• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

IMAM AHMAD HANBAL (164H-241H)


Imam Ahmad Hanbal (164h-241h)

Beliau ialah Abu Abdillah Ahmad Bin Hanbal Bin Hilal Bin Asad Asy-Syibaaniy,beliau telah dilahirkan di Baghdad pada tahun 164 hijrah bahkan menetap di situ, bapa beliau telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi, lalu beliau pun dijaga oleh ibunya sahaja dan telah menasihati beliau agar mempelajari ilmu agama, maka beliau pun menghafaz Al-Quran dan telah memperdalami ilmu Bahasa Arab, dan ketika beliau berumur 15 tahun beliau pun mulai mempelajari Ilmu Hadith, dan beliau telah mengembara ke berbagai-bagai bandar dan negara untuk mempelajari ilmu seperti Kufah, Basrah, Mekah, Madinah, Syam dan Yaman, hasil daripada pengembaraan ilmiah ini telah membuatkan beliau mengetahui betapa banyak hadith-hadith nabi yang mulia, lalu beliau pun mengumpulkan hadith-hadith tersebut dan menghafaznya sehingga jadilah beliau imam yang hebat di zamanya.

Beliau telah berjumpa dengan Imam Syafiey dan telah berguru denganya, dan beliau merupakan diantara anak murid Imam Syafiey yang paling utama di Baghdad, kemudian beliau pun menjadi seorang mujtahid yang mustaqil (1), para ulama’ telah menyifatkan beliau dengan gelaran Al-Haafiz dan Al-Hujjah, bahkan Imam Syafiey juga telah mengiktiraf keilmuan Imam Ahmad dan juga telah menyatakan kepercayaanya terhadap ketinggian ilmu Imam Ahmad, dan ketika mana Imam Syafiey meninggalkan Kota Baghdad dan ingin berhijrah ke Mesir untuk menetap di sana, beliau telah mengatakan: 

Telah aku tinggalkan Kota Baghdad ini, dan tidaklah aku meninggalkanya dengan seorang insan pun yang sangat bertaqwa dan sangat faaqih dari Imam Ahmad Bin Hanbal

Maka ini merupakan suatu persaksian yang benar dari seorang imam yang sangat besar di dalam Ilmu Feqh kepada anak muridnya yang cerdik yang telah berguru denganya selama 2 tahun bermula dari tahun 195 hijrah sehinggalah ke tahun 197 hijrah, maka tidak peliklah Imam Ahmad merupakan seorang imam yang besar di dalam Ilmu Hadith dan juga imam di dalam Ilmu Feqh, dan begitu juga merupakan imam yang sangat wara’ dan zuhud, beliau telah pergi menemui Allah Taala pada tahun 241 hijrah.

Usul-usul Mazhab

Sesungguhnya Imam Ahmad telah mengasaskan mazhabnya ini di atas usul-usul yang berikut :

(1) Beliau telah beramal dengan nas dari Al-Quran dan As- Sunnah, dan ketikamana beliau mendapati nas dari keduanya, beliau pasti akan beramal denganya, tanpa melihat-lihat pendapat yang bercanggah dengan nas tersebut, walaupun ianya datang dari para sahabat yang utama, disebabkan itu kita dapat lihat beliau telah mengambil hadith “Al-Mabtutah”  iaitu hadith dari Fatimah Binti Qis walaupun Umar Bin Al-Khattab radiallahu anhu berselisih pendapat dengan hadith tersebut, dan juga beliau telah mengambil hadith nabi yang mengatakan: “Tiadanya sebarang perwarisan harta kepada penganut dua agama (yang berbeza)” (2) walaupun Muaz Bin Jabal radiallahu anhu dan Muawiyah Bin Abi Sufyaan radiallahu anhu telah berselisih pendapat dengan hadith tersebut, dan kedua orang sahabat nabi yang mulia ini telah berpendapat bahawa boleh diwariskan harta seorang yang kafir kepada muslim.

Beliau akan beramal dengan hadith yang sahih, dan beliau tidak akan mendahulukan sebarang amalan juga sebarang pendapat dan juga kata-kata sahabat daripada hadith sahih, beliau tidak beramal dengan Ijmak As-Sukutiy bahkan beliau mengingkari pada beramal dengan Ijmak. (4)

(2) Beliau beramal dengan fatwa sahabat ketikamana beliau tidak menjumpai sebarang nas dari Al-Quran dan As-Sunnah terhadap sesuatu masalah, dan jika beliau menjumpai di dalam masalah tersebut apa-apa fatwa dari para sahabat dan beliau tidak menjumpai pula sebarang perselisihan terhadap fatwa tersebut maka beliau akan beramal denganya dan tidak pula menamakanya sebagai Ijmak,dan beliau akan berkata: “Aku tidak mengetahui langsung apa-apa yang bercanggah dengan fatwa tersebut”

(3) Jika terdapatnya berbagai-bagai pendapat para sahabat radiallahu anhum di dalam sesuatu masalah,maka beliau akan memilih pendapat-pendapat yang paling dekat dengan Al-Quran dan As-Sunnah, dan beliau tidak akan lari daripada pendapat-pendapat tersebut, dan kadangkala beliau hanya akan mengambil fatwa sahaja jika beliau tidak dapat mencari pendapat yang terkuat daripada sekalian pendapat-pendapat tersebut.

(4) Beliau beramal dengan Hadith Mursal, dan begitu juga dengan hadith dhoif bahkan mendepankanya daripada Al-Qiyas,selagimana beliau tidak menjumpai sebarang hadith, kata-kata para sahabat dan juga Ijmak yang bercanggah denganya.

(5) Beliau juga beramal dengan Al-Qiyas ketika dharurat, yang mana jika beliau tidak menjumpai langsung sebarang keputusan daripada keempat-empat usul tadi terhadap sesuatu masalah.

Selain daripada kelima-lima usul ini, terdapatnya pengkaji terhadap furu’ Mazhab Hanbali mengatakan bahawa beliau ada beramal dengan Al-Istishab sepertimana yang dilakukan oleh Imam Syafiey bahkan beliau menggunakanya secara meluas melebihi para imam yang lain, dan begitu juga beliau ada beramal dengan Masalihul Mursalah jika beliau tidak menjumpai sebarang nas, atsar dan juga Al-Qiyas terhadap sesuatu masalah, beliau juga beramal dengan Sadduz Zaraie’.

Cabaran Yang dihadapi oleh Imam Ahmad…

Ketikamana Khalifah Al-Ma’mun menghantar suratnya kepada pegawainya yang bertugas di Baghdad, beliau telah meminta di dalam surat tersebut agar dikumpulkan segala ulama’ dan qadhi serta imam-imam agar ditanyakan kepada mereka tentang Al-Quran itu makhluq atau bukan makhluq, jika sesiapa diantara mereka mengatakan bahawa Al-Quran itu bukan makhluq maka dia akan dilucutkan daripada jawatan tersebut, dan barangsiapa yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluq maka dia akan dikekalkan dengan jawatan yang disandangnya, dan sesungguhnya para fuqaha’ semuanya telah sebulat suara (melainkan para ulama’ Al-Mu’tazilah) mengatakan bahawa Al-Quran itu bukanlah makhluq, namun disebabkan kelemahan diri seorang manusia, dan perasaan takut untuk dilucutkan dari jawatan itu timbul, telah menyebabkan sebahagian daripada mereka mengiyakan kata-kata pemerintah ketika itu, tetapi terdapat juga sebahagian daripada mereka yang telah menentang keras perkara tersebut diantaranya ialah Imam Ahmad Bin Hanbal, beliau telah digari dengan rantai besi yang berat dan telah dipenjarakan disebabkan perbuatan beliau itu…

Dan ketikamana Khalifah Al-Ma’mun mendengar bahawa Imam Ahmad tetap juga berkeras dengan pendirianya walaupun telah diseksa dengan begitu teruk sekali, beliau telah diarahkan agar dihantar ke pihak khalifah di Khurasan dalam keadaan digari dan dirantai dengan rantai besi, tetapi Khalifah Al-Ma’mun telah mangkat sebelum sempat Imam Ahmad dihantar kepadanya.

Setelah kemangkatan Khalifah Al-Ma’mun, Khalifah Al-Mu’tasim pula menggantikanya dengan menaiki takhta pemerintahan, dan khalifah tersebut juga bersamaan dengan khalifah sebelumnya dengan mengatakan bahawa Al-Quran itu ialah makhluq, maka tinggallah Imam Ahmad meringkuk di dalam penjara dengan penuh penderitaan, walaupun didalam keadaan yang digari dan dibelenggu dengan rantai besi beliau tetap juga memperbanyakkan ibadah beliau kepada Allah dengan penuh tekun sekali, dan bersolat bersama-sama ahli penjara yang lain.

Dan Khalifah Al-Mu’tasim telah meminta para ulama’nya untuk berdebat dengan Imam Ahmad berkenaan dengan mengatakan Al-Quran itu makhluq, tetapi Imam Ahmad telah berjaya menutup mulut para ulama’ duniawi tersebut dengan satu soalan sahaja dengan mengatakan : “Bawakanlah kepadaku satu dalil daripada kitabullah dan sunnah nabiNya yang mengatakan Al-Quran itu makhluq!!”

Beliau tetap teguh kemas dengan pendirianya itu walaupun pihak khalifah telah mencuba memujuknya dengan berbagai-bagai cara samada secara lembut ataupun kasar, beliau telah ditawarkan dengan berbagai pangkat dan hadiah-hadiah, begitu juga beliau telah dikenakan dengan seksa yang berat, tetapi pendirian beliau tidak sedikit pun berganjak walau seinci.

Dan apabila Khalifah Al-Mu’tasim tidak berdaya lagi untuk memujuk beliau, maka baginda pun mengarahkan agar disiapkan suatu alat penyeksaan untuk menyeksa beliau, mereka juga telah memukul beliau sehingga terkehel bahunya dan terpercik darah di belakang badanya, tetapi beliau tetap juga tidak berganjak dari perkataanya walau sedikit pun.

Sesungguhnya Al-Maruzi (5) iaitu salah seorang dari ulama’ duniawi yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluq telah berkata kepada beliau : “Bukankah Allah Taala telah berkata : (( Dan janganlah kalian membunuh diri kalian sendiri [An-Nisa’ : 29] ))??”  lalu Imam Ahmad pun berkata kepadanya : “Bunuhlah diriku ini dan aku tidak mahu sesat seperti kesemua mereka itu”

Dan apabila Khalifah Al-Mu’tasim berasa khuatir yang Imam Ahmad akan mati disebabkan begitu banyaknya penyeksaan yang telah dikenakan ke atas beliau dan juga akan menyebabkan rakyat bangkit membela beliau, baginda pun mengarahkan agar beliau dilepaskan dan dihantar ke keluarga beliau semula, beliau telah meringkuk di dalam penjara selama 28 bulan.

Selepas kejadian tersebut, Imam Ahmad pun menghilangkan dirinya daripada pandangan masyarakat dalam beberapa ketika sehinggalah tampuk pemerintahan bertukar daripada Al-Mu’tasim dan Al-Muwatsiq kepada Khalifah Al-Mutawakkil yang telah menghentikan terus segala fitnah tersebut barulah beliau memunculkan diri beliau semula,baginda pun membersihkan kembali nama beliau dan telah mengangkat kembali ketinggian ilmunya sehingga melonjak naik melebihi para ulama’ lain yang sezaman denganya.

Karangan-karangan Imam Ahmad

Di antaranya ialah kitab “Al-Musnad” di dalam bidang Al–Hadith,iaitu suatu kitab hadith hasil periwayatan anaknya Ali daripada beliau,di dalam kitab agung ini terkandung di dalamnya 40 000 buah hadith,dan karangan beliau di dalam bidang usul fiqh pula ialah “Thoa’tur Rasul” dan begitulah juga kitab “An-Naasikh Wal Mansuukh” dan juga kitab “Al-‘Ilal” manakala hasil karangan beliau di dalam ilmu aqidah pula adalah seperti “Kitabus Sunnah Muusilul Mu’taqidi Ilal Jannah” dan juga kitab : “Ar-Raddu ‘Alaz Zanadiqah” dan kitab beliau di dalam bidang Feqh pula adalah seperti “Kitabus Solat Wama Yalzimu Fiiha” dan juga kitab “Kitabul Asyribah” dan juga “Kitabuz Zuhud” dan “Kitabul Wara’ Wal ‘Ilmi” kesemua kitab-kitab hasil karangan beliau yang telah dinyatakan ini sebahagianya ada yang telah dicetak manakala sebahagian lagi masih lagi berbentuk manuskrip tidak dicetak lagi.

Sesungguhnya Imam Ahmad tidak mengumpulkan sendiri pendapat-pendapatnya di dalam bidang Feqh tetapi anak-anak murid selepasnya yang telah mengumpulkan pendapat-pendapat beliau tersebut,dan pengumpulan mereka yang terpenting sekali di dalam bidang Feqh adalah “Masaielu ‘An Ali Bin Ahmad Bin Hanbal” iaitu suatu bentuk pengumpulan pendapat tentang segala jawapan-jawapan Imam Ahmad terhadap segala permasalahan yang telah ditanyakan kepada beliau, yang mana ianya meliputi setiap bab di dalam Ilmu Feqh.

Anak-anak murid Imam Ahmad Bin Hanbal

Sesungguhnya anak-anak murid Imam Ahmad cerdik-cerdik belaka,mereka telah mempelajari mazhabnya seterusnya menyebarkanya ke seluruh ceruk negera-negara islam,dan diantara mereka ialah anak beliau sendiri iaitu Soleh, anak sulung Imam Ahmad yang telah bertanggungjawab menyebarkan mazhab bapanya sendiri,dan begitulah juga anak beliau yang lain seperti Abdullah yang telah bertanggungjawab mengumpulkan segala hadith-hadith sahih di dalam kitab bapanya “Al-Musnad” dan telah membahagikanya mengikut bab,dan dia juga telah mengedarkan kitab tersebut setelah menyempurnakanya.

Dan diantara ulama’- ulama’ Mazhab Hanbali yang bekerjasama mengembangkan mazhab ini adalah seperti:

(1) Abu Bakar Al-Atsram : Beliau ialah Abu Bakar Ahmad Bin Muhammad Bin Haani’ Al-Khurasaniy Al-Baghdadiy atau lebih dikenali dengan Al-Atsram.Beliau telah meninggal dunia pada tahun 273 hijrah dan beliau merupakan diantara faqih yang paling a’lim yang telah mengembangkan Mazhab Hanbali,beliau juga mempunyai hasil karangan beliau sendiri iaitu : “As-Sunanu Fil Fiqhi ‘Ala Mazhabi Ahmada Wa Syawahidihi Minal Hadith”         

(2) Abu Bakar Al-Khallal : Beliau ialah Abu Bakar Ahmad Bin Muhammad Al-Khallal,beliau meninggal dunia pada tahun 311 hijrah,beliau telah berguru Ilmu Feqh dengan beberapa orang Ashabul Imam Ahmad,beliau juga telah mengembara ke beberapa buah negara dan mengumpulkan segala pendapat-pendapat yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad,dan beliau ada mengarang sebuah kitab yang bertajuk : “Al-Jaamik Al-Kabir”

(3) Abu Al-Qasim Al-Khirqi : Beliau ialah Abul Qasim Umar Bin Abi Ali Al-Husin Al-Khirqi Al-Baghdadiy yang meninggal pada tahun 334 hijrah,beliau mempunyai banyak hasil karangan seperti kitab: “Mukhtasaratul Masyhur Fil Feqh” iaitu suatu kitab yang sesuai untuk orang yang baru ingin mengenali mazhab ini, beliau lebih dikenali dengan “Al-Khirqi”  (kain perca) kerana beliau dahulunya merupakan penjual kain perca dan pakaian.

Begitulah juga tidak dilupakan Imam yang mulia iaitu Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah rahimahullahu taala yang mempunyai betapa banyak hasil karanganya sendiri dan fatwa-fatwa beliau yang sangat masyhur dan juga beliau telah menyumbang jasa yang sangat besar di dalam mengembangkan mazhab bahkan telah memperbaharuinya.Beliau meninggal dunia pada tahun 728 hijrah.

Begitulah juga tidak dilupakan anak murid kepada imam yang mulia ini iaitu Al-Imam Al-Allamah As-Syeikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyah yang mengarang kitab “I’lamul Muwaqi’in” yang meninggal pada tahun 751 hijrah,dan juga tidak dilupakan jasa As-Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab yang meninggal pada tahun 1260 hijrah yang telah menjadikan Mazhab Hanbali sebagai suatu mazhab rasmi di Daulah Ibni Saud di Najd dan Hijaz,para pengikut mazhab ini telah berusaha dengan menyebarkan kitab-kitab besar mazhab ini kepada para fuqaha’ Mazhab Hanbali di Arab Saudi dan juga di Negara Arab Teluk,mereka telah mengedarkanya secara percuma kepada semua pelajar agama dan para ulama’ di negara tersebut.

Sebab Kurangnya Pengikut Imam Ahmad Bin Hanbal

Diantara sebab kurangnya pengikut Imam Ahmad Bin Hanbal adalah disebabkan oleh faktor politik dan bukanlah disebabkan oleh faktor kekerasan dan paksaan kepada pengamalnya seperti yang menjadi sangkaan ramai orang,kerana Mazhab Hanbali adalah mazhab yang paling terbuka dan yang paling menyenangkan serta memberikan kemudahan kepada orang,tetapi mazhab ini telah terpalit oleh tuduhan tersebut kerana mazhab ini pada kurun yang keempat hijrah merupakan mazhab yang paling ramai pengaruhnya di Baghdad, lalu para pengamal mazhab ini pun terlalu fanatik denganya dan telah mengembangkanya dengan cara kekerasan dan paksaan,mereka juga telah menyeksa orang ramai jika mereka berpandangan bahawa perkara tersebut menyalahi hukum syarak, dan keadaan fanatik sedemikian telah menyebabkan para pengamal Mazhab Syafiey bangkit di Baghdad dengan memusuhi mereka dan berbalah sesama mereka,lalu keadaan ini telah menyebabkan ramai orang lari daripada bermazhab dengan mazhab ini,oleh yang demikian,mazhab ini telah terpalit dengan tuduhan mazhab yang jumud,memaksa dan berpendapat dengan pendapat yang tiada toleransi kepada pengamalnya yang mana ianya berlarutan sehinggalah ke hari ini,dan masih juga ada sesetengah orang yang tidak langsung mengkaji mazhab ini menyangka bahawa Mazhab Hanbali ini merupakan mazhab yang jumud dan mazhab yang mengamalkan kekerasan…

Tetapi hakikatnya ialah mazhab ini merupakan mazhab yang sangat adil dan jauh daripada tuduhan jumud dan mengamalkan kekerasan kepada pengamalnya,contoh yang sangat jelas ialah seperti sifat toleransi agama islam kepada para penganutnya.

Dan diantara sebab yang lain pula ialah tiadanya pemerintahan yang berperanan untuk  mengembangkan mazhab ini,sepertimana yang berlaku kepada beberapa mazhab-mazhab yang lain,dan perkara ini menyebabkan mazhab ini kurang pengikutnya berbanding mazhab-mazhab yang sudah diterangkan dahulu,tetapi hal tersebut terjadi sebelum mazhab ini dijadikan sebagai mazhab rasmi di Negara Arab Saudi,dan kekallah mazhab ini sebagai mazhab rasmi di negara tersebut serta negara-negara Teluk Arab yang lain.

Penerangan:

(1) Mujtahid yang mustaqil : Berkatanya As-Syeikh Al-Allamah Syah Waliyullah Ad-Dahlawi di dalam kitabnya yang bertajuk : “Aqdul Jayyid Fi Ahkamil Ijtihad Wat Taqlid” bahawa para mujtahid itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Mujtahid Mustaqil dan Mujtahid Muntasib…marilah dikenalkan dahulu apakah kriteria Mujtahid Mustaqil ini dan siapakah diantara orang-orangnya??

Kriteria Seorang Mujtahid yang mustaqil adalah :

(1) Mengeluarkan ijtihad-ijtihadnya dengan berasaskan kepada usul-usulnya yang tersendiri.

(2) Mampu mengkaji ayat-ayat Al-Quran dan atsar-atsar dengan pengetahuanya tentang hukum-hakam yang telah pun diketahui dan dijawab sebelumnya,dan mampu memilih dalil yang kuat daripada dalil-dalil yang saling bercanggah diantaranya,dan mampu juga mencari dalil yang terkuat daripada kebarangkalian hukum serta mampu pula memberikan peringatan terhadap kecacatan hukum daripada dalil-dalil tadi,yang mana kemahiran-kemahiran ini merupakan sepertiga daripada ilmu Imam Syafiey rahimahullahu taala.

(3) Mampu menerangkan segala masalah-masalah yang tidak pernah dijawab sebelumnya berdasarkan dalil-dalil tadi.

Dan diantara orang-orangnya ialah : Kesemua fuqaha’ para sahabat dan tabi’een dan kesemua para fuqaha’ mazhab empat ( Imam Hanafi,Imam Malik,Imam Syafiey dan Imam Ahmad Bin Hanbal ) begitu juga Zaid Bin Ali,Ja’far As-Sodiq,Imam At-Tsauri,Al-Auzai’ey,Al-Laits Bin Saad,At-Thobari,Imam Daud Bin Ali Az-Zahiri dan lain-lain.

Imam Abu ‘Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad, Iraq, pada tahun 164H/781M. Ayahnya seorang mujahid Islam dan meninggal dunia pada umur muda, iaitu 30 tahun. Ahmad kemudiannya dibesarkan oleh ibunya Saifiyah binti Maimunah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal al-Qur”an sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith yang terkenal. Imam Ahmad bin Hanbal meneruskan pengajian hadithnya dengan sekian ramai guru dan beliau pada akhir hayatnya dijangkakan telah menghafal lebih daripada sejuta hadith termasuk barisan perawinya.

Pada tahun 189H/805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah dan tidak lama kemudian ke Makkah dan Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan Imam as-Syafi’e. Sebelum itu guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf, Husain ibn Abi Hazim al-Washithi, ‘Umar ibn ‘Abdullah ibn Khalid, ‘Abdurrahman ibn Mahdi dan Abu Bakar ibn ‘Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan ‘Abdurrazzaq ibn Humam, seorang ahli hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama.

Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka mula mengerumuninya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. al-Qasim ibn Salam pernah berkata:

Ahmad bin Hanbal adalah orang yang paling ahli dalam bidang hukum dan aku tidak melihat ada orang yang lebih mengetahui tentang as-Sunnah selain beliau. Beliau tidak pernah bersenda gurau, selalu berdiam diri, tidak memperkatakan apa-apa selain ilmu.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Mu’tazilah yang diterima oleh pemerintah Abbasid ketika itu. Mereka (pemerintah) memaksa Imam Ahmad mengesahkan mazhab baru tersebut. Imam Ahmad enggan dan ini menyebabkan beliau dirotan di dalam penjara sehingga tidak sedarkan diri.

Akibat ketegasan Imam Ahmad bin Hanbal serta tekanan daripada para orang ramai akhirnya menyebabkan pihak pemerintah Abbasid telah terpaksa membebaskan beliau dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M, ketika berusia 77 tahun Hijriah. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu “al-Musnad” yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan atsar para sahabat radhiallahu ‘anhum. Dua orang anaknya yang utama meneruskan perjuangan ayah mereka, iaitu ‘Abdullah bin Ahmad dan Shaleh bin Ahmad.

________________________________________

Allahu a’lam bisshawab.

Imam Hanbali digelar Al-Hakam kerana dapat menghafaz lebih 700,000 hadis dan berpengetahuan mendalam mengenai ilmu hadis. Melayakkan beliau mengeluarkan fatwa dalam hukum Fikah.  Imam Hanbali juga seorang yang sangat kuat beribadat, beliau sembahyang sunat 300 rakaat sehari semalam dan khatam Al-Quran seminggu sekali.Beliau sangat menghormati guru-gurunya. Ketika Imam Syafie menziarahinya di rumah, beliau segera bangun mengemaskan diri, menyambut  kedatangan gurunya lalu diberikan tempat duduk yang  tinggi sementara dia duduk di bawah. Imam Hanbali tidak gemar bergurau senda, lebih suka mendiamkan diri dan berfikir. Bercakap apabila menjawab soalan mengenai hokum agama.  Suka  bergaul dengan orang-orang miskin dan kurang bergaul dengan orang kaya  dan orang-orang berpangkat.

Khalifah Harun Ar-Rasyid pernah bertanya kepada Imam Syafie tentang orang yang layak menjadi Kadi di Yaman. Imam Syafie mencadangkan muridnya Imam Ahmad. Apabila Imam Ahmad Mengunjungi Imam Syafie, beliau ditawarkan dengan jawatan tersebut  tetapi ditolaknya  dengan berkata ” Saya datang menemui tuan bukan untuk mendapatkan jawatan daripada khalifah”.Imam Hanbali  terkenal dengan sikap  pemurah.  Jirannya  pernah memberinya  sepinggan anggur dibalasnya dengan  gula, garam dan beberapa pinggan buah-buahan.Semasa  pemerintahan Khalifah Al-Makmum bin Harun Ar-Rasyid, beliau menganut  fahaman Muktazilah yang  berpendapat  Al-Quran  itu makhluk yang bersifat baharu.  

Baginda memaksa ulama-ulama  menerima pendapat itu tetapi Imam Hanbali menentangnya  dengan  mengatakan  Quran itu kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhamad melalui malaikat Jibrail.Akibat penentangannya itu  Imam Hanbali ditangkap lalu dipenjara kemudian disebat dengan rotan dalam memaksanya tunduk kepada fahaman Muktazilah.  Beliau disebat dengan rotan  sehingga kulitnya mengelupas dan keluar darah. Setelah khalifah  Al Makmun meninggal dunia diganti  khalifah Al Muktasyim. Beliau terus memenjarakan  Imam Hanbali  kerana melindungi fahaman Muktazilah. Sehinggalah Khalifah Al-Mutawakkil  yang menganut mazhab Ahli sunnah wal jamaah berkuasa barulah Imam Hanbali dibebaskan.Dalam usaha memujuk Imam Hanbali  Khalifah Al-Mutawakkil menghadiahkan 10,000 dirham.

Wang itu diambilnya  tetapi kemudiannya  disedekahkan kepada fakir miskin.Pada hari-hari tuanya Imam Hanbali menjadi tempat rujukan orang ramai khususnya di Baghdad. Dalam menentapkan hukum beliau lebih mengutamakan Al-Quran dan As-Sunnah dan pendapat  para sahabat Rasulullah.Imam Hanbali meninggal dunia pada pagi hari Jumaat  12 Rabiul Awal  tahun 241 hijrah bersamaan 855 masihi ketika berusia 77 tahun dan dikebumikan di Baghdad.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: