NAMA-NAMA AL-QURAN


Oleh RAMLI AB. HALIM

AL-QURAN (untuk nabi Muhammad SAW dan umatnya) adalah satu daripada empat kitab yang mengumpulkan kalamullah. Ia adalah kitab utama dari empat kitab yang wajib dipercayai yang mana percayakan kitab itu pula merupakan satu daripada rukun iman yang enam.

Tiga lagi kitab adalah Zabur (untuk nabi dan umat Nabi Daud a.s.), Taurat (untuk nabi dan umat Musa a.s.) dan Injil (untuk nabi dan umat Isa a.s.).

Jika Nabi Muhammad SAW adalah penghulu bagi sekalian para anbia, maka al-Quran pula bolehlah dilabelkan sebagai penghulu bagi segala kitab.

Selain namanya al-Quran yang bermaksud ‘bacaan’ bagi himpunan Kalalamullah, ada beberapa nama lagi bagi al-Quran yang mana nama al-Quran itu terkandung dalam surah al-Israk: 88, al-Baqarah: 85, al-Hijr: 87, Thooha: 2, an-Naml: 6, Ahqaaf: 21 dan ad-Dahr: 23.

Nama-nama lain bagi al-Quran adalah:

  1. Al-Kitab atau Kitaabullah sebagaimana terkandung dalam surah al-Baqarah ayat 2 dan surah al-An’aam ayat 114.
  2. Al-Furqaan yang bermaksud pembela sebagai yang terkandung dalam surah al-Furqaan ayat 1
  3. Adz-Dzikir yang bermaksud peringatan sebagaimana yang terkandung dalam surah al-Hijr ayat 9 dan an-Nahl ayat 44.

Bagaimanapun nama yang paling masyhur dan paling terlekat dalam ingatan setiap umat Islam adalah al-Quran dan kadang-kadang Al-Kitab, Kitabullah dan Al-Furqaan.

Ramai yang tidak perasan bahawa Adz-Dizikir juga adalah antara nama al-Quran yang turut mempunyai beberapa nama lain lagi.

Imam As-Suyuty dalam kitabnya berjudul Itqan menyebut nama-nama al-Quran di antaranya al-Mubiin, Al-Kalam, Al-Karim dan An-Nuur yang semakin tidak diketahui oleh kebanyakan kita bahawa ia adalah antara nama-nama al-Quran.

Untuk umat Nabi Muhammad SAW, hanya al-Quran yang boleh dijadikan rujukan mutlak di samping hadis Rasulullah SAW. Tiada lagi kitab selepas al-Quran.

Umat Nabi Muhammad SAW tidak boleh merujuk kepada Zabur, Taurat atau Injil untuk mendapat hukum hakam.

Demikianlah betapa tingginya darjat dan martabat al-Quran. Setiap huruf yang dibaca akan diganjari 10 kebajikan pada bulan biasa dan jumlahnya akan bertokok berganda-ganda pada bulan puasa.

Allah SWt mengikrarkan akan memelihara al-Quran sebagaimana firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami tetap memeliharanya. (al-Hijr: 9)

Al-Quran mengandungi hal-hal yang berhubungan dengan keimanan, ilmu pengetahuan, sirah, falsafah, peraturan-peraturan yang mengatur tingkah laku sebagai makhluk individu atau pun sebagai makhluk sosial, juga tentang kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Dengan kata lain apa yang menjadi keperluan manusia di dunia, di alam barzakh dan di alam akhirat lengkap terkandung dalam al-Quran. Malah jalan mana yang mesti dipilih untuk layak ke syurga dan jalan yang boleh menyebabkan kita akan dicampak songsang ke neraka, ada termuat dalam al-Quran.

Menolak al-Quran bermakna menolak jalan ke syurga dan menempah jalan ke neraka, juga menolak pengetahuan, sirah falsafah, peraturan-peraturan yang mengatur tingkah laku sebagai makhluk individu atau pun makhluk sosial dan juga tentang kebahagiaan di dunia dan akhirat yang pastinya akan membawa padah.

Menolak al-Quran juga bermakna menolak Islam, Allah, rasul-Nya dan juga iman serta takwa. Tanpa Islam, tanpa iman dan takwa, manusia tidak akan ada apa bezanya dengan haiwan yang ada otak tetapi tidak berakal, kecuali yang berbeza cuma dalam bentuk paras rupa sahaja.Manusia yang tulen Islamnya, yang beriman dan bertakwa adalah yang mesra al-Quran, akan sentiasa merapatkan diri dengan al-Quran, kecuali pada tempat-tempat yang tidak suci seperti dalam tandas misalnya.

Dipisahkan

Selain itu, al-Quran tidak akan dipisahkan daripada diri sama ada sewaktu jaga atau tidur, ketika sihat atau sakit, ketika miskin atau kaya, ketika dalam dukacita atau gembira.

Dalam menerangkan pelbagai hal, ada yang dikemukakan secara terperinci seperti yang berkaitan dengan perkahwinan, hukum warisan dan sebagainya. Di samping itu, ada pula yang dikemukakan secara umum dan garis besarnya sahaja oleh al-Quran.

Yang diterangkan secara umum oleh al-Quran diperinci dan dijelaskan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW. Namun, ada yang diserahkan kepada kaum muslimin sendiri memperincikannya sesuai dengan keperluan kelompok manusia, keadaan, masa dan tempat seperti dalam soal kenegaraan.

Bagi hal tersebut al-Quran hanya mengemukakan ‘prinsip mesyuarat’, adanya badan (pemerintah) yang mewakili rakyat, keharusan berlaku adil dan sebagainya.

Al-Quran dan hadis tidak memperincikan hal ini dan bergantung kepada manusia sendiri untuk memperincikannya asalkan ia berada dalam lingkungan Islam, iman dan takwa.

Di samping itu, Islam membuka pintu ijtihad bagi kaum muslimin dalam hal yang tidak diterangkan oleh al-Quran dan hadis secara qatie (tegas). Pembukaan pintu ijtihadlah yang memungkinkan manusia memberi komentar, memberi keterangan dan pendapat tentang hal yang tidak disebut dalam al-Quran mahu pun hadis.

Sumber: http://albakriah.wordpress.com/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: