SOLAT SUNAT WUDUK


Adalah disunatkan bagi seseorang yang telah mengambil wuduk untuk bersolat sebanyak dua rakaat.

DALIL KEUTAMAANNYA

Ternyata solat sunat setelah wuduk itu memiliki keutamaan yang sangat besar sebagaimana yang termaktub di dalam hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam

Mengerjakannya Akan Dimasukkan Ke Syurga

Bagi mereka yang telah menyempurnakan wuduknya lalu mengerjakan solat sunat dua rakaat dengan penuh khusyuk kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka dia akan dimasukkan ke syurga.

Dari ‘Uqbah bin ‘Amir, dia berkata: Kami perah bertugas menggembala unta. Saat tiba giliranku, aku merehatkan gembalaanku. Setelah itu, aku melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri tengah berbicara dengan orang-orang. Akupun mendengar sebahagian dari perkataan baginda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهُ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ مُقْبِلٌ عَلَيْهِمَا بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ إِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ.

Maksudnya:

Tidaklah seorang Muslim berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan menghadirkan hati dan menghadapkan wajahnya, melainkan telah wajib baginya syurga

Dia (‘Uqbah) bercerita lagi: Lalu aku katakan ini benar-benar sangat baik. Tiba-tiba ada seseorang berkata di hadapanku: Yang sebelumnya malah lebih baik lagi. Maka aku melihat, ternyata orang itu adalah ‘Umar. Dia berkata: Sesungguhnya aku telah melihatmu tadi datang.

Baginda bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَثُمَّ يَقُولُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُإِلاَّ فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ.

Maksudnya:

Tidaklah salah seorang di antara kalian berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya kemudian mengucapkan: Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, melainkan akan dibukakan baginya lapan pintu-pintu syurga. Dia boleh masuk mengikuti mana-mana sahaja (pintu) yang dikehendakinya. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Thohaarah, no: 234.

Diampunkan Dosa-Dosa Lampau

Barangsiapa yang berwuduk menurut sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lalu mengerjakan solat sunat dua rakaat maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Menurut Humran pembantu ‘Uthman, ‘Uthman pernah menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Maksudnya:

Barangsiapa berwuduk seperti wudukku ini lalu mengerjakan solat dua rakaat, yang pada solatnya dia tidak berbicara pada dirinya sendiri (yakni mengerjakannya dengan khusyuk) nescaya Allah akan memberikan ampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang lampau. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Wudhu’, no: 159.

RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT WUDUK

Rakaat Pertama

1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Wuduk

2) Takbiratul Ihram

3) Doa Iftitah

4) Membaca surah al-Fatihah

5) Membaca Surah al-Qur’an

6) Rukuk

7) Iktidal

8) Sujud

9) Duduk antara dua sujud

10) Sujud kali kedua

11) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua

1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)

2) Duduk untuk tahiyyat akhir

3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri

___________________________________________

Ada kisah Bilal bin Rabah r.a. Dalam hadis riwayat al-Bukhari 4/428 [no 1149]dan Muslim 16/141 [no 6478] :

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ نَصْرٍ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ أَبِى حَيَّانَ عَنْ أَبِى زُرْعَةَ عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ – رضى الله عنه – أَنَّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ لِبِلاَلٍ عِنْدَ صَلاَةِ الْفَجْرِ « يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِى بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِى الإِسْلاَمِ ، فَإِنِّى سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَىَّ فِى الْجَنَّةِ » . قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِى أَنِّى لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِى سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِى أَنْ أُصَلِّىَ . قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ دَفَّ نَعْلَيْكَ يَعْنِى تَحْرِيكَ

Maksudnya :

Rasulullah s.a.w bersabda kepada Bilal ketika solat Subuh : Wahai Bilal, ceritakan kepadaku dengan amalan paling baik engkau lakukan disisimu dalam Islam, Sesungguhnya aku mendengar bunyi hentakan seliparmu di hadapanku dalam Syurga. Jawab Bilal: Aku tidak melakukan sebarang amalan yang paling aku harapkan disisiku, aku tidak bersuci (berwuduk) pada satu-satu masa waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, dengan apa yang tidak diwajibkan bagiku untuk solat.

Manakala tentang solat sunat wuduk, ia bukan solat sunat qabliah. Solat sunat wuduk adalah merupakan solat sunat lain. Ia disunatkan selepas seseorang mengambil wuduk.

Dalam hal ini al-Nawawi ada menjelaskan :

ثم أفضل الصلوات بعد الرواتب والتراويح الضحى ثم ما يتعلق بفعل كركعتي الطواف إذا لم نوجبهما وركعتي الاحرام وتحية المسجد ثم سنة الوضوء

Maksudnya :

Kemudian yang solat paling afdal selepas sunat rawatib [sunat qabliah atau ba’diyah], dan tarawih ialah solat duha, kemudian apa yang berkaitan dengan sesuatu perbuatan seperti dua rakaat tawaf jika kita tidak berpendapat mewajibkannya, dua rakaat ihram, tahiyyat masjid dan kemudian sunat wuduk” [al-Majmuk jil.4, hlm. 26]

_____________________________
Sumber: hafizfirdaus.com, soalsolatumum.blogspot.com

SOLAT SUNAT RAWATIB


Solat Rawatib ialah solat yang mengiringi solat-solat fardhu sama ada sebelum atau selepas solat fardhu. Solat sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian :

  • Sunat Rawatib yang “Muakkad”
  • Sunat Rawatib yang “Ghaira Muakkad”.

Disamping itu Sunat Rawatib juga terbahagi kepada 2 kategori :

  • Qabliah (sebelum Solat Fardhu)
  • Ba’diah (selepas Solat Fardhu)

Sunat Rawatib yang “Muakkad” adalah 10 rakaat seperti berikut :

  1. 2 Rakaat sebelum Solat Subuh
  2. 2 Rakaat sebelum Solat Zohor.
  3. 2 Rakaat selepas Solat Zohor.
  4. 2 Rakaat selepas Solat Maghrib.
  5. 2 Rakaat selepas Isyak.

Sunat Rawatib yang “Ghaira Muakkad” pula adalah 12 rakaat seperti berikut :

  1. 2 Rakaat sebelum Solat Zohor
  2. 2 Rakaat selepas Solat Zohor.
  3. 4 Rakaat sebelum Solat Asar.
  4. 2 Rakaat sebelum Solat Maghrib.
  5. 2 Rakaat sebelum Isyak.

DALIL TENTANG SUNAT MELAKUKAN SOLAT INI.

Sabda Rasulullah s.a.w :

عن عبد الله بن عمر قال حفظت عن رسول الله صلى الله عليه وسلم ركعتين قبل الظهر وركعتين بعد المغرب وركعتين بعد العشاء وركعتين قبل الغداة  – (متفق عليه)

Maksudnya: Dari Abdullah bin Umar, katanya, “Saya mengingati (lafaz) dari Rasulullah s.a.w dua rakaat sebelum Zohor, dua rakaat sesudah Maghrib, dua rakaat sesudah Isyak, dan dua rakaat sebelum Subuh.”  – (Muttafaq alaih)

NIAT SOLAT RAWATIB

  1. Sekiranya sebelum solat Fardhu di sebut: قَبْلِيَّةً
  2. Sekiranya selepas solat Fardhu di sebut: بَعْدِيَّةً

Oleh yang demikian niatnya adalah seperti berikut :

أُصَلِّي سُنَّةَ ( الظُّهْرِ / العَصْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ / الصبح ) رَكْعَتَيْنِ (قَبْلِيَّةً / بَعْدِيَّةً ) لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan solat sunat (Zohor / Asar / Isyak / Subuh) dua rakaat (Sebelum / Selepas) kerana Allah Taala.

Sumber: http://www.e-mosque.com.my/ibadatsunat/srawatib.html

______________________________________

Pembahasan Solat Sunat Rawatib

Tanya:
Assalaamualaykum warohmatullahi wabarokatuh. Saya baru belajar mendalami agama Allah yg sebenarnya, yg mengikut al-Qur’an dan hadist dan sunnah para sahabat dan imam. Ada yang ingin saya tanyakan? Masalah solat sunat dalam menjalankan solat lima waktu. Ada yg boleh dikerjakan dan tidak. Maksudnya solat sunat yang boleh dikerjakan waktu mengerjakan solat wajib lima waktu: Yang mana boleh di kerjakan dan mana yang tidak? Tolong diberi penjelasannya … Fauzan <fauzan@gmail.com>

Jawab:
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Mungkin yang anda maksud adalah solat sunat rawatib (yang berada sebelum dan setelah solat wajib). Ada tiga hadits yang menjelaskan jumlah solat sunat rawatib beserta letak-letaknya:

1. Dari Ummu Habibah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلَّا بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Tidaklah seorang muslim mendirikan solat sunat ikhlas karena Allah sebanyak dua belas rakaat selain solat fardhu, melainkan Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di surga. (HR. Muslim no. 728)

Dan dalam riwayat At-Tirmizi dan An-Nasai, ditafsirkan ke-12 rakaat tersebut. Beliau bersabda:

مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

Barangsiapa menjaga dalam mengerjakan solat sunat dua belas rakaat, maka Allah akan membangunkan rumah untuknya di surga, yaitu empat rakaat sebelum zhuhur, dua rakaat setelah zhuhur, dua rakaat setelah maghrib, dua rakaat setelah isya` dan dua rakaat sebelum subuh. (HR. At-Tirmizi no. 379 dan An-Nasai no. 1772 dari Aisyah)

2. Dari ‘Abdullah bin ‘Umar radliallahu ‘anhu dia berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الصُّبْحِ

Aku menghafal sesuatu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berupa solat sunat sepuluh raka’at yaitu; dua raka’at sebelum solat zuhur, dua raka’at sesudahnya, dua raka’at sesudah solat maghrib di rumah beliau, dua raka’at sesudah solat isya’ di rumah beliau, dan dua raka’at sebelum solat subuh. (HR. Al-Bukhari no. 937, 1165, 1173, 1180 dan Muslim no. 729)

Dalam sebuah riwayat keduanya, “Dua rakaat setelah jumat.”
Dalam riwayat Muslim, “Adapun pada solat maghrib, isya, dan jum’at, maka Nabi r mengerjakan solat sunatnya di rumah.”

3. Dari Ibnu Umar dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا

Semoga Allah merahmati seseorang yang mengerjakan solat (sunat) empat raka’at sebelum Ashar. (HR. Abu Daud no. 1271 dan At-Tirmizi no. 430)

Maka dari sini kita bisa mengetahui bahwa solat sunat rawatib adalah:

a. 2 rakaat sebelum subuh, dan sunnahnya dikerjakan di rumah.
b. 2 rakaat sebelum zuhur, dan bisa juga 4 rakaat.
c. 2 rakaat setelah zuhur
d. 4 rakaat sebelum ashar
e. 2 rakaat setelah jumat.
f. 2 rakaat setelah maghrib, dan sunnahnya dikerjakan di rumah.
g. 2 rakaat setelah isya, dan sunnahnya dikerjakan di rumah.

Soal: Apakah hukum solat sunat setelah subuh, sebelum jumat, setelah ashar, sebelum maghrib, dan sebelum isya?

Jawab:
Adapun dua rakaat sebelum maghrib dan sebelum isya, maka dia tetap disunnahkan dengan dalil umum:

Dari Abdullah bin Mughaffal Al Muzani dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلَاةٌ قَالَهَا ثَلَاثًا قَالَ فِي الثَّالِثَةِ لِمَنْ شَاءَ

Di antara setiap dua adzan (azan dan iqamah) itu ada solat (sunat). Beliau mengulanginya hingga tiga kali. Dan pada kali yang ketiga beliau bersabda, “Bagi siapa saja yang mau mengerjakannya. (HR. Al-Bukhari no. 588 dan Muslim no. 1384)

Adapun setelah subuh dan ashar, maka tidak ada solat sunat rawatib saat itu. Bahkan terlarang untuk solat sunat mutlak pada waktu itu, karena kedua waktu itu termasuk dari lima waktu terlarang.

Dari Ibnu ‘Abbas dia berkata:

شَهِدَ عِنْدِي رِجَالٌ مَرْضِيُّونَ وَأَرْضَاهُمْ عِنْدِي عُمَرُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ وَبَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ

Orang-orang yang diridlai mempersaksikan kepadaku dan di antara mereka yang paling aku ridhai adalah ‘Umar, (mereka semua mengatakan) bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melarang solat setelah Shubuh hingga matahari terbit, dan setelah ‘Ashar sampai matahari terbenam. (HR. Al-Bukhari no. 547 dan Muslim no. 1367)

Adapun solat sunat sebelum jumat, maka pendapat yang rajih adalah tidak disunnahkan. Insya Allah mengenai tidak disyariatkannya solat sunat sebelum jumat akan datang pembahasannya tersendiri, wallahu Ta’ala a’lam.

__________________________

Sumber: http://al-atsariyyah.com/pembahasan-lengkap-shalat-sunnah-rawatib.html

SOLAT (DOA SEBELUM MEMBERI SALAM)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Adakah disunatkan berdoa sebelum memberi salam?

Ya. Disunatkan berdoa –antaranya- dengan doa berikut;

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari azab api neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah/ujian ketika hidup dan mati dan dari kejahatan fitnah Dajjal”.

Dalam riwayat hadis dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila seseorang kamu selesai dari membaca tasyahhud (yakni tahiyyat) akhir, maka mintalah perlindungan dengan Allah dari empat; dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari kejahatan Dajjal”. (Riwayat Imam Muslim)

Selain doa di atas, doa lain yang pernah dibaca Nabi s.a.w. ialah;

اللَّهمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ.

Ya Allah. Kurniakanlah keampunan untukku terhadap apa sahaja (dosa) yang telah aku lakukan yang terdahulu dan juga yang terkemudian, yang aku sembunyikan dan yang aku nampakkan serta apa sahaja perbuatan sia-sia atau melampau yang telah aku lakukan di mana Engkaulah yang lebih tahu tentangnya dari diriku sendiri. Engkaulah Tuhan yang maha dahulu dan yang maha akhir. Tidak ada Tuhan kecuali Engkau sahaja. (Riwayat Imam Muslim dari Saidina ‘Ali r.a.)

Artikel Lain: Doa Selepas Tasyahud Akhir Sebelum Salam

SOLAT (SUJUD)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa makna sujud? Apa hukumnya?

Sujud bermaksud meletakkan dahi di atas tempat sujud. Sujud adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa sujud. Sujud yang diwajibkan di dalam solat ialah dua kali pada setiap rakaat dengan diselangi oleh duduk. Dalil kewajipan sujud ini ialah sabda Nabi s.a.w. (tatkala mengajar seorang lelaki yang salah dalam melakukan solat);

….Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk, kemudian kamu sujud kembali sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Apakah anggota-anggota yang terlibat semasa sujud?

Sabda Nabi s.a.w.;

Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki… (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.).

Berdasarkan hadis ini, anggota sujud hendaklah merangkumi;

  1.  Dahi
  2.  Dua tangan
  3.  Dua lutut
  4.  Dua kaki

Ketika sujud, wajib ke semua tujuh anggota di atas diletakkan di atas lantai. Bagi dahi, memadai meletakkan sebahagian dahi sahaja di atas lantai. Bagi tangan yang dikira ialah tapak tangan dan bagi kaki pula ialah perut-perut anak jari kaki. Memadai dengan meletakkan sebahagian sahaja dari perut-perut anak jari kaki itu. Jika seseorang itu sujud di atas belakang tangan atau belakang anak-anak jari kakinya, tidak sah sujudnya.

Adakah hidung juga wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut Imam Ahmad; dahi dan hidung wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud. Tidak cukup hanya dahi sahaja atau hanya hidung sahaja. Beliau berdalilkan hadis di atas di mana Nabi turut menunjukkan kepada hidungnya tatkala menyebutkan tentang dahi sebagai salah satu angota sujud. Selain itu ia berdalilkan juga hadis dari Abu Humaid as-Sa’idi yang menceritakan;

Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan;Nabi telah melihat seorang lelaki menunaikan solat. Ia sujud tanpa meletakkan hidungnya di atas tanah. Lalu Nabi berkata kepadanya;

Letakkan hidungmu (ke tanah) supaya ia sujud bersamamu. (Riwayat Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan).

Kedua; menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; yang wajib ialah meletakkan dahi sahaja. Adapun meletakkan hidung –di samping dahi- adalah sunat, tidak wajib. Sah sujud jika seseorang meletakkan dahinya sahaja di atas lantai tanpa meletakkan hidungnya. Bagi pandangan ini, hadis-hadis di atas menunjukkan kepada galakan, bukan kewajipan.

Ketiga; menurut Imam Abu Hanifah; boleh memilih sama ada hendak meletakkan dahi atau hidung di atas lantai. Bagi pandangan ini, isyarat Nabi kepada hidung tatkala menyebutkan dahi dalam hadis di atas ialah untuk menunjukkan keharusan memilih antara dahi atau hidung semasa sujud.

Adakah wajib semua anggota sujud di atas didedahkan (tanpa berlapik)?

Anggota-anggota sujud selain dahi telah sepakat para ulamak menyatakan tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tanah/lantai. Oleh itu, harus seseorang menunaikan solat dengan memakai sarung tangan atau stokin. Adapun dahi, maka ia terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; dahi wajib didedahkan dan mengenai secara lansung tempat sujud (tanpa ada penghadang). Tidak sah sujud jika semua bahagian dahi berlapik sehingga tidak ada sedikitpun darinya yang terdedah dan mengenai tempat sujud secara langsung. Termasuk tidak sah ialah lapik dari pakaian yang dipakai ketika solat.

Oleh demikian, tidak harus seseorang sujud di atas kain serban yang dipakainya atau di atas lengan bajunya atau di atas kain telekungnya atau benda-benda lain di badannya yang mengikuti pergerakan badannya.

Kedua; pandangan jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad); dahi sama seperti anggota-anggota sujud yang lain iaitui tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tempat sujud. Oleh itu, bagi jumhur ulamak, tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu sujud di atas kain serbannya atau kain telekungnya.

Mereka berdalilkan hadis dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan;

Kami mengerjakan solat bersama Rasulullah s.a.w. ketika panas yang bersangatan. Apabila sesiapa dari kami tidak dapat meletakkan dahinya di atas tanah kerana panas, ia bentangkan pakaiannya dan sujud di atasnya”. (Riwayat Imam Muslim).

(Dalail al-Ahkam, 1/ 298-299).

Tatkala turun sujud, mana dulu yang perlu di letakkan di atas lantai; tangan atau lutut?

Perkara ini juga terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Imam Ahmad); disunatkan turun sujud dengan mula meletakkan dua lutut, diikuti dua tangan dan akhirnya muka atau dahi. Ini berdasarkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. yang menceritakan;

Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya. (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Kedua; pandangan sebahagian ulamak (antaranya Imam Malik dan al-Auza’ie); sunat mendahulukan dua tangan dari dua lutut tatkala turun sujud. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;

Jika seseorang dari kamu sujud, janganlah ia berteleku sebagaimana telekunya unta, sebaliknya hendaklah ia meletakkan dua tangannya terlebih dahulu sebelum dua lututnya. (Riwayat Abu Daud, at-Nasai dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.).

Begitu juga, berdalilkan hadis dari Nafi’ yang menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar r.a. semasa sujud, beliau meletakkan dua tangannya sebelum dua lututnya. Kata beliau (yakni Ibnu ‘Umar);

Nabi telah melakukan sedemikian” (Riwayat Imam al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi dengan sanad yang soheh. Lihat; Zadul-Ma’ad, 1/228)

Bagaimana cara sujud yang sempurna?

1. Ketika hendak turun sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat tangan.

2. Ketika sujud, dua tangan hendaklah diletakkan di atas lantai setentang dengan bahu atau telinga, dahi dan hidung hendaklah diletakkan di atas tanah dengan menekannya. Dari Abu Humaid as-Sa’idi menceritakan;

Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya. (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Wail bin Hujrin r.a. (tatkala menceritakan sifat solat Nabi) beliau menceritakan;

….tatkala sujud, nabi meletakkan dua tangannya setentang dengan dua telinganya. (Riwayat Imam Ahmad).

3. Jari-jari dilepaskan menghala ke kiblat dalam keadaan dirapatkan antara satu sama lain. Wail bin Hujrin r.a. menceritakan;

Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya). (Riwayat al-Hakim).

4. Kedua-dua siku diangkat dari tanah (yakni jangan meratakannya di atas tanah) dan dijauhkan dari dua rusuk (yakni tidak merapatkannya ke rusuk). Sabda Nabi;

Apabila kamu sujud, letaklah dua tapak tanganmu di atas lantai dan angkatlah dua sikumu (yakni jangan menghamparnya di atas tanah). (Riwayat Imam Muslim dari al-Barra’).

Sabda Nabi s.a.w. juga;

Sempurnakanlah sujudmu. Dan janganlah seseorang kamu menghamparkan dua tangannya (dari tangan hingga siku) seperti hamparan anjing (yakni; meletakkan kedua-dua tangan dan siku di atas tanah/lantai umpama anjing tidur). (Riwayat Imam Muslim dari Anas r.a.).

Menjauhkan tangan dari rusuk adalah berdasarkan hadis at-Tirmizi tadi dan juga hadis dari Buhainah r.a. menceritakan;

Nabi semasa menunaikan solat tatkala sujud, baginda memisahkan antara dua tangannya (dari rusuknya) hingga nampak putih dua ketiaknya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim/Bulugul-Maram).

5. Jari-jari kaki hendaklah dilipatkan menghala ke arah kiblat. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w. beliau menjelaskan;

….Ketika sujud Nabi meletakkan kedua tangannya ke bumi tetapi lengannya tidak dihamparkan dan tidak pula dirapatkan ke rusuk dan hujung jari kakinya dihadapkan ke arah qiblat. (Riwayat Imam al-Bukhari).

6. Ketika melakukan sujud wajib tomaninah dengan pengertian yang telah diterangkan terdahulu.

7. Ketika sujud disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih. Begitu juga digalakkan banyak berdoa ketika berada di dalam sujud. Sabda Nabi s.a.w.;

Sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud. Oleh demikian, perbanyakkanlah oleh kamu sekelian berdoa (ketika sujud). (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Adakah harus membaca al-Quran semasa sujud?

Tidak harus kerana Nabi s.a.w. menegahnya dengan sabdanya;

Ketahuilah! Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau sujud. Adapun di dalam ruku’, maka hendaklah kamu agungkan Tuhan kamu. Sementara di dalam sujud, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa, nescaya doamu pasti akan diperkenankan. (Riwayat Imam Muslim).

SOLAT (DUDUK ANTARA DUA SUJUD DAN ISTIRAHAH)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa hukum duduk antara dua sujud?

Hukumnya adalah wajib. Tidak sah solat tanpa diselangi dua sujud tadi dengan duduk. Ini berdalilkan banyak hadis, antara hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan solat Nabi s.a.w.;

Apabila bangkit dari sujud (pertama), Nabi s.a.w. tidak sujud (kali kedua) melainkan setelah duduk dengan sempurna lebih dahulu. (Riwayat Imam Muslim).

Bagaimana melakukan duduk antara dua sujud yang sempurna?

1. Semasa hendak mengangkat kepada sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat dua tangan.

2. Semasa duduk disunatkan duduk secara iftirasyh iaitu dengan menghamparkan kaki kiri, meletakkan punggung di atas hamparan kaki kiri itu dan kaki kanan pula dipacakkan dengan jari-jarinya menghala ke arah qiblat. Abu Humaid r.a. menceritakan;

…apabila Nabi mengangkat kepalanya (dari sujud baginda yang pertama), baginda melipat kaki kirinya dan duduk di atasnya” (Riwayat Imam Abu Daud).

Sabda Nabi (tatkala mengajar seorang yang salah dalam mengerjakan solat);

…Apabila kamu bangun dari sujud, duduklah di atas pahamu yang kiri” (Riwayat Abu Daud dari Rifa’ah bin Rafi’ r.a.).

3. Harus juga duduk secara Iq’ak iaitu duduk dengan meletakkan dua pangkal paha (yakni punggung) di atas dua tumit kaki di mana dua kaki dipacak/ditegakkan di atas jari-jarinya dan kedua lutut diletakkan di atas tanah. Keharusan duduk secara iq’ak ini berdasarkan hadis dari Thawus yang menceritakan;

Kami bertanya Ibnu ‘Abbas r.a. berkenaan duduk al-Iq’ak di atas dua kaki (semasa mengerjakan solat)?. Maka ia menjawab; ‘Ia adalah sunnah Nabi s.a.w.’.” (Riwayat Imam Muslim).

4. Duduk antara dua sujud ini wajib dilakukan dengan Tomaninah.

5. Disunatkan semasa duduk antara dua sujud ini kita membaca doa yang warid dari Nabi iaitu;

رَبّ اغْفِرْ لِيْ وارْحَمْنِي واجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِني وَعَافِني

“Tuhanku! Kurniakanlah keampunan untukku, rahmatilah daku, perbaikilah diriku, angkatlah darjatku, kurniakanlah rezki kepadaku, berilah hidayah kepadaku dan maafkanlah daku”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Abu Daud. Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang hasan menurut Imam an-Nawawi. Lihat; al-Azkar, kitab Ma Yaqulu Iza Dakhala fis-Solah).

Menurut sebahagian ulamak (termasuk dari mazhab Syafi’ie); selain dari bacaan yang terdapat dalam hadis, diharuskan untuk berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat ketika duduk antara dua sujud itu.

Apa itu duduk istirahah?

Duduk istirahah ialah duduk yang ringkas sebelum bangun (ke rakaat kedua atau keempat) selepas sujud kedua bagi rakaat pertama dan ketiga (jika solat empat rakaat). Duduk istirahah ini hukumnya adalah sunat berdalilkan hadis dari Malik bin al-Huwairis al-Laitsi yang menceritakan;

Bahawa ia melihat Rasulullah s.a.w. menunaikan solat. Ketika baginda berada dalam rakaat yang ganjil dari solatnya, baginda tidak bangun (untuk ke rakaat seterusnya setelah bangkit dari sujud kedua) melainkan setelah duduk terlebih dahulu. (Riwayat Imam al-Bukhari, Abu Daud, an-Nasai dan at-Tirmizi).

Duduk Istirahah ini hanya sekejap sahaja dan tidak ada sebarang bacaan doa atau zikir yang sunat dibaca ketika duduk itu. Cara duduk yang disunatkan bagi duduk istirahah ini ialah duduk secara Iftirasyh.

Tatkala bangun untuk ke rakaat berikutnya, mana dulu yang di angkat; lutut atau tangan?

Terdapat dua pandangan dari ulamak;

Pertama; pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad; dimulai dengan mengangkat muka, kemudian dua tangan dan seterusnya dua lutut, iaitu bangun dengan menekankan dua tangan ke atas dua paha. Cara ini ini adalah sebalik kepada cara ketika turun sujud tadi (mengikut pendapat jumhur). Mereka berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. tadi yang menceritakan;

Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Kedua; pandangan mazhab Imam Malik dan Syafi’ie; sunat didahulukan mengangkat dua lutut dari dua tangan, iaitu bangun dengan menekan dua tangan ke atas lantai, bukan dengan menekan dua tangan ke atas dua paha sebagaimana pandangan pertama di atas. Mereka berdalilkan hadis dari Malik bin al-Huwairth yang menceritakan sifat solat Nabi;

….apabila mengangkat kepala dari sujud kedua (di rakaat pertama), beliau duduk dengan lurus (yakni duduk istirahah-pent.), kemudian beliau bangun dengan menekan (dua tangan) ke atas tanah” (Riwayat Imam al-Bukhari). Begitu juga, hadis dari Nafi’ yang menceritakan; “Ibnu ‘Umar r.a. tatkala bangun dari sujud, beliau menungkat di atas dua tangannya (yakni dengan menekan dua tangan ke atas tanah-pent.)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra).

(Rujuk; Zadul-Ma’ad, 1/240, as-Solah ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, hlm. 147).

KEMUSYKILAN SOLAT JAMAK DAN QASAR


Solat Jama’ & Qasar

Koleksi Kemusykilan dari Darul Numan.com

  1. Jama’ dan Qasar Hari Jumaat
  2. Cara Solat Qasar
  3. Cara Solat Jamak (Taqdim dan Ta’khir)
  4. Solat Jumaat Bagi Musafir
  5. Solat Dalam Kapal Terbang
  6. Musafir yang Telah Bermastautin
  7. Syarat Sembahyang Qasar
  8. Solat Jama’ Ta’khir di Rumah
  9. Makna Perjalanan 2 Marhalah
  10. Solat Jamak Takdim
  11. Tempoh Musafir
  12. Syarat-syarat Jamak Ta’khir
  13. Waktu Mula Dibolehkan Solat Qasar

1. Jama’ dan Qasar Hari Jumaat
Soalan:
Bolehkah saya jama’ dan qasar sembahyang Zuhur dan asar (hari Jumaat) dalam perjalanan yang cukup syarat (seperti melebihi dua marhalah dan bagi tujuan yg baik) sekiranya saya memulakan perjalanan saya itu selepas terbitnya fajar pada hari Jumaat atau wajib bagi saya menunaikan solat Jumaat dahulu dan selepas itu terus jamak untuk solat asar?

Hamba Allah

Jawapan:
Musafir, sekalipun waktu solat Jumaat didirikan itu ia sedang berhenti maka ia tidak dituntut mengerjakan solat tersebut. Sebahagian besar ahli berpendapat bahawa bagi musafir tidak ada kewajipan Jumaat, sebab Nabi SAW ketika dalam perjalanan tidaklah mengerjakan solat Jumaat, begitu juga halnya ketika baginda mengerjakan haji Wada’ di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat baginda hanya solat Zuhur dan Asar secara Jama’ Taqdim dan tidak melakukan solat Jumaat dan demikianlah pula yang dilakukan khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW.

Kembali ke atas ?


2. Cara Solat Qasar
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk melakukan solat Qasar?

Nazri

Jawapan:
Solat qasar ertinya memendekkan solat dari empat rakaat menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat Isyak, Zuhur dan Asar. Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah.

Tentang jarak dua marhalah itu ulama’ berbeza pendapat, ada yang mengatakan 48 batu, ada yang mengatakan 52 batu dan ada pendapat 60 batu. Salah satu pendapat bolehlah kita pegang.

Kembali ke atas ?


3. Cara Solat Jamak (Taqdim dan Ta’khir)
Soalan:
Saya sudah terlupa bagaimana hendak melakukan Jamak (Taqdim & Ta’khir).

Nazri

Jawapan:
Solat jamak ertinya menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, misalnya menghimpunkan solat Zuhur kepada Asar dan sebaliknya serta fardhu Maghrib dan Isyak dan sebaliknya.
Jamak Taqdim adalah bila solat Zuhur dijamakkan dengan Asar pada waktu Zuhur, solat Maghrib dan Isyak pada waktu Maghrib. Syarat jamak Taqdim iaitu dimulai dengan solat yang punya waktu, niat jamak pada solat yang pertama, muwalat atau berturut-turut, berkekalan musafirnya hinggalah takbir solat yang kedua.

Jamak Ta’khir adalah, melaksanakan solat Zuhur dan Asar pada waktu Asar, solat Maghrib dan Isyak pada waktu Isyak. Syaratnya berniat hendak menta’khirkan solat yang pertama pada waktu yang kedua, berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat. Solat jamak Tak’hir tidak disyaratkan tertib ertinya boleh yang mana dahulu dan yang mana kemudian.

Kembali ke atas ?


4. Solat Jumaat Bagi Musafir
Soalan:
Adakah orang musafir wajib menunaikan solat Jumaat menurut Mazhab Shafi’e?

Amu, JB

Jawapan:
Musafir, sekalipun waktu solat Jumaat didirikan itu ia sedang berhenti maka ia tidak dituntut mengerjakan solat tersebut. Sebahagian besar ahli berpendapat bahawa bagi musafir tidak ada kewajipan Jumaat, sebab Nabi SAW ketika dalam perjalanan tidaklah mengerjakan solat Jumaat, begitu juga halnya ketika baginda mengerjakan haji Wada’ di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat baginda hanya solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim dan tidak melakukan solat Jumaat. Demikianlah pula yang dilakukan khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW.

DN 084 Panduan Musafir – Solat Jama’ & Qasar

Kembali ke atas ?


5. Solat Dalam Kapal Terbang
Soalan:
Saya ingin tahu, bagaimana kedudukan kiblat semasa berada dalam kapal terbang? Mungkin saudara dapat bantu saya. Sekian terima kasih.

Azis, UKM

Jawapan:
Di dalam kenderaan sekiranya dalam keadaan darurat sehingga tidak dapat berdiri atau tiada disediakan tempat khas untuk solat maka berkiblat setakat mana yang boleh.

Bagi penumpang kenderaan lain misalnya keretapi atau kapal laut maka hendaklah menghadap kiblat semasa takbirratulihram, kemudian bolehlah menghadap ke arah lain mengikut peralihan kenderaan.

Kembali ke atas ?


6. Musafir yang Telah Bermastautin
Soalan:
Saya baru balik bermusafir, adakah saya masih boleh menunaikan sembahyang secara jamak atau qasar sebaik sahaja saya sampai semula ke tempat saya bermastautin?

Auziera, K Lumpur

Jawapan:
Jika kita telah sampai ke tempat kediaman atau mukim kita, maka tidak perlulah kita mengerjakan solat jamak dan qasar sebab perjalanan kita telah berakhir. Untuk lebih jelas sila rujuk soalan 2 & 3.

Kembali ke atas ?


7. Syarat Sembahyang Qasar
Soalan:
1. Apakah syarat-syarat yang membolehkan kita sembahyang qasar?
2. Saya tinggal di bandar AMBS dan pergi ke Kuala Terengganu yang jaraknya 96 KM atas tugas pejabat. Dalam perjalanan pulang ke AMBS, saya telah singgah di masjid Ajil (telah masuk waktu Zuhur) dan sembahyang jamak takdim serta qasar bagi sembahyang Zuhur dan asar. Bolehkah saya berbuat demikian..?

Saarini, Dungun

Jawapan:
Dalam mengerjakan solat jamak dan qasar jarak yang ditempuh hendaklah lebih dua marhalah (91 Kilometer atau 56 batu) dengan niat dan tujuan yang baik. Dengan demikian dari segi jarak yang anda tempuh membolehkan anda melakukan solat jamak dan qasar tersebut.

Kembali ke atas ?


8. Solat Jama’ Ta’khir di Rumah
Soalan:
Bolehkah saya mengqada’kan sembahyang Zuhur ke dalam waktu Asar (Jama’ Ta’khir) apabila saya telah samapai ke rumah saya. Saya tidak sempat untuk menjama’nya ketika dalam perjalanan kerana saya menaiki bas. Adakah sah sembahyang saya itu? Jika tidak boleh adakah saya wajib untuk mengqada’ sembahyang saya itu kerana kejahilan saya?

Azhar, Johor Bahru

Jawapan:
Jila seorang musafir sampai di rumahnya sedangkan ia belum selesai mengerjakan Solat Jama’ Ta’khir, setengah ulama mengatakan dikira solat tunai. Solat itu wajiblah dikerjakan dengan solat sempurna, jika Zuhur, Asar atau Isyak empat rakaat tidak lagi boleh diqasarkan. Jika tertinggalnya solat tersebut kerana halangan tertentu seperti sukar menemukan tempat solat kerana naik bas ataupun kapal terbang maka perlulah ia mengqada solat yang tertinggal tersebut. Wallahu A’lam.

Kembali ke atas ?


9. Makna Perjalanan 2 Marhalah
Soalan:
Assalamualaikum wrt. wbt. Betulkah syarat untuk orang berbuka puasa itu bagi perjalanan jauh sejauh 80640 km? Saya agak keliru. Bagaimana pula dengan perjalanan yang dikatakan 2 marhalah tu?

Khalid, KL

Jawapan:
Perjalanan dua marhalah itu terdiri dari 80,640 m atau 80.64 km.bersamaan 52 batu (1 batu = 1.55 km. dan 52 batu x 1.55 km = 80.64 km, menurut mesin kira canggih) bukan seperti yang saudara maksudkan di atas. Mungkin juga buku yang saudara rujuk tersilap taip. Wallahu A’lam.

Kembali ke atas ?


10. Solat Jamak Takdim
Soalan:
Assalamualikum, saya bermusafir lebih daripada 2 marhalah. Apabila tiba waktu solat Zuhur bolehkah saya solat Jama’ Takdim sedangkan apabila saya sampai ke rumah nanti waktu Zuhur masih ada lagi ataupun waktu Asar baru sahaja masuk. Jika keadaan itu berlaku adakah saya hanya boleh mengqasarkan sahaja solat Zuhur iaitu tidak boleh Jama’?

Azizi, Serdang

Jawapan:
Jika perjalanan anda itu telah sampai dua marhalah maka anda boleh untuk melakukan solat jamak dan qasar. Jika perjalanan itu tidak sepenuhnya (bermusafir) dan ketika waktu Asar masuk telah sampai di rumah, maka lebih baik mengqasar solat Zuhur tersebut.

Kembali ke atas ?


11. Tempoh Musafir
Soalan:
Bolehkah saya melakukan solat jamak dan qasar berterusan selama 3 hari di rumah keluarga saya ketika saya menziarahi mereka?

Halim ,Kota Tinggi

Jawapan:
Tempoh seorang musafir itu diharuskan mengqasar solatnya apabila sampai ke destinasi yang dituju ialah tidak lebih dari tiga hari penuh (tidak termasuk hari ketibaan dan hari berangkat balik). Ini jika sebelum bertolak ia berniat hendak bermukim di situ selama tidak lebih dari masa tersebut. Setelah tiga hari, sekiranya ia melanjutkan lagi tempoh menetap di situ maka wajiblah solat sempurna, tidak qasar dan jamak lagi.

Kembali ke atas ?


12. Syarat-syarat Jamak Ta’khir
Soalan:
Bolehkah saya melakukan solat jamak takhir ketika sampai di rumah saya sendiri selepas pulang meziarahi mereka (Zuhur di takhirkan kepada asar)?

Halim ,Kota Tinggi

Jawapan:
Solat Jamak Ta’khir hanya sah dikerjakan apabila dapat memenuhi dua syarat yang berikut :-

1. Berniat hendak menjamakkan kedua-dua solat dalam waktu solat yang pertama. Apabila berniat hendak menjamakkan solat fardhu Zuhur dengan solat fardhu Asar dengan Jamak Ta’khir, maka sebaik sahaja masuk fardhu Zuhur atau masih ada waktu Zuhur berniatlah dalam hati hendak menjamakkan kedua solat fardhu Zuhur dan Asar pada waktu Asar nanti. Jika anda tidak berniat demikian sehingga luput waktu Zuhur, maka anda dikira berdosa dan solat fardhu Zuhurnya hendaklah di Qada’ tidak boleh dijamakkan lagi.

2. Hendaklah berkekalan masa musafirnya sehingga selesai solat yang kedua (Asar ataupun Isyak). Jika anda sedang solat dalam kenderaan (misalnya naik kapal) dan anda mengetahui ketika itu kapal tersebut telah tiba di tempat anda, maka wajiblah anda meneruskan solat dengan solat yang sempurna.

Kembali ke atas ?


13. Waktu Mula Dibolehkan Solat Qasar
Soalan:
Bilakah waktunya melakukan solat qasar, adakah setelah perjalanan sejauh dua marhalah? Bolehkah diqasarkan solat sebelum perjalanan bermula?

Abd Talib, Kulim

Jawapan:
Waktu dibolehkan kepada seseorang yang ingin bermusafir mengqasarkan solatnya ialah setelah keluar dari kawasan kampungnya. Setelah melepasi bangunan terakhir di kampungnya, di situ barulah ia dibolehkan mengqasarkan solatnya. Inilah pendapat majoriti ulamak Islam termasuk imam Asy-Syafii. Pendapat yang mengatakan boleh mengqasarkan solat di rumah sebaik sahaja seseorang itu berniat hendak musafir adalah pendapat yang dikemukakan oleh imam Ata’.

Walaubagaimanapun pendapat imam Atta’ ini sangat lemah dan ditolak oleh majoriti ulama. Dengan ini dapatlah disimpulkan menurut majoriti ulama masa yang dibolehkan mengqasarkan solat ialah selepas seseorang itu keluar dari kampung halamannya dengan melepasi bangunan terakhir di kampungnya itu.

Kembali ke atas ?

SOLAT (I’TIDAL)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa makna I’tidal? Apa hukumnya?

I’tidal bermaksud; kembali semula selepas ruku’ kepada keadaan sebelum ruku’ sama ada seseorang itu menunaikan solat sambil berdiri atau sambil duduk. Jika seseorang itu menunaikan solat dengan berdiri, I’tidal ialah dengan ia kembali berdiri lurus/tegak selepas bangkit dari ruku’ sebelum turun untuk sujud.

Hukum I’tidal adalah wajib. Tidak sah solat tanpa melakukannya. Dalil kewajipan I’tidal ini ialah hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan tentang solat Nabi s.a.w.; “Apabila mengangkat kepala dari ruku’ (yakni bangkit dari ruku’), Nabi s.a.w. tidak sujud melainkan setelah berdiri dengan sempurna lebih dahulu (yakni berdiri I’tidal)”.
(Riwayat Imam Muslim)

Bagaimana melakukan I’tidal dengan sempurna?

1. Apabila hendak bangkit dari ruku’, ucapkanlah; “سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ” (bermaksud; Allah mendengar (dan menjawab) orang yang memujinya) sambil mengangkat kedua tangan setentang bahu atau setentang dua telinga.

2. Apabila telah tegak berdiri, bacalah;

اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ

Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, untukMulah pujian kami, (pujian) yang mengisi sekelian langit dan bumi serta mengisi apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepasnya” (Riwayat Imam Muslim).

3. I’tidal wajib dilakukan dengan tomaninah iaitu memastikan diri berada dalam keadaan tetap dan tenang dalam posisi I’tidal (berdiri lurus) itu sebelum turun sujud. Jika seseorang membaca zikir di atas semasa I’tidalnya, maka ia telah memenuhi tuntutan tomaninah semasa I’tidalnya.

Adakah makmum juga disunatkan membaca “SAMI’ALLAHU LIMAN HAMIDAH” sebagaimana imam atau atau ia hanya membaca “RABBANA LAKAL-HAMDU..” sahaja?

Persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; Disunatkan kepada semua orang yang menunaikan solat sama ada solat sendirian, menjadi imam atau makmum untuk membaca; (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ…..) dan (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ) dengan menghimpunkan kedua-duanya iaitu membaca (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ)  ketika mula bangkit dari ruku’ dan membaca (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ….) apabila sudah berada dalam I’tidal. Mereka berdalilkan hadis Ibnu Abi Aufa r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila mengangkat belakangnya dari ruku’, baginda mengucapkan;

سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ

“Allah mendengar (dan menjawab) orang yang memujinya. Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, untukMulah pujian kami, (pujian) yang mengisi sekelian langit dan bumi serta mengisi apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepasnya” (Riwayat Imam Muslim).

Di dalam hadis ini, Nabi membaca kedua-duanya sekali tanpa memisahkannya.

Pandangan kedua; menurut sebahagian ulamak –antaranya Imam Ahmad dan Ibnu al-Munzir-; ucapan (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ…..) dibaca oleh imam sahaja, adapun makmum hendaklah terus membaca (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ….) dan tidak perlu mereka membaca (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ…..). Mereka berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang menceritakan Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya; “

Apabila Imam telah berkata: “سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ”, maka hendaklah kamu membaca;

اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagiMulah segala pujian”.

Maka sesungguhnya siapa yang bacaannya bersamaan dengan bacaan malaikat, nescaya akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu”. (Riwayat Imam Muslim)

Adakah harus memanjangkan I’tidal?

Harus, berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. setelah mengucapkan “Sami’allahu liman hamidah”, baginda berdiri (begitu lama) sehingga kami berkata; ‘Beliau telah lupa’. Kemudian baginda sujud dan duduk di antara dua sujud (dengan begitu lama) hingga kami berkata; ‘Baginda telah lupa’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam as-Syaukani; hadis ini menjadi dalil keharusan memanjangkan I’tidal dan duduk antara dua sujud. (Nailul-Autar, juz. 2, kitab as-Solah).

%d bloggers like this: