PENGHAYATAN AKIDAH DALAM MELAKSANAKAN IBADAT HAJI


Oleh: Dr. Abdul Rahman Mahmod, UKM
Majalah Sinar Rohani Keluaran November-Disember 2007.
Setiap ibadat yang disyariatkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya mempunyai dua sudut utama iaitu sudut akidah dan sudut syariat. Oleh itu penghayatan terhadap ibadah yang dilakukan hendaklah bertolak daripada keimanan yang sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sementara untuk memastikan ibadat itu sah dan diterima oleh Allah maka ia hendaklah dilaksanakan dengan sempurna sebagaimana yang di tetapkan oleh syarak. Hasil daripada penghayatan terhadap kedua-dua unsur ini akan menghasilkan insan muslim yang cemerlang.

Gambaran pertautan antara akidah dan syariat diibaratkan oleh al-Quran sebagai sebatang pokok yang teguh dan kuat dengan dahan-dahannya yang banyak dan mantap. Pokok yang subur dan mantap ini kemudiannya akan mengeluarkan buah-buah yang banyak. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim ayat 24-25 yang bermaksud: Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah seumpama sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

Gabungan antara akidah dan syariat atau iman dan Islam adalah merupakan hakikat agama yang sempurna. Kerana seseorang manusia yang hanya mempunyai keimanan tanpa melaksanakan tuntutan Islam seumpama sebiji benih yang kering dan tidak hidup. Begitu juga seseorang yang melaksanakan tuntutan Islam tanpa iman seperti sebatang pokok yang tidak berguna dan tidak mampu bertahan lama.
Semua jenis ibadat yang dilaksanakan oleh seseorang Muslim merupakan bukti keimanan dan pada masa yang sama ibadat itu akan memperkasakan lagi keimanan yang telah tertanam di dalam hati sanubari. Oleh itu, perlu kita fahami bahawa ibadat yang kita lakukan tidak terhenti kepada gerakan luaran sahaja sebagaimana yang dapat kita saksikan. Namun, ia memerlukan kepada keimanan yang tertanam di dalam jiwa. Keimanan itu akan membuahkan keikhlasan dan keikhlasan itulah yang akan melahirkan tingkah laku yang sempurna dan akhlak yang mulia, sama ada dalam hubungan dengan Allah s.w.t. atau hubungan sesama manusia. Hakikat ini dapat kita lihat dalam firman Allah s.w.t. dalam surah al-‘Asr ayat 1-3: Demi Masa!, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Pada hari ini kita melihat persoalan akidah dalam jiwa umat Islam semakin malap. Dalam keadaan tertentu ia diketepikan oleh kesibukan urusan dunia harian. Maka dengan itu akidah tidak berfungsi lagi dalam kehidupan manusia. Sungguhpun akidah dalam jiwa umat ini masih hidup dan bangkit dalam keadaan tertentu namun ia tidak mampu bartahan lama dan ia akan kembali layu dan terlena dengan dibuai mimpi. Perumpamaan akidah umat Islam hari ini seperti seorang yang sedang sakit. Ia yakin bahawa penderitaannya tidak akan berakhir kecuali dengan menelan ubat yang pahit. Namun ia tidak mempunyai semangat dan kesungguhan untuk mengambil dan menelan ubat yang pasti boleh menghapuskan penderitaannya. Penghayatan akidah yang seumpama ini tentunya tidak akan mampu membangkitkan mereka yang tidur dan tidak akan berupaya mengerakkan sesuatu.
Sementara sebilangan umat Islam yang lain memiliki akidah yang hidup, namun ia separuh lumpuh. Akidahnya hanya mampu menguasai beberapa tidakan tertentu sahaja. Contohnya mereka sangat mengawal dan menjaga hubungan dengan manusia. Semua amanah dan tanggung jawab dilaksanakan dengan baik dan sempurna, tetapi mereka tidak menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. Ada juga sebilangan yang lain yang sangat menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. seperti sembahyang berjamaah dan banyak amalan sunat, sedang mereka tidak menjaga hubungan dengan sesama manusia. Hati mereka dipenuhi rasa benci dan dengki kepada saudara Islam yang lain. Golongan ini akan sanggup untuk menggadaikan agama untuk kepentingan dunia.

Golongan yang benar-benar menghayati akidah Islam adalah mereka yang fana’ dalam melaksanakan tuntutan akidah dan menjiwai perlaksanaan tuntutan syariat Islam. Kehidupan mereka seumpama akidah yang telah dijelmakan di alam nyata. Lihatlah kepada Rasulullah s.a.w. yang disifatkan sebagai al-Quran yang bergerak. Mereka inilah yang disifatkan oleh al-Quran dalam surah al-Nur ayat 37 yang bermaksud: Orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
Dalam pelaksanaan ibadat haji, tuntutan penghayatan terhadap akidah dan pelaksanaan syariat dapat dilihat dengan jelas. Perhatikan kenapa Islam mewajibkan kita menunaikan ibadat haji di satu tempat secara beramai-ramai dengan menggunakan pakaian yang sama? Pasti ada suatu rahsia yang dikehendaki oleh syarak dengan pengsyariatan ibadat ini.
Prof. Dr. Abdullah Draz telah membuat satu analisis mengenai persoalan ini dalam bukunya yang bertajuk “Penelitian Terhadap Islam” bahawa pensyariatan ibadat haji merupakan simbol kesatuan umat Islam. Menurut beliau kesatuan umat Islam berpaksikan kestuan akidan dan kesatuan syariat. Mereka mengabdikan diri kepada Tuhan yang Esa dan berpandukan kitab yang sama.

Umat Islam pada hari ini berada di seluruh pelusuk dunia. Mereka yang menganut Islam terdiri dari berbagai bangsa dan warna kulit. Mereka juga memiliki adat resam dan budaya yang berbeza. Semuanya perlu disatukan dibawah satu naungan dan perlu saling mengenali antara satu sama lain. Perhimpunan ini akan dapat melahirkan persaudaraan dan toleransi serta menghapuskan perbezaan warna kulit dan bahasa. Oleh itu, untuk merealisasikan hakikat ini Allah s.w.t. menjadikan penghubung kepada seluruh umat Islam di dunia dengan berhimpun di satu tempat pada setiap tahun untuk menyembah Allah s.w.t. berpandukan kepada Syariat itu. Tempat yang paling sesuai untuk menyatukan umat Islam ialah di rumah Allah.
Di negara masing-masing mereka disatukan di rumah Allah iaitu masjid dan surau. Dalam bulan haji seluruh umat Islam disatukan di rumah Allah yang sentiasa dirindui oleh setiap orang yang beriman sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Ibrahim ayat 37 yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

Dengan pelaksanaan ibadat haji, umat Islam akan merasai kesatuan akidah, syariat dan tanah air sekalipun mereka berlainan bangsa dan bahasa. Bila mereka pulang ke negara masing-masing mereka akan mengingati bahawa mereka adalah umat yang sama dibawah naungan agama Islam. Kesatuan umat Islam tidak boleh dipisahkan oleh sempadan daerah atau negara. Mereka adalah saudara seagama dalam apa jua keadaan sama ada susah atau senang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: