SURAH AL-BAQARAH (سورة البقرة) – AYAT 14 – 16


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY

USAH MEMBELI KEKUFURAN DENGAN KEIMANAN

AYAT 14

وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ ﴿١٤﴾

Maksudnya: “Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan “kami telah beriman”. Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan: “Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok.”


“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman.”

Al-Samarqandi di dalam tafsirnya Tafsir al-Samarqandi, berkata: Diturunkan ayat ini untuk menyebut sifat orang-orang munafiqin daripada mereka Abdullah bin Ubai bin Salul, Sad bin Qais, Muta’b bin Qusyair dan lain-lain.

Ini kerana Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali apabila melalui berhampiran puak munafiqin, Abdullah bin Ubay berkata kepada rakan-rakannya: Lihat bagaimana aku perbodohkan mereka daripadamu, supaya kamu dapat meniru lagakku dalam percakapan; lantas dia mendekati Abu Bakar dengan memimpin seraya memuji: Selamat datang penghulu Bani Tamim, yang bersama Rasulullah dalam Gua Thur, pilihan di kalangan umatnya, berkorban jiwa raga dan harta benda untuk Rasulullah s.a.w.

Kemudian beliau memimpin tangan Umar seraya berkata: Selamat datang Penghulu Bani A’diy yang kuat dan tegas pada agama Allah, berkorban jiwa raga dan harta benda untuk Rasulullah.Kemudian memimpin tangan Ali seraya berkata: Selamat datang Penghulu Bani Hashim, sanggup berkorban apa sahaja, jiwa raga dan harta untuk Rasulullah s.a.w dan yang dahulu hijrah.

Ali lantas berkata kepada Abdullah bin Ubay: Takutlah kamu kepada Allah hai Abdullah dan jangan kamu jadi munafik kerana orang-orang munafik sejahat-jahat makhluk Allah.

Abdullah bin Ubay berkata: Kenapa kamu kata begitu kepadaku sedangkan jiwaku sama seperti imanmu,kepercayaanku sama seperti kepercayaanmu.

Al-Allamah Rashid Ridha menjawab tohmahan golongan yang cetek fikiran mendakwa ayat ini untuk orang munafik  pada zaman tersebut sahaja kerana sighah madhi (lalu) pada “iza” apabila jawabnya – Tidak, kerana “iza” juga menunjukkan masa depan. Ini uslub untuk menghinakan mereka dan dipilih sighah ini bagi menggambarkan bahawa barangan nifaq tidak sesuai dipasarkan pada pasaran orang beriman dan olok-olok mereka ditolak sehingga  memakan diri mereka sendiri.

“Mereka mengatakan kami telah beriman.”

Ibn Kathir berkata: Mereka cuba menzahirkan kepada orang yang beriman keimanan mereka  dan kebersamaan mereka sebagai tipu helah terhadap orang beriman dan sebagainya seperti nifaq, olok-olok dan sembunyikan hakikat mereka. Ini kerana supaya mereka dapat habuan harta benda seperti ghanimah.

Imam al-Nasafi berkata hampir sama dengan ayat pertama yang menerangkan mazhab munafiqin dan menterjemah sifat nifaq mereka.

“Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka.”

Al-Mawardi di dalam tafsirnya al-Nukat wa al-Uyun menyebut dua pendapat:

  1. Mereka adalah Yahudi yang menyuruh mereka dengan mendustakan. Ini pendapat Ibn Abbas.
  2. Ketua- ketua mereka dalam kekufuran. Ini pendapat Ibn Mas’ud.

Al-Samarqandi menaqalkan pendapat al-Kalbi yakni kepala kejahatan mereka seramai lima orang iaitu kumpulan daripada Yahudi, Kaa’b bin al-Asraf di Madinah, Abu Bardah al-Aslami daripada Bani Salim, Abu al-Sauda’ di Syam, Abdul Dar daripada Juhainah dan Auf bin Malik daripada Bani Asad.

Al-Allamah Rashid Ridha menafsirkan syaitan-syaitan dengan pembawa-pembawa fitnah, pelaku-pelaku kerosakan dan penolong-penolong kebatilan. Mereka merupakan golongan yang menyekat daripada jalan kebenaran dengan apa yang mereka dirikan di hadapannya daripada rintangan-rintangan, was-was dan waham.

Di samping itu, apa yang mereka kenakan daripada duri-duri aib dan cela serta mudharat-mudharat yang keji. Syeikh berkata: Mufassir kita, iaitu al-Jalal menyebut syaitan-syaitan ialah kepala- kepala atau ketua-ketua.

Jawab Syeikh Rashid Ridha:Yang sebenarnya ialah pendapat kami.

 “Kepada syaitan-syaitan mereka.”

 Terdapat tiga pendapat tentang “kepada”:

  1. Dengan makna bersama syaitan-syaitan mereka.
  2. Dengan makna matlamat yang dicapai .Ini pendapat ulama’Basrah.
  3. Dengan makna ‘kepada’ tidak sempurna kalam tanpanya. Ini pendapat  sebahagian ulama Kufah.

Ibn Jarir berkata: Syaitan-syaitan ialah setiap sesuatu yang melampau sama ada manusia atau jin seperti firman Allah, ayat 112 daripada surah al-An’am.

Dalam Musnad, daripada Abi Zar katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: “Minta berlindunglah kamu dengan Allah daripada syaitan, manusia dan jin. Aku bertanya, Ya Rasulullah: Adakah bagi manusia ada syaitan? Sabdanya: Ya.”

“Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu.”

Bermaksud, sesungguhnya kami sentiasa bersahabat, setuju dan mengiakan mengikut agama kamu.

“Kami hanyalah berolok-olok.”

Sebenarnya kami mempermainkan mereka dan mengolokkan mereka.

Ada pendapat menyatakan, kami hanya olok-olok kepada Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya seperti yang dinyatakan oleh al-Samarqandi.

AYAT 15

اللَّهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ ﴿١٥﴾

Maksudnya: Allah akan (membalas) olok-olokkan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka.”

Allah membalas olok-olokan mereka dengan bertangguh kemudian dengan hukuman. Ibn Abbas berkata: Allah hina mereka.

Ibn Kathir berkata: Ini perkhabaran daripada Allah yang menghukum mereka sebagai hukuman sendaan dan tipu daya. Ia keluar daripada perkhabaran kepada mereka yang patut dihukum.

Ulama bayan menamakan ini termasuk dalam jenis ‘musyakalah’ ialah jumlah (susunan ayat) yang sama pada lafaz tetapi berlainan makna.

Al-Nasafi berkata: Tatkala Allah balas olok-olok mereka tidak disebut ‘wau’ dengan makna ‘dan’ atau disebut ‘ataf’ memberi maksud betapa besarnya hukuman Allah ditimpa atas mereka, hasilnya mereka dalam kehinaan. Dan apabila dibalakan ke atas mereka itu , justeru digunakan ‘fiil’( perbuatan) tidak nama bagi menempelak mereka.

“Membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka.” – dengan menambahkan mereka dalam kesesatan,kekufuran dan syak dalam kehairanan.Tiada mereka dapati jalan kerana Allah meteri hati-hati mereka dan buta mata mereka. Justeru mereka tidak lagi nampak hidayah dan petunjuk.

Syeikh Abdul Rahman bin Nasir al-Sa’di di dalam tafsirnya Tafsir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al- Mannan, berkata: Antara olok-olok Allah dengan mereka pada hari kiamat, diberi kepada mereka dan orang beriman cahaya yang zahir. Apabila orang beriman berjalan dengan cahaya mereka, sedangkan cahaya orang munafik dipadamkan. Kekallah mereka dalam kegelapan selepas cahaya tercengang-cengang. Alangkah besarnya putus mereka selepas tamak. 

AYAT 16

أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ فَمَا رَبِحَت تِّجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ ﴿١٦﴾

Maksudnya: “Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.”

“Membeli kesesatan dengan petunjuk”.

Terdapat tiga pendapat:

  1. Mengikut hakikat membeli – seolah-olah mereka membeli kekufuran dengan keimanan.
  2. Dengan makna mereka melebihkan kekufuran daripada keimanan. Diibaratkan dengan beli kerana orang akan beli apa yang dia suka.
  3. Dengan makna mengambil kekufuran dan meninggalkan keimanan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud.

Al-Samarqandi berkata: Daripada ayat ini, menjadi dalil yang pembelian boleh berlaku tanpa lafaz-lafaz tetapi sekadar pertukaran kerana Allah namakan pertukaran kesesatan dengan petunjuk sebagai jual beli.

“Tidaklah beruntung perniagaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.”

Terdapat tiga pendapat ulama seperti kata al- Mawardi di dalam tafsirnya:

  1. Mereka tidak dapat petunjuk dalam pembelian kesesatan.
  2. Mereka tidak dapat petunjuk kepada perniagaan yang orang beriman dapat petunjuk.
  3. Apabila perniagaan tidak untung, Allah nafikan mereka daripada keuntungan dan hidayah. Sebagai celaka atas tindakan mereka.

Syeikh Rashid Ridha berkata: Di dunia kerana tidak dapat hasil buah yang hakikatnya tetapi mereka ditimpa kerugian dan kehinaan atas sebab penangguhan dan pengabaian mereka daripada melihat yang sebenarnya yang sudah tentu tidak mendatangkan sebarang kemaslahatan dan menjamin sebarang manfaat kecuali dengannya.

Imam al-Nasafi berkata: Keuntungan merupakan kelebihan daripada modal asal. Perniagaan merupakan pekerjaan peniaga bagi mencari laba dengan cara jual beli. Sandaran keuntungan kepada peniaga daripada jenis sandaran majazi (pinjaman).

Maknanya, mereka tidak untung pada perniagaan mereka kerana berlaku pembelian kesesatan dengan petunjuk.

“Tidaklah mereka mendapat petunjuk.”

Diriwayatkan daripada Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim daripada Qatadah: Sesungguhnya, demi Allah kamu lihat mereka keluar daripada hidayah kepada kesesatan daripada jamaah kepada perpecahan, daripada keamanan kepada ketakutan dan daripada sunnah kepada bidaah.

Syeikh al-Suidi berkata: Kalau ditukar emas dengan perak dianggap kerugian, bagaimana ditukar permata dengan perak?

Bagaimana pula petunjuk hidayah dengan kesesatan, memilih kehinaan daripada kebahagiaan sekalipun pada perkara yang remeh?

Sudah tentu tidak menguntungkan perniagaan, sebaliknya amat besar kerugian.

Glosari:

Sighah madhi       : Satu lafaz dalam ilmu nahu yang menunjukkan sudah berlaku
Ulama bayan      : Ulama yang mengetahui makna sesuatu ayat dan satu lafaz dalam ilmu balaghah yang menunjukkan kepada sesuatu golongan
Waham   : Kesamaran.
Mufassir : Ulama tafsir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: