JUAL BELI SALAM


JUAL BELI SALAM

Definasi

Menurut istilah hukum syarak, jual salam ialah menjual sesuatu benda yang belum ada di hadapan mata, tetapi ditentukan sifat-sifat dan kadarnya.

Syarat-syarat Barang Yang Dijual Salam

Sesuatu barang atau benda hendak dijual secara salam itu disyaratkan :

  1. Boleh dianggarkan sifatnya, ertnya ada sifat-sifat yang boleh dibuat anggaran dan perbezaan dengannya.
  2. Tidak bercampur dengan benda-benda lain yang menyebabkan sukar hendak membuat anggarannya.
  3. Barang itu hendaklah tidak tertentu. Tidak boleh seperti kata penjual : “Saya jual salam kain ini kepada saudara.”
  4. Barang itu tidak berhad pada satu tempat saja.
  5. Barang itu hendaklah sesuatu yang sah dijualbeli.

Syarat-syarat Sah Akad Jual Salam

Syarat-syarat sah akad jualbeli salam ialah :

  1. Hendaklah dijelaskan jenis dan sifat-sifat penting bagi barang yang hendak dijual itu.
  2. Hendaklah dijelaskan juga kadarnya.
  3. Hendaklah ditetapkan masa tempoh untuk mendapatkannya.
  4. Hendaklah barang itu boleh didapati bila sampai tempoh yang ditetapkan.
  5. Hendaklah barang itu biasa didapati, bukan jarang-jarang didapati.
  6. Hendaklah ditetapkan tempat menerimanya.
  7. Hendaklah dibayar tunai harganya.
  8. Akad jualbeli ini terus berjalan kuatkuasanya, ertinya tidak sah jika disyaratkan khiar.

Peringatan

  1. Bila diserah barang itu sebagaimana yang disifatkan di dalam akadnya atau lebih baik lagi, wajiblah menerimanya.
  2. Kalau barang itu terkurang dari apa yang telah disifatkan, harus menerimanya, tetapi tidak wajib.

Hikmah Jual Beli Salam

Di antara hikmat-hikmat diharuskan jualbeli secara salam ialah :

  1. Untuk memberi kemudahan kepada anggota masyarakat menjalankan urusan perniagaan.
  2. Untuk menanamkan perasaan tolong menolong di antara satu sama lain.

Budipekerti Dalam Jual Beli Salam

Di antara budipekerti dalam jual salam, ialah :

  1. Masing-masing hendaklah bersikap jujur dan tulus ikhlas serta hendaklah amanah dalam perjanjian-perjanjian yang telah dibuat.
  2. Penjual hendaklah berusaha memenuhkan syarat-syarat yang telah ditetapkan itu.
  3. Pembeli janganlah cuba menolak barang-barang yang telah dijanjikan itu dengan membuat berbagai-bagai alasan palsu.
  4. Sekiranya barang yang dibawa itu terkurang sedikit daripada syarat-syarat yang telah dibuat, masing-masing hendaklah bertolak ansur dan mencari keputusan yang sebaik-baiknya.


________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

KHIAR DALAM JUALBELI


Definasi

Khiar ertinya pemilihannya, iaitu hak memilih bagi penjual dan pembeli sama ada jualbeli itu hendak diteruskan ataupun tidak. Pembeli menarik kembali wangnya dan penjual menarik balik barangnya.

Hukum Khiar

Melakukan khiar adalah harus mengikut syarat-syaratnya yang tertentu. Penjual dan pembeli harus melakukan khiar selagi kedua-duanya belum berpisah. Hukum ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam, berkata ia : Rasulullah telah bersabda maksudnya:

Penjual dan pembeli harus melakukan khiar selagi kedua-duanya bersikap benar dan menerangkan, diberkati bagi kedua-duanya pada jualbeli kedua mereka, dan jika kedua-duanya menyembunyikan dan berbohong, dimusnahkan keberkatanl jualbeli keduanya itu.

Hikmah Pengharusan Khiar

Di antara hikmat-hikmat mengharuskan khir, dapat disimpulkan seperti berikut :

  1. Supaya kedua-dua pihak merasa puas hati dalam urusanl jualbeli.
  2. Untuk mengelakkan tipu menipu dalam urusan jualbeli
  3. Untuk menjamin kesempurnaan dan kejujuran bagi kedua-dua pihak.

Jenis-jenis Khiar

Khiar ada tiga jenis, iaitu :

  1. Khiar Majlis
  2. Khiar Syarat
  3. Khiar Aib (cacat)

Khiar Majlis

Khiar majlis ialah khiar yang dilakukan sebelum penjual dan pembeli berpisah ke mana-mana. Selagi belum berpisah, penjual atau pembeli boleh melakukan khiar walaupun tanpa sesuatu sebab, tak kira berapa lama mereka berada di majlis atau tempat akad itu ; atau mereka sama-sama keluar pergi ke mana-mana. Maka tidak boleh dilakukan khiar lagi jika :

  1. Kedua-duanya sudah berpisah
  2. Sudah menggunakan barang itu sebagai membuktikan jualan itu sudah selesai
  3. Ada sesuatu bukti yang menunjukkan jualan itu sudah selesai.

Khiar Syarat

Penjual dan pembeli boleh membuat syarat ketika akad jualbeli dalam tempoh tidak lebih daripada tiga hari, seperti kata penjual : “Saya jual barang ini kepada saudara dengan syarat saya boleh khiar dalam tempoh tiga hari.” Jawab pembeli: “Saya beli barang ini dengan syarat tersebut.” Dalam tempoh yang tersebut itu, berhaklah pihak-pihak yang membuat syarat itu melakukan khiar, penjual berhak menarik kembali barangnya, dan pembeli berhak menarik balik wangnya. Inilah yang dikatakan khiar syarat.

Khiar Aib

Jika barangyang dijual atau harganya didapati cacat yang mengurangkan nilainya, haruslah pembeli atau penjual melakukan khiar dengan syarat :

  1. Kecacatan itu berlaku sebelum daripada akad atau selepas akad tetapi sebelum diterimanya oleh pembeli atau penjual.
  2. Hendaklah segera menyerahkan kembali barang atau harga yang cacat itu.

Bila terdapat kecacatan yang mengurangkan nilainya itu, bolehlah dilakukan khiar walaupun tidak ada dibuat syarat khiar terlebih dahulu. Jadi bila diketahui ada kecacatan, hendaklah segera menyerahkan kembali barang kepada penjual atau harga kepada pembelinya. Tetapi jika lengah, tidak harus lagi melakukan khiar. Inilah yang dikatakan khiar cacat.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

JUALBELI YANG DILARANG


Dari keterangan-keterangan umum perniagaan haram dalam bab yang telah lepas, jualbeli atau perniagaan yang diharamkan, terbahagi kepada dua bentuk pengharaman iaitu :

  1. Haram tetapi sah akadnya
  2. Haram dan tidak sah akadnya

Haram Tetapi Sah Akadnya

Di antara jualbeli haram tetapi sah akadnya, ialah :

  1. Menjual sesuatu yang terang-terang akan dipergunakkan oleh pembelinya untuk tujuan maksiat.
  2. Penjualan secara kecoh, seperti penjual sengaja memperlihatkan barang-barang yang baik di sebelah atas, sedangkan di bawahnya terdapat barnag-barang yang buruk.
  3. Jualbeli dengan cara mengatasi jualan orang lain sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
  4. Jualbeli dengan mengatasi tawaran orang lain sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
  5. Jualbeli talaqir rukban (menyusung pedagang keluar kota), sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini
  6. Jualbeli di antara orang kota dengan orang-orang desa sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.
  7. Jualbeli najsyin (menaik-naikkan harga) sebagaimana yang telah diterangsebelum ini.
  8. Melakukan ihtikar ke atas barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal, sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini.

Demikianlah di antara jualan-jualan haram tetapi sah akadnya. Oleh yang demikian hendaklah berhati-hati dalam menjalankan urusan perniagaan supaya tidak terlibat dengan urusan jualbeli yang diharamkan itu.

Haram Lagi Tidak Sah Akadnya

Di antara jualbeli yang diharamkan lagi tidak sah akadnya, ialah :-

1. Menjual air benih haiwan ternakan, hukumnya haram dan tidak sah akadnya kerana bukan saja tidak diketahui kadarnya, tetapi juga tidak dapat menerimanya.

Tetapi dalam urusan pembiakan ini menurut mazhab Hanbali harus mempersewakan jantan ternakan dalam tempoh masa yang tertentu. Tetapi sebaik-baiknya tuan punya haiwan tersebut meminjamkannya saja kepada pihak yang berkehendakan pembiakan itu dan cara inilah yang dianjurkan oleh Islam.

2. Begitu juga haram dan tidak sah menjual anak haiwan yang masih di dalam kandungan ibunya. Begitu juga tidak sah jika menjual salah satunya saja. Jika menjual haiwan yang bunting, termasuklah anaknya sekali yang di dalam kandungannya itu.

3. Tidak sah menjual buah-buahan yang masih di pokok kecuali setelah nyata baiknya. Umpamanya buah-buahan yang sedang memutik muda, tidak harus menjualnya kerana buah-buahan dalam waktu yang demikian sering gugur dan busuk. Kecuali setelah kelihatan baik dan tua. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :

Jangan kamu menjual buah-buahan sehingga nyata bainya.

4. Tidak sah menjual dengan bersyarat seperti kata penjual : “Saya jualkan motokar ini kepada saudara dengan harga $5,000.00 dengan syarat saudara jualkan rumah saudara itu kepada saya dengan harga ….”

5. Tidak sah menjual dengan syarat hutang umpamanya kata penjual” “Saya jualkan basikal ini kepada saudara dengan harga $200.00 dengan syarat saudara memberi hutang wang kepada saya sebanyak $100.00” dan sebagainya.

6. Tidak harus menjual daging dengan binatang sama ada dari jenis yang boleh dimakan atau bukan jenis yang boleh dimakan seperti menjual daging lembu dengan biri-biri atau lainnya seperti menjual daging biri-biri dengan hamar, berdasarkan riwayat Al-Hakim bahawa Rasulullah s.a.w. maksudnya;

Ia menegah dari dijual biri-biri dengan daging.

7. Tidak sah menjual barang-barang yang tidak boleh diterima seperti burung di udara, ikan di dalam laut atau sebagainya.

8. Tidak sah menjual barang-barang yang baru dibeli sebelum menerimanya kerana barang yang seperti itu belum lagi menjadi miliknya yang sempurna.

Demikianlah di antara beberapa bentuk penjualan yang diharamkan dan tidak sah akadnya. Oleh yang demikian sayugialah bagi setiap orang mengetahui bentuk-bentuk jualan yang tersebut agar tidak terlibat dengan perbuatan-perbuatan yang diharamkan itu.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

BEBERAPA PERNIAGAAN HARAM



Dalam Pendahuluan telah diterangkan secara ringkas keperluan manusia terhadap urusan muamalat dan  diterangkan beberapa hukum di sekitar jualbeli termasuk rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Pada kali ini akan diterangkan beberapa bentuk perniagaan yang terlarang dalam Islam.

Untuk mendapat keuntungan yang banyak dan mudah menjadi kaya, setengah-setengah penjual atau saudagar sanggup melakukan segala macam perniagaan dan berbagai-bagai tipu helah dalam urusan jualbeli. Mereka tidak memperdulikan kepentingan orang ramai asalkan mereka mendapat keuntungan yang berlipat-ganda. Di bawah ini diterangkan beberapa sumber kemasukan wang yang diharamkan oleh Islam, di antaranya ialah :

(1) Baiul gharari
(2) Penjualan yang menolong kemaksiatan dan najis,
(3) Perniagaan kotor,
(4) Penjualan dengan tipuan,
(5) Mengatasi jualan orang lain,
(6) Mengatasi tawaran orang lain,
(7) Talaqir Rukban,
(8) Baiu Haadirin Libaadin,
(9) Bai an-najsy,
(10) Nai nitajinitaj,
(11) Ihtikar

Baiul Gharari

Iaitu segala bentuk jualbeli yang mendatangkan kemudaratan, kerugian, bahaya atau sakit hati orang lain. Penegahan ini berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah katanya:

Rasulullah menegah daripada jualan berbahaya dan jualan secara melontar anak batu.

Termasuklah penjualan barang-barang yang entah di mana barang-barang yang tidak diketahui besar kecilnya, baik buruknya, tidak diketahui masa menerimanya, barang yang belum sempurna milik penjualnya, menjual ikan di dalam sungai, burung di udara, anak binatang di dalam perut, menjaul sehelai kain di dalam beberapa helai kain yang tidak dapat dilihat, menjual seekor biri-biri di dalam kumpulan yang ramai dan lai-lain sebagainya yang mendatangkan bahaya dan kerugian.

Penjualan Yang Menolong Kemaksiatan dan Najis

begitu juga dilarang segala bentuk penjualan yang menolong kepada kemaksiatan dan menjual benda-benda najis, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Ibnu Abdullah r.a. :

Daripada Jabir bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah sedang ia berada di Mekah sedang ia berada di Mekah: “Bahawa Allah dan rasulNya mengharamkan jualan arak, bangkai, babi dan berhala.

Perniagaan Kotor

Haram memakan hasil-hasil perniagaan kotor seperti hasil persundalan dan sebagainya. Tegahan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Masud Al-An-Ansari katanya:

Rasulullah s.a.w. menegah dari harga anjing dan hasil perempuan sundal danl upahan tukang nujum.

Penjualan Secara Tipu

Jualbeli yang mengandungi penipuan dan pengicuhan seperti penjual sengaja memperlihatkan barang dagangannya yang baik di sebelah atas dan yang buruknya di sebelah bawah. Berdasarkan hadis riwayat dari Abi Hurairah r.a. :

Bahawa Nabi s.a.w. melalui pada suatu longgokan makanan, lalu ia memasukkan tangannya pada tompokan itu lalu jari-jarinya terasa basah, baginda pun bersabda: “Apa ini wahai tuan punya makanan?” Jawabnya : Ia terkena hujan wahai Rasulullah.” Sabda nabi lagi: “Mengapa tidak engkau taruhkan sebelah atas supaya dilihat orang? Siapa-siapa menipu, bukanlah ia dari golonganku.

Mengatasi Jualan Orang lain

Haram menjual di atas orang lain seumpama penjual berkata kepada orang yang telah membeli barang-barang orang lain yang masih di dalam masa khiar : “Batalkan permbelian ini supaya saya menjual kepada saudara dengan harga yang lebih murah.” Larangan ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. bersabda ertinya:

Tidak harus menjual setengah kamu atas jualan setengah.

Mengatasi Tawaran Orang Lain

Begitu juga haram mengatasi tawaran orang lain seumpama pembeli telah bersetuju hendak membeli sesuatu barang, tiba-tiba datang orang lain menawar dengan harga lebih mahal daripada itu. Larangan ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Tidak harus menawar seseorang Muslim atas tawaran seseorang Muslim.

Menyekat Pedagang

Begitu juga haram menyekat barang-barang dagangan di luar kota dengan tujuan memborong barang-barang itu dengan harga yang murah. Umpamanya seorang peniaga pergi menanti di mana-mana jalan memborong barang-barang sebelum barang-barang itu sempat dibawa ke pasar dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran: Perbuatanl mencari untung yang berlebih-lebihan ini adalah haram berdasarkan hadis daripada Ibnu Masud daripada Nabi s.a.w. :

Bahawanya ia menegah daripada menemui jualan-jualan.

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. katanya :

Rasulullah menegah pergi menyusun pedagang-pedagang.

Jualbeli Haadirin Libaadin

Ialah juabeli antara orang kota dengan orang desa hukumnya haram iaitu seperti seorang desa datang ke kota membawa barang-barang dagangan yang diperlukan di kota untuk dijual. Tetapi ia tidak mengetahui harga pasaran pada masa itu. Saudagar kota segera mengambil peluang menyuruhnya tinggalkan saja barang-barang itu padanya supaya dapat ia menjualnya sedikit demi sedikit dengan harga yang lebih mahal. Perbuatan yang seperti ini adalah haram berdasarkan kepada hadis daripada Jabir katanya :

Tiada harus menjual orang kota bagi orang desa, biarkan orang-orang memberi rezeki oleh Allah, setengah mereka daripada setengah.

Jualbeli Najsy

Iaitu jualan dengan cara menaik-naikkan harga dengan tujuan menipu umpamanya penjual telah berpakat dengan seseorang yang pura-pura hendak membeli barangnya, tetapi sebenarnya ia tidak hendak membelinya, cuma untuk menipu dan mengelirukan orang ramai sahaja. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis riwayat daripada Ibnu Umar r.a. :

 Sesungguhnya Rasulullah menegah daripada jualbeli najsy.

Jualbeli Anak Dalam Kandungan

Ialah menjual keturunan anak ternakan yang masih dalam kandungan, seperti dikatakan: “Bila lembuku ini melahirkan anak yang di dalam kandungannya ini dan anaknya itu beranak pula, kujualkannya anaknya itu.” Penjualan yang seperti ini mungkin terjadi dan tempah menempah pembelian anaknya akan berlaku bila ternakan-ternakan itu baka keturunan baik. Orang-orang Arab di zaman dahulu pernah menjual keturunan anak-anak unta yang masih di dalam kandungan. Hukumnya haram dan tidak sah, berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar :

Bahawa Nabi s.a.w. telah menegah dari jualan anak bagi yang bunting.

Ihtikar

Ihtikar ialah menyimpan barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal supaya mendapat keuntunganl yang berlipat-ganda. Perbuatan yang seperti ini merupakan penindasan yang menyebabkan orang ramai mengalami kesulitan dan kesusahan. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis daripada Makmari bin Abdullah r.a. katanya: “Telah bersabd Rasulullah s.a.w. :

Siapa-siapa melakukan ihtikar dia adalah salah.

____________________________________

Jualan Lelong

Adapun jualan secara lelong, hukumnya harus berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik :

Bahawa Rasulullah pernah menjual pelana dan mangkuk, dan katanya: “Siapa mahu membeli pelana dan mangkuk ini?” Jawab seorang lelaki: “Saya mengambil kedua-duanya dengan satu dirham.” Maka Nabi s.a.w. berkata: “Siapa mahu lebih atas satu darham ?” Maka seorang lelaki memberikan dua dirham kepada Nabi, lalu Nabi menjual kedua-duanya kepadanya.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

ASAS JUALBELI DALAM ISLAM


1. Jualbeli dari istilah bahasa ialah menukar sesuatu dengan sesuatu yang lain. Dari istilah syarak ialah menukar harta dengan harta mengikut cara-cara yang tertentu.

2. Dalil-dalil harus dan halal jualbeli:

1) Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

“Dan Allah s.w.t telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.” (Surah Al-Baqarah : ayat 275).

2) Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ﴿٢٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan (jualbeli) yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (Surah An-Nisaa’ : Ayat 29)

3) Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :-
“Sesungguhnya jualbeli itu adalah lahir dari redha-meredhai.” (Riwayat Ibnu Hibban)

3. Hikmah diharuskan jualbeli :-

1. Allah s.w.t telah menjadikan sifat semulajadi manusia yang memerlukan pertukaran faedah harta di antara sesama manusia samada menerusi jualbeli, sewa-menyewa dan sebagainya.

2. Dengan adanya peraturan jualbeli ini maja akan terhindarlah kejadian rampas-merampas atau rompakan yang mana manusia ingin memiliki harta benda yang tiada padanya.

3. Berjualbeli adalah mengajar manusia supaya hidup bersatupadu dan hidup mengikut lunas undang-undang.

4. Rukun jualbeli terbahagi kepada enam :-

1. Penjual
2. Pembeli
3. Harga yang dibeli
4. Barang yang dijual
5. Sighah (lafaz penjual)
6. Qabul (lafaz pembeli)

5. Syarat-syarat penjual dan pembeli :-

1. Baliqh dan berakal
2. Tidak bankrap atau bodoh
3. Tidak dipaksa
4. Beragama Islam
5. Merdeka
6. Bukan berurusan dengan Musuh Islam.

6. Syarat-syarat harga dan barang yang dijual:-

1. Barang-barang itu mestilah suci dan bersih.
2. barang itu kepunyaan penjual itu sendiri ayau wakil penjual
3. Menyerahkan barang kepada pembeli ketika melakukan akad jualbeli.

Sebagaimana sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud :-

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasullah s.a.w telah melarang dari menjual jualan secara tipu daya.

4. Penjual dan pembeli mesti tahu tentang jenis, kadar dan sifat barang yang dijual.

7. Syarat-syarat Ijab (lafaz Penjual) dan Qabul (lafaz Pembeli)

  1. Tidak diselangi oleh perkataan yang lain ketika akad jualbeli.
  2. Tidak diselangi oleh diam yang lama di antar ijab dan Qabul
  3. Bersamaan Ijab dan Qabul dari segi maknanya walaupun berlainan dari segi lafaznya.
  4. Tidak boleh dihadkan waktunya.
  5. Tidak boleh bertakliq.

8. Apabila tidak cukup rukun dan syaratnya maka jualbeli tersebut adalah tidak sah.

9. Syarat membeli kitab suci Al-Quran dan kitab Al-Hadith itu hendaklah ia beragama Islam.

10. Beberapa persoalan yang melibatkan jualbeli :-

  1. Tidak sah menjual binatang buas.
  2. Tidak sah menjual sesuatu yang najis yang tidak dapat disucikan.
  3. Tidak sah menjual harta benda yang telah digadaikan kepada orang lain melainkan dengan keizinan daripada orang yang memegang gadaian.

_________________________________________
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka

Bab berikutnya: JUAL BELI YANG DILARANG DALAM ISLAM

%d bloggers like this: