BAB RIBA


Definasi

Kata “riba” bererti bertambah, subur atau lebih. Di antara pengertian atau definasinya menurut hukum syarak ialah :

  1. Akad bagi membuat pertukaran barang yang tertentu tidak diketahui persamaannya mengikut kiraan syarak ketika akad atau diketahui persamaannya tetapi dengan menangguhkan kedua-dua tukaran itu atau salah satunya.
  2. Pertambahan pada pertukaran emas dan perak juga pada jenis-jenis benda makanan.

Hukum Perbuatan Riba

Perbuatan riba hukumnya haram dan berdosa besar. Di antara ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan haram dan kotornya perbuatan riba ini adalah seperti berikut, maksudnya :

Dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba. Wahai orang-orang yang beriman ! Takutlah kepada Allah dan tinggalkan sisa-sisa riba itu, jika kamu orang beriman.

Daripada Ibni Masud, bahawa Nabi s.a.w. melaknanti pemakan riba, pemberinya, saksinya dan juru tulisnya. Daripada Jabir r.a.

Melaknati Rasulullah s.a.w. memakan riba, pemberinya, juru tulisnya, saksinya dan ia berkata : “Mereka itu sama sahaja.”

Hikmah Pengharaman Riba

Islam mengharamkan riba kerana akibatnya terlalu buruk terhadap anggota masyarakat. Riba merupakan penindasan dan pemerasan setengah orang-orang kaya terhadap orang-orang miskin. Setengah-setengah orang menganggap riba sama saja dengan jualbeli kerana kedua-duanya sama-sama mendatangkan keuntungan. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Kedua-dauanya jauh berbeza. Jualbeli diharuskan kerana mendatangkan faedah yang besar kepada masyarakat.

Walaupun ia mendatangkan keuntungan yang berlipat-ganda, namun ia juga terdedah kepada kerugian, kadang-kadang mendatangkan keuntungan dan kadang-kadang mendatangkan kerugian. Hal ini berlainan sekali dengan riba kerana ianya sekali-sekali tidak terdedah kepada kerugian, malah sentiasa mendatangkan keuntungan.

Dalam masyarakat kita bukan sedikit orang-orang yang berhutang kepada ceti-ceti, bergadai kepada pajak-pajak gadai secara riba telah kehilangan kebun getah, tanah padi dan sebagainya kerana tidak sanggup membayar hutang, membayar bunga, membayar faedah (interest) yang dikenakan berlipat-ganda ke atas mereka. Sebaliknya pihak pemakan riba bertambah kaya-raya dan senang-linang. Pendeknya perbuatan riba merupakan suatu penindasan dan cengkaman yang amat buruk terhadap anggota masyarakat. Di akhirat kelak mereka akan mendapat hukuman daripada Allah. Firman Tuhan :

Orang-orang yang memakan riba, tidak berdiri, melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, yang demikian kerana mereka berkata : jualbeli itu seperti riba, dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.

Dari huraian di atas, dapat ditarik beberapa kesimpulan seperti berikut :

Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.

  1. Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.
  2. Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.
  3. Riba menanamkan semangat tamak haluba kepada orang-orang yang berada dan kaum-kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.
  4. Orang-orang yang menjalankan perbuatan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.

Kerana keburukan-keburukan itulah, Islam mengharamkan perbuatan riba dan mengutuk keras ka atas orang-orang yang terlibat dalam urusan riba.

Benda-benda Riba

Benda-benda yang terdapat padanya riba adalah sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Al-Samit daripada Nabi s.a.w. berkata ia :

Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, sama-sama banyak dengan tunai, maka jika berlainan jenis-jenis ini, maka juallah kamu sebagaimana yang kamu kehendaki jika dengan tunai.

Ilat Pengharaman

Dari sabda Rasulullah s.a.w. yang tersebut pada 5.3 itu, secara garis kasarnya, benda-benda riba tercantum dalam dua perkara, iaitu :

  1. Benda-benda makanan
  2. Emas dan perak

Jadi benda-benda riba itu bukanlah hanya terkhas kepada enam perkara benda-benda yang tersebut pada 5.3 itu sahaja. Benda-benda yang tersebut itu hanyalah sebagai dasar illat pengharaman sahaja. Syafii menetapkan illat pengharaman benda-benda makanan ialah ‘makanan’ ; illat pengharaman emas dan perak ialah kerana kedua-duanya itu merupakan “nilai bagi sesuatu”. Tetapi Hanafi menetapkan illat pengharamannya ialah “sukatan dan timbangan”.

Jenis-jenis Riba

Riba terbahagi kepada tiga jenis, iaitu :

  1. Riba An-Nasiah : Riba yang dibayar lebih kerana bertangguh pembayarannya. Riba jenis inilah yang banyak terjadi di kalangan masyarakat kita.
  2. Riba-Fadzl : Iaitu riba yang dibayar lebih pada satu pihak penukaran seperti ditukar segantang beras malinja dengan dua gantang beras yang lain.
  3. Riba-Yad : Iaiti riba yang dibayar lebih kerana tidak berterimaan di dalam majlis akad.

Syarat-syarat Penjualan Barang-barang Riba

Tidak harus menjual barang-barang jenis riba sesama jenisnya dan yang bukan sesama jenisnya kecuali dengan syarat-syarat seperti berikut :

1. Sesama jenisnya :

Jika dijual barang-barang makanan dengan makanan sesama jenisnya seperti gandum dengan gandum, beras dengan beras, dan juga jika dijual emas dengan emas, perak dengan perak, disyaratkan tiga perkara, iaitu :

(a) Hendaklah bersamaan kedua-duanya pada sukatan / timbangan
(b) Hendaklah dengan tunai
(c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad.

2. Tidak sesama jenisnya :

Jika dijual benda-benda tidak sesama jenisnya seperti gandum dengan beras, gandum dengan syair, emas dengan perak, disyaratkan dua perkara, iaitu :

  1. Hendaklah dengan tunai
  2. Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad

Ertinya jika dijual barang-barang bukan sesama jenisnya, boleh berlebih kurang di antara satu sama lain.

Benda-benda Yang Berlainan Bangsa

Bagi benda-benda yang berlainan bangsa dan jenisnya seperti padi dengan wang, beras dengan kain atau sebagainya, tidak dikenakan apa-apa syarat padanya.

Sekianlah sahaja beberapa perkara mengenai riba. Termasuk juga dalam golongan riba jika diberi hutang dan disyaratkan membayar lebih kepada tuan hutang. Oleh kerana perbuatan riba ini amat merbahaya dan terkutuk, wajiblah setiap orang berhati-hati dalam menjalankan segala jenis urusan muamalat.

Advertisements

One Response

  1. […] Read more from the original source: BAB RIBA […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: