• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

RAMADHAN PAHALA BERGANDA KEAMPUNAN TERBUKA


Kehidupan kita di dunia ini tidak bererti sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T dan lebih tidak bererti lagi jika segala kesalahan, keterlanjuran dan dosa-dosa yang kita lakukan tidak mendapat keampunan dari Allah SWT. maka, sebagai orang yang beriman kita dituntut agar sentiasa memohan keampunan kepada Allah di atas segala dosa yang telah kita lakukan samada dosa kecil mahupun dosa besar. Sesungguhnya bagi orang yang tidak memohon keampunan kepada Allah dengan menangguh-nangguhkannya atau melambat-lambatkan tindakan tersebut, mereka dianggap sebagai orang yang angkuh dan sombong dengan Allah SWT.

Maka bersempena bulan Ramadan yang penuh dengan keampunan dan sebagai orang yang beriman kita sentiasa mengharapkan keredhaan dan rahmat dari Allah S.W.T. Kerana itulah, kita dituntut agar mempertingkatkan amal bagi memperolehi keredhaan tersebut, terutama dengan memperbanyakkan amal ibadah di samping dikerjakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Hari ini merupakan bulan untuk kita umat Islam menunaikan ibadah puasa, kita berpuasa dengan penuh kesabaran dan ikhlas kerana Allah semata-mata mengharapkan keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T. Begitu juga, bersamanya kita mengharapkan agar digandakan pahala, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan hidup kita dijauhi dari godaan syaitan.

Sabda Rasulullah SAW:

 Image

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: apabila telah tiba bulan Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai.”

 (Hadis riwayat Ahmad)

Kedatangan bulan Ramadhan amat digeruni dan ditakuti oleh syaitan kerana pada bulan ini Allah tidak membenarkannya menghasut serta menggoda manusia melakukan kejahatan dan maksiat. Pada bulan ini syaitan akan dirantai dan dibelenggu. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. menjelaskan dalam hadis baginda:

Image

Maksudnya : “Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda apabila telah tiba bulan Ramadhan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai”.

 (Hadis riwayat Ahmad)

Mencari keredhaan dan keampunan Allah S.W.T adalah merupakan amalan harian hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa, mereka tidak jemu dan berputus asa melakukannya kerana mereka yakin bahawa Allah akan mengurniakan kepada mereka keredhaan dan keampunan diatas segala dosa-dosa yang telah dilakukan selagi mana mereka terus memohon.

Justeru, Allah S.W.T yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Pengampun tidak akan keberatan memberi keredhaan dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang meminta dan memohan dirinya.

Salah satu hikmah diwajibkan kita berpuasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Berdasarkan firman Allah tersebut, membawa maksud kepada kita bahawa kesan dari ibadah puasa bagi orang yang beriman ialah bertambah ketakwaan Mereka kepada Allah. Justeru, setelah kita melaksanakan ibadah puasa, adakah bertambah ketakwaan kita atau semakin berkurang?. Atau adakah jiwa kita semakin bersemangat untuk memperbanyakkan amal ibadah atau jiwa kita semakin lalai dan meringan-ringankan tuntutan ibadah?.

Adalah sungguh bijak bagi kita merebut segala peluang yang Allah sediakan pada bulan Ramadan ini, daripada kita mensia-siakannya. Kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadan pada tahun hadapan. Kerana sesungguhnya Allah telah menyediakan dalam bulan Ramadan ini satu malam yang nilai keberkatan dan ganjaran pahalanya pada malam tersebut lebih baik dari seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadr:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ ﴿٥﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?, malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!.”

Asbabun Nuzul ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid Rahimahullah dikatakan Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang kisah seorang lelaki dari bani Israel yang telah menggunakan kekuatan senjatanya dan kemahirannya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas kehebatannya lalu Allah menurunkan ayat tersebut.

Dalam riwayat yang lain pula, dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut tentang kisah empat orang bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka. Lalu Jibril A.S datang memberitahu kepada Rasulullah S.A.W bahawa Allah S.W.T menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril AS berkata kepada Rasulullah S.A.W ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan, ini menjadikan Rasulullah S.A.W dan para sahabat amat gembira dengan perkhabaran Jibril tersebut.

Dari surah al-Qadr tersebut dapatlah kita fahami bahawa besar kelebihannya bagi orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar. Amalan yang dikerjakan pada malam tersebut digandakan. Samada salat yang kita kerjakan, bacaan al-Quran atau zikrullah yang kita ucapkan serta amalan-amalan lain digandakan oleh Allah S.W.T. Kerana itulah, bagi mendapatkan malam tersebut Rasulullah S.A.W mempertingkatkan dengan melakukan ibadah pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan dan bukan hanya setakat bagi dirinya sahaja malahan Baginda menyuruh ahli keluarganya bangun bersama-sama untuk beribadah.

Image

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Orang yang tekun beribadah semata-mata untuk menemui malam Lailatul Qadar pasti akan mendapat rahmat yang telah dijanjikan Allah S.W.T terutama dengan melakukan amalan seperti berikut:

  1. Menghayati malam tersebut dengan memperbanyakkan beribadah seperti mengerjakan salat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, beriktikaf, berdoa dan sebagainya.
  2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan beribadah serta dikerjakan semata-mata kerana Allah S.W.T dengan mengharapkan rahmat dan keampunan-Nya.
  3. Dalam kita melaksanakan ibadah di malam Lailatul Qadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu taubat nasuha dengan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  4. Perbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.A.

Image

Maksudnya: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Marilah sama-sama kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan. Kita juga perlu membuat persediaan dan persiapan samaada dari segi jasmani dan rohani supaya Ramadhan yang disambut itu benar-benar dapat dihayati segala kelebihan dan keistimewaannya. sebagai seorang Islam kita sawajarnya merebut dan mendapatkan segala peluang keemasan dan keistimewaannya yang terdapat di dalam bulan tersebut yang terdiri daripada tawaran pahala yang berlipat kali ganda serta anugerah Lailatul Qadar dan keampunan dari segala dosa dan kesalahan.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

Image

Maksudnya : “Barang siap merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka”.

 (Hadis riwayat Ahmad)

Allah S.W.T. sangat menyayangi hamba-hambaNya dan ruang rahmat ini perlu direbut dengan petunjuk Allah S.W.T,

إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا ﴿٩﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

(Surah al-Isra’ ayat : 9)

Semoga kita terus mendapat hidayah dan pahala berganda di bulan yang mulia ini, Wallahua’lam.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor.

SAFAR BUKAN BULAN BALA DAN KHURAFAT


Kini kita berada dalam bulan Safar. Bulan kedua dalam taqwim Islam yang diperkenalkan oleh Saidina Umar RA. Dinamakan Safar kerana orang-orang lelaki Arab keluar rumah untuk berdagang, menggembara dan menjalankan kegiatan ekonomi di luat tempat tinggal. Rumah-rumah menjadi kosong dan dipenuhi kaum perempuan dan kanak-kanak.

Sejarah juga mencatatkan bahawa beberapa peperangan berlaku dalam bulan ini iaitu peperangan Al Abwa dalam tahun dua hijrah, perang Bani Qainuqak dan Zi Amin pada tahun ketiga hijrah dan Peperangan Khaibar pada tahun keempat hijrah.

Demikian fakta sejarah, namun hakikatnya dalam masyarakat kita hari ini, bulan Safar dikaitkan dengan bala bencana dan musibah hingga menerbitkan beberapa amalan khurafaat dan tahyul dengan harapan dapat menangkis dan menolak musibah tersebut.

Amalan-amalan khurafat bulan safar seperti mandi safar, membuat ancak, melarang mengadakan kenduri kahwin dan percaya adanya burung hantu sebagai tanda kematian masih berurat nadi dalam kehidupan masakini. Amalan, fahaman dan kepercayaan  seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan syariat Islam tetapi juga boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Nahas dan bala bencana bukan hanya berlaku dalam bulan Safar. Kepercayaan seperti ini perlu ditolak kerana Allah Taala telah memberi amaran kesan dalam surah At Taubah ayat 51 yang bermaksud:

”Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawaqal”   

Menurut Garis Panduan Khurafat dan Azimat yang dikeluarkan oleh JAKIM, Khurafat bermaksud cerita atau perbuatan yang direka dan bersifat karut,dusta dan menyimpang dari ajaran Islam. Ia masih berlaku dalam masyarakat kerana faktor sejarah dan kerapuhan iman.Sejarah telah menulis bahawa agama Hindu telah lebih dahulu bertapak di negara ini berbanding Islam. Ini menyebabkan kepercayaan kepada kubur keramat, pokok besar, azimat,  tangkal dan makhluk halus terus bertapak dalam masyarakat..

Pada zaman jahiliyah, orang arab akan merujuk kepada tukang tilik tentang masa depan mereka.. Syed Muhamad Qutb dalam bukunya Jahiliyyah Qarnil Isyrin menyatakan bahawa ia masih berlaku dalam zaman mencabar yang dipenuhi ICT dan serba canggih ini.Berpindah rumah hanya boleh pada hari Rabu, memulakan kerja perlu pada hari Selasa atau Sabtu, meramal nasib dengan memuja keramat adalah beberapa contoh jahiliyah moden yang masih wujud dewasa ini.

Percaya kepada pokok, kubur, telaga yang mempunyai kuasa selain Allah boleh membawa syirik dan bertentangan kepada kepercayaan tauhid kepada Allah. Percaya kepada sial, majal, memuja jin dengan meminta pertolongan darinya seperti dilakukan sesetengah bomoh dan dukun dengan amalan menurun adalah syirik dan menyesatkan. Mereka yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tilik nasib adalah tergolong di kalangan orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri sebagaimana ditegaskan Allah dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud:

”Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak mendatangkan manafaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”

Terdapat sebahagian umat Islam yang masih percaya bahawa Hari Rabu terakhir bulan Safar merupakan hari turunnya ribuan bala yang menimpa umat. Oleh itu mereka dilarang keluar rumah dan melakukan aktiviti sosial harian kerana ditakuti akan ditimpa musibah. Malah anak-anak pula diminta mandi air tolak bala atau mandi di pantai yang lebih dikenali sebagai Mandi Safar.Sesunguihnya ia adalah kepercayaan karut dan bertentangan dari ajaran Islam.

Malah perbuatan pesta mandi laut telah mengundang kepada dosa lain seperti wujudnya pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa batas. Wujud juga ibubapa yang tidak mahu mengadakan kenduri perkahwinan pada bulan ini kerana ditakuti pasangan akan menjadi tidak bahagia atau tidak mendapat zuriat. Kepercayaan seperti ini boleh menjadi syirik kerana kita lebih mempercayai bulan dan bukan kuasa Allah.

Sebenarnya nahas dan bala bencana tidak hanya berlaku dalam bulan Safar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena(baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis” Hadis riwayat Bukhari)

Sesungguhnya mempercayai perkara yang disebutkan menjadikan umat Islam semakin mundur, malas berusaha dan hanya berserah kepada takdir. Di kala umat lain berlumba-lumba meneroka ilmu dan mencapai kejayaan, umat Islam seolah-olah berundur dan tertinggal ke belakang.

Kita menjadi tidak produktif kerana tidak dibenarkan keluar rumah pada hari Rabu terakhir bulan Safar. Kesemua kegiatan ekonomi terbantut. Minda kita menjadi jumud dan tidak berkembang kerana mempercayai fahaman karut tersebut.Malah dalam kontek hubungan kita dengan Allah Taala, kita telah melakukan satu dosa besar tanpa disedari iaitu syirik. Ingatlah peringatan Rasululullah SAW tentang tujuh perkara yang membinasakan yang perlu dijauhi di mana syirik merupakan perkara yang terletak di nombor satu.

Amalan penggunaan azimat, tangkal sebagai pelindung diri seperti kebal, ilmu pengasih, ilmu pelembut hati yang dicampuradukkan dengan sihir juga adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Dari Ibn Mas’ud:rasulullah SAW bersabda:Sesungguhnya jampi mentera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik”     Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sungguhpun jampi mentera diharuskan sebagaimana duiceritakan oleh para sahabat yang bertanya kepada Rasulullah, Syeikh Yusof Qardawui telah menggariskan tiga syarat seperti yang terdapat dalam bukunya Fatawa Al Muasirah

  1. Ia mesti didasarkan kepada Allah SWT dan nama-namaNya
  2. Ia mestilah dituturkan dalam bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maksudnya
  3. Beriktikad bahawa ianya tidak memberi kesan dengan sendirinya tetapi dengan takdir Allah SWT

Aqidah murni menjadi sendi dalam masyarakat, tauhid menjadi paksi dan rohnya. Oleh itu, agenda memperkukuh akidah merupakan tugas setiap individu. Ilmu agama yang cetek perlu didalami kerana ia merupakan benteng paling berkesan dari terjebak ke lembah khurafat dan syirik.

Cari maklumat, rujuk guru dan kitab. muktabar agar ia menjadi pendinding dari amalan yang sia-sia dan dilaknati Allah.

Wallahu A’alam

Disediakan Oleh :

Nordin bin Bayadi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Bahagian Dakwah, JAIS

http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=542&Itemid=1


PERISTIWA BERSEJARAH SEPANJANG ZULHIJJAH


Di sebalik bulan Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga mencatatkan beberapa peristiwa di dalam diari sejarah pembinaan dan perjuangan umat Islam. Ia menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan pemantapan sahsiah serta kekuatan ukhwah ummat di dalam meneruskan perjuangan Baginda s.a.w.

Antara peristiwa tersebut adalah:

1. Nabi Muhammad s.a.w membawa dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendita Nasthurah. Ia berlaku pada tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi.
 .
2. Peristiwa Baiah Al-Aqabah (perjanjian setia Al Aqabah) pada tahun ke-13 selepas pelantikan baginda menjadi nabi. Ia disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj.
  .
3. Peperangan As Sawiq pada tahun kedua Hijrah,Nabi s.a.w keluar mengekori kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan memerangi penduduk pinggir kota Madinah. Semasa melarikan diri mereka mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa bagi mempercepatkan perjalanan supaya tidak dapat diekori oleh baginda.
  .
4. Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu kumpulan tentera Islam dihantar ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh Ibnu Abi Al ‘Arjak.
  .
5. Kelahiran Ibrahim putera Nabi s.a.w pada tahun kelapan Hijrah, ibunya bernama Mariyah Al Qibtiyah.
   .
6. Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi s.a.w mengerjakan ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wada’. Di sana baginda menyampaikan amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.
   .
7. Abu Bakar As Siddiq mengerjakan ibadah Haji bersama umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w pada tahun 12 Hijrah.
 .
8.  Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah Al Bahiliy menentang tentera Rom, berakhir dengan kemenangan tentera Islam.
 .
9. Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban menentang tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi ‘Arabah di Palestin.
 ..
10. Pada tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah Al Majusi.
 .
11. Pelantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis Syura yang ditubuhkan oleh Umar Al Khattab sebelum kematiannya.
 .
12. Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah.
 .
13. Kematian Yahya bin Aktham seorang ulama dan panglima tentera Islam pada tahun 242 Hijrah di Rabdah, sebuah kota di pinggir Madinah semasa berusia 82 tahun, pernah menjadi hakim kota Basrah, kadi besar dan penasihat kerajaan.

sumber: http://zhuliana.blogspot.com/

FADILAT BULAN MUHARRAM


Di sini dicoretkan beberapa hadis yang menggalakkan kita agar berpuasa pada bulan Muharram kerana pada bulan ini ada kelebihannya yang tersendiri. Semoga hadis ini mampu membangkit semangat serta mampu menyuntik motivasi diri ke arah yang terbaik.

Daripada Abu Hurairah dalam hadis marfu’ telah berkata : Telah bertanya : Apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas bulan Ramadhan?. Maka jawab nabi S.A.W: Sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan iailah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah Muharram. – Diriwayatkan oleh imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi, Nasai’e dan Ibnu Majah.

Daripada Nukman bin Saad daripada Ali telah berkata : Teklah  bertanya kepadanya seorang lelaki maka katanya apakah bulan yang engaku suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Maka jawabnya : Aku tidak pernah mendengar seseorang bertanya mengenai perkara ini melainkan seorang lelaki yang aku telah dengar bagaimana dia bertanya kepada Rasululullah S.A.W sedangkan aku duduk disampingnya. Maka katanya : Wahai Rasulullah! apakah bulan yang engkau suruh aku berpuasa selepas bulan Ramadhan?. Jawab nabi S.A.W yang bermaksud : Sekiranya engkau berpuasa selepas bulan Ramadhan maka berpuasalah bulan Muharram maka sesungguhnya ia merupakan bulan Allah padanya hari Allah telah mengampunkan dosa padanya atas kaum dan akan mengampun padanya atas kaum. – Hadis hasan gharib diriwayatkan oleh imam Tarmizi.

Hadis tersebut memberitahu kita mengenai kelebihan berpuasa dan juga kelebihan bulan Muharram itu sendiri sebagai bulan Allah yang mana dia telah mengampunkan dosa orang yang lalu dan akan mengampunkan dosa mereka yang masih hidup sekarang yang bertaubat kepadaNya.Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang bertaubat itu.

Bibliografi:

  1. Al-Minhaj Syarah Sohih Muslim oleh imam Nawawi, semakan Syeikh Khalil Ma’mun Syiha, Darul Makrifah, Beirut.
  2. Tuhfah al-Ahwazi bi Syarhi Jami’ at-Tarmizi, Mubarakfuri, Darul Kutub Ilmiah, Beirut.
  3. Sunan Abu Daud

Sumber: http://albakriah.wordpress.com.

SEJARAH TAKWIM BULAN ISLAM HIJRAH


Assalamu’alaikum Wrt. Wbt.

Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya walau sedikit pun  keraguan atau kesesatan kecuali mereka yang menuntut ilmu tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita dan Tuan kita Nabi Muhammad SAW, doa yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas sekelian ahli keluarga, para sahabat dan sekelian pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.

Para pembaca yang budiman,

Kali ini mari kita membaca satu bahan yang saya ambil daripada artikel Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) di Berita Harian, Rabu, 24 Januari 2007 mengenai Takwim Bulan Islam Hijrah. Sebagai nota awalan, saya membuat sedikit nota pemerhatian saya dalam kotak [ ]. Takwim Hijrah ialah kalendar yang berdasarkan bulan qamari dan disebut juga takwim atau kalendar Islam. Ia mengandungi 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Ka’b ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah S.A.W. Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun nama itu tidak lagi tepat sebagaimana yang kita alami sekarang. Contohnya Ramadhan yang berasal daripada al-Ramadha’ bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.

Muharam pula dinamakan demikian kerana ia merupakan salah satu bulan yang diharamkan berperang dan Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam. Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi’) waktu nama tersebut diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati, kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan, oleh itu ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.

Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang setelah duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (meng angkat). Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari* [yakni siang hari] menurut syarak [dalam makna berpuasa] yang diberi definisi oleh fuqaha’ dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. [*syarak hanya memberi definisi ini kepada maksud berpuasa di siang hari untuk ini tetapi tidak kepada selainnya. Fuqaha’ masih menerima pakai bahawa permulaan perkiraan hari (satu hari penuh) selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya].

Pada zaman sekarang menurut [tamadun] orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya.Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dahulu. Walau bagaimanapun mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa tersebut. Umpamanya ialah tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma’il a.s. pada tahun 1855 S.M. dan tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.

Namun sejarah yang dicatatkan tidak mengikut kaedah yang tetap di kalangan seluruh bangsa Arab, mereka menulis mengikut cara masing-masing, iaitu mengikut perbezaan tempat tinggal, sama ada di utara atau di selatan, bahkan perbezaan menulis tarikh juga berbeza dengan adanya perbezaan qabilah. Oleh itu takwim qamari pada zaman jahiliyah bukanlah takwim yang boleh dipegang teguh untuk digunakan di dalam kehidupan manusia.

Selepas berdirinya negara Islam pada zaman Rasullullah S.A.W., tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi di dalamnya. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin dan akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada’ iaitu tahun haji al-Wada’ atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Peristiwa semasa pemerintahan khalifah ‘Umar bin al-Khattab merupakan titik tolak perubahan takwim hijrah dimana khalifah ‘Umar telah mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan tersebut pendapat ‘Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad S.A.W. dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam dan mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam. [Keputusan ini dibuat secara Ijmak para Sahabat si zaman tersebut, justeru, tidak lagi boleh dipertikaikan atau diubah melainkan dengan satu Ijmak pada zaman selepasnya].

Awal Muharam tahun berlakunya hijrah Nabi Muhammad s.a.w. diambil sebagai permulaan tarikh Islam sekalipun hijrah tidak bermula dan berakhir pada hari itu, kerana sebenarnya hijrah bermula pada akhir bulan Safar dan Baginda sampai ke pinggir Madinah pada hari Isnin Rabiulawal, kemudian masuk ke Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal.

Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun, tetapi jarak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat, sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari, 6 jam, 9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya merupakan tahun kabisah.

Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.

Untuk mengetahui tahun Hijrah pada tarikh tahun Masihi yang diketahui, kita hendaklah menolak 622 daripada tahun Masihi itu kerana tahun Hijrah bermula pada tahun 622 Masihi, iaitu pada hari Jumaat 16 Julai. Baki yang tinggal selepas itu ialah tahun Masihi yang telah berjalan sejak tahun Hijrah, kemudian kita darab dengan 33 dan natijahnya dibahagi pula dengan 32, kerana setiap 33 tahun Hijrah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Contohnya seperti berikut:

(2011-622)/32 x33 = 1432H

Apabila kita hendak mengetahui tahun Masihi yang bersamaan dengan tahun Hijrah yang kita telah ketahui, kita darab tahun Hijrah dengan 32 dan natijahnya dibahagi dengan 33 kemudian ditambah dengan 622. Contoh seperti berikut:

(1100×32/33) + 622 = 1688M

Untuk mengetahui secara lebih lanjut berkaitan sejarah penentuan takwim hijrah, nama saat, hari dan bulan dalam Islam, para pembaca bolehlah merujuk Ensiklopedia Dunia Jilid 21 bagi artikel yang berkaitan dengan Takwim Hijrah.

Para pembaca yang dikasihi sekelian,

Akhir kalam, sebelum kita berhenti di sini di awal Muharram tahun 1432 Hijrah ini, marilah kita sama-sama menilai dan muhasabah kembali sekelian amalan kita terdahulu, baik di sepanjang tahun lepas, mahupun sebelumnya. Apakah kita telah berhijrah yakni istiqamah dalam membuat perubahan ke arah kebaikan, atau kita masih lagi dengan sikap kita yang alpa dan sambil lewa?

Hendaknya, semoga kita insaf akan segala kelalaian, kesilapan dan kesalahan kita dan senatiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri kita! Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Senantiasalah kita bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak sekelian ahli keluarga serta masyarakat kita bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat senantiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya senantiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT.

Allahu Wa Rasuluhu A’lam.

Sumber: http://ahrasis.com/index.php?topic=158.0

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH


Oleh Zaharuddin Abd Rahman

BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.

Rasulullah SAW menyebut:

Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu. (Riwayat al-Bazzar: Albani)

Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya:

Demi Fajar dan hari-hari yang 10. (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)

Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya:

Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini. (Riwayat Al-Bukhari)

Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

1. Berzikir.

Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya:

Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa.

Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya:

Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah. (Riwayat Muslim)

Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.

Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.

Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir.

Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.

6. Melakukan sembelihan korban.

Allah SWT berfirman:

dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.  (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya:

Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan. (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain. Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Firman Allah SWT:

Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)

Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.

Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya:

Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir, (Al-Haj, 28)

Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya. (Al-Haj, 36)

Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal). Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.

Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.

Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.

Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).

Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).

Sumber: Bimbingan Agama Metro

TINGKATKAN IBADAH DI BULAN SYA’BAN


TINGKATKAN IBADAH DI BULAN SYAABAN

Kini kita berada dalam bulan Syaaban. Bulan kelapan dalam taqwim Islam. Bulan yang penuh kemuliaan dan banyak kelebihan. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah di bulan ini seperti ibadah puasa sunat. Rasulullah SAW pernah ditanya oleh Usamah bin Zaid tentang hikmah puasa yang dilakukan dalam bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud:

Bulan Syaaban yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan seru sekalian alam, maka aku suka supaya amal ibadah saya diangkat ketika saya berpuasa.

Justeru marilah kita perbanyakkan Syaaban ini dengan ibadah berikut:

1. Puasa sunat

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Saidina Aisyah pernah berkata:Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat di dalam sebulan lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban”  (hadis riwayat Bukhari)

Ia juga  sebagai latihan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Melazimi perut dengan berlapar akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi Ramadhan agar tidak berlaku kejutan kepada sistem pemerosesan makanan dalam organ badan kita. Puasa ini dikira sebagai ”warm up” sebelum datangnya Ramadhan  untuk kita menunaikan puasa wajib pula.

2. Mengkada puasa wajib

Puasa Ramadhan yang tertinggal tetap wajib diqada  kepada setiap mukallaf. yang diberi keharusan berbuka seperti sakit, musafir, haid, nifas, hamil dan sebagainya. Saidatina Aisyah pernah memberi keterangan kepada Muazah al Adawiah yang bermaksud:

Maka kita diperintahkan mengqada puasa (kerana kedatangan haid) tidak disuruh mengqada sembahyang yang tertinggal (semasa kedatangan haid)   (Hadis riwayat Muslim)

Perbuatan melengah-lengahkan qada tanpa uzur hingga datang Ramadhan berikutnya adalah berdosa dan diwajibkan ke atasnya qada dan membayar fidyah.Malah fidyah itu akan berganda setiap tahun apabila masih gagal mengqada puasa tersebut. Perlu diingat, puasa qada tidak akan luput dari tanggungjawab seseorang. Malah fidyahnya akan terus berganda selagi ia belum melunaskan puasa tersebut.

Alangkah meriahnya di meja makan ketika berbuka, isteri berbuka kerana puasa qadanya, manakala suami dan anak-anak berbuka kerana puasa sunat. Suasana Ramadhan telah dijelmakan di bulan Syaaban.

3. Memperbanyakkan doa, zikir dan membaca selawat atas Nabi  

Amalan seperti berdoa, berzikir dan berselawat akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepadaNya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit. (dipetik dari kitab Zubdatul Maizin)

Dalam kita membicarakan kelebihan bulan Syaaban, kita jangan melupai satu malam yang paling mustajab berdoa, malam pengampunan dan rahmat iaitu malam Nisfu Syaaban. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Dari Abi Musa Al asyari dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:Sesungguhnya rahmat Allah SWT datang pada malam nisfu Syaaban, lalu dia mengampunkan kesalahan kesemua makhluknya melainkan orang musyrik atau orang yangbermusuhan”   (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, apabila kita mengadakan majlis bacaan yaasin sebanyak tiga kali dan memohon doa agar dipanjangkan usia, dijauhkan dari bala dan dimurahkan rezeki.

Kita juga jangan melupai satu sejarah agung yang tercipta pada 15 Syaaban yang memberi implikasi besar hingga hari ini. Allah telah memerintahkan Rasulullah agar mengadap Baitulahilharam di Mekah dalam solat sebagai ganti arah kiblat sebelum ini iaitu Baitul Maqdis.

Sepanjang mengadap kiblat ke Baitul Maqdis, Rasulullah sering mendapat ejekan dari orang yahudi yang mengatakan Rasulullah mengadap ke arah tempat suci mereka  dan orang Islam tiada suatu tempat yang mulia untuk dihadapkan ketika mengerjakan ibadah. Rasulullah SAW sering dicemuh, diperlekeh, lalu baginda bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar dibenarkan mengadap ke arah Masjidil Haram yang sememangnya baginda cenderung ke arahnya. Lalu Allah Taala berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 144 yang bermaksud:

Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang mengadap ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap ke arah yang engkau sukai, oleh itu palingkan ke arah Masjidil Haram (tempat letak Kaabah) .

Suruhan mengadap ke arah Baitulahilharam sangat dinanti baginda agar kemuliaan Baitulhiharam tetap terpelihara yang menyambung risalah tauhid yang pernah dibawa oleh Nabi Ibrahim. Arah kiblat yang satu melambangkan simbol kesatuan umat yang padu dan menjadi pusat tumpuan dan perhimpunan sedunia ketika mengerjakan ibadah haji.

Oleh kerana bulan Sya’ban datang hanya sekali dalam setahun, maka ambillah kesempatan untuk meningkatkan amal ibadah dalam usaha memperbaiki diri menuju ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT.

————————————————————

Sumber: Bahagian Dakwah, JAIS

%d bloggers like this: