• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

DEFINISI, HUKUM, DALIL DAN SEJARAH HAJI


DEFINISI HAJI

Mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan Haji untuk menunaikan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Haji merupakan perlakuan ibadah umat islam yang mempunyai banyak simbolik yang dikemukakan kepada manusia dalam bentuk penonjolan diri, demostrasi atau perisytiharan, bukan menuntut sesuatu yang bersifat kebendaaan atau keduniaan, tetapi demontrasi untuk menyatakan tauhid dengan slogan dan laungan kalimah suci, Allahhu Akhbar, Allah Maha Besar, berulang-ulang kali dengan keyakinan dan ketaqwaan, pengakuan yang jelas dan tegas sekalipun kufur atau musyrikin tidak menyenanginya.

Pengisytiharan tauhid yang jelas dan laungan talbiah yang tegas dilakukan serentak menyebut nama Allah, “Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni’mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak”, dilaungkan bukan kerana sesuatu kekurangan, tetapi penyataan sesuatu ibadah dalam bentuk demontrasi menentang syirik, kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mentauhidkan Allah.

Sikap dan pendirian yang tegas dalam perkara ‘ubudiah yang menjadi ajaran para anbia’ sejak zaman-berzaman perlu diisytihar dengan jelas supaya sekali-kali jangan terlibat dengan syirik atau tanghut.Sebaliknya hendaklah mengabdikan diri semata-mata kerana Allah – diri, pemikiran, fizikal, harta benda dan nawaitunya hanya semata untuk Allah.

Segala bentuk kesesatan, syirik atau penyembahan system yang menuju ke arah taghut wajib dijauhi.Islam tidak menuntut sikap bertindak balas terhadap pihak yang memsongkan akidah, tetapi bersikap Islam, kebaikan dan keamanan. Bagaimanapun, jika mereka sering dan terus berusaha menyelewengkan manusia daripada mentauhidkan Allah maka diwujudkan suatu amalan ibadah dalam bentuk demonstrasi terang-terangan bagi melawan kerja-kerja mereka yang sesat sekalipun orang-orang musyrikin, golongan kuffar dan munafiqun tidak menyenanginya.

HUKUM DAN DALILNYA

Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.

Dalil dari al-Quran:

Haji adalah merupakan salah satu dari hukum Islam yang lima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim, lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulama’, fardhu haji mula diwajibkan pada tahun ke enam Hijrah kerana pada tahun itulah turunnya wahyu Allah yang bermaksud:

Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah – Surah Al- Baqarah ayat 196.

Dalam pada itu Ibnul Qaiyim menguatkan pendapat bahawa mulai diwajibkan haji itu ialah pada tahun ke sembilan atau ke sepuluh Hijrah. Sesiapa yang menafikan hukum wajib haji itu maka bererti kufur dan murtadlah ia dan terkeluar dari Agama Islam. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:-

Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. – Surah Ali’ Imran ayat 97.

Dalil dari Hadis:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Islam dibina atas lima rukun.” Baginda s.a.w. menyebut di antaranya ialah ibadat Haji. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga.” Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan.” Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah s.w.t. memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji.” Lalu seorang lelaki bertanya Baginda s.a.w.: “Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun, wahai Rasullullah?” Rasulullah s.a.w. hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Baginda s.a.w. menjawab: “Jika aku katakan ya, nescaya kamu wajib mengerjakan pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat haji ketika kamu berkemampuan.”

Semua imam-imam fiqh bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.

SEJARAH HAJI

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :

Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk.

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI

Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan “Hijjatul Wada’/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA’

Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

  1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.
  2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa “Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah”.
  3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan “Apakah itu Haji?”. Sabdanya yang bermaksud “Haji itu berhenti di Arafah”. Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
  4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :

Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Waallahu ‘alam.

____________________________________
Sumber:
Al-azim.com (Jabatan Mufti Melaka)
Lembaga Tabung Haji
Tanbihul_ghafilin.tripod.com

MENGAGUNGKAN SYIAR ALLAH DALAM IBADAH HAJI


Mengagungkan syiar Allah dalam ibadah haji

Oleh DR. MUHAMAD RAHIMI OSMAN

UMAT Islam dari seluruh dunia yang akan menunaikan haji pada tahun ini sedang membanjiri kota Mekah kerana menunggu hari wuquf di Arafah.

Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan hari wuquf iaitu 9 Zulhijjah 1432H akan jatuh pada hari Sabtu bersamaan 5 November 2011. Wuquf adalah kemuncak bagi ibadat haji. Tanpanya tidak terlaksana ibadat haji. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Haji adalah (wuquf di) Arafah.

Keutamaan wuquf juga adalah berkaitan dengan peristiwa Hajjatul Wada’ (haji terakhir) Rasulullah SAW yang mana baginda menyampaikan khutbah penting dan bersejarah sebagai pesanan kepada 124,000 para sahabat yang menunaikan haji bersama baginda dan kepada seluruh umat Islam umumnya.

Ibadat haji adalah rukun Islam ke lima yang difardukan ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan. Rukun Islam yang lain boleh dikerjakan di mana saja umat Islam berada, tetapi berbeza dengan ibadat haji yang Allah SWT telah memilih Mekah al-Mukarramah dan sekitarnya untuk menjadi Tanah Suci-Nya agar kaum Muslimin mendatanginya dari seluruh penjuru bumi untuk mengerjakan ibadat haji.

Mekah sebagai tanah suci di sisi Allah dan Rasul-Nya telah diberi keistimewaan dan keutamaan yang banyak. Allah menyebutnya dalam al-Quran beberapa kali dengan beberapa nama seperti Makkah, Bakkah, Ummul Qura, al-Baladul Amin, al-Baldah dan al-Masjidil Haram.

Kepelbagaian nama itu menunjukkan mulianya sesuatu yang dinamai tersebut dan agungnya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan demi negeri (Mekah) yang aman. (at-Tin: 3), dan firman-Nya yang bermaksud:

Aku benar-benar bersumpah dengan negeri ini (Mekah), dan kamu (Muhammad) bertempat di negeri (Mekah) ini. (Al-Balad: 1-2).

Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda kepada bumi Mekah: “Sesungguhnya engkau negeri yang paling baik, dan paling aku cintai. Andai kaummu tidak mengusirku, maka aku tidak akan tinggal di tempat selainmu.”

Beberapa tempat yang dituntut umat Islam mengagungkan dengan menunaikan ibadat seperti yang disyariatkan adalah seperti berikut:

1. Masjid Haram

Masjid Haram adalah masjid yang paling utama keistimewaannya berbanding masjid-masjid lain di seluruh pelosok bumi. Ia adalah masjid yang tertua didirikan di muka bumi ini.

Oleh itu umat Islam dituntut mengunjunginya dan beribadat di dalamnya. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar r.a maksudnya: Beliau berkata kepada Rasulullah SAW,

Masjid manakah yang pertama dibina di bumi ini? Rasulullah bersabda: Masjidul Haram.” Aku bertanya lagi: “Kemudian masjid apa?” Jawab baginda : “Masjidul Aqsa.” Aku bertanya berapa lama tempoh antara keduanya: Baginda bersabda: Empat puluh tahun, bila saja tiba waktu solat kepada kamu, maka solatlah di dalam keduanya kerana keutamaan ada pada keduanya.”

Dalam sebuah hadis lain dari Jabir, Rasulullah SAW bersabda: “Solat di Masjidku lebih utama 1,000 kali daripada solat di masjid lain kecuali Masjidul Haram. Dan solat di Masjidul Haram lebih utama 1,000 kali berbanding solat di masjid selainnya.”

2. Kaabah

Keistimewaan Masjid Haram juga adalah kerana di sana terletaknya Baitullah yang suci iaitu Kaabah yang menjadi kiblat seluruh kaum Muslimin di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim a.s untuk membinanya.

Keistimewaan Kaabah kerana ia dihubungkan dengan dua rukun Islam iaitu solat dan haji. Solat tidak sah tanpa menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maka hadapkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah muka kamu ke arahnya. (al-Baqarah: 144).

Begitu juga ibadat haji tidak sah tanpa melakukan tawaf di Kaabah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan kewajipan manusia terhadap Allah SWT adalah mengerjakan haji di Baitullah (iaitu) bagi sesiapa yang berkemampuan menanggung perjalanan ke Baitullah (ali-‘Imran: 97)

Mengagungkan Kaabah hendaklah dilakukan sesuai dengan cara yang telah disyariatkan oleh Allah dan rasul-Nya iaitu menghadap ke arahnya, mengelilinginya untuk bertawaf, menyentuh hajarul aswad dan Rukun Yamani dan boerdoa di Multazam.

Adapun perbuatan selainnya seperti bergantung pada kelambu Kaabah, menyentuh dan mencium selain hajarul aswad kerana meminta barakah adalah termasuk amalan mengagungkan Kaabah dengan cara menyalahi petunjuk Nabi SAW. Di sekitar Kaabah juga terdapat Hijir Ismail dan Maqam Ibrahim yang mana diperintahkan untuk mendirikan solat dan berdoa pada keduanya.

3. Safa dan Marwah

Kedua-duanya adalah bukit terletak di sebelah timur Kaabah yang disyariatkan untuk melakukan Saie di antara keduanya yang menjadi rukun kepada ibadat haji dan umrah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah. Maka barang siapa yang menunaikan haji atau umrah di Baitullah, maka tiada dosa baginya mengerjakan sa’i di antara ke duanya. (al-Baqarah: 158)

Imam Thabari ketika menafsirkan ‘sebahagian dari syiar Allah’ menjelaskan ia termasuk tanda-tanda kekuasaan Allah yang dijadikan bagi hamba-hamba-Nya untuk beribadah dengan cara berzikir dan berdoa pada keduanya.

4. Arafah, Muzdalifah dan Mina

Ketiga-tiga tempat ini termasuk tempat-tempat yang diagungkan yang dikenali sebagai masy’aril haram, syiar-syiar yang suci dan tempat-tempat yang wajib dikunjungi dalam ibadah haji.

Arafah dikunjungi pada hari Arafah sahaja iaitu pada hari kesembilan dari bulan Zulhijjah untuk melaksanakan wuquf, berzikir dan berdoa kepada Allah bermula daripada gelincir matahari sehingga terbenamnya matahari.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Kemudian bertolaklah kamu dari tempat bertolaknya orang ramai (Arafat) dan mohonlah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang. (al-Baqarah: 199)

Dari Arafah, para hujjaj bergerak ke Muzdalifah pada malam Hari Raya Aidiladha atau malam hari Nahr ( hari sembelihan) untuk melakukan mabit (bermalam) padanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafat, maka berzikirlah kepada Allah di Masy’aril Haram. Dan berzikirlah kepadaNya sebgaimana cara yang ditunjjukkanNya kepada kamu, dan sesungguhnya kamu sebelum itu termasuk orang-orang yang sesat. (al-Baqarah: 198)

Mina pula adalah tempat ketiga masy’aril haram dikunjungi semasa ibadah haji selepas Arafah dan Muzdalifah. Amalan yang disyariatkan di mina ialah bermalam (mabit), melempar tiga jumrah iaitu jumratul Kubra, Wusta dan Sughra, dan menyembelih binatang korban pada hari ke-10 hingga ke-13 Zulhijjah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang telah ditentukan. Barangsiapa yang ingin cepat berangkat (ke Mekah dari Mina), sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya, bagi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 203)

Sesungguhnya Allah SWT memilih bumi Mekah dan sekitarnya untuk dimulia dan diagungkan. Ia adalah tempat suci yang dikenali sebagai masy’aril haram yang telah disyariatkan keutamaannya oleh Allah SWT.

Di tempat-tempat ini, jemaah haji dan umrah dituntut mengagungkan syiar Allah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Demikianlah (perintah Allah).

Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah (melalui amalan tertentu dalam ibadat haji dan tempat-tempat tertentu yang dikhususkan) maka sesungguhnya ia terbit dari hati yang bertakwa. (al-Haj: 32).

Sumber: Bicara Agama Utusan Malaysia

PENGERTIAN SEBENAR HAJI MABRUR


Bersama Tabung Haji: Oleh Zulkarnain Ali

TUNTUTAN ISLAM: Niat menunaikan haji mesti ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah.

Keikhlasan tunai ibadat perlu bermula dari rumah, tidak boleh riak.

ISTILAH mabrur lebih mashyur di bibir masyarakat daripada mengetahui maknanya yang sebenar. Apakah yang dimaksudkan haji mabrur?

Ibn Kholawaih mentakrifkan al-Mabrur sebagai al-Maqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan (tarjih) oleh Imam Nawawi dengan pendapat itu (tidak bercampur dosa).

Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ‘Kelebihan Haji Mabrur’, manakala Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab ‘Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan’.

Ini berdasarkan dua riwayat utama, Abu Hurairah dan Aisyah Radiyallahu’anha iaitu:

Riwayat dari Abu Hurairah Radiyallahu’anhu:

Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya: Haji yang mabrur (diterima).

Aku dengar Nabi bersabda: sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa-dosa).

Riwayat ‘Aisyah Radiyallahu’anha:

Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan. Adakah kami perlu berjihad? Sabda baginda: Tidak, akan tetapi seafdal-afdal jihad ialah haji yang diterima (mabrur).

Bagaimana Mencapai Haji Mabrur?

Secara umumnya, sebagai seorang yang taat kepada Allah dan Rasulnya yang ingin mencapai haji yang diterima di sisi Allah, hendaklah memenuhi kriteria berikut:

  • Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riak (menunjuk-menunjuk).

Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith di atas dengan berkata;

Mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan al-mabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak riak pada hajinya.

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Malah, Rasulullah mengajar kita dengan doa yang telah thabit di dalam hadisnya, antaranya doa ketika bermusafir:

Ya Allah, Engkaulah Empunya permusafiran ini, dan khalifah bagi (menjaga) keluarga (ku), aku berlindung dengan-Mu dari keburukan permusafiran, kekaburan penglihatan, keburukan pada harta dan keluarga.

  • Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.

Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:

Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin mengikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat al-Quran.

Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan. Kemudian Rasulullah membacakan lagi:

Wahai orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” (Surah al-Baqarah 172).

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata ‘Ya Tuhanku’ sedangkan punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima?”.

  • Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.

Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah di dalam sunnahnya. Sebagai seorang Muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.
Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.

Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab

Kau hanya sebuah batu yang tidak mampu membawa mudarat dan faedah, kalau bukan kerana aku lihat Rasulullah mengucupnya, sudah aku tidak aku mengucupnya.(Muttafaqun Alaih).

Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.

  • Selepas menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji.

Ini sesuai dengan hadis:

Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah: Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita itu: Ya. Sabda Nabi: Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)“. (Sahih Bukhari No Hadith 1720, 6771).

Adakah Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Besar?

Imam al-Munzir antara yang berpendapat mengatakan bahawa haji yang diterima diampunkan sekali gus dosa yang besar mengikut mafhum hadis berikut;

Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama mendalami sebenar inti pati fardu haji. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang diterima hajinya di sisi Allah Ta’ala. Dan kembalinya kita ke tanah air dari Makkah biarlah berdasarkan hadis yang telah disebutkan;

“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa)”.

INTI PATI

  • Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.
  • Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
  • Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
  • Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.
  • Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).

– Penulis adalah Pengurus (Hal Ehwal Haji Antarabangsa), Lembaga Tabung Haji.

Sumber: Blog Mutiara Hati (http://nurjeehan.hadithuna.com/2007/09/pengertian-sebenar-haji-mabrur/)

PENGHAYATAN AKIDAH DALAM MELAKSANAKAN IBADAT HAJI


Oleh: Dr. Abdul Rahman Mahmod, UKM
Majalah Sinar Rohani Keluaran November-Disember 2007.
Setiap ibadat yang disyariatkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya mempunyai dua sudut utama iaitu sudut akidah dan sudut syariat. Oleh itu penghayatan terhadap ibadah yang dilakukan hendaklah bertolak daripada keimanan yang sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sementara untuk memastikan ibadat itu sah dan diterima oleh Allah maka ia hendaklah dilaksanakan dengan sempurna sebagaimana yang di tetapkan oleh syarak. Hasil daripada penghayatan terhadap kedua-dua unsur ini akan menghasilkan insan muslim yang cemerlang.

Gambaran pertautan antara akidah dan syariat diibaratkan oleh al-Quran sebagai sebatang pokok yang teguh dan kuat dengan dahan-dahannya yang banyak dan mantap. Pokok yang subur dan mantap ini kemudiannya akan mengeluarkan buah-buah yang banyak. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang bermaksud: Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah seumpama sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Gabungan antara akidah dan syariat atau iman dan Islam adalah merupakan hakikat agama yang sempurna. Kerana seseorang manusia yang hanya mempunyai keimanan tanpa melaksanakan tuntutan Islam seumpama sebiji benih yang kering dan tidak hidup. Begitu juga seseorang yang melaksanakan tuntutan Islam tanpa iman seperti sebatang pokok yang tidak berguna dan tidak mampu bertahan lama.
Semua jenis ibadat yang dilaksanakan oleh seseorang Muslim merupakan bukti keimanan dan pada masa yang sama ibadat itu akan memperkasakan lagi keimanan yang telah tertanam di dalam hati sanubari. Oleh itu, perlu kita fahami bahawa ibadat yang kita lakukan tidak terhenti kepada gerakan luaran sahaja sebagaimana yang dapat kita saksikan. Namun, ia memerlukan kepada keimanan yang tertanam di dalam jiwa. Keimanan itu akan membuahkan keikhlasan dan keikhlasan itulah yang akan melahirkan tingkah laku yang sempurna dan akhlak yang mulia, sama ada dalam hubungan dengan Allah s.w.t. atau hubungan sesama manusia. Hakikat ini dapat kita lihat dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-‘Asr ayat 1-3: Demi Masa!, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Pada hari ini kita melihat persoalan akidah dalam jiwa umat Islam semakin malap. Dalam keadaan tertentu ia diketepikan oleh kesibukan urusan dunia harian. Maka dengan itu akidah tidak berfungsi lagi dalam kehidupan manusia. Sungguhpun akidah dalam jiwa umat ini masih hidup dan bangkit dalam keadaan tertentu namun ia tidak mampu bartahan lama dan ia akan kembali layu dan terlena dengan dibuai mimpi. Perumpamaan akidah umat Islam hari ini seperti seorang yang sedang sakit. Ia yakin bahawa penderitaannya tidak akan berakhir kecuali dengan menelan ubat yang pahit. Namun ia tidak mempunyai semangat dan kesungguhan untuk mengambil dan menelan ubat yang pasti boleh menghapuskan penderitaannya. Penghayatan akidah yang seumpama ini tentunya tidak akan mampu membangkitkan mereka yang tidur dan tidak akan berupaya mengerakkan sesuatu.
Sementara sebilangan umat Islam yang lain memiliki akidah yang hidup, namun ia separuh lumpuh. Akidahnya hanya mampu menguasai beberapa tidakan tertentu sahaja. Contohnya mereka sangat mengawal dan menjaga hubungan dengan manusia. Semua amanah dan tanggung jawab dilaksanakan dengan baik dan sempurna, tetapi mereka tidak menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Ada juga sebilangan yang lain yang sangat menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. seperti sembahyang berjamaah dan banyak amalan sunat, sedang mereka tidak menjaga hubungan dengan sesama manusia. Hati mereka dipenuhi rasa benci dan dengki kepada saudara Islam yang lain. Golongan ini akan sanggup untuk menggadaikan agama untuk kepentingan dunia.

Golongan yang benar-benar menghayati akidah Islam adalah mereka yang fana’ dalam melaksanakan tuntutan akidah dan menjiwai perlaksanaan tuntutan syariat Islam. Kehidupan mereka seumpama akidah yang telah dijelmakan di alam nyata. Lihatlah kepada Rasulullah s.a.w. yang disifatkan sebagai al-Quran yang bergerak. Mereka inilah yang disifatkan oleh al-Quran dalam surah al-Nur ayat 37 yang bermaksud: Orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
Dalam pelaksanaan ibadat haji, tuntutan penghayatan terhadap akidah dan pelaksanaan syariat dapat dilihat dengan jelas. Perhatikan kenapa Islam mewajibkan kita menunaikan ibadat haji di satu tempat secara beramai-ramai dengan menggunakan pakaian yang sama? Pasti ada suatu rahsia yang dikehendaki oleh syarak dengan pengsyariatan ibadat ini.
Prof. Dr. Abdullah Draz telah membuat satu analisis mengenai persoalan ini dalam bukunya yang bertajuk “Penelitian Terhadap Islam” bahawa pensyariatan ibadat haji merupakan simbol kesatuan umat Islam. Menurut beliau kesatuan umat Islam berpaksikan kestuan akidan dan kesatuan syariat. Mereka mengabdikan diri kepada Tuhan yang Esa dan berpandukan kitab yang sama.

Umat Islam pada hari ini berada di seluruh pelusuk dunia. Mereka yang menganut Islam terdiri dari berbagai bangsa dan warna kulit. Mereka juga memiliki adat resam dan budaya yang berbeza. Semuanya perlu disatukan dibawah satu naungan dan perlu saling mengenali antara satu sama lain. Perhimpunan ini akan dapat melahirkan persaudaraan dan toleransi serta menghapuskan perbezaan warna kulit dan bahasa. Oleh itu, untuk merealisasikan hakikat ini Allah s.w.t. menjadikan penghubung kepada seluruh umat Islam di dunia dengan berhimpun di satu tempat pada setiap tahun untuk menyembah Allah s.w.t. berpandukan kepada Syariat itu. Tempat yang paling sesuai untuk menyatukan umat Islam ialah di rumah Allah.
Di negara masing-masing mereka disatukan di rumah Allah iaitu masjid dan surau. Dalam bulan haji seluruh umat Islam disatukan di rumah Allah yang sentiasa dirindui oleh setiap orang yang beriman sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim ayat 37 yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

Dengan pelaksanaan ibadat haji, umat Islam akan merasai kesatuan akidah, syariat dan tanah air sekalipun mereka berlainan bangsa dan bahasa. Bila mereka pulang ke negara masing-masing mereka akan mengingati bahawa mereka adalah umat yang sama dibawah naungan agama Islam. Kesatuan umat Islam tidak boleh dipisahkan oleh sempadan daerah atau negara. Mereka adalah saudara seagama dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang.

SEJARAH IBADAH HAJI


Oleh: Mohd Basri Ahmad Shohimi

Haji adalah rukun sebagaimana pegangan akidah muslim. Ibadah ini adalah satu ketetapan Illahi sejak azali lagi dan ianya berkait rapat dengan kepercayaan hari kebangkitan kelak ketika menghadapi tuhan Rabbul jalil.Setiap ibadah mempunyai tatacara dan kaifiatnya yang tersendiri. Islam meletakkan kaedah-kaedah ini setelahmana usul dan qawaid diperbincangkan. Di sana timbullah kaedah “setiap yang bermula ada permulaannya” begitulah yang diungkapkan dari pengucapan bahasa Arab. Tetapi ianya bukanlah satu perbincangan tuntas dalam memperkatakan soal kewajipan haji atau menyentuh aspek rukun dan sunat haji. Adanya ruang yang lebih luas untuk menghuraikan cabangan kaedah ini,lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan kefardhuan Islam dan bagi Allah sahajalah yang selayakya untuk segala coretan yang bersifat baharu baik bersifat qadim.

Bersandarkan pada persepsi ini, bagi sesiapa yang diizinkan Allah untuk menunaikan kefardhuan haji pada tahun ini setelah segala persiapan yang bersungguh-sungguh dengan mendapat petunjuk untuk menjadi tetamu Allah. Pada tulisan ini penulis mengira mereka ini adalah golongan yang mengendong beg-beg mereka dan bermusafir kedua-dua tanah suci haram yang dimuliakan oleh Allah dengan permusafiran dan perjalanan yang sungguh bahagia.

Ziarah ke BaitillahilHaram ini adalah semulia-mulia kefardhuan dan dinilai tinggi di sisi Allah swt. Kefardhuan ini ditaklifkan oleh Allah kepada hambanya sejak awal penciptaan makhluk, malah sebelum penciptaan itu lagi Allah telah memilih tempatnya yang mulia lagi barakah ini. Tempat itu pada ilmu Allah Taala sejak azali lagi akan dijadikan kiblat bagi keseluruhan manusia kerana ianya berpusat pada kedudukan yang sama dengan Bait Ma’mur di langit yang keempat.

Anas bin Malik r.a meriwayatkan daripada Malik bin Sa’saah dengan katanya: berkata Rasulullah S.a.w:

Aku telah dibawa ke langit keempat dan diangkat ke Bait Ma’mur. Kedudukannya bersetentangan dengan kaabah, jika runtuhnya ia maka mengenai kaabah. Pada setiap hari akan masuklah 70,000 para malaikat kedalamnya lalu apbila mereka keluar dari situ mereka tidak akan kembali lagi ke arahnya’.

Pada satu aspek, Baitulllah yang mulia ini dianggap sebagai paksi bumi di antara timur dan barat dan juga menjadi satu pusat tumpuan penglihatan dan hati-hati manusia dari seantero dunia sejak dahulu hinggalah tiba kiamat kelak. Pada asas pembinaan Baitullah ini, ianya disempurnakan dalam beberapa peringkat:

PERINGKAT PERTAMA

Sebelum penciptaan abul basyar Adam a.s. sebagaimana diriwayatkan daripada Hasan bin Husein bin Ali bin Abi Talib radiyallahuanhum. Sesungguhnya seorang lelaki datang bertanyanya: “apakah asas permulaan tawaf bagi kaabah ini? Kenapa dan bagaimana? Maka jawab Ali kepada lelaki tersebut:” permulaan tawaf bagi kaabah ini ketika mana Allah taala berfirman kepada para malaikat:

Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah….. (Al Baqarah – 30)

Maka kata malaikat: ” wahai Tuhan! khalifah selain kami ini bakal merosakkan bumi menumpahkan darah dan bercakaran serta berhasad dengki. Lalu kata mereka lagi: jadikanlah khalifah itu di kalangan kami, nescaya kami tidak melakukan kerosakan,menumpahkan darah dan berhasad dengki bahkan kami ini golongan yang bertasbih, memuji dan menyucikanMu. Kami taat padaMu dan tidak ingkar.
Lalu Allah berfirman:

Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Di dalam satu riwayat mengatakan:

“Allah s.w.t telah meletakkan di bawah arasy itu sebuah rumah yang berbucukan empat. Kemudian Allah berfirman kepada para malaikat: ” tawaflah kamu semua di rumah ini (Kaabah), lalu bertawaflah para malaikat di Baitil Ma’mur yang telah disebutkan oleh Rasul s.a.w di mana ia dimasuki setiap hari siang dan malam oleh 70000 malaikat dan mereka ini tidak kembali. Kemudian riwayat ini juga menyebutkan Allah mengantarkan utusan dengan firmannya:

Binakanlah bagiku sebuah binaan di bumi seumpamanya ( Bait Ma’mur) dan seutuhnya, lalu Allah memerintahkan makhluknya yang berada di bumi bertawaf sepertimana tawafnya penduduk langit di Bait Ma’mur.

PERINGKAT KEDUA

Iaitu ketika zaman Nabi Adam alaihissalam setelah mendapat perintah Allah s.w.t. Perkara ini sebagaimana pendapat yang diberikan oleh sebahagian mufassirin. Imam Thabari ketikamana menghuraikan pada tafsiran firman Allah s.w.t:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah.

Firman Allah pada ayat ini menurut huraian tafsiran Imam Thabari menunjukkan asas pembinaan kaabah bermula dengan tangan Abul Basyar Adam alaihissalam setelah diperintah Rabbul jalil lalu binaan ini kekal kesannya hingglah ke zaman nabi Ibrahim alaihissalam kemudian binaan ini ditinggikan oleh Ibrahim a.s bersama anaknya Ismail alaihissalam.

Al Imam Qurthubi pula mengulas di dalam tafsirnya dengan menjelaskan:

Setelah selesainya pembinaan kaabah, nabi Ibrahim a.s seraya menyeru manusia kepada haji dengan kata baginda: wahai Tuhan! Apakah akan sampai seruan suaraku ini? Berfirman Allah: serulah mereka, lalu berangkatlah Ibrahim memanjat bukit Abi Qubais lalu melaungkan seruan haji: ” wahai Manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kamu semua menunaikan haji di rumah ini (kaabah) supaya diganjarkan kamu dengan syurga dan melepaskan kamu dari azab neraka.

Lalu seruan tersebut disahut dengan laungan talbiah oleh umatnya. Pengsyariatan haji pada zaman Ibrahim Alaihissalam sangat berbeza, mengikut riwayat yang diambil melalui ibn abbas dan ibn Jabir menceritakan syariat haji pada zaman itu berasaskan seruan Nabi Ibrahim. Sekiranya pada satu tahun diseru dengan sekali maka diwajibkan sekali sekiranya dua kali penyeruan itu lalu umat pada ketika itu akan melakukan haji secara dua kali” .

PERINGKAT KETIGA

Pada peringkat ini ulamak mengambil fakta berdasarkan kedatangan Amaliqah (satu puak selepas zaman nabi Ibrahim) dengan membuat pembinaan dan pemulihan semula. Namun disana juga terdapat pendapat yang bersandarkan riwayat daripada Abd Mun’im bin Idris daripada Wahab bin Munabbih dengan katanya: orang yang memulakan binaan kaabah dengan menggunakan salutan batu dan tanah adalah Syish a.s. Adapun pembinaan pada zaman Quraisy begitu masyhur. Pemulihan dan pembinaan ini berterusan secara berperingkat-peringkat sehinggalah 5 tahun sebelum kebangkitan Rasul s.a.w tajdid ini sentiasa dilakukan. Tiba pada zaman ketika kaabah di bawah penguasaan Quraisy pula, binaan kaabah telah dibina semula dengan menggunakan batu-batu wadi ini sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam Qurthubi di dalam Jami’ ahkam Al quran dengan riwayat oleh abd Razak daripada Muammar daripada Abdullah bin Uthman daripada Abi Tufail. Rasul s.a.w adalah di kalangan mereka yang bersama-sama membantu pembinaan ini. Pada ketika pembinaan kaabah ditinggikan pada ketinggian 20 hasta. Ini sebagaimana yang di ceitakan di dalam catitan sejarah dan sirah nabawiyyah yang ianya tidak dapat dipadam.

Begitulah pembinaan dan pembaik pulihan sehinggalah ke zaman Malik Saudi dengan pemasangan 2 pintu masuk baru. Pemasangan ini terus menerus dengan pembaharuan system dari satu pemerintahan ke pemerintahan.

Pertama: pembaikan yang dilakukan pada zaman Malik Abd Aziz Rahimahullah pada 1944M/1363H.
Kedua: berlaku pada zaman Malik Khalid iaitulah dengan pemasangan pintu dengan salutan emas tulin.

Fardhu haji adalah satu rukun yang amat berbeza dengan rukun-rukun yang lain dari segala aspek terutamanya aspek praktikaliti yang teliti dan rumit serta memerlukan pengorbanan yang amat besar dan banyak. Kefardhuan haji adalah anasir yang terhimpun dari dua aspek yang seiring iaitulah jasadi dan harta. Ianya juga kadangkala tampak jelas sekali hikmah-hikmah yang tidak dapat dijelaskan dan dihuraikan dengan akal budi manusia yang terbatas ini. Perkara ini dijelaskan sebagaimana firman Allah di dalam surah Al Haj berkaitan dengan hikmah-hikmah pada beberapa bahagian rukun dan wajibnya tanpa menyentuh bahagian-bahagian yang lain. Firman Allah di dalam surah al-Haj 28-29:

Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Firman Allah lagi di dalam surah yang sama pada ayat yang lain :

Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”.

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.surah al- Haj : 36-37

Melalui firman Allah ini, haji dinilai dari beberapa sudut ianya hanyalah pada pakaian semata-mata. Mungkin juga ada yang berpandangan dengan sendiri ianya pakaian yang menjurus ke arah ketaasuban yang sempit. Tetapi pada satu sisi pandangan lain ianya satu fitrah yang boleh disingkap dengan iktibar.

Di dalam diri manusia terdapat satu kecenderungan fitrah yang menular dan melebar luas berhasil dari pembentukan secara zahir dan rohani. Pada asas fitrah ini, Islam telah menegaskan segala bentuk ubudiah secara keseluruhannya. Ianya dapat dipraktikkan di dalam ibadah haji yang menyentuh dari segenap aspek samaada hati,pancaindera dan gerak geri perbuatan.

Haji pada isitilah dengan membawa maksud kata-kata dan perbuatan yang dilaksanakan pada waktu yang dikhususkan. Bagi seseorang yang mengerjakan haji dia akan melihat dan terhidang di mata kepalanya dengan syiar-syiar yang telah disebutkan Allah. Berdirinya di lapangan Kaabah lantas bertawaf sekitar Baitil Atiq rumah kecil yang dibina oleh Abul anbiya bersama anaknya. Perkara ini jelas di dalam firmanNya:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim a.s bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui “. – Al-Baqarah :127

Selesainya tawaf sekitar kaabah, sa’ie menjadi hala tuju seterusnya. Di sinilah terpaterinya sejarah seorang ibu yang penyabar. Ibu ini yang telah mengendong bayi kecil setelah ditinggalkan suaminya atas perintah Rabbul Jalil. Perkara ini terpahat sebagai satu syiar Islam sehingga dijadikan rukun haji. Safa dan marwah adalah tempat yang mulia dan agung bagi penunai haji. Perkara ini dijelaskan di dalam firman Allah:

Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya…….”

Peristiwa Ibrahim a.s yang telah diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anaknya ini tercatat di dalam lipatan sejarah. Peninggalan Ibrahim a.s ini disaksikan dengan firman Allah ketika baginda bermunajat dengan doanya memohon keselamatan kepada isteri dan anaknya. Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 37:

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”.

Kesimpulannya, haji merupakan symbol kesatuan ummah dalam merealisasikan ketaatan terhadap Allah. Dari aspek yang lain, kesatuan ini menunjukkan tolenrasi Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit untuk ibadah yang satu. Ianya juga di anggap simbolik kepada keadaan yang bakal ditempuhi oleh umat manusia setelah mengakhiri hayat mereka kelak. Di sanalah juga bakal wujudnya satu perhimpunan yang agung di atas lembaran mahsyar yang dahsyat.

________________________________________

*Penulis merupakan Lulusan al-Azhar dan Syria. Kini merupakan Staf Biro Dakwah dan Tarbiah ABIM Pusat.

%d bloggers like this: