• SELAMAT DATANG

    Asalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 68 other subscribers
  • KLIK PAUTAN

TERCETUSNYA PEPERANGAN BADAR


Firman Allah SWT dalam Al-Quran.

al_imran123-125

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). [124] (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?. [125] Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing. [Surah Al-Imran:123-125].

SEBELUM PEPERANGAN

Persaudaraan orang-orang Islam yang datang dari Makkah dengan orang-orang Islam kota Madinah, iaitu kaum Muhajirin dan kaum Ansar, begitu baik dan kuat, seakan-akan mereka semua bersaudara kandung, tolong-menolong dengan serapat-rapatnya.

Kota Madinah yang boleh dikatakan kota Yahudi itu, mengalami perubahan besar, dengan banyaknya orang-orang Yahudi yang masuk Ugama Islam. Hal ini menimbulkan gerakan anti Islam dikalangan orang-orang Yahudi yang masih fanatik. Dalam pada itu kaum musyrik Makkah semakin cemas hatinya melihat kemajuan Ugama Islam di Madinah itu.

Kemarahan bangsa Yahudi makin bertambah, setelah Allah memerintahkan berkiblat dari Baitui Maqdis ke Kaabah di Makkah, sekalipun Kaabah sendiri dikala itu masih penuh dengan berhala. Nabi melayani setiap orang Yahudi dengan baik dan lemah-lembut. Dengan mereka dibuat perjanjian, dimana ditetapkan:

  1. Orang Yahudi dan Orang Islam hendaklah hidup sebagai satu bangsa.
  2. Masing-masing merdeka menjalankan upacara keagamaan masing-masing dan tidak boleh ganggu-mengganggu.
  3. Jika salah satu diserang musuh, yang lain akan memberikan bantuannya.
  4. Bila kota Madinah mendapat serangan, orang-orang Islam dan orang-orang Yahudi harus bersama-sama mempertahankannya.
  5. Jika antara kedua pihak timbul perselisihan, maka Nabi sendiri yang akan mengadilinya.

Tetapi tak lama sesudah perjanjian itu ditandatangani, orang-orang Yahudi mulai melanggarnya dengan mengadakan hasutan untuk mengenyahkan orang-orang Islam dari Madinah. Gerakan ini bukan gerakan yang boleh dianggap mudah, tetapi gerakan besar, yang berbahaya sekali terhadap jiwa ummat Islam, kerana gerakan ini dipimpin oleh seorang Yahudi yang besar pengaruhnya iaitu Abdullah bin Ubay, yang hampir saja diangkat bangsa Yahudi menjadi Raja Madinah. Abdullah bin Ubay ini sangat anti terhadap Islam, kerana dengan tersiarnya Ugama Islam itu, pengaruhnya semakin berkurangan.

Dalam pada itu, penduduk Makkah sudah bersiap sedia pula untuk menyerang orang Islam dengan kekuatan yang besar. Kedudukan orang Islam mulai sulit dan berbahaya sekali.

KEIZINAN UNTUK BERPERANG

Dalam keadaan yang meruncing itu, turun wahyu Allah kepada Nabi yang berbunyi:

Berperanglah dalam jalan Allah melawan orang-orang yang memerangi kamu, tetapi jangan melanggar batas, kerana Allah tidak suka kepada orang yang melanggar batas. Bunuhlah mereka itu dimana saja kamu jumpai dan usirlah mereka itu sebagaimana mereka telah mengusir kamu. Tetapi ingat pula, bahawa fitnah adalah lebih berbahaya dari pembunuhan. Tetapi janganlah kamu berperang di dalam Masjidil Haram (Kaabah), kecuali kalau diperanginya kamu disana. (Sursh Al-Baqarah 190 – 191)

Selama ini Nabi dan orang-orang Islam hanya disuruh mundur dan hijrah. Sekarang diperintahkan Allah untuk berperang, kerana kini mereka sudah cukup menerima penganiayaan.

Jelas perintah itu, iaitu perang bukan untuk memaksa orang masuk Ugama Islam, tetapi adalah semata-mata mempertahankan diri kalau diserang. Kerana Ugama Islam tidak boleh dipaksakan kepada siapa jua, walaupun kepada keluarga dan famili Nabi sendiri.

NABI MENYUSUN STRATEGI

Kerana perintah itu, maka Nabi mulai menyusun tentera mengatur pertahanan dan perlengkapan. Mula-mula ke dalam kota Makkah diutus Nabi beberapa orang perisik, untuk mengetahui rencana dan kekuatan musuh, serta untuk menarik kepala-kepala bangsa Badwi ke pihak Islam.

Pada bulan Rejab tahun kedua hijrah, Nabi mengutus dua belas orang Muhajirin, dikepalai Abdullah bin Jahasy keluar kota Madinah; suasana di kala itu sudah runcing sekali. Kepadanya diberikan sepucuk surat bersampul, Nabi mengizinkan membuka surat tersebut setelah dua hari dalam perjalanan. Setelah dua hari dalam perjalanan, lalu surat itu dibuka.

Ternyata dalamnya satu perintah dari Nabi agar mereka menuju ke Nakhlah, satu tempat di antara Makkah dan Taif, guna mencari keterangan sebaik-baiknya tentang gerak-geri orang Makkah (musuh). Hal ini dilakukan bukan untuk menyerang Makkah, tetapi untuk berjaga-jaga semata-mata.

Disana, Abdullah bertemu dengan kafilah kecil orang Makkah yang dalam perjalanan pulang dari Taif. Orang-orang ini diserangnya, seorang mati iaitu ‘Amru bin Hadhramy dan dua orang lainnya ditawan, yaitu Usman bin Abdullah dan Hakam bin Kaisan, sedang harta bendanya dirampas. Dalam hal itu Abdullah telah melanggar perintah Nabi, kerana disaat itu dalam Bulan Muharam, dimana dilarang menumpahkan darah. Nabi sangat marah kepadanya.

perang badar

Perang Badar adalah perang pertama dilalui oleh umat Islam maka ia menjadi satu catatan sejarah besar yang paling penting untuk diketahui oleh umat manusia.

QURAISY MAKKAH BERANG

Hal ini membangkitkan semangat bangsa Quraisy (Makkah), untuk menyerang kaum Muslimin. Nabi mendapat lapuran, bahawa kafilah bangsa Quraisy yang amat besar terdiri dari seribu ekor unta dengan segala muatannya, sedang dalam perjalanan dari Syria menuju Makkah. Untuk mengurangi kekuatan musuh yang telah siap untuk menyerang itu, Nabi memerintahkan untuk menahan kafilah itu dan merampas harta dan barang dagangan untuk dijadikan kekuatan perang. Maksud Nabi ini diketahui oleh Abu Sufyan yang mengepalai kafilah itu.

Abu Sufyan segera mengirim utusan ke Makkah minta bantuan tentera sebanyak mungkin, sedang perjalanan kafilahnya dibelokkan melalui satu tempat yang bernama Badar, menyusur pantai Lautan Merah. Makkah segera mengirimkan bantuan yang terdiri dari seribu orang tentera, seratus orang diantaranya pasukan berkuda dan tujuh ratus orang lainnya pasukan unta, yang kesemuanya dikepalai oleh Abu Jahal sendiri. Ketika pasukan bantuan ini bertemu dijalan dengan Abu Sufyan, Abu Sufyan menyuruh pasukan ini kembali saja ke Makkah. Tetapi Abu Jahal ingin memperlihatkan kekuatan tenteranya kepada orang Madinah itu.

KEKUATAN TIDAK SEIMBANG

Pasukan Rasulullah s.a.w. hanya terdiri dari tiga ratus tiga belas orang saja. Diantaranya hanya dua orang berkenderaan kuda. Tentera yang kecil ini berangkatlah bersama Rasulullah menuju satu tempat yang dinamai Badar.

Setelah Rasulullah mengetahui akan kedatangan bantuan Quraisy yang amat besar jumlahnya itu, Rasulullah bermesyuarat dengan para sahabat beliau. Abu Bakar dan Umar menasihatkan agar pertempuran diteruskan. Begitu juga Miqdad bin ‘Amru dari Muhajirin. la berkata kepada Rasulullah:

Teruskanlah apa yang diperintahkan Allah kepada engkau. Kami tidak akan berkata seperti apa yang dikatakan Bani Israil dahulu kepada Nabi mereka Musa a.s. Mereka berkata kepada Musa: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau berperang, sedang kami biarlah duduk saja di sini (menonton). Sebaliknya kami, akan berkata kepada engkau: Pergilah engkau beserta Tuhan engkau berperang, dan kami akan bersama engkau bertempur. Demi Allah yang telah mengutus engkau membawa kebenaran, jika sekiranya engkau memerintahkan kami berangkat ke Birkil Ghamad (nama suatu tempat yang amat jauh di Yaman), kami akan memaksa diri kami agar kami sampai ke sana.

Berkata pula Sa’ad bin Mu’az dari golongan Ansar: “

Kami sudah beriman kepada engkau, kami sudah membenarkan akan engkau dan mengakui bahawa apa yang engkau bawa kepada kami adalah hak, kami sudah berjanji akan tunduk dan taat. Maka teruskanlah, ya Rasulullah, dengan apa yang engkau kehendaki, kami akan selalu bersama engkau. Demi Tuhan yang telah mengutus engkau dengan hak, sekiranya engkau harus menyelam lautan itu, kami akan menyelaminya bersama engkau. Tak seorang pun diantara kami yang akan mundur. Kami tidak takut apa pun yang akan dilakukan musuh terhadap diri kami, kami adalah orang-orang yang tabah dalam perang. Mudah-mudahan Allah memperlihatkan kepada engkau apa-apa yang menyenangkan hati engkau, sehingga kami akan senang pula dengan berkat dari Allah.

Rasulullah sangat gembira mendengar ucapan-ucapan yang diucapkan para sahabat itu. Rasulullah lalu berkata memberikan perintah kepada mereka: “Berangkatlah dan bergembiralah, Allah sudah menjanjikan kepadaku akan pertolonganNya, seolah-olah aku melihat tempat-tempat yang menjadi sumber minum mereka.”

Kaum Quraisy dan bala bantuannya yang banyak itu dikerah oleh Abu Sufyan, mengambil kedudukan dilereng jauh ditempat rendah. Sedang Rasulullah memerintahkan pasukan beliau mengambil tempat dilereng yang dekat ditempat tinggi dari Wadi Badar.

SAHABAT MEMBERIKAN PENDAPAT

Seorang sahabat bernama Habbab bin Munzir mendatangi Rasulullah dan berkata:

Apakah kedudukan yang engkau pilih ini menurut perintah (wahyu) dari Allah? Kalau memang begitu, kita tidak akan beranjak dari kedudukan ini. Tetapi kalau hanya pendapat Rasulullah sendiri berdasarkan siasat atau strateji semata, maka saya berpendapat lain. Lebih baik kita mengambil kedudukan ditempat yang lebih rendah, dekat sumber air yang akan diperguna-kan oleh musuh-musuh itu. Kita buat tangki-tangki dan kita gali perigi, lalu kita penuhi dengan air dari sumber itu, kemudian sumber itu kita timbun dengan tanah. Biar musuh tidak dapat air minuman, agar mereka menderita dahaga, sedang kita terus bertempur dengan persediaan air yang banyak itu.

Pendapat Habbab ini dibenarkan oleh Rasulullah, kerana Rasulullah mengambil tempat kedudukan yang pertama tadi itu tidak berdasarkan perintah dari Allah, semata-mata pendapat peribadi beliau sendiri.

Seluruh pasukan dikerahkan untuk membuat tangki-tangki dan menggali perigi, mengisinya dengan air sebanyak mungkin, lalu menutup sumber air yang akan dipergunakan oleh musuh itu. Para sahabat pun membuat sebuah gubuk untuk Rasulullah, tempat beliau memberikan arahannya.

Berkata Sa’ad al-Anbany:

Ya Rasulullah, bila Allah memenangkan kita, engkau tetap sajalah digubuk itu, tetapi bila kami tewas seluruhnya, engkau hendaklah segera meninggalkan gubuk itu bergabung dengan sahabat-sahabat kita yang masih hidup, yang kecintaan mereka terhadap engkau tidaklah kurang dari kecintaan kami.

Rasulullah amat terharu mendengar ucapan yang demikian itu. Keesokan harinya musuh yang terdiri lebih dari seribu orang itu mulai menyerang. Melihat kedatangan musuh yang dengan amat tiba-tiba itu, Rasulullah berdoa:

Allahumma, ya Allah, kaum Quraisy sudah menyerang dengan sombong dan membanggakan kekuatan mereka, mereka menentang Engkau dan mendustakan akan Rasul Engkau. Ya Allah, hanya pertolongan yang pernah Engkau janjikan kepadaku yang akan dapat mengalahkan dan menghancurkan mereka. Ya Allah, hancurkanlah mereka.

PERTEMPURAN BERMULA

Tentera Makkah bukan main marahnya. Dengan segera mereka menyerang dengan pasukan berkuda terhadap tentera Islam. Dua orang pasukan berkuda musuh (Quraisy) gugur ke tanah dipanah tentera Islam. Dari tentera musuh maju ke depan tiga orang pahlawan, iaitu ‘Utbah dan Syaibah (bersaudara) dengan anak ‘Utbah yang bernama al-Walid. Untuk menghadapi ini, Nabi memerintahkan tiga orang pahlawan Islam pula, iaitu Ali, Hamzah dan Ubaidah. Ali dan Hamzah dapat menewaskan musuh sedangkan Ubaidah dan lawannya masing-masing mendapat luka yang parah dan kerana luka-luka ini Ubaidah meninggal dunia di atas pangkuan Nabi sendiri.

Kaum Muslimin yang sedikit itu menghadapi lawan yang lebih dari tiga kali ganda banyaknya. Nabi mendoa kepada Allah:

Ya Allah! Penuhilah janjiMu untuk memberi kemenangan. Kalau ummat yang kecil ini binasa (kalah), maka akan menanglah agama berhala dan tidak akan ada lagi orang yang menyembahMu di muka bumi.

Abu Bakarlah ketika itu orang yang paling sedih dan khuatir melihat ramai dan kuatnya musuh yang sedang dihadapi oleh tentera Islam. Dengan memegang kain tutup kepala Nabi, Abu Bakar berkata kepada Nabi:

Ya Nabi Allah, Tuhan tentu akan mengabulkan doamu dan Tuhan tentu menolong kita menghadapi musuh yang ramai ini.

Tiba-tiba Nabi seakan-akan tertegun dalam mendoa. Di kala itu turunlah wahyu Allah yang berbunyi:

Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar diantaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar diantaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan seribu dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti. (Surah Al-Anfal – Ayat 65)

Dengan segera Nabi menghadapkan mukanya kepada tentera Islam yang sudah siap sedia, lalu berkata:

Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad, orang-orang yang berperang dengan sabar dan penuh harapan ganjaran Allah, terus maju dan takkan mundur setapak, bila dia terbunuh, terus masuk ke dalam Syurga Allah.

Kemudian diambil Nabi segenggam pasir, lalu dilemparkannya ke arah musuh. Arahan dan perintah menyerbu sudah diberikan. Kaum Muslimin maju bertempur dengan keimanan dan keyakinan yang penuh dan kuat, dengan serentak berteriak: Ahad, Ahad, Ahad.

PERTOLONGAN ALLAH SAMPAI

Dikala itu angin berhembus dengan kencangnya ke arah tempat musuh. Pasir padang pasir berterbangan sebagai asap tabir yang amat tebal. Mata pedang mulai bergerincingan berbunyi ditengah-tengah suara takbir dan derunya angin ribut.

Kerana angin berhembus ke arah tentera musuh, maka hal itu sangatlah menguntungkan pihak ummat Islam yang dipimpin Nabi. Bukan hanya perajurit, tetapi banyak panglima-panglima tentera musuh, seorang demi seorang tewas di hujung mata pedang; diantaranya ‘Utbah, Syaibah, al-Walid, Umaiyah bin Khalaf, Abul Bukhtary, Hamzah anak Abu Sufyan.

Dalam pertempuran itu pula, Mu’az bin ‘Amru dari golongan ummat Islam telah dapat melukai Abu Jahal, tetapi anak Abu Jahal segera datang membantu ayahnya, sehingga tangan Mu’az kena mata pedang hampir putus, tergantung di bahunya. Dengan segera Mu’az memutuskan tangannya yang tergantung-gantung itu, lalu tampil menyerang Abu Jahal. Abu Jahal terbanting jatuh, segera ditikam oleh seorang pemuda Ansar, iaitu Bin Affa sehingga Abu Jahal tewas seketika itu juga berlumuran darah bersama kudanya. Kepala Abu Jahal yang telah bercerai dengan badannya, dibawa Ibnu Mas’ud ke hadapan Nabi.

Melihat panglima tertingginya sudah tewas, maka barisan musuh mulai kucar kacir, lari tunggang-langgang dikejar orang Islam dari belakang. Mereka meninggalkan tujuh puluh mayat dimedan perang, yang umumnya terdiri dari pemuka-pemuka mereka dan tujuh puluh orang lagi menjadi tawanan perang. Sedang dipihak ummat Islam hanya empat belas orang yang mati syahid dan tidak seorang juga yang menyerah kepada musuh.

Di antara tokoh-tokoh yang berkaliber besar dari kaum Musyrikin Quraisy yang tewas itu antara lain Abu Jahal bin Hisyam (panglimanya), ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Umaiyah bin Salt. Semua mayat musuh itu dimasukkan ke dalam sebuah lubang, lalu ditimbuni dengan tanah. Rasulullah lalu berdiri di tempat itu dan berkata:

Hai Ahli Lubang, hai Abu Jahal bin Hisyam, hai ‘Utbah bin Rabi’ah, hai Syaibah bin Rabi’ah, hai Umaiyah bin Salt, apakah kamu sudah memperoleh apa-apa yang dijanjikan Tuhan kamu kepada kamu sekalian? Kami sudah memperolehi apa yang pernah dijanjikan Allah kepada kami.

Mendengar itu para sahabat bertanya kepada Rasulullah:

Ya Rasulu’llah, apakah engkau menyeru orang-orang yang sudah menjadi bangkai?” Rasulullah menjawab: “Mereka lebih mendengar daripada kamu akan apa-apa yang saya ucapkan itu, hanya mereka tidak dapat menjawabnya.

Perang inilah yang dinamai perang Badar Kubra, terjadi pada tujuh belas Ramadhan tahun kedua Hijrah. Kemudian ternyata, bahawa Allah telah mengirimkan pertolonganNya kepada ummat Islam dalam perang itu. Bukan saja pertolongan yang berupakan angin dan debu, tetapi pula beberapa Malaikat, sebagai ternyata dalam wahyu Allah yang datang kemudian.

TAWANAN PERANG

Terhadap para tawanan itu berbagai-bagai usul yang masuk. Umar Ibnul-Khattab mengusulkan agar mereka dibunuh semuanya, seimbang dengan kekejaman mereka terhadap orang-orang Islam. Tetapi Abu Bakar mengusulkan agar tawanan-tawanan yang kaya, diwajibkan menebus dirinya masing-masing dengan wang yang banyak, lalu dilepaskan dan yang miskin dan tak berbahaya, dilepaskan saja tanpa tebusan. Dengan wahyu Allah, Nabi menjalankan usul Abu Bakar, menolak usul Umar. Para tawanan yang mempunyai kepandaian menulis, dapat menebus dirinya dengan kepandaiannya itu.

Dengan jalan begitu, perlakuan terhadap tawanan memang diatur Nabi sebaik mungkin. Hal inilah yang menyebabkan kemenangan yang berterusan untuk kaum Muslimin disamping dengan pertolongan dari Allah. Salah seorang yang membayar tebusan yang agak besar sekali ialah Abbas iaitu bapa saudara Nabi sendiri.

PERKHABARAN SAMPAI KE MAKKAH

Di Makkah kaum Quraisy menunggu perkhabaran tetapi setelah tiba ternyata kekalahan dipihak mereka dimana banyak yang mati dan tertawan. Dari tentera yang pulang itu mereka ketahui jalan peperangan, budak suruhan Abbas yang bernama Abu Rafi dengan keras berkata: Demi Allah. Tentu saja Malaikatlah yang menolong tentera Islam!

Mendengar perkataan itu bukan main marah lagi Abu Lahab, walaupun masih lagi dalam kesakitan dipukulnya Abu Rafi setengah mati. Kejadian itu dilihat oleh isteri Abbas, dia amat marah diambilnya lembing lalu ditikamnya Abu Lahab, parah dibuatnya. Dengan keaadan yang luka parah dan malu Abu Lahab pulang kerumah, sakitnya semakin tenat setelah tujuh hari dia pun mati. Makkah berada dalam kesedihan atas kekalahan yang dialami tentera mereka.

 

KEISTIMEWAAN MASJIDIL HARAM, MASJID AN-NABAWI DAN MASJIDIL AQSA


Keistimewaan Masjidil Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Aqsa

Masjid yang paling utama di dalam Islam ialah Masjidil haram di Mekah Al-Mukarramah kemudian Masjid an-Nabawi, di Madinatul Munawwarah dan selepas itu Masjidil Aqsa di Palestin iaitu berdasarkan kepada sebuah hadis yang bererti,

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu dari Nabi Muhammad Sallallhu ‘alaihi Wasallam sabdanya:

Tidak sepatutnya ( bersusah payah ) keluar belayar ( untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali ( pergi ) ketiga-tiga buah masjid (yang berikut): Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul (Masjidi an-Nabawi di Madinah) dan Masjidil Aqsa di Palestin.” Hadis Al-Bukhari

Dalam hadis-hadis yang lain ada menerangkan kelebihan ketiga-tiga masjid tersebut di antaranya yang bererti ,

Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu Rasulullah Sallallu ‘alaihi Wasallam telah bersabda;

Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku ( Masjidil nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1 000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram.”

Kemudian diterangkan lagi dalam sebuah hadis yang bermaksud; Dari Jabir Radhiallahu Anhu ; bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain.”

Daripada hadis-hadis di atas Nabi menggalakkan untuk menziarahi ketiga-tiga masjid yang bersejarah iaitu Masjidil Haram di Mekah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin. Di samping itu, baginda menggalakkan juga kepada umat Islam sama ada yang tinggal menetap di Mekah, di Madinah atau yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji kemudian mengerjakan sembahyang sebanyak-banyak yang dapat di kedua-dua masjid yang mulia itu bagi mendapat pahala yang berganda-ganda.

Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan pula secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan sembahyang di masjid Nabi sebanyak 40 waktu berturut-turut iaitu :-

Ertinya :

Dari Anas bin Malik Radhiallahu Anhu, Rasulullah Sallallhu ‘alaihi Wasallam bersabda;

Sesiapa sembahyang di masjidku 40 sembahyang (dengan syarat) ia tidak ketinggalan dalam satu sembahyang (waktu) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan dari azab siksa dan (ia juga akan bersih) dari sifat munafik.

Biasanya orang-orang yang pergi menunaikan haji dan menziarahi masjid dan makam Nabi di Madinah, untuk mendapatkan kelebihan ini mereka akan tinggal di Madinah selama 8 hari sekurang-kurangnya iaitu untuk mengerjakan sembahyang dalam 40 waktu selain daripada mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang dituntut.

Mengenai kelebihan Masjidil Aqsa pula ada diterangkan dalam hadis-hadis yang lain yang bermaksud,

Satu sembahyang yang dikerjakan di masjid itu lebih afdhal daripada 500 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Demikianlah kelebihan ketiga-tiga masjid itu iaitu satu sembahyang yang dikerjakan di Masjidil Haram lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain ( kecuali Masjid Nabi di Madinah dan Masjid Aqsa di Palestin, dan satu sembahyang yang dikerjakan di Masjid Nabi (di Madinah) pula lebih afdal daripada 1 000 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain ( kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabi) sementara satu sembahyang yang dikerjakan di Masjidil Aqsa (di Palestin) lebih afdhal daripada 500 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain (kecuali Masjidil Haram dam Masjidil Nabawi).

Di samping itu, Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah mengakui bahawa Masjid Quba’ adalah sebuah masjid yang dikasihinya dan kerap kali baginda menziarahinya serta sembahyang di dalamnya.

Abdullah bin Omar Radiallahu Anhu ada meriwayatkan “adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam selalu berziarah ke Masjid Quba'” dan satu riwayat lagi menyatakan Rasulullah berziarah ke Masjid Quba’ setiap hari Sabtu, kadang-kadang menunggang unta dan terkadang-kadang berjalan kaki serta menunaikan sembahyang sunat dua rakaat di dalamnya.

Usaid bin Zahir Radiallahu Anhu pula meriwayatkan sebuah hadis yang maknanya “satu sembahyang di dalam masjid Quba’ diberi pahala seperti menunaikan satu ibadat umrah.”

PESTA IBADAT DI MASJIDIL HARAM


OLEH: MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Sumber: Bicara Agama Utusan

ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan.

Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.

Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan.

Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (riwayat Bukhari)

Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.

Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.

Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu.

Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat.

Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.

Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut.

Bagi yang datang lewat, mereka reda ‘dibakar’ matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.

Jika ingin melihat orang ‘bertengkar’ mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain.

Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan ‘celus’ kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah. Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras ‘mempertahankan ruang’ yang ada.

Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat. Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.

Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.

Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.

Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan.

Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.

Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran.

Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi ‘para penghuni’ Masjidil Haram sepanjang Ramadan.

Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau ‘mengusir’ orang yang mahu tidur dan iktikaf.

Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.

Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.

Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik….

Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.

SEJARAH MASJIDIL HARAM


إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ ﴿٩٦﴾

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. – Al- Imran, ayat 96.

Sejarah Ka’bah

Dikenali juga dengan nama Baitullahil Haram iaitu sebuah binaan batu yang tertua sekali di dunia yang dibina untuk tujuan ibadat. Kaabah adalah Kiblat bagi umat Islam menunaikan ibadah terutama ibadah solat. Tidak sah solat jika tidak menghadapkan wajah ke arah Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam. Ka’bah adalah bangunan suci Muslimin yang terletak di kota Mekkah di dalam Masjidil Haram. ia merupakan bangunan yang dijadikan patokan arah kiblat atau arah solat bagi umat Islam di seluruh dunia. Selain itu,ia merupakan bangunan yang wajib dikunjungi atau diziarahi ketika musim haji dan umrah.

Ka’bah berbentuk bangunan kubus yang berukuran 12 x 10 x 15 meter . Ka’bah disebut juga dengan nama Baitallah atau Baitul Atiq (rumah tua) yang dibangunkan pada masa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail setelah Nabi Ismail berada di Mekkah atas perintah Allah.

Jika kita rujuk Al-Qur’an surah Ibrahim ayat 37 yang berbunyi:

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ ﴿٣٧﴾

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Ka’bah telah wujud sewaktu Nabi Ibrahim AS menempatkan isterinya Hajar dan bayi Ismail di lokasi tersebut. Jadi Ka’bah telah ada sebelum Nabi Ibrahim.


Ketika Nabi saw berusia 30 tahun,saat itu beliau belum diangkat menjadi rasul.Bangunan ini dibina kembali akibat banjir yang melanda kota Mekkah pada ketika itu. Sempat terjadi perselisihan faham antara ketua suku atau kabilah ketika hendak meletakkan kembali Hajar Aswad.Namun berkat hikmah Rasulullah, perselisihan itu berjaya diselesaikan tanpa kekerasan dan pertumpahan darah.

Pada zaman Jahiliyyah sebelum diangkatnya Rasulullah saw menjadi Nabi sampai perpindahannya ke kota Madinah, ka’bah penuh dikelilingi dengan patung – patung yang merupakan Tuhan bangsa Arab padahal Nabi Ibrahim as yang merupakan nenek moyang bangsa Arab mengajarkan tidak boleh mempersekutukan Allah, tidak boleh menyembah Tuhan selain Allah yang satu, tidak ada yang menyerupaiNya dan tidak beranak dan diperanakkan.

Setelah pembebasan kota Makkah, Ka’bah akhirnya dibersihkan dari patung – patung tanpa kekerasan dan tanpa pertumpahan darah.

Selepas itu, bangunan ini diuruskan dan dipelihara oleh Bani Sya’ibah sebagai pemegang kunci ka’bah dan pemerintahan serta pelayaran haji diatur oleh pemerintahan yang adil iaitu pemerintahan khalifah Abu Bakar, Umar bin Khattab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib, Muawwiyah bin Abu Sufyan, Dinasti Ummayyah, Dinasti Abbasiyyah, dan Dinasti Usmaniyah Turki.

Pada zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail as, Stuktur asa bangunan Ka’bah terdiri atas dua pintu dan pintunya terletak diatas tanah, tidak seperti sekarang yang pintunya terletak agak tinggi. Namun ketika Renovasi Ka’bah akibat bencana banjir ketika Rasulullah saw berusia 30 tahun,bangunan ka’bah dibuat hanya satu pintu serta ada bahagian ka’bah yang tidak dimasukkan ke dalam bangunan ka’bah yang dinamakan Hijir Ismail (lihat gambar)yang diberi tanda setengah lingkaran pada salah satu sisi ka’bah.Ketika itu pintunya dibuat tinggi letaknya supaya hanya suku Quraisy yang boleh memasukinya.

RekaBentuk Kaabah

Bentuk dan pembinaan Kaabah sungguh istimewa. Tingginya 15 meter/49.22 kaki. Bentuknya hampir-hampir 4 persegi, mempunyai 4 penjuru:

      Keterangan :

  1. Hajarul Aswad
  2. Pintu Kaabah
  3.  Mizab atau Pancur Emas
  4. Syazarwan (konkrit kaki kaabah)
  5.  Hijir Ismail
  6. Multazam
  7.  Maqam Nabi Ibrahim a.s.
  8. Rukun (penjuru) Hajarul Aswad
  9. Rukun (penjuru)Yamani
  10.  Rukun (penjuru) Syami
  11.  Rukun Iraqi
  12. Kiswah Kaabah
  13.  Garis Mula Tawaf

* Penjuru Hajarul Aswad yang menghala ketimur, kedudukan Hajarul Aswad dari lantai lebihkurang 1.5 meter.

* Penjuru Iraqi, menghala ke Pihak negeri Iraq. Jaraknya dari penjuru Hajarul Aswad lebih kurang 12 meter/39.37 kaki. Di sinilah terletaknya pintu Kaabah dan Multazam.

* Penjuru Syami, menghala ke negeri Syam, jaraknya dari penjuru iraqi lebih kurang 11 meter/36.1 kaki dan di sinilah terletaknya Hijir Ismail. Hijir Ismail adalah sebahagian dari Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. Maka tidak sah tawaf melalui sebelah dalam Hijir Ismail kerana ia sebahagian dari Kaabah.

* Penjuru Yamani, iaitu penjuru yang menghala ke negeri Yaman. Jaraknya dari Penjuru Syami lebih kurang 12 meter/41.02 kaki, dan Jaraknya ke Penjuru Hajarul Aswad 10.25 meter/33.63 kaki.

Pembinaan dan Pembaikpulih

Diriwayatkan bahawa Kaabah dibina beberapa kali sehingga kehari ini. Dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as, iaitu daripada permata Yaquut merah. Kemudian diangkat ke langit pada banjir besar yang melanda Makkah. Kata-kata ini disokong oleh firman Allah:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿١٢٧﴾

Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah berserta Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya engkaulahyang maha mendengar lagi maha mengetahui,” – surah al-Baqarah, ayat 127.

Sendi itu diangkat menunjukkan bahawa sendi, iaitu asasnya sudah pun ada (dibina), jadi Baitulllah al-haram sudah pun ada sebelum Ibrahim as dan Ibrahim membinanya semula di atas asas itu. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Adam telah mengerjakan haji sebanyak 40 kali dari India ke Makkah berjalan kaki, kekallah ia tawaf Kaabah itu, begitu juga diikuti oleh anaknya hingga pada hari berlakunya banjir, lalu Allah angkatkan ke langit kempat.

Diriwayatkan bahawa Allah membina di langit sebuah rumah yang dikenali sebagai Baitul Makmur. Dia menyuruh malaikat supaya tawaf sekelilingnya, kemudian Dia menyuruh malaikat di bumi supaya membina sebuah rumah di bumi mengikut ukurannya dan bentuknya, dan mereka hendaklah tawaf sebagaimana ahli langit tawaf Baitul Makmur.

Sebenarnya Nabi Ibrahim tidak tahu di mana ia harus membinanya, lalu Allah memberitahu kepadanya tempatnya dengan angin yang bertiup. Angin tadi menyapu sekeliling rumah itu, lalu Ibrahim membinanya di tapak asal.Dalam doa Ibrahim as, ada dalil yang menunjukkan bahawa dia membina binaan itu di atas asas yang terdahulu sebagaimana firman Allah:

Rabbanaa taqabbal minna – surah al-Baqarah, ayat 127.

‘Taqabbal minna’ bermaksud “terimalah daripada kami (amalan kami).”Ada perbezaan di antara lafaz ‘qabul’ dan ‘taqabbul’ dalam bahasa Arab. Lafaz ‘taqabbul’ dibina atas takalluf atau susah payah; digunakan apabila sesuatu perkara yang dibuat itu ada kekurangan yang mana tidak layak diterima amalan itu melainkan melalui jalan kemurahan Allah.Berbeza dengan lafaz ‘qabul’.

Lafaz ini tidak ada makna seperti lafaz ‘taqabbul’. Seandainya Ibrahim as membina asasnya sebagaimana binaannya, nescaya kerjanya menjadi lengkap dan sempurna, tiada lagi kekurangan, dan dia tidak berdoa dengan lafaz ‘taqabbul’, sebaliknya dengan lafaz ‘qabul’.

Pemilihan lafaz ‘taqabbul’ ini sebagai pengiktirafan daripada Ibrahim as sendiri dan juga anaknya Ismail as mengenai kekurangan dalam pekerjaan itu. Dia tahu bahawa bukan dia atau Ismail yang membina binaan Kaabah itu dari awal, dia hanya mengangkat sendi-sendinya. Dibina oleh Quraisy sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw dan Rasul sendiri hadir bersama mereka ketika pembinaan berkenaan.

Tatkala mereka ingin meletakkan Hajarul Aswad, mereka berbalah-balahan di antara satu sama lain, siapa atau puak mana yang diberikan kemuliaan untuk meletakkan batu berkenaan ke tempat asalnya. Mereka kemudian bersetuju untuk melantik orang yang mula-mula sekali ke Masjidil Haram. Kebetulan Nabi Muhammad saw adalah orang yang pertama masuk.

Dengan kepintaran Baginda saw, disuruhnya puak yang bertelagah itu menyediakan satu bentangan kain, kemudian meletakkan batu itu di tengah-tengahnya.Masing-masing ketua setiap suku kaum memegang bucu kain itu dan dibawa ke tempat letaknya, kemudian Nabi Muhammad saw sendiri mengambil Hajarul Aswad dan meletakkan di tempatnya.

Dibina oleh Abdullah bin Az-Zubair ra., iaitu binaan yang kekal sampai ke hari ini. Selepas Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail, membina Rumah itu, Allah mengarahkannya supaya menyeru manusia datang bersembahyang di situ, lalu Nabi Ibrahim berkata:

“Wahai Tuhanku, suaraku tidak sampai (untuk menyeru semua manusia).” Allah berfirman: “Hendaklah kau azan dan Aku menyampaikannya.”

Nabi Ibrahim terus naik ke Bukit Safa dan menyeru:

Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhanmu telah membina sebuah rumah dan mewajibkan ke atas kamu haji ke Baitul ‘Atiq, maka hendaklah kamu menyahut seruan Tuhan kamu itu, dan kerjakanlah haji di Baitullah al-haram supaya dengannya Dia akan memberikan kamu pahala dan menjauhkan kamu daripada api neraka. Lalu ia berkata: Labbaikallahumma labbaik’.

Golongan pertama yang menyahut seruan itu ialah ahli Yaman (penduduk Yaman), merekalah yang paling banyak mengerjakan haji. Setiap yang mempunyai niat buruk terhadap rumah itu, pasti Allah akan membinasakannya. Lihatlah kepada tentera bergajah Abrahah yang ingin meruntuhkan Kaabah, Allah menghantar ke atas mereka burung ababil yang melontari mereka dengan batu daripada neraka lalu hancurlah mereka seumpama daun yang dimakan ulat.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim mengangkat sendi rumah itu bersama Ismail. Adapun sendinya memang sudah pun ada. Faktor alam sekelilinglah yang menutup atau melitupi sendi ini, lalu Allah zahirkan pada Ibrahim ketika awalnya ketika Ismail masih bayi.Selepas Ismail meningkat usianya sehingga boleh membantu ayahnya, Allah memerintahkan Ibrahim mengangkat sendi-sendi tadi.

Sesungguhnya Ibrahim telah mengetahui (dengan petunjuk Allah) tanah wadia atau lembah yang khusus padanya ada Baitullah. Seandainya ia tidak mengetahui dengan tepat kedudukan Rumah Allah di tanah itu, kenapa pula Nabi Ibrahim datang bersama Hajar dan anaknya lalu meninggalkan mereka di situ, sambil berdoa sebagaimana dalam firman-Nya:

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dekat Rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati,” – surah Ibrahim, ayat 37.

Kata Nabi Ibrahim itu menunjukkan bahawa kewujudan Rumah Allah itu sudah pun diketahui ketika ia hendak menempatkan isteri dan anaknya di situ. Akan tetapi tempat kedudukan Rumah itu tidak diketahui oleh Ibrahim. Ini adalah peringkat pertama bagi hubungan Ibrahim dengan Rumah berkenaan.Kemudian datang peringkat kedua, iaitu Allah menerangkan kepada Ibrahim kedudukan rumah itu. Firman Allah:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ ﴿٢٦﴾

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu dan sucikanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).- (Surah al-Hajj, ayat 26)

Kemudian Allah berfirman selepas daripada itu:

Sucikanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).- (Surah al-Hajj, ayat 26)

Kerja ini tidaklah terlalu rumit bagi Ibrahim melakukannya seorang diri kerana hanya menyapu pasir dan batu kecil yang menutupi asas binaannya.Sebab itulah Ismail tidak mengambil peranan menolongnya pada peringkat ini. Lagipun, Baginda masih kecil ketika itu. Kemudian datang marhalah ketiga yang mana perlu kepada bantuan. Ketika ini Ismail sudah membesar yang mencapai peringkat boleh menolong bapanya. Pada marhalah ini, Ismail muncul sebagai pembantu Nabi Ibrahim dalam mengangkat sendi binaan. Maka turunlah ayat yang bermaksud:

Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah bersertaIsmail (seraya berdoa): Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami),sesungguhnya engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui” – surahal-Baqarah, ayat 127.

Ayat ini menunjukkan penyertaan Ismail dalam doa itu menandakan bahawa Ismail sudah pun dalam usia yang ia tahu ia turut serta dalam beribadat kepada Tuhan yang ia minta perkenan. Rumah Allah yang pertama dibina di atas muka bumi ini ialah rumah yang disambung binaannya oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Allah berfirman bermaksud:

Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia,” – surah Ali Imran, ayat 96.

Selagi rumah itu dijadikan untuk manusia, maka secara automatik yang meletakkannya (yang membinanya) adalah bukan daripada golongan manusia. Sesungguhnya Rumah Allah itu dibangunkan untuk tujuan ibadat kepada Allah. Allah yang memilih tempatnya dan mengkhabarkan kepada malaikat akan batas-batasnya. Sebab itulah ayat ini datang dengan ayat pasif, tidak disebutkan siapa pembinanya (faa-‘il dalam bahasa Arabnya). Pembuatnya tidak disebutkan sebagai lambang pembinanya adalah ghaib, iaitu Allah, yang melaksanakannya juga di alam ghaib, iaitu malaikat.

Apabila kita melihat kepada perkataan ‘An-Naas’ dalam ayat itu, kita akan dapati bahawa ia mencakupi semua individu manusia, dari Adam hinggalah ke hari kiamat. Tetapi, mungkin dipersoalkan, kenapakah permulaan itu bermula dari zaman Ibrahim, bukan daripada Adam lagi? Bukankah Adam juga manusia dan termasuk dalam perkataan ‘An-Naas’ seperti dalam ayat itu. Sebagaimana yang disebutkan di atas bahawa sesungguhnya Kaabah dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as. Ibnu Kathir dalam tafsirnya memetik hadis daripada sahih Muslim, daripada Abu Dzar berkata:

“Aku telah bertanya Rasulullah saw mengenai masjid yang pertama sekali dibina dibumi, lalu Baginda menjawab: Masjidil-Haram. Aku berkata: Kemudian apa? Masjidil-Aqsa, kata Baginda. Aku bertanya lagi: Berapa jarak masa antara kedua-duanya? Rasulullah menjawab: 40 tahun, kemudian tanah/bumi ini dijadikan untukmu sebagai masjid, maka di mana saja kamu berada, hendaklah kamu solat.”

Mujahid berkata: Saling berbangga-bangga antara orang Islam dan orang Yahudi. Yahudi berkata: Baitulmaqdis lebih agung dan lebih mulia daripada Kaabah kerana ia tempat yang pernah didatangi oleh nabi-nabi dan ia terletak di tempat yang suci.

Orang Islam berkata: Bahkan Kaabah lebih afdhal, lalu turunlah ayat daripada surah Ali Imran ini. Kata Mujahid lagi, Allah telah mencipta tempat asas rumah itu 2000 tahun sebelum diciptakan mana-mana makhluk di atas muka bumi ini dan sendinya sudah pun ada di lapisan bawah bumi yang ketujuh. Ada pun Masjidil Aqsa dibina oleh Nabi Sulaiman a.s sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh An-Nasaei dengan isnad yang sahih daripada Abdullah bin Amru.

Timbul kemusykilan di sini kerana jarak masa di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman agak panjang. Ada yang mengatakan lebih daripada 1,000 tahun. Sudah tentu ini ada percanggahan di antara dua hadis tadi. Bagi menjawab persoalan ini, kita ambil satu riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman hanya memperbaharui saja asas yang dibina oleh orang lain sebagaimana ada riwayat yang mengatakan bahawa orang pertama membina Rumah Allah itu ialah Adam. Maka tidak mustahil ada daripada anaknya yang membina Baitulmaqdis selepas 40 tahun Kaabah dibina. Kemungkinan juga ia dibina oleh malaikat selepas ia membina Kaabah di Makkah dengan izin Allah. Semua itu adalah mungkin, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Baitullah terletak di Makkah seperti yang disebut dalam ayat daripada surah Ali Imran bahawa Rumah itu di Bakkah. Bakkah mengikut Al-Qurthubi ialah kawasan letaknya asas Baitullah itu manakala Makkah ialah negeri Makkah seluruhnya. Jadilah Kaabah sekarang kiblat umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah salah satu lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia. Bahkan, umat sebelum Nabi Muhammad saw juga berjalan bersama nabi mereka ke arah mentauhidkan Allah yang Esa. Lihatlah peristiwa Nabi Ibrahim ketika saat akhir Baginda sebelum meninggal dunia. Dipanggil semua anak cucunya (Ismail, Ishak, Yaakub dan lain-lain) dan diberikan wasiat untuk mereka.Bukannya harta dan wang ringgit tetapi dengan pesanan:

Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu matikecuali dalam memeluk agama Islam,” – surah al-Baqarah, ayat 132.

Begitu juga tatkala Yaakub hendak meninggal dunia, Baginda bertanya kepada anaknya apa yang akan disembah mereka selepas Baginda meninggal dunia. Lalu mereka semua menjawab:

Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail, Yaakub, Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.” surah al-Baqarah, ayat 133.

Akan tetapi, daripada keturunan inilah juga munculnya Yahuda (anak Yaakub) yang akhirnya namanya diambil sebagai satu agama, iaitu Yahudi. Dari keturunan ini jugalah lahirnya agama Nasrani yang menyeleweng lagi sesat. Alangkah baiknya andainya mereka semua kembali kepada agama asal nenek moyang mereka sebagaimana pengakuan mereka dulu. Tahun 64H

Zaman Khalifah Abdullah Ibnu Zubair, membinanya kembali sebagaimana plan yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Syaidatina A’isyah r.ah.

Dalam tahun 74H  – Zaman Abdul Malik bin Marwan mengubahnya kembali, membuang tangga kayu yang telah dibina oleh Abdullah ibnu Zaubair, setelah beliau mendengar hadith daripada Rasulullah ketika mengunjungi kaabah bagi melakukan umrah, beliau sungguh menyesal.

Dalam tahun 1039H Sultan Murad Khan – 2 bahagian dinding Kaabah di timur dan barat telah runtuh kerana banjir besar. Hal ini berlaku pada 20 Sya’aban 10 Hijrah bersamaan 3 April 1620 Masehi.

Dalam tahun 1996 – Kaabah diubahsuai binaannya sehingga sekarang dengan bentuk yang berbeza dengan bangunan yang dibina oleh Abdullah ibnu Zubair mahupun Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Yang tetap hanyalah Kedudukan Hajarul Aswad sahaja.

Hajar Aswad

Hajar Aswad merupakan batu yang dalam agama Islam dipercayai berasal dari syurga. Yang pertama kali meletakkan Hajar Aswad adalah Nabi Ibrahim as. Dahulu kala batu ini memiliki sinar yang terang dan dapat menerangi seluruh jazirah Arab. Namun semakin lama sinarnya semangkin malap dan hingga akhirnya sekarang berwarna hitam. Batu ini memiliki aroma wangi yang unik. Sehingga kini, batu Hajar Aswad tersebut diletakkan di sisi luar Ka’bah sehingga mudah bagi seseorang untuk menciumnya. Mencium Hajar Aswad adalah Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama – kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang – orang musyrik. Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat.

Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:

Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam ” . Riwayat Ahmad dan Turmizi

Pada awal tahun gajah, Abrahan Alasyram penguasa Yaman yang berasal dari Habsyah atau Ethiopia, membangunkan gereja besar bertujuan untuk menghancurkan Ka’bah dan memindahkan Hajar Aswad supaya dapat mengikat bangsa Arab untuk melakukan Haji ke Sana. Abrahah kemudian mengeluarkan perintah supaya penyerangan terhadap Mekkah dan dipimpin olehnya dengan pasukan gajah untuk menghancurkan Ka’bah. Beberapa suku Arab menghalang pasukan Abrahah, tetapi pasukan gajah tidak dapat dikalahkan.

Abrahah telah mengirimkan utusan kepada penduduk kota Mekkah bahawa mereka tidak akan bertempur dengan jika mereka tidak menghalang penghancuran Ka’bah. Abdul Muthalib,ketua suku Quraisy, mengatakan bahawa ia akan mempertahankan hak-hak miliknya, tetapi Allah akan mempertahankan rumah-Nya, Ka’bah.Hari berikutnya, ketika Abrahah bersiap untuk masuk ke dalam kota, kelihatan burung-burung yang membawa batu-batu kecil dan melemparkannya ke pasukan Ethiopia. Kesannya semua orang telah terbunuh. Kejadian ini diabadikan Allah dalam surah Al-Fil.

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ ﴿١﴾

(1) Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ ﴿٢﴾

(2) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?

وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ ﴿٣﴾

(3) Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan;

تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ ﴿٤﴾

(4) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras;

فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ ﴿٥﴾

(5) Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

Makam Ibrahim

Makam Ibrahim bukan kubur Nabi Ibrahim sebagaimana banyak orang berpendapat. Makam Ibrahim merupakan bangunan kecil terletak di sebelah timur Ka’bah. Di dalam bangunan tersebut terdapat batu yang diturunkan oleh Allah dari syurga bersama-sama dengan Hajar Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di saat beliau membangun Ka’bah bersama sama puteranya Nabi Ismail. Dari zaman dahulu batu itu sangat terpelihara, dan sekarang ini sudah ditutup dengan kaca berbentuk kubbah kecil. Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim yang panjangnya 27 cm, lebarnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat orang ramai.

Multazam

Multazam terletak antara Hajar Aswad dan pintu Ka’bah berjarak kurang lebih 2 meter. Dinamakan Multazam kerana dilazimkan bagi setiap muslim untuk berdoa di tempat itu. Setiap doa dibacakan di tempat itu sangat diijabah atau dikabulkan. Maka disunahkan berdoa sambil menempelkan tangan, dada dan pipi ke Multazam sesuai dengan hadis Nabi saw yang diriwayatkan sunan Ibnu Majah dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash.

Akhir kata,semoga artikel “Ka’bah” ini boleh membawa mangfaat, menyejukan hati dan menambahkan semangat kita dalam mengenal dan mencintai rumah Allah S.A.W