SURAH AL-BAQARAH (سورة البقرة) – AYAT 11 – 13


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY

Allah s.w.t mendedahkan lagi dengan lebih jelas sikap dan ego mereka dalam menerima keimanan. Ditonjolkan uslub dan keengganan mereka seperti dalam ayat ini.

AYAT 11

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ ﴿١١﴾

Dan apabila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab, “Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakankebaikan”.

Allah melarang manusia melakukan kerosakan di muka bumi ini.

“Dan apabila dikatakan kepada mereka”

Al-Samarqan di di dalam tafsirnya berkata: Yakni orang-orang munafiqin.Tetapi kaedah yang masyhur: Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum bukan dengan sebab khusus turunnya ayat. Justeru siapa yang ingin melakukan kerosakan, juga termasuk dalam ayat ini.

“Jangan kamu membuat kerosakan di bumi” dengan makna kufur dan mengiakan kepada kekufuran.

Ibn Mas’ud menafsirkan kerosakan di muka bumi dengan kekufuran dan beramal dengan maksiat.

Ibn Al- Jauzi menafsirkan ‘kerosakan’ di sini dengan lima pendapat:

  1. Dengan makna kufur seperti pendapat Ibn Abbas.
  2. Beramal dengan maksiat seperti pendapat Abu al-A’liah dan Muqatil.
  3. Kufur dan maksiat.Inilah pendapat al- Suddi daripada guru-gurunya.
  4. Meninggalkan perintah dan menjauhkan larangan seperti kata Mujahid.
  5. Munafiq yang sama dengan orang- orang kafir seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Ali al-Ubaidillah.

Imam al-Nasafi menegaskan kerosakan sebagai keluar daripada keadaan istiqamah dan dapat manfaat dengan berlawanan maksud ‘islah’ (kebaikan).

Kerosakan di bumi dengan cara menghuru-harakan, merancang pencerobohan, peperangan dan fitnah-fitnah kerana semuanya itu termasuk dalam kerosakan di bumi. Menafikan istiqamah daripada keadaan-keadaan manusia, tanaman dan segala manfaat agama dan dunia.

Kerosakan yang dilakukan oleh orang munafiqin di bumi di mana mereka cenderung kepada kekufuran daripada orang Islam di samping mendedahkan rahsia-rahsia mereka. Ini membawa kepada gelombang fitnah.

Sebaliknya mereka menegaskan:

 “ Sesungguhnya kami orang yang berbuat kebaikan (islah).”

Terdapat tiga ta’wil.

  1. Ingkar daripada mereka yang membuat kerosakan sebagai bukti berterusannya mereka di dalam nifaq.
  2. Mereka mengiakan hubungan dengan kekufuran secara mendakwa inilah kebaikan kerana kerabat yang perlu dihubungi.
  3. Mereka menjadi pendamai antara orang-orang kufur dan mukmin. Sehingga mereka merentasi kekufuran.

Salman al-Farisi berkata: Tidak datang golongan selepasnya dengan maksud golongan ini (munafik) akan wujud sepanjang zaman.

Inilah yang disebut oleh Ibnu A’ttiah di dalam tafsirnya Al-Muharrar al-Wajiz.

Ibn Jarir berkata: Ahli nifaq melakukan kerosakan di muka bumi dengan menunggang maksiat pada tuhan secara melakukan tegahan, mengabaikan fardu- fardu, syak pada agama yang tidak diterima daripada seseorang amalan kecuali dengan tasdiq dan sebenar imannya. Pendustaan mereka terhadap orang-orang beriman dengan dakwaan mereka yang palsu, ditambah dengan sentiasa mereka dalam syak dan ragu-ragu. Mereka juga berkomplot dengan golongan yang mendustakan Allah, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya terhadap aulia Allah kalau mereka dapat peluang. Itulah kerosakan orang munafiqun di bumi. Mereka masih menyangka dengan perbuatan mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang berbuat baik (islah).

Ibn Kathir dalam memberi komentar terhadap pendapat Ibn Jarir ini berkata: Apa yang dikatakannya cukup baik. Ini kerana perlakuan kerosakan orang munafiq di bumi sedangkan mereka masih menyangka yang mereka dengan perlakuan tersebut telah melakukan kebaikan (islah).

AYAT 12

أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ ﴿١٢﴾

Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.

 “Ingatlah” – Al-Zajjaj berkata kalimah ini dimulakan dengannya untuk memberi peringatan kepada orang mendengar.Kemudian disebut “mereka” untuk menguatkan percakapan.

Syeikh al- Maraghi berkata: Uslub ini sebagai mubalaghah pada bangkangan ke atas mereka dan dalil kemurkaan yang amat besar.

“Mereka tidak sedar – Terdapat dua pendapat:

  1. Mereka tidak sedar apa yang mereka lakukan sebagai kerosakan yang tiada kebaikan.
  2. Mereka tidak sedar bahawa Allah memberitahu nabi mereka atas perangai mereka yang membuat kerosakan.Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu al- Jauzi di dalam Zad al- Masir.

Imam al-Baidhawi berkata: Keadaan orang munafik ini dengan menggambarkan kerosakan dengan gambaran kesolehan atau kebaikan. Ini kerana pada hati-hati mereka dihinggapi penyakit seperti yang dirakamkan Allah di dalam kitabNya.Dengan sebab itu Allah menafikan mereka dengan dua huruf  ta’kid Ala sebagai munabbihah (peringatan) dan inna (sesungguhnya) sebagai muqarrirah (mengiakan).

Dalam ibarat yang lain – “Ketahuilah hai sekalian manusia, sesungguhnya merekalah sebenarnya yang merosakkan tanpa disedari kerana telah padam cahaya iman pada hati mereka.”

Al-Samarqandi berkata: Ketahuilah hai orang-orang yang beriman sesungguhnya mereka yang sebenarnya melakukan kerosakan dan derhaka. Jadilah berulang-ulang kalimah ‘mereka’ atas wajah penguat. Biasanya orang Arab menggunakan pengulangan cakap atau lafaz-lafaz dengan menghendaki ta’kid (penguat).

Ibn Kathir berkata: Ingatlah sesungguhnya ini yang mereka sengaja lakukan dan sangka sebagai pembawa kebaikan (islah) sebenarnya itulah kerosakan tetapi malangnya dengan sebab kejahilan, mereka tidak menyedari yang tindakan dan perlakuan mereka sebagai kerosakan.

AYAT 13

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ ۗ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَـٰكِن لَّا يَعْلَمُونَ ﴿١٣﴾

Apabila dikatakan kepada mereka “Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman”, mereka menjawab: “Akan berimankah kami sebagaimana orang- orang yang bodoh itu telah beriman?” Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang- orang yang bodoh, tetapi mereka tidak tahu.

 Ibn al-Jauzi menaqalkan tafsiran ayat apabila dikatakan kepada mereka berimanlah kamu kepada dua pendapat:

  1. Mereka golongan Yahudi seperti pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.
  2. Mereka golongan munafiq seperti pendapat Mujahid.

Ibn Zaid – Mengikut pendapat ini terdapat dua bahagian:

  1. Sahabat Nabi s.a.w seperti pendapat Ibn Abbas tanpa menentukan mana-mana sahabat.
  2. Mereka menentukannya, mereka ialah Saa’d bin Muaz, Abu Lubabah,  Usaid seperti yang disebut oleh Muqatil.

Kemudian disuruh “ Berimanlah kamu” ditafsirkan ‘iman’ dengan:

  1. Tasdiq ( dengan membenarkan) Nabi s.a.w. Ini pendapat yang menyatakan kepada Yahudi. Ini berdasarkan riwayat al-Kalbi daripada Abi Solih daripada  Ibn Abbas.
  2. Beramal mengikut apa yang dizahirkan. Ini pendapat yang menyatakan kepada orang-orang munafiqun.

“Mereka menjawab akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh telah beriman.”

 Orang-orang yang bodoh ialah orang-orang yang jahil lagi daif pendapat, sedikit makrifat untuk mentakdirkan kebaikan-kebaikan dan kemudaratan. Sebab itu, seperti kata Ibn Katsir dinamakan perempuan-perempuan dan kanak-kanak sebagai orang-orang yang bodoh seperti ayat 5 daripada surah al-Nisa’.

Kebanyakan ulama salaf menafsirkan ayat-ayat ini dengan perempuan dan kanak- kanak.

Imam al- Nasafi di dalam tafsirnya Madarik al-Tanzil berkata: Pertanyaan “Akan berimankah kami” sebagai pertanyaan mengingkari.

Seterusnya, ada ‘lam’ pada kalimah ‘orang-orang bodoh’ mengisyaratkan dengannya kepada manusia. Sebenarnya mereka membodohkan mereka yang berakal waras kerana mereka kejahilan yang mereka anuti dalam kebenaran.

“Ingatlah sesungguhnya merekalah yang bodoh”

 Allah s.w.t menjawab semula ucapan mereka dalam definisi ‘bodoh’ bagi orang beriman dengan penegasan.

“Ingatlah” – memberi kesungguhan yang sebenarnya bodoh adalah mereka itu sendiri.

Syeikh al-Maraghi berkata: Ditutup ayat ini dengan “mereka tidak tahu” sebelumnya dengan “mereka tidak sedar” kerana iman tidak sempurna tanpa ilmu yakini dan faedah yang diharap daripadanya ialah kebahagiaan hidup dan kesusahan yang tidak didapati nya tanpa memahami hakikatnya. Mereka yang munafiq tersilap mendapat maslahat mereka lainnya.

Imam al-Nasafi menjadikan ayat ini sebagai dalil supaya para ulama merasa tenang apabila bertembung dengan tindakan orang-orang yang bodoh.

Penutup tiga ayat ini dinaqalkan pendapat Imam al-Maraghi: Allah nyatakan ayat- ayat ini sebahagian kejahatan, kekufuran dan nifaq mereka. Dinyatakan tipu helah dan jenayah mereka, kegelinciran kemudian menzahirkan kerosakan dan menyatakan kebatilannya.

Dihikayatkan, apa yang dibuat oleh orang-orang beriman kepada mereka dengan nasihat ketika dituntut daripada mereka meninggalkan kejahatan dan akhlak yang dangkal sehingga membawa kepada fitnah dan kerosakan. Sebaliknya, berpegang dengan nilai-nilai akhlak yang mulia mengikut orang-orang yang waras fikiran kemudian Allah membalas sanggahan mereka yang menunjukkan besarnya kejahilan mereka dan egonya mereka dalam kebodohan dan kelalaian.

____________________________________________
Glosari:

Ta’wil : Tafsiran atau andaian
Uslub : Gaya bahasa atau cara
Mubalaghah : Melampau atau satu nama dalam ilmu nahu yang menunjukkan terlalu lebih
Huruf Ta’kid : Huruf yang didatangkan sebagai penguat
Aulia : Wali-wali iaitu orang yang beriman dan bertakwa
Dhaif : Lemah
Dinaqalkan : Dipindahkan perkataan atau pendapat
Istiqamah : Iltizam atau tetap dalam perkara yang baik
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: