KEJINYA SETITIS ARAK


Mengapa manusia zaman sekarang gemar sangat minum air kencing syaitan ni. Tidak kira orang Islam atau agama lain, kebanyakan agama-agama selain Islam juga melarang penganutnya meminum arak. Sebagai contohnya agama Kristian. Tertulis dalam Bible:

Janganlah kamu menjadi mabuk dengan wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu.”(Ephesians, 5:8)

Ini sebagai bukti bahawa agama lain juga melarang penganutnya meminum arak. Ramai diantara kita yang beragama Islam tanpa segan silu meminum arak dan menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan arak sedangkan betapa besarnya kecelakaan yang dibawa oleh arak sehingga Rasulullah s.a.w. telah melaknat sepuluh golongan manusia yang terlibat dengannya. Anas r.a. berkata.

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya. (Riwayat al-Tirmizi no. 1295, Abu Daud no. 3674, Ibn Majah no. 3381 dan Ahmad no. 316)

Apabila diteliti sepuluh golongan manusia yang tersenarai dalam hadis di atas, satu kesimpulan yang boleh dibuat iaitu setiap orang yang terlibat dengan arak pasti termasuk dalam laknat Baginda S.A.W.

Setiap sen yang diperoleh daripada sumber yang berkaitan dengan arak, pasti menjadi sebab hilangnya keberkatan dalam hidup seseorang. Bahkan ia menjadi punca keruntuhan akhlak dan institusi keluarga.

Masyarakat yang dalamnya wujud peminum arak akan terdedah kepada pelbagai masalah. Musibah terbesar pasti mengundang kemurkaan Allah S.W.T sekiranya tiada pihak yang cuba memeranginya.

Peminum arak sentiasa terdorong untuk melakukan jenayah-jenayah seperti memandu secara berbahaya, merogol, membunuh dan sebagainya. Ini kerana apabila seseorang itu mabuk, pusat kawalan akalnya sudah tidak berfungsi dengan normal, lantas dia akan bertindak di luar kawalan akal.

Diceritakan bahawa pada zaman sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W, seorang pemuda yang terkenal sangat kuat beribadat telah difitnah oleh seorang perempuan pelacur yang jatuh hati kepadanya.

Si perempuan menggunakan helah menyuruh pembantunya menjemput pemuda itu datang ke rumah, kononnya atas suatu hajat yang penting. Apabila pemuda tersebut masuk kedalam rumahnya, perempuan itu segera mengunci pintu.

Di dalam rumah tersebut ada seorang bayi kecil dan satu hidangan arak. Perempuan itu berkata:

Aku memberimu tiga pilihan; berzina denganku, bunuh bayi ini atau minumlah arak ini. Sekiranya kamu enggan, aku akan menjerit dan memberitahu orang ramai bahawa kamu telah memperkosaku dan bayi ini adalah anakmu.”

Melihat kesungguhan pelacur ini, pemuda tersebut terpaksa membuat keputusan untuk memilih salah satu pililhan. Dia memilih untuk meminum arak kerana baginya ialah dosa yang paling ringan. Membunuh bayi dan berzina melibatkan orang lain, tetapi meminum arak hanya melibatkan dirinya sahaja untuk bertaubat, pada pandangannya.

Akhirnya ia meminum arak itu sehingga mabuk dan ketika mabuk, ia berzina dengan pelacur yang hina itu. Selepas itu, tanpa kewarasan fikirannya, dia telah bertindak membunuh bayi itu. Kisah diriwayatkan oleh Imam Abdul Razzaq dalam kitab al-Musannaf, no. 17060 dan Ibn Hibban, no. 5348.

Kisah ini menunjukkan bahawa betapa hebatnya pengaruh negatif arak kepada manusia. Ia bukan sahaja menyebabkan masalah kesihatan, tetapi juga mendorong manusia melakukan maksiat yang lebih besar. Benarlah sabda Rasulullah yang bermaksud:

Arak adalah ibu segala maksiat.” (Riwayat al-Nasa’i no. 5666)

Amatlah benar pengharaman arak dalam ajaran Islam. Walaupun arak telah sebati dan menjadi minuman kegemaran masyarakat arak, Rasulullah S.A.W tidak pernah teragak-agak untuk menguatkuasakan pengharamannya.

Baginda mungkin berdepan dengan risiko dibenci oleh masyarakat arab dan juga risiko berkurangnya pendapatan negara Madinah daripada cukai arak, tetapi keutamaan diberikan demi mencari keredhaan Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya. Wawasan Baginda bukan sekadar berjaya di dunia, tetapi kemenangan hakiki adalah dengan mendapat syurga Allah S.W.T di akhirat kelak.

Sumber : http://myibrah.com

Advertisements

MENGAPA ARAK DIHARAMKAN DI DUNIA TETAPI DIHALALKAN DI SYURGA?


Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, memuliakan manusia dengan semulia-mulianya, melebihkannya daripada sekalian ciptaan yang lain, mempermudahkan kepada mereka segala benda di bumi dan di langit  (taskhir) dan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi.

Al-`Izz bin Abd al-Salam berkata: “Ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mensyariatkan satu hukumpun melainkan untuk maslahah dunia, maslahah akhirat atau untuk maslahah dunia dan maslahah akhirat sekaligus sebagai limpahan kurniaan-Nya kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat, hikmat dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan kesukaran yang tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat”. ( Syajarah al-Ma’arif Wa al-Ahwal, hal. 401)

Syariat dibina di atas prinsip menjaga lima kepentingan dharuri iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Imam al-Ghazzali berkata: Ada lima maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Oleh itu setiap perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini dikatakan maslahah dan setiap menghilang lima asas ini disebut sebagai mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah. (Al-Mustasfa, jil 1 hal. 289)

Merujuk kepada arak dan pergaulan bebas, tidak dinafikan bahawa sememangnya manusia mahu hidup dalam kenikmatan dan keseronokan. Bagi seorang mukmin, alam dunia dan alam syurga amat jauh perbezaannya. Sifat hidup di dunia adalah terbatas, terikat dengan hukum syarak, penuh dengan ujian. Kenikmatan yang dikecapi tidak diperolehi dengan senang tetapi memerlukan pengorbanan dan perjuangan.

Arak diharamkan kerana ‘illah atau sifat yang ada padanya iaitu memabukkan. Sifat memabukkan ini relevan dengan penjagaan akal. Mengambil arak bererti menutup kewarasan akal untuk berfikir sehingga diri sendiri dan masyarakat terdedah kepada bahaya dan mudarat. Objektif pengharaman arak dilihat kepada kesan daripada arak yang membawa kepada kemudaratan. Pengambilan arak akan menjejaskan kesihatan terutamanya kerosakan hati. Selain itu, arak menyebabkan ketagihan sehingga peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Arak yang ada di akhirat lain pula sifatnya yakni tiada sifat memabukkan. Oleh kerana sifatnya yang berbeza di dua alam itu, maka dibenarkan arak di syurga sebagai suatu nikmat bukan minuman yang menyakitkan.

Sementara zina pula, persetubuhan yang tidak berdasarkan kepada aqad perkahwinan yang sah tetapi semata-mata memenuhi hawa nafsu. Ia merosakkan akhlak, meruntuhkan maruah (keperibadian) dan sistem kekeluargaan. Ia menjejaskan kesihatan manusia dan mendedahkannya dengan pelbagai penyakit. Keturunan menjadi celaru sehingga tiada diketahui siapa ayahnya yang sebenar sehingga anak mengalami gangguan emosi dan psikologi.

Oleh sebab itu, Islam mensyraiatkan perkahwinan supaya seseorang itu ada jalan untuk memenuhi tuntutan seksualnya dengan cara yang halal, selamat, suci, beradab dan terhormat. Mencari keseronokan di luar perkahwinan akan menafikan nilai-nilai ketamadunan dan peradaban. Perkahwinan lebih bersifat membina sistem kekeluargaan seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera.

Bidadari di syurga umpama isteri yang menjadi milik mutlak penghuni, tidak berkongsi dengan sesiapa, tiada yang pernah menjeling kepadanya. Hanya menanti kedatangan orang mukmin. Dia tidak melahirkan anak, tidak mengalami haidh dan segala macam yang dialami oleh manusia. Kenikmatan bersamanya tidak mengakibatkan sebarang risiko. Hal ini berbeza sama sekali dengan pergaulan bebas.

Ringkas kata, pengambilan arak dan pergaulan bebas hanya membawa kepada porak peranda, kekacauan dalam kehidupan manusia baik pada tingkat indivdu mahupun masyarakat.

Sewajarnya, manusia itu mengetahui bahawasanya dia diikat dengan hukum supaya mengetahui bahawa ada kehidupan satu lagi yang lebih utama, lebih kekal (Surah al-Dhuha, Surah al-A’la). Jikalau dunia ini berjalan tanpa ada peraturan dan undang-undang bahkan yang ada undang-undang rimba, kelangsungan hanya untuk orang yang kuat maka hancur dan musnah kebahagiaan manusia.

Di syurga tiada lagi keterikatan dengan  hukum kerana, perjalanan hidup di sana atas sifat sejahtera tidak memudaratkan, aman dan penuh kenikmatan.

Allah s.w.t. berfirman:

إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا (60) جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا (61) لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (62) تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا (63

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, – (Iaitu) syurga ” ‘Adn ” yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hamba-Nya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; Sesungguhnya Tuhan itu, janjinya tetap berlaku. Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa). Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba kami. (Surah Maryam: 60-63)

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, terutamanya yang sering interaksi dengan masyarakat sewajarnya dia mengetahui matlamat pensyariatan hukum atau falsafah di sebalik perintah dan larangan serta hikmat syariah supaya dakwahnya itu lebih berkesan dan menyakinkan.

والله أعلم بالصواب

DUNIA HANYA PERSINGGAHAN SEMENTARA


Syukur padaNya masih dapat merasai pelbagai bentuk nikmat yang sementara ini. Mudah-mudahan ianya tak melalaikan dari tujuan hidup di muka BumiNya.

Hari ini kita semua menyedari & meyakini akan pastinya saat kematian itu & benarnya terdapat Azab & Nikmat disana. Dan Kita jua akan mengadap Tuhan yang telah memberi nikmat akal, kesihatan, pendengaran, penglihatan, rezeki, keluarga, serta nikmat-nikmat lainnya. Justeru itu perlunya kita manfaatkan sebaiknya nikmat pinjaman yang masih berbaki ini.

Renungilah akan pesanan Nabi Muhammad SAW : Rebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara :

  1. Masa sihat sebelum sakit.
  2. Kaya sebelum miskin.
  3. Lapang sebelum sibuk.
  4. Muda sebelum tua.
  5. Hidup sebelum mati.

(HR al-Hakim & al-Baihaqi)

Andainya kita tahu bila ajal itu akan datang, bila kiamat itu akan terjadi, sudah tentu kita semua akan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan & meninggalkan kemungkaran disaat hampirnya waktu tersebut. Namun segalanya hanya Allah swt yang mengetahuinya. Justeru itu perlunya untuk kita menyaksikan sama Hari-hari hidup kita tentang mana Halal Haramnya, mana Perintah & LarangaNya.

(Sihat sebelum Sakit) Nikmat yang paling besar dikurniakan ialah Kesihatan. (Jika ditimpa kesakitan segalanya terganggu, segalanya terbatas. Disaat itulah mula hadirnya perasaan untuk mengerjakan kebaikan, namun bila kesakitan sudah pulih. Segalanya sudah dilupai) Inilah tabiat manusia. Justeru itu sama-sama kita memanfaatkannya. Berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, fadhilat yang telah dihidangkan. Segalanya untuk ke Akhirat yang Kekal.

(Kaya sebelum miskin) Segala rezeki dari Allah swt. Dia berkuasa bila-bila masa sahaja untuk mengambilnya. (Berlakunya kecurian, kebakaran & pelbagai cara boleh terjadi). Justeru itu perlunya kita sentiasa bersyukur atas segala pemberiannya, bersedekah menolong saudara kita yang berhajat memerlukannya.

(Lapang sebelum sibuk)
Lazimilah waktu lapang dengan sentiasa berzikir padaNya, membaca Al-Quran, mentadabur maknanya dan perkara-perkara yang menambahkan lagi keimanan padaNya. Agar hari-hari hidup kita hadir rahmat & berkat dariNya. (Ketika di pejabat, waktu pembelajaran & dalam keadaan apapun).

(Muda sebelum tua) Masa yang semua ingin dicubainya, masa yang semua orang ingin jika dapat kembali semula. Masa yang melalaikan sebahagian besar masyarakat hari ini. Bila ditanya soal kelalaian mereka, akan dijawab (Umur masih muda lagi, dihari tua nantilah baru buat amal). Begitulah keadaannya. Lihatlah dimasjid-masjid, yang kelihatan hanya orang tua sahaja. (Ajal itu tak diketahui, ada yang masih dipanjangkan lagi umurnya, ada yang mati muda kemalangan, ditimpa penyakit dan ada yang terus leka). Justeru itu manfaatkanlah masa Muda kita dengan bersungguh-sungguh melaksanakan suruhanNya, manfaatkan tenaga, menafkahkan diri berkhidmat untuk Islam. Sebelum datangnya hari Tua. Hari yang sudah tidak mempunyai kekuatan. Selepas kematian nanti tak dapat lagi untuk kita beramal.

(Hidup sebelum Mati) Kemuncaknya adalah ajal, saat yang ditakuti setiap orang. Ia tak mengenal Usia. Bila, dimana & bagaimana keadaannya hanya Allah swt yang tahu.

Marilah sama-sama kita menukar sikap hidup yang merugikan. Pandulah segalanya pada Al-Quran & SunnahNya. Pelajarilah Ilmu Agama. Tak salah nak mencari kenikmatan dunia selagi mana ianya tidak melalaikan dari tujuan Hidup. Cuba kita renungi ungkapan Abdullah bin Umar ra : (Beramallah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari, dan beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu hidup selamanya). Dunia itu jambatan Akhirat, keduanya saling memerlukan.

Firman Allah swt :

Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi & berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan. (Al Qashash 77)

Perlunya kita sentiasa memohon pada Allah swt agar ditetapkan hati dalam mntaatiNya. Menjauhi sifat riak & ujub pada diri. Seterusnya bersyukur masih dibukakan pintu hati untuk menerima peringatan & hidayah dariNya.

Sedarkah kita akan sebahagian besar saudara-saudara Muslim yang masih : (Meninggalkan solat, tidak menyempurnakan aurat, derhaka pada orang tua, bebas pergaulannya, berlakunya zina, buang anak, rogol, bunuh, judi, arak, rompak, samun, riba, rasuah, dadah, pil ectasy, video2 lucah, kelab2 malam, konsert, menyokong golongan yang membelakangkan perintah Allah & berbagai bentuk kemungkaran lagi.

Sudah banyak kisah pengajaran umat Nabi terdahulu telah jelas diceritakan dalam Al-Quran. Tidak lain hanya ungkapan ini yang keluar dari mulut mereka tatkala melihat azab Allah swt :

Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)”. (An-Naba’ 40)

Saat ini masih sempat merubah segalanya. Cubalah Tunduk akan segala kesombongan, keangkuhan, keterlaluan mempersoalkan Perintah Allah & Rasulnya serta pelbagai bentuk alasan lagi. Baliklah padaNya.

Firman Allah swt :

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar Ra’d 11)

Buat diri & teman-temanku sekalian. Sama-sama kita berusaha mengajak diri, keluarga, sanak-saudara, teman2, serta masyarakat amnya megikut kemampuan yang ada untuk memanfaatkan saki baki umur ini kearah mencapai keredhaanNya. Pintu kemaksiatan jelas terbuka hari ini, begitu juga Pintu kebaikan jelas terbuka. Kekuatan Iman & Taqwa penentunya.

“ Nikmat mengerjakan laranganNya, tapi ianya hanya sementara sahaja, tak terbayang bagaimana sakitnya siksa Neraka yang menanti kelak. Perit menahan nafsu dari mengerjakan laranganNya, namun keperitan yang sementara itu akan dibalas dengan kenikmatan, kesenangan yang kekal disana, apa yang dihajati nafsu segalanya diberi. Besar kebahagiaannya. Renungilah… ”

” Ya Allah! Jauhkanlah kami dari siksaanMu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hambaMu “
” Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia & kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka “

————————————————————

%d bloggers like this: