SURAH AL-BAQARAH (سورة البقرة) – AYAT 1


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY

1:  Alif laam miim

Mukadimah surah al–Baqarah dengan Alif laam miim yang dikenali huruf hija’ yang mana termasuk dalam ayat-ayat mutashabih (kesamaran) hanya Allah sahaja yang mengetahui kehendak maksudnya. Justeru kepada kita wajib beriman dan kembalikan maknanya kepada Allah.

Faedah dinyatakan di sini seperti pendapat Imam Al-Baghawi dalam tafsirnya, supaya dituntut beriman dengannya.

Abu Bakar as-Siddiq berkata: “Pada setiap kita itu ada rahsia dan rahsia Allah pada al- Quran ialah awalan-awalan surah.”

Daud bin Abi Hind pernah bertanya Sya’bi daripada pembukaan surah, jawabnya: “Hai Daud ,sesungguhnya setiap kitab mempunyai rahsia dan rahsia al- Quran itu pembukaan surah, tinggallah dan bertanyalah daripada yang lain.”

Imam al-Qurtubi menghikayatkan dalam tafsirnya daripada Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibnu Mas’ud, juga dinyatakan oleh al Sya’bi dan Al Thauri. Inilah yang dipilih oleh Ibnu Hibban.

Mukadimah dengan huruf- huruf hija’ ini bagi menarik golongan penentang al-Quran dengan pandangan lafaz-lafaz yang asing dalam ucapan mereka. Justeru, menarik perhatian mereka daripada keterangan.

Abu Rauq, Atiah bin al-Haris al-Hamadani berkata: “Adakah Rasulullah s.a.w membaca al-Quran dengan nyaring dan jelas dalam solat. Orang–orang musyrikin menepuk dan bersiul mengejek lantas diturunkan huruf-huruf yang terputus ini ( hija’). Mereka mendengar dengan kehairanan.

Inilah yang dinaqalkan oleh Ibnu al- Jauzi dalam kitabnya Zad al-Masir.

Huruf-huruf ini juga sebagai peringatan tentang mukjizat al-Quran yang bukan kalam makhluk, mereka lemah daripada mengkritiknya. Inilah pendapat jemaah ahli tahqiq seperti kenyataan Ibnu Kathir.

Pendapat ini juga diiqrarkan oleh Al- Zamakhsari dalam Al Kasyaf dan Imam Ibnu Taimiah.

Termasuk pendapat tanpa ta’wil ini ialah Syeikh Muhammad Abduh seperti yang dinaqalkan oleh Syeikh Muhammad Rasyid Ridha dalam tafsirnya Al- Manar. Katanya dengan tegas: “Cukup bagi kita dengan apa yang dinyatakan para sahabat dan tabiin, bukan daripada agama dalam perkara yang memayahkan dengan melampau lalu menciptakan daripada illah/sebab yang mengakibatkan sedikit sahaja yang selamat daripada tergelincir.”

Syeikh Ahmad Syakir dalam mukhtasar Ibnu Kathir yang dinamakan Umdah al-Tafsir, berkata: “Keseluruhan huruf- huruf yang disebut pada awal- awal surah dengan dibuang secara berulang-ulang sebanyak 14 huruf, iaitu alif, lam, mim, sad, rai, kaf, ya, ain, ta, sin , kaf, qaf dan nun. Mungkin kalau dikumpul pada cakapanmu berbunyi, nas hakim qati’ lahu sir – bermaksud nas Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi tetap mempunyai sir atau rahsia.”

Tidak dinafikan terdapat ulama cuba menta’wilkan dengan menaqalkan pendapat-pendapat seperti Ibnu Abbas, Al–Rabi’ bin Anas, Muhammad bin Kaab, Said bin Jubair, Qatadah, Mujahid, Ibnu Zaid, Al-Akhfus dan lain- lain lagi.

Penulis lebih cenderung kepada pendapat yang pertama kerana inilah rahsia kitab Allah yang ditinggalkan ta’wilnya, hatta Rasulullah s.a.w sendiri termasuk kebanyakan para sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan lain–lain.

Syeikh   Rashid Ridha menghuraikan beberapa noktah daripada ayat pertama.

  1. Huruf ini dibaca secara satu-satu (putus) kerana ia tidak termasuk dalam susunan kalam yang  dii’rab dengan harakat.
  2. Dengan tidak dii’rabkan, dapat ditarjihkan bahawa hikmah pembukaan sebahagian surah yang khusus untuk peringatan dan mukjizat al-Quran.
  3. Sebagai cabaran kepada pakar-pakar bahasa Arab dan sasterawan menunjukkan hikmahnya dengan mukjizat al-Quran.
  4. Selemah-lemah yang dikatakan pada huruf-huruf hija’ ini sebagai masa umat ini.
  5. Ada sebahagian ulama sejarah, dan bahawa melihat burung-burung sebagai tanda-tanda kepada sebahagian hakikat agama dan sejarah yang akan berlaku kepada makhluk.

Akhirnya, tawaqquf daripada tafsiran huruf ini lebih selamat daripada menyebut ta’wilan yang tidak qati’e.

Ada pendapat yang menafsirkan Kitab dengan Taurat dan Injil seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Jarir dan lainnya.

2:  Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan  padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.

Kitab itu, yakni Al- Quran. Kitab pada bahasa Arab kumpulan seperti kumpulan tentera, kumpulan lembaran-lembaran kertas dinamakan kitab. Maksud di sini adalah al-Quran. Ada pendapat yang menyatakan Kitab dengan Taurat dan Injil seperti yang dinaqalkan oleh Ibnu Jarir dan lainnya.

Disebut  ‘itu,’  dimaksud isim isyarat yang jauh  ‘itu’  dengan ‘ ini ’ seperti pendapat Mujahid, Ikrimah, Said bin Jubair.

Ibnu al-Jauzi berkata, terdapat dua pendapat pada tafsiran ‘ itu’:

  1. Dengan makna ini,  iaitu pendapat Ibnu Abbas, Mujahid, Ikrimah, Al-Kisai, Abi Ubaidah dan Al- Akhfas. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Al-Anbari dalam syair Khafaf bin Nudbah.
  2. Ia dengan maksud isyarat kepada yang ghaib. Daripada tafsiran ini terbahagi kepada tiga pendapat:
  •  Apa yang terdahulu daripada turunnya al-Quran.
  •  Apa yang dijanjikan dengan apa yang diwahyukan kepadanya.
  •  Apa yang dikehendaki dengan janji Ahli Kitab kerana mereka dustakan nabi dan kitab.

(Raiba)

Dengan makna syak dan tidak terang. ‘Tidak syak’ di sini bermaksud jangan kamu syak seperti yang ditafsirkan oleh Al- Baghawi.

Menjadi hidayah kepada orang bertakwa. Yang dimaksudkan hidayah ini apa yang tetap pada hati daripada iman. Ini semua tidak mampu bagi makhluk untuk memasukkan ke dalam hati hamba kecuali Allah seperti ayat 56 daripada surah al- Qasas. Inilah pendapat Ibnu Kathir.

Juga terdapat beberapa makna seperti penerangan kebenaran dan penjelasannya seperti ayat 52 daripada surah Al – Syura.

Ada yang berpendapat kebaikan seperti ayat 10 daripada surah al–Balad.

Syeikh al- Syanqiti dalam Adhwa al-Bayan berkata: “Dikehendaki dengan hidayah pada ayat ini ialah hidayah khas, iaitu melebihkan dengan taufiq kepada agama yang sebenar bukan hidayah umum.”

Pada bahasa ‘takwa’ dengan makna ‘selamat’ daripada kejahatan yang dijadikan dinding.

Terdapat banyak definisi takwa itu . Antaranya:

  1. Ibnu Abbas menyatakan: “Mereka yang menjauhi syirik dengan beramal dengan ketaatan kepada Allah.”
  2. Al Hasan Basri berkata: “Takutlah apa yang diharamkan ke atas mereka dan lakukan segala fardu.”
  3. Syahir bin Hausyab berkata: “Orang bertakwa ialah meninggalkan apa yang tidak apa, takut terlibat dengan yang tidak boleh.”
  4. Umar bin Abdul Aziz berkata: “Taqwa ialah meninggalkan apa yang diharamkan dan menunaikan apa yang difardukan.”
  5. Abu Bakar al- Rauzabari mendefinisikan taqwa dengan menjauhkan daripada segala yang menjauhkanmu daripada Allah.
  6. Zu al-Nun al-Misri mentakrifkan takwa sebagai sesiapa yang tidak dikotori zahirnya dengan segala pertentangan dan tidak batinnya dengan alamatnya di samping sentiasa berdiri di sisi syariat Allah.
  7. Ibnu Ata’ berkata: “Bagi takwa, ada zahir dan batin, zahirnya dengan menjaga hudud/batasan syariat sedangkan batin dengan niat dan ikhlas.”
  8. Talq bin Habib menyatakan taqwa sebagai amalan menjuruskan ketaatan Allah atas petunjuk nur Allah.
  9. Abu Hafsin menyebut: ”Takwa hanya pada halal semata-mata, tidak yang lain.
  10. Saidina Ali r.a berkata: “Penghulu manusia di dunia ialah dermawan dan penghulu manusia di akhirat ialah ahli takwa.”
  11. Imam al- Qusyairi melalui kitabnya Risalah al- Qusyairiah membahagikan takwa kepada beberapa darjat:

–  Bagi orang awam daripada syirik.

          –  Bagi orang khusus daripada maksiat.

          –  Bagi wali-wali Allah daripada tawassul dengan perbuatan.

          –  Bagi anbia daripada nisbah kepada perbuatan.

Pertanyaan Umar bin al-Khattab kepada Kaab al-Ahbar tentang takwa, maka kata Kaab: “Adakah pernah lalui jalan yang penuh dengan ranjau dan duri.” Umar berkata: “Ya.” Kaab bertanya: “Bagaimana perjalanan yang diambil?” Jawab Umar, “Dengan penuh hati-hati dan waspada.” Kaab berkata, “Itulah takwa.”

Akhirnya, penulis menutup perbincangan tentang takwa dengan menaqalkan kelebihannya seperti pendapat Imam Al- Ghazali di dalam kitabnya Minhaj al- Abidin, di antara firman Allah itu adalah seperti berikut (yang bermaksud):

1. Pujian bagi orang-orang yang bertakwa

.Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.  (Ali Imran: 186)

2.  Perlindungan daripada musuh

Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu…” (Ali Imran: 120)

3: Dukungan dan pertolongan Allah

”Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang  berbuat kebaikan.” (An- Nahl: 128)

4.  Keselamatan dan rezeki yang halal

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” ( At-Thalaq: 2-3)

5.  Kebaikan beramal

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah  kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan- amalanmu dan   mengampuni bagimu dosa-dosamu.” (Al-Ahzab : 70-71)

6.   Ampunan Allah

”…dan mengampuni dosa- dosamu…” (Ali Imran: 31)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: