PENENTUAN STATUS AGAMA ANAK APABILA IBU ATAU BAPA MEMELUK ISLAM


Islam merupakan agama yang syumul yang mana di dalamnya penuh dengan keadilan dan kasih sayang. Islam amat menitikberatkan perhubungan kekeluargaan sehinggakan persoalan agama anak pun menjadi suatu amanah dan tanggungjawab ibu bapa untuk  menentukannya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda;

Setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

PENENTUAN MENURUT HUKUM SYARA’

Merujuk kepada isu penentuan status agama anak apabila salah seorang daripada ibu atau bapa memeluk agama Islam, maka hal ini perlu merujuk kepada hukum syara’. Imam al-Bukhari di dalam Sohehnya menaqalkan dari Hasan al-Basri, Syuraih, Ibrahim dan Qatadah yang berkata; jika telah Islam salah seorang dari dua ibu-bapa, maka anak hendaklah bersama ibu atau bapanya yang Islam.

Ibnu ‘Abbas (semasa kecilnya) tinggal bersama ibunya (yang Islam) berserta golongan mustadh’afin (yang menganut Islam) dan beliau tidak tinggal bersama bapanya yang masih menganut agama kaumnya (yakni agama musyrik). Dan beliau (yakni Ibnu ‘Abbas) menegaskan;

Islam adalah tinggi dan tidak ada yang boleh mengatasi ketinggian Islam.
(Soheh al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa Ma-ta..)

Imam al-Khattabi menjelaskan;

Anak yang masih kecil jika ia berada di antara seorang muslim dan seorang bukan Islam , maka yang muslim lebih berhak terhadapnya.
(Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, jil. 3, kitab al-Hadhonah, hlm. 467)

Dalam membahaskan; adakah harus hak penjagaan (hadhonah) diberikan kepada ibu atau bapa yang tidak Islam jika salah seorang dari suami atau isteri memeluk Islam dan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu/bapa yang tidak Islam kerana hadhonah adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang tidak Islam ke atas orang beriman (yakni orang beriman tidak harus perjalanan hidupnya dikuasai atau ditentukan oleh orang bukan islam ). Ini sebagaimana firman Allah;

Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang bukan Islam untuk membinasakan orang-orang yang beriman. (an-Nisa’; 141).

Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki bukan Islam kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang bukan Islam .

Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang bukan Islam sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti.Dalam hadis Rasulullah s.a.w. bersabda;

Setiap anak yang lahir adalah dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut ulamak ialah Islam. Hadis ini menjelaskan bahawa bayi yang lahir asalnya adalah Islam, cuma dengan pengaruh ibu/bapanya maka ia berubah mengikut agama ibu/bapanya. Maka jika ibu/bapanya memeluk Islam, maka ia otomatik akan kembali kepada fitrahnya (Islam) dengan mengikuti ibu/bapanya yang memeluk Islam.

Hadis di atas juga menjelaskan pengaruh ibu/bapa ke atas anak. Oleh itu, tidak harus mana-mana individu menyerahkan anaknya untuk diasuh oleh isteri/suaminya yang bukan Islam kerana nanti anaknya itu akan dipengaruhi untuk menganut agama bukan Islam. Ia wajib memelihara masa depan agama anaknya dan kewajipan ini termasuk dalam arahan Allah;

Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka” (at-Tahrim; 6)

2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; hak penjagaan (hadhonah) harus diberikan kepada ibu yang masih belum Islam sehingga anak mencapai tujuh tahun. Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

  • Kekufuran ibu itu bukan kerana murtad (yakni ia adalah asal tidak Islam)
  • Tidak dibimbangi ia akan menjejaskan agama anak tersebut ( iaitu islamnya).
  • Tidak dibimbangi ia akan memberi makan makanan yang haram kepada anak

Jika ada kebimbangan tersebut, maka hak penjagaan tidak harus diberikan kepada ibu yang tidak Islam itu atau ditarik balik jika hak itu telah diberikan.

Apa yang jelas ialah Islam tidaklah menghalang secara mutlak akan hak penjagaan ibu atau bapa non muslim terhadap anak apabila salah seorang dari mereka memeluk ajaran Islam , melainkan meletakkan syarat yang ketat demi menjamin agama dan kesejahteraan insaniah manusia itu sendiri.

PENENTUAN MENURUT PERUNDANGAN MALAYSIA

Manakala menurut perkara Perlembagaan Malaysia serta Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: “Agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya”. Berdasarkan peruntukan itu persetujuan satu pihak memadai dalam penentuan status agama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, atau ditetapkan penjaganya jika kanak-kanak itu tidak mempunyai ibu bapa.

Perkataan ‘parent or guardian’ pada perkara 12 (4) bermaksud ibu atau bapa atau penjaga, bukan ibu bapa atau penjaga. Ia bermakna ibu atau bapa sudah cukup untuk menentukan status agama anak. Perlu ditegaskan walaupun Islam ditetapkan agama Persekutuan mengikut Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, hak penganut agama lain tetap dijaga mengikut Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan. (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan kanak-kanak belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkannya.

    Peruntukan akta itu jelas bahawa ibu atau bapa atau penjaga mempunyai kuasa untuk membenarkan seorang anak bawah umur 18 tahun memeluk Islam tertakluk kepada keizinan bapa atau ibu atau penjaga anak itu.

KESIMPULAN

Islam telah menyediakan jalan keluar bagi setiap permasalahan manusia, oleh itu sewajarnya kita kembali kepada Islam dalam setiap aspek kehidupan kita agar setiap hak manusia terpelihara dan dilindungi. Mengambil jalan lain bermakna berpaling daripada Islam dan menjerumuskan diri kepada kebatilan dan kesesatan.

Rujukan;

  1. al-Fiqh al-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 2, hlm. 164, bab al- Hadhanah.
  2. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, jil. 3, hlm. 226, maudhu’;al-Hadhanah.
  3. Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, hlm. 220, maudhu’; al-Hadhanah.
  4. Soheh al-Bukhari, Imam al-Bukhari, kitab al-Janaiz, bab Iza Aslama as-Sobiyyi Fa-Ma-ta…
  5. Ibanatul-Ahkam Syarah Bulughul-Maram, Syeikh Abi Abdillah Abdissalam ‘Allawish, jil. 3, hlm. 467, kitab  al-Hadhonah.
  6. Ahkam al-Aulad Fi al-Islam, Syeikh Zakariya Ahmad al-Barri, hlm. 43.
  7. Anakku Anakmu (Siri Undang-Undang dan Masyarakat), Siti Zalikhah Md. Nor, hlm. 126-129

Sumber: Unit Penerangan dan Penerbitan, Bhg Dakwah, JAIS

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: