IBN AL-BAITAR – PAKAR BOTANI MUSLIM


Ibn al-Baitar atau nama penuhnya Abu Muhammad Abdallah Ibn Ahmad Ibn al-Baitar Dhiya al-Din al-Malaqi adalah salah seorang saintis terulung Muslim Sepanyol. Beliau dilahirkan di sebuah kota dikenali Malaqa atau Malaga di Sepanyol pada akhir kurun ke-12. Beliau merupakan seorang ahli botani dan farmasi yang terkenal pada kurun pertengahan.

Beliau belajar ilmu botani daripada Abu al-Abbas al-Nabati. Perkara pertama yang dilakukannya ialah mengumpul tumbuh-tumbuhan dari seluruh Sepanyol. Pada tahun 1219, beliau meninggalkan Sepanyol untuk menjalankan kerja-kerja mengumpul tumbuh-tumbuhan menerusi pengembaraan di bahagian utara susur pantai benua Afrika. Pengembaraan itu menjangkau sehingga ke benua Asia Kecil. Cara beliau mengembara sama ada di darat atau laut tidak diketahui sehingga hari ini. Bagaimanapun antara tempat-tempat yang beliau singgah dan lawati ialah Bugia, Qastantunia (Constantinople), Tunis, Tripoli, Barqa and Adalia.

Selepas tahun 1224, beliau menyertai perkhidmatan al-Kamil kerajaan Gabenor Mesir dan dilantik sebagai ketua pakar herba. Pada tahun 1227, al-Kamil telah meluaskan kuasanya sehingga ke Damsyek manakala Ibn al-Baitar mengiringinya ke sana yang mana ia turut menyumbang kepadanya untuk mengumpul tumbuh-tumbuhan di Syria. Penyelidikannya mengenai tumbuh-tumbuhan ketika itu turut diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Arab Saudi dan Palestin.

Di kedua-dua negara itu, beliau berpeluang melawat stesen penyelidikan dan mengumpul tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ. Beliau meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248. Sumbangan utama Ibn Baitar ialah Kitab al-Jami fi al-Adwiya al- Mufrada yang merupakan salah sebuah kompilasi botani yang terhebat mengenai tumbuh-tumbuhan perubatan di Arab Saudi.

Statusnya sebagai pakar botani terus unggul di kalangan ahli botani lain sehingga kurun ke-16. Ini ada kaitan dengan kerja-kerjanya yang penuh sistematik terutama pada awal penglibatannya dalam dunia botani. Kritikan yang diterimanya ketika itu tidak mematahkan semangat beliau, sebaliknya menyuntik semangat kepadanya untuk menyumbang dalam bidang botani. Ensiklopedianya itu mengandungi kira-kira 1,400 pelbagai perkara yang sebahagian besarnya mengenai tumbuhan perubatan dan sayur-sayuran. Lebih mengagumkan, ensiklopedia itu mendedahkan kira-kira 200 jenis tumbuh-tumbuhan yang sebelum itu tidak dikenali.

Buku itu ditulis hasil rujukannya daripada 150 penulis lain yang kebanyakannya dari Arab Saudi dan ia turut memetik kenyataan 20 ahli sains terawal Greek. Ensiklopedia itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan diterbitkan pada tahun 1758. Hasil karyanya yang kedua ialah Kitab al-Mlughni fi al-Adwiya al-Mufrada iaitu sebuah ensiklopedia perubatan.

Beberapa jenis dadah telah disenaraikan mengikut kesesuaiannya dengan nilai-nilai terapeutik atau ilmu perubatan mengenai cara merawat atau mengubati penyakit. Selain itu, terdapat 20 bab berlainan mengenai tumbuh-tumbuhan yang mempunyai signifikan dengan penyakit berpunca dari kepala, telinga, mata dan lain-lain. Beliau turut memetik kenyataan daripada pakar bedah Muslim terkenal, Abul Qasim Zahrawi untuk dimuatkan ke dalam bab berkaitan pembedahan.

Selain menggunakan bahasa Arab untuk menamakan tumbuh-tumbuhan yang ditemuinya, Ibn Baitar turut menggunakan bahasa Greek dan Latin untuk tujuan itu. Sumbangan Ibn Baitar dalam bidang ini lebih kepada karakter hasil pemerhatian, analisis dan klasifikasinya terhadap tumbuh-tumbuhan. Ia turut dilihat memiliki pengaruh dari Barat dan Timur dalam ilmu botani dan perubatan. Sejak kitab Jami diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa berkenaan, ramai ahli sains lain mula mengkaji isi kandungannya dan seterusnya menjadikannya sebagai bahan rujukan. Ibnu Baitar meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248.

Advertisements
%d bloggers like this: