BEBERAPA PERNIAGAAN HARAM



Dalam Pendahuluan telah diterangkan secara ringkas keperluan manusia terhadap urusan muamalat dan  diterangkan beberapa hukum di sekitar jualbeli termasuk rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Pada kali ini akan diterangkan beberapa bentuk perniagaan yang terlarang dalam Islam.

Untuk mendapat keuntungan yang banyak dan mudah menjadi kaya, setengah-setengah penjual atau saudagar sanggup melakukan segala macam perniagaan dan berbagai-bagai tipu helah dalam urusan jualbeli. Mereka tidak memperdulikan kepentingan orang ramai asalkan mereka mendapat keuntungan yang berlipat-ganda. Di bawah ini diterangkan beberapa sumber kemasukan wang yang diharamkan oleh Islam, di antaranya ialah :

(1) Baiul gharari
(2) Penjualan yang menolong kemaksiatan dan najis,
(3) Perniagaan kotor,
(4) Penjualan dengan tipuan,
(5) Mengatasi jualan orang lain,
(6) Mengatasi tawaran orang lain,
(7) Talaqir Rukban,
(8) Baiu Haadirin Libaadin,
(9) Bai an-najsy,
(10) Nai nitajinitaj,
(11) Ihtikar

Baiul Gharari

Iaitu segala bentuk jualbeli yang mendatangkan kemudaratan, kerugian, bahaya atau sakit hati orang lain. Penegahan ini berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah katanya:

Rasulullah menegah daripada jualan berbahaya dan jualan secara melontar anak batu.

Termasuklah penjualan barang-barang yang entah di mana barang-barang yang tidak diketahui besar kecilnya, baik buruknya, tidak diketahui masa menerimanya, barang yang belum sempurna milik penjualnya, menjual ikan di dalam sungai, burung di udara, anak binatang di dalam perut, menjaul sehelai kain di dalam beberapa helai kain yang tidak dapat dilihat, menjual seekor biri-biri di dalam kumpulan yang ramai dan lai-lain sebagainya yang mendatangkan bahaya dan kerugian.

Penjualan Yang Menolong Kemaksiatan dan Najis

begitu juga dilarang segala bentuk penjualan yang menolong kepada kemaksiatan dan menjual benda-benda najis, berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Ibnu Abdullah r.a. :

Daripada Jabir bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah sedang ia berada di Mekah sedang ia berada di Mekah: “Bahawa Allah dan rasulNya mengharamkan jualan arak, bangkai, babi dan berhala.

Perniagaan Kotor

Haram memakan hasil-hasil perniagaan kotor seperti hasil persundalan dan sebagainya. Tegahan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abi Masud Al-An-Ansari katanya:

Rasulullah s.a.w. menegah dari harga anjing dan hasil perempuan sundal danl upahan tukang nujum.

Penjualan Secara Tipu

Jualbeli yang mengandungi penipuan dan pengicuhan seperti penjual sengaja memperlihatkan barang dagangannya yang baik di sebelah atas dan yang buruknya di sebelah bawah. Berdasarkan hadis riwayat dari Abi Hurairah r.a. :

Bahawa Nabi s.a.w. melalui pada suatu longgokan makanan, lalu ia memasukkan tangannya pada tompokan itu lalu jari-jarinya terasa basah, baginda pun bersabda: “Apa ini wahai tuan punya makanan?” Jawabnya : Ia terkena hujan wahai Rasulullah.” Sabda nabi lagi: “Mengapa tidak engkau taruhkan sebelah atas supaya dilihat orang? Siapa-siapa menipu, bukanlah ia dari golonganku.

Mengatasi Jualan Orang lain

Haram menjual di atas orang lain seumpama penjual berkata kepada orang yang telah membeli barang-barang orang lain yang masih di dalam masa khiar : “Batalkan permbelian ini supaya saya menjual kepada saudara dengan harga yang lebih murah.” Larangan ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. bersabda ertinya:

Tidak harus menjual setengah kamu atas jualan setengah.

Mengatasi Tawaran Orang Lain

Begitu juga haram mengatasi tawaran orang lain seumpama pembeli telah bersetuju hendak membeli sesuatu barang, tiba-tiba datang orang lain menawar dengan harga lebih mahal daripada itu. Larangan ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

Tidak harus menawar seseorang Muslim atas tawaran seseorang Muslim.

Menyekat Pedagang

Begitu juga haram menyekat barang-barang dagangan di luar kota dengan tujuan memborong barang-barang itu dengan harga yang murah. Umpamanya seorang peniaga pergi menanti di mana-mana jalan memborong barang-barang sebelum barang-barang itu sempat dibawa ke pasar dengan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran: Perbuatanl mencari untung yang berlebih-lebihan ini adalah haram berdasarkan hadis daripada Ibnu Masud daripada Nabi s.a.w. :

Bahawanya ia menegah daripada menemui jualan-jualan.

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. katanya :

Rasulullah menegah pergi menyusun pedagang-pedagang.

Jualbeli Haadirin Libaadin

Ialah juabeli antara orang kota dengan orang desa hukumnya haram iaitu seperti seorang desa datang ke kota membawa barang-barang dagangan yang diperlukan di kota untuk dijual. Tetapi ia tidak mengetahui harga pasaran pada masa itu. Saudagar kota segera mengambil peluang menyuruhnya tinggalkan saja barang-barang itu padanya supaya dapat ia menjualnya sedikit demi sedikit dengan harga yang lebih mahal. Perbuatan yang seperti ini adalah haram berdasarkan kepada hadis daripada Jabir katanya :

Tiada harus menjual orang kota bagi orang desa, biarkan orang-orang memberi rezeki oleh Allah, setengah mereka daripada setengah.

Jualbeli Najsy

Iaitu jualan dengan cara menaik-naikkan harga dengan tujuan menipu umpamanya penjual telah berpakat dengan seseorang yang pura-pura hendak membeli barangnya, tetapi sebenarnya ia tidak hendak membelinya, cuma untuk menipu dan mengelirukan orang ramai sahaja. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis riwayat daripada Ibnu Umar r.a. :

 Sesungguhnya Rasulullah menegah daripada jualbeli najsy.

Jualbeli Anak Dalam Kandungan

Ialah menjual keturunan anak ternakan yang masih dalam kandungan, seperti dikatakan: “Bila lembuku ini melahirkan anak yang di dalam kandungannya ini dan anaknya itu beranak pula, kujualkannya anaknya itu.” Penjualan yang seperti ini mungkin terjadi dan tempah menempah pembelian anaknya akan berlaku bila ternakan-ternakan itu baka keturunan baik. Orang-orang Arab di zaman dahulu pernah menjual keturunan anak-anak unta yang masih di dalam kandungan. Hukumnya haram dan tidak sah, berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar :

Bahawa Nabi s.a.w. telah menegah dari jualan anak bagi yang bunting.

Ihtikar

Ihtikar ialah menyimpan barang-barang keperluan orang ramai dengan tujuan hendak menjualnya dengan harga yang lebih mahal supaya mendapat keuntunganl yang berlipat-ganda. Perbuatan yang seperti ini merupakan penindasan yang menyebabkan orang ramai mengalami kesulitan dan kesusahan. Perbuatan ini dilarang berdasarkan hadis daripada Makmari bin Abdullah r.a. katanya: “Telah bersabd Rasulullah s.a.w. :

Siapa-siapa melakukan ihtikar dia adalah salah.

____________________________________

Jualan Lelong

Adapun jualan secara lelong, hukumnya harus berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik :

Bahawa Rasulullah pernah menjual pelana dan mangkuk, dan katanya: “Siapa mahu membeli pelana dan mangkuk ini?” Jawab seorang lelaki: “Saya mengambil kedua-duanya dengan satu dirham.” Maka Nabi s.a.w. berkata: “Siapa mahu lebih atas satu darham ?” Maka seorang lelaki memberikan dua dirham kepada Nabi, lalu Nabi menjual kedua-duanya kepadanya.

________________________________________________
Sumber:
http://www.unitagamakmb.com
http://hikmatun.wordpress.com/2007/07/17/berjual-beli/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: