UMAR BIN ABDUL AZIZ


Biodata Ringkas

Nama Penuh: Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam
Nama Ibu: Laila binti ‘Asim bin Umar bin Al-Khatab
Tahun Lahir : 61H
Tahun Meninggal Dunia: 101H
Jawatan : Khalifah Ke 6 Bani Umaiyyah
Tarikh Lantikan: Safar 99H @ 717M
Lama Berkhidmat: 2 tahun 5 bulan

Pendidikan

Beliau telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka spt Imam Malik b. Anas, Urwah b. Zubair, Abdullah b. Jaafar, Yusuf b. Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik b. Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah bte Abdul Malik (sepupunya)

Sifat-Sifat Peribadi

Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar b. Al-Khatab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehdupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Pada suatu hari beliau berkhutbah yang mana antara isinya adalah spt berikut;

“Setiap orang yang musafir mesti memperlengkapi bekalannya. Siapkanlah taqwa dalam perjalanan kamu dari dunia menuju akhirat. Pastikan dirimu sama ada mendapat pahala atau siksa, senang atau susah.”

“Jangan biarkan masa berlalu sehingga hatimu menjadi keras dan musuh sempat mengoda. Sebaik-baiknya saudara menganggap bahawa hidup pada petang hari tidak akan sampai ke pagi hari dan hidup pada pagi hari tidak akan sampai ke petang hari. Memang tidak jarang terjadi kematian ditengah-tengahnya”

“Saudara-saudara dapat menyaksikan sendiri bahawa ramai orang yang tertipu dengan dunia, padahal orang yang layak bergembira tidak lain kecuali orang yang selamat daripada siksaan Allah SWT dan orang yang lepas dari tragedi hari qiamat.”

“Sementara orang yang tidak mahu mengubati yang sudah luka, kemudian datang lagi penyakit lain, bagaimana mungkin mahu bergembira ? Saya berlindung kepada Allah SWT daripada perbuatan yang tidak aku pegangi dan amalkan sendiri. Seandainya begitu, alangkah rugi dan tercelanya aku. Dan jelaslah tempatku nanti pada hari yang jelas kelihatan siapa yang kaya dan siapa yang miskin”.

“Di sana nanti akan diadakan timbangan amal serta manusia akan diserahi tanggungjawab yang berat. Seandainya tugas itu dipikul oleh binatang-binatang nescaya ia akan hancur, jika dipikul oleh gunung nescaya ia akan runtuh, kalau dipikul oleh bumi nescaya bumi akan retak. Saudara-saudara belum tahu bahawa tiada tempat di antara Syurga dan Neraka ? Kamu akan memasuki salah satu daripadanya.”

“Ada seorang lelaki yang mengirim surat kepada rakannya yang isinya : “Sesungguhnya dunia ini adalah tempat bermimpi dan akhirat barulah terjaga” Jarak pemisah antara keduanya adalah mati. Jadi, kita sekarang sedang bermimpi yang panjang”

Terdapat banyak riwayat dan athar para sahabat yang menceritakan tentang keluruhan budinya. Di antaranya ialah:

(1) At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Umar Al-Khatab telah berkata: “Dari anakku (zuriatku) akan lahir seorang lelaki yang menyerupainya dari segi keberaniannya dan akan memenuhkan dunia dengan keadilan”.

(2) Dari Zaid bin Aslam bahawa Anas bin Malik telah berkata : “Aku tidak pernah menjadi makmum di belakang imam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang mana solat imam tersebut menyamai solat Rasulullah SAW melainkan daripada Umar bin Abdul Aziz dan beliau pada masa itu adalah Gabenor Madinah”.

(3) Al-Walid bin Muslim menceritakan bahawa seorang lelaki dari Khurasan telah berkata: “Aku telah beberapa kali mendengar suara datang dalam mimpiku yang berbunyi : “Jika seorang yang berani dari Bani Marwan dilantik menjadi Khalifah, maka berilah baiah kepadanya kerana dia adalah pemimpin yang adil”.” Lalu aku menanti-nanti sehinggalah Umar b. Abdul Aziz menjadi Khalifah, akupun mendapatkannya dan memberi baiah kepadanya”.

(4) Qais bin Jabir berkata:  “Perbandingan Umar b Abdul Aziz di sisi Bani Ummaiyyah seperti orang yang beriman di kalangan keluarga Firaun”.

(5) Hassan al-Qishab telah berkata: “Aku melihat serigala diternak bersama dengan sekumpulan kambing di zaman Khalifah Umar Ibnu Aziz”.

(6) Umar b Asid telah berkata: “Demi Allah, Umar Ibnu Aziz tidak meninggal dunia sehingga datang seorang lelaki dengan harta yang bertimbun dan lelaki tersebut berkata kepada orang ramai: “Ambillah hartaku ini sebanyak mana yang kamu mahu”. Tetapi tiada yang mahu menerimanya (kerana semua sudah kaya) dan sesungguhnya Umar telah menjadikan rakyatnya kaya-raya”.

(7) ‘Atha’ telah berkata: “Umar Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha’ setiap malam. Mereka saling ingat memperingati di antara satu sama lain tentang mati dan hari qiamat, kemudian mereka sama-sama menangis kerana takut kepada azab Allah seolah-olah ada jenayah di antara mereka.”

(8) Khalifah Abu Ja’far bin Mansur telah bertanya kepada anak Umar bin Abdul Aziz “Berapakah banyak wang simpanan Umar ketika beliau mula-mula memegang jawatan khalifah?”

Anaknya menjawab “40 ribu dinar (wang emas).”

Abu Ja’far bertanya lagi “Berapa pula ketika beliau wafat?”

Anaknya menjawab “4 ratus dinar, kalau dia panjang umur lagi pastilah semakin berkurangan.”

Umar Ibnu Aziz Sebagai Khalifah

Beliau dilantik menjadi Khalifah stelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman atas wasiat khalifah tersebut. Setelah mengambilalih tampuk pemerintahan, beliau telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem fuedal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah:

1) menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali b Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran.

2) merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal.

3) memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalahgunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah.

4) menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.

Selain daripada itu, beliau amat mengambilberat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.

Beliau juga amat menitikberatkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjammah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebegaimana yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dan para Khulafa’ Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad b Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Raulullah SAW.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab! yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.

Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan merupakan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan.

Tetapi Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat kerana kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri.

Semua ini adalah jasa Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini, hanya 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredahi Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman..satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan ornag yang benar-benar ikhlas.

Diolah dari pelbagai sumber.

Advertisements

KELAHIRAN RASULULLAH MEMIMPIN MANUSIA KEPADA KEGEMILANGAN HIDUP


Mukaddimah

Sebut saja bulan Februari, tentu ramai akan teringat Hari Valentine. Dalam keseronokan sebahagian besar dari umat Islam yang tidak tahu atau tidak mahu mengakui keharaman meraikan hari kekasih ini, mungkin ada yang tidak perasan atau mungkin tidak mengambil cakna tentang satu peristiwa penting bagi umat Islam. Tarikh kelahiran kekasih Allah dan junjungan mulia kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu 12 Rabiulawal bagi tahun 1432H ini jatuh pada 15 Februari 2011, sehari selepas sambutan hari Valentine. Sambutan hari Valentine ini dalam kalangan umat Islam merupakan salah satu bukti bahawa pada akhir zaman ini umat Islam sebenarnya telah berpaling daripada hukum Allah yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kalau dulu manusia hidup dalam masyarakat jahiliyyah yang tidak beriman pada Allah, hari ini pula umat Islam sendiri hidup dalam masyarakat jahiliyyah kerana Islam hanya dipraktikkan dalam amalan individu dan yang berunsur ibadah sahaja. Persoalannya, adakah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini hanya untuk masyarakat Arab Jahiliyyah 1500 tahun dahulu sahaja sehinggakan umat Islam hari ini mengabaikan pengamalan syariatnya? Inilah persoalan yang akan dikupas dalam tulisan ini.

Amalan Jahiliyyah Terkubur

Lahirnya Muhammad ke dunia ini dan diutuskannya menjadi Rasul Allah, penyebar risalah Allah, membawa rahmat ke sekalian alam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21):107].

“(Mereka Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ an-Nisa’ (4):165].

Perutusan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam kepada masyarakat Arab jahiliyyah membawa impak perubahan yang sangat besar. Daripada aspek agama dan kepercayaan, penyembahan kepada berhala ditentang dan baginda menawarkan penyembahan kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menciptakan manusia. Budaya menipu dalam timbangan semasa jual beli dihapuskan. Begitu juga dengan tabiat meminum arak, membunuh anak perempuan hidup-hidup kerana takut miskin dan demi menjaga harga diri, menjadikan wanita sebagai hamba seks dan banyak lagi amalan jahiliyyah lainnya telah terkubur dengan kedatangan Islam.

Serentak dengan itu, bermulanya pembinaan individu dengan aqidah Islam sehingga lahirnya muslim yang bersyakhsiyah (jati diri) Islam. Tanpa bertangguh, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya mengumpul mereka, membentuk satu kelompok yang berjuang mengamalkan Islam di tengah-tengah kerosakan masyarakat kuffar. Kelompok ini teguh mempertahankan bahawa Allah itu Tuhan yang wajib disembah dan Rasulullah itu pesuruh Allah. Bagi mengubah sistem kehidupan kuffar yang membelenggu mereka, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para sahabat berusaha menegakkan sebuah negara Islam untuk diterapkan di dalamnya hukum Allah secara kaffah. Hijrah ke beberapa tempat dilalui oleh mereka sehinggalah masyarakat Yathrib (Madinah) menerima baginda sebagai pemimpin negara, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memimpin daripada segenap aspek kehidupan termasuk sistem ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan lain-lain.

Menurut Zeeneth Kausar (1995) dalam kertas kerjanya Women’s Issues: Women’s Perspectives, Islam meletakkan wanita dalam tiga kategori penting mengikut keupayaannya iaitu sebagai ibu, isteri dan anak perempuan. Ibu diletakkan di tempat paling tinggi selepas Allah dan RasulNya. Bagi wanita Islam yang berkahwin, mereka mempunyai hak-hak tersendiri sepanjang perkahwinannya sama seperti lelaki serta masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan terhadap keluarga (ibu, isteri, anak perempuan) dan masyarakat (guru, pengasuh, pemimpin , penasihat, perawat dan lain-lain dalam semua sektor). Sebagai seorang Islam, wanita perlu mempunyai penghayatan Islam yang jelas dan keimanan yang kukuh supaya dapat dimanifestasikan keimanan dan jiwa Islam itu dalam ibadah, akhlak, pergaulan, pekerjaan dan segala aktiviti dalam kehidupannya. Ini penting supaya wanita tetap menjaga maruah dan kehormatan dirinya daripada kaca mata Islam seperti sentiasa menjaga aurat, menjaga tutur kata dalam pergaulan, menjauhkan segala yang mendekatkan diri wanita kepada zina, bersikap positif dan berdaya saing sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Islam.

Ironinya, kehidupan umat Islam masa kini kelihatan telah melintasi sejarah menyeberangi zaman kegemilangan pemerintahan Islam. Masyarakat Islam telah kembali menjadi masyarakat jahiliyyah yang tiada pegangan hidup.

Tabiat Menganiaya Wanita dan Kanak-kanak Perempuan.

Bila diimbas kembali rentetan tragedi yang melibatkan penderaan dan penganiyaan ke atas wanita, kita akan dapati bahawa trauma ini tidak pernah lenyap daripada kehidupan masyarakat. Antara isu yang nampaknya semakin meruncing saban tahun adalah kes simbahan asid yang bukan sahaja menyebabkan mangsanya menanggung kesakitan yang amat sangat tetapi juga terpaksa menjalani kehidupan dengan kecacatan kekal. Pada 27 Januari 2007, seorang suami bertindak nekad menyimbah asid ke belakang badan isterinya, Ramlah Mohamad, 26, kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Pada 9 April 2010, seorang peneroka bertindak di luar batasan apabila tergamak menyimbah asid ke muka dan tubuh isterinya, Zarina Wahab, selepas wanita itu menolak untuk melakukan hubungan seks. Pada 10 Januari 2011, seorang lelaki disabitkan kesalahan cuba membunuh isterinya yang sedang hamil, Nor Shamila, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi berdasarkan statistik yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia dan jumlah sebenar (mangsa) lebih dari itu, cuma tidak dilaporkan. Di peringkat global pula, sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dipukul, dipaksa melakukan aktiviti seksual atau didera sepanjang hayatnya [Berita Harian, 28/11/2010].

Awal tahun 2011 juga disambut dengan beberapa kes dera ke atas kanak-kanak. Pada 9 Januari 2011, Nordiana Qistina Nurafizan, 3 tahun, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang serius akibat dari 73 kesan penderaan di seluruh tubuhnya. Bukan hanya Nordiana Qistina, malah adiknya, Danish Irsyad berusia setahun turut menjadi mangsa kekejaman yang dipercayai dilakukan oleh bapa dan ibu tirinya [Utusan Malaysia Online, 11/1/2011]. Tidak dilupakan kes bualan orang ramai yang melibatkan kanak-kanak berusia 18 bulan, K Haresvarran yang mati dipukul dan dipijak jiran yang menjaganya serta Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, mati ditendang dan dipijak teman lelaki ibunya pada tahun lalu.

Statistik di negara kita menunjukkan kes penderaan fizikal yang dilaporkan di Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dari 1999 hingga 2006 ialah sekitar 100 kes setahun. Selain itu, 42 peratus daripada pendera adalah ibu bapa sendiri, iaitu bapa 22 peratus dan 16 peratus di kalangan ahli keluarga. Di Amerika Syarikat (AS), negara berkenaan menyediakan peruntukan RM384.8 bilion (AS$104 bilion) setahun bagi menangani isu penderaan kanak-kanak hasil laporan bahawa empat kanak-kanak dilaporkan mati setiap hari kerana didera serta diabaikan daripada aspek psikologi, emosi dan seksual. Secara purata, 31 peratus wanita di dalam penjara di AS disabitkan kesalahan melakukan penderaan ke atas kanak-kanak. Di United Kingdom (UK) satu hingga dua peratus kanak-kanak mengalami penderaan fizikal sejak peringkat kanak-kanak. Malah, lebih tiga juta orang dewasa, iaitu satu dari 12 orang dewasa menyatakan mengalami tanda lebam akibat penderaan fizikal ketika kanak-kanak dan sembilan peratus menderita dengan kesan jangka panjang. [Berita Harian, 9/3/2010]

Dalam Islam, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

“Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula”. [HR Ahmad].

Seruan Islam yang telah lama sampai kepada kita dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mengharamkan suami/bapa memukul apatah lagi mendera isteri mengikut hawa nafsu. Pukulan hanya dibenarkan dalam rangka untuk mendidik isteri dan anak-anak. Salah satu dalil tentang kebolehan bagi para suami untuk memukul ketika menta’dib (mendidik) isterinya adalah sepertimana ayat berikut:

“Laki-laki adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Maka wanita solehah adalah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka. Isteri-isteri yang kalian khuatiri melakukan nusyuz  maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka”. [TMQ an-Nisa’ (4): 34].

Islam juga membolehkan melakukan pukulan sebagai ta’dîb terhadap anak. Ibnu Amr bin al-’Ash meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda:

“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika tetap enggan mengerjakan solat)”. [HR Abu Dawud dan al-Hakim].

Di dalam hukum fikih, pukulan dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, Dharb mubarrih iaitu pukulan yang kuat/keras sehingga dikhuatiri boleh mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mencacatkan anggota tubuh badan. Pukulan seperti ini adalah dilarang dalam syariah dan termasuk sebagai perkara yang diharamkan. Kedua, Dharb ghairu mubarrih ialah pukulan ringan yang tidak mengalirkan darah serta tidak dikhuatiri akan menimbulkan kebinasaan jiwa atau kecacatan pada tubuh badan, patah tulang dan sebagainya. Pukulan jenis kedua ini menurut syariah boleh dilakukan kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran syariah, iaitu setelah dilakukan maw’izhah dan hajr (nasihat dan pemisahan tempat tidur). (An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan).

Para fuqaha mengatakan bahawa dharb ghairu mubarrih adalah pukulan yang tidak melukakan isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak meninggalkan parut pada tubuh badannya dan tidak boleh dilakukan pada wajah. Pukulan tersebut juga tidak harus berpusat pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul secara terus-menerus agar tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara fuqaha, ada yang menyatakan bahawa, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh dengan cemeti (cambuk/rotan) dan tongkat.”

Begitulah sedikit penerangan mengenai bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini begitu melindungi wanita dan anak-anak daripada perbuatan ganas suami/bapa. Sebagai suami atau bapa, pukulan hanya dibenarkan bagi tujuan ta’dib (mendidik) isteri atau anak dan bukannya untuk melampiaskan kemarahan atau membalas dendam. Namun, apa yang dikisahkan daripada peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan bahawa para suami dan bapa tidak lagi mengikut syariat Allah dan contoh tauladan yang ditunjukkan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Tidak cukup dengan isu penderaan wanita di dalam negara oleh ahli keluarga sendiri, sejenak kita telusuri nasib wanita di belahan dunia yang sentíasa ditindas oleh musuh Islam.

Muslimah Di belahan Dunia yang Ditindas Musuh.

Pada 31 Disember 2011, berdasarkan keterangan dari pihak media yang dilaporkan Maan, seorang wanita Palestin meninggal dunia akibat menghirup gas pemedih mata yang ditembakkan Israel ke arah mereka ketika melakukan demonstrasi damai mingguan di desa Bil’in. Pasukan Israel menembak bertin-tin gas pemedih mata ke arah mereka yang selalu melakukan demonstrasi secara  damai. Sekitar 250 orang cedera, termasuk seorang remaja yang ditembak wajahnya dengan tabung gas pemedih mata. Kekejaman Israel jelas ketara kerana mereka menggunakan gas pemedih mata yang dilarang di Eropah pada tahun 60-an dan 70-an kerana menyebabkan kematian, tetapi mereka terus menggunakannya di Palestin [Buletinonliner.com, 3/1/2011].

Yayasan Solidariti Hak Asasi Manusia Antarabangsa menyatakan bahawa seorang tahanan wanita Palestin, Kifah Auni Qutsy yang berasal dari kota Birah, terperosok di penjara Israel menderita kekurangan immunisasi badan yang menyebabkan penyempitan pembuluh darah seperti mengalami Gangrene, penyakit yang menggugurkan jari tangan disebabkan tidak sampainya darah ke jari [iLuvislam.com, 20/10/2010]. Tidak jauh bezanya dengan insiden di atas, pada 10 Januari 2011, Yayasan Perlindungan Tahanan “Yusuf ash Shidiq” melaporkan bahawa para tahanan wanita Palestin terpaksa menanggung kenaikan harga yang tinggi di kantin penjara Israel dan mereka dipaksa membeli dari sana, terutama pakaian dan alas kaki (selipar/kasut). Lebih teruk lagi, keluarga tahanan tidak dibenarkan untuk membawakan alas kaki untuk tahanan penjara. Akhirnya mereka dipaksa untuk membelinya di kantin penjara yang harganya mencapai 80 dolar. Selain itu kantin tahanan juga tidak memiliki banyak barang yang diperlukan para wanita, namun pihak penjara tetap menolak kiriman daripada keluarga tahanan. Kebelakangan ini juga, pihak penjara menghadkan jumlah pakaian yang masuk ke penjara. Laporan ini menyebutkan bahawa para tahanan wanita, khususnya di penjara Damon, mengalami kekurangan air minuman yang bersih. Hal ini juga memaksa para tahanan membeli air bersih daripada kantin penjara dengan harga yang sangat mahal [Republikan Online, 10/1/2011].

Di pelosok bumi yang lain, Islam dihina nasib muslimah seperti hidup dalam penjara di tanah air sendiri. Mereka dinafikan haknya untuk menjalankan kewajipannya dalam berpakaian menurut Islam.Sebagai contoh dalam sebuah artikel menyatakan,“burqa dan niqab merupakan tradisi yang memandang bahawa perempuan sebagai objek seksual, seorang penggoda, yang mana dengan gerakan pergelangan kaki mereka dapat membawa lelaki (makhluk yang lemah yang tidak mampu menahan godaan ini) untuk bertekuk lutut di hadapan mereka. Ini adalah sistem nilai yang menjijikkan dan saya menolaknya. Begitu juga dengan semua warga Kanada yang menganut feminisme sekular. Jadi marilah kita mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan hijab.” Itulah artikel yang telah diterbitkan oleh sebuah akhbar online Canada, Toronto Star, pada 18 Disember 2011 yang mengesyorkan supaya pengharaman bukan hanya dibuat terhadap niqab (penutup wajah/purdah) dan burqa (penutup seluruh tubuh), tetapi juga terhadap  hijab (tudung kepala).

Sungguh sakit mata yang memandang dan pedih hati yang merasakan penderitaan yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia ini akibat penindasan yang didalangi musuh-musuh Islam. Jadi, umat Islam wajib memikirkan cara untuk menyelesaikannnya habis-habisan. Usaha yang diambil bukan setakat membantu mengisi perut-perut mereka yang kemudian akan tembus terburai dengan tembakan peluru, bukan setakat membekalkan selimut dan pakaian membaluti tubuh-tubuh mereka yang kemudian akan terbakar dengan serangan bom, bukan setakat menyediakan khidmat perubatan merawat luka-luka mereka yang kemudian akan diseksa dengan bom kimia, tetapi usaha yang dapat menghalau tentera Israel dan pakatannya kerana masalah Palestin dan negara-negara umat Islam lain adalah masalah penjajahan, fizikal dan mental, bukan masalah kemiskinan. Pencabulan terhadap hak umat Islam dalam melaksanakan kewajipannya bukan masalah kelemahan ketaqwaan individu tetapi masalah tekanan undang-undang kuffar yang dipaksakan ke atas mereka.

Tindakan Yang Diambil oleh Pemimpin Islam Ke atas Musuh Islam

Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, seorang wanita Muslimah tersingkap auratnya apabila seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ telah mengikat hujung kain yang dipakainya pada kerusi. Ketika itu, seorang lelaki Muslim telah bangun membela dengan membunuh Yahudi tadi. Sebagai membalas dendam, puak Yahudi membunuh pula lelaki Muslim itu. Kaum Muslim yang lain telah membantu kaum keluarga lelaki Muslim itu, dan Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menghantar pasukan tentera Muslim untuk menyerang Yahudi Bani Qainuqa’ dan selepas lima belas hari, kaum Muslim berjaya menghapuskan seluruh Bani Qainuqa’ dari tanah Madinah.

Khalifah Islam yang memerintah selepas para Sahabat mengambil Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam menyelesaikan masalah yang sama. Imam Ibnu Athir mencatatkan dalam “Al-Kamil fi Tarikh”, sebuah kisah yang terkenal mengenai seorang wanita Muslimah yang telah ditangkap oleh puak Rom dan ditahan di satu tempat bernama ’Amuriyyah. Tidak puas dengan menahan beliau, mereka juga telah cuba untuk mencabul kehormatan wanita Muslimah itu. Bersendirian dan ketakutan, wanita itu memanggil nama Khalifah pada ketika itu “Oh Mu’tasim”. Seorang lelaki menyaksikan kejadian ini, lantas bertemu dengan Khalifah Mu’tasim dan memaklumkan beliau tentang kejadian itu. Tatkala Mu’tasim mendengar tentang rintihan wanita itu, beliau menyahutnya dengan penuh keberanian, “Labbaik (Aku datang menyahut seruanmu).” Mu’tasim mempersiapkan sepasukan bala tenteranya dan melancarkan serangan untuk menyelamatkan wanita itu. Pasukan tentera beliau telah menawan pihak musuh dan memasuki ‘Amuriyyah. Selepas menghancurkan kubu kuat musuh, mereka sampai kepada wanita itu serta berjaya membebaskannya.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula telah mengirim sepucuk surat kepada Tahanan Perang Muslimin di Konstantinopel. Beliau memberitahu mereka: “Kalian mengatakan dirimu adalah Tahanan Perang. Sebenarnya, kalian bukanlah begitu. Kalian telah dipenjarakan kerana berjihad untuk Allah. Aku ingin memberitahukan kalian semua, apabila aku memberi sesuatu kepada semua kaum Muslimin, aku akan memberikan lebih kepada kaum keluarga kalian dan aku mengirimkan si polan dan si polan membawakan 5 dinar untuk setiap seorang dari kalian. Seandainya bukan kerana aku risaukan penguasa diktator Roman yang akan merampasnya dari kalian, sudah pasti aku akan mengirim lebih lagi. Aku juga telah mengutus si polan bin si polan untuk memastikan pembebasan setiap dari kalian, tanpa mengira berapa pun wang tebusan yang perlu dibayar. Maka bergembiralah kalian! Salam Sejahtera.”

Begitulah usaha-usaha yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan pemimpin umat Islam demi membela nyawa dan maruah umat Islam. Sesungguhnya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda:

“Seorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lainnya, maka janganlah dia menindas saudaranya dan jangan sekali-kali dia menyerahkan saudaranya yang lain kepada pihak yang menindas”.[HR Bukhari].

Kembalilah kepada Sirah Perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam

Wahai muslimah yang berfikir!

Sejak terpadamnya cahaya kegemilangan Islam di Turki pada tahun 1924, pemimpin umat Islam yang manakah sanggup melakukan seperti apa yang telah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para Khalifah lakukan untuk melindungi kalian? Jawapannya tidak ada. Para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini adalah pemimpin khianat. Tatkala nyawa dan maruah umat Islam berada di hujung tanduk dengan ancaman pelbagai jenis jenayah, kekejaman dan penindasan di seluruh penjuru dunia, para pemimpin hina ini sibuk mengatur lawatan kepada musuh, sibuk mencari keuntungan berunding urusan perdagangan dengan bermanis muka dan berlembut lidah. Inilah hakikat pemimpin umat Islam! Sepatutnya dengan kuasa yang ada, mereka wajib memerintah dengan hukum Islam seperti Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintah. Diterapkannya sistem pendidikan Islam yang mendidik insan bertaqwa sehingga tiada yang berani menganiayai wanita khususnya dan umat Islam amnya kerana takutkan dosa. Diajarkannya sistem sosial Islam yang mewujudkan masyarakat amar ma’ruf nahi mungkar. Diamalkannya pula sistem politik Islam yang mewajibkan penguasa-penguasa umat Islam memimpin mereka dengan tali Allah. Sebaliknya pemimpin hari ini mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengeluarkan umat Islam daripada segala penderitaan dan ketakutan selain terus asyik dengan kenikmatan dunia dan berbaik-baik dengan musuh yang tidak akan henti-henti meratah umat Islam. Kita tidak mahukan pemimpin yang telah berpaling dari hukum Allah ini.

Sesungguhnya Allah telah menjelaskan bahawa siapa sahaja yang tidak mengimani Al Qur’an, membenarkan berita yang disebutkan di dalamnya, tidak meyakini perintah yang diwajibkan di dalamnya, dialah yang dikatakan berpaling daripada zikir pada Allah. Bahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengancam kepada orang yang berpaling dari zikir ini iaitu Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda bahwa orang tersebut akan diberikan penghidupan yang sempit di dunia dan akhirat. Allah berfirman:

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan.” [TMQ Thaaha (20): 124-126].

Oleh itu, sanggupkah kita membiarkan pemimpin-pemimpin yang diancam Allah ini sama-sama mengheret kita ke dalam kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat?

Jadi, marikah kita telusuri semula sirah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam. Firman Allah Subhanahu wa T’aala:

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa”. [TMQ al-An’am (6): 153]

Sememangnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mencerminkan keperibadian Islam yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia dalam segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah” [TMQ al-Ahzab (33): 21].

Hakikatnya lagi, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bukan sahaja menunjukkan contoh peribadi yang baik sebagai suami, bapa, sahabat dan peniaga, tetapi baginda juga memetakan jalan bagi umat Islam dalam membentuk individu yang bertaqwa, menyampaikan Islam di tengah-tengah masyarakat kuffar, berjuang bersama kelompok sahabat mendirikan sebuah negara Islam dan seterusnya menerapkan segala syariat Allah di situ serta ke wilayah-wilayah yang lain. Pemimpin yang sebeginilah yang kita perlukan. Dia adalah Khalifah yang akan memerintah Daulah Islam suatu masa nanti seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah  Sallallahu Alaihi wa Sallam atas usaha kita. Inilah amanah yang telah diwariskan oleh baginda kepada kita. Sedarlah wahai umat Islam, jalan-jalan yang dipetakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam itu tidak akan pudar daripada sirah kerana ia wajib terus dilalui oleh umatnya.

Khatimah

Sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menghidupkan Islam di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyyah bukan semata-mata sejarah yang perlu diceritakan untuk memperingati baginda sempena sambutan kelahiran baginda setiap tahun.  Ia sebenarnya adalah hukum yang tertaklif pada umat Muhammad untuk terus diamalkan. Bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya menyelamatkan malah melindungi maruah dan martabat wanita serta umat Islam daripada lembah jahiliyyah, begitulah kita umat Islam hari ini wajib lakukan. Daripada tahap pembinaan individu, penyatuan dalam kelompok dakwah kepada mendirikan daulah Islam, itulah jalan yang wajib dilalui oleh setiap individu untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah. Wallahu a’lam bisshawab.

__________________________________

Sumber : Fikratul-Ummah-Februari-2011 – mykhilafah.com

MUHASABAH TERHADAP HARAKAH ISLAM YANG MENGAKUI SISTEM TAGHUT


Setelah hancurnya Daulah Khilafah pada tahun 1924, banyak harakah (gerakan) Islam yang telah muncul dan bangkit berjuang untuk mengembalikan kejayaan Islam. Pelbagai harakah Islam ini berjuang dengan tujuan, idea dan metode perjuangan masing-masing. Walaupun jalan yang diambil oleh harakah Islam ini berbeza-beza, namun Insya Allah semuanya mendapat ganjaran dari Allah SWT selama mana mereka ikhlas berjuang untuk Islam dan menuruti jalan yang lurus. Namun begitu, tidak semua perjuangan ini relevan dengan qadhiyah masiriyah (masalah utama) umat Islam atau sesuai dengan tuntutan ajaran Islam dalam melakukan taghyir (perubahan). Jadi, ‘ikhlas’ sahaja tidaklah mencukupi meskipun keikhlasan memang tuntutan mendasar dalam amal perjuangan. Keikhlasan mestilah disertai dengan pemahaman dan pelaksanaan HUKUM-hukum Islam secara benar di dalam usaha untuk melakukan perubahan yang dikehendaki oleh syarak. Kebenaran hanya akan dapat dicapai apabila kita berpandu kepada nas (Al-Quran dan Sunnah), bukannya kepada akal.

Sekularime telah memporak-perandakan dunia.

Di dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah dan menegakkan sebuah Negara Islam, maka sudah semestinya kita wajib meneledani perjuangan Rasulullah SAW di dalam menegakkan negara. Sesungguhnya Islam adalah agama yang komprehensif yakni bukan sekadar agama spiritual tetapi juga agama yang mengatur segenap aspek kehidupan, baik secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Dengan kata lain Islam adalah agama dan sekaligus negara. Maka dari itu, sejak Rasulullah SAW diutus sebagai Nabi dan Rasul, yang menjadi fokus utama perjuangan baginda dan para sahabat adalah bagaimana untuk mengamalkan agama Islam secara menyeluruh, dari kehidupan individu hinggalah kepada kehidupan bernegara dan seterusnya untuk mengatur dunia.

Bermula dari perjuangan di Mekah di mana baginda diutuskan, Rasulullah SAW telah berhasil mewujudkan Islam dalam kehidupan bernegara setelah baginda berjaya menegakkan Daulah Islamiyyah di Madinah. Daulah Islam ini kemudiannya dilanjutkan oleh para khulafa’ sesudah baginda selama lebih 1300 tahun sehinggalah kehancurannya (Khilafah) di Turki pada tahun 1924. Sejak saat itulah umat Islam hidup terpecah belah dalam puluhan negara-bangsa (nation-states) yang memerintah dengan sistem taghut (selain Islam) dan hidup menderita kerana menjadi sasaran penindasan pemimpin mereka sendiri dan juga kuffar Barat.

Oleh kerana Islam adalah agama dan negara, bukan sekadar agama spiritual, setiap perjuangan harakah Islam wajib memperhatikan masalah ini dalam perjuangan masing-masing. Inilah yang disebut sebagai qadhiyah masiriyah (masalah utama / vital issue) umat Islam – untuk mengamalkan keseluruhan ajaran Islam di dalam kehidupan bernegara dalam bingkai Negara Khilafah. Dengan demikian, perjuangan harakah Islam seharusnya terfokus pada dua hal.

Pertama; membebaskan umat Islam dari penjara sistem taghut (sistem sekular, demokrasi, teokrasi, monarki, federasi, diktator dan sebagainya) yang telah memecah belah umat Islam dan menjadikan mereka tidak berdaya menghadapi hegemoni Barat.

Kedua; mengembalikan umat Islam ke dalam satu institusi politik pemersatu umat iaitu Negara Khilafah Islamiyyah. Kuffar Barat dan para penguasa dunia Islam sebagai pemimpin sistem taghut ini sangat memahami akan hal tersebut. Oleh yang demikian mereka senantiasa merancang dan melakukan strategi untuk membendung dan ‘menjinakkan’ harakah-harakah Islam. Mereka telah pun berhasil di dalam misi ini di mana sebahagian besar harakah Islam berjaya dijinakkan. Harakah Islam ini akhirnya menjadi harakah yang pragmatis dan tunduk kepada realiti, malah mereka ‘menundukkan’ pula Islam dengan realiti.

Namun, tidak kesemua harakah Islam berjaya dijinakkan Barat di mana ternyata terdapat harakah Islam ideologis yang tidak tunduk kepada kehendak Barat. Harakah jenis ini sangat faham bahawa satu-satunya jalan yang benar untuk menyelesaikan masalah umat Islam adalah dengan cara taghyir (merombak total) bukannya dengan islah (memperbaiki) sistem taghut/sekular yang sedia ada. Mereka juga faham bahawa  umat Islam perlu dipimpin dengan menerapkan hukum Islam secara kaffah (menyeluruh) melalui tegaknya Negara Khilafah. Malangnya harakah Islam ideologis ini sering diburuk-burukkan dan dilabel dengan negatif oleh Barat dan sering menghadapi tentangan dari penguasa kaum Muslimin itu sendiri. Dalam masa yang sama, Barat berusaha membela dan membelai harakah Islam yang pragmatis dan Barat selalu memuji dan ‘menyanjung’ mereka kerana bersifat moderat. Akhirnya harakah Islam pragmatis ini telah berjaya ‘disesatkan’ oleh Barat hingga tunduk kepada realiti sehingga mereka tidak lagi sedar akan qadhiyah masiriyah umat Islam. Mereka malah mengakui ‘kesahihan’ (validity) sistem taghut yang sedia ada serta berjuang dari dalam sistem taghut itu untuk memperbaiki (islah) sistem kufur tersebut.

Kuffar Barat dan penguasa zalim di dunia Islam sememangnya suka ‘memelihara’ harakah Islam pragmatis. Ini kerana, dari dua jenis harakah Islam yang ada, harakah pragmatis tidak mengajak umat untuk mengubah sistem taghut secara total, sebaliknya mereka mengakui kesahihannya dan tunduk kepadanya. Harakah pragmatis pada prinsipnya memang ‘tidak ada masalah’ untuk hidup dalam sistem taghut baik sistem itu demokrasi, teokrasi, monarki atau apa sahaja. Oleh itu, penguasa di dalam sistem taghut tidak perlu (dan tidak akan) khuatir terhadap harakah pragmatis semacam ini, walaupun harakah ini menggembar-gemburkan slogan-slogan Islam atau slogan ‘Negara Islam’, selama mana slogan (atau Negara Islam) yang diperjuangkan itu adalah di dalam ruang lingkup sistem taghut seperti demokrasi. Semua ini tidak akan merisaukan Barat atau penguasa Muslim di dalam sistem taghut kerana harakah pragmatis ini sesungguhnya masih tetap mengakui kesahihan sistem taghut yang sedia ada. Dengan jalan ini, harakah pragmatis ini sebenarnya telah melakukan ‘penyesatan politik’ yang telah menyimpangkan umat dari perjuangan yang benar untuk menegakkan Islam. Ini kerana, keterlibatan harakah pragmatis dalam sistem taghut bererti mereka telah melegitimasi sistem kufur, yang sekaligus telah mempersulitkan usaha harakah ideologis dan umat Islam lainnya untuk menghancurkan sistem kufur ini.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh harakah Islam adalah mengubah dan menghancurkan sistem taghut ini, bukan mempertahankannya. Pertamanya, perubahan ini hendaklah dilakukan dengan jalan tidak mengakui kesahihan sistem taghut (sekular) ini, kerana sistem  ciptaan penjajah ini hakikatnya adalah musuh Islam dan hanya merupakan kehendak kaum kuffar penjajah. Seterusnya, perubahan ini mesti dilakukan dari luar sistem bukan dari dalam (sebagai contoh cuba memperbaikinya dengan melibatkan diri di dalam kabinet atau parlimen). Perubahan ini juga harus disertai dengan usaha untuk memimpin umat agar memahami dan berjuang secara sahih sebagaimana perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasululah SAW dan para sahabat sehingga tegaknya sebuah Negara Islam berdasarkan jalan wahyu. Umat Islam juga harus difahamkan bahawa Negara Khilafah adalah negara Islam yang sama sekali berbeza dengan negara demokrasi (dan lain-lain bentuk sistem taghut) yang sedia ada. Umat Islam juga perlu dijelaskan bahawa setelah Negara Khilafah berdiri, maka kaum Muslimin yang terpecah belah mengikut negara-bangsa sekarang ini, wajib bersatu di bawah satu bendera dan di bawah satu payung pemerintahan.

Strategi Barat Terhadap Harakah Islam

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama (kanan) bertemu dengan Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan (kiri) di Pejabat Oval Gedung Putih 7 Disember 2009 di Washington, DC. Kedua-dua pemimpin dijangka akan membahas dasar-dasar tentang Timur Tengah, situasi saat ini di Iran, dan tahap pasukan dalam perang di Afghanistan.

Barat telah membahagi kaum Muslimin  kepada dua golongan utama iaitu golongan fundamentalis (ekstremis/teroris) dan golongan moderat. Dari keduanya, Barat hanya mendokong golongan moderat bahkan mereka sentiasa berusaha mendudukkan golongan ini ke kerusi kekuasaan. Ini kerana golongan moderat sememangnya tidak akan menimbulkan bahaya bagi sistem politik dunia dan eksistensi Barat di dunia Islam. Inilah strategi umum Barat dalam  ‘menyesatkan’ harakah-harakah Islam. Contoh nyata strategi ini adalah sepeti apa yang terjadi kepada Parti Keadilan dan Pembangunan (PKP) pimpinan Recep Tayyip Erdogan di Turki. Turki tetap sahaja sekular bahkan menjalankan kebijakan (polisi) AS dan Israel meskipun PKP telah berhasil berkuasa. Inilah bukti nyata bahawa PKP telah menjadi harakah Islam yang disesatkan oleh Barat sehingga PKP justeru menjadi pelaksana kepada hegemoni dan kehendak Barat.

Sayangnya ramai generasi muda umat Islam yang telah terpukau dengan harakah pragmatis seperti PKP. Mereka menganggap PKP yang berhasil meraih kekuasaan telah melayani kepentingan Islam dan umat Islam. Padahal dengan sekilas tinjauan sahaja, akan terlihat PKP sangat jauh dari ajaran dan politik Islam. Buktinya, PKP mengumumkan tidak akan memusuhi Barat (penjajah), mempercayai demokrasi, ingin menjadi bahagian dari Eropah serta menjadi sekutu Israel dan mengadakan perjanjian militer dengannya. PKP juga terlibat dalam operasi militer NATO di Afghanistan untuk memerangi Islam dan umat Islam di sana. Dan lebih dari semua itu, PKP adalah pendukung idea-idea Mustafa Kamal Ataturk laknatullah, manusia hina yang menjadi musuh Islam dan penghancur Daulah Khilafah. Harakah seperti PKP inilah yang amat didambakan Barat, sehingga Barat berusaha mewujudkannya di pelbagai negara di dalam dunia Islam dan menyekat harakah Islam ideologis dari meraih kejayaan.

Mustafa Kamal Attaturk - Pengasas sekularisme di Turki

Memang Barat telah menggariskan karakter tertentu untuk harakah Islam agar sesuai dengan kepentingan mereka. Barat menghendaki agar harakah Islam dapat menerima dan mempertahankan sistem taghut yang dibawa oleh mereka. Agar diterima oleh umat Islam, Barat menyebut aktivis harakah ini sebagai kaum moderat dan golongan yang baik, tidak sebagaimana kaum fundamentalis atau ekstremis yang dikatakan merbahaya. Selain terjebak dengan kehendak Barat dan ‘selesa’ disebut sebagai golongan moderat, hakikatnya golongan Islam moderat ini tidak jauh berbeza dengan puak Islam liberal. Jika dicermati, lontaran idea harakah Islam pragmatis sama sahaja dengan idea kelompok liberal-sekular di mana mereka telah meletakkan Islam sebagai suatu agama yang bersifat ‘anjal’ dan boleh berubah mengikut zaman dan tempat. Sedar atau tidak, mereka telah menundukkan Islam dengan realiti yang ada. Akhirnya, kedua-dua kelompok ini menafsir dan mengaplikasikan Islam sesuai dengan kehendak Barat. Umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan permainan istilah dan pengggunaan simbol-simbol Islam yang dibawa oleh kelompok-kelompok ini. Contoh nyata adalah seperti PKP di Turki di mana parti ini sangat sering mengeksploitasi istilah dan simbol Islam. Padahal pelbagai strategi dan langkah politiknya, seribu kali lebih berbahaya bagi umat Islam daripada kelompok-kelompok liberal-sekular.

Setiap harakah Islam seharusnya sedar akan jerat kuffar Barat dan tidak seharusnya terlibat di dalam sistem taghut yang akhirnya memberi kelebihan kepada orang-orang kafir/sekular dan melemahkan diri mereka sendiri. Lebih buruk, mereka sebenarnya telah menggadaikan Islam dan perjuangan mereka sendiri kerana meletakkan hawa nafsu dan kepentingan dunia lebih tinggi dari Islam. Umat Islam pula perlu sedar bahawa ada di antara harakah Islam yang, sama ada sedar atau tidak, sebenarnya telah menjadi pelaksana kepada kehendak Barat di dalam menjaga dan memelihara sistem kufur yang dibawa oleh Barat. Setiap ahli gerakan Islam harus sedar bahawa niat yang ikhlas (untuk memperjuangkan Islam) sahaja tidak cukup, tetapi mesti disusuli dengan langkah perjuangan yang benar menurut syarak.

Karakter Harakah Islam Yang Mengakui Sistem Taghut

Setidak-tidaknya terdapat enam karakter utama harakah Islam yang mengakui sistem taghut dan menjadi pelaksana kepada kehendak kuffar Barat:-

Pertama; menganut sikap pragmatis (waqi’iyyah) iaitu bertindak bukan atas dasar pertimbangan syarak tetapi atas dasar waqi’ (fakta/realiti) yang ada dengan pertimbangan untung-rugi (maslahat/manfaat).

Kedua;
tidak mempunyai pemikiran Islam yang jelas. Mereka menyerukan Islam secara umum sahaja dengan penafsiran yang disesuaikan dengan fakta yang ada demi meraih keridhaan penguasa yang zalim dan kaum penjajah (Barat).

Ketiga; tidak berusaha mengubah secara total (taghyir) sistem sekular yang ada, melainkan hanya memperbaikinya (islah) secara sebahagian pada aspek-aspek tertentu sahaja. Mereka mempunyai anggapan dasar bahawa sistem yang sedia ada ‘sudah sah’ dan ‘sudah final’. Justeru, yang perlu diubah bukanlah ‘sistem’nya melainkan hal-hal tertentu yang memerlukan pembaikan misalnya masalah rasuah, penyelewengan, kehakiman, birokrasi, peraturan pilihanraya dan seumpamanya.

Keempat; mempunyai wawasan dan aktiviti yang hanya bersifat lokal. Mereka tidak menekankan persoalan umat Islam yang bersifat global, misalnya mempersatukan seluruh umat Islam dalam satu negara Khilafah. Malah ada di antara mereka yang tidak mahu menyatukan umat Islam di bawah satu negara dan ada pula yang menganggapnya sebagai idea yang khayal. Mereka lebih suka berjuang atas dasar kebangsaan dan tanahair (assabiyyah dan wathaniyyah).

Kelima; selalu berusaha menampakkan diri sebagai kelompok moden dan moderat dengan dalih bahawa Islam adalah agama yang fleksibel atau anjal dan boleh berubah mengikut masa dan tempat. Mereka mengecam harakah Islam ideologis sebagai kelompok garis keras (mutasyaddidun) yang hanya mencari masalah dengan ‘menentang’ pemerintahan yang sah. Mereka menggembar-gemburkan pemikiran tertentu yang disandarkan kepada Islam seperti fiqh al-waqi’ (hukum fikih yang tunduk kepada realiti), fiqh al-mashalih (hukum fikih yang tunduk kepada kemaslahatan) dan semisalnya. Mereka masuk ke dalam parlimen atau bergabung dengan pemerintahan taghut yang ada dengan dalih untuk menegakkan agama.

Keenam; mementingkan personaliti/tokoh (figure). Mereka adalah harakah yang mengamalkan ‘pensucian’ individu. Kerana itulah mereka senantiasa mengedepankan tokoh pimpinan (qiyadah) daripada mengedepankan fikrah (pemikiran) Islam itu sendiri. Jika berhadapan dengan masalah yang perlu diputuskan, pertimbangannya bukanlah kepada hukum-hakam Islam tetapi kepada keputusan atau kehendak pimpinan, walaupun sudah jelas lagi nyata bahawa si pemimpin telah ‘tertawan’ oleh realiti keadaan dan sistem yang rosak.

Harakah dengan karakter-karakter inilah yang sesungguhnya telah ‘menyenangkan’ Barat dan juga penguasa dalam sistem taghut. Harakah seperti inilah yang selalu dimanfaatkan dan diperalat oleh puak kuffar untuk mengalihkan perhatian umat dari harakah ideologis yang berjuang ‘di luar kotak’ demi menukar sistem taghut kepada sistem Islam. Dengan demikian, di samping telah ‘melarikan’ gambaran perjuangan Islam yang hakiki,  harakah pragmatis ini juga telah mempersulit perjuangan ke arah perubahan total yang dikehendaki oleh Islam. Padahal sudah jelas, keterlibatan harakah pragmatis di dalam parlimen dan dalam sistem yang sedia ada sesungguhnya adalah suatu bentuk ketaatan dan ketundukan mereka kepada sistem taghut dan telah memperpanjangkan umur kebatilan. Hal ini juga telah menyebabkan kekeliruan di dalam kefahaman umat Islam mengenai sistem taghut sehingga sebahagian kaum Muslimin menganggap sistem taghut yang ada adalah ‘ok’ apatah lagi apabila perjuangan harakah Islam pragamatis ini didokong oleh ramai ulama dan tokoh yang terkenal.

Dari seluruh penjelasan di atas, kita berdoa dan mengharapkan agar seluruh harakah Islam pragmatis menyedari kekeliruan langkah mereka dengan membuang sejauh-jauhnya sikap taksub kepada gerakan mahupun pimpinan sehingga mereka terjerumus berjuang untuk menegakkan Islam dengan mengiktiraf sistem taghut yang ada. Sesungguhnya setiap perjuangan yang dilandasi anggapan bahawa sistem taghut (demokrasi dan lain-lain) yang sedia ada sudah ‘sah’ dan tidak perlu diubah, hanya akan sia-sia dan mendatangkan kerugian kepada mereka sendiri serta akan mengundang kemurkaan Allah, meskipun mereka berniat ikhlas. Namun, sama ada mereka mahu berfikir dan keluar dari kepompong pragmatisme, lalu bersedia untuk berjuang di luar sistem taghut, ini  bergantung kepada kesedaran dan keikhlasan masing-masing. Allah SWT bertanya,

“Maka apakah orang yang berjalan dengan wajah terlungkup, lebih berpetunjuk atau adakah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus (lebih berpetunjuk)?” [TMQ al-Mulk (67):22].

Dan Dia mengingatkan,

“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta.” [TMQ al-Furqan (25):73].

Wallahu a’lam.
_________________________________________
mykhilafah.com
[Diterjemah dan disunting dari artikel Amaa Aan li al-Harakat al-Islamiyah allatiy Ta’tarifu bi Syar’iyyah Al-Anzhimah an Tash-huw, oleh Dr. Hazim Badar, Palestine,  Majalah Al-Waie (Arab), no. 282, Edisi Khusus Rajab 1431 H/ Julai 2010].

DAULAH KHILAFAH


 

Secara ringkas, Imam Taqiyyuddin An Nabhani mendefinisikan Daulah Khilafah sebagai kepemimpinan umum bagi seluruh kaum muslimin di dunia untuk menegakkan hukum-hukum Syariat Islam dan mengembang risalah Islam ke seluruh penjuru dunia (Imam Taqiyyuddin An Nabhani, Nizhamul Hukmi fil Islam).

Dari definisi ini, jelas bahawa Daulah Khilafah adalah hanya satu untuk seluruh dunia. Kerana nas-nas syara’ (nushush syar’iyah) memang menunjukkan kewajipan umat Islam untuk bersatu dalam satu institusi negara. Sebaliknya haram bagi mereka hidup dalam lebih dari satu negara.

Apa Hukumnya Mendirikan Khilafah?

Kewajipan tersebut didasarkan pada nas-nas al-Qur`an, as-Sunnah, Ijma’ Sahabat, dan Qiyas. Dalam al-Qur`an Allah SWT berfirman:

“Dan berpeganglah kalian semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kalian bercerai berai…” (TMQ. Ali-’Imran [3]: 103).

Rasulullah SAW dalam masalah persatuan umat ini bersabda: “Barangsiapa mendatangi kalian – sedang urusan (kehidupan) kalian ada di bawah kepemimpinan satu orang (Imam/Khalifah) – dan dia hendak memecah belah kesatuan kalian dan mencerai-beraikan jemaah kalian, maka bunuhlah dia!” [HR. Muslim].

Rasulullah SAW bersabda: “Jika dibai’at dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” [HR. Muslim].

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa membai’at seorang Imam (Khalifah), lalu memberikan genggaman tangannya dan menyerahkan buah hatinya, hendaklah ia mentaatinya semaksima mungkin. Dan jika datang orang lain hendak mencabut kekuasaannya, penggallah leher orang itu.” [HR. Muslim].

Di samping itu, Rasulullah SAW menegaskan pula dalam perjanjian antara kaum Muhajirin – Anshar dengan Yahudi: “Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Surat Perjanjian ini dari Muhammad – Nabi antara orang-orang beriman dan kaum muslimin dari kalangan Quraisy dan Yatsrib – serta yang mengikut mereka dan menyusul mereka dan berjihad bersama-sama mereka – bahawa mereka adalah umat yang satu, di luar golongan orang lain…” (Lihat Sirah Ibnu Hisyam, Jilid II, hal. 119).

Nas-nas al-Qur`an dan as-Sunnah di atas menegaskan adanya kewajipan bersatu bagi kaum muslimin atas dasar Islam (hablullah) – bukan atas dasar kebangsaan atau ikatan palsu lainnya yang dicipta penjajah yang kafir – di bawah satu kepemimpinan, iaitu seorang Khalifah. Dalil-dalil di atas juga menegaskan keharaman berpecah-belah, di samping menunjukkan pula jenis hukuman syar’ie bagi orang yang berupaya memecah-belah umat Islam menjadi beberapa negara, iaitu hukuman mati.

Selain al-Quran dan as-Sunnah, Ijma’ Sahabat pun menegaskan pula prinsip kesatuan umat di bawah kepemimpinan seorang Khalifah. Abu Bakar Ash Shiddiq suatu ketika pernah berkata,”Tidak halal kaum muslimin mempunyai dua pemimpin (Imam).” Perkataan ini didengar oleh para Sahabat dan tidak seorang pun dari mereka yang mengingkarinya, sehingga menjadi ijma’ di kalangan mereka.

Bahkan sebahagian fuqoha menggunakan Qiyas ‘sumber hukum keempat’ untuk menetapkan prinsip kesatuan umat. Imam Al Juwaini berkata,”Para ulama kami (mazhab Syafi’i) tidak membenarkan akad Imamah (Khilafah) untuk dua orang…Kalau terjadi akad Khilafah untuk dua orang, itu sama halnya dengan seorang wali yang menikahkan seorang perempuan dengan dua orang laki-laki!

Ertinya, Imam Juwaini mengqiyaskan keharaman adanya dua Imam bagi kaum muslimin dengan keharaman wali menikahkan seorang perempuan dengan dua orang lelaki yang akan menjadi suaminya. Jadi, Imam/Khalifah untuk kaum muslimin wajib hanya satu, sebagaimana wali hanya boleh menikahkan seorang perempuan dengan satu orang laki-laki, tidak boleh lebih. (Lihat Dr. Muhammad Khair, Wahdatul Muslimin fi Asy Syari’ah Al Islamiyah, majalah Al Wa’ie, hal. 6-13, no. 134, Rabi’ul Awal 1419 H/Julai 1998 M)

Jelaslah bahawa kesatuan umat di bawah satu Khilafah adalah satu kewajipan syar’i yang tak ada keraguan lagi padanya. Kerana itu, tidak menghairankan bila para imam-imam mazhab Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i, dan Imam Ahmad bersepakat bulat bahawa kaum muslimin di seluruh dunia hanya boleh mempunyai satu orang Khalifah saja, tidak boleh lebih:

“…para imam mazhab (Abu Hanifah, Malik, Syafi’i, dan Ahmad) –rahimahumullah– bersepakat pula bahawa kaum mulimin di seluruh dunia pada saat yang sama tidak dibenarkan mempunyai dua imam, baik keduanya sepakat mahupun tidak.” (Lihat Syaikh Abdurrahman Al Jaziri, Al Fiqh ‘Ala Al Madzahib Al Arba’ah, jilid V, hal. 416) Hukum menegakkan Khilafah itu sendiri adalah wajib, tanpa ada perbezaan pendapat di kalangan imam-imam mazhab dan mujtahid-mujtahid besar yang alim dan terpercaya.

Siapapun yang menelaah dalil-dalil syar’ie dengan cermat dan ikhlas akan menyimpulkan bahawa menegakkan Daulah Khilafah hukumnya wajib atas seluruh kaum muslimin. Di antara argumentasi syar’ie yang menunjukkan hal tersebut.

Dalil Al-Quran

Di dalam al-Quran memang tidak terdapat istilah Daulah yang bererti negara. Tetapi di dalam al-Quran terdapat ayat yang menunjukkan wajibnya umat memiliki pemerintahan/negara (ulil amri) dan wajibnya menerapkan hukum dengan hukum-hukum yang diturunkan Allah SWT. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kalian kepada Allah dan taatlah kalian kepada Rasul-Nya dan ulil amri di antara kalian.” (TMQ. An-Nisaa` [4]: 59).

Ayat di atas telah memerintahkan kita untuk mentaati Ulil Amri, iaitu Al Haakim (Penguasa). Perintah ini, secara dalalatul iqtidha`, bererti perintah pula untuk mengadakan atau mengangkat Ulil Amri itu, seandainya Ulil Amri itu tidak ada, sebab tidak mungkin Allah memerintahkan kita untuk mentaati pihak yang eksistensinya tidak ada. Allah juga tidak mungkin mewajibkan kita untuk mentaati seseorang yang keberadaannya berhukum mandub.

Maka menjadi jelas bahawa mewujudkan ulil amri adalah suatu perkara yang wajib. Tatkala Allah memberi perintah untuk mentaati ulil amri, bererti Allah memerintahkan pula untuk mewujudkannya. Sebab adanya ulil amri menyebabkan terlaksananya kewajipan menegakkan hukum syara’, sedangkan mengabaikan terwujudnya ulil amri menyebabkan terabaikannya hukum syara’. Jadi mewujudkan ulil amri itu adalah wajib, kerana kalau tidak diwujudkan akan menyebabkan terlanggarnya perkara yang haram, iaitu mengabaikan hukum syara’ (tadhyii’ al hukm asy syar’ie).

Di samping itu, Allah SWT telah memerintahkan Rasulullah SAW untuk mengatur urusan kaum muslimin berdasarkan hukum-hukum yang diturunkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Maka putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (dengan) meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.” (TMQ. Al-Ma’idah [5]: 48).

“Dan putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” (TMQ. Al-Ma’idah [5]: 49).

Dalam kaedah usul fiqh dinyatakan bahawa, perintah (kitab) Allah kepada Rasulullah juga merupakan perintah kepada umat Islam selama tidak ada dalil yang mengkhususkan perintah ini hanya untuk Rasulullah (Kitabur rasuli kitabun li ummatihi malam yarid dalil yukhashishuhu bihi). Dalam hal ini tidak ada dalil yang mengkhususkan perintah tersebut hanya kepada Rasulullah SAW.

Oleh kerana itu, ayat-ayat tersebut bersifat umum, iaitu berlaku pula bagi umat Islam. Dan menegakkan hukum-hukum yang diturunkan Allah, tidak mempunyai makna lain kecuali menegakkan hukum dan pemerintahan (as sultan), sebab dengan pemerintahan itulah hukum-hukum yang diturunkan Allah dapat diterapkan secara sempurna. Dengan demikian, ayat-ayat ini menunjukkan wajibnya keberadaan sebuah negara untuk menjalankan semua hukum Islam, iaitu negara Khilafah.

Dalil As-Sunah

Abdullah bin Umar meriwayatkan, “Aku mendengar Rasulullah mengatakan, ‘Barangsiapa melepaskan tangannya dari ketaatan kepada Allah, nescaya dia akan menemui Allah di Hari Kiamat dengan tanpa alasan. Dan barangsiapa mati sedangkan di lehernya tak ada bai’ah (kepada Khalifah) maka dia mati dalam keadaan mati jahiliyah.” [HR. Muslim].

Nabi SAW mewajibkan adanya bai’at pada leher setiap muslim dan mensifati orang yang mati dalam keadaan tidak berbai’at seperti matinya orang-orang jahiliyyah. Padahal bai’at hanya dapat diberikan kepada Khalifah, bukan kepada yang lain. Jadi hadis ini menunjukkan kewajipan mengangkat seorang Khalifah, yang dengannya dapat terwujud bai’at di leher setiap muslim. Sebab bai’at baru ada di leher kaum muslimin kalau ada Khalifah/Imam yang memimpin Khilafah.

Rasulullah SAW bersabda:

“Bahawasanya Imam itu bagaikan perisai, dari belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung.” [HR. Muslim]

Rasulullah SAW bersabda: “Dahulu para nabi yang mengurus Bani Israil. Bila wafat seorang nabi diutuslah nabi berikutnya, tetapi tidak ada lagi nabi setelahku. Akan ada para Khalifah dan jumlahnya akan banyak.” Para Sahabat bertanya,’Apa yang engkau perintahkan kepada kami? Nabi menjawab,’Penuhilah bai’at yang pertama dan yang pertama itu saja. Penuhilah hak-hak mereka. Allah akan meminta pertanggungjawaban terhadap apa yang menjadi kewajipan mereka.” [HR. Muslim].

Rasulullah SAW bersabda: “Bila seseorang melihat sesuatu yang tidak disukai dari amirnya (pemimpinnya), maka bersabarlah. Sebab barangsiapa memisahkan diri dari penguasa (pemerintahan Islam) walau sejengkal saja lalu ia mati, maka matinya adalah mati jahiliyah.” [HR. Muslim].

Hadis pertama dan kedua merupakan pemberitahuan (ikhbar) dari Rasulullah SAW bahawa seorang Khalifah adalah laksana perisai, dan bahawa akan ada penguasa-penguasa yang memerintah kaum muslimin. Pernyataan Rasulullah SAW bahawa seorang Imam itu laksana perisai menunjukkan pemberitahuan tentang adanya faedah-faedah keberadaan seorang Imam, dan ini merupakan suatu tuntutan (thalab). Sebab, setiap pemberitahuan yang berasal dari Allah dan Rasul-Nya, apabila mengandung celaan (adz dzamm) maka yang dimaksud adalah tuntutan untuk meninggalkan (thalab at tarki), atau merupakan larangan (an nahy); dan apabila mengandung pujian (al mad-hu) maka yang dimaksud adalah tuntutan untuk melakukan perbuatan (thalab al fi’li). Dan kalau pelaksanaan perbuatan yang dituntut itu menyebabkan tegaknya hukum syara’ atau jika ditinggalkan mengakibatkan terabaikannya hukum syara’, maka tuntutan untuk melaksanakan perbuatan itu bererti bersifat pasti (fardu). Jadi hadis pertama dan kedua ini menunjukkan wajibnya Khilafah, sebab tanpa Khilafah banyak hukum syara’ akan terabaikan.

Hadis ketiga menjelaskan keharaman kaum muslimin keluar (memberontak, membangkang) dari penguasa (as sulthan). Bererti keberadaan Khilafah adalah wajib, sebab kalau tidak wajib tidak mungkin Nabi SAW sampai begitu tegas menyatakan bahawa orang yang memisahkan diri dari Khilafah akan mati jahiliyah. Jelas ini menegaskan bahawa mendirikan pemerintahan bagi kaum muslimin statusnya adalah wajib.

Rasulullah SAW bersabda pula : “Barangsiapa membai’at seorang Imam (Khalifah), lalu memberikan genggaman tangannya dan menyerahkan buah hatinya, hendaklah ia mentaatinya semaksimal mungkin. Dan jika datang orang lain hendak mencabut kekuasaannya, penggallah leher orang itu.” [HR. Muslim].

Dalam hadis ini Rasululah SAW telah memerintahkan kaum muslimin untuk mentaati para Khalifah dan memerangi orang-orang yang merebut kekuasaan mereka. Perintah Rasulullah ini bererti perintah untuk mengangkat seorang Khalifah dan memelihara kekhilafahannya dengan cara memerangi orang-orang yang merebut kekuasaannya. Semua ini merupakan penjelasan tentang wajibnya keberadaan penguasa kaum muslimin, iaitu Imam atau Khalifah. Sebab kalau tidak wajib, nescaya tidak mungkin Nabi SAW memberikan perintah yang begitu tegas untuk memelihara eksistensinya, iaitu perintah untuk memerangi orang yang akan merebut kekuasaan Khalifah.

Dengan demikian jelaslah, dalil-dalil As Sunnah ini telah menunjukkan wajibnya Khalifah bagi kaum muslimin.

Dalil Ijma’ Sahabat

Sebagai sumber hukum Islam ketiga, Ijma’ Sahabat menunjukkan bahawa mengangkat seorang Khalifah sebagai pemimpin pengganti Rasulullah SAW hukumnya wajib. Mereka telah sepakat mengangkat Khalifah Abu Bakar Ash Shiddiq, Umar bin Khaththab, Utsman bin Affan, dan Ali bin Abi Thalib, ridlwanullah ‘alaihim.

Ijma’ Sahabat yang menekankan pentingnya pengangkatan Khalifah, nampak jelas dalam kejadian bahawa mereka menunda kewajipan menguburkan jenazah Rasulullah SAW dan mendahulukan pengangkatan seorang Khalifah pengganti beliau. Padahal menguburkan mayat secepatnya adalah suatu kewajipan dan diharamkan atas orang-orang yang wajib menyiapkan pemakaman jenazah untuk melakukan kesibukan lain sebelum jenazah dikebumikan. Namun, para Sahabat yang wajib menyiapkan pemakaman jenazah Rasulullah SAW ternyata sebahagian di antaranya justeru lebih mendahulukan usaha-usaha untuk mengangkat Khalifah daripada menguburkan jenazah Rasulullah. Sedangkan sebahagian Sahabat lain mendiamkan kesibukan mengangkat Khalifah tersebut, dan ikut pula bersama-sama menunda kewajipan menguburkan jenazah Nabi SAW sampai dua malam, padahal mereka mampu mengingkari hal ini dan mampu mengebumikan jenazah Nabi secepatnya. Fakta ini menunjukkan adanya kesepakatan (ijma’) mereka untuk segera melaksanakan kewajipan mengangkat Khalifah daripada menguburkan jenazah. Hal itu tak mungkin terjadi kecuali jika status hukum mengangkat seorang Khalifah adalah lebih wajib daripada menguburkan jenazah.

Demikian pula bahawa seluruh Sahabat selama hidup mereka telah bersepakat mengenai kewajipan mengangkat Khalifah. Walaupun sering muncul perbezaan pendapat mengenai siapa yang tepat untuk dipilih dan diangkat menjadi Khalifah, namun mereka tidak pernah berselisih pendapat sedikit pun mengenai wajibnya mengangkat seorang Khalifah, baik ketika wafatnya Rasulullah SAW mahupun ketika pergantian masing-masing Khalifah yang empat. Oleh kerana itu Ijma’ Sahabat merupakan dalil yang jelas dan kuat mengenai kewajipan mengangkat Khalifah.

Dalil Dari Kaedah Syar’iyah

Ditilik dari analisis usul fiqh, mengangkat Khalifah juga wajib. Dalam usul fiqh dikenal kaedah syar’iyah yang disepakati para ulama:

“Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna kecuali adanya sesuatu, maka sesuatu itu wajib pula keberadaannya.” Menerapkan hukum-hukum yang berasal dari Allah SWT dalam segala aspeknya adalah wajib. Sementara hal ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa adanya kekuasaan Islam yang dipimpin oleh seorang Khalifah. Maka dari itu, berdasarkan kaedah syar’iyah tadi, eksistensi Khilafah hukumnya menjadi wajib.

Jelaslah, berbagai sumber hukum Islam tadi menunjukkan bahawa menegakkan Daulah Khilafah merupakan kewajipan dari Allah SWT atas seluruh kaum muslimin.

Pendapat Para Ulama

Seluruh imam mazhab dan para mujtahid besar tanpa kecuali telah bersepakat bulat akan wajibnya Khilafah (atau Imamah) ini. Syaikh Abdurrahman Al Jaziri menegaskan hal ini dalam kitabnya Al Fiqh ‘Ala Al Madzahib Al Arba’ah, jilid V, hal. 416:

“Para imam mazhab (Abu Hanifah, Malik, Syafi’i, dan Ahmad) rahimahumullah telah sepakat bahawa Imamah (Khilafah) itu wajib adanya, dan bahawa umat Islam wajib mempunyai seorang imam (khalifah) yang akan meninggikan syiar-syiar agama serta menolong orang-orang yang tertindas dari yang menindasnya…”

Tidak hanya kalangan Ahlus Sunnah saja yang mewajibkan Khilafah, bahkan seluruh kalangan Ahlus Sunnah dan Syiah ‘termasuk Khawarij dan Mu’tazilah’ tanpa kecuali bersepakat tentang wajibnya mengangkat seorang Khalifah. Kalau pun ada segelintir orang yang tidak mewajibkan Khilafah, maka pendapatnya itu tidak perlu ditolak, kerana bertentangan dengan nas-nas syara’ yang telah jelas.

Imam Asy Syaukani dalam Nailul Authar jilid 8 hal. 265 menyatakan: “Menurut golongan Syiah, minoriti Mu’tazilah, dan Asy A’riyah, (Khilafah) adalah wajib menurut syara’.” Ibnu Hazm dalam Al Fashl fil Milal Wal Ahwa’ Wan Nihal juz 4 hal. 87 mengatakan: “Telah sepakat seluruh Ahlus Sunnah, seluruh Murji`ah, seluruh Syi’ah, dan seluruh Khawarij, mengenai wajibnya Imamah (Khilafah).”

Bahawa Khilafah adalah sebuah ketentuan hukum Islam yang wajib bukan haram apalagi bid’ah – dapat kitab temukan dalam khazanah Tsaqafah Islamiyah yang sangat kaya. Berikut ini sekelumit saja rujukan yang menunjukkan kewajipan Khilafah:

 

  • Imam Al Mawardi, Al Ahkamush Shulthaniyah, hal. 5,
  • Abu Ya’la Al Farraa’, Al Ahkamush Shulthaniyah, hal.19,
  • Ibnu Taimiyah, As Siyasah Asy Syar’iyah, hal.161,
  • Ibnu Taimiyah, Majmu’ul Fatawa, jilid 28 hal. 62,
  • Imam Al Ghazali, Al Iqtishaad fil I’tiqad,hal. 97,
  • Ibnu Khaldun, Al Muqaddimah, hal.167,
  • Imam Al Qurthubi, Tafsir Al Qurthubi, juz 1 hal.264,
  • Ibnu Hajar Al Haitsami, Ash Shawa’iqul Muhriqah, hal.17,
  • Ibnu Hajar A1 Asqallany, Fathul Bari, juz 13 hal. 176,
  • Imam An Nawawi, Syarah Muslim, juz 12 hal. 205,
  • Dr. Dhiya’uddin Ar Rais, Al Islam Wal Khilafah, hal.99,
  • Abdurrahman Abdul Khaliq, Asy Syura, hal.26,
  • Abdul Qadir Audah, Al Islam Wa Audla’una As Siyasiyah, hal. 124,
  • Dr. Mahmud Al Khalidi, Qawaid Nizham Al Hukum fil Islam, hal. 248,
  • Sulaiman Ad Diji, Al Imamah Al ‘Uzhma, hal.75,
  • Muhammad Abduh, Al Islam Wan Nashraniyah, hal. 61,
  • dan masih banyak lagi yang lainnya.

Adapun buku-buku yang mengingkari wajibnya Khilafah – seperti Al Islam Wa Usululul Hukm oleh Ali Abdur Raziq, Mabadi` Nizham Al Hukmi fil Islam oleh Abdul Hamid Mutawalli, Tidak Ada Negara Islam oleh Nurcholis Madjid – sebenarnya tidak perlu dianggap sebagai buku yang serius dan bermutu. Sebab isinya bertentangan dengan nas-nas syara’ yang demikian jelas dan terang. Buku-buku seperti ini tak lain hanya sampah yang kotor yang merupakan penyambung lidah kaum kafir penjajah dan agen-agennya iaitu para penguasa muslim yang zalim yang selalu memaksakan sekularisme kepada umat Islam dengan berbagai argumentasi palsu yang berkedok studi “ilmiah” atau studi “sosiohistori-objektif”, dengan tujuan untuk menghapuskan hukum-hukum Allah dari muka bumi dengan cara menghapuskan idea Khilafah yang bertanggung jawab melaksanakan hukum-hukum tersebut.

Mengembalikan Kehidupan Islam

– Sumber : Hizbut Tahrir Malaysia –

http://www.mykhilafah.com


 

TERSUJUD DI PELANTAR RAHMATNYA


Apakah kita tahu maksud sebenar ujian? 

atau, Apakah kita hanya faham bahawa hanya kesakitan, kesulitan, keberatan, kegagalan dan perkara yang mengguris hati adalah sebenar-benar ujian? atau, kita benar-benar faham bahawa ujian itu datang dalam pelbagai bentuk termasuklah kesenangan, kemewahan, kejayaan, kegembiraan dan perolehan?

Firman Allah SWT:

”Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ”kami telah beriman” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta”. Al-Ankabut : 2-3

Pembaca sekalian, ujian Allah sememangnya adalah suatu kemestian dan menjadi lumrah dengan kejadian kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Hal ini boleh dilihat dan diteladani melalui kisah Nabi Adam AS melalui kejadiannya.

Ketika baginda diciptakan di syurga baginda dilarang untuk memakan buah khuldi, namun kerana terpengaruh dengan hasutan iblis telah membuatkan Adam AS telah melanggar arahan dan dicampakkan ke bumi. Lihatlah bahawa awal kejadian khalifah sekalipun Allah telah menguji hambaNya. Maka apakah kita ingin berkata bahawa ”aku tidak patut diuji”? Lalu apabila kita ditimpa dengan pelbagai ujian maka terdapat segelintir dikalangan kita yang cuba mempersoal akan keadilan Allah SWT dalam memberi dan mengagih ujian kepada hamba-hambaNya.

Malangnya manusia hanya akan tersujud apabila benar-benar mengakui bahawa Allah SWT adalah penentu segalanya.  Akibat daripada itu maka ramai yang akan mula mengeluh dan mengalah dari rasa untuk berusaha dan terus berdoa kepada Allah SWT untuk diberi kekuatan ke atas ujian yang ditimpakan ke atas mereka.

Firman Allah SWT:
”Allah tidak memberati (diberi ujian kepada) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya” Al-Baqarah : 286

Sebagai satu motivasi diri untuk menempuh ujian Allah kita perlu sedar bahawa setiap ujian yang menimpa kita adalah berada di dalam kemampuan kita, hanya kita yang masih tidak berfikir akan hikmah disebalik ujian yang Allah berikan dan yakinlah bahawa janji Allah untuk mereka yang diuji adalah benar akan balasan dan timbal baliknya.

Walaupun miskin, kesyukuran mesti dipanjatkan kepada Allah SWT kerana masih mampu memelihara diri dari maksiat, bahkan juga masih mampu berpakaian untuk menutupi aurat dan memelihara solat. Dalam kehidupan kita pada hari ini kita bersangkakan bahawa ujian yang berat hanya pada kesusahan seperti kemiskinan dan kesakitan seperti ditimpa penyakit kronik, lumpuh, barah dan sebagainya. Tetapi sedar atau tidak bahawa kesenangan juga merupakan satu ujian seperti kekayaan harta dan kegembiraan. Ini jelas seperti maksud hadis baginda SAW:

“Apabila Kamu Melihat Bahawa Allah SWT Memberikan Nikmat Kepada HambaNya Yang Selalu Membuat Maksiat (dosa) Ketahuilah Bahawa Orang Itu Telah Diistidrajkan Oleh Allah SWT” – Riwayat At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi

Apabila orang-orang yang selalu melakukan maksiat tetapi dalam masa yang sama dia dikurniakan oleh Allah SWT akan kesenangan dan kegembiraan maka itulah Istidraj. Ujian ini merupakan ujian yang paling berat kerana ia seolah-olah menempah tempat di neraka.

Kemewahan dan kesenangan juga adalah ujian dari Allah SWT. Hari ini boleh dikira berapa banyak rumah mewah yang tidak menyediakan ruangan khusus untuk mereka beribadat.  Kesenangan akan membuatkan mereka sombong dan angkuh dengan kekayaan dan kesenangan mereka bahkan kepandaian dan kecerdikan juga akan membuatkan mereka berasa hebat dan bongkak dengan kecerdikan mereka, dan semua ini juga merupakan ujian untuk Allah memperlihatkan kepada hambaNya adakah mereka ini akan bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Bahkan jika dilihat mereka inilah yang tidak mampu untuk membeli pakaian bagi menutupi aurat mereka.

Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui akan segalanya daripada kita selaku hambaNya, dan ingatlah bahawa ujian Allah membuktikan bahawa kita disayangi olehNya berikutan setiap ujian akan dibalas dengan pahala yang sangat banyak apabila bersabar. Oleh itu bersabarlah kita apabila diuji. Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa berkongsi kesenangan dan kesusahan untuk terus hidup di dunia yang sementara ini. Ini dapat dikenali melalui konsep Zakat, Sedekah, dan Waqaf.

Oleh yang demikian ujian yang tertimpa ke atas seorang hamba adalah untuk: Mengangkat darjat seseorang di dunia dan akhirat. Ini kerana mereka yang apabila di ujian bersabar maka darjatnya adalah lebih tinggi untuk selamanya. Mendidik hati untuk menjadi lebih bersih dan lebih ikhlas kepada Allah SWT. Membuktikan sifat kehambaan kepada Allah yang mana Allah ingin melihat sama ada ujian akan membuatkan hambaNya akan terus beriman atau pun berpaling dari Allah akibat daripada kelemahan untuk menghadapi ujian tersebut. Memperoleh pahala dari Allah kerana hanya Allah yang menjadi tempat bersandar bagi kita di saat tempat bersandar yang lain telah mengkhianati kita.

Kini kita perlu terima dengan hati yang terbuka bahawa apa yang berlaku adalah ujian dari Allah SWT, kita harus sengaja untuk sujud di naungan rahmat dan nikmat yang dicucurkan kepada kita kerana apa jua perkara yang berlaku samada positif mahupun negatif itu adalah ujian dariNya. Setiap penyakit pasti ada ubatnya, setiap ujian ada hikmahnya, setiap yang baik ada buruknya, setiap yang buruk ada baiknya dan ini semua adalah sifat molekul positif dan negatif yang merupakan hakikat kepada keduniaan.

Renungilah firman Allah SWT ini:
”… dan boleh jadi kamu benci (tidak suka) kepada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pada sesuatu pada hal ia (sebenarnya) buruk bagi kamu, dan ingatlah Allah jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya”. – Al-Baqarah : 216

%d bloggers like this: