• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

IBN AL-BAITAR – PAKAR BOTANI MUSLIM


Ibn al-Baitar atau nama penuhnya Abu Muhammad Abdallah Ibn Ahmad Ibn al-Baitar Dhiya al-Din al-Malaqi adalah salah seorang saintis terulung Muslim Sepanyol. Beliau dilahirkan di sebuah kota dikenali Malaqa atau Malaga di Sepanyol pada akhir kurun ke-12. Beliau merupakan seorang ahli botani dan farmasi yang terkenal pada kurun pertengahan.

Beliau belajar ilmu botani daripada Abu al-Abbas al-Nabati. Perkara pertama yang dilakukannya ialah mengumpul tumbuh-tumbuhan dari seluruh Sepanyol. Pada tahun 1219, beliau meninggalkan Sepanyol untuk menjalankan kerja-kerja mengumpul tumbuh-tumbuhan menerusi pengembaraan di bahagian utara susur pantai benua Afrika. Pengembaraan itu menjangkau sehingga ke benua Asia Kecil. Cara beliau mengembara sama ada di darat atau laut tidak diketahui sehingga hari ini. Bagaimanapun antara tempat-tempat yang beliau singgah dan lawati ialah Bugia, Qastantunia (Constantinople), Tunis, Tripoli, Barqa and Adalia.

Selepas tahun 1224, beliau menyertai perkhidmatan al-Kamil kerajaan Gabenor Mesir dan dilantik sebagai ketua pakar herba. Pada tahun 1227, al-Kamil telah meluaskan kuasanya sehingga ke Damsyek manakala Ibn al-Baitar mengiringinya ke sana yang mana ia turut menyumbang kepadanya untuk mengumpul tumbuh-tumbuhan di Syria. Penyelidikannya mengenai tumbuh-tumbuhan ketika itu turut diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Arab Saudi dan Palestin.

Di kedua-dua negara itu, beliau berpeluang melawat stesen penyelidikan dan mengumpul tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ. Beliau meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248. Sumbangan utama Ibn Baitar ialah Kitab al-Jami fi al-Adwiya al- Mufrada yang merupakan salah sebuah kompilasi botani yang terhebat mengenai tumbuh-tumbuhan perubatan di Arab Saudi.

Statusnya sebagai pakar botani terus unggul di kalangan ahli botani lain sehingga kurun ke-16. Ini ada kaitan dengan kerja-kerjanya yang penuh sistematik terutama pada awal penglibatannya dalam dunia botani. Kritikan yang diterimanya ketika itu tidak mematahkan semangat beliau, sebaliknya menyuntik semangat kepadanya untuk menyumbang dalam bidang botani. Ensiklopedianya itu mengandungi kira-kira 1,400 pelbagai perkara yang sebahagian besarnya mengenai tumbuhan perubatan dan sayur-sayuran. Lebih mengagumkan, ensiklopedia itu mendedahkan kira-kira 200 jenis tumbuh-tumbuhan yang sebelum itu tidak dikenali.

Buku itu ditulis hasil rujukannya daripada 150 penulis lain yang kebanyakannya dari Arab Saudi dan ia turut memetik kenyataan 20 ahli sains terawal Greek. Ensiklopedia itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan diterbitkan pada tahun 1758. Hasil karyanya yang kedua ialah Kitab al-Mlughni fi al-Adwiya al-Mufrada iaitu sebuah ensiklopedia perubatan.

Beberapa jenis dadah telah disenaraikan mengikut kesesuaiannya dengan nilai-nilai terapeutik atau ilmu perubatan mengenai cara merawat atau mengubati penyakit. Selain itu, terdapat 20 bab berlainan mengenai tumbuh-tumbuhan yang mempunyai signifikan dengan penyakit berpunca dari kepala, telinga, mata dan lain-lain. Beliau turut memetik kenyataan daripada pakar bedah Muslim terkenal, Abul Qasim Zahrawi untuk dimuatkan ke dalam bab berkaitan pembedahan.

Selain menggunakan bahasa Arab untuk menamakan tumbuh-tumbuhan yang ditemuinya, Ibn Baitar turut menggunakan bahasa Greek dan Latin untuk tujuan itu. Sumbangan Ibn Baitar dalam bidang ini lebih kepada karakter hasil pemerhatian, analisis dan klasifikasinya terhadap tumbuh-tumbuhan. Ia turut dilihat memiliki pengaruh dari Barat dan Timur dalam ilmu botani dan perubatan. Sejak kitab Jami diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa berkenaan, ramai ahli sains lain mula mengkaji isi kandungannya dan seterusnya menjadikannya sebagai bahan rujukan. Ibnu Baitar meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248.

IBN KHALDUN – BAPA SOSIO EKONOMI DAN POLITIK


Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Italy, dan SepanyoL Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ibn Khaldun mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran, al’Hadith, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan mantik. Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah al-Jayyani, Abd Allah Muhammad bin Abd al-Salam.Ibn Khaldun menjadi cendekiawan yang agung sehingga disanjung oleh Barat kerana buah fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat Islam mengkajinya. Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibn Khaldun dalam ekonomi banyak dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al Muqaddimah. Antara teori ekonomi yang terdapat dalam karyanya masih lagi relevan dengan masalah ekonomi semasa.

Ibn Khaldun telah membincangkan beberapa prinsip dan falsafah ekonomi seperti keadilan (al adl), hardworking, kerjasama (cooperation), kesederhanaan (moderation), dan fairness.Berhubung dengan keadilan (Justice), Ibn Khaldun telah menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonom. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur dan musnah.Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan. Malah, mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain. Begitu juga kalau meminta seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Islam.

Beliau mengkategorikan perampas harta orang lain secara tidak sah hingga memberi kesan kepada kehidupan isteri dan keluarga sebagai paling tidak adil. Menurut beliau lagi, seseorang yang membeli harta seseorang dengan harga yang paling murah termasuk dalam kategori memiliki harta cara yang tidak betul. Ketidakadilan seumpama di atas membawa kepada kejatuhan sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibn Khaldun, atas sebab sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh Islam.

Manusia dan Ekonomi

Berdasarkan analisis mendalam, didapati kesemua teori ekonomi dan idea Ibn Khaldun tentang manusia berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan falsafah Islam. Ibn Khaldun tidak melihat fungsi utama manusia dalam aktiviti perekonomiannya seumpama haiwan ekonomi (economic animal). Sebaliknya beliau menganggap manusia itu sebagai manusia Islam (Islamic man/homo Islamicus) yang memerlukan pengetahuan ekonomi untuk memenuhi misinya di atas muka bumi ini.Dalam hal ini, Ibn Khaldun menekankan perlunya manusia menjauhi perbuatan jahat. Sebaliknya manusia wajib mengikuti ajaran Islam sebagai model untuk memperbaiki dirinya dan mesti memberikan keutamaan kepada kehidupan akhirat.

Teori Pengeluaran

Ibn Khaldun mengemukakan teori bahawa kehidupan perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran berasaskan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat. Bahkan beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan matlamat akhir.

Selain itu beliau berpendapat bahawa kenaikan yang tetap pada paras harga amat perlu untuk mengekalkan tahap produktiviti. Dalam hal ini beliau menyarankan agar masyarakat melakukan perancangan supaya setiap bidang pekerjaan dilakukan oleh orang yang mahir dan cekap.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan pembahagian tenaga buruh bergantung rapat dengan pasaran. Di sini dapatlah dinyatakan bahawa teori pembahagian tenaga buruh, pengkhususan tenaga buruh, dan pertukaran yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun 100 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang juga mengemukakan teori yang sama.

Teori Nilai, Wang dan Harga

Ibn Khaldun tidak secara jelas membezakan antara teori nilai diguna (use value) dengan nilai pertukaran (exchange value). Tetapi beliau dengan tegas berhujah bahawa nilai sesuatu barangan bergantung kepada nilai buruh yang terlibat dalam proses pengeluaran.”Semua usaha manusia dan semua tenaga buruh perlu digunakan untuk mendapatkan modal dan keuntungan. Tidak ada jalan lain bagi manusia untuk mendapatkan keuntungan melainkan melalui penggunaan buruh, kata Ibn Khaldun.

Manuskrip dari ibn Khaldun "al-Muqaddimah ', dengan tanda tangannya di sudut kiri atas.

Teori Pengagihan

Menurut Ibn Khaldun harga barangan terdiri daripada tiga elemen utama iaitu gaji atau upah, keuntungan, dan cukai. Ketiga-tiga elemen ini merupakan pulangan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, beliau membahagikan ekonomi kepada tiga sektor iaitu sektor pengeluaran, pertukaran, dan perkhidmatan awam. Menurut Ibn Khaldun, nilai atau harga sesuatu barangan sama dengan kuantiti buruh yang terlibat dalam pengeluaran barangan berkenaan. Harga buruh merupakan asas kepada penentuan harga sesuatu barangan dan harga buruh itu sendiri ditentukan oleh mekanisme permintaan dan penawaran dalam pasaran. Manakala keuntungan terhasil daripada perbezaan yang diperoleh oleh peniaga antara harga jualan dengan harga belian. Namun begitu perbezaan antara kedua-dua harga itu.

Al-Muqaddimah

Ibn Khaldun paling masyhur dengan buku beliau Muqaddimah (Pendahuluan). Ia adalah masterpiece dalam kesusasteraan mengenai falsafah sejarah dan sosiologi. Tema utama dalam karya besar ini adalah untuk mengenali fakta-fakta psikologi, ekonomi, persekitaran dan sosial yang menyumbang kepada kemajuan tamadun manusia dan peristiwa-peristiwa semasa dalam sejarah. Beliau menganalisis daya gerak hubungan perkauman dan menunjukkan bagaimana rasa perkauman (syu’b al-‘asabiyyah) dapat menghasilkan kenaikan tamadun dan kuasa politik baru. Beliau mengenal pasti ulangan hampir berirama bagi kebangkitan dan kejatuhan dalam tamadun manusia, dan menganalisis faktor-faktor yang menyumbang kepadanya.

Pandangan-pandangan revolusi Ibn Khaldun telah menarik perhatian sarjana-sarjana Muslim dan juga ramai pemikir Barat. Dalam kajian sejarah beliau, Ibn Khaldun adalah peneroka dalam mensubjekkan laporan-laporan sejarah kepada dua kategori asas iaitu akal, dan undang-undang sosial dan fizikal. Beliau mengetengahkan empat perkara penting dalam kajian dan analisis laporan sejarah seperti berikut:

  1. mengaitkan peristiwa-peristiwa antara satu sama lain melalui sebab dan akibat
  2. membuat analogi antara masa lalu dan masa sekarang
  3. mengambil kira kesan persekitaran
  4. mengambil kira kesan keadaan yang diwarisi dan ekonomi

Ibn Khaldun menerokai kajian kritis terhadap sejarah. Beliau menyediakan kajian analisis mengenai tamadun manusia, permulaannya, faktor-faktor yang menyumbang kepada kemajuannya dan sebab-sebab kejatuhannya. Oleh itu, beliau telah mengasaskan satu sains baru: sains kemajuan sosial atau sosiologi, seperti mana yang kita panggil sekarang. Ibn Khaldun menulis: “Saya telah menulis sebuah buku mengenai sejarah yang dalamnya saya bincangkan sebab-sebab dan akibat-akibat kemajuan negara-negara dan tamadun-tamadun, dan saya mengikuti satu kaedah yang tidak lazim dalam menyusun material buku tersebut, dan saya mengikuti satu kaedah baru dan inovatif dalam menulisnya.” Dengan memilih kaedah analisis tertentu beliau itu, beliau telah mencipta dua sains baru: historiologi dan sosiologi serentak.

Ibn Khaldun berhujah bahawa sejarah tertakluk kepada undang-undang semesta dan menyatakan kriteria bagi fakta sejarah: “Peraturan bagi membezakan apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah adalah berdasarkan kebolehjadian atau ketidak bolehjadiannya: iaitu saya katakan, kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan membezakan antara sifat-sifat yang penting dan semulajadi dalam tabiinya dan apa yang secara kebetulan dan tidak perlu dilaporkan, mengenal pasti dengan lebih lanjut apa yang tidak mungkin dimilikinya. Jika kita melakukan ini, kita mempunyai satu peraturan untuk memisahkan fakta sejarah dari kesilapan dengan menggunakan kaedah-kaedah demonstratif yang tiada keraguan. Ia adalah kayu ukur sejati yang dengannya para sejarawan dapat mengesahkan apa sahaja yang mereka riwayatkan.”

ABDUL LATHIEF AL-BAGHDADI


ABDUL LATHIEF AL-BAGHDADI, seorang pengembara dan ahli perubatan (ahli anatomi) dilahirkan pada 1162M di Baghdad dan meninggal pada 1231 di kota yang sama. Beliau seangkatan dengan Maimonides, iaitu ahli perubatan dan pengarang buku Aphorisme yang memuatkan sejumlah kritikan terhadap buku Galenus.

Riwayat hidupnya diketahui daripada sebuah autobiografi yang ditulisnya dan masih terdapat hingga kini. Autobiografi ini kemudiannya diberi catatan tambahan oleh seorang ahli sejarah yang turut terkenal pada zamannya, iaitu Ibnu Abi Ushaybi’ah.

Berdasarkan kepada catatan hidupnya, diketahui bahawa beliau melakukan perjalanan panjang dengan mengunjungi Mosul, Damsyik dan Mesir. Kemudiannya, beliau menuju ke Jerussalem, tempat pengumpulan dan perkembangan ilmu. Selama beberapa tahun, beliau mengajar ilmu falsafah dan perubatan di Kaherah dan Damsyik sebelum mengembara ke Aleppo untuk tujuan yang sama.

Beliau menghasilkan sejumlah karya yang kebanyakannya mengenai bidang perubatan. Sebagaimana yang dicatatkan oleh Ushayhi’ah, sebuah bukunya berjudul, Account of Egypt berada di Eropah dan mengandungi maklumat yang cukup terperinci. Manuskrip tersebut dijumpai oleh Edward Pococke, seorang orientalis di Perpustakaan Boldeian.

Di dalamnya, mengandungi deskripsi yang memuatkan deskripsi bencana kelaparan akibat Sungai Nil dilanda kering-kontang. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1200 hingga 1202M dan ia berdasarkan kepada pengalaman beliau yang melihat sendiri kesengsaraan akibat bencana tersebut. Dicatatkan, beliau ketika itu, dalam perjalanan meninggalkan Baghdad ke Mesir untuk mencari individu yang mahir dalam bidang perubatan.

Prof. White dari Universiti Oxford kemudiannya menterjemahkan manuskrip tersebut ke dalam bahasa Latin pada tahun 1800M. Selain itu, De Sacy turut menterjemahkannya ke dalam bahasa Perancis pada 1810 dengan beberapa catatan tambahan yang dianggap penting.

Sepanjang hidupnya, beliau menghasilkan karya yang berjumlah hampir 116 buah kesemuanya. Namanya masyhur sebagai ahli anatomi terkemuka yang pertama memberi deskripsi lengkap dan tepat tentang tengkorak kepala manusia dan tulang muka termasuk tulang rahang bawah.

Di samping itu, Abdul Lathief turut mengembangkan ilmu mengenai pertulangan pada umumnya. Teori Galenus misalnya, mengenai tulang bawah dan tulang yang menghubungkan tulang punggung dan tulang kaki.

Bukunya, Account of Egypt, dinyatakan oleh beberapa pengkaji sebagai salah satu karya topografi terpenting pada abad pertengahan, walhal semasa hidupnya, telah muncul para cendekiawan yang turut membuat kompilasi dan kamus tentang geografi dan topografi seperti Az-Zamakhsyari yang menulis buku Kitab al-Amkinah wa al-Jibal wa al-Miya serta Yaqut, iaitu pengarang buku Mu’jam al-Buldan.

Sumber: http://www.dakwah.com.my

IMAM SYATIBIY TOKOH QIRAAT


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
(Sumber: Arkib Utusan Online: 22-6-2011)
Para hakim tilawah bahagian tajwid terutama di peringkat antarabangsa perlu menguasai ilmu qiraat supaya penghakimannya lebih tepat. – Gambar hiasan

DALAM dunia Islam banyak terdapat persamaan nama ulama antaranya Imam Syatibiy. Jika mereka yang mendalami ilmu syariat, nama Imam Syatibiy tidak asing kerana beliau adalah seorang tokoh perundangan yang menghasilkan banyak buku yang menjadi rujukan antaranya kitab al-Muwafaqat dan al-I’tisam.

Nama penuh Imam Syatibiy yang mengarang kitab al-Muwafaqat ialah Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad al-Syatibiy dan beliau meninggal dunia pada tahun 790 hijrah.

Sementara Imam Syatibiy yang menjadi tokoh qiraat pula bernama al-Qasim ibn Firruh Ibn Khalaf Ibn Ahmad al-Syatibiy. Beliau meninggal dunia pada tahun 590 hijrah.

Karya agung yang dihasilkan oleh Imam Syatibiy al-Muqri’ dan sehingga kini menjadi rujukan di pusat pengajian tinggi al-Quran dalam dan luar negara adalah Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani atau terkenal dengan nama Matn Syatibiy.

Imam Syatibiy

Imam Syatibiy yang alim ilmu qiraat ini walaupun cacat penglihatan namun pandangan hatinya begitu tajam dan Allah menganugerahkan kepadanya kepandaian yang jarang dimiliki insan lain.

Matn Syatibiy yang dihasilkan itu ditulis dalam bentuk syair berjumlah 1,173 rangkap dan kesemua rangkap syairnya itu berakhir dengan huruf lam.

Kitab Al-Muwafaqat.

Beliau menerima ilmu Qiraat dan mendalaminya daripada Sheikh Abi Abdillah Muhammad Ibn abi al-‘As al-Nafazi. Selepas itu beliau membaca kitab Qiraat yang dikarang oleh Abu Amru al-Dani iaitu al-Taisir secara hafalan di hadapan gurunya Ibn Huzail.

Selain itu, beliau juga pakar dalam ilmu hadis dan mampu memperbetulkan hadis-hadis yang salah dibaca daripada kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Kitab Muwatta’ Imam malik berdasar kepada hafalannya.

Ketika beliau menziarahi Mesir, pemerintah Mesir ketika itu meraikan dan menghormatinya. Pemerintah Mesir juga memberi segala kemudahan dan bantuan kepada Imam Syatibiy antaranya melantiknya menjadi ketua guru qiraat di sebuah pusat pengajian Quran di Kaherah.

Menurut Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi, ketika Imam Syatibiy berada di Mesir inilah beliau telah menulis Matn Syatibiy dan Matn Nazimat al-Zuhri dalam Ilmu fawasil.

Matn Syatibiy mendapat tempat dalam arus pembelajaran ilmu qiraat dengan pengaruh yang amat kuat kerana dua sebab utama. Pertama, murid-murid Imam Syatibiy adalah ulama yang amat berpengaruh, menjadi nadi kepada pengajar Matn Syatibiy dan antara mereka ialah muridnya Imam al-Sakhawi iaitu pengarang kitab Jamal al-Qurra.

Faktor kedua, rujukan utama Matn Syatibiy adalah kitab al-Taisir karangan Imam al-Dani yang popular sebelumnya dan diterima ramai. Justeru apabila metod ditukar kepada bentuk syair atau nadham ia mudah untuk dihafal dan menguasai ilmu Qiraat Tujuh.

Di Mesir, Matn Syatiby masih lagi sehingga kini menjadi sukatan pelajaran ilmu Qiraat di peringkat ‘Aliyah di Maahad Qiraat. Di Kuliyyah Quran, Universiti Islam Madinah, Matn Syatibiy menjadi sukatan pelajaran di tahun satu pengajian hingga ke tahun tiga.

Sehingga hari ini banyak ilmu Imam Syatibiy diamalkan sehinggalah penulisan al-Quran dan pembacaannya selalu disebut adalah mengikut riwayat Hafs dari Qiraat Imam ‘Asim dan dari Tariq Syatibiy.

ABU HAMID AL-GHAZALI (IMAM GHAZALI)


Abū Ĥāmid al-Ghazālī, (1058-1111) (Parsi: ابو حامد محمد ابن محمد الغزالی yang dikenali sebagai Algazel di Dunia Barat, adalah salah seorang ilmuwan Islam. Beliau juga merupakan seorang wali Allah yang besar dan lebih dikenali umum sebagai seorang tokoh pemikir Islam serta dianggapi sebagai al-mujaddid untuk kurunnya.

Nama penuhnya Muĥammad ibn Muĥammad ibn Muĥammad ibn Aĥmad, dan nama gelaran nisbahnya al-Ghazālī aţ-Ţūsī. Nama panggilannya (kunyah) pula Abū Ĥāmid. Di antara nama-nama gelaran lain yang telah diberikan kepadanya ialah Ĥujjatul-Islām, Sirāj al-Mujtahidīn dan Zain al-‘Ābidīn.

Riwayat Hidup

Abū Ĥāmid al-Ghazālī dilahirkan pada tahun 450 Hijrah di desa Ghazālah, di pinggir kota Ţūs, yang terletak pada hari ini di bahagian timur laut negara Iran, berdekatan dengan kota Mashhad, ibu kota wilayah Khorāsān.

Keluarga Abū Ĥāmid al-Ghazālī kuat beragama. Ayahnya bekerja menenun kain dari bulu biri-biri. Hasil tenunan kainnya itu dibawa dari desa Ghazālah ke kota Ţūs untuk dijual di sana. Walaupun si ayah adalah seorang lelaki yang miskin, dia juga merupakan seorang yang jujur dan baik hati. Dia suka bergaul dengan al-‘ulamā’ dan juga para sufi sambil memetik ilmu-ilmu

agama, serta berbakti dan berkhidmat kepada mereka. Kerana selalu mendampingi orang-orang yang berilmu dan sering pula mendengar uraian-uraian daripada mereka, si ayah telah merasa kesan positifnya, lalu berdoa agar dia dikurniakan seorang anak yang cerdik, berilmu dan juga şāliĥ. Doanya itu telah diperkenankan

Lahirlah anaknya yang telah diberikan nama Muĥammad. Pada hari tuanya, Muĥammad ini telah menjadi bukan sahaja seorang şāliĥ, malah telah menjadi seorang guru pula kepada golongan aş-şāliĥīn di zamannya, dan telah dikenali umum sebagai al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.

Ayah Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meninggal dunia ketika Abū Ĥāmid al-Ghazālī berumur lebih kurang enam tahun. Setelah ayahnya meninggal dunia, beliau dan adik lelakinya yang bernama Aĥmad, telah hidup di bawah asuhan seorang sahabat ayah mereka, seorang mutaşawwif.

Si ayah ada mewasiatkan sedikit wang dengan sahabatnya itu bagi membiayai kehidupan kedua-dua orang anaknya itu. Mereka pun mula belajar membaca dan menulis daripada sahabat ayah mereka itu. Tetapi, setelah beberapa waktu berlalu, wang belanja itu telah habis.

Maka pada suatu hari, berkatalah si sahabat ayah mereka itu kepada mereka:

“Ketahuilah, telah aku belanjakan segala wang yang telah diwariskan untuk engkau berdua. Dan aku ini seorang lelaki yang miskin dan sering berada di dalam kesempitan. Oleh itu, aku nasihatkan engkau berdua supaya pergi ke Ţūs dan belajar di madrasah di sana. Engkau berdua boleh menuntut ilmu pengetahuan di sana, yang dapat mendatangkan kesenangan kepada engkau berdua dan menghasilkan pangkat yang tinggi”.

Madrasah yang dimaksudkan itu ialah sebuah institusi pelajaran yang diberikan nama al-Madrasah an-Niżāmiyyah. Ia telah diasaskan oleh Niżām al-Mulk, perdana menteri kepada as-Sulţān Alp Arslān (yang berketurunan Seljuq). Al-Madrasah an-Niżāmiyyah juga turut membiayai makanan, pakaian, dan juga kitab-kitab kegunaan para pelajarnya.

Niżām al-Mulk adalah seorang lelaki yang gemar kepada ilmu pengetahuan dan gemar pula bergaul dengan para cerdik pandai. Dia juga telah mendirikan beberapa madrasah, yang secara umumnya, dipanggil al-Madrasah an-Niżāmiyyah, di beberapa tempat lain di dalam empayar Kerajaan Banī al-‘Abbās (ad-Daulah al-‘Abbāsiyyah) ketika itu, seperti di Baghdād, al-Başrah, Mosul (Mauşil), Isfahan, Nīsyābūr, Merv, Balkh dan Herat.

Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī mengenai sebab dia dan adiknya pergi menuntut ilmu:

“Kami telah menuntut ilmu kerana ghairillāh (sesuatu selain daripada Allah, yakni al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi menuntut ilmu tidaklah benar-benar ikhlas kerana Allah)… “

Maka berangkatlah dua orang adik-beradik itu ke Ţūs.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu fiqh daripada seorang ‘ālim yang bernama asy-Syaikh Aĥmad ibn Muĥammad ar-Rādhakānī. Dia juga telah mempelajari ilmu nahu dan ilmu hisab, serta telah berjaya menghafal isi al-Quran. Dia lebih menggemari ilmu-ilmu yang zahir seperti ilmu fiqh, sedangkan adiknya yang bernama Aĥmad itu, sejak masa mudanya lagi sudah mula cenderung kepada ilmu tasawuf.

Kemudian, pada tahun 465 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke Jurjān (di dalam bahasa Parsi disebut sebagai Gorgān dan kota lama ini terletak lebih kurang 160 kilometer dari Ţūs) dan telah belajar daripada seorang guru yang bernama asy-Syaikh Abū Naşr Ismā‘īl ibn Mas‘adah al-Ismā‘īlī.

Ketika sedang belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang pelajar yang sangat rajin. Dengan tekun, dia telah menulis setiap pelajaran yang telah dia pelajari daripada gurunya itu. Kemudian, dia telah menyalin semula nota-nota itu dan telah dikumpulkannya di bawah beberapa tajuk yang tertentu. Dia sangat menyayangi nota-notanya itu.

Setelah tamat belajar di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun pulang ke Ţūs pada tahun 470 Hijrah. Dia telah mengikat nota-nota pelajarannya itu di dalam sebuah bungkusan dan kemudian telah bertolak bersama sebuah kafilah. Di tengah-tengah perjalanan, kafilah itu telah ditahan oleh sekumpulan penyamun yang telah merampas harta setiap anggota kafilah itu.

Ketika sampai giliran al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pula, setiap barang kepunyaannya telah digeledah dan dirampas oleh kumpulan penyamun itu. Ketika penyamun-penyamun itu menyentuh bungkusan nota-notanya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, “Ambillah semua yang engkau mahu, tetapi jangan engkau ambil bungkusan ini.”

Penyamun-penyamun itu pula telah menyangka yang bungkusan itu mungkin mengandungi harta-harta yang amat berharga. Mereka pun membuka bungkusan itu. Tetapi mereka hanya menjumpai beberapa helai kertas yang sudah bertulis. Mereka pun bertanya, “Apa ini?”

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjawab, “Ini adalah hasil titik peluhku. Kerananya, aku telah meninggalkan kampung halamanku agar aku dapat mendengar, menulis dan memperolehi ilmunya.”

Seorang anggota kumpulan penyamun itu telah ketawa dan telah berkata, “Bagaimanakah engkau boleh mendakwa yang engkau telah memperolehi ilmunya? Andaikata kami rampas bungkusan ini, engkau akan kehilangan ilmunya. Ilmu yang tersimpan di dalam beberapa helai kertas bukanlah ilmu yang sebenar!”

Bungkusan nota-nota itu pun dikembalikan kepada al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Kata-kata daripada si penyamun itu telah menyebabkan al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī tersedar dan mengubah cara dia berfikir.

Beberapa tahun kemudian, ketika dia mengingati kembali peristiwa ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah berkata, “Kata-kata daripada lelaki itu sebenarnya adalah kata-kata yang telah digerakkan (yakni diilhamkan). Allah telah menggerakkannya untuk berkata dengan kata-katanya itu, agar aku dapat menerima petunjuk. Apabila aku sampai semula di Ţūs, aku telah bekerja keras selama tiga tahun, sehingga aku telah berjaya menghapal segala yang telah aku tulis.”

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga telah berkata, “Sebaik-baik nasihat dan teguran yang telah menyebabkan aku mengubah cara aku berfikir, telah datang daripada seorang penyamun jalanan!”

Ketika berada di Jurjān, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah sempat bernikah, dan sepanjang hidupnya, telah dikurniakan oleh Allah dengan empat orang anak, seorang lelaki dan tiga orang perempuan. Tetapi malangnya, anak lelakinya yang bernama Ĥāmid itu, telah mati ketika masih kecil lagi.

Pada tahun 473 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah pergi ke al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr dan telah berguru dengan seorang syaikh yang sangat terkenal di waktu itu, bernama asy-Syaikh Điyā’uddīn Abū al-Ma‘ālī ‘Abdul Mālik ibn ‘Abdullāh al-Juwainī. Guru ini juga dikenali umum dengan nama Imām al-Ĥaramain kerana dia pernah mengajar di Masjid al-Ĥarām di Makkah dan di Masjid an-Nabawī di al-Madīnah al-Munawwarah.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī adalah seorang penuntut yang pintar dan disayangi pula oleh Imām al-Ĥaramain. Pernah gurunya ini memuji al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī dengan mengatakan bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī adalah umpama lautan yang tidak bertepi. Ini menandakan betapa dalam dan luasnya ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Malah telah dikatakan juga oleh beberapa orang pengkaji bahawa al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī memiliki darjah kecerdasan yang sangat tinggi, di paras genius.

Di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Nīsyābūr, tanda-tanda ketajaman otak al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang luar biasa itu telah mula kelihatan. Di pusat pengajian tinggi ini, dia telah belajar ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu bahasa seperti ilmu fiqh, ilmu usul, ilmu mantiq, ilmu falsafah, ilmu kalam dan ilmu perdebatan. Semua ilmu-ilmu ini telah dikuasainya dengan mudah. Dan di sini jugalah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mula menulis kitab-kitabnya yang banyak itu.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī merupakan seorang ‘ālim yang gemar mempelajari bermacam-macam jenis ilmu. Ini telah diceritakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī sendiri di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl.

“Sejak aku masih muda lagi, yakni belum pun aku mencapai umur dua puluh tahun sehingga sekarang, dan kini umurku telah melebihi lima puluh tahun, aku telah terjun ke dasar laut (yakni ilmu) yang dalam ini. Tiada aku hiraukan segala kesulitan dan telah aku kumpulkan seluruh keberanianku.
Setiap jurang aku masuki sehingga aku sampai ke dasarnya. Setiap kemusykilan aku bongkar sehingga aku temui jawapannya yang jelas. Aku selidiki setiap kepercayaan dari setiap golongan. Aku korek hingga sampai ke dasar rahsia tersembunyinya. Ini semua telah aku lakukan agar aku dapat membezakan di antara yang benar dengan yang palsu, yang sunnah dengan yang bidaah.
Ketika aku bertemu dengan golongan batiniah, aku telah memeriksa dengan penuh teliti segala isi ajaran mereka. Ketika aku bertemu dengan kaum zahiriah pula, aku telah menyelidiki segala isi kandungan dan selok-belok ajaran mereka. Demikianlah halnya aku teruskan dengan setiap golongan.
Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli falsafah, aku telah bergaul dengan mereka sehingga aku dapat mendalami cara pemikiran falsafah mereka. Ketika aku bertemu dengan ahli-ahli ilmu kalam, aku telah bergaul dengan mereka sehingga aku dapat mengikuti dan menyelidiki pokok-pokok pegangan hujah-hujah mereka.
Begitu juga apabila aku berdamping dengan para sufi, aku telah berusaha sehingga aku dapat mengetahui rahsia-rahsia kesufian. Ketika aku bergaul dengan ahli-ahli ibadat, aku telah mengkaji kesan-kesan amal ibadat mereka itu. Dan tiadalah aku temui kaum zindiq dan kaum engkar melainkan aku telah menyelidiki sebab-sebab dan latar belakang yang telah menjadikan mereka berpegangan demikian.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah belajar ilmu tasawuf daripada asy-Syaikh Abū ‘Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī aţ-Ţūsī (dilahirkan pada tahun 409 Hijrah di Fārmadh, yang terletak di dalam daerah Ţūs), seorang ‘ālim dan faqīh, yang lebih terkenal di hari tuanya sebagai seorang guru sufi. Di bawah bimbingan gurunya ini, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah mengamalkan beberapa latihan rohani, tetapi dia tidak sempat mencapai tahap kesempurnaan, kerana gurunya ini telah meninggal dunia pada tahun 477 Hijrah.

(Fārmadh yang pernah dieja sebagai فارمذ pada zaman silam kini dieja dieja sebagai Fārmad فارمد)

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī juga ada bertemu dan belajar dengan beberapa orang guru sufi lain, dan salah seorang daripada mereka ialah asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī. Dan di tangan guru sufi inilah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menerima beberapa pembukaan rohani tambahan, yang tidak sempat diterimanya semasa dia berguru dengan asy-Syaikh Abū ‘Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī.

Sebenarnya, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu dahulu dengan asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī sebelum bertemu dengan asy-Syaikh Abū ‘Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī, dan setelah asy-Syaikh Abū ‘Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī meninggal dunia, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah bertemu semula dengan asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī untuk menerima ajaran-ajaran tambahan di dalam ilmu tasawuf.

Seperti keadaan asy-Syaikh Abū ‘Alī al-Fađl ibn Muĥammad al-Fārmadhī, asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī pernah berguru dengan asy-Syaikh Abū al-Ĥasan al-Kharqānī dan selepas itu dengan asy-Syaikh Abū al-Qāsim ‘Abdullāh ibn ‘Alī al-Jurjānī pula. Asy-Syaikh Abū Bakr Yūsuf an-Nassāj aţ-Ţūsī telah meninggal dunia pada tahun 487 Hijrah.

Beberapa waktu setelah Imām al-Ĥaramain meninggal dunia pada tahun 478 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah dijemput ke sebuah tempat bernama al-Mu‘askar untuk bertemu dengan Niżām al-Mulk.

Niżām al-Mulk telah banyak mendengar tentang keluasan dan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī. Oleh itu, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diraikan sebagai seorang ‘ālim yang besar. Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah tinggal di al-Mu‘askar selama lebih kurang enam tahun. Dia juga telah ditemukan dengan al-fuqahā’ dan para pemuka ilmu yang lain. Semuanya telah mengakui akan keluasan dan ketinggian ilmu al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.

Pada tahun 484 Hijrah, Niżām al-Mulk telah melantik al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī ke jawatan pengetua (atau boleh juga dikatakan jawatan ketua profesor) di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād (yang tarafnya sama dengan Universiti Islam pada hari ini).

Ini adalah satu pencapaian yang sangat tinggi, kerana dalam usia baru tiga puluh empat tahun, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah diberikan gelaran Syaikh al-Islām, yakni setinggi-tinggi pangkat dari segi akademik dan keagamaan yang rasmi.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjalankan tugas barunya ini dengan baik. Dia telah menarik perhatian daripada ramai para pelajar, yang dekat mahupun yang jauh. Nama al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah menjadi sangat terkenal di waktu itu, sebagai seorang ‘ālim yang sangat fasih memberikan huraian-huraian pelajaran, dan sangat pandai berdebat dengan hujah-hujah yang jitu, serta sangat luas dan dalam pula ilmunya.

Tetapi keadaan hidup selesa yang penuh dengan kemegahan ini tidak berkekalan, kerana empat tahun kemudian, pada tahun 488 Hijrah, jiwanya telah melalui satu perubahan besar. Badan jasmaninya masih sihat tetapi jiwanya telah bergolak, dalam satu keadaan tertekan yang boleh diumpamakan seperti air yang sedang menggelegak. Ini telah menyebabkannya jatuh sakit.

Perubahan fikiran dan ledakan jiwa ini adalah berpunca dari satu kesedaran bahawa selama ini, segala kejayaan yang telah dicapainya, seperti memegang jawatan pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di kota Baghdād itu, bukanlah telah dilakukannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala, tetapi telah juga dicampuri dengan sebab-sebab duniawi.

Telah bercerita al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī di dalam kitabnya yang bernama al-Munqidh Min ađ-Đalāl:

Telah menjadi nyatalah kepadaku bahawa aku tidak akan mencapai kebahagian akhirat, melainkan dengan bertaqwa, dan juga mengekang kehendak nafsu. Dan yang utama sekali ialah memotong tali ikatan hati kepada dunia, dengan meninggalkan negeri yang penuh tipu daya ini, dan kembali ke negeri yang kekal abadi. Dan mengadap kepada Allah Ta‘ala dengan sepenuh hati. Dan ini tidak akan tercapai, melainkan dengan membuangkan dahulu segala kemegahan dan kekayaan, serta menjauhkan diri dari segala kesibukan dan tuntutan dunia (al-‘alā’iq).
Kemudian aku telah memeriksa keadaan diriku sendiri. Maka aku dapati rupa-rupanya aku telah terperangkap di dalam jaring pada setiap arah. Dan apabila aku periksa pula pekerjaanku di dalam memberi kuliah dan ceramah, rupa-rupanya aku telah berkecimpung di dalam ilmu-ilmu yang tidak penting, dan tidak bermanfaat di jalan akhirat.
Setelah itu, aku berfikir pula tentang niatku di dalam memberi kuliah. Nyatalah, aku tidak ikhlas kerana wajah Allah Ta’ala. Malah, pembangkit dan pendorongku yang sebenar ialah mencari kemegahan dan kemasyhuran yang luas. Maka, aku pun yakin yang aku sedang berada di pinggir satu jurang yang merbahaya. Dan aku akan segera terjunam ke dalam api neraka, melainkan aku perbaiki keadaan diriku terlebih dahulu.

Perasaan jiwanya yang bergolak-golak ini, seakan-akan sedang meronta-ronta melawan fikiran akalnya sendiri. Dan ini merupakan satu tekanan jiwa yang amat berat dirasakan oleh al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī.

Sebuah kitab tulisan al-Ghazālī

Telah bercerita lagi al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī:

Tiadalah aku berhenti daripada berfikir akan keadaanku dan jalan mana yang akan aku pilih. Hatiku masih berbolak-balik.
Pada suatu hari, aku telah berazam untuk meninggalkan Baghdād, dan melepaskan diriku daripada keadaan hidup harian itu. Tetapi, pada keesokan harinya, aku telah membatalkan keputusan itu. Seolah-olah, sebelah kakiku telah melangkah ke hadapan, tetapi yang sebelah lagi telah mundur pula ke belakang!
Di pagi hari, aku telah bertekad untuk menuntut akhirat, tetapi di petang hari, tentera hawa nafsu telah datang menyerang, dan telah menghancurkannya. Syahwat dunia telah mengurungku, dan memaksa aku tetap kekal sahaja di situ, sedangkan suara keimanan telah menyeru kepadaku, “Kembaralah! Kembaralah! Tiadalah umurmu melainkan tinggal sedikit sahaja, sedangkan di hadapanmu adalah perjalanan yang jauh. Tiadalah engkau kumpulkan segala ilmu dan amal melainkan semuanya adalah riyak dan palsu belaka. Jika sekarang engkau masih belum bersiap sedia untuk akhirat, bilakah masanya engkau akan bersiap sedia? Jika sekarang engkau tidak putuskan tali belenggu itu, bilakah masanya untuk memutuskannya?”
Dan ketika seruan seperti ini bangkit, maka azam dan tekadku pun naik berkobar-kobar, rela menghadapi setiap cabaran dan rintangan.
Tetapi kemudian, datang semula syaitan dan berbisiklah dia, “Ini adalah satu perkara yang mengganggu-ganggu sahaja, jika engkau menyerah kepadanya. Biarkan sahaja. Ia akan hilang dengan segera. Jika engkau turuti ajakannya, lalu engkau tinggalkan pula segala kemegahan pangkat, serta keadaan yang baik ini, yang bebas daripada sebarang kesulitan, serta keadaan aman sejahtera yang bersih daripada perselisihan dan permusuhan, dan jika engkau turutinya, engkau akan menyesal, dan engkau akan menanggung kesukaran. Engkau tidak akan dapat kembali kepada keadaan senang seperti sebelumnya.”
Dan berterusanlah keadaanku ini, di mana aku berada di antara tarikan syahwat dunia, dan tarikan panggilan akhirat. Ia berpanjangan selama hampir enam bulan, bermula dari bulan Rejab tahun 488 Hijrah.
Pada bulan itu, aku telah berasa sudah tidak lagi berdaya, tiada lagi ikhtiarku, terpaksa menyerah sahaja. Allah telah mengunci lidahku, sehingga aku tidak dapat mengajar. Pada suatu hari, aku gagahi juga diriku untuk menyampaikan kuliah agar dapat menggembirakan hati para pelajarku. Tetapi lidahku telah menjadi kelu. Aku tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun. Benar-benar tidak berdaya.
Dan keadaan bisu ini telah membuatku berdukacita, sehingga telah menjejaskan kekuatan pencernaan di perutku, dan menyekat makanan dan minumanku. Roti yang dicecah kuah pun tidak dapat aku kunyah, dan tidak dapat aku telan makanan walaupun sesuap.
Aku menjadi semakin lemah, sehingga para doktor yang merawatiku pun telah berputus asa, dan telah berkata mereka, “Perkara in berpunca dari kalbu. Dari situ, ia telah merebak hingga ke seluruh badan. Dan tiada cara untuk mengubatinya, melainkan melaluinya juga. Buangkanlah rahsia yang telah menghasilkan segala duka nestapa ini.”
Akhirnya, setelah menyedari akan betapa lemahnya diriku, setelah kehabisan segala ikhtiarku, aku pun berserah bulat-bulat kepada Allah Ta‘ala. Dia telah memperkenankan doaku, kerana Dialah Tuhan yang memperkenankan doa orang yang terdesak, apabila orang itu berdoa kepadaNya. Kini, menjadi ringanlah bagi hatiku untuk meninggalkan segala kemegahan, kekayaan, anak-anak dan rakan-rakan.

Oleh itu, pada bulan Zulkaedah tahun 488 Hijrah, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī telah meletakkan jawatannya sebagai pengetua di al-Madrasah an-Niżāmiyyah di Baghdād, dan telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Baghdād dan menjadi seorang pengembara. Dia telah meminta adiknya, yakni asy-Syaikh Aĥmad al-Ghazālī, mengambil alih jawatannya itu.

Al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī kemudian telah mewaqafkan segala harta benda kepunyaannya, selain daripada sebahagian yang telah diketepikan untuk nafkah menyara hidup keluarganya, dan juga untuk dibuat bekal perjalanannya itu. Dan untuk mengelakkan daripada terjadi sebarang syak wasangka atau kekecohan, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī hanya mengumumkan yang dia akan berangkat ke Makkah al-Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji.

Setelah meninggalkan Baghdād, al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pun menuju ke Syria dan telah menetap di kota Damaskus selama dua tahun. Dia juga telah banyak menghabiskan masanya duduk beriktikaf di Masjid Jamik al-Umawī di kota Damaskus. Ada kalanya dia akan naik ke menara masjid itu, dan selepas menguncikan pintunya, akan duduk berseorangan diri di sebuah sudut sepanjang hari. Dan pada hari ini pula, sudut itu telah diberikan nama panggilan Sudut al-Ghazāliyyah, untuk memperingati tempat di mana al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī pernah duduk beriktikaf di kala itu. (Sebelum itu, Sudut al-Ghazāliyyah telah dikenali dengan nama Sudut asy-Syaikh Naşr al-Maqdisī.)

KARANGAN KITAB

Kitab-kitab yang telah ditulis oleh beliau adalah amat banyak sekali dan telah dianggarkan melebihi 200 buah. Namun, yang masih kekal hingga ke hari ini hanyalah lebih kurang 50 buah sahaja.

Kebanyakan daripada kitab-kitab ini telah ditulis di dalam bahasa Arab, dan ada juga yang telah ditulis di dalam bahasa Parsi. Di antara kitab-kitab al-Imām Abū Ĥāmid al-Ghazālī yang lebih terkenal di negara Malaysia ialah:

  • ar-Risālah al-Ladunniyyah;
  • al-Munqidh Min ađ-Đalāl;
  • Bidāyah al-Hidāyah;
  • Minhāj al-‘Ābidīn;
  • Mīzān al-‘Amal;
  • Kīmiyā’ as-Sa’ādah;
  • Misykāh al-Anwār; dan
  • Iĥyā’ ‘Ulūmiddīn.

IBNU MASKAWAIH


Nama sebenar Ibnu Maskawaih ialah Abu Ali Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih (330-421 H / 941 – 16 Februari 1030). Ada yang menyebut bahawa nama tokoh ini “Maskawaih” sahaja, tanpa “Ibnu”, kerana belum dapat dipastikan apakah Maskawaih adalah namanya sendiri atau nama anak lelaki (Ibnu) kepada Maskawaih.

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai ahli sejarah dan falsafah. Di samping itu, beliau juga seorang moralis, penyair, serta banyak mempelajari ilmu kimia. Beliau belajar sejarah, terutamanya Tarikh at-Tabari (sejarah yang ditulis at-Tabari), daripada Abu Bakar Ahmad bin Kamil al-Qadi pada tahun 350 H / 960 M, sementara beliau mempelajari ilmu falsafah melalui guru yang bernama Ibnu Khamar, seorang mufasir (juru tafsir) kenamaan yang banyak ‘mentafsir’ karya-karya Aristotle. Manakala Abu at-Tayyib ar-Razi adalah guru Ibnu Maskawaih dalam bidang kimia.

Ibnu Maskawaih mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang penting dan penguasa pada zamannya. Beliau pernah bekerja dengan Abu Fadl al-Amid sebagai pustakawan. Setelah Abu Fadl al-Amid meninggal dunia, Ibnu Maskawaih bekerja pula dengan putera a-Amid, iaitu Abu al-Fath Ali bin Muhammad al-Amid. Kedua-dua penguasa tersebut adalah menteri pada masa Dinasti Bawaihi (945-1055 M). Selain itu, Ibnu Maskawaih juga pernah bertugas dengan Adud ad-Daulah, yang juga salah seorang penguasa Buwaihi. Ibnu Maskawaih mempunyai pengaruh besar di daerah Rayy.

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai pemikir Muslim yang produktif. Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam bidang penulisan tetapi hanya sebahagian kecil yang sekarang ini masih ada, antara lainnya ialah:

 (1)  Al-Fauz al-Akbar (Kemenangan Besar)

(2)  Al-Fauz al-Asgar (Kemenangan Kecil)

(3)  Tajarib al-Ulum (Pengalaman Bangsa-bangsa)

Bahagian terpenting daripada pemikiran ahli falsafah Ibnu Maskawaih ditujukan pada etika dan moral. Beliau seorang moralis dalam erti sesungguhnya. Masalah moral dibicarakan dalam tiga bukunya, iaitu Tartib as-Sa’adah, Tahzib al-Akhlaq, dan Jawidan Khirad.

Di dalam bukunya,  al-Fauz al-Asgar, Ibnu Maskawaih membicarakan tentang pembuktian adanya Tuhan, tentang roh serta kerahsiaannya, dan tentang kenabian. Ketika berbicara mengenai Tuhan, Ibnu Maskawaih menggunakan istilah “Penggerak Pertama”, dengan sifat dasar esa dan abadi.

Ibnu Maskawaih juga membawa konsep “emanasi”, iaitu bahawa wujud pertama yang memancar daripada Tuhan adalah “kebijaksanaan pertama”, yang sama dengan akal aktif dan kekal. Emanasi lebih sempurna apabila dibandingkan dengan yang lebih rendah daripadanya dan tidak sempurna apabila dibandingkan dengan Tuhan.

Sebagai pemikir agama, Ibnu Maskawaih sebagaimana terlihat dalam karyanya, mencuba membuktikan bahawa penciptaan bermula daripada ketiadaan (al- Ijad min la Syai’).

Konsep moral Ibnu Maskawaih pula sangat berhubungan erat dengan masalah roh. Beliau membuat hipotesis bahawa pembawaan roh dengan kebajikan-kebajikan yang mempunyai tiga jenis pembawaaan: rasional, keberanian, dan hasrat. Di samping itu, roh juga mempunyai tiga kebajikan yang saling berkaitan iaitu: kebijaksanaan, keberanian, dan kesederhanaan. Mengenai fitrah manusia, Ibnu Maskawaih berpendapat bahawa adanya manusia bergantung pada kehendak Tuhan, tetapi baik dan buruknya manusia diserahkan kepada manusia sendiri dan bergantung pada kemahuannya sendiri.

Mengenai sejarah, pandangan dan analisis Ibnu Maskawaih yang dimuatkan di dalam buku Tajarib al-Umam begitu berfalsafah, ilmiah, dan kritis. Beliau berpendapat bahawa sejarah merupakan rakaman tentang turun-naiknya suatu peradaban, bangsa-bangsa, dan negara-negara. Maka ahli sejarah harus menghindarkan diri daripada kecenderungan umum mencampuradukkan kenyataan dengan rekaan atau kejadian-kejadian palsu. Ia harus bergantung kepada fakta, kritis dalam mengumpulkan data, menyertakan pandangan-pandangan ahli falsafah, dan mentafsirkannya dalam lingkup kepentingan manusia.

Sejarah bukanlah kumpulan kenyataan terpisah dan statik, tetapi merupakan proses kreatif dan dinamik daripada harapan dan aspirasi manusia yang hidup dan berkembang. Strukturnya ditentukan oleh cita-cita dasar dan cita-cita kebangsaan serta negara. Sejarah tidak hanya mengumpulkan kenyataan masa lampau menjadi suatu kesatuan organik, melainkan juga menentukan bentuk sesuatu yang akan datang.

Pandangan Ibnu Maskawaih mengenai sejarah yang dituangkan dalam bukunya Tajarib al-Umam amat dekat dengan prinsip-prinsip yang dianut oleh ahli-ahli sejarah Barat dan ahli-ahli sejarah moden.

Sumber: Umattan Wassatan

JABIR IBN HAYYAN – BAPA KIMIA MODEN


Pada peringkat awal kerjaya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan, beliau pernah berguru pada Barmaki Vizier iaitu semasa zaman Khalifah Abbasiah pimpinan Harun Ar-Rasyid.Sumbangan terbesar beliau ialah dalam lapangan ilmu kimia. Beliau cukup terkenal kerana hasil penulisan yang melebihi daripada seratus risalah yang telah diabadikan sehingga kini. Terdapat sebanyak 22 risalah yang antaranya berkaitan dengan alkimia (Al-Kimiya dari bahasa Arab) dan ilmu kimia.

Beliaulah yang memperkenalkan model penelitian dengan cara eksperimen didunia alkimia. Maknanya, beliau yang menjana momentum bagi perkembangan ilmu kimia moden.Jabir banyak mengabdikan dirinya dengan melakukan eksperimen dan pengembangan kaedah untuk mencapai kemajuan dalam bidang penyelidikan. Beliau mencurahkan daya upayanya pada proses pengembangan kaedah asas ilmu kimia dan kajian terhadap pelbagai mekanisme tindak balas kimia.Jadi, beliau mengembangkan ilmu kimia sebagai cabang ilmu alkimia.Beliau menegaskan bahawa kuantiti yang tepat daripada bahan kimia saling berhubungan dengan wujudnya tindak balas kimia yang akan berlaku. Oleh sebab itu, bolehlah dikatakan bahawa Jabir telah meletakkan dasar ke atas hukum nisbah tetap.

Sumber imej dari wikipedia.org - Potret "Geber" Eropah abad ke 15, Codici Ashburnhamiani 1166, Biblioteca Medicea Laurenziana, Florence.

Sumbangan yang paling asas oleh Jabir dalam bidang ilmu kimia termasuk juga dalam bidang penyempurnaan pendekatan saintifik, seperti pada proses penghabluran, penyulingan, kalsinasi (penukaran logam kepada oksidanya dengan cara pembakaran), pejalwap dan penyejatan serta pengembangan terhadap beberapa peralatan untuk menjalankan eksperimen itu.Pencapaian praktis utama yang disumbangkan oleh beliau ialah penemuan bahan mineral dan asid, yang telah pun dipersiapkan pertama kali dalam penelitian tentang alembik (Anbique). Rekaannya terhadap alembik membuatkan proses penyulingan menjadi lebih mudah dan sistematik.

Antara beberapa kejayaannya yang lain dalam bidang kimia, salah satunya ialah dalam penyediaan asid nitrik, hidroklorik, sitrik, dan tartarik. Penekanan Jabir dalam bidang eksperimen sistematik ini diketahui umum tidak ada duanya didunia.Oleh sebab itulah, mengapa Jabir diberi kehormatan sebagai “Bapa Ilmu Kimia Moden” oleh rakan sejawatnya diseluruh dunia. Bahkan dalam tulisan Max Mayerhaff, disebutkan bahawa jika ingin mencari susur galur perkembangan ilmu kimia di Eropah maka bolehlah dijejaki secara langsung pada karya-karya Jabir Ibnu Haiyan. Tegasnya, Jabir merupakan seorang pelopor dalam beberapa bidang pengembangan ilmu kimia gunaan. Sumbangan beliau termasuk juga dalam pembangunan keluli, penyediaan bahan-bahan logam, bahan antikarat, tinta emas, penggunaan bijih mangan dioksida untuk pembuatan kaca, bahan pengering pakaian, dan penyamakan kulit.

Sumbangan beliau juga pada menyediakan pelapisan bahan anti air pada pakaian, serta campuran bahan cat, dan gris. Selain itu, beliau juga mengembangkan teknik peleburan emas dengan menggunakan bahan aqua regia.Idea eksperimen Jabir itu sekarang telah menjadi dasar untuk mengklasifikasikan unsur-unsur kimia, terutamanya pada bahan logam, bukan logam, dan penguraian bahan kimia. Beliau telah merumuskan tiga bentuk berbeza daripada bahan kimia berdasarkan unsur-unsurnya:

  • Cecair (spirit), yakni yang mempengaruhi pengewapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan kapur barus (camphor), arsenik, dan ammonium klorida.
  • Logam, seperti emas, perak, timah, tembaga, besi.
  • Bahan campuran, yang boleh ditukar menjadi serbuk.

Pada abad pertengahan, risalah-risalah Jabir dalam bidang ilmu kimia – termasuk kitabnya yang masyhur, Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab’een, telah diterjemahkan ke bahasa Latin. Bahkan terjemahan Kitab Al-Kimya telah diterbitkan oleh orang Inggeris yang bernama Robert Chester pada tahun 1444, dengan judul The Book of the Composition of Alchemy. Buku kedua, Kitab Al-Sab’een diterjemahkan juga oleh Gerard dari Cremona. Berthelot pula menterjemahkan beberapa buku beliau, yang antaranya dikenali dalam judul Book of Kingdom, Book of the Balances, dan Book of Eastern Mercury.

Berikutnya pada tahun 1678, seorang berbangsa Inggeris, iaitu Richard Russel mengalihbahasakan karya Jabir yang lain dengan judul Sum of Perfection. Berbeza dengan pengarang sebelumnya, Richardlah yang pertama kali menyebut Jabir dengan sebutan Geber. Dialah yang memuji Jabir sebagai seorang pendeta Arab dan juga ahli falsafah. Buku ini kemudiannya menjadi sangat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah member! impak dan pengaruh yang cukup besar kepada evolusi ilmu kimia moden. Istilah alkali, pertama kali ditemukan oleh Jabir. Sungguhpun begitu, daripada semua karyanya, hanya sedikit sahaja yang telah diterjemahkan. Sebahagian besar karyanya tetap kekal dalam bahasa Arab.

%d bloggers like this: