihat bagaimana engkau mendapatinya di sisi suruhan dan larangan tuhan, menjaga batasannya dan menunaikan syariat”. Beliau juga diberitakan pernah mengajak murid-murid beliau untuk pergi menemui seorang lelaki yang memasyhurkan dirinya dengan kewalian yang mana dia adalah seorang yang zuhud. Apabila orang tersebut keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludah ke arah kiblat, maka Abu Yazid berpaling meninggalkannya dan tidak mengucapkan salam kepadanya seraya berkata “bagaimana dia boleh dipercayai terhadap apa yang didakwanya itu”?

Menurut ulama tasawwuf lagi seseorang itu tidak akan sampai kepada Allah seperti yang dikehendaki dalam ilmu tasawwuf tanpa bersyariat. Shaykh Abu al-Husayn al-Warraq ada menyebut tentang perkara ini. Beliau berkata bahawa “seseorang hamba itu tidak sampai kepada Allah kecuali dengan (kehendak dan ketentuan) Allah dan dengan membetuli nabi s.a.w. pada syariat baginda. Sesiapa yang menjadikan jalan yang membawa kepada sampai (kepada Allah) dengan tidak mengikuti nabi, maka dia akan sesat dalam keadaan dia menyangka dia mendapat pertunjuk”. Shaykh al-Junayd al-Baghdadi juga ada menyatakan perkara yang sama iaitu “tarekat-tarekat (jalan-jalan) semuanya tertutup bagi makhluk kecuali bagi orang yang menjejaki (mengikuti) rasul s.a.w., menuruti sunnah baginda, dan melazimi jalan baginda, maka sesungguhnya jalan-jalan kebaikan seluruhnya terbuka baginya”.

Imam Malik, sebagaimana yang diriwayatkan, ada menyebut tentang keperluan bersyariat ini sebagaimana kata-kata beliau yang bermaksud “sesiapa yang bertasawwuf tanpa fiqh, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq, sesiapa yang mengamalkan fiqh tanpa tasawwuf maka sesungguhnya dia menjadi fasiq, sesiapa yang menghimpunkan antara kedua-duanya maka sesungguhnya dia telah mencapai hakikat”. Orang yang berpegang dengan tasawwuf (hakikat) semata-mata tanpa fiqh (syariat) menjadi kufur dan zindiq. Ini kerana dia hanya memandang kepada hakikat atau urusan ketuhanan semata-mata tanpa melihat kepada perintah Tuhan supaya melakukan ibadah dan usaha hamba melaksanakannya. Lantaran itu dia mengatakan manusia itu digagahi dengan ketentuan ilahi tanpa ada sebarang pilihan bagi dirinya dalam melakukan sesuatu perbuatan sama ada ketaatan atau maksiat. Iktikad seumpama ini adalah kufur dan zindiq kerana ia menafikan syariat (perintah Allah dan usaha hamba) dan ia dikenali sebagai iktikad jabariyyah. Manakala orang yang berpegang dengan fiqh semata-mata tanpa tasawwuf menjadi fasiq kerana lahiriahnya sahaja yang melaksanakan tuntutan syariat tetapi batinnya itu kosong dari ketaqwaan, keikhlasan dan kehadiran hati, malahan batinnya itu dipenuhi dengan berbagai sifat kecelaan yang merosakkan amalannya tanpa disedari. Orang yang berkeadaan demikian adalah dikira sebagai fasiq kerana kerosakan batinnya itu.

Imam al-Qushayri pula menjelaskan bahawa “setiap syariat yang tidak dikuatkan dengan hakikat adalah tidak diterima dan setiap hakikat yang tidak dihubungkan dengan syariat adalah tidak terhasil”. Hal yang sama juga ditegaskan oleh al-Tusi di mana beliau menjelaskan bahawa “yang zahir (syariat) itu tetap memerlukan yang batin (hakikat) dan yang batin itu pula tetap memerlukan yang zahir”. Penjelasan dua orang tokoh besar sufi ini cukup membuktikan bahawa antara syariat dan hakikat (tasawwuf) ada hubungan yang sangat rapat sehingga tidak boleh dipisahkan.

Kemestian bersyariat dalam bertasawwuf adalah sesuatu yang bersifat berterusan walaupun hakikat sudah tercapai. Ini menepati apa yang disebut secara terang dalam al-Qur’an di mana Allah berfirman yang bermaksud “dan sembahlah (beribadahlah kepada) Tuhan engkau sehinggalah kematian mendatangi engkau”. Demikian juga ia bertepatan dengan pendirian para ulama tasawwuf seperti Shaykh al-Junayd al-Baghdadi, Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani dan lain-lain. Shaykh al-Junayd menganggap iktikad gugurnya syariat dengan tercapainya hakikat sebagai satu perkara yang sangat berat (kufur) yang melebihi kesalahan mencuri dan berzina. Shaykh al-Jilani pula menegaskan tentang perkara tersebut dengan menyatakan bahawa “meninggalkan ibadah-ibadah yang difardukan adalah zindiq, melakukan perkara-perkara yang dilarang adalah maksiat, dan tidak akan gugur kewajiban-kewajiban dari seseorang itu dalam apa juga keadaan”.

Dalam persoalan hubungan di antara syariat dan hakikat ahli tasawwuf sependapat menyatakan bahawa tidak ada pertentangan atau percanggahan di antara kedua-duanya. Perkara ini antara lain dapat dilihat pada penegasan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Sa`id al-Kharraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Mengenai perkara ini al-Kharraz menegaskan bahawa setiap yang batin (hakikat) yang bercanggahan dengan yang zahir (syariat) maka ia tidak benar. Begitu juga al-Jilani menyatakan perkara yang sama iaitu “setiap hakikat yang tidak disaksikan (dibuktikan) dengan syariat maka ia adalah zindiq”.

Tasawwuf dan Kekeramatan

Kekeramatan merupakan satu persoalan yang sering dikaitkan dengan tasawwuf, malah ia menjadi bahan kempen sesetengah kumpulan untuk menarik minat orang ramai menyertai kumpulan mereka. Bukan setakat itu sahaja, malah ia turut dijadikan bahan tarikan oleh kumpulan-kumpulan pengamal ilmu kebatinan yang berselindung di sebalik kemasyhuran nama tasawwuf. Kedapatan ramai dari kalangan ahli masyarakat yang terjebak dalam kumpulan pengamal ilmu kebatinan yang menyeleweng adalah disebabkan terpengaruh dengan perkara pelik dan luar biasa yang ditunjukkan. Tidak kurang juga yang mempelajari dan mengamalkan amalan yang menyimpang daripada landasan syariat dengan menyangka bahawa ia adalah sebahagian daripada amalan tasawwuf demi mencapai kekeramatan.

Para ulama tasawwuf telah meletakkan dasar dan menjelaskan pendirian mereka terhadap perkara berkaitan kekeramatan ini. Kekeramatan lahiriah bukanlah menjadi perkara utama dalam tasawwuf sekalipun ia sering dilaporkan terjadi di kalangan ahli sufi dan dicatat dalam karya-karya mereka. Penelitian terhadap huraian ahli tasawwuf mendapati bahawa mereka tidak memberikan tumpuan kepada perkara kekeramatan ini. Mereka sebenarnya merasa bimbang dengan kezahiran perkara-perkara seperti itu kerana ada kalanya ia menjadi istidraj. Mengenai hal ini `Ali al-Khawas menyatakan bahawa orang-orang yang telah mencapai tahap kesempurnaan merasa takut terjadinya kekeramatan pada diri mereka dan dengan terjadinya ia, mereka bertambah gementar dan takut kerana kemungkinan ia menjadi istidraj.

Di samping itu kekeramatan di sisi ahli tasawwuf adalah termasuk dalam perkara-perkara yang dikira sebagai karenah nafsu. Ibn `Arabi telah menyebut tentang perkara ini dengan menyatakan bahawa jelas kekeramatan zahir itu di sisi tokoh-tokoh besar tasawwuf termasuk dalam himpunan karenah-karenah nafsu, kecuali sekiranya ia bertujuan menolong menegakkan agama atau kerana sesuatu maslahat. Ini kerana Allah itulah yang melakukan (menzahirkan) kekeramatan, bukan diri mereka sendiri dan inilah penyaksian batin mereka. Tiada kekhususan atau keistimewaan kecuali terjadinya perkara yang menyalahi adat itu pada diri mereka, tidak pada yang lain daripada mereka.

Menurut ahli tasawwuf, kekeramatan zahir bukanlah menjadi ukuran atau tanda keutamaan, kelebihan dan ketinggian darjat seseorang yang mencapai tahap kewalian. al-Yafi`i telah menjelaskan tentang perkara ini dengan menyatakan bahawa tidak semestinya setiap wali yang terjadi pada dirinya kekeramatan zahir itu lebih utama daripada wali yang tidak terjadi pada dirinya kekeramatan tersebut. Bahkan kadang-kadang mereka yang tidak terjadi pada diri mereka kekeramatan hissi lebih utama daripada mereka yang terjadi pada diri mereka kekeramatan hissi tersebut. Ini kerana kekeramatan itu kadang-kadang bertujuan menguatkan keyakinan dan menjadi bukti kebenaran dan kelebihan, bukan keutamaan, kerana keutamaan itu adalah berdasarkan kekuatan keyakinan dan kesempurnaan ma`rifah terhadap Allah.

Ketidakzahiran kekeramatan zahir itu pula tidak dikira sebagai mencacatkan kewalian seseorang. al-Qushayri menjelaskan bahawa sekiranya tidak terjadi pada diri wali itu kekeramatan di dunia ini, maka ketiadaan kekeramatan tersebut tidak mencacatkan keadaannya sebagai seorang wali.

Malahan, kadang-kadang wali yang tidak terjadi kekeramatan zahir, lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya daripada orang yang terjadi kekeramatan zahir. Ini kerana bukan semua wali yang mendapat kekeramatan hissi bererti telah mencapai tahap kesempurnaan istiqamah (tetap dan teguh iman dan amal), malah kadang-kadang dikurniakan kekeramatan itu kepada orang yang belum sempurna istiqamah. Mengenai hal ini Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili menyatakan bahawa kadang-kadang dikurniakan kekeramatan zahir itu kepada orang yang belum sempurna istiqamah dan kadang-kadang dikurniakan juga kepada orang yang mendapat istidraj (perdayaan).

Kekeramatan yang menjadi tumpuan dan nilaian ahli tasawwuf ialah kekeramatan maknawi (karamah haqiqiyyah / karamah ma`nawiyyah). Mengenai hal ini Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili menjelaskan bahawa apa yang menjadi perhatian dan penilaian ialah kekeramatan yang sebenar iaitu tercapainya istiqamah yang mencapai tahap kesempurnaan. Ia merujuk kepada dua perkara iaitu iman yang betul terhadap Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. zahir dan batin. Imam al-Qushayri pula mengira kekeramatan maknawi tersebut sebagai kekeramatan yang paling besar yang dikurniakan kepada para wali. Mengenai hal ini beliau menyatakan bahawa antara kekeramatan yang paling agung bagi para wali ialah sentiasa mendapat taufiq bagi melakukan ketaatan dan terpelihara daripada maksiat serta perkara yang menyalahi syariat. Kekeramatan maknawi ini menurut Shaykh Muhy al-Din ibn `Arabi, hanya dikenali oleh golongan khusus daripada kalangan hamba Allah, sedangkan orang awam tidak mengenalinya.

Penutup

Dari penjelasan yang telah dibuat dapat disimpulkan bahawa tasawwuf merupakan maqam Ihsan yang menjadi sebahagian daripada rukun agama. Tasawwuf mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan aqidah di mana aqidah itu adalah asasnya dan tasawwuf itu berfungsi memperkukuh dan memurnikannya. Demikian juga tasawwuf itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan syariat di mana syariat itu adalah laluan untuk mencapai tasawwuf dan tasawwuf itu pula berfungsi memantapkan lagi perlaksanaan terhadap syariat. Syariat tidak boleh dipisahkan daripada tasawwuf dan tidak ada pertentangan di antara kedua-duanya. Tasawwuf bukanlah suatu keanehan dan kepelikan tetapi ia adalah maqam `ubudiyyah.

_____________________________

Rujukan

  • al-Naysaburi, Muslim ibn al-Hajjaj al-Qushayri. 1954 M/ 1374 H. Sahih Muslim. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.
  • al-Tirmidhi, Muhammad ibn `Isa. t.th. Al-Jami` al-Sahih Sunan al-Tirmidhi. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.
  • Ibn Hanbal, Ahmad al-Shaybani. t.th. Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal. Jil.1,2,3, & 4. Misr: Muassasah Qurtubah.
  • al-Madani, Mustafa. 1316. Al-Nusrah al-Nabawiyyah. Misr: al-Matba`ah al-Amiriyyah.
  • al-Sulami, Abu `Abd al-Rahman. 1372. Tabaqat al-Sufiyyah. Misr: Matba`ah Dar al-Kitab al-`Arabi.
  • Ibn `Ajibah, Ahmad. 1331 H. al-Futuhat al-Ilahiyyah fi Sharh al-Mabahith al-Asliyyah.t.tp: al-Matba`ah al-Jamaliyyah.
  • Ibn `Ajibah, Ahmad. 1983 M/1403 H. Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam. Jil.1 & 2. Bayrut: Dar al-Kitab al-`Arabi.
  • Ibn `Ajibah, Ahmad. 1355 H. Mi`raj al-Tashawwuf ila Haqa´iq al-Tasawwuf. t.tp: Matba`ah al-I`tidal.
  • al-Tusi, Abu Nasr al-Sarraj. 1960. Al-Luma` fi al-Tasawwuf. Qahirah: Dar al-Kutub al-Hadithah, Baghdad: Maktabah al-Mathna.
  • al-Qushayri, `Abd al-Karim ibn Hawazin. 1990. al-Risalah al-Qushayriyyah. Bayrut: Dar al-Jayl.
  • Mahmud, `Abd al-Halim. t.th. Qadiyyat al-Tasawwuf: al-Munqidh min al-Dalal. Qahirah: Dar al-Ma`rifah.
  • al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1988. al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma`rifat Qawa´id al-Sufiyyah. Jil.1. Bayrut: Maktabah al-Ma`arif.
  • al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1321. Lata´if al-Minan wa al-Akhlaq. Misr: al-Matba`ah al-Maimaniyyah.
  • al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1311. Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah fi Bayan al-`Uhud al-Muhammadiyyah. Jil.1. Matba`ah al-`Amirah al-`Uthmaniyyah.
  • al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. t.th. al-Tabaqat al-Kubra. Bayrut: al-Maktabah al-Sha`biyyah.
  • Badawi, `Abd al-Rahman. 1978. Shathat al-Sufiyyah. Jil.1. Kuwait: Wakalah al-Matbu`ah.
  • al-Qari, Mula `Ali Nur al-Din Muhammad.1352. Sharh `Ayn al-`Ilm wa Zayn al-Hilm. Jil.1. Bayrut: Dar al-Ma`rifah.
  • al-Kumushkhanawi, Ahmad. 1328. Jami` al-Usul fi al-Awliya’. Qahirah: t.pt.
  • Mohd. Sulaiman Hj. Yasin. 1989. Mengenal Ilmu Tasawuf. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Menteri, Jabatan Perdana Menteri.
  • Surur, Taha `Abd al-Baqi. 1368. Shakhsiyyat Sufiyyah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
  • al-Zubaydi, Muhammad ibn Muhammad al-Husayni. t.th. Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin. Jil.1,4 & 9. Bayrut: Dar al-Fikr.
  • al-Hujwiri, `Ali ibn `Uthman al-Jallabi. t.th. Kashf al-Mahjub. Qahirah: Matba`ah al-Ahram al-Tijariyyah.
  • al-Jaza´iri, `Abd al-Qadir. 1344. al-Mawaqif. t.tp: Matba`ah al-Shabab.
  • al-Iskandari, Taj al-Din Ahmad ibn Ahmad ibn `Ata’ Allah. 1961 M/ 1381 H. Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
  • al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1968. Al-Fath al-Rabbani wa al-Fayd al-Rahmani. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
  • al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1330. Futuh al-Ghayb. Misr: Matba`ah Sharikah al-Tamaddun al-Sina`iyyah.
  • al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1956. Al-Ghunyah li Talib Tariq al-Haq. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
  • al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1986/1406. Khulasat al-Tasanif fi al-Tasawwuf (pnyt.) Muhammad Amin al-Kurdi. Dlm. Majmu`at Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
  • al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1989. Minhaj al-`Abidin. Bayrut: Dar al-Jayl.
  • al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1986 M/ 1406 H. Rawdat al-Talibin wa `Umdat al-Salikin. Dlm. Majmu`at Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
  • al-Kurdi, Muhammad Amin.t.th. Tanwir al-Qulub. Qahirah: Dar al-Fikr.
  • al-Shawkani, Muhammad ibn `Ali ibn Muhammad. 1992 M/ 1312 H. Irshad al-Fuhul. Jil.1. Bayrut: Dar al-Fikr.
  • al-Sahrawardi, Abu Najib `Abd al-Qahir. 1983. `Awarif al-Ma`arif. Bayrut: Dar al-Kitab al-`Arabi.
  • Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman ibn Muhammad. t.th. al-Muqaddimah. Misr: Matba`ah al-Bahiyyah.
  • Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman ibn Muhammad. t.th. Shifa’ al-Sa´il li Tahdhib al-Masa´il. Bayrut: al-Matba`ah al-Kathulikiyyah.
  • Ibn `Abidin, Muhammad Amin. 1386 H/1966 M. Hashiah Radd al-Mukhtar `ala al-Durr al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar fi Fiqh Madhhab al-Imam Abi Hanifah al-Nu`man. Jil.3. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
  • al-Tirmidhi, Muhammad ibn `Ali al-Hakim. t.th. Khatm al-Awliya’. Bayrut: al-Matba`ah al-Khathulikiyyah.
  • al-Jurjani, al-Sayyid `Ali ibn Muhammad. 1938. al-Ta`rifat. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
  • `Afifi, Abu al-`Ula. 1963. al-Tasawwuf: al-Thawrah al-Ruhiyyah fi al-Islam. Iskandariyyah: Dar al-Fikr.
  • al-Yafi`i, `Abd Allah. 1961 M/ 1381 H. Nashr al-Mahasin al-Ghaliyah fi Fadl al-Mashayikh al-Sufiyyah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
  • Ibn `Arabi, Muhy al-Din Muhammad ibn `Ali. t.th. al-Futuhat al-Makkiyyah. Jil.2. Bayrut: Dar al-Sadir.
  • Saqr, Hamid. 1380. Nur al-Tahqiq. Misr: Matba`ah Dar al-Ta’lif.
  • Haji Khalifah, Mustafa ibn `Abd Allah. 1360. Kashf al-Zunun `an Asami al-Kutub wa al-Funun. Jil.1. t.tp: Matba`ah al-Ma`arif al-Turkiyyah.
  • Zaruq, Ahmad. 1318. Qawa`id al-Tasawwuf. Qahirah: Matba`ah Misr.
  • al-Dahlawi, Ahmad ibn `Abd al-Rahim. t.th. Al-Qawl al-Jamil. t.pt.

 

PANDANGAN IBN TAIMIYYAH DALAM TASAWWUF


Pandangan Ibn Taimiyyah Dalam Tasawwuf.

Hafiz Firdaus Abdullah

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا, من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له. ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

Pendahuluan

Topik”Pandangan Ibn Taimiyyah dalam Tasawwuf”adalah satu persoalan yang amat penting kepada masyarakat Islam. Paling kurang kepentingan ini terletak dalam dua sudut:

  1. Membetulkan salah anggap sebahagian masyarakat Islam yang cenderung kepada ilmu tasawwuf bahawa kononnya Ibn Taimiyyah menolak ilmu tasawwuf secara keseluruhannya, malah bertindak keras untuk membasminya.

  2. Menjernihkan salah faham sebahagian lain masyarakat Islam yang cenderung kepada manhaj Ibn Taimiyyah akan tetapi tidak menguasainya secara keseluruhan. Mereka tersalah faham bahawa kononnya Ibn Taimiyyah menolak dan membasmi ilmu tasawwuf lalu dengan itu mereka juga menolak dan membasmi ilmu tasawwuf.

Insya-Allah dalam ruangan yang serba terbatas ini, penulis akan cuba untuk membetulkan salah anggap dan menjernihkan salah faham di atas. Atas dasar ini penulis membahagikan kertas kerja ini kepada dua bahagian utama, Bahagian Pertama memberi pengenalan umum kepada ilmu tasawwuf manakala Bahagian Kedua membahas pandangan Ibn Taimiyyah dalam ilmu tasawwuf.

 

Bahagian Pertama:
Pengenalan Kepada Ilmu Tasawwuf.

Pengertian Tasawwuf.

Para pengkaji ilmu tasawwuf berselisih pendapat tentang pengertian atau definisi tasawwuf. Perselisihan mereka bermula dari perkataan Sufi

(الصوفي) itu sendiri. Ada yang membahas dari sudut maksudnya, ada yang membahas dari sudut asal usulnya dan ada yang membahas dari sudut masa kelahiran perkataan itu sendiri.

Akan tetapi di antara perselisihan ini, yang rajih ialah perkataan”Sufi”hanyalah satu julukan atau gelaran. Yang penting bukanlah perkataan tetapi intipati dan kandungan yang dibawa oleh perkataan tersebut. Pengertian”Sufi”di sisi ‘Abd al Qadir al-Jilani rahimahullah (561H) ialah orang yang berjaya merealisasikan ciri-ciri murni serta sifat-sifat mulia sehingga dia berhak untuk disebut sebagai seorang Sufi. Beliau menulis:

Sufi diambil dari kata al-Mushafaat, iaitu seorang hamba yang disucikan Allah atau orang yang suci daripada penyakit jiwa, bersih dari sifat-sifat tercela, menempuh mazhabnya yang terpuji dan mengikuti hakikat serta tidak tunduk kepada salah seorang makhluk.

Dalam ketika yang lain ‘Abd al-Qadir al-Jilani berkata:

Sufi ialah orang yang bersih batinnya dan zahirnya serta mengikuti Kitab Allah (al-Qur’an) dan Sunnah Rasul-Nya.

Kembali kepada perbahasan asal kita tentang pengertian tasawwuf (التصوف) (al-Tashawwuf), ‘Abd al-Qadir al-Jilani mengertikannya sebagai

Tasawwuf ialah percaya kepada Yang Haq (Allah) dan berperilaku baik kepada makhluk.

Pengertian ini beliau jelaskan sebagai berikut:

Yaitu bertaqwa kepada Allah, mentaati-Nya, menerapkan syari‘at secara zahir, menyelamatkan hati, memperkayakan hati, mengindahkan wajah, berdakwah, mencegah penganiayaan (ke atas orang lain), sabar menerima penganiayaan dan kefakiran, menjaga kehormatan guru, bersikap baik dengan saudara, menasihati orang kecil dan besar, meninggalkan permusuhan, bersikap lemah lembut, melaksanakan keutamaan, menghindari dari menyimpan (harta benda), menghindari persahabatan dengan orang yang tidak setingkat (dalam keimanan) dan (akhirnya) tolong menolong dalam urusan agama dan dunia.

Daripada nukilan-nukilan di atas, jelas bahawa pengertian Tasawwuf di sisi ‘Abd al-Qadir al-Jilani ialah ciri-ciri murni dan sifat-sifat mulia yang patut diterapkan oleh orang Islam ke atas dirinya. Penerapan ini dilakukan dengan bermujahadah, yakni pertarungan ruhani untuk mengawal dan menumpaskan nafsu yang tercela. Apabila seseorang itu berjaya menerap dan merealisasikan ciri-ciri murni dan sifat-sifat mulia tersebut, barulah dia digelar sebagai seorang Ahli Sufi.

Pengertian Tasawwuf dan Sufi yang diberikan oleh ‘Abd al-Qadir al-Jilani di atas mungkin berbeza dengan tokoh-tokoh tasawwuf yang lain. Namun jika dicermati perbezaan-perbezaan ini, akan didapati bahawa kesemuanya tetap mengarah kepada maksud yang satu. Hal ini sepertimana yang dirumuskan oleh ‘Abd al-Fatah Ahmad al-Hawi:

Secara ringkasnya Risalah al-Qusyairiyyah, Hilyah al-Auliya’, Tazkirah al-Auliya’ dan lain-lain buku yang memperkatakan tentang tasawwuf dipenuhi dengan ratusan lafaz dan cerita tentang ahli sufi dan ahli tasawwuf. Kesemuanya memiliki perbezaan ta’bir dan sumber pengambilan. Namun begitu kesemuanya tetap menuju kepada satu tujuan sahaja, iaitu menghindarkan diri daripada kelazatan dunia, membersihkan jiwa dan berusaha mencapai cinta Illahi dalam ruang lingkup ketinggian rohani dan mujahadah nafsu.

Kepentingan Ilmu Tasawwuf.

Setiap manusia memiliki lima unsur yang penting di dalam dirinya. Lima unsur tersebut adalah (1) Ruh, (2) Qalbu atau hati, (3) Hawa nafsu atau Syahwat, (4) Jasad dan (5) Anggota Badan. Peranan kelima-lima unsur ini boleh diumpamakan sebagai sebuah kerajaan di mana Ruh adalah Sultannya, Qalbu adalah singgahsananya, Hawa Nafsu adalah musuh dalaman, Jasad adalah wilayah kekuasaannya dan Anggota Badan adalah rakyatnya.

Di antara lima unsur ini, sentiasa wujud persaingan antara Ruh sebagai Sultan yang ingin memerintah dengan adil dan Hawa Nafsu sebagai musuh dalaman umpama”duri dalam daging”yang berusaha untuk menzalimi rakyat, malah berhasrat menghancurkan wilayah kekuasaan dan pemerintahan Sultan.

Oleh kerana itu Sultan hendaklah sentiasa berwaspada terhadap perancangan Musuh dan memerhatikan gerak gerinya. Sultan perlu memantau apa-apa tindakan musuh yang akan menzalimi rakyat, apatah lagi jika musuh bertindak ganas untuk menghancurkan wilayah kekuasaannya dan merebut tahta pemerintahannya. Jika tidak rakyat akan ditindas, wilayah akan dijajah oleh musuh luar sementara musuh bermaharajalela membuat kezaliman. Selain daripada itu, Sultan juga sentiasa perlu meningkatkan kecemerlangan dirinya sebagai seorang pemerintah. Dia sentiasa perlu meluaskan ilmunya, meningkatkan iman dan taqwanya, memperbaiki ciri-ciri kepimpinannya ke atas wilayah dan rakyat seperti memiliki wawasan untuk mencapai sesuatu yang jauh lebih baik dan besar pada masa akan datang.

Sebagaimana perumpamaan kerajaan di atas, demikianlah juga peranan unsur-unsur Ruh, Qalbu, Hawa Nafsu, Jasad dan Anggota Badan. Aktiviti Ruh ke atas Hawa Nafsu dinamakan Mujahadah manakala aktiviti Ruh untuk mencemerlangkan dirinya dinamakan Tazkiyat al-Nafs. Ruh sentiasa bermujahadah ke atas Hawa Nafsu supaya dengan itu Hawa Nafsu tidak mengganggu atau mempengaruhi Jasad dan Anggota Badan dengan perbuatan-perbuatan mungkar yang dilarang oleh syari‘at. Ruh juga bermujahadah ke atas Hawa Nafsu agar dengan itu Qalbu tidak diusik oleh Hawa Nafsu dengan sifat-sifat yang tercela. Pada waktu yang sama Ruh sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangannya sendiri agar ia dihiasi dengan sifat-sifat mulia. Sifat-sifat mulia ini kemudian akan terpancar keluar hingga memberi pengaruh kepada Qalbu, Jasad dan Anggota Badan.

Ilmu Tasawwuf berperanan membantu Ruh untuk melakukan Mujahadah ke atas Hawa Nafsu dan pada waktu yang membantu meningkatkan lagi kecemerlangan Ruh itu sendiri. Tujuannya tidak lain supaya Ruh dan segala yang dipimpinnya berjaya menjadi manusia yang mulia di sisi Allah dan mencapai kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat.

Di sini perlu ditekankan bahawa untuk merealisasikan tujuan di atas, ilmu tasawwuf tidak berperanan secara tersendiri atau berasingan. Ia bergandingan bahu dengan lain-lain ilmu syari‘at Islam seperti aqidah yang tulen di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan amal yang ikhlas lagi benar di sisi al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Setiap tokoh dan penuntut tasawwuf yang berada di atas jalan yang benar tidak sekali-kali akan memisahkan ilmu tasawwuf daripada lain-lain ilmu syari‘at.

Pada waktu yang sama, setiap individu Muslim yang berada di atas jalan yang benar tidak boleh mengasingkan ilmu tasawwuf daripada dirinya. Pengasingan daripada ilmu tasawwuf akan menyebabkan diri seseorang itu terserlah dengan sifat yang tercela seperti riya’, ujub, hasad, membazir, bakhil, malas, tidak berdisiplin, berburuk sangka dan pelbagai lagi sekalipun dia beriman kepada Allah dan mendirikan solat.

Malah pengasingan ilmu tasawwuf akan menyebabkan dia terhindar dari sifat-sifat mulia seperti al-Tawabah (sentiasa beristighfar dan bertaubat), al-Zuhd (membebaskan hati daripada mencintai dunia), al-Shabr (sabar), al-Syukr (berterima kasih), al-Ridha (rela terhadap Allah), al-Khauf (takut kepada Allah), al-Haya’ (malu kepada Allah), al-Raja’ (mengharapkan pertemuan dengan Allah), al-Faqr (berhajat kepada Allah), al-Tawakkul (berserah kepada Allah) dan al-Mahabbah (cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah).

Kesemua sifat yang mulia ini digaris dan dituntut oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih manakala ilmu tasawwuf hanya berperanan membantu umat Islam untuk mencapainya. Di sinilah letaknya kepentingan ilmu tasawwuf.

Beberapa Kritik Atas Ilmu Tasawwuf dan Jawapannya.

Menjadi lumrah manusia bahawa setiap yang baik itu pasti menerima kritikan dan ilmu tasawwuf tidak terkecuali. Berikut kita akan kupas secara ringkas tiga kritikan yang paling lazim dilontarkan kepada ilmu tasawwuf diikuti dengan jawapannya.

Kritikan Pertama:

Istilah”Tasawwuf”atau”Sufi”tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini menunjukkan bahawa ilmu tasawwuf tidak memiliki tempat di dalam Islam.

Jawapan:

Yang penting bukanlah istilah tetapi intipati dan kandungan yang dibawa oleh istilah tersebut. Istilah”Tasawwuf”dan”Sufi”memang tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah akan tetapi ilmu dan peranan yang dimiliki olehnya memiliki dasar daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sesiapa yang lazim mengkaji ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi akan mendapati kedua-dua sumber yang mulia ini sentiasa memberi perhatian ke arah membersihkan umat Islam daripada sifat-sifat yang tercela sambil menerapkan sifat-sifat mulia sebagaimana yang digariskan di atas.

Apabila mengupas istilah”Tasawwuf”, Abu Ishaq al-Syathibi rahimahullah (790H) berkata:

Merujuk kepada kata”Tasawwuf”di sisi mereka (Ahli Tasawwuf) ia menghasilkan dua makna: Yang pertama berakhlak dengan akhlak yang baik dan melepaskan diri dari akhlak yang rendah. Yang kedua ialah kebinasaan (الفناء) bagi diri manusia sendiri sedangkan keabadian (البقاء) adalah bagi Tuhan (Allah).

Kedua-duanya pada penelitian lanjut mengarah kepada makna yang satu. Hanya sahaja yang pertama ditujukan kepada tahap permulaan manakala yang kedua ditujukan kepada tahap akhir. Kedua-dua makna ini adalah satu penyifatan kecuali yang pertama tidak memerlukan kewujudan keadaan rohani (لا يلزمه الحال) manakala yang kedua memerlukan keadaan rohani (يلزمه الحال). Kedua-dua makna tersebut adakalanya diungkap dengan istilah yang lain, yang pertama adalah perbuatan yang dibebankan manakala yang kedua adalah hasil daripada perbuatan tersebut. Oleh itu yang pertama adalah penyifatan yang zahir manakala yang kedua adalah penyifatan yang batin. Perhimpunan kedua-duanya – itulah (yang dinamakan)”Tasawwuf.”

Jika telah sabit hal ini, maka perbicaraan tasawwuf dengan makna pertama bukanlah satu bid‘ah kerana sesunguhnya ia hanyalah merujuk kepada makna memahami (تفقه). (Dengan tasawwuflah) amal perbuatan dibangunkan dan perkara-perkara yang menjadi penghalangnya dapat dikenali secara terperinci. Termasuklah juga pembaikan ke atas perkara-perkara yang dapat menghindari keburukan. Dan ini adalah pemahaman yang benar (وهو فقه صحيح) yang dasar-dasarnya terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang jelas.[9]

Kritikan Kedua:

Di dalam sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia, tasawwuf tidak pernah dikenali sebagai satu cabang ilmu.

Jawapan:

Diakui bahawa pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tasawwuf tidak pernah dikenali sebagai satu cabang ilmu. Demikianlah juga dengan ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu hadis, ilmu tafsir, ilmu usul fiqh, ilmu nahwu (bahasa) dan pelbagai lagi.

Semua ilmu ini, termasuk ilmu tasawwuf, hanya muncul pada masa terkemudian apabila tamadun dan peradaban umat Islam berkembang luas, ditambahi pula dengan pelbagai pengaruh yang datang dari luar Islam. Sebagai contoh, ilmu hadis tidak pernah wujud di zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi setelah munculnya pelbagai fitnah dari dalam dan luar umat, para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengusulkan ilmu hadis yang dengannya dapat dibezakan antara hadis yang sahih, dha‘if dan sebagainya. Di sini ilmu hadis berperanan sebagai medium yang membolehkan umat mencapai tujuan, iaitu untuk mentaati dan mengikuti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ilmu hadis bukanlah agama baru tetapi ia adalah alat yang menyampaikan umat kepada tuntutan agamanya yang asal, iaitu agama Islam.

Demikian juga bagi ilmu tasawwuf. Ia muncul apabila umat Islam tenggelam di dalam keburukan akhlak dan kecelaan moral kerana ghairah mengejar permainan dunia. Ini menyebabkan para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengusulkan ilmu tasawwuf yang dengannya umat dapat kembali kepada sifat-sifat mulia lagi di pertengahan antara dunia dan akhirat. Ilmu tasawwuf bukanlah agama baru tetapi ia adalah medium atau alat yang menyampaikan umat kepada tuntutan agamanya yang asal, iaitu agama Islam.

Sayyid Nur bin Sayyid ‘Ali memiliki penjelasan yang baik untuk menjawab fitnah ini:[10]

Antara sebab utama yang menjadikan orang keliru ialah penggunaan istilah tasawwuf yang bukan pada tempatnya. Pada kenyataannya, tasawwuf adalah satu istilah bagi jalan transformasi untuk memperbaiki hati (إصلاح القلوب) dan penyucian jiwa (تزكية النفوس). ……Para tokoh tasawwuf berpendapat bahawa terdapat kepelbagaian cara (flexibility) (مرونة في باب الوسائل) untuk mencapai maksud agama (المقاصد الدينية). Mereka memandang bahawa peletak garis syari‘at, yakni Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah membatasi jalan dan medium agama kepada formula atau teknik yang terbatas.

……Akan tetapi tugas perancangan formula dan teknik itu diserahkan kepada para ulama peneliti (المحققين) yang memiliki mata hati (بصيرة) dengan syarat formula dan teknik tersebut (1) memiliki asas (مستنبطة) daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, (2) tidak bertentangan dengan nas-nas syara’, (3) tidak menyerupai atau menandingi ibadah yang sudah sedia disyari‘atkan, (4) tidak dijadikan satu iktikad oleh orang ramai sebagai jalan ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah Ta‘ala.

Di tempat yang lain Sayyid Nur bin Sayyid ‘Ali mengulas lanjut:[11]

Para ulama’ memandang bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan (umat) untuk menuntut ilmu-ilmu syara’ sedangkan baginda tidak menentukan medium tertentu untuk mencapai kehasilannya. Akan tetapi baginda menyerahkannya kepada para ulama’ peneliti yang memiliki mata hati untuk mempertimbangkannya sesuai dengan tuntutan waktu dan tempat. Maka dengan itu bangkitlah para ulama’ menyajikan pelbagai medium selari dengan tuntutan keadaan tempat dan masa, dengan catitan bahawa ia (medium-medium) tersebut tetap memelihara ruh syari‘at, berdasarkan kaedah-kaedah yang disepakati ke atasnya. Mereka (para ulama’) tampil menyatakan bahawa itu semua (medium-medium yang disajikan) tidak lain hanya memiliki kedudukan sebagai medium untuk mencapai tujuan syari‘at.

Akhir sekali Sayyid Nur bin Sayyid ‘Ali menukil kata-kata Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah (1420H):

Perkara tersebut pada realitinya bukanlah bid‘ah kerana ia hanyalah medium untuk memungkinkan sampai kepada apa yang disyari‘atkan. Medium tersebut mungkin berbeza-beza selari dengan perbezaan tempat dan waktu.

Termasuk daripada kaedah yang telah ditetapkan, bahawa medium-medium tersebut memiliki maksud-maksud hukum (أحكام المقاصد), maka medium untuk mencapai yang apa disyari‘atkan adalah disyari‘atkan manakala medium untuk mencapai apa yang tidak disyari‘atkan adalah tidak disyari‘atkan. Mendirikan sekolah, menyusun ilmu dan mengarang buku, walaupun merupakan satu bid‘ah kerana tidak ditemui pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bentuk sepertimana sekarang, (ia bukanlah bid‘ah yang dilarang syari‘at kerana) ia bukanlah maksud tetapi hanya medium di mana medium termasuk di dalam maksud-maksud hukum.

Kritikan Ketiga:

Di dalam ilmu tasawwuf terdapat banyak penyelewengan dan amalan bid‘ah yang dilarang, bahkan terkeluar daripada garis-garis syari‘at Islam.

Jawapan:

Kritikan di atas memiliki kebenaran di satu sudut dan kesalahan di sudut yang lain. Kebenarannya adalah di dalam ilmu dan pengamalan tasawwuf terdapat penyelewengan dan amalan bid‘ah yang dilarang. Kesalahannya adalah, kritikan di atas tidak boleh digeneralisasikan ke atas ilmu tasawwuf secara keseluruhannya.

Ilmu tasawwuf, sebagaimana juga ilmu-ilmu yang lain, tidak selamat daripada pelbagai kesilapan ijtihad dan perbuatan keliru. Justeru sikap yang benar lagi adil adalah meneliti dan membezakan antara ilmu tasawwuf yang benar dan salah. Apa yang selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah diambil manakala apa yang bertentangan dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah ditolak. Ilmu tasawwuf tidak boleh ditolak keseluruhannya semata-mata kerana adanya pencemaran daripada kesilapan ijtihad para tokohnya dan perbuatan keliru para pengikutnya.

Apabila membandingkan antara ilmu tasawwuf yang wujud pada zaman awal Islam dengan ilmu tasawwuf terkemudian yang dicemari dengan pelbagai penyelewengan dan bid‘ah, Abu Ishaq al-Syatibi rahimahullah menulis:

Sesungguhnya telah masuk ke dalam (ilmu tasawwuf terkemudian) perkara-perkara yang merosak dan bid‘ah oleh kaum tasawwuf sendiri setelah zaman mereka berada jauh daripada al-Salaf al-Shalih. Mereka mendakwa memasukkan ke dalam ilmu tasawwuf sesuatu yang selain daripada jalan-jalan syari‘at padahal mereka tidak memahami maksud sebenar ahli-ahlinya (ahli tasawwuf sebelum mereka).

Mereka juga memperkatakan tentang (ahli tasawwuf sebelum mereka) apa yang sebenarnya tidak diperkatakan sehingga pada akhir zaman ini (kurun ke 8H) seolah-olah wujud sebuah syari‘at lain yang tidak dibawa oleh Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka (ahli tasawwuf terkemudian) mengagungkannya sehingga meremehkan ikutan kepada sunnah (Rasulullah) bahkan menyakini bahawa mencipta ibadah (yang baru) adalah jalan yang benar untuk beribadah. Padahal jalan (ahli tasawwuf sebelum mereka) bebas daripada perkara-perkara buruk tersebut, segala puji bagi Allah.

Yang sebenarnya merosakkan ilmu tasawwuf adalah orang-orang jahil yang melakukan pelbagai penyelewengan dan bid‘ah lalu kemudian menyandarkannya atas nama”tasawwuf.”Sayyid Nur bin Sayyid ‘Ali, seorang tokoh tasawwuf masa kini mengkritik keras orang-orang seperti ini:

Pemahaman orang-orang yang keliru menganggap tasawwuf ialah satu penciptaan ibadah yang baru di dalam Islam yang bercampur dengan tarian, memukul rebana dan meniup seruling syaitan. Demikian juga, diselenggarakan majlis-majlis zikir dan pesta-pesta di kawasan perkuburan atas nama al-Sima’ (السماع) dan (demi majlis perkahwinan) pengantin. Diselenggarakan juga pesta-pesta mawlid Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, berdiri untuk berselawat kepada Nabi, menghampiri perkuburan, menyampaikan nazar, memberi kurban atas nama para wali di perkuburan untuk meminta hajat dan meminta pertolongan daripada pemilik kubur.

Kita berlindung kepada Allah Ta‘ala daripada kesesatan-kesesatan ini dan kita berlindung kepada Allah Ta‘ala daripada kemurkaan-Nya. Bagaimana mungkin para pembuat bid‘ah dapat menyebarkan perbuatan-perbuatan bid‘ah dan kurafat ini atas nama tasawwuf?

……(yang benar) semua jalan Sufisme yang sesuai dengan ruh tasawwuf dan tujuan-tujuan penyucian serta selari dengan syarat dan batas yang disepakati berdasarkan Kitab Allah Ta‘ala (al-Qur’an) dan sunnah Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam, maka seluruhnya menjadi seumpama satu keluarga dalam satu rumah yang sama.[15] Adapun jalan yang disandarkan kepada”tasawwuf”akan tetapi ia berselisih dengan al-Qur’an dan al-Sunnah serta terkeluar daripada asas dan tujuan Sufisme maka janganlah membuka ruang untuk mereka masuk ke dalam golongan tasawwuf. Demikian juga, tidak dibolehkan bagi seorang jua untuk mempelajari doktrin Sufisme daripada para pembuat bid ‘ah ini.

Oleh itu sekali lagi ditekankan bahawa ilmu tasawwuf tidak boleh dikritik dan ditolak keseluruhannya semata-mata kerana wujudnya pelbagai pencemaran di dalamnya. Sikap yang benar lagi adil adalah meneliti dan mengambil daripada ilmu tasawwuf apa yang selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah manakala apa yang bertentangan diasingkan.

Tasawwuf Pada Masa Kini

Disebabkan jauhnya umat Islam masa kini dari ilmu agama yang sahih, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan kefahaman al Salaf al-Shalih, amat sukar untuk ditemui pengajian ilmu tasawwuf yang benar lagi tulen.

Sekali lagi diulangi bahawa musuh sebenar bagi ilmu tasawwuf bukan orang-orang yang mengkritiknya, tetapi orang-orang jahil yang mencipta pelbagai iktikad dan amalan yang aneh lalu menyandarkannya kepada tasawwuf.

Demikian juga dengan guru-guru (syaikh atau mursyid) yang ingin mendapat kemasyhuran dan pujaan dari manusia, mereka melakukan pelbagai helah atas nama tasawwuf agar dengan itu orang ramai menyembah, memuja dan menggunungkan mereka.

Semua ini menyebabkan ilmu tasawwuf telah berevolusi menjadi seolah-olah satu agama yang baru. Ia telah jauh menyimpang dari tujuan asalnya untuk membersihkan jiwa dari nafsu yang buruk dan memperbaiki akhlak ke arah ciri-ciri yang mulia.

Justeru dinasihatkan kepada para pembaca yang budiman sekalian agar amat berhati-hati sebelum menceburi ilmu tasawwuf. Bahkan tidak berlebihan jika dikatakan adalah lebih selamat untuk tidak menceburinya langsung.

Akan tetapi jika ada yang tetap ingin menceburinya, berikut dikemukakan tiga garis kasar bagi mengenal sama ada ia adalah pengajian tasawwuf yang tulen atau sebaliknya:

  1. Syaikh tasawwuf akan mendakwa dia memiliki kedudukan yang istimewa di sisi Allah. Dia akan mendakwa kerap kali menerima ilham, kasyaf dan mimpi dari Allah.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menerima kewujudan ilham, kasyaf dan mimpi sebagai kurniaan istimewa Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya yang terpilih. Akan tetapi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk membezakan sama ada ilham, kasyaf dan mimpi tersebut berasal dari Allah atau mainan syaitan semata-mata.

  1. Syaikh tasawwuf akan mendakwa dia menerima ilmu secara terus dari Allah. Ilmu tersebut lebih unggul dari ilmu yang diterima dari kertas (al-Qur’an) dan dari orang yang sudah mati (hadis/sunnah).
  2. Oleh kerana ciri 1 dan 2 di atas, iktikad dan amalan yang diajar oleh syaikh tasawwuf tersebut akan berbeza dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

Ketiga-tiga ciri di atas akan disampaikan dengan strategi berikut:

  1. Percakapan yang menggunakan susunan bahasa, nada dan gaya badan (body language) yang amat menyakinkan.
  2. Bertahap-tahap. Pada awalnya pengajian syaikh akan selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Akan tetapi perlahan-lahan, ia akan semakin jauh menyimpang.
  3. Tidak menerima soalan. Sesiapa yang suka bertanya, maka dia akan”terhijab dari kurniaan Allah”untuk mendapat maqam (kedudukan) yang lebih tinggi dari status orang awam.

Bahagian Kedua:
Pandangan Ibn Taimiyyah Dalam Tasawwuf.

Pandangan Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) dalam tasawwuf ialah pandangan yang adil lagi berdasarkan ilmu. Sifat adil ini menyebabkan beliau berada di pertengahan, tidak ekstrim ke kanan dalam menerima apa sahaja yang disandarkan atas nama tasawwuf dan tidak ekstrim ke kiri dalam menolak apa sahaja yang disandarkan atas nama tasawwuf. Ukuran yang beliau gunakan untuk berada di pertengahan antara dua ekstrim di atas adalah ilmu yang diambil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan pemahaman generasi al-Salaf al-Shalih.

Untuk memperoleh gambaran sebenar tentang sikap pertengahan Ibn Taimiyyah ini, tiada cara yang lebih baik melainkan dengan merujuk kepada hasil tulisan beliau sendiri. Akan tetapi memandangkan tulisan-tulisan Ibn Taimiyyah dalam subjek tasawwuf ini sangat luas dan banyak, penulis hanya akan mengemukakan beberapa nukilan sahaja sesuai dengan tajuk dan ruang lingkup kertas kerja ini. Kita mulakan dengan mengkaji pandangan umum Ibn Taimiyyah dalam tasawwuf.

[1]      Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Ilmu Tasawwuf.

Sepertimana yang disebut di atas, sikap Ibn Taimiyyah tentang tasawwuf adalah di jalan pertengahan antara ekstrim yang menerima secara keseluruhan dan ekstrim yang menolak secara keseluruhan. Beliau berkata:[16]

Sekumpulan orang menerima (secara keseluruhan) baik yang benar tentang tasawwuf mahupun yang salah tentang tasawwuf manakala sekumpulan lagi mengingkari (secara keseluruhan) baik yang benar tentang tasawwuf mahupun yang salah tentang tasawwuf. Ini sebagaimana segolongan ahli kalam dan ahli fiqh. Sikap yang benar adalah, sesungguhnya sesuatu itu diterima – sama ada berkenaan tasawwuf atau selainnya – hanya apabila ia selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Dan sesuatu itu diingkari – sama ada berkenaan tasawwuf atau selainnya – apabila ia berselisihan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Di tempat yang lain Ibn Taimiyah berkata:

Dalam tasawwuf wujud orang yang benar dan orang yang silap sebagaimana yang ditemui pada orang-orang selain mereka (dalam bidang yang lain). Tidaklah pada perkara yang sedemikian menandingi para sahabat dan tabi‘in (kerana) tidak ada seorang jua yang maksum dalam setiap perkataannya (pendapatnya) kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Maksud Ibn Taimiyyah, kesilapan-kesilapan yang wujud di kalangan sebahagian ahli tasawwuf tidaklah lebih berat atau lebih ringan daripada kesilapan generasi sahabat dan tabi‘in kerana semua manusia sedikit atau banyak pasti berbuat silap kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ibn Taimiyyah memperjelaskan lagi hal ini di tempat yang lain:

Penelitian ke atas persoalan ini mendapati bahawa (ilmu tasawwuf) mengandungi sesuatu yang terpuji dan yang tercela sebagaimana juga jalan (ilmu) yang lain. Yang tercela daripada ilmu tasawwuf adakalanya bersifat ijtihad dan adakalanya tidak. Kedudukan para ahli tasawwuf dalam perkara ini adalah sebagaimana kedudukan para ahli fiqh dalam mengeluarkan pendapat. Pendapat para ahli fiqh adakalanya turut tercela, apatah lagi pendapat ahli ibadah dan golongan orang ramai.

[2]      Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Ahli Tasawwuf.

Ibn Tamiyyah ialah seorang tokoh yang amat menghormati dan menyanjung tinggi tokoh-tokoh tasawwuf. Selagi mana mereka berada pada jalan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan pemahaman generasi al-Salaf al-Shalih, Ibn Taimiyyah akan menyebut nama mereka dengan penuh kehormatan, pujian dan sanjungan. Antara bukti yang paling jelas ialah kata-kata Ibn Taimiyyah berikut ini:

……bahawasanya mereka adalah para syaikh umat Islam dan para imam pemberi petunjuk yang dijadikan Allah Ta‘ala di lisan mereka kebenaran untuk ummah, (mereka itu ialah) seperti Sa‘id bin al-Musayyib, al-Hasan al-Bashri, ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, Malik bin Anas, al-Awza‘ie, Ibrahim bin Adham (160H), Sufyan al-Tsauri, al-Fadhil bin ‘Iyadh (187H), Ma‘aruf al-Karkhi (200H), al-Syafi‘ie, Abi Sulaiman (al-Darani) (215H), Ahmad bin Hanbal, Bisyr al-Hafi (227H), ‘Abd Allah bin al-Mubarak, Syaqiq al-Balkhie (194H) dan banyak lagi yang tidak dapat diperkira.

Contoh mereka yang terkemudian ialah al-Junaid bin Muhammad al-Qawarairi (297H), Sahl bin ‘Abd Allah al-Tustari (283H), ‘Umar bin ‘Utsman al-Makki (291H) dan orang-orang sesudah mereka sehinggalah kepada Abi Thalib al-Makki (386H), sehingga seumpama ‘Abd al-Qadir al-Kailani (561H)[20]…………

Adapun pandangan Ibn Taimiyyah tentang para tokoh tasawwuf yang lain, ia adalah pandangan yang berada di pertengahan antara memberi pujian dan kritikan. Antaranya beliau menulis:

Yang benar adalah, bahawasanya mereka (ahli tasawwuf) ialah orang yang bersungguh-sungguh (مجتهدون) dalam ketaatan kepada Allah sebagaimana juga kesungguhan orang selain mereka daripada kalangan yang taat kepada Allah. Maka di kalangan mereka terdapat orang yang terkehadapan (السابق) dalam menghampirkan diri (kepada Allah) sesuai dengan ijtihadnya dan di kalangan mereka terdapat juga orang yang cermat (المقتصد), yakni mereka yang daripada ahli kebaikan (أهل اليمين). Apapun, pada setiap golongan orang yang bersungguh-sungguh, kadang-kala dia tersilap. Maka di kalangan mereka ada yang berdosa lalu (di antara mereka) ada yang bertaubat atau tidak bertaubat.

Dan di antara yang menyandarkan diri kepada para ahli tasawwuf adalah orang yang zalim kepada dirinya sendiri lagi berbuat dosa terhadap tuhannya. Bahkan adakalanya yang menyandarkan diri para ahli tasawwuf adalah daripada kelompok ahli bid‘ah dan zindik. Namun di sisi para peneliti ahli tasawwuf, orang-orang seperti ini bukanlah daripada mereka.

Seperti al-Hallaj (309H) misalnya, kerana sesungguhnya ramai syaikh tasawwuf yang mengingkari dan mengeluarkannya daripada tarikat sufisme. Contohnya ialah al-Junaid bin Muhammad, penghulu tarikat sufisme (سيد الطائفة) dan orang selainnya. Ini sebagaimana yang disebut oleh al-Syaikh Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami di dalam kitabnya Thabaqat al-Shufiyyah dan al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib di dalam kitabnya Tarikh Baghdad.

Sikap pertengahan Ibn Taimiyyah juga menyebabkan dia menganggap yang paling utama ialah orang yang bertaqwa kepada Allah tanpa mengira sama ada orang tersebut cenderung kepada aliran tasawwuf atau selain tasawwuf. Apabila membahas pertanyaan tentang pembahagian kaum sufi kepada al-Fuqara’ (orang-orang yang fakir) dan sebagainya, beliau merumuskan:

Kesimpulannya, bahawa yang paling afdal di antara keduanya (ahli sufi dan fuqara’) adalah yang paling bertaqwa di antara keduanya. Maka jika seorang sufi bertaqwa kepada Allah maka dialah yang lebih afdal daripada seorang faqir, di mana dia (dengan sifat taqwa tersebut) melakukan amal yang disukai oleh Allah dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh-Nya. Maka dialah yang lebih afdal daripada orang faqir.

Dan jika orang faqir melakukan amalan yang disukai oleh Allah dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh-Nya, maka dialah yang lebih afdal daripada seorang sufi. Dan jika kedua-duanya (sufi dan faqir) bersamaan dalam melakukan amalan yang disukai (oleh Allah) dan meninggalkan selain daripada yang disukai (oleh Allah) maka darjat (keafdalan) kedua-duanya adalah sama.

(Ini kerana) para wali Allah adalah mereka yang beriman dan bertaqwa tanpa mengira apakah dia seorang faqir, ahli sufi, ahli fiqh, ahli ilmu, ahli perniagaan, tentera, ushawan (صانعا), pemimpin, hakim atau selainnya. Allah Ta‘ala berfirman:

أَلاَ إنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ. الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ.

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. [Yunus 10:62-63]

[3] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Kitab-Kitab Tasawwuf

Termasuk sikap pertengahan Ibn Taimiyyah ialah ke atas kitab-kitab karangan para tokoh tasawwuf. Beliau tidak mengkritik atau menolaknya habis-habisan, sebaliknya mengakui di dalamnya terdapat kebenaran dan kesilapan, kelebihan dan kekurangan. Beliau berkata:

Di dalam penulisan (kitab-kitab) zuhud dan tasawwuf terdapat perkara-perkara yang juga terdapat di dalam penulisan (kitab) fiqh dan pemikiran (الرأي), kedua-duanya mengandungi riwayat-riwayat yang sahih, lemah bahkan palsu. (Ia juga mengandungi) pendapat-pendapat yang benar, lemah bahkan batil. Adapun penulisan ilmu kalam, maka di dalamnya terdapat kebatilan yang amat berat (الباطل أعظم) dengan jumlah yang banyak, bahkan di dalamnya juga terdapat perbahasan-perbahasan yang bersifat zindik dan munafik.

Jika sekalipun wujud riwayat-riwayat yang sangat lemah dan palsu, itu bukanlah atas kesengajaan pengarangnya. Setiap pengarang adalah manusia yang pasti adakalanya tersilap tanpa mengira sama ada dia ahli tasawwuf, ahli tafsir atau ahli hadis. Ibn Taimiyyah menjelaskan hakikat ini:

Wujud di dalam kitab-kitab tasawwuf dan yang bercorak melembutkan hati (الرقائق) riwayat-riwayat yang sebahagiannya sahih, sebahagiannya lemah dan sebahagiannya palsu. Dalam hal ini bersepakat seluruh umat Islam bahawa tidak akan terlepas daripada kitab-kitab (karangan para tokoh) riwayat-riwayat yang seumpama (sebahagiannya sahih, lemah dan palsu). Hal ini dapat diperhatikan dalam kitab-kitab yang ditulis dalam subjek tafsir al-Qur’an. Bahkan bagi ahli hadis yang paling dekat (paling arif) dengan ilmu periwayatan, dalam kitab mereka wujud riwayat-riwayat yang seumpama (sebahagiannya sahih, lemah dan palsu). Maka bagaimana pula dengan para tokoh yang bukan ahli hadis?

Para pengarang yang terdiri daripada para imam sama ada dalam bidang fiqh, tasawwuf atau hadis, sekali sekala mereka meriwayatkan sesuatu yang tidak mereka ketahui bahawa ia adalah dusta (riwayat palsu). Ini adalah satu kelaziman bagi para agamawan yang jika mereka mengetahui ia adalah riwayat dusta, pasti mereka tidak akan berhujah dengannya.

[4] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Adab Guru dan Murid.

Antara disiplin yang penting di dalam ilmu tasawwuf ialah adab antara guru dan murid. Guru dianggap sebagai jalan atau medium yang dapat menyampaikan seorang murid kepada ketaatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ibn Taimiyyah mengiktiraf kepentingan adab antara guru dan murid. Akan tetapi beliau tidak bersetuju dengan sikap membataskan penuntutan kepada seorang guru sahaja. Beliau juga menekankan bahawa guru yang sebenar ialah mereka yang beriman, bertaqwa lagi arif dalam mengunggulkan al-Qur’an dan al-Sunnah di atas segala yang lain. Beliau berkata:[26]

Adapun tindakan sekelompok orang yang hanya menyandarkan dirinya kepada seorang syaikh tertentu, maka sememangnya tidak diragui bahawa manusia memerlukan siapa sahaja yang mereka dapat ambil (belajar) darinya (tentang) iman dan al-Qur’an. Ini sebagaimana yang diperoleh oleh para sahabat daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan yang diperoleh oleh para tabi‘in daripada mereka (para sahabat) sehingga yang sedemikian menghasilkan para pengikut generasi awal yang terbaik.

Justeru sebagaimana seseorang itu boleh belajar daripada sesiapa sahaja yang ahli dalam ilmu al-Qur’an dan yang seumpama maka demikian juga dia boleh belajar daripada sesiapa sahaja yang ahli dalam ilmu agama, baik yang lahir mahupun batin. Dan janganlah dibatasi proses pembelajaran kepada seorang syaikh tertentu sahaja kerana seseorang itu tidak memiliki hujah pada yang sedemikian untuk menyandarkan dirinya kepada syaikh tertentu sahaja.

Setiap orang yang dapat memberi manfaat yang tidak lain daripada manfaat agama, maka dialah syaikhnya dalam kemanfaatan tersebut. Bahkan setiap yang telah meninggal dunia namun perkataannya, perbuatannya dan pengaruhnya yang bermanfaat dalam agama sampai kepada manusia (yang masih hidup), maka dari sudut ini dia (manusia yang telah meninggal itu) adalah juga syaikh (bagi yang masih hidup). Maka atas dasar ini generasi salaf umat ini adalah syaikh kepada penggantinya, generasi sesudah generasi.

Oleh itu tidaklah boleh seseorang itu menyandarkan dirinya kepada seorang syaikh dengan memberi janji taat setia sebagai pengikutnya dan membataskan dirinya pada yang sedemikian. Akan tetapi kewajipannya ialah memberi janji taat setia kepada setiap orang yang beriman lagi arif dan bertaqwa, kesemuanya sekali tanpa mengira sama ada dia daripada kalangan para syaikh atau bukan. Tidak boleh mengkhususkan janji taat setia kepada seseorang melainkan padanya jelas kelihatan keimanan dan ketaqwaan (yang tinggi). Hendaklah didahulukan sesiapa yang mendahulukan Allah Ta‘ala dan Rasul-Nya dan hendaklah diutamakan sesiapa yang mengutamakan Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah Ta‘ala:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. [al-Hujerat 49:13]

Di tempat yang lain beliau menyambung:

Apabila para syaikh, para pemerintah dan selain mereka memerintahkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka taatlah perintah mereka. Akan tetapi jika mereka memerintahkan apa yang sebaliknya maka janganlah mentaati mereka kerana sesungguhnya tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam kemaksiatan kepada Allah. Tidak ada seorang jua (daripada para syaikh, para pemerintah dan selain mereka) yang maksum kecuali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ketentuan ini berlaku sekalipun ke atas seorang syaikh yang jelas terkenal dengan keagamaan dan keilmuannya.

Adapun orang yang mencipta bid‘ah yang nyata dan membuat kejahatan yang nyata, maka hendaklah diingkari bid‘ahnya dan kejahatannya serta jangan ditaati perintahnya berhubung dengan bid‘ah dan kejahatan tersebut. Akan tetapi jika dia atau orang selainnya memerintahkan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, maka wajib taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Ini kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah wajib terhadap setiap individu dalam setiap keadaan tanpa mengira siapa yang memerintah dengan perintah tersebut.

[5] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Maqamat dan Ahwal.

Termasuk dasar penting dalam ilmu tasawwuf ialah Maqamat dan Ahwal. Ibn Taimiyyah turut mempersetujui dasar ini. Beliau telah menyusun sebuah kitab khas dalam subjek Maqamat dan Ahwal, berjudul al-Tuhfah al-‘Iraqiyyah fi al-‘A’mal al-Qalbiyyah. Di pembukaannya beliau menulis:

Ini merupakan perbicaraan ringkas berkenaan amalan hati yang juga disebut sebagai al-Maqamat wa al-Ahwal, ia merupakan asas keimanan (أصول الإيمان) dan dasar-dasar agama (قواعد الدين). Seperti mencintai Allah dan Rasul-Nya, bertawakkal kepada Allah, mengikhlaskan agama kepada-Nya, syukur kepada-Nya, sabar ke atas hukum-Nya, takut dari-Nya, mengharapkan kepada-Nya dan seterusnya.

Demikianlah ini ditetapkan oleh sebahagian orang yang Allah wajibkan kebenaran ke atasnya dari kalangan orang-orang yang beriman dan kewajipan kita ialah menyambutnya dengan segera.

[6] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Syathahat al-Shufiyyah.

Antara perkara yang menyebabkan para tokoh tasawwuf dikritik ialah munculnya ungkapan-ungkapan yang pelik lagi memusykilkan daripada lisan mereka. Ungkapan-ungkapan ini disebut sebagai al-Syathahat (الشطحات).

Di sisi Ibn Taimiyyah, ungkapan-ungkapan tersebut tidak membawa apa-apa hukuman melainkan diperhatikan terlebih dahulu keadaan orang yang mengungkapkannya. Jika yang mengungkapkannya sedang tenggelam dalam kemabukan (السكر) Illahi dan kemusnahan (الفناء) kesaksian, dia dimaafkan kerana berkata-kata dalam keadaan tidak sedarkan diri. Jika diungkapkan dalam keadaan sedar, maka mungkin ia merupakan kelemahan tokoh tersebut untuk mengungkapkan kebaikan yang dia kehendaki atau mungkin tersilap dalam berijtihad antara yang hak dan batil.

Akan tetapi pada waktu yang sama ungkapan tersebut tidak boleh dijadikan hujah atau sumber ikutan bagi yang mendengarnya selagi mana ia tidak selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Beliau menulis:

(Apa) yang lahir daripada (orang tasawwuf) seumpama hal-hal ini (ungkapan-ungkapan), sesungguhnya ada yang dimaafkan kerana kelemahan dalam berijtihad atau sebetulnya pemikirannya pada saat itu tidak hadir. Namun orang yang mengikutinya tidak dimaafkan sebab kebenaran dan jalan (yang lurus) sudah tersangat jelas. Pada waktu yang sama, sekalipun keburukan-keburukan (orang yang mengeluarkan ungkapan tersebut) dimaafkan kerana disertai niat baik dan amal salih, menjelaskan antara yang terpuji dan yang tercela (daripada ungkapan tersebut) tetap diwajibkan supaya tidak bercampur aduk antara yang hak dan batil.

(Sebagai contoh) Abu al-Husain al-Nuri (290H) dan Abu Bakar al-Syibli (334H) – semoga Allah merahmati mereka berdua – adalah dua orang yang dikenali dengan pemikiran yang tidak hadir dalam diri mereka pada beberapa waktu sehingga al-Syibli pernah dibawa ke rumah sakit mental (مارستان) sebanyak dua kali. Manakala al-Nuri, semoga Allah merahmatinya, dia meninggal dunia di dalam hutan ketika dikalahkan oleh cinta yang disertai kerinduannya kepada tuhan sehingga hilang daya pemikirannya.

Sesiapa yang mengalami hal seperti itu, maka dia tidak boleh diikuti pada saat keadaannya seperti itu selagi mana ia tidak sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya. Dia dimaafkan dan diampunkan. Namun sekalipun dia memiliki keimanan, kesalihan, kejujuran dan kedudukan yang terpuji, tidaklah dia daripada kalangan orang yang besar – dia tidak lebih besar daripada orang-orang terdahulu daripada kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka (Muhajirin dan Ansar) dalam kebaikan.

Sesungguhnya mereka mengikuti (teladan Muhajirin dan Ansar) dengan ketaatan dan tidak berkata-kata kecuali yang indah dan baik. Tidak keluar daripada mereka perkataan yang (bersifat) dosa dan (memerlukan) takwil (seumpama syathahat tersebut) kerana ia tidak termasuk perintah Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah mengikutinya.

Di lembaran yang lain Ibn Taimiyyah menambah:

Hal ini, sepertimana keadaan kejiwaan kebanyakan orang salih, orang jujur dan orang yang memiliki pelbagai ahwal dan maqamat, salah seorang daripada mereka memiliki kecintaan yang benar dan intiuisi yang lurus akan tetapi dia tidak mampu untuk menyusun ungkapan yang menjelaskan maksudnya. Oleh kerana itu, dalam ungkapannya terjadi kesalahan dan keburukan padahal maksudnya adalah benar.

Salah seorang anak murid yang utama kepada Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (751H) memiliki penjelasan tambahan yang baik terhadap persoalan ini. Beliau menulis:

Ketahuilah dalam lisan kaum tasawwuf terdapat banyak metafora (di mana) ada ungkapan yang bersifat umum tetapi yang dimaksudkan adalah khusus dan ungkapan yang bersifat lafaz tetapi yang dikehendaki adalah isyaratnya dan bukan makna hakikinya. Lisan kaum tasawwuf tidak dimiliki oleh apa-apa aliran selain mereka. Kerana itu mereka berkata:”Kami adalah pemilik ungkapan bukan perkataan”atau”Ungkapan adalah bagi kami manakala perkataan adalah bagi selain kami”

 

Mereka (para tokoh tasawwuf) adakalanya mengatakan satu ungkapan yang diungkap oleh kaum atheis. Akan tetapi yang dikehendaki oleh mereka dengan ungkapan tersebut ialah makna (tertentu) yang bukan merupakan satu kerosakan. Akan tetapi ini menyebabkan timbulnya fitnah di antara dua kelompok, (yang pertama) adalah kelompok yang mengambil zahir ungkapan tersebut lalu menghukum orang yang mengungkapnya sebagai bid‘ah dan sesat. (Kelompok kedua) adalah mereka yang memerhatikan maksud dan tujuan ungkapan tersebut lalu membenarkan (kesemuanya) beserta isyarat-isyaratnya. (Akan tetapi wujud kelompok ketiga, iaitu) orang yang mencari kebenaran, dia akan (mengambil sikap pertengahan dengan) menerima daripada orang ahli kebenaran dan menolak daripada orang yang bukan ahli kebenaran.

Di tempat yang lain Ibn al-Qayyim menjelaskan lagi sikap tiga kelompok di atas dengan lebih terperinci:

Ungkapan-ungkapan syathahat menimbulkan fitnah kepada dua kelompok manusia:

Pertama adalah mereka yang terhijab daripada kebaikan-kebaikannya, daripada kelembutan jiwa serta kesejatian pergaulannya. Lalu mereka menyia-nyiakan (kebaikan-kebaikan) disebabkan syathahat tersebut serta mengingkarinya sehingga berburuk sangka kepada mereka (ahli tasawwuf) secara mutlak.

Cara seperti ini adalah satu permusuhan dan berlebih-lebihan. Seandainya setiap orang yang salah dan keliru ditolak secara keseluruhannya dan kebaikan-kebaikannya disia-siakan, maka akan hancurlah ilmu, disiplin serta peraturannya dan terlantarlah segala yang berkaitan dengannya.

Kedua adalah kelompok yang terhijab daripada melihat kecacatan dan kekurangan syathahat tersebut sehingga kemudiannya menduganya sebagai pembawa kebaikan lalu menerimanya secara bulat-bulat. Kelompok ini juga telah melampaui batas dan bersikap berlebih-lebihan.

(Di antara dua kelompok ini adalah) kelompok Ketiga yang terdiri daripada mereka yang bersikap adil lagi di pertengahan, iaitu mereka yang memberikan hak kepada pemiliknya dan menempatkan segala sesuatu pada tempatnya. Mereka tidak menghukum benar terhadap sesuatu yang salah dan tidak menghukum salah bagi sesuatu yang benar. Mereka menerima apa yang sepatutnya diterima dan menolak apa yang sepatutnya ditolak.

Daripada penjelasan Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim di atas, jelas kepada kita sikap yang adil lagi benar apabila berhadapan dengan ungkapan-ungkapan syathahat ahli-ahli tasawwuf. Sikap tersebut boleh dibahagi kepada tiga kategori:

  1. Jika ia dapat difahami secara benar dan didapati bertentangan dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah maka ketepikanlah ia tanpa mengkritik tokoh yang menyebutnya. Ini kerana kita tidak tahu sama ada dia menyebutnya dalam keadaan sedar atau tenggelam dalam kekhusyukan latihan rohani. Kewajipan kita hanyalah menerangkan di mana letak kesalahannya dalam ungkapan tersebut.
  2. Jika ia dapat difahami secara benar dan didapati selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, bahkan dapat memberi manfaat sebagai nasihat dan hikmah, maka ia boleh diambil dan dimanfaatkan.
  3. Jika ia tidak dapat difahami secara benar, maka tangguhlah sehingga ke satu masa di mana ia dapat difahami, sama ada kerana peningkatan ilmu kita sendiri atau apabila berpeluang bertanya kepada orang arif lagi memiliki mata hati (بصيرة) dalam memahaminya.

[7] Pandangan Ibn Taimiyyah Tentang Wahdat al-Wujud.

Perkara kedua yang menyebabkan tasawwuf sering dikritik, ialah fahaman Wahdat al-Wujud (kesatuan wujud antara makhluk dan Khaliq). Para pengkritik ilmu tasawwuf mendakwa semua aliran-aliran tasawwuf tidak lain hanya bermaksud untuk membawa para penempuh jalan rohani (ahli suluk) ke destinasi Wahdat al-Wujud ini.

 

Ibn Taimiyyah rahimahullah memiliki pandangan yang mendalam dalam persoalan ini. Pertama, beliau menafikan bahawa fahaman Wahdat al-Wujud merupakan”destinasi”semua aliran-aliran tasawwuf. Beliau menulis:

Majoriti ahli suluk (mereka yang menempuh perjalanan rohani) yang tidak meyakini fahaman ini (Wahdat al-Wujud), mereka mendengar syair Ibn Faridh (632H) dan sebagainya akan tetapi tidak mengetahui maksud fahaman tersebut.

Kedua, Ibn Taimiyyah membahagikan fahaman Wahdat al-Wujud kepada dua kategori, Kategori pertama adalah mereka yang meyakini fahaman Wahdat al-Wujud secara hakiki. Bagi mereka, yang wujud hanyalah Allah sementara kewujudan selainnya hanya perspektif manusia terhadap kewujudan yang sebenar, iaitu wujud Allah.

Ibn Taimiyyah menolak fahaman Wahdat al-Wujud seperti ini serta mengkritik para tokohnya seperti Ibn ‘Arabi (638H), Ibn Sab‘in (668H), Shadr al-Din al-Qunawi (672H) dan al-Tilimsani (690H). Beliau menegaskan bahawa ia mencemari keesaan Allah, menafikan tugas para Rasul yang berdakwah kepada iman dan amal salih serta membatalkan asas-asas Islam.

Fahaman Wahdat al-Wujud seperti ini menyelisihi risalah tauhid yang dengannya Allah mengutus para Rasul, termasuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Tauhid yang diajar oleh para Rasul ialah”Allah adalah satu”dan bukan”Segala sesuatu adalah satu.”Para Rasul Allah mengajar”Tiada Tuhan selain Allah”dan bukannya”Tiada segala sesuatu selain Allah.”Para Rasul Allah juga mengajar manusia untuk mengenal Tuhan dengan memerhatikan kewujudan alam, bukan mengenal Tuhan dengan menjadi tuhan dan menafikan kewujudan alam sekitar.

Selain itu antara prinsip asas syari‘at Islam ialah memerintahkan kita berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Sesiapa yang berbuat kebaikan akan diberi ganjaran syurga manakala sesiapa yang berbuat kejahatan akan diberi azab neraka. Fahaman Wahdat al-Wujud membatalkan prinsip di atas. Ini kerana apabila yang wujud hanyalah Allah, bererti tidak wujud apa-apa perbuatan melainkan perbuatan Allah……..sehinggakan Allah pada akhirnya nanti akan memberi ganjaran kepada diri-Nya sendiri atas kebaikan yang dilakukan-Nya dan mengazab diri-Nya sendiri atas kejahatan yang dilakukan-Nya. Ini jelas mustahil di sisi petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih serta pemikiran yang sihat lagi benar.

Kategori kedua adalah mereka yang meyakini fahaman Wahdat al-Wujud hanya terjadi sekali sekala hasil daripada pengalaman mistik dan rohani (mystical and spiritual experience). Bagi mereka Tuhan adalah Tuhan dan makhluk adalah makhluk. Allah adalah Allah, manusia adalah manusia, bumi adalah bumi, matahari adalah matahari, udara adalah udara dan begitulah seterusnya. Semua yang ada di alam ini selain Allah adalah makhluk Allah dan ia wujud secara hakiki sebagai hasil ciptaan Allah.

Akan tetapi kadangkala apabila seorang ahli suluk (penempuh jalan rohani) mengkhusyukkan dirinya dengan muraqabat zikriyyah (upaya menghampirkan diri kepada Allah dengan zikir) sehingga akhirnya dia memperoleh mukasyafah (penyingkapan tabir) dan musyahdah (penyaksian) sesuai dengan tahap kejiwaannya (ahwal) dan kemantapannya (maqamat), dia tidak lagi merasakan kehadiran apa-apa kecuali kehadiran Allah. Pada saat itu, kepada seorang salik (ahli suluk tersebut), tidak ada apa-apa yang wujud kecuali wujud Allah. Ini juga dinamakan Wahdat al-Wujud akan tetapi ia bukan kesatuan wujud secara hakiki tetapi kesatuan wujud secara perasaan, persaksian dan indra.

Untuk mengukuhkan fahaman para pembaca, izinkan penulis memberi dua contoh:

Contoh Pertama:

Umpamakan sepasang suami isteri yang sedang bersiar-siar di atas dermaga di tepi tasik, lalu tiba-tiba isterinya terjatuh ke dalam tasik. Tanpa berlengah lagi suami terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkan isterinya. Suami terjun tanpa berfikir apa-apa, sama ada tentang pakaiannya atau air yang dalam. Oleh kerana kecintaan yang amat sangat, yang difikirkan hanyalah satu iaitu menyelamatkan isterinya. Pada saat tersebut, kepada suami tidak wujud apa-apa kecuali wujud isteri. Kesatuan wujud yang dirasakan oleh suami bukanlah bererti dia dan segala-galanya telah bersatu dengan isterinya tetapi perasaan dan pemikirannya telah bersatu dengan isteri sehingga tidak wujud yang selainnya.

Demikianlah juga bagi seorang salik, setiap yang wujud tetap berada di tempat kewujudannya. Akan tetapi oleh kerana kecintaannya yang amat sangat kepada Allah, dia hanya merasakan wujud Allah manakala yang selainnya tidak wujud dalam fikiran dan indranya. Ini juga dinamakan Wahdat al-Wujud tetapi bukan kesatuan wujud secara hakiki tetapi kesatuan wujud secara perasaan, persaksian dan indra.

Contoh Kedua:

Seorang yang memerhati ke langit pada malam hari akan terpesona dengan gemerlapan bintang yang serba indah. Akan tetapi pada siang hari kegemerlapan bintang tidak lagi kelihatan kerana tersembunyi di sebalik keterangan sinaran matahari. Matahari yang besar lagi berkuasa sinarannya menyembunyikan gemerlapan bintang yang kecil lagi lemah. Malah jika orang yang sama memusatkan pandangannya ke arah matahari, dia tidak lagi dapat melihat apa-apa disebabkan kilauan cahaya matahari. Pada saat itu kepada orang yang memerhati tidak wujud apa-apa kecuali wujud matahari. Akan tetapi ini tidak bermakna bahawa bintang dan segala-galanya tidak wujud sebagaimana sebelumnya. Ia tetap wujud secara di tempatnya masing-masing, hanya pada saat tersebut kebesaran dan kekuasaan matahari menyebabkan yang selainnya tidak wujud daripada persaksian dan indra orang yang memerhati.

Demikianlah juga bagi seorang salik, kesedarannya terhadap kehadiran Allah yang Maha Besar lagi Maha Agung menyebabkan dirinya dan selainnya terasa amat kecil, tersangat kecil sehingga seolah-olah tidak wujud. Ini juga dinamakan Wahdat al-Wujud tetapi bukan kesatuan wujud secara hakiki tetapi kesatuan wujud secara perasaan, persaksian dan indra.

Terhadap Wahdat al-Wujud kategori kedua ini, Ibn Taimiyyah tidak menolaknya. Hanya beliau memilih untuk mengistilahkannya sebagai Fana’ al-Syuhud dan Wahdat al-Syuhud, iaitu kebinasaan yang akhirnya menghasilkan kesatuan dari sudut persaksian, perasaan dan indra. Beliau menulis:[35]

Pada keadaan kebinasaan (fana’) seperti ini adakalanya seseorang itu berkata”Akulah yang maha benar”(أنا الحق) atau”Mahasuci aku”(سبحاني) atau”Tiada apa-apa di dalam jubah ini kecuali Allah”


(ما في الجبة الا الله). Ungkapan-ungkapan seperti ini muncul apabila yang disaksikan binasa daripada kesaksian, yang wujud binasa daripada kewujudan, yang diingati binasa daripada ingatan dan yang diketahui binasa daripada pengetahuan. Ini seumpama seorang yang tenggelam dalam mencintai kekasihnya, lalu pada satu ketika kekasihnya terjatuh ke dalam lautan. Tanpa berlengah dia melemparkan dirinya (ke dalam lautan) di belakang kekasihnya (untuk menyelamatkannya). (Setelah selamat, kekasihnya) berkata:”Apa yang menimpa belakang aku?”Dia menjawab:”Aku hilang dari diriku keranamu. Aku mengira bahawa engkau adalah aku.”

Perkara ini diperjelaskan lagi oleh anak muridnya, Ibn al-Qayyim rahimahullah:[36]

Dan bukanlah yang dimaksudkan oleh mereka (ahli tasawwuf) dengan kebinasaan wujud sebagai kebinasaan segala sesuatu selain Allah pada zahirnya akan tetapi kebinasaan (yang dimaksudkan adalah) daripada kesaksian mereka dan perasaan atau indra mereka. Pada hakikatnya rasa kelenyapan salah seorang daripada mereka itu adalah terhadap selain yang disaksikannya, bahkan kelenyapan juga terhadap penyaksiannya dan terhadap dirinya sendiri. Ibadahnya lenyap daripada peribadatan[37], yang diingatinya lenyap daripada ingatan, yang wujud lenyap daripada kewujudan, yang dicintainya lenyap daripada kecintaan dan yang disaksikannya lenyap daripada persaksian.

Tahap kejiwaan seperti ini dinamakan juga kemabukan (سكراً), kelenyapan (اصطلاحاً), penghapusan (محواً) dan penggabungan (جمعاً). Para ahli tasawwuf mungkin membeza-bezakan makna bagi istilah-istilah ini. (Akan tetapi yang penting) kesaksian qalbu adakalanya terkalah disebabkan kecintaan dan ingatan kepada Allah hingga ia lenyap dan binasa kerananya. Kemudian dia menduga bahawasanya dia menyatu dan bercampur (‏امتزج‏) bahkan dia menduga bahawasanya Allah adalah dirinya.

Ini seumpama seorang yang tenggelam dalam mencintai kekasihnya, lalu pada satu ketika kekasihnya terjatuh ke dalam lautan. Tanpa berlengah dia melemparkan dirinya (ke dalam lautan) di belakang kekasihnya (untuk menyelamatkannya). (Setelah selamat, kekasihnya) berkata:”Apa yang menimpa belakang aku?”Dia menjawab:”Aku hilang dari diriku keranamu. Aku mengira bahawa engkau adalah aku.”

Apabila akalnya kembali kepadanya, dia mengetahui bahawa pada keadaan tersebut dia telah terkeliru. Ini kerana pada hakikatnya perkara tersebut sebenarnya berbeza-beza. Tuhan adalah tuhan dan hamba adalah hamba. Pencipta (Allah) adalah berbeza dengan yang dicipta-Nya. Tidaklah pada ciptaan-ciptaan-Nya sesuatu jua yang berasal daripada Zat-Nya dan tidaklah pada Zat-Nya sesuatu jua yang berasal daripada ciptaan-ciptaan-Nya. Akan tetapi pada keadaan jiwa yang kemabukan, penghapusan, kelenyapan dan kebinasaan, kemungkinan daya pembeza (yang membezakan antara Pencipta dan yang dicipta) menjadi hilang.

Walaubagaimanapun, Ibn Taimiyyah tidak mengesyorkan Fana’ al-Syuhud atau Wahdat al-Syuhud sebagai destinasi para ahli suluk. Ini kerana berusaha mencapai tahap keadaan tersebut tidak pernah dikenali pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat baginda radhiallahu ‘anhum. Seandainya perkara tersebut bermanfaat, pasti baginda akan melakukannya dan mengajarnya dan ia diamalkan oleh para sahabat sehingga sampai kepada kita melalui riwayat-riwayat yang sahih. Antara lain beliau berkata:[

Sesungguhnya para sahabat radhiallahu ‘anhum adalah orang yang paling sempurna, yang paling bertaqwa dan paling mantap dalam tahap kejiwaan (الأحوال) dan keimanan. Akan tetapi tidak pernah hilang daripada mereka kewarasan atau lahir daripada mereka keadaan seperti pengsan (غشي), mengigau (صعق), mabuk (سكر), kebinasaan (فناء), tenggelam cinta (وله), atau kegilaan (جنون). Sesungguhnya hal seperti ini hanya bermula pada zaman tabi‘in daripada kalangan ahli ibadah di Basrah. Di kalangan mereka ada yang pengsan apabila mendengar bacaan al-Qur’an bahkan di antara mereka ada yang mati.

Akhir sekali, pandangan Ibn Taimiyyah tentang Wahdat al-Wujud dapat dirumuskan sebagai berikut:

  1. Wahdat al-Wujud bukan merupakan tujuan majoriti ahli tasawwuf. Malah ia juga bukan merupakan sesuatu yang disunnahkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan diteladani oleh para sahabat baginda radhiallahu ‘anhum. Ini menunjukkan bahawa Wahdat al-Wujud tidak termasuk dalam tujuan agama dan bukan merupakan destinasi para ahli suluk yang berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah.
  2. Ibn Taimiyyah menolak mereka yang memahami Wahdat al-Wujud secara hakiki.
  3. Menurut Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn al-Qayyim, fahaman Wahdat al-Wujud yang dipegang oleh sebahagian ahli tasawwuf yang cenderung kepadanya bukanlah kesatuan hakiki tetapi kesatuan perasaan, persaksian dan indra yang dialami secara mistik dan rohani. Ibn Taimiyyah menggelar fenomena ini sebagai Fana’ al-Syuhud dan Wahdat al-Syuhud.
  4. Ungkapan-ungkapan aneh (syathahat) yang lahir daripada seorang salik ketika jiwanya berada pada tahap Wahdat al-Wujud (atau Wahdat al-Syuhud) tidak menjadikannya kafir kerana pada saat itu dia berada dalam keadaan yang tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah. Ibn al-Qayyim berkata:[39]

Dihikayatkan daripada Abu Yazid (al-Bustami) bahawa dia pernah berkata:”Mahasuci aku”atau”“Tiada apa-apa di dalam jubah ini kecuali Allah”dan yang seumpama. Jika ia lahir daripada pengungkapnya padahal akalnya hadir bersama, pasti dia menjadi kafir. Akan tetapi (jika pada saat itu) daya pembeza dan daya perasaan hilang, maka pena pencatat amal diangkat baginya. Dalam keadaan fana’ seperti ini, sesuatu yang lahir daripadanya ada yang terpuji dan ada yang tercela namun (dia) diampuni.

Kata Penutup.

Alhamdulillah, melalui kertas kerja ini sedikit sebanyak kita telah dapat mengenali kepentingan tasawwuf di dalam Islam dan pandangan Ibn Taimiyyah terhadapnya. Ringkasnya:

  1. Ilmu tasawwuf memiliki peranan yang penting di dalam Islam. Kepentingan tasawwuf tidak terletak pada asal usul namanya atau amalan-amalan pelik yang disandarkan kepadanya. Akan tetapi kepentingan tasawwuf terletak pada intipati ajarannya yang selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
  2. Setiap bidang ilmu pasti akan ada orang yang bersikap ekstrim dan menyalah-gunakannya. Ilmu tasawwuf tidak terkecuali daripada hal ini. Sikap kita yang benar terhadap masalah ini bukanlah membuang ilmu tasawwuf secara keseluruhannya tetapi mendalaminya hingga dapat dibezakan antara yang hak dan batil.
  3. Inilah juga merupakan pandangan dan sikap Ibn Taimiyyah dalam tasawwuf. Beliau mengkaji dan mengkritik ilmu tasawwuf bukan kerana tasawwuf itu sendiri tetapi kerana beberapa fahaman dan amalan menyeleweng yang disandarkan atas nama tasawwuf.
  4. Ibn Taimiyyah bukan sekadar mengkaji ilmu tasawwuf tetapi beliau menyelaminya hingga mampu melihat keindahan dan warna-warnanya yang sejati. Penyelamannya ini menyebabkan beliau mampu membuka rahsia-rahsia tasawwuf dan melihatnya dari sudut yang tidak dapat dilihat oleh orang yang berada di atas permukaan.
  5. Memandangkan pada masa kini umat Islam telah berada jauh dari al-Qur’an dan al-Sunnah, ditambahi dengan banyaknya kerosakan yang dilakukan oleh orang-orang yang menyandarkan diri mereka kepada ilmu tasawwuf, disarankan sikap berhati-hati lagi berwaspada bagi sesiapa yang ingin menceburinya.

Merujuk kepada tema”Seminar Pemikiran Ibn Taimiyyah’, terdapat beberapa pola pemikiran Ibn Taimiyyah yang dapat diteladani hasil daripada kajian kita terhadap pandangan beliau dalam tasawwuf:

  1. Hendaklah seseorang itu benar-benar mengkaji sesuatu perkara sebelum mengeluarkan sebarang pendapat terhadapnya. Sebagai contoh, perhatikan pujian Ibn Taimiyyah kepada sebahagian besar tokoh tasawwuf dan kritikan beliau kepada pendapat serta ijtihad sebahagian kecil yang lain. Tidak mungkin beliau mampu berbuat demikian melainkan setelah mengkaji dan mendalami semua hasil tulisan (kitab-kitab) para tokoh tersebut.
  2. Setiap perkara memiliki unsur baik dan buruk. Lazimnya unsur yang buruk menutupi unsur yang baik. Oleh itu janganlah menilai semata-mata berdasarkan unsur buruk yang ada di permukaan, tetapi selamilah ia untuk melihat unsur baik yang terselindung di bawahnya.
  3. Jangan mengeneralisasikan pandangan dan analisa ke atas sesuatu perkara, akan tetapi hendaklah dipisah-pisahkan antara yang baik dan buruk, terpuji dan tercela.
  4. Ukuran pemisah antara baik dan buruk, terpuji dan tercela ialah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berdasarkan pemahaman generasi awal umat Islam, al-Salaf al-Shalih. Al-Qur’an dan al-Sunnah sahaja tidak mencukupi kerana banyak aliran menyeleweng dahulu dan kini juga merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah seumpama Syi‘ah al-Rafidhah, Golongan Anti-Hadis, dan Golongan Modenis.

[1] Demikian rumus al-Qusyairi di dalam al-Risalah, juga dikenali sebagai Risalah al-Qusyairiyyah (tahqiq: Abd al-Halim Mahmud & Mahmud Syarif; Dar al-Kutub al-Haditsah, Mesir), jld. 2, ms. 550.

[2] Al-Ghunyah li al-Thalib Thariq al-Haq (Dar al-Bab, Damsyik), jld. 2, ms. 160.

[3] al-Fath al-Rabbani (Maktabatu Mushtafa al-Babi al-Halabi, Mesir, 1979), ms. 207.

[4] Al-Ghunyah li al-Thalib Thariq al-Haq, jld. 2, ms. 160.

[5] Futuh al-Ghaib (himpunan risalah oleh M. Salim Bawwab; Dar al-Bab, Damsyik 1413H), ms. 166.

[6] ‘Abd al-Qadir al-Jilani juga menamakan bermujahadah ini sebagai al-Mutashawif. Rujuk Al-Ghunyah li al-Thalib Thariq al-Haq, jld. 2, ms. 160.

[7] Akidah & Suluk Dalam Tasawwuf: Antara Keaslian dan Penyelewengan (edisi terjemahan Bhs. Melayu oleh Basri Ibrahim; Jahabersa, Johor Bahru, 2001), ms. 23.

[8] Al-‘Itishom (الإعتصام) (dengan semakan dan pensahihan oleh Ahmad ‘Abd al-Syafi; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), jld. 1, ms. 150.

[9] Selanjutnya al-Syathibi menjelaskan bahawa perkara-perkara cabang yang menjadi amalan pendidikan akhlak dalam tasawwuf bukanlah satu bid‘ah selagi mana ia memiliki asas di dalam dasar agama. Adapun makna kedua bagi tasawwuf, iaitu al-Fana’ dan al-Baqa’, al-Syathibi membahas dengan membahagikannya kepada beberapa kategori sesuai dengan pemahaman dan pelaksanaannya oleh aliran-aliran tertentu. Beliau menjelaskan kategori mana yang benar (sunnah) dan kategori mana yang salah (bid‘ah). Sengaja penulis tidak menukil keseluruhan perbincangan al-Syathibi di dalam kertas kerja ini kerana ia akan mengambil ruang yang sangat banyak.

[10] Nukilan berpisah daripada bukunya al-Tashawwuf al-Syar‘iyyah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 2000), ms. 4,6 & 7.

[11] al-Tashawwuf al-Syar‘iyyah, ms. 7.

[12] al-Tashawwuf al-Syar‘iyyah, ms. 7-8.

[13] Al-‘Itishom, jld. 1, ms. 68.

[14] Nukilan berpisah daripada al-Tashawwuf al-Syar‘iyyah, ms. 4 & 24.

[15] Perumpamaan”satu keluarga dalam satu rumah”yang digunakan oleh Sayyid Nur di atas merujuk kepada kata-kata seorang tokoh besar ilmu tasawwuf bernama al-Junaid bin Muhammad al-Junaid rahimahullah (297H) yang berbunyi:”Para ahli sufi adalah penghuni satu rumah yang tidak dapat dimasuki oleh selain mereka.”

[16] Majmu’ al-Fatawa (dihimpun dan disusun oleh ‘Abd al-Rahman al-Asimi dan anaknya Muhammad bin ‘Abd al-Rahman; Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld. 10, ms. 82.

[17] Al-Istiqamah (tahqiq: Muhammad Rasyad Salim; Dar Ibn Hazm, Beirut 2000), jld. 1, ms 163.

[18] Majmu’ al-Fatawa, jld. 10, ms. 370.

[19] Majmu’ al-Fatawa, jld. 2, ms. 472. (yang dihitamkan oleh penulis beserta tahun meninggal dunia ialah tokoh-tokoh tasawwuf yang terkemuka).

[20] ‘Abd al-Qadir al-Jilani adakalanya digelar sebagai ‘Abd al-Qadir al-Kailani. Rujuk al-A’lam oleh al-Zarikli (Dar al-‘Ilm li al-Malayin, Beirut), jld. 4, ms. 47.

[21] Majmu’ al-Fatawa, jld. 11, ms. 18.

[22] Ibn Taimiyyah memiliki risalah yang khas tentang al-Hallaj yang berjudul al-Jawab ‘an Su’al ‘an al-Hallaj: Hal kana Shiddiqan aw Zindiqan [Jami’ al-Rasail Ibn Taimiyyah (himpunan risalah oleh M. Rasyad Salim; Kaherah)]

[23] Majmu’ al-Fatawa, jld. 11, ms. 22.

[24] Syarh al-‘Aqidah al-Ashfahaniyyah (tahqiq: Ibrahim Sa‘idi; Maktabah al-Rusyd, Riyadh 1415H), jld. 1, ms. 184.

[25] al-Istiqamah, jld. 2, ms. 67.

[26] Majmu’ al-Fatawa,jld. 11, ms 511-512.

[27] Majmu’ al-Fatawa, jld. 11, ms. 517.

[28] al-Tuhfah al-‘Iraqiyyah fi al-‘A’mal al-Qalbiyyah (tahqiq Yahya bin Muhammad, Maktabah al-Rusyd, Riyadh, 2000), ms. 289.

[29] Al-Istiqamah, jld. 2, ms. 15-16.

[30] Al-Istiqamah, jld. 2, ms. 105-106.

[31] Madarij al-Salikin (tahqiq Muhammad Hamid al-Fiqqi, Dar al-Kutub al-‘Arabi, Beirut), jld. 3, ms. 330.

[32] Madarij al-Salikin, jld. 2, ms. 39-41.

[33] Majmu‘ah al-Rasail wa al-Masail (himpunan risalah oleh M. Rashid Ridha; Lujnah al-Turats al-‘Arabi, Kaherah), jld. 1, ms. 69. Konteks perbahasan Ibn Taimiyyah di sini merujuk kepada tiga bentuk fahaman, iaitu al-Ittihad, al-Hulul dan Wahdat al-Wujud.

[34] Majmu‘ah al-Rasail wa al-Masail, jld. 1, ms. 78-90.

[35] Majmu’ al-Fatawa, jld. 10, ms. 339. Lebih lanjut lihat Majmu’ al-Fatawa, jld. 10, ms. 219-220.

[36] Madarij al-Salikin, jld. 1, ms 155.

[37] Maksudnya bukanlah tidak perlu beribadah tetapi apabila beribadah yang dirasai bukanlah gerak-geri anggota badan tetapi kekhusyukan kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

[38] Majmu’ al-Fatawa, jld. 10, ms. 220.

[39] Madarij al-Salikin, jld. 1, ms. 155.

TASAWWUF DAN KEDUDUKANNYA DI NUSANTARA


OLEH: USTAZ ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insha’ Allah apa yang dibicarakan oleh penulis dalam kertas yang sederhana ini ialah kedudukan tasawwuf di Alam Melayu sebagai aspek batin dari Agama Islam dilihat secara ringkas dari segi sejarah, ajaran-ajarannya, amalan-amalannya, serta juga kepentingannya dilihat dari hidup Islamiah termasuk kepentingannya dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup masakini. Termasuk ke dalamnya juga ialah pembicaraan tentang perkara-perkara yang perlu diberi penyelesaian sewajarnya oleh semua pihak yang berwenang sebenarnya supaya aspek kabatinan yang sahih dari Islam Sunni ini terkawal dan berjalan dengan baik memberi panduan kepada manusia dalam menuju kehidupan yang diredhai dalam hidup individu dan kolektif, hidup di dunia dan akhirat, hidup kebendaan dan kerohanian.

Penulis tidak mendakwa apa-apa yang asli dalam pembentangannya ini, bahkan beliau bergantung kepada mereka yang ahli di dalamnya yang menjalankan penyelidikan dan pembentangan tentang bidang ini dengan baiknya dalam bidang mereka masing-masing, samaada bidang sejarah atau amalan dan juga ajarannya.

Sejarah:

Tentang sejarah perkembangan tasawwuf, rasanya tidak perlu kita berpanjang kalam tentangnya.mencukupi kalau disebutkan bahawa tasawwuf merupakan ilmu dan amalan yang berpunca daripada Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang diakui oleh para ulama Islam yang membicarakannya.  Antaranya boleh dibuktikan dari kata-kata para ulama Islam seperti berikut:

Dalam fatwa al-Imam al-Hafiz as-Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari rh bila ditanya tentang tasawwuf, jawabnya:

اما اول من اسس الطريقة , فالتعلم ان الطريقة اسسها الوحى السماوى فى جملة ما اسس من الدين المحمدى , اذ هي بلا شك مقام الا حسان الذى هو احد

اركان الدين الثلاثة التى جعلها النبى صلى الله عليه وسلم بعد ما بينها واحدا

واحدا دينا بقوله :”هذا جبريل عليه السلام اتاكم يعلمكم دينكم”(1)

Ertinya:

Maka tentang perkara awal asas tariqah atau tasawwuf maka ketahuilah bahawa tariqah itu asasnya ialah wahyu samawi dalam jumlah apa yang diasaskan dari ajaran agama Nabi Muhammad, kerana tidak ada syak lagi bahawa maqam al-ihsan itu adalah satu daripada rukun-rukun agama yang tiga yang ditetapkan oleh Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam selepas daripada ia menerangkannya satu demi satu sebagai agama yang satu dengan berdasarkan kata-katanya: “Ini Jibril ‘alaihis-salam datang kepada kamu dan mengajarkan agama kamu”.(3)  Ianya terdiri daripada Islam, Iman, dan Ihsan.

Maka Islam adalah ketaatan dan ibadat kepada Allah, Iman adalah nur dan aqidah, dan ihsan ialah maqam muraqabah dan musyahadah: iaitu:

ان تعبد الله كانك تراه , فان لم تكن تراه  فانه يراك…

Ertinya: “Bahawa engkau menyembahNya seolah-olah engkau melihatNya, maka kalau engkau tidak melihatNya, Ia melihat kamu”.

Kemudian berkata Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari rh dalam risalah berkenaan (2)

فانه كما فى الحديث عبارة عن الا ركان الثلاثة فمن اخل بهذا المقام (الاحسان) الذي هو الطريقة , فدينه ناقص بلا شك لتركه ركنا من اركانه.فغاية ما تدعو اليه الطريقة و تشير اليه هو مقام الاحسان بعد تصحيح الاسلام والايمان.

Ertinya:

Maka sesungguhnya, sebagaimana yang ada dalam hadith itu, ianya adalah ibarat daripada rukun-rukun yang tiga itu.  Maka sesiapa yang sunyi daripada makam (al-ihsan) itu, yang merupakan perjalanan rohani (at-tariqah) maka agamanya tidak sempurna tanpa syak lagi, kerana ia meninggalkan satu rukun daripada rukun-rukunnya.  Maka matlamat yang ditujukan oleh tarikah yang ditunjukkan olehnya ialah makam al-ihsan selepas daripada pengesahan (tashih) Islam dan imannya.

Dalam “al-Muqaddimah” Ibn Khaldun rh, ahli sejarah Sunni yang muktabar itu terdapat kenyataan:

وهذا العلم-يعني التصوف- من العلوم الشرعية الحادثة فى الملة,

واصله ان طريقة هؤلاء القوم لم تزل عند سلف الامة وكبارها من الصحابة والتابعين ومن بعد هم طريقة الحق والهداية , واصلها العكوف على العبادة

, والانقطاع الى الله تعالى, والاعراض عن زخرف الدنيا وزينتها , والزهد

في ما يقبل عليه الجمهور من لذة ومال وجاه, والانفراد عن الخلق, والخلوة

للعبادة, وكان ذلك عاما في الصحابة والسلف.

Ertinya:

… dan ilmu ini, iaitu ilmu tasawwuf, ialah termasuk ke dalam ilmu-ilmu Syara’ yang timbul dalam umat ini; dan asalnya ialah perjalanan rohaniah kaum mereka itu yang terus menerus berada pada Orang Salaf umat ini dan para pemimpin mereka yang besar-besar dari kalangan Sahabat dan Tabi’in dan yang datang kemudian daripada mereka yang berupa perjalanan yang hak dan hidayat (sebenarnya), dan dasarnya ialah menekuni ibadat dan memutuskan dari yang lain menuju kepada Allah, serta berpaling daripada kegemilangan dunia dan perhiasannya (yang sia-sia), juga zuhud terhadap apa yang kebanyakan manusia berhadap diri mereka kepadanya, terdiri daripada kelazatan (jasmaniah), harta kekayaan (yang berlebihan) dan kedudukan, serta terasing daripada manusia ramai (dengan syarat-syaratnya yang tepat) serta berasingan untuk ibadat, dan yang demikian itu am berlakunya dalam kalangan Sahabat dan Orang Salaf.  Kemudian bila berkembang merebak perbuatan manusia berhadap diri kepada dunia (dengan cara yang menyalahi agama) dalam abad kedua (Hijrah) dan zaman selepasnya, dan manusia cenderung kepada bercampur dengan (urusan) dunia (yang sia-sia), akan mereka yang menekuni ibadat itu dikhususkan dengan panggilan nama golongan tasawwuf (as-sufiyyah). (4)

Al-Kalabadhi rh (men. 380 Hijrah) dalam “Kitab at-Ta’arruf”nya, selepas daripada memberi gambaran tentang mereka yang suci peribadinya dan agamanya dengan sesuci-sucinya dalam kalangan umat ini menyatakan:

… dalam masa hayatnya (iaitu hayat baginda saw) mereka adalah ahli Suffah (ahli serambi masjid Nabi di Madinah) dan selepas wafatnya mereka merupakan orang-orang yang paling afdhal umat ini.  Selepas itu mereka yang pertama itu tidak lalai daripada menyeru yang keduanya, dan golongan tabi’in menyeru yang berikutnya, dengan lidah amalnya (iaitu dengan contoh tauladan dan perbuatan) yang membebaskannya daripada keperluan berkata-kata.  Tetapi cita-cita rohani menjadi berkurang dan kekuatan azam menjadi lemah; dan dengan ini datang pula pelbagai soalan dan jawapan, kitab-kitab dan risalah-risalah; makna-makna batinnya diketahui oleh mereka yang mengarangnya, dan dada (iaitu hati) (mereka yang membacanya) bersedia untuk memahaminya. (kata Arberry ini merujuk kepada zaman Muhasibi, Junaid dll).  Akhirnya maknanya hilang dan namanya sahaja yang tinggal (iaitu makna sebenar ilmu dan amalan tasawwuf hilang dan yang ada hanya nama tasawwuf sahaja), isinya menghilang dan bayangnya sahaja yang menggantinya; penghayatan sebenarnya menjadi perhiasan (bukan dicapai sebenarnya), dan pengesahan hanya menjadi hiasan.  Orang yang tidak mengetahui (hakikat kebenaran sesungguhnya) berpura-pura memilikinya, dan orang yang tidak pun menggambarkannya memperhiaskan dirinya dengannya; orang yang ada atas lidahnya sahaja menafikannya dengan amalannya, dan orang yang mempertunjukkannya dalam huraian-huraiannya menyembunyikannya dengan dengan fe’el perbuatannya yang sebenarnya.  Perkara yang bukan termasuk ke dalamnya dimasukkan ke dalamnya, apa yang tidak ada di dalamnya dinisbahkan kepadanya; yang benar itu dijadikan palsu, dan orang yang mengenalnya dikatakan jahil. Tetapi mereka yang mengalaminya (hakikat yang sebenarnya) memencilkan diri, kerana ghairah terhadapnya: orang yang memberi gambaran tentangnya menjadi senyap, kerana ghairah terhadapnya.  Maka hati manusia lari daripadanya, dan jiwa manusia pergi; ilmu itu dan ahli-ahlinya, huraian dan amalannya menghilang; yang jahil menjadi orang-orang yang berilmu, dan yang berilmu itu menjadi pembimbing. (5)

Nyata bahawa tasawwuf pada makna dan hakikatnya, pada ahli tasawwuf dalam Islam sendiri, adalah ilmu dan pengalaman yang bermula semenjak zaman Nabi dan Sahabat lagi, dan seterusnya.

Al-Kalabadhi rh menyatakan dalam bahagian awal kitabnya itu bahawa ia menulis ini ialah:

… untuk mempertahankan mereka (iaitu ahli tasawwuf dan ilmu mereka) daripada kedengkian mereka yang dengki, juga daripada penafsiran jahat mereka yang jahil (termasuk yang dipengaruhi oleh unsur-unsur anti kerohanian zaman sekarang); manakala dalam masa yang sama kitab ini menjadi sebagai pembimbing bagi mereka yang menjalani jalan menuju kepada Allah, dan memerlukan Allah bagi mencapai penghayatan perkara ini.  Saya lakukan ini selepas mengkaji dan mempelajari dengan mendalamnya tulisan-tulisan mereka yang ahli dalam bidang ini, dan menapis dan memilih kisah-kisah mereka yang benar-benar mencapai penghayatan yang sebenarnya: lebih-lebih lagi saya berhubung dengan orang-orang yang sedemikian itu, dan bertanya kepada mereka (bukan hanya mengandai-andai mengikut teori sendiri atau yang dipengaruhi oleh para Orientalis yang serong pandangannya) … (6).

Abu ‘Abdullah Muhammad Siddiq al-Ghumari menyatakan (7):

Dan apa yang menyokong dan menguatkan apa yang disebut oleh Ibn Khaldun rh tentang sejarah lahirnya tasawwuf ialah apa yang disebutkan oleh al-Kindi, dan beliau adalah orang kurun ke empat (Hijrah), dalam kitab “Wulat Misr” dalam peristiwa tahun dua ratus; bahawa timbul di Iskandariah golongan yang dipanggil dengan nama Sufiyyah yang menyuruh kepada melakukan kebaikan.  Demikian pula apa yang disebutkan oleh al-Mas’udi dalam “Muruj adh-Dhahab” dalam menghikayatkan (hal itu) dari Yahya bin Aktham.  Maka katanya: ‘Sesungguh nya Khalifah al-Ma’mun pada suatu hari duduk dalam majlis penghadapannya waktu itu masuklah bertemu dengannya ‘Ali bin Salih al-Hajib; katanya: ‘Amir al-Mu’minin, ada seorang lelaki berdiri dipintu, ia memakai pakaian putih yang kasar, ingin masuk untuk berbincang, maka aku ketahui ia adalah dari golongan sufiyah.  Maka dua kisah ini menjadi saksi bagi kata-kata Ibn Khaldun (dan juga kata-kata al-kalabadhi-p) tentang timbulnya tasawwuf.

Selepas berbicara tentang perkembangan tasawwuf semenjak zaman Nabi, para Sahabat dan Tabi’in dan seterus, dan selepas berbicara tentang mereka yang tidak disetujuinya, Ibn Khaldun rh memberi penghargaan dan pengakuan tentang golongan sufiyyah dan ilmu serta pengalaman mereka. Katanya: (8)

Mengenai perbincangan mereka tentang latihan rohani, dan maqam-maqam, tentang pengalaman mistik dan keghairahan rohani yang dicapai hasil daripadanya, dan tentang muhasabah diri berkenaan dengan (mungkin)terjadinya kekurangan dalam perkara-perkara penyebab pencapaian pengalaman-pengalaman ini, ini adalah perkara-perkara yang tidak seorangpun wajar menolaknya.  Pengalaman-pengalaman kerohanian para ahli tasawwuf itu benar adanya, dan realisasinya adalah intisari dari kebahagiaan.

Adapun tentang karamah yang dialami oleh para ahli sufi, berita tentang hal-hal ghaib, serta kegiatan mereka di kalangan makhluk ciptaan Tuhan, ini juga benar adanya dan tidak dapat ditolak, meskipun sebahagian dari ulama cenderung untuk menolaknya.  Ini tidak benar. Ustaz Abu Ishaq al-Isfara’ini seorang ulama terkemuka aliran Ash’ari berhujah menolak menolak perkara tersebut kerana mungkin ianya menjadi terkeliru dengan mu’jizat.  Bagaimanapun para ulama ahli tahkik yang muktabar dan berwibawa di kalangan Ahlis-Sunnah telahpun membuat perbezaan yang jelas antara karamah para Sufi dengan mu’jizat yang sama-sama bersifat ghaib.  Mereka mengatakan bahawa tidak mungkin mu’jizat terjadi menurut pengakuan orang yang bohong.  Logik menuntut bahawa bahawa mu’jizat menunjukkan benarnya (orang yang berkenaan).  Secara takrifnya mu’jizat boleh disahkan.  Kalau ianya berlaku pada pembohong, ianya tidak boleh disahkan, dan ianya akan berubah cirinya, dan itu tidak munasabah.  Alam wujud ini telah membuktikan banyak terjadinya karamah.  Penolakannya berupa satu pendekatan membesarkan diri.  Karamah juga terjadi pada para Sahabat sekitar Nabi Muhammad saw dan para Muslimin zaman awal Islam.  Itu berita yang terkenal dan masyhur.

Kebanyakan dari perbincangan para Sufi tentang kasyaf dan penerimaan hakikat-hakikat alam yang lebih tinggi (‘alawiyyat) dan  susunan tertib timbulnya makhluk-makhluk yang dijadikan, dari satu segi, termasuk ke dalam perkara-perkara yang tidak nyata maksudnya (mutashabih).  Sebab itu berdasarkan pengalaman intuitif para Sufi dan mereka yang tidak ada pengalaman intuitif itu tidak dapat merasakan pengalaman (yang diterima oleh mereka).  Tidak ada bahasa yang boleh melafazkan perkara-perkara yang (para Sufi) hendak kemukakan dalam hubungan ini, kerana bahasa hanya diciptakan hanya untuk (mengungkapkan) konsep-konsep yang diterima umum di kalangan manusia ramai, yang kebanyakanannya digunakan untuk benda-benda yang dikesani pancaindera.  Oleh itu maka kita perlu bersusah payah menyusahkan para Sufi dengan membincangkan perkara-perkara ini.  Kita biarkan sahaja perkara-perkara demikian itu, sebagaimana kita membiarkan sahaja kenyataan-kenyataan mutashabihat (dalam Qur’an dan Sunnah).  Mereka yang Allah kurniakan sedikit sebanyak pengertian tentang ungkapan-ungkapan (para Sufi demikian) dengan cara yang bersesuaian dengan makna lahiriah hukum Syara’ sesungguhnya mencapai kebahagiaan.

Akhirnya, berkenaan ungkapan-ungkapan yang menimbulkan syak yang disebut oleh para Sufi sebagai “kata-kata dalam keghairahan rohaniah” (al-shatahat) yang menyebabkan timbul kecaman ahli Syariat.  Ketahuilah, dalam hubungan dengan perkara-perkara seperti ini, maka yang adilnya terhadap (para Sufi itu) ialah kita (memerhatikan) bahawa mereka adalah kaum yang terkeluar daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera.  Ilham atau inspirasi telah menakluki mereka.  Dengan itu maka mereka menyatakan perkara-perkara dalam pengalaman mereka yang bukan perkara yang mereka hendak nyatakan.  Seseorang yang terkeluar daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera tidak boleh diajak berbicara.  Orang yang dipaksakan melakukan tindakan dimaafkan (bila ia melakukan sesuatu itu).  Para Sufi yang terkenal dengan keunggulan watak mereka yang patut dicontohi, dianggap bertindak dengan jalan yang benar dalam perkara ini dan yang sebangsa dengannya.  Adalah sukar bagi seseorang itu mengucapkan kata-kata dalam keghairahan rohaniah, kerana belum ada cara-cara yang dikenali untuk mengungkapkannya.  Inilah pengalaman Abu Yazid al-Bistami dan yang lainnya seperti beliau itu.  Bagaimanapun orang-orang tasawwuf yang keunggulannya belum dikenali dan yang tidak termaklum terkenal, patut diambil salah kalau mereka membuat ungkapan-ungkapan demikian, kerana (maklumat) yang menyebabkan kita membuat penafsiran (untuk menghilangkan sangka buruk terhadap mereka) adalah tidak jelas bagi kita.  (Tambahan lagi, mana-mana orang tasawwuf) yang bukan terkeluar daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera dan yang bukannya dikuasai oleh hal kerohanian, bila mereka itu mengeluarkan kata-kata jenis ini, mereka juga patut diambil salah.  Oleh itu, para fuqaha dan ahli sufi memutuskan hukuman bahawa al-Hallaj mesti dibunuh sebab ia bercakap (secara kata-kata dalam keghairahan rohanian) sewaktu beliau tidak dalam keadaan terkeluar (daripada pengamatan dan pengesanan pancaindera) tetapi dalam keadaan mengawal hal rohani dirinya.  Dan Allah Maha Mengetahui.

Para ahli sufi yang awal itu yang disebut dalam kitab al-Risalah (karangan al-Qushairi rh), dan pemuka-pemuka Islam yang telah kami sebutkan sebelum ini tidak pernah mempunyai keinginan membuka tabir (kashf al-hijab) dan hendak mempunyai pemandangan (yang bersifat alam ghaib) seperti itu.  Perhatian mereka hanya untuk mengikut tauladan unggul mereka dan mengamalkan cara hidup utama setakat yang termampu oleh mereka.  Kalau mereka mengalami pengalaman alam ghaib, mereka mengelak daripadanya dan tidak mempedulikannya.  Bahkan mereka cuba mengelak diri daripadanya.  Mereka berpendapat hal itu adalah satu halangan dan ujian yang termasuk ke dalam persepsi jiwa yang biasa, dan oleh itu sesuatu yang diciptakan.  Mereka juga mengatakan bahawa persepsi manusia tidak boleh mencakupi semua yang maujud, dan bahawa Ilmu Allah adalah Lebih Luas, makhluk ciptaanNya lebih besar, dan Hukum Syara’Nya lebih boleh menjadi pertunjuk (berbanding dengan pengalaman kerohanian apapun).  Oleh itu mereka tidak berbicara tentang mana-mana persepsi (kerohanian luar biasa mereka).  Bahkan mereka melarang perbincangan mengenai persoalan itu dan mencegah para pengikut mereka yang tabir (pengamatan dan pengesanan pancainderanya) telah tersingkap daripada berbicara tentang perkara itu, atau daripada memberi perhatian kepada perkara-perkara itu.  Mereka secara terus menerus mengikut tauladan dan menurut kehidupan yang patut dicontohi sebagaimana yang mereka telah lakukan dalam dunia persepsi pancaindera sebelum terangkat (lapisan hijab), dan mereka menyuruh para murid mereka melakukan perkara yang sama.  Demikian seharusnya keadaan seorang sufi yang baharu dalam perjalanan (murid).  Dan Allah-lah Yang memberi kejayaan sesungguhnya.

Penulis membuat nukilan ini untuk memberi perhatian kepada kedudukan ilmu ini dan para ahlinya di kalangan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, supaya dengan itu kenyataan-kenyataan yang tidak patut timbul terhadap golongan ini, iaitu golongan sufiah sebenarnya, berbeza daripada golongan yang tidak sebenarnya, yang berpura-pura, tidak timbul menjadi masalah palsu dalam umat kita ini.

Tanpa keperluan memberi perhatian kepada perkara-perkara lain lagi seperti takrif tasawwuf misalnya, yang sudah termaklum, penulis ingin meneruskan perbincangan tentang perkembangan tasawwuf dalam umat Islam.

Ilmu dan amalan tasawwuf itu berkembang terus, walaupun pernah mendapat tentangan dari setengah fuqaha, ianya mendapat pembelaan daripada ramai ulama, khususnya Imam al-Ghazali rd (meninggal tahun 1111 Masihi (505H)) yang mengesahkan kedudukan tasawwuf sebagai satu daripada ilmu-ilmu yang diakui dalam Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah, antaranya sebagaimana yang dinyatakannya dalam “Kitab al-‘Ilm” dalam Ihya’nya dan juga kitab autobiografi rohaninya ‘al-Munqidh mina’d-Dalal’.  Dengan itu maka kedudukan tasawwuf menjadi teguh dalam skema ilmu Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.

Kajian sarjana Barat yang terbaik sampai kini tentang perkembangan tariqah-tariqah dan tasawwuf dalam Islam ialah The Sufi Orders in Islam oleh J. Spencer Trimingham (9).  Bagaimanapun kita bukanlah hendak mendetail tentang perkembangan ini.  Yang penting ialah dalam abad-abad ke 14 dan ke 15 zaman al-Maqrizi garis-garis perkembangan tariqah-tariqah sufiyyah itu terbentuk dengan jelas nyata dalam Alam islam.(10).  Beliau membuat kenyataan berkenaan dengan “para fuqara’ Ahmadiyyah dan Rifa’iyyah” di Kahirah.  Dan lebih kurang pada masa yang sama golongan Qadiriyyah mula berkembang dan satu cawangan daripadanya dibentuk di Damsyik pada akhir abad ke 14 Masihi.  Maqrizi menyatakan bahawa Azhar terbuka untuk para sufi dan majlis zikir diadakan di sana.Di kota-kota Islam lainnnya tariqah-tariqah sufiyyah berkembang mendapat pengikut-pengikutnya.

Antara tariqah-tariqah yang dibicarakan ialah Suhrawardiyyah – dari nama Abun-Najib al-Suhrawardi rh ‘al-Rifa’iyyah, Qadiriyyah, al-Syadhiliyyah, al-Kubrawiyyah, al-Yasaviyyah, al-maulawiyyah, Khawajagan-Naqsyabandiyyah, Chistiyyah, Suhrawardiyyah di India, dengan cawangan-cawangannya pula.  Antaranya ialah tariqah Tijaniyyah, Darqawiyyah dan cawangan-cawangannya, Ahmadiyyah, Mirghaniyyah, Sanusiyyah.(bab 2, 3 dan 4 karangan Trimingham).  Tariqah-tariqah itu tersebar ke Nusantara dengan kedatangan Islam ke rantau ini.

Antara maklumat-maklumat tentang perkembangannya boleh didapati dari penyelidikian Martin Van Bruinessen dengan bukunya Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, (11), Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dengan Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia  Melayu (12), A.H.Johns dengan Malay Sufismnya (13), dan huraian klasik tentang kedatangan Islam di Dunia Melayu bertajuk The Preaching of Islam, karangan T. W. Arnold (14) dan beberapa artikel dalam JMRAS oleh Dr Drewes dan lainnya.  Termasuk antara yang terpentingnya ialah buku The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, diedit oleh Alijah Gordon yang diterbitkan oleh MSRI baru-baru ini, yang terdiri daripada penyelidikan beberapa sarjana seperti Kern, Drewes, dan lain-lainnya.

Tanpa berpanjang kalam tentang ini, sebab minat penulis bukan sangat segi sejarahnya, tetapi aspek-aspek lainnya, maka memadailah kalau dibuat beberapa kenyataan berkenaan dengan pengembangan tariqat dan tasawwuf di Dunia Melayu ini dengan mengambil kira beberapa seginya sahaja.

Dalam merumus kembali dengan ringkas tentang kedatangan Islam ke Dunia Melayu, M.V.Bruinessen menyebut kembali tentang kedatangan itu berlaku melalui perdagangan, aliansi politik antara para pedagang Muslim dan raja, perkahwinan antara para pedagang Muslim dengan para puteri bangsawan tempatan, sedikit sekali berlaku penggunaan pedang di dalamnya, secara umum proses pengembangannya berjalan dengan seruan Islam secara damai.  Terdapat pendapat bahawa tasawwuf memainkan peranan yang menentukan dalam proses itu (15).  Dan ini faktor penting untuk kita bicarakan.

Antara fakta-fakta yang berfaedah diingatkan berhubungan dengan perkembangan tasawwuf di Dunia Melayu ialah beberapa tarikh berkenaan dengan ahli-ahli sufi yang terkemuka Alam Islam.  Antaranya ialah Imam al-Ghazali yang banyak berbicara segi akhlak dalam tasawwuf.  Ibn ‘Arabi yang banyak menimbulkan pengaruh kemudiannya (men. 1230 Masihi).  ‘Abd al-Qadir al-Jilani yang menjadi asas tariqah Qadiriyyah (men. 1166 Masihi), dan Abun-Najib al-Suhrawardi yang namanya menjadi nama bagi tariqah Suhrawardiyyah (wafat tahun 1167 Masihi).  Najmuddin al-Kubra, tokoh sufi Asia Tengah pendiri tariqah al-Kubrawiyyah, dan berpengaruh terhadap tariqah Naqsyabandiyyah (men. 1221), Abul-Hasan a-Syazili sufi Afrika Utara pendiri tariqah yang memakai namanya (men. 1258), dan Baha’uddin al-Naqsyaband (men. 1389) dan pendiri tariqah Syattariyyah (men. 1428-9). (16).

Boleh dikatakan bahawa ajaran Islam yang disampaikan kepada Dunia Melayu sangat dipengaruhi oleh ajaran tasawwuf.  Para sejarahwan menyatakan bahawa inilah yang menyebabkan Islam menarik kepada mereka di Asia Tenggara, dan boleh dikatakan bahawa tasawwuf dengan ajaran dan amalannya menyebabkan berlakunya proses Islamisasi Asia Tenggara, selain daripda faktor-faktor lainnya.

A. H. Johns ahli sejarah Australia itu menyatakan bahawa Islamisasi tersebut berlaku dengan adanya dakwah yang cergas dilakukan oleh para penyebar sufi yang datang bersama-sama dengan para pedagang Muslim.  Para pendakwah yang bersifat sufi ini disebutkan dalam punca-punca pribumi.  Berhubungan dengan perkembangan tariqah dan tasawwuf sumber-sumber paling awal nampaknya berasal dari akhir abad ke-16.

Nampaknya dalam naskhah-naskhah Islam yang palingtua dari Sumatera dan Jawa yang ada sekarang yang dibawa ke Eropah sekitar tahun 1600 ditemui tidak hanya risalah-risalah tasawwuf dan cerita-cerita ajaib berasal dari Parsi dan India tetapi juga kitab fiqh yang sahih. (17).  Risalah-risalah agama berbahasa Jawa paling tua yang masih ada sekarang nampaknya menunjukkan adanya usaha mencari keseimbangan antara ajaran akidah, fiqh dan tasawwuf.  Hanya dalam tulisan-tulisan Jawa pada masa belakangan ini adanya ajaran-ajaran tasawwuf yang jauh lebih kental.  Tentang tariqah nampaknya tidak begitu banyak pengikut sebelum akhir abad ke-18 dan 19. (18).

Para Sufi Sumatera:

Dalam Aceh di abad ke-16 dan ke-17 terkenal nama-nama ahli tasawwuf seperti Hamzah fansuri, Nuru’d-Din al-Raniri, dan ‘Abdu’r-Rauf Singkel yang semuanya merupakan ulama terkenal di Aceh waktu itu.  Aceh waktu itu penting sebagai wilayah penghasil ladang dan ia terlibat dalam perdagangan internasional waktu itu.  Para rajanya mencintai ilmu pengetahuan dan seni dan dengan itu ianya menjadi pusat utama perkembangan ilmu-ilmu Islam. Hamzah mengungkapkan secara canggih dengan bahasa yang tinggi antara melalui syair ajaran sufi yang bersifat wahdatul-wujud. Dalam pengembaraannya yang banyak di Arabia, Baitul Maqdis, Baghdad, Ayuthia ia mendapat hubungan dengan golongan sufiah.  Diisyaratkan bahawa ia mendapat hubungan dengan tariqah Qadiriah.Bagaimanapun namanya tidak tertera dalam silsilah Qadiriah Nusantara.

Selain Hamzah ialah Shamsuddin (men. 1630) yanhg menulis dalam Bahasa Melayu dan Arab. Dia orang pertama nampaknya yang memberi huraian tentang martabat tujuh yang berupa adaptasi dari teori yang ada dalam karangan Ibn ‘Arabi, yang kemudiannya menjadi popular di Dunia Melayu. Dikatakan mungkin beliau mengikut jejak pengarang dari Gujerat iaitu yanjg bernama Muhammad Fadlu’Llah Burhyanpuri dengan kitab karangannya al-Tuhfah al-Mursalah ila Ruh al-Nabi yang diselesaikan tahun 1590 yang menjadi popular di kalangan Muslimin Dunia Melayu.  Shamsuddin adalah tidak diketahui samaada ia mengadakan perjalanan ke India atau ke Tanah Arab dan mungkin ia mengenali karangan Burhanpuri di Aceh dan bukan sangat di India atau di Tanah Arab. Burhanpuri pula berikat dengan tariqah Syattariyyah, tetapi tidak diketahui adakah Shamsuddin berikat dengan tariqat itu.  Yang diketahui kemudiannya tariqat Syattariyyah menjadi popular di Nusantara melalui mereka yang menunaikan ibadat haji. (19).

Nuru’d-Din al-Raniri berasal dari Gujerat, India.Beliau menetap di Aceh selama tahun 1637-44 dan menjadi tokoh yang sangat berpengaruh dan beliau adalah penasihat raja.  Keluarganya sudah pernah berhubung dengan orang-orang Aceh; bapa saudaranya bernama Muhammad Jilani al-Raniri menjadi guru di Aceh. Nuruddin menyatakan bahawa bapa saudaranya datang ke Aceh untuk mengajar fiqh, tetapi didesak oleh keadaan untuk terlibat dalam perdebatan tentang ajaran-ajaran tasawwuf; lalu ia pergi ke Mekah untuk mendapat ilmu yang diperlukan, dan setelah pulang dari sana ia mendapat ramai muridnya di Aceh. Nurud-din mengadakan polemik menentang murid-murid Syamsuddin yang dituduhnya menganut faham pantheisme atau serba-Tuhan sampai mereka dikenakan hukum bakar.  Kemudiannya beliau terpaksa meninggalkan Aceh

Nuruddin sendiri menganut faham wahdatul-wujud “yang lebih moderat” (20).  Pada faham ini dunia pada hakikatnya tidak ada dan hanya merupakan cerminan atau bayangan dari Hakikat yang sebenarnya. (21).  Beliau sendiri mengamalkan tariqah Rifa’iyyah dan silsilah yang diberikannya dalam salah sebuah bukunya menunjukkan bahawa cawangan tariqah yang dianutnya sudah ada di Gujerat, beberapa generasi sebelumnya, dengan orang Arab asal dari Hadhramaut sebagai syeikhnya.  Pada abad ke-19 tariqah itu tetap bertahan di Aceh.

Dalam abad-abad kemudian berbagai cawangan tariqah di India sampai ke Dunia Melayu melalui Makkah dan Madinah di mana mereka memberi bai’ah di sana.  Nampaknya inilah caranya tariqah Syattariyyah yang berasal dari India itu sedemikian kuat pengaruhnya di Jawa dan Sumatera.

Berkenaan dengan ‘Abdu’r-Rauf Singkel, sufi besar Aceh yang terakhir, boleh diingatkan beliau ini menghabiskan masanya tidak kurang dari 19 atau 20 tahun di Makkah dan Madinah, dan mempalajari ilmu-ilmu Islam pada para ulama besar di sana pada zaman itu.  Bila kembali pada tahun 1661 beliau menjadi faqih terkemuka di Aceh dan juga guru sufi yang terkenal, yang memberi perimbangan antara mereka yang mendahuluinya. Beliau mengajarkan wirid dan zikir Syattariyyah. Beliau mngembangkan tariqah ini sampai ianya tersebar dari Aceh ke seluruh Sumatera dan Jawa sampai sekarang. (22).

Tanah Arab -Mekah dan Madinah Sebagai Pusat Perkembangan Tasawwuf Asia Tenggara:

Ibadat haji merupakan kemuncak cita-cita kehidupan Muslim yang taat.  Maka Muslimin di Dunia Melayu yang berkemampuan datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji mereka, dan dalam masa yang sama ada dikalangan mereka yang menetap di sana. Nampaknya bilangan meraka yang menunaikan haji agak ramai berbanding dengan mereka yang datang dari wilayah lain apa lagi bila diambil kira jaraknya yang jauh dari Dunia Melayu.Orang-Orang Nusantara yang datang ke sana mempelajari ilmu-ilmu Islam dan ada di kalangan mereka yang mengambil tariqah daripada para ulama terkenal di sana, dan kemudiannya membawa ajaran itu pulang ke Nusantara.

Pada abad ke 17 antara ulama yang terkenal itu ialah Syaikh Ahmad al-Qasyasyi, Ibrahim al-Kurani, dan putra Ibrahim, Muhammad Tahir di Madinah. Pada abad ke 18 pula ulama Madinah yang terkenal Syaikh Muhammad al-Samman sangat berpengaruh ke atas oang-orang Dunia Melayu. Pada pertengahan abad ke-19 ulama dan sufi asli Indonesia, Ahmad Khatib Syambas di Makkah menjadi pusat perhatian utama orangf-orang Jawa, dan dalam separuh yang kedua abad yang sama suyaikh-syaikh di zawiyah tariqah Naqsyabandiyyah di Jabal Qubais  di Makkah  mengatasi pengaruh ulama lainnya.(23).

Al-Qasyasyi (men. 1660) dan al-Kurani (men. 1691) merupakan wakil gabungan tradisi India dan Mesir. Di satu pihak mereka pewaris keilmuan sebagai ulama dari Zakaria Ansari dan ‘Abd al-Wahhab al-Sha’rani dalam fiqh dan tasawwuf, dan dari segi lain pula mereka mengambil bai’ah menjadi pengikut tariqah dari India, yang paling berpengaruh antaranya ialah tariqah Syattariyyah dan Naqsyabandiyyah. Dua tariqah ini mulanya diperkenalkan di Madinah oleh seorang India bernama Sibghatu’Llah yang menetap di sana sejak tahun 1605. Al-Kurani, seorang Kurdi, mungkin mengenal persuratan Islam dalam Bahasa parsi datri India; selain itu ia ahli hadith dan suka pula kepada metafisika. Dalam beberapa pertelingkahan pendapat yang sengit nampaknya ulama India menjadikannya sebagai rujukan.  Orang Dunia Melayu juga nampaknya demikian sikapnya.Atas permintaan mereka beliau menulis syarah atas kitab Tuhfah karangan Burhanpuri, dengan memberi penafsiran aliran Ahlis-Sunnah.

Antara tariqah yang diajarkan oleh al-Qasyasyi dan al-Kurani tariqat Syattariyyah digemari oleh orang Indonesia.Di Timur Tengah kedua syaikh ini terkenal sebagai penganut tariqah Naqsyabandiyyah.  ‘Abdu’r-Rauf yang tersebut di atas murid paling terkenal dari keduanya merupakan ulama paling terkenal antara murid mereka, tapi mungkin ada ramai lagi murid-murid mereka itu selain daripadanya.  ‘Abdu’r-Rauf dihantar ke Dunia Melayu sebagai khalifah.

Selama beberapa generasi para penuntut ilmu dari Dunia Melayu di Tanah Arab belajar pada para pengganti al-Kurani dan mengambil bai’ah untuk mengikut tariqah Syattariyyah.Pada pendapat M. Van Bruinessen melalui tariqah inilah berbagai gagasan metafisika tasawwuf dan klasifikasi simbolik yang didasarkan atas ajaran martabat tujuh menjadi bahagian daripada kepercayaan popular orang Jawa.

Seorang ulama lagi yang srezaman dengan ‘Abdu’r-Rauf ialah Yusuf Makassar yang dimuliakan sebagai wali utama Sulawesi Selatan.  Dia menghabiskan masanya dua dekad di Tanah Arab dan belajar dengan Ibrahim al-Kurani dan lainnya dan mengembara sampai ke Damsyik.  Beliau mengambil bai’ah sejumlah tariqah dan mendapat ijazah untuk mengajarkan tariqah Naqsyabandiyyah, Qadiriyyah, Syattariyyah, Ba’lawiyyah, dan Khalwatiyyah; juga beliau mengaku pernah mengikuti tariqah Dusuqiyyah, Syadhiliyhyah, ‘Aydrusiyyah, Chistiyyah, Ahmadiyyah, Madsriyyah, Kubrawiyyah, dan lainnya.  Setelah beliau pulang ke Dunia Melayu pada tahun 1670 beliau mengajar apa yang dikatakannya sebagai tariqah Khalwatiyyah, tetapi berupa teknik kerohanian Khalwatiyyah dan yang lain-lainnya.  Tariqah beliau ini berpengaruh di Sulawesi Selatan, terutama di kalangan golongan bangsawan Makassar.

Hampir seratus tahun kemudian orang-orang Jawah di Tanah Arab tertarik kepadaa ajaran ulama yang sangat krismatik iaitu Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman (men. 1775) di Madinah.  Beliau seorang penjaga makam Nabi saw dan pengarang beberapa kitab metafisika sufi; beliau dikenal sebagai pendiri sebuah tariqah baru sehingga beliau menjadi orang yang berpengaruh.  Dia menggabungkan tariqah Khalwatiyyah, Qadiriyyah, dan Naqsyabandiyyah, dengan tariqah Syaziliyyah dari Afrika Utara. Perpaduan baru ini dengan ratib barunya dikenali sebagai tariqah Sammaniyyah Ini menjadi tariqah tersendiri dengan zawiyahnya tersendiri pula.  Beliau terkenal dengan banyak peristiwa-peristiwa luar biasa yang berlaku dalam hubungan dengannya.  Muridnya yang paling terkenal di Dunia Melayu ialah Syaikh ‘Abdu’s-Samad al-Falimbani, yang sangat berpengaruh dalam ahli masyarakat dari Dunia Melayu di Tanah Suci dan beliau mengarang sejumlah kitab yang penting dalam Bahasa Melayu. Beberapa ulama lain bersama dengan tariqah Sammaniyyah ini dan tariqah ini mendapat tempat terhormat dalam kalangan kesultanan palembang, bahkan setelah wafat al-Samman Sultan palembang menyediakan dana untuk membangun zawiyah Sammaniyyah di Jiddah.

Setelah wafat al-Samman ramai orang Dunia Melayu yang belajar dengan khalifahnya bernama Siddiq bin ‘Umar Khan.Mereka menyebarkan tariqah ini di Kalimantan Selatan, Batavia, Sumbawa, Sulawesi Selatan, dan Semenanjung Tanah Melayu.Muhamnmad Nafis al-banjari (dari kalimantan Selatan) menulis karya penting dalam bahasa Melayu iaitu al-Durrun-Nafis.

Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah merupakan tariqah gabungan serupa dengan Sammaniyyah, yang di dalamnya teknik-teknik kerohanian tariqah Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah merupakan unsur utamanya, tetapi selain dari itu ada juga unsur-unsur lainnya.  Tariqah ini adalah tariqah muktabar yang didirikan oleh ulama Dunia Melayu, Ahmad Khatib Syambas.  Beliau yang menghabiskan masa dewasanya di Makkah sangat dihormati di luar kalangan orang Dunia Melayu sebagai ulama yang serba tahu yang menguasai fiqh, akidah dan juga tasawwuf.Ia mendapat ramai murid dan kemudian tariqah ini mengantikan tariqah Sammaniyyah sebagai tariqah yang paling popular di Dunia Melayu.Setelah beliau wafat tahun 1873, atau 1875, khalifahnya ‘Abd al-Karim dari Banten mengantinya sebagai syaikh tertinggi tariqah itu.  ‘Abd al-Karim kena kembali dari Banten ke Mekah untuk mengganti kedudukan syaikh.  Dua khalifah utama lainnya ialah Kiai Tolhah di Ceribon dan seorang kiai di Madura.’Abd al-Karim adalah pimpinan pusat terakhir tariqah ini.

Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah sekarang ini merupakan salah satu dari dua tariqat yangmemiliki jumlah pengikut yang paling besar di Nusantara. Yang satu laginya ialah tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang tersebar ke seluruh Dunia Melayu berkat zawiyah yang didirikan oleh khalifah dari Maulana Khalid , ‘Abdul ‘Aziz al-Arzinjani di jabal Abu Qubais, Makkah. Para pengganti ‘Abdullah, Sulaiman al-Kirimi, Sulaiman al-Zuhdi, dan ‘Ali Ridha mengarahkan supaya penyebaran tariqah itu terutama kepada orang-orang Jawah yang datang ke Mekah dan Madinah dalam bilangan yang sangat ramai dalam dekad-dekad terakhir abad ke-19. Antara pengembang tariqah Naqsyabandiyyah-Khalidiyyah yang sedang aktiv sekarang ialah Habib Anwar yang pusat kegiatan Nusantaranya ialah di Singapura, dan anak buahnya ada mempunyai pusat suluk di Terengganu, Malaysia

Perkembangan tariqah-tariqah Syattariyyah, Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Rifa’iyyah, Ba’lawiyyah, Khalwatiyyah, Ahmadiyyah Idrisiyyah, dan Rahmaniyyah di bicarakan dengan lanjut lagi oleh sdr Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dalam buku barunya Penyebarann Thariqah-Thariqah Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyyah, Kuala Lumpur, 2000.

Dalam buku itu beliau bukan sahaja menerangkan aspek-aspek sejarah tariqah-tariqah serta dengan peribadi-peribadi penting di dalamnya tetapi juga wirid-wirid dan amalan-amalannya. Penulis ini tidak hendak berpanjang kalam lagi berkenaan dengan hal ini.

Segi Ajaran-Ajarannya:

Secara ringkasnya dilihat dari segi ajarannya tasawwuf yang berkembang di Nusantara, sebagaimana juga tasawwuf asalnya ialah merupakan ajaran aspek rohaniah Islam yang mengintesifikasikan keimanan dan keIslam seseorang atau masyarakat itu.  Dengan penekanan atas aspek al-ihsan itu, dengan pemusatan atas akidah yang sahih, sera perlaksanaan ibadat yang baik dan ikhlas, berserta dengan pemupukan sifat-sifat yang murni, maka keIslaman orang yang berkenaan itu mencapai ketinggiannya dengan berkesannya.

Ianya boleh dilihat dari segi mu’amalahnya, sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Ghazali rd dalam Ihya’nya dan juga kalau di Nusantara sebagaimana yang dihuraikan oleh Syaikh ‘Abdus-Samad al-Falimbani dalam sair as-Salikinnya.  Sebab itu dalam Ihya’ dan Sair as-Salikin maka ditumpukan perhatian kepada aspek ibadat, muamalah, pembersihan daripada sifat-sifat yang keji, dengan aspek-aspek yang diperlukan dari psikologi rohaniah, dan kemudiannya ditumpukan kepada sifat-sifat yang mulia dan bagaimana membentuknya dalam peribadi manusia.kandungan yang sama boleh dilihat dalam Ihya’ karangan Imam al-Ghazali.  Demikian pula isi kandungan kitab Ma’uizatul-Mu’minin karangan Jamaluddin al-Qasimi yang merupakan ringkasan kitab Ihya’. Kitab Hikam To’ Pulau Manis yang dikaji oleh Dr Shafie Abu Bakar juga berbicara berkenaan dengan sifat-sifat kerohanian yang lebih intensif sesuai dengan perkembangan mereka yang sudah terkesan dengan baik perjalanannya.Kitab Minhaj al-‘Abidin karangan Imam al-Ghazali yang diterjemahkan oleh Syaikh Daud al-Fatani dalam abad ke 18 juga berbicara bagaimana mencapai tingkatan-tingkatan dalam perjalan manusia menjayakan ibadat dan pengabdian kepada Tuhan dengan membentuk sifat-sifat utama dengan ilmunya, taubatnya, pembuangan halangan-halangannya sepoerti dunia, nafsu, syaitan, makhluk, demikianseterusnya.  Bagaimana membuang sifat-sifat ria, pemalas dalam ibadat, takbur, bagaimana membentuk sifat tawakkal, syukur, puji, redha dan seterusnya dalam rangka menyempurnakan pengabdian manusia kepada Tuhan dan menyempurnakan sifat-sifat rohaniah dirinya.

Antara teks-teks itu ada yang menyentuh sedikit sebanyak aspek-aspek psikologi rohaniah dan perkara-perkara metafisika yang mungkin menimbulkan masalah kepada setengah kalangan.

Apapun yang hendak dikatakan, kedudukan tasawwuf dan tariqah-tariqah tetap ada di Dunia Melayu, hanya ada beberapa masalah yang harus dicarikan penyelesaian, selain daripada masalah-masalah golongan-golongan yang tentu secara terang nyata sesat danb menyeleweng pegangan dan kepercayaannya, sebagaimana yang ditunjukkan antaranya dalamn teks seperti Tuhfatu’r-raghibin yang penuls ini cuba bentangkan sebahagian daripada isinya. Sebagaimana di bawah nanti.

Tentang wirid-wirid itu terserahlah kepada mereka yang mengambil bahagian dalam tariqah-tariqah yang muktabar, dengan kelainan-kelainannya dalam perkara-perkara detailnya; dalam soal akidah semuanya adalah mengikut aqidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.

Bagi mereka yang tidak terlibat dengan tariqah-tariqah mereka boleh mengintensifkan wirid dan zikir dengan mengamalkan apa yang diajarkan di kalangan ulama Nusantara, misalnya apa yang biasa diamalkan, sebagaimana yang disebut oleh Syaikh ‘Abdus-Samad al-Falimbani yang dinyatakan sebagai amalan yang diamalkan di Madinah dan disebarkan oleh Syaikh Ahmad al-Qasyasyi.

Pengawasan Daripada Unsur-Unsur Yang Menyeleweng:

Pada tahap ini penulis ingin memaparkan isi kandungan satu teks yang tidak tercatit nama pengarangnya, yang dikarang pada tahun 1188 Hijrah (sekitar tahun 1774), yang ada pada penulis ini ialah terbitan Sulaiman Mar’I Singapura-Pinang, tanpa tarikh.  Ianya setebal 28 halaman dan mengandungi huraian tentang:

  • Fasal Pertama berkenaan dengan hakikat iman;
  • Fasal kedua berkenaan dengan perkara-perkara yan merosakkan iman;
  • Fasal ketiga berkenaan dengan syarat yang menimbulkan murtad dan hukum-hukum yang berkaitan;

Berkenaan dengan hakikat keimanan barangkali tidak sangat diperlukan untuk memaparkannya.  Pada penulis ini yang perlu dipaparkan ialah fasal kedua dan ketiga, yang boleh dianggap sebagai aspek-aspek yang menyentuh pemurnian akidah dan oleh itu juga pegangan tasawwuf dan amalannya.  Secara ringkasnya isinya ialah yang membinasakan iman, iaitu “riddah” atau kemurtadan iaitu:

  1. dengan perbuatan kufur
  2. perkataan kufur
  3. I’tiqad kufur. Dengan sengaja, bersenda-senda, atau bantahan.
  4. Perbuatan kufur: sujud kepada makhkuk dengan meletak dahi ke bumi
  5. menghampirkan diri kepada makhluk dengan menyembelih kambing umpamanya
  6. membuang Qur’an atau kitab syara’ di tempat najis
  7. membuangnya ke tempat yang keji seperti hingus
  8. membuang fatwa ilmu syara’ ke bumi
  9. membuangnya dan berkata: “fatwa ilmu apa ini?”
  10. dengan perkataan serta I’tiqad alam ini kadim atau roh kadim
  11. atau Allah baharu
  12. menafikan sifat Allah yang sabit dengan ijma’
  13. menafikan ilmuNya tentang juziyyat
  14. mengisbatkan sifat yang ditolak oleh ijma’
  15. mendustakan nabi
  16. mendustakan malaikat
  17. meringankan keduanya atau menyembah keduanya
  18. mendustakan satu ayat daripada ayat-ayat Qur’an yang ijma’ ulama sabitnya.
  19. menambahi satu kalimah dalam Qur’an
  20. meringan-ringankan nabi
  21. meringan-ringankan sunnah nabi (seperti memperlinya-p)
  22. menghalalkan yang haram dengan ijma’ seperti zina, liwat dan minum arak
  23. mengharamkan yang halal dengan ijma’ seperti berjual beli
  24. menafikan yang wajib pada syara’ seperti sembahyang dan puasa Ramadan
  25. mewajibkann yang tidak wajib dengan ijma’ seperti menambahkan sembahyang jadi enam
  26. mendakwa menjadi nabi
  27. membenarkan orang mengaku nabi
  28. menuduh Siti ‘Aisyah berzina
  29. mengatakan kafir kepada orang Islam tanpa ta’wil
  30. menghalalkan mengatakan kafir kepada orang Islam
  31. bercita-cita akan menjadi kafir, maka kafir waktu itu juga
  32. bercita-cita menjadi kafir dengan berlaku sesuatu
  33. syak adakah diri sendiri kafir atau tidak, maka jadi kafir waktu itu juga
  34. menyuruh orang islam masuk kafir
  35. mengisyaratkan kepada orang Islam supaya masuk kafir
  36. mengisyaratkan orang kafir yang hendak masuk Islam supaya ia kekal dalam kafir
  37. enggan mengajar kepada orang kafir yang hendak masuk islam
  38. meminta tangguh mengajar syahadah kepada orang yang hendak masuk Islam
  39. senda-sendakan nama Allah
  40. senda-sendakan suruhan atau tegahan Allah
  41. senda-sendakan janji Allah memberi pahala atau mengenakan seksa
  42. senda-sendakan nama Rasul
  43. berkata: “kalau Tuhan suruh atau Rasul suruh aku taat aku tidak akan lakukan”
  44. atau kata: “kalau nabi datang aku tidak akan menerimanya”
  45. berkata: “kalau Allah jadikan kiblat pihak ini aku tidak akan berhadap sembahyang kepadanya”
  46. kata: “kalau Tuhan jadikan si anuitu nabi aku tidak akan terima.”
  47. kata: “kalau aku sakit Tuhan suruh aku sembahyang Tuhan zalim”
  48. kalau orang teraniaya berkata: “aku teraniaya ini takdir. Orang yang menganiaya berkata: aku yang buat bukan dengan takdir”
  49. kata: “kalau seorang nabi atau malaikat naik saksi aku tidak terima”
  50. kata: “aku tidak tahu nabi itu manusiakah atau jin”
  51. kata: aku tak tahu apa iman itu, secara menghinakannya.
  52. mengecil-ngecil satu anggota nabi dengan menghinakannya
  53. mengecil-ngecilkan nama Allah
  54. berkata kepada orang yang berkata “la haula wa la quwwata illa billah”, itu tidak boleh menolong daripada lapar!
  55. Orang yang berkata kepada orang yang bang, dusta engkau!
  56. mengucap bismillah waktu minum arak dan berzina
  57. berkata: aku tidak takutkan kiamat dengan meringan-ringankannya.
  58. Berkata: sepinggan makanan tertentu lebih baik daripada ilmu.
  59. Berkata kepada orang yang berkata: aku pertaruh hartaku kepada Allah dengan kata-kata: engkau pertaruhkan hartamu kepada pihak yang tidak boleh menyekat pencuri daripada mencuri hartamu.
  60. Berkata: hai Tuhanku, matkkan olehmu akan daku, kalau engkau mahu aku Islam atau kafir.
  61. Berkata, bila binasa harta dan anaknya, hai Tuhanku apa yang Engkau hendak buat denga harta dan anakku itu?
  62. Orang yang mengajar kanak-kanak mengaji Qur’an berkata: kaum Yahudi terlebih baik daripada islam pada membayar hak guru.
  63. kalau ada orang kafir masuk  Islam yang diberi zakat, orang lain berkata: kalau aku masuk kafir kemudian Islam aku boleh dapat zakat.Orang itu jatuh kafir.
  64. Menafikan Abu Bakar itu sahabat nabi
  65. Kalau seseorang berkata kepadanya engkau bukan orang islam, ia pun berkata aku bukan Islam
  66. kalau orang menyerunya: Hai yahudi! Ia pun menjawab, jadi kafir .
  67. berkata: nabi kita hitam atau bukan Quraisy.
  68. Berkata: pangkat nabi boleh hasil dengan usaha.
  69. berkata: aku mendapat wahyu daripada Allah.
  70. Berkata: aku sudah masuk syurga, makan buah-buahannya dan peluk bidadarinya.
  71. tidak menganggap kafir orang yang selain daripada beragama Islam.
  72. syak pada mengkafirkan mereka seperti Yahudi misalnya.
  73. atau menganggap sah mazhab mereka seperti yahudi.
  74. mengatakan umat Muhammad sesat
  75. mengatakan Sahabat rasulullah kafir
  76. menafikan Qur’an ada mu’jizat yang melemahkan kuffar.
  77. mengatakan Mekah, Ka’bah, atau Masjidil Haram.
  78. Berkata: aku tidak tahu yang dikatakan Mekah itu Mekahkah atau tidak.
  79. Menafikan bahawa langi bumi menunjukkan dalil ada Allah.
  80. Berkata: adanya langit dan bumi tidak menunjukkan adanya Allah.
  81. menafikan bangkit manusia dari kubur.
  82. Ingkarkan syurga dan neraka atau hisab dan pahala juga azab.
  83. atau dibenarkan semuanya itu tetapi katanya itu bukan maksudnya yang sebenar.
  84. berkata: imam-imam itu lebih afdhal daripada nabi-nabi.
  85. menyerupakan orang jahat dengan zabaniyah atau Munkar Nakir secara menghinanya, jadi kafir.
  86. melebihkan wali atas nabi
  87. menyangka sifat rububiyah apabila zahir atas hamba terangkat taklif.
  88. mengaku melihat Allah dengan mata kepala dalam dunia.
  89. mengaku dirinya sama perkataan dengan Allah.
  90. berkata: Allah masuk dalam semua rupa yang baik-baik.
  91. Berkata: roh itu cahaya Allah, apabila berhubung yang cahaya berkata-kata keduanya.
  92. Beriktikad sifat dirinya dekat dengan sifat Allah.
  93. Beriktikad Allah memberi makan minum kepadanya tiada haram halal lagi.
  94. Mengaku sampai kepada Allah dengan jalan lain daripada ubudiyyah atau memperhambakan diri kepadaNya.
  95. mengaku dirinya sampai kepada maqam gugur  hukum Syara’ baginya.
  96. Jadi bida’ah orang yang berkata: Allah telah mengilhamkan kepadanya pekerjaan agama Islam tidak berkehendak lagi ianya kepada ilmu dan ulama;
  97. kalau beri’tikad Allah ilhamkan kepedanya pekerjaan agama lain daripada Islam jadi kafir;
  98. atau ia sampai menjadi nabi jadi kafir;
  99. kalau dikata kepada seseorang: engkau padaku seperti yahudi pada penglihatan Allah
  100. atau membaca Qur’an sambil memalu rebana;
  101. atau dikata orang baginya: adakah engkau ketahi yang ghaib, jawabnya:ya, bertanya aku tahu akan dia;
  102. atau ia kembali daripada musafir bila mendengar burung ‘aq’aq
  103. atau dikatanya: aku ‘asyik akan Allah dan Allah ‘asyik akan aku, maka jadi bid’ah fasik; tentang kafirnya ada khilaf.
  104. kalau mencita-cita jangan diharamkan zina, membunuh dan anyiaya, jadi kafir.
  105. kalau mencita-cita tidak diharamkan minum arak dan berkahwin dengan saudara, tidak kafir.
  106. kalau dikatakan bagi isterinya: engkau terlebih aku kasih dearipada Allah, atau
  107. berkata: ia Nasrani terlebih baik daripada majusi, bersalahan ulama tentang kufurnya.

Kemudian disebut tentang hadith berkenaan dengan perpecahan umat kepada 73, satu sahaja yang selamat, dan mereka itu Ahlis-Sunnah wal-jamaah. (halaman 8-9).

Kemudian digesa supaya berpegang kepada Ahlis-Sunnah, jangan Qadariyyah, Jabariyyah, mazhab tasybih, dan ta’til, Khariji dan Rafidhi.Ini diikuti dengan huraian-huraian berkenaan dengan golongan-golongan Rafidhiyyah, Kharijiyyah, Jabariyyah, Qadariyyah, Jahmiyyah, dan Murji’ah.  Kemudian ini disusuli dengan ciri-ciri golongan itu semuanya dan pegangan-pegangan mereka.  Yang akan disebutkan ialah yang berkemungkinan menyentuh tasawwuf pada pegangann atau amalannya sahaja.  Antaranya ialah:

Dalam golongan Rafidhah – yang dinyatakan ianya terdiri daripadda dua belas golongan – antara akidah-akidah mereka yang banyak itu ialah:

  1. Saidina ‘Ali turun dari langit, keluar daripadanya awan Uluhiyah, lalu masuk kepada rupa manusia; lalu dikerjakannya beberapa kerja yang menunjukkan keTuhanan, lepas itu naik semula ke langit.  Ini kufur.
  2. Setengahnya beriktikad: Saidina ‘Ali rd adalah nabi Allah, Jibril tersilap membawa wahyu kepada Nabi Muhammad saw.  Ini kufur berdasarkan ayat Qur’an yang bermaksud Muhammad tidak lain melainkan Rasul.
  3. Setengahnya beriktikad: Saidina ‘Ali krw berkongsi dengan Nabi Muhammad s.a.w. dalam pangkat kenabian.  Ini kufur.
  4. Setengahnya beriktikad: Khalifah itu ‘Ali, bukan yang lain-lain itu, dan bahawa Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman menjadi kafir bila menerima khilafah lain daripada ‘Ali.
  5. Mereka itu menyumpah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman, serta para Sahabat lainnya. Mereka lebihkan sahabat Ali mengatasi sahabata-sahabat lain.
  6. Setengahnya beriktikad: roh bila keluar daripada sesuatu badan masuk ia kepada lembaga lain. Ini kufur.
  7. Setengahnya beriktikad: Ali krw lagi akan kembali ke dunia dengan hidupnya dahulu daripada Kiamat serta menuntut balas atas sekelian seterunya , dan sekarang ini tempatnya di awan.Guruh dan kilat suara cemetinya.Ini iktikad kufur kerana menyalahi Qur’an, hadith dan ijma’ Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah.
  8. Setengahnya beriktikad: Allah terkadang zahir dengan rupa manusia, makan dinamai ia itu nabi dan imam, ialahn yang memanggil manusia kepada agama Islam yang betul. Kalau tidak demikian sesatlah makhluk.
  9. Setengahnya beriktikad: Allah Taala masuk kepada sesuatu dan ia bersatu (asl.”bersuatu”) dengan benda itu.Ini iktikad kufur.(Ini menyentuh golongan yang mengaku bersatu dengan Allah atau ittihad).

Berkenaan dengan golongan ini pengarang kitab ini menukilkan hadith yang bermaksud: “Akan ada pada akhir zaman kaum yang dinamakan Rafidhah yang membuang Islam, hendaklah kamu membunuh mereka, sesungguhnya mereka itu golongan syirik.” (hlm. 9-10).

Berkenaan dengan kaum Kharijiah atau Khawarij:

Disebutkan mereka itu dua belas golongan.Antara akidah mereka:

  1. menjadi kafir orang yang melakukan dosa besar. Itu I’tikad kufur.
  2. pada mereka zakat tidak wajib;
  3. mereka menghimpunkan harta;
  4. kata mereka tidak harus memberi zakat kepada sesiapa kerana tidak diketahui kafir atau mukmin; itu semua I’tikad kafir.
  5. Setengahnya percaya Allah mengampunkan dosa syirik.Itu I’tikad kufur.
  6. Setengahnya percaya iman dengan yang ghaib itu batil; ini kufur.
  7. Setengahnya beri’tikad Allah tidak menghukumkan makhluk dengan suatu hukum.  Ini kufur.
  8. Setengahnya percaya matahari, bulan dan bintang bukan makhluk Allah.  Ini kufur.
  9. Setengah percaya semua wanita umpama perhumaan atau bunga-bungaan maka harus bersetubuh sebelum nikah.  Ini kufur.
  10. kaum Kharijiah naik saksi bahawa Ali rd kafir.
  11. Mereka berkata: mereka tidak tahu mukmin atau kafir selain Abu Bakar dan ‘Umar.  Ini kufur.

Kemudian dibicarakan golongan Jabariyyah.  Dinyatakan mereka itu ada dua belas golongan.

  1. Mereka beriktikad: semua perbuatan hamba amalan kebajikan, iman dan taat, dan amal kejahatan seperti kufur dan maksiat dari Allah.
  2. Sekali-kali tiada usaha dan iktiar hamba; hamba tergagah pada semua perbuatannya. Seperti benang tergantung ditiup angin; maka semua perbuatan hamba adalah perbuatan Allah.  Ini kufur.
  3. Mereka sifatkan Allah dengan melakukan kejahatan seperti zina dan lainnya.
  4. Iktikad mereka menggugurkan taklif dari hamba dan ini “(meng)ingkar(kan) akan beberapa ayat Qur’an dan ijma’ sekelian ulama betapa kiranya sah menafikan amal dan usaha daripada hamba” (hlm. 11).
  5. Setengahnya beriktikad: sekali-kali hamba tidak beroleh kebajikan daripada berbuat taat dan tidak beroleh kejahatan daripada maksiat.  Kebajikan, kejahatan, taat dan maksiat adalah bagi Allah sahaja, dan ia putus asa daripada rahmat Allah. Ini kufur.
  6. Setengahnya beriktikad: tidak beroleh pahala dan seksa daripada berbuat kebajikan dan kejahatan.  Ini kufur.
  7. Setengahnya beriktikad tafakur itu terutama daripada berbuat ibadat dengan mengambil dalil daripada hadith (yang bermaksud): Tafakur sesaat lebih baik daripada ibadat tujuh puluh tahun.  Disangkanya ibadat itu ibadat fardhu. Itu kufur.
  8. Setengahnya beriktikad: sesiapa menyucikan dirinya dan hening daripada cemar hawa nafsu, dan ia ada ilmu, gugur daripadanya ibadat dan amal. Ini kufur.
  9. Setengahnya beriktikad: segala makhluk beroleh pahala sebab berbuat kebajikan tiada beroleh seksa dengan berbuat kejahatan; semua yang kafir dan yang melakukan maksiat diuzurkan, tiada disoal, kerana semua perbuatan hamba digagahi- ini iktikad kufur.
  10. Setengahnya beriktikad: Allah tiada menyeksa hambaNya, sebab kalau Ia menyeksa, maka ia zalim.  Ini kufur.
  11. Setengahnya beriktikad: Allah menghidupkan mereka yang kafir dalam Neraka; kemudian dimatikan mereka, tiada hidup lagi.  Itu kufur.
  12. Setengahnya beriktikad: Allah telah menjadikan segala sesuatu: selepas selesai, Ia istirehat.  Tiap-tiap suatu zahir pada waktunya bukan dari Allah.  Ini kufur.
  13. Setengahnya beriktikad: Tiap-tiap seorang yang ada terlintas khatir kebajikan atau kejahatan dalam hatinya, hendaklah ia lakukannya; itu daripada suruhan Allah.Ini kufur.
  14. Setengahnya beriktikad: bila seseorang hamba sampai kepada martabat kesudahan kasihnya kepada Tuhan, dan heninglah hatinya, dimunumnya minum kasih kepada Allah, gugur segala taklif Syara’ daripadanya, terangkat segala ibadat, ibadatnya hanya tafakur sahaja.  Ini kufur.
  15. Setengahnya beriktikad: segala harta dunia ini dikongsi antara manusia sebab semuanya pesaka daripada Adam dan Hawwa.  Sesiapa yang mengambil daripadanya itu haknya.  Itu iktikad kufur.
  16. Setengahnya beriktikad: belajar ilmu jadilah seseorang itu syarik, bersekutu pada segala harta manusia; sesiapa yang menegahnya maka kafir.  Ini iktikad kufur.
  17. Setengahnya beriktikad: tiada sesuatuyang difardhukan Allah atas hambaNya, jika dikehendaki diperbuatnya kalau tidak, tidak.  Ini kufur.
  18. Setengahnya beriktikad: hamba tiada mukallaf lain daripada iman dan kufur.  Ini kufur.
  19. Setengahnya beriktikad: Allah menyuruh berbuat ibadat, tidak diwajibkan mengulang-ulangkannya.  Ini kufur.
  20. Setengahnya beriktikad: bahawa syak ia pada imannya; katanya membawaiman dan mengucap syahadat itu menjadi mukmin dan menghilangkan kufur.  Ini kekufuran.

 

Kemudian diikuti dengan huraian tentang kaum Qadariyyah.

  1. Setengahnya beriktikad: Kudrat hamba yang baharu memberi kesan pada segala perbuatan hamba yang diikhtiarkan dengan sengaja; maka segala yang berlaku adalah hasil bekas kudrat yang diberikan Tuhan samaada ada perbuatan langsung atau yang timbul daripadanya (tawallud).  Pada ulama Transoxiana ini kufur mutlak; pada jumhur ini kufur kalau diharuskan Allah lemah daripada menjadikan perbuatan.
  2. Setengahnya beriktikad: Syaitan tidak berdapat dengan Tuhan sebab tiada baginya wujud yang nyata.  Ini kufur.
  3. Setengahnya beriktikad: untung baik dan jahat bukan daripada Allah, itu kufur.
  4. Setengahnya beriktikad: berbuat ibadat itu sia-sia kerana yang bahagia itu bahagia semenjak dari azali, dalam perut ibu, itu kufur.
  5. Setengahnya beriktikad: menafikan Sirat, Hisab, Mizan, dan Syurga dan Neraka belum dijadikan.  Ini kufur.
  6. Setengahnya beriktikad: segala amalan itu daripada hamba jua tiada kita ketahui hamba akan mendapat pahala atau seksa.  Itu kufur.
  7. Setengahnya beriktikad: Tuhan tidak menjadikan Syaitan kerana menjadikannya itu nyata menjadi kufur danmenghendakinya, itu kufur.
  8. Setengahnya beriktikad: Segala amalan itu makhluk Allah melainkan iman.  Itu kufur.
  9. Setengah daripada mereka: menerima ibadat yang fardhu dan bencikan ibadat yang sunat.
  10. Setengahnya: menerima ibadat sunat dan bencikan yang fardhu.
  11. Mereka sembahyang zohor dan asar dua-dua rakaat.  Itu semua kufur.
  12. Setengahnya beriktikad: segala kitab Allah yang diturunkan dari langit tiada mansukh maka wajib diamalkan apa yang ada di dalamnya.  Ini kufur.
  13. Kaum Qadariyyah itu seperti Majusi, seperti hadith Nabi s.a.w. (yang bermaksud): “Apabila kamu lihat kaum Qadariyyah, maka kamu bunuh mereka, mereka itu majusi umat ini.”

 

Kemudian ini disusuli dengan golongan Jahmiyyah. Mereka itu dua belas golongan.

  1. Setengahnya beriktikad: Nama-Nama Allah Dan Sifat-SifatNya adalah makhluk.  Ini kufur.
  2. Setengahnya beriktikad: Allah maujud pada tiap-tiap tempat dengan secara hulul dan ittihad.  Ini kufur kerana mengisbatkan tempat bagi Allah dan berbilang-bilangNya.
  3. Setengahnya beriktikad: mukmin yang derhaka bila masuk Neraka tidak akan keluar daripadanya.  Ini kufur.
  4. Setengahnya beriktikad: isi Neraka bila dibakar hingga menjadi abu, maka ia tidak hidup lagi.  Ini kufur.  (Disusuli dengann nas Qur’an).
  5. Setengahnya beriktikad: Mayat tidak merasai azab, hanya pada ketika sakratul maut sahaja, dan (tiada?) merasai azab kubur.  Ini kufur.(Disebutkan menyalahi Qur’an dan hadith).
  6. Setengahnya beriktikad: Allah taala berdiri antara langit dan bumi.
  7. dan lagi katanya Nabi kita melihat Tuhan dalam dunia, kitapun melihat Tuhan dalam dunia.Sekelian itu kufur.(menyalahi nasQur’an, hadith dan ijma’).

Ini disusuli dengan menyebut kaum Murji’ah.  Mereka itu ada dua belas golongan.

  1. Antaranya beriktikad: selepas daripada membawa iman tidak ada sesuatu yang diwajibkan Allah.  Ini iktikad kufur.
  2. Setengahnya beriktikad: Allah jua yang menjadikan sekelian makhluk; tetapi Ia tidakmenyuruk melakukan kebajikan dan melarang kejahatan.  Ini iktikad kufur. (Dinyatakan dalil ayat Qur’an yang menyuruh melakukan kebaikan dan keadilan).
  3. Setengahnya beriktikad: barangsiapa mengucap “la ilaha illah’ Llah” maka berbuat taat atau maksiat sama sahaja.
  4. Setengahnya beriktikad: Sesiapa yang mentauhidkan Allah dan beriman kepadaNya sekali-kali tidak tersurat atasnya dosa besar.  Ini kekufuran. (menyalahi nas Qur’an, hadith dan ijma’).
  5. Setengahnya beriktikad: dan beramal dengan menyembah matahari dan bulan serta bintang.  Ini kekufuran.
  6. Setengahnya beriktikad: Allah taala jauhar atau ‘arad (iaitu zat benda atau sifat yang ada pada benda).  Ini kekufuran.(disebut ayat Qur’an yang bermaksud Allah tidak ada menyamai sesuatu).
  7. Setengahnya beriktikad: Iman itu ilmu, sesiapa yang tiada ilmu ia kafir.
  8. Juga katanya: sesiapa yang tiada mengetahui suruh dan tegah, ia kafir.  Iktikad demikian kufur. (disebutkan kerana menyangkali tasdiq dan dipadakan dengan ilmu sahaja).
  9. Setengahnya beriktikad: Iman itu tiap-tiap tahun berkurang, tiadak bertambah.  Ini kekufuran. (disebut ayat Qur’an yang bermaksud: orang-orang yang beriman itu bertambah imannya).
  10. Setengahnya beriktikad: dan katanya (bermaksud) “Aku mukmin insha’ Allah”.  Itu kufur kalau ia syak tentang imannya.  Kalau tidak syak disebut untuk mengambil berkat dengan nama Allah, tidak jadi kafir.
  11. Setengahnya beriktikad: Allah serupa dengan Nabi Adam berdasarkan hadith mutasyabihat bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjadikan Adam atas rupa Tuhan Yang Rahman“.  Iktikad itu kufur. (Disebut ayat Qur’an bermaksud tiada sesuatu yang menyerupai Tuhan).
  12. Setengahnya beriktikad: segala yang wajib dan sunat sama sahajakerana titah Allah;
  13. dan lagi setengahnya beriktikad: Allah tidak melihat dan mendengar, ini kufur. (Disebut ayat Qur’an yang menyebut Allah mendengar dan melihat).
  14. Setengahnya beriktikad: Kita mengikut Syaitan sama ada mukmin atau kafir, kalau ia menyuruh makan yang haram sekalipun.  Ini kufur.

Dikatakan bahawa kaum Murji’ah itu dimurkai Allah, dan disebut dalam hadith nabi saw bahawa mereka itu dilaknati oleh tujuh puluh anbiya.

Selepas menyebut kaum yang tujuh puluh dua itu, penulis ini memberi pesanan: ”(Sayugianya) kau ketahui akan dia (yaitu 72 golongan sesat itu) supaya kau jauhi akan dia (dan)jangan sekali-kali kau iktikad akan dia …” (hlm14).

Lepas itu penulis menyatakan:

“(Apabila kau ketahuilah) segala iktikad dan mazhab yang sesat yang telah tersebut itu, sekarang (maka ku nyatakan) pula iktikad kaum mulhid yang bersaufi dirinya seperti yang telah dinyatakan Imam Ghazali (dan Syaikh Abun-Najib Suhrawardi) (dan) Imam Najmu’d-Din ‘Umar al-Nasafi dan lainnya …” (hlm. 14).  Kemudian diteruskan kenyataan:

Adapun kaum yang bersaufi-saufi diinya itu amat sesat mereka itu tiada patut dinamaiakan dia dengan nama saufi, hanya terutama dinamai akan dia dengan kafir atau fasiq. (Kata ulama) adalah banyak mereka itu tiga belas kaum.

“(Pertama) kaum Murji’ah namanya (kedua) kaum auliya’iyyah namanya (ketiga) kaum sikhr akhih namanya, (keempat) kaum ibahiyyah namanya, (kelima) kaum haliyah namanya, (keenam) kaum hauriyah namanya, (ketujuh) kaum waqi’iyyah namanya,(kedelapan) kaum mutajahiliyah namanya, (kesembilan) kaum mutakasiliyah namanya (kesepuluh) kaum ilhamiyah namanya, (kesebelas) kaum hululiyah namanya, (kedua belas) kaum wujudiyah namanya (ketiga bela) kaum mujassimah namanya.” (hlm. 15).

Ini disusuli dengan kenyataan tentang akidah golongan yang tiga belas itu, yang dikatakan mereka yang bersufi-sufi dirinya.

  1. kaum Murji’ah, iktikadnya: seorang hamba bila sampai kepada martabat kasih kepada Allah, tiada dikasihinya selain daripada Allah, terangkat daripadanya taklif Syara’ dan segala ibadat, yang haram itu halal baginya.
  2. Mereka menyatakan: segala fardhu seperti sembahyang dan puasa dan sebagainya harus dikerjakan dan harus ditinggalkan.
  3. Setengahnya tidak menutup auratnya.  Iktikad dan pekerjaan demikian semata-mata kufur dan dhalalah. (hlm. 15).
  4. Setengahnya beriktikad: seseorang hamba bila sampai kepada kesudahan martabatnya, kasihkan Allah, gugur daripadanya segala ibadat yang zahir, ibadatnya tafakur sahaja.  Itu kufur.
  5. Setengahnya beriktikad: seseorang hamba bila sampai kepada kesudahan martabat kasih kepada Allah harus baginya segala perempuan dan sahaya orang.  Itu kufur.
  6. Setengahnya beriktikad: harta dunia ini harus bagi anak Adam, kerana Adam bapa sekelian maniusia, dan Siti Hawwa ibu mereka semua.  Maka segala harta milik mereka berdua, maka bersyarikat dalam harta itu semua anak cucunya.  Semua itu kufur dan kesesatan.

Kaum Auliya’iyah:

  1. Mereka beriktikad: seorang hamba bila sampai kepada darjah kewalian terangkat daripadanya suruh dan tegah Syara’.
  2. Mereka beiktikad: wali itu lebih afdhal daripada nabi. Itu semua kufur dan dhalalah.

Kaum Sihir akhih:

  1. Mereka beriktikad: bila seorang hamba itu lamalah kasih kepada Allah terangkat daripadanya suruh dan tegah Syara’.
  2. Mereka mengharuskan bernyanyi dan memalu rebana dan bangsi dan muri rebab dan kecapi dan lainnya;
  3. dan mereka haruskan zina dan menyabung , maka mereka disebut sebagai golongan Sihr akhih kerana mengikut Abdullah sihir akhih.Pada zahir mereka bersoleh-soleh diri pada hal mereka itu semata-mata fasik.  Iktikad demikian kufur dan dhalalah.

Kaum Ibahiyah:

1.       Mereka beriktikad antaranya: pekerjaannya meninggalkan amar makuf dan nahi munkar;

2.       kata mereka: kami tiada kuasa menahani diri untuk menjalankan amar dan nahi.Maka bagaimanakah kami menyuruh orang meakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran?

3.       Mereka mengharuskan zina.  Mereka sejahat-jahat makhluk, dan iktikadnya kufur dan dhalalah.

Kaum Haliyah:

Antara iktikad mereka: dikatakan mereka harus menari dan bertepuk tangan tatkala menyanyi, lagi pengsan; kata segala muridnya bahawa syaikh mereka itu dalam hal itu bersalahan dengan perjalanan Rasul; itu bid’ah lagi dhalalah.

Kaum Hurriyah:

1.                   Iktikad mereka seperti setengah kaum haliah.

2.                   Kata mereka: datang kepada kami bila kami pengsan anak bidadari maka kami bersetubuh dengan mereka. Apabila sedar daripada pengsan mereka mandi junub. Iktikad ini kufur lagi dhalalah.

Kaum Waqi’iyah:

Mereka meninggalkan ma’rifat terhadap Allah kata mereka hak Allah tiada dikenal akan dia, hamba itu lemah daripada mengenalNya. Iktikad itu kufur.  Disebutkan ini berlawanan dengan beberapa nas Qur’an dan Sunnah

Kaum Mutajahiliyah:

1.                   Mereka memakai pakaian dan mengerjakan amalan fasik.

2.                   Kata mereka: tiada dapat kami menjauhi diri daripada zina. Ini dhalalah.

Kaum Mutakasiliyah:

1.                   Mereka meninggalkan berbuat usaha dan ikhtiar.

2.                   Mereka pergi memintan sedekah pada tiap-tiap rumah dan kedai orang untuk mendapat makanan.

3.                   Mereka mengambil zakat dan sedekah daripada orang ramai.

Ini cara hidup bid’ah bersalahan dengan amalan nabi s.a.w.

Kaum Ilhamiyah:

1.                   Iktikad mereka seperti iktikad Dahriyah (iaitu tidak percaya kepada adanya Tuhan)

2.                   Mereka engganmembaca Qur’an dan belajar ilmu; kata mereka; Qur’an itu suatu hijab kepada Allah.

3.                   Mereka ikut kata-kata hukama

4.                   Syair hukama dijadikan tariqat mereka

5.                   Umur mereka habis dengan bersyair.

Itu semua bid’ah dhalalah.

Kaum Hululiyah:

1.                   Setengahnya beriktikad: wujud Allah masuk kepada diri mereka dan segala jisim. Ini kufur seperti iktikad Nasrani.

2.                   Setengahnya beriktikad: harus memandang kepada wanita cantik dan kepada muda belia.

3.                   Mereka menari dan berseloka katanya elok paras sesuatu itu daripada suatu Sifat Allah yang turun kepada makhlukNya, maka seharusnya kamu cium dan berdakap (dengan wanita misalnya).

Ini semua kufur dan dhalalah.

Kata Syaikh Abun-Najib dalam ‘Awariful-Ma’arif: Adalah setengah daripada kaum Hululiyah itu bernama Qalandariyah, mereka itu mengharuskan semua pekerjaan.katanya: Apabila kamu suci daripada hawa nafsu lagi ikhlas kepada Allah, itulah kesudahan segala yang dimaksudkan. Adapun amalan Syariat, itu martabat sekelian orang awam sahaja yang kurang darjahnya, dan itu turut-turutan sahaj.

Itu sekeliannya kufur, mulhid, lagi zindik. Sepatutnya dibunuh kalau ia tidak bertaubat. (hlm. 16).

Golongan batini:

1.                   Kata Imam Qurtubi: setengah daripada kafir zindik Batiniah (asl.”batini”) menyangka amal Syariat yang zahir seperti sembahyang, puasa, dan zakat serta haji hanya diwajibkan atas orang awam sahaja tidak atas orang khawwas. Orang yang khawas (ahli ma’rifat)  tidak wajib atas mereka, meeka hanya dikehendaki hadhir dalam hati mereka ibadat itu.  Ulama menyatakan bahawa ini iktikad zindik dan kufur.

2.                   Orang yang demikian hendaklah dibunuh kerana ingkar barang yang diketahui daripada Syariat sebagai hukum Allah terdir daripada suruh dan tegahnya, kerana hasil pengetahuan demikian secara putus, yakin dan tetap, disepakati oleh semua ulama yang awal dan yang kemudian. Sesiapa yang sangka hukum itu boleh diketahui secara lain daripada suruh dan tegah Allah, maka ia kafir kerana sangkaannya dicapai martabat nubuwwah.

3.                   Imam Ghazali rd menyatakan kalau ada wali yang menyangka ia ada mempunyai kedudukan di sisi Allah yang menyebabkan gugur wajib sembahyang dan halal minum arak, seperti kaum yang bersufi-sufi dirinya, tidak syak bahawa wajib ia dibunuh kerana murtad. (hlm. 16).  Membunuh seorang daripada yang demikian lebih afdhal daripada membunuh seratus kafir asli (yang bermusuh dengan Islam).

Kaum Wujudiyah:

1.                   Iktikad dan katanya: “La ilaha illa’Llah” yaitu tiada wujudku hanya wujud Allah, yakni bahawa aku wujud Allah.

2.                   Kata mereka: maksudnya: Hak Allah Taala tiada maujud melainkan dalam kandungan segala makhluk; pada iktikad mereka sekelian makhluk wujud Allah taala dan wujud Allah taala wujud sekelian makhluk; mereka mengisbatkan keesaan Allah taala dalam wujud sekelian makhluk yang banyak;

3. lagi kata mereka: kami dengan Allah sebangsa dan wujud yang satu.

4. Lagi kata mereka: Allah diketahui zatnya dan nyata kaifiatNya daripada ada Ia maujud pada kharij dan pada zaman dan makan atau tempat.  Sekelian itu kufur.  Inilah wujudiyah yang mulhid. Dinamakan dia zindik. (hlm. 17).

5. Wujudiah ada dua kaum: wujudiyah yang muwahhid dan kedua wujudiyah yang mulhid.  Wujudiyah yang muwahhid iaitu segala ahli sufi yang sebenarnya.

Kaum  Mujassimah:

  1. Setengahnya beriktikad: Allah itu jauhar yang maujud.
  2. Kata setengahnya: Allah itu jisim tetapi tidak seperti jisim yang lainnya.
  3. Setengahnya berikikad: Allah berupa seperti rupa manusia.
  4. Setengahnya beriktikad: Allah taala ada daging darah, ada muka, tangan, jari dan kaki.
  5. Setengahnya beriktikad: Allah ada rupa tetapi tidak diketahui bagaimana rupaNya.
  6. Setengahnya beriktikad: Allah datang, turun, naik, bergerak dan berpindah.
  7. Setengahnya beriktikad: Allah duduk atas ‘Arasy.
  8. Setengahnya beriktikad: Allah masuk pada Arasy, dan Arasy tempat kediamanNya. Kata Imam fakhrud-Din al-Razi kaum yan memahami ayat mutrasyabihat secara zahir lafaz demikian menjadi kafir kerana disabitkan bagi Allah jisim dan jisim itu disembahnya.
  9. Kata Imam Ahmad: sesiapa yang mentasybihkan Allah dengan makhluk menjadi kafir.

Ini diikuti dengan larangan mengikut kaum yang bid’ah dengan dibawa beberapa maksud hadith.  Kemudian dibahagikan bid’ah itu kepada pembahagian mengikut hukum yang lima mengikut huraian Syaikh ‘Izzuddin Ibn ‘Abdus-Salam.  Juga diikuti dengan contoh-contoh bid’ah.  Kemudian dibicarakan juga masalah-masalah berhubungan dengan jin dan hukum tentang murtad dan taubat serta jenis-jenis dposa anak Adam.(hlm 19-28).

Kepentingan Ajaran dan Amalannya:

Antaranya boleh dilihat dalam beberapa aspek seperti di bawah ini:

  1. Kepentingannya dalam memberi mesej kerohanian kepada manusia zaman ini yang terlalu kebendaan.
  2. Kepentingan dalam mendedahkan nilai-nilai bagi membentuk peribadi berdasarkan nilai-nilai yang unggul untukmenguatkannya supaya teguh dalam zaman penuh pancaroba ini.
  3. Kepentingan dalam memberi dimensi kerohanian dalam memahami peribadi manusia yang biasa difahami hanya dari segi psikologi yang cetek mengikut teori-teori moden yang mampu menyelam hanya aspek-aspek yang tidak mendalam pada kejiwaan manusia yang tidak mampu melintasi tahap nafs ammarah sahaja.
  4. Kepentingannya dalam memberi contoh tauladanyang memberangsangkan dalam hubungan dengan peribadi-peribadi unggul dalam sejarah kerohanian, yang kalau tidak tidak akan ada contoh-contoh yang demikian.
  5. Kepentingannya dalam memberi kaedah-kaedah amalan yang boleh mendatangkan kesan bagi membawa kepada perubahan jiwa yang sejahtera dan selamat, yang tanpa amalan-amalan dan cara-cara yang diakui itu maka jiwa manusia akan berada pada tahap yang merosakkan.
  6. Kepentingan secara amali untuk mengajar kepada manusia persaudaraan yang benar-benar berdasarkan kepada kesedaran rohaniah semata-mata tanpa laoin-lain pertimbangan dalam hubungan antara sesama manusia.hanya ilmu dan amalan tasawwiuf yang mengajar perkara yang demikian ini.
  7. Kepentingannya dalam perkembangan budaya dan tamadun manusia yang memberi aspek kerohanian yang dalam sejarah boleh dilihat memberi kesan yang positif atas pemikiran dan amalan manusia serta kesan-kesan atas kesenian dengan cawangan-cawangannya.
  8. Sudah tentu ajaran inilah yang mengajar manusia mencapai hubungan yang mesra dan berkesan dengan Tuhan serta mencapai keimanan yang selamat dan berkesan dalam hidup seseorang yang mempunyai nilaian yang mengatasi segalanya.
  9. Sebagai aspek batin dari Islam, ianya menjamin kekuatan amalan islam dan kejayaan serta keberkesanannya sebagaimana air hayat yang ada pada pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan yang menjamin kesegaran dan hayatnya walaupun ianya tidak kelihatan pada lahirnya sebab ianya berupa aspek dalamannya.

Antara Perkara-Perkara Yang Perlu Diselesaikan:

  • Antaranya sikap memandangnya sebagai bid’ah dhalalah yang menimbulkan masalah palsu dalam masyarakat, dengan mengambil kira keperluan menyelesaikan masalah mereka yang benar-benar sesat sebagaimana yang ada dalam teks-teks Ahlis-Sunnah yang muktabar.  Ini perlu diselesaikan dengan merujuk kepada hakikat bahawa ilmu tasawwuf diterima sebagai satu daripada ilmu-ilmu yang diakui seperti yang disebut oleh Ibn Khaldun dalam “al-Muqaddimah”, atau oleh Imam al-Ghazali dalam “Ihya’ ‘Ulumiddin” atau ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi dalam “al-Farq bainal-Firaq” dan ahlinya diakui dalam Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah.
  • Masalah penentangan terhadap setengah-setengah Sufi seperti Ibn ‘Arabi dan Imam al-Ghazali dan lainnya atas dasar mereka menggunakan hadith-hadith yang dipertikaikan oleh setengah pihak.  Ini boleh diselesaikan dengan merujuk kepada pendirian ulama hadith tentang bolehnya hadith-hadith dhaif disebut dalam hubungan dengan fadhilat amalan-amalan dan tidak dalam hubungan dengan hukum haram halal.  Misalnya ini dinyatakan oleh Imam Nawawi rd dalam” al-Azkar”nya.
  • Masalah penentangan terhadap apa yang disebut sebagai wahdatul-wujud yang sahih tanpa membezakannya dengan ajaran zindik yang ditentang oleh teks-teks Ahlis-Sunnah sendiri.  Ini boleh diselesaikan dengan merujuk kepada hakikat ada wahdatul-wujud yang zindik dan ada yang muwahhid, sebagaimana yang disebut dalam “Nahj al-Raghibin” yang tersebut di atas selain daripada punca-punca lainnya; juga dengan merujuk kepada hakikat bahawa itu bukan dimasukkan dalam bahagian akidah tetapi pengalaman kerohanian para arifin; dan sebagaimana yang disebut oleh Ibn Khaldun pengalaman mereka itu sahih.
  • Masalah penentangan terhadap tasawwuf kerana dipandangnya sebagai ajaran dan amalan yang melemahkan pembangunan negara dan umat kerana kononnya pengajaran “membenci dunia” dan “zuhud”.  Ini boleh diatasi dengan merujuk kepada hakikat tasawwuf yang mengajarkan hubungan manusia dengan Tuhan yang semurni-murninya, dan sikap mengambil dunia sebagai wasilah untuk kebajikan dan menuju kepada Tuhan, dan bukannya melemahkan umat, bahkan sikap ini menguatkann umat, sebagaimana yang terbukti pada zaman awal Islam.  Zuhud itu nisbah bagi diri, adapun kegiatan yang menguatkan umat, itu fardhu kifayah yang mesti dilaksanakan.
  • masalah penentangan terhadap metafisika sufi yang dianggap bid’ah oleh itu mesti dihapuskan.  Ini mungkin diselesaikan dengan merujuk kepada hakikat perkembangan tamadun yang menimbukan sistematisasi semua ilmu-ilmu dengan sistem peristilahannya yang tidak boleh dielak seperti adanya perkembangan dalam ilmu fiqh, usuluddin, tasawwuf, usul fiqh dan seterusnya yang tidak berlaku pada zaman nabi saw, tetapi perkembangan ilmu-ilmu itu diterima dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, bahkan ilmu-ilmu itulah yang menjayakan ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.
  • Masalah penentangan terhadap wirid dan zikir beramai-ramai yang dianggap oleh setengah pihak sebagai bid’ah.  Masalah wirid dan zikir beramai-ramai itu sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Suyuti rh dalam kitabnya al-Hawi lil-Fatawi ianya dilaksanakan semenjak zaman nabi saw lagi, dan beliau menukilkan lebih kurang dua puluh hadith yang sahih berhubungan dengan perkara ini.
  • masalah kesesatan yang memang ada dalam masyarakat hasil daripada ajaran rohaniah palsu yang berkembang kerana adanya orang-orang yang mencari kepentingan daripada kehausan rohaniah yang ada pada manusia sekarang sampai menyebabkan timbulnya orang-orang yang pandai-pandai dalam masyarakat menjadi mangsa gerakan sedemikian.

Wallahu a’lam.

———————————————————————————————————

Nota-nota hujung:

(1)               hadith Imam Muslim, sahih, riwayat ‘Umar bin al-Khattab.

(2)               al-Intisar liTariq as-Sufiyyah, hlm.6, karangan ahli hadith Muhammad Siddiq al-Ghumari.Dinukil dalam haqa’iq ‘an at-tasawwuf, oleh Syaikh ‘Abdul Qadir ‘Isa, Dewan Press, Norwich, 1970, hlm 22-23.

(3)               Imam Muslim.Riwayat ‘Umar rd.

(4)               Muqaddimah Ibn Khaldun, 329.

(5)               Tr Arberry, l966, Lahore, hlm 3.

(6)               Ibid.hlm.4

(7)               al-Intisar li Tariq as-Sufiyyah, hlm 17-18.

(8)               al-Muqaddimah.

(9)               1971 di Clarendon Press, Oxford, 1971. Hlm 21.

(10)            Ibid.

(11)            Penerbitan Mizan Bandung, 1995.

(12)            Pusat Penyelidikan & Penyebaran Khazanah Islam Klasik dan Moden Dunia Melayu, K.L. 2000.

(13)            JMRAS-n0.178-jld XXX.pt 2,Ogos, 1957.

(14)            Sh.Muhammad Ashraf, Lahore, l965.

(15)            M.V.Bruinessen dlm sumber tersebut, hlm 188.

(16)            Trimingham, sumber telah tersebut.

(17)            Ph. S.van Ronkel, “Account of Six Malay Manuscipts…”Bidragen Tot de Taal,…2(1896)1-53.Lih.M.Van Bruinsses, sumber sama.189-190.

(18)            sama.

(19)            sama.hlm.191.

(20)            istilah M.Van Bruinessen, sama, hlm 192.

(21)            Diulas oleh  Ahmad Daudy dalam Allah Dn Manusia Dalam Konsepsi al-Raniry, Jakarta.

(22)            D.A.Rinkes, Abdoerraoef Singkel, Bidrahgen tot de Kennis van de Mystick op Sumatra en Java,dissetasi, Leiden, 1909-Lihat Bruinessen.sama.193.

(23)            sama dengan menyebut pendapat Snoucke Hurgronje dlm jld II Mekkanya(The hague, 1889) sebagai punca terbaik tentang hidup sosial dan intelektuil Jawah di Mekah.