KETABAHAN ITU MILIK SIAPA?


Firman Allah SWT yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung” (Al Imran – 200)

Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (Al-Baqarah – 45)

Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Al-Baqarah – 155)

Ketabahan merupakan satu perkara yang amat perlu dalam persediaan kita untuk mewujudkan hasrat untuk mencapai kejayaan hidup dunia dan akhirat.

Akar umbi ketabahan ialah kekuatan. Kekuatan kehendak, kemahuan dan hasrat bila dipadukan akan menjadi satu gabungan kekuatan yang tidak akan dapat dikalahkan. Individu yang memiliki kehendak yang kuat,diseiringkan dengan daya ketahanan yang penuh ketabahan,melayakkan mereka sebagai latarbelakang penunjang keyakinan mereka,maka mereka seperti memperolehi sasaran tujuan mereka itu.

Sebahagian besar individu bersedia untuk melemparkan jauh-jauh sasaran dan tujuan mereka apabila mereka melihat gajala-gejala timbulnya halangan-halangan dan kegagalan dalam usaha mereka. Mereka segera menyerah ketabahan kepada keadaan. Hanya individu tertentu sahaja yang mampu maju terus ke hadapan meskipun menghadapi tribulasi yang hebat, akhirnya mereka berjaya mencapai cita-cita mereka.

Ibnu Qayyim berpendapat;

Tidak ada satu perkara yang amat susah daripada ketabahan dan kesabaran samada pada perkara yang disukai atau dibenci oleh individu, terutamanya apabila melalui detik-detik kesempitan dan kesusahan hidup ini setelah melayari hamparan kebahagiaan dan kesenangan,maka ketika itulah amat memerlukan bekalan untuk meneruskan perjalanan dan perjuangan hidup ini iaitu bekalan ketabahan di atas ketentuan Qada’ dan Qadar Allah SWT.”

MENGUJI DIRI ANDA DALAM SOAL KETABAHAN

Tidak memiliki daya tahan atau kurang bersikap tabah itu sering menjadi sebab utama kegagalan individu. Secara umumnya,ini adalah merupakan kelemahan yang banyak dialami oleh manusia. Sikap ini merupakan kelemahan yang tidak dapat diatasi oleh manusia itu sendiri. Sukar atau mudahnya mengatasi kekurangan daya tahan ini bergantung kepada besar atau kecilnya hasrat individu itu. Titik tolak daripada semua hasil yang akan dicapai ialah hasrat. Hendaklah berpegang teguh dan istiqamah dengan hasrat yang hendak dicapai. Hasrat yang lemah akan menghasilkan natijah yang lemah,ibarat nyalaan api yang kecil sehingga dapat mengeluarkan kepanasan yang kecil dan sedikit sahaja.

Kalau anda menemui diri anda dalam keadaan ‘kurang ketabahan’, kelemahan ini anda akan dapat atasi dengan cara membentuk hasrat yang lebih besar lagi dalam diri anda. Lantaran itulah, untuk melaksanakan cita-cita ke arah sasaran yang tepat memerlukan bahan bakar iaitu;  hasrat yang bernyala-nyala. Cita-cita tidak akan menjadi kenyataan apabila anda memilih sikap yang negatif, malas atau tidak bersemangat.

Apabila anda merasa diri anda lemah atau kurang bersemangat, maka yakinilah bahawa anda masih belum memiliki ‘kesedaran yang mendalam’  ke arah usaha untuk  mencapai kejayaan. Sewajarnya anda memiliki sifat ini terlebih dahulu sebelum anda yakin akan mendapatkan kejayaan dan merasai kemenangan dalam perjuangan hidup ini.

Sedarilah bahawa semua orang yang berjaya pada mulanya memang mengalami kehidupan yang pahit. Perjuangan memerlukan tenaga, menuntut pengorbanan agar boleh bertahan untuk hidup sebagai seorang muslim yang berjaya di dunia dan akhirat. Detik yang menentukan kekuatan seseorang ialah ketika dia mengalami krisis.

Sesungguhnya ketabahan memerlukan kesabaran. Kesabaran adalah natijah daripada mujahadah dalam diri individu itu. Sesiapa yang berjaya mempertahankan kesabarannya dengan ketaatan kepada Allah SWT,sabar menanggung kesulitan dan menjauhi maksiat, maka dia telah memiliki ketabahan hakiki dan akan mengecapi hasrat yang dikehendakinya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az Zummar:10)

MEMANJAT MELALUI TEMBOK KEGAGALAN

Seorang pujangga menasihatkan: “Di atas kegagalan anda semalam,binalah bangunan kehidupan untuk hari esok. Letakkan bata-bata tujuan yang teguh,sediakan puing-puing raksaksa dari kejatuhan yang silam. Ukirlah menara-menara keazaman yang hebat bagi membenam lembah-lembah airmata kehampaan.”

Segelintir manusia sedar bahawa berdasarkan pengalaman mereka betapa tingginya nilai ketabahan itu. Mereka adalah orang-orang yang menerima kegagalan itu sebagai satu keadaan yang sifatnya adalah sementara sahaja, begitu juga bagi mereka yang menghadapi mehnah dalam perjuangan. Mereka adalah orang-orang yang mempunyai hasrat yang kuat,sehingga ketabahan yang mereka terapkan itu akhirnya mengubah kegagalan dan mehnah perjuangan sebagai pendorong utama mencapai kejayaan yang gilang gemilang.

Hasil kejayaan samada:  individu yang jatuh terbenam dalam kegagalan yang tidak muncul kembali ke permukaan atau individu yang menerima kegagalan itu sebagai hukuman yang dapat mendorong mereka ke arah berusaha dengan lebih tekun lagi. Golongan kedua inilah sangat beruntung nasib mereka, kerana mereka belajar dan menerima kenyataan sebagai satu muhasabah dan pemangkin kejayaan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan sesungguhnya akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah:155)

ANDA MAMPU MELATIH DIRI ANDA SENDIRI UNTUK BERSIKAP TABAH

Ketabahan adalah sikap yang berkaitan dengan minda dan spiritual individu, oleh sebab itulah setiap individu dapat membina dan memupuknya berdasarkan langkah-langkah tertentu,antaranya;

1. Adanya ketegasan dalam penentuan sasaran dan tujuan hidup

Langkah pertama yang paling penting untuk dapat membina dan memupuk sikap tabah ialah apabila kita benar-benar menyedari apa yang kita ‘kehendaki’ dan ‘ingin capai’, ‘sebab’ sesuatu motif yang kuat itu sehingga dapat mendorong seseorang untuk mengatasi segala kesusahan.

2. Mempunyai hasrat yang bernyala-nyala

Apabila kita memiliki hasrat yang kuat untuk memperolehi sesuatu matlamat, maka dengan mudah sahaja kita mendapatkannya serta mempertahankan sikap tabah supaya sentiasa dapat bertahan.

3. Memiliki rasa percaya kepada diri sendiri

Apabila memiliki rasa percaya kepada diri sendiri untuk melaksanakan sesuatu perancangan,ini akan mendorong individu untuk melaksanakan sehingga selesai dengan sepenuh ketabahan hati dan fikiran tanpa tergugat.

4. Kemampuan menyusun perancangan yang jelas lagi tegas

Perancangan yang tersusun rapi, sekalipun mempunyai banyak kelemahan kerana kurang praktikal akan memberi landasan yang kuat bagi seseorang untuk bersikap tabah mengatasi segala kesulitan.

5. Menguasai ilmu pengetahuan dengan cermat

Apabila seseorang itu menguasai selok belok perancangan yang jelas,samada berdasarkan pengalamannya atau pengamatannya sendiri,maka pengetahuan yang dia miliki itu dapat mendorong kepada satu sikap yang berani dan tabah. Sebaliknya dengan pengetahuan yang serba kekurangan hanya akan lebih banyak meneka sahaja dan bukan menunaikan tugasnya berdasarkan ilmu pengetahuan yang dikuasainya. Dengan menguasai ilmu pengetahuan itu secara mantap,maka dia dapat menikmati daya tahu yang mantap.

6. Menjalin kerjasama yang erat dengan orang lain

Sikap ini akan dapat memupuk daya tahan yang kuat dalam dirinya. Untuk itu sewajarnyalah membina rasa simpati,saling memahami dan kerjasama yang harmonis dengan orang lain.

7. Memiliki daya kemahuan yang kuat

Dengan memiliki satu tujuan yang tegas dan jelas,seseorang itu akan memilih daya tahan yang kuat dalam memperjuangkan tujuan itu berdasarkan kemahuan yang kuat.

8. Memupuk kebiasaan yang kuat

Ketabahan itu sebenarnya adalah natijah daripada sesuatu kebiasaan. Kebiasaan itu kita jadikan sebahagian daripada pengalaman seharian kita yang merupakan unsur pembentukan kebiasaan yang kuat itu. Contohnya: rasa takut adalah musuh yang paling utama dan bahaya daripada semua musuh rohaniah kita, kita hapuskanlah secara efektif dengan memintasnya berulangkali dengan sikap keberanian.

MEMBENTUK KEBIASAAN UNTUK MEMILIKI KETABAHAN

Untuk mencapainya hanya dua perkara yang diperlukan ialah masa dan usaha. Langkah yang diperlukan:

  1. Satu tujuan yang pasti,yang didukungi oleh hasrat yang bernyala-nyala untuk memenuhinya.
  2. Satu perancangan yang jelas yang dizahirkan dalam bentuk tindakan yang berterusan.
  3. Satu fikiran jalan yang tertutup kepada semua pengaruh yang negatif dan mematahkan semangat.
  4. Mengadakan jalinan yang baik dengan seseorang atau golongan individu yang sentiasa memberi semangat kepada nada baik dalam perancangan mahupun tujuan.

Langkah yang berharga ini merupakan jaminan tiket untuk memasuki gelanggang imbalan yang cukup mahal  harganya bagi apa yang kita cita-citakan dalam hidup kita.

IDOLA KETABAHAN

Rasulullah SAW merupakanpemimpin terunggul dan kaunselor yang terbijak didunia. Ketabahan baginda SAW dengan memiliki kemantapan iman,keikhlasan yang tinggi kerana Allah SWT serta kesungguhan usaha dan konsep tawakkal yang hakiki telah mencetuskan kejayaan kepada masyarakat Islam dan menggemilangkan Islam seantero dunia. Suntikan ketabahan yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW ini telah melahirkan Generasi Rabbani yang tahan uji,istiqamah dengan prinsip perjuangan dan memiliki motivasi yang timggi untuk maju di dunia dan akhirat serta berjaya menggenggam dunia di tangan mereka dan meletakakn akhirat di hati mereka.

Natijahnya,manusia melihat hamparan keizzahan Islam yang menghijau di bumi ini dengan beridolakan Nabi Muhammad SAW dan berpegang teguh  dengan Al Quran dan Sunnah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman,sedangkan mereka tidak diuji?.” (Al Ankabut:2)

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga,padahal masih belum nyata bagi orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” (Al Imran:142)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Orang yang banyak mengalami ujian ialah para anbiya’,kemudian yang lebih mulia-mulia,kemudian mulia-mulia. Seseorang itu akan diuji mengikut agamanya. Jika dia kuat berpegang dengan agamanya maka ujiannya adalah hebat(kuat). Jika agamanya lembut maka ujian adalah mengikut kadar agamanya itu.”

Rujukan: Alquran & Hadis.
Rakaiz Ad dakwah – Dr.Majdi Hilali
Rukun Kejayaan   –  Imran Jaafar

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: