PELAJARI SIFAT 20 ALLAH SWT (BAH. 2)


Adalah sifat-sifat yang wajib bagi Allah s.w.t. yang wajib bagi Allah yang wajib diketahui dengan tafsil (satu persatu) iaitu 20 sifat :

6. Al – Wahdaniyyah.
Ertinya : Esa Allah Ta’ala pada zat, pada sifat dan pada perbuatan.

Maka hakikatnya ibarat daripada menafikan berbilang pada zat, pada sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil (yang berhubung) atau bilangan yang munfasil (yang bercerai). Makna sa Allah s.w.t. pada zat itu iaitu menafikan Kam Muttasil pada Zat (menafikan bilangan yang berhubung dengan zat) seperti tiada zat Allah Ta’ala tersusun daripada darah, daging, tulang, urat dan lain-lain. Dan menafikan Kam Munfasil pada zat (menafikan bilangan yang bercerai pada zat Allah Ta’ala) seperti tiada zat yang lain menyamai zat Allah Ta’ala.

Makna Esa Allah s.w.t pada sifat iaitu menafikan Kam muttasil pada Sifat (menafikan bilangan yang berhubung pada sifatnya) iaitu tidak sekali-kali bagi Allah Ta’ala pada satu-satu jenis sifatnya dua qudrat dan menafikan Kam Munfasil pada sifat (menafikan bilangan – bilangan yang bercerai pada sifat) iaitu tidak ada sifat yang lain menyamai sebagaimana sifat Allah s.w.t. yang Maha Sempurna.

Makna Esa Allah s.w.t. pada perbuatan iaitu menafikan Kam Muttasil pada perbuatan (menafikan bilangan yang bercerai –cerai pada perbuatan) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti perbuatan Allah bahkan segala apa yang berlaku di dalam alam semuanya perbuatan Allah s.w.t sama ada perbuatan itu baik rupanya dan hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada pada hakikat-nya seperti kufur dan maksiat sama ada perbuatan dirinya atau perbuatan yang lainnya, semuanya perbuatan Allah s.w.t dan tidak sekali-kali hamba mempunyai perbuatan pada hakikatnya hanya pada usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas.

Maka wajiblah bagi Allah Ta’ala bersifat Wahdaniyyah dan ternafi bagi Kam yang lima itu iaitu:

1) Kam Muttasil pada zat.
2) Kam Munfasil pada zat.
3) Kam Muttasil pada sifat.
4) Kam Munfasil pada sifat.
5) Kam Munfasil pada perbuatan.

Maka tiada zat yang lain, sifat yang lain dan perbuatan yang lain menyamai dengan zat, sifat dan perbuatan Allah s.w.t . Dan tertolak segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada menyengutukan Allah Ta’ala dan perkara-perkara yang menjejaskan serta merosakkan iman.

7. Al – Qudrah :
Ertinya : Kuasa qudrah Allah s.w.t. memberi bekas pada mengadakan meniadakan tiap-tiap sesuatu.

Pada hakikatnya ialah satu sifat yang qadim lagi azali yang thabit ( tetap ) berdiri pada zat Allah s.w.t. yang mengadakan tiap-tiap yang ada dan meniadakan tiap-tiap yang tiada bersetuju dengan iradah. Adalah bagi manusia itu usaha dan ikhtiar tidak boleh memberi bekas pada mengadakan atau meniadakan, hanya usaha dan ikhtiar pada jalan menjayakan sesuatu. Kepercayaan dan iktiqad manusia di dalam perkara ini berbagai-bagai Fikiran dan fahaman seterusnya membawa berbagai-bagai kepercayaan dan iktiqad.

1) Iktiqad Qadariah :
Perkataan qadariah iaitu nisbah kepada qudrat . Maksudnya orang yang beriktiqad akan segala perbuatan yang dilakukan manusia itu sama ada baik atau jahat semuanya terbit atau berpunca daripada usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri dan sedikitpun tiada bersangkut-paut dengan kuasa Allah s.w.t.

2) Iktiqad Jabariah :
Perkataan Jabariah itu nisbah kepada Jabar (Tergagah) dan maksudnya orang yang beriktiqad manusia dan makhluk bergantung kepada qadak dan qadar Allah semata-mata (tiada usaha dan ikhtiar atau boleh memilih samasekali).

3) Iktiqad Ahli Sunnah Wal – Jamaah :
Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaahialah orang yang mengikut perjalanan Nabi dan perjalanan orang-orang Islam iaitu beriktiqad bahawa hamba itu tidak digagahi semata-mata dan tidak memberi bekas segala perbuatan yang disengajanya, tetapi ada perbuatan yang di sengaja pada zahir itu yang dikatakan usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas sebenarnya sengaja hamba itu daripada Allah Ta;ala jua. Maka pada segala makhluk ada usaha dan ikhtiar pada zahir dan tergagah pada batin dan ikhtiar serta usaha hamba adalah tempat pergantungan taklif (hukum) ke atasnya dengan suruhan dan tegahan (ada pahala dan dosa).

 

8. Al – Iradah :
Ertinya : Menghendaki Allah Ta’ala.

Maksudnya menentukan segala mumkin tentang adanya atau tiadanya. Sebenarnya adalah sifat yang qadim lagi azali thabit berdiri pada Zat Allah Ta’ala yang menentukan segala perkara yang harus atau setengah yang harus atas mumkin. Maka Allah Ta’ala yang selayaknya menghendaki tiap-tiap sesuatu apa yang diperbuatnya.
Umat Islam beriktiqad akan segala hal yang telah berlaku dan yang akan berlaku adalah dengan mendapat ketentuan daripada Allah Ta’ala tentang rezeki, umur, baik, jahat, kaya, miskin dan sebagainya serta wajib pula beriktiqad manusia ada mempunyai nasib (bahagian) di dalam dunia ini sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“Janganlah kamu lupakan nasib (bahagian) kamu di dalam dunia “. ( Surah Al – Qasash : Ayat 77 )

Kesimpulannya ialah umat Islam mestilah bersungguh-sungguh untuk kemajuan di dunia dan akhirat di mana menjunjung titah perintah Allah Ta’aladan menjauhi akan segala larangan dan tegahannyadan bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.

Adapun sifat yang ke 8 yang wajib bagi zat ALLah Taala ialah Iradah. Iradah ertinya berkehendak ALLah Taala bagi menentukan segala yang harus yakni alam. Maka berkehendak ALLah Taala bagi menentukan samada alam yang harus ini dijadikan atau tidak, atau setelah dijadikan hendak dikekalkan ujud atau tidak, atau tidak hendak dijadikanNya alam ini.

Adapun takluk Iradah itu kepada yang baharu yakni yang harus. Yang baharu itu jirim, jisim dan aradh. Dan ia tertakluk ketiga-tiganya kepada empat iaitu, pertama ujud ia pada masa ini, kedua ujud pada masa yang telah lalu, ketiga ujud ia akan datang dan keempat ujud kekafiran yang diketahui ALLah Taala sejak azali mereka mahu kafir.

Dan pekerjaan Iradah ini adalah berkait dengan sifat Ilmu dan Qudrah. Dengan Ilmu ALLah Taala mengetahui sesuatu itu samada mahu dijadikan atau tidak. Kemudian dengan Iradah ditentukan samada sesuatu itu samada mahu dijadikan atau tidak. Dan apabila sudah ditentukan maka Qudrah mencipta sesuatu itu atau meniadakannya.

Iradah ALLah Taala juga menentukan perkara mustahil pada adat seperti contohnya unta tidak boleh masuk ke lubang sebebsar jarum. Dan Iradah juga menentukan berlakunya air memancar keluar dari jari Nabi Muhammd atas jalan mukjizat. Dan Iradah ALLah Taala juga yang menentukan aulia’ALLah berjalan di atas air yang bersalahan dengan adat atas jalan karomah. Dan IradahNya jugalah menentukan orang ditabrak (dilanggar) lori tidak mati walaupun atas adatnya harus dia mati atas jalan ma’unah.

Dalil akal bersifat Iradah ALLah Taala, jika ALLah Taala tidak bersifat Iradah maka jadilah Ia lemah dan jadi nafi sifat Qudrah, dan nafilah sifat ilmu. Jika ternafilah ketiga  maka tidak layaklah ALLah Taala disebut Tuhan dan tiadalah jadi alam ini, maka mustahil.

Adapun dalil nakli Iradah ALLah Taala seperti FirmanNya bermaksud “Berbuat ALLah Taala itu apa yang ditentukanNya”

Perbezaan Iradah dan Amar

Adapun Iradah yakni menentukan dan amar yakni suruh itu berbeza. Kadang-kadang menghendaki ALLah Taala menjadikan tetapi tiada disuruhnya seperti kejadian maksiat itu dijadikan ALLah Taala tetapi diharamkannya dari dilakukan. Dan kadang-kadang dikehendaki ALLah Taala menjadikan dan disuruhnya melakukan seperti ALLah Taala mencipta amal dan kelakuan taat dan diwajibkannya. Dan kadang kadang tiada dikehendakiNya menjadikan dan tiada juga disuruhNya seperti tiada ALLah Taala menjadikan Sayyidina Abu Bakar itu kafir maksiat dan tiada disuruhnya Abu Bakar melakukannya.

 

9. Al – Ilmu :
Ertinya : Mengetahui Allah Ta’ala .

Maksudnya nyata dan terang meliputi tiap-tiap sesuatu sama ada yang Maujud (ada) atau yang Ma’adum (tiada).
Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada (thabit) qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta’ala.

Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan segala sesuatu sama ada perkara Itu tersembunyi atau rahsia dan juga yang terang dan nyata. Maka Ilmu Allah Ta’ala Maha Luas meliputi tiap-tiap sesuatu di Alam yang fana’ ini.

10. Al – Hayat .
Ertinya : Hidup Allah Ta’ala.

Hakikatnya ialah satu sifat yang tetap qadim lagi azali berdiri pada zat Allah Ta’ala. Segala sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat Idrak (pendapat) Iaitu : sifat qudrat, iradat, Ilmu, Sama’ Bashar dan Kalam.

AL HAYAT ertinya hidup tiada dengan nyawa dan nafas dan tidak dengan kejadian yang empat anasir dan tiada hidupnya dengan makan minum. Maka hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada qadim lagi azali berdiri pada zat ALLAH Taala. Ia mengesahkan segala . sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat idrak (pendapat) iaitu Qudrah, Iradah, Samak, Basar dan Qalam. Dan sifat Hayat itu menjadi syarat pada hukum aqli bagi segala sifat maani (lazim daripada tiada Hayat maka melazimkan tiada sifat maani dan lazim daripada ada Hayat ada segala sifat maani).

Pengertian AI Hayat

AL HAYAT ertinya “hidup”. Apabila dikatakan ALLAH Taala bersifat Hayat atau hidup, hidupnya ALLAH SWT itu tidak dengan nyawa. Hidupnya ALLAH S4VT juga tidak dengan bernafas. Dan juga ALLAH SWT itu hidup tanpa empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Dengan perkataan lain, zat ALLAH Taala bukannya terdiri daripada unsur-unsur itu. Zat ALLAH SWT itu juga tidak hidup dengan makan dan minum.

Hidup yang ada bernyawa serta hidup yang memerlu kepada bernafas dan hidup yang terdiri daripada unsur tanah, air, api dan angin, serta kemudiannya berkehendak kepada makan dan minum, adalah hidup makhluk. Iaitu hidup benda-benda yang dijadikan; benda-benda yang baharu.

Manakala ALLAH SWT tidak demikian. Sebabnya ialah nyawa, nafas unsur yang empat itu, makan dan juga minum, semuanya ALLAH yang menjadikannya. Kerana itu ALLAH tidak memerlukan benda-benda itu. Firman ALLAH SWT:

Terjemahannya: Sesungguhnya ALLAH itu terkaya daripada sekalian alam. (Al Ankabut: 6)

Semua benda yang ALLAH jadikan adalah yang baharu atau dikatakan alam. Benda-benda seperti nafas, nyawa, makan dan minum serta tanah, air, api dan angin yang kita sebut tadi adalah termasuk alam yang ALLAH jadikan. Dan kerana ALLAH itu terkaya daripada sekalian alam iaitu ALLAH tidak memerlukan alam sepertimana yang ALLAH firmankan di atas, maka ALLAH tidak memerlukan benda-benda itu. Tegasnya, ALLAH tidak berhajat kepada sekalian alam walau macam mana bentuknya sekalipun.

Sekiranya ALLAH SWT itu memerlukan kepada makan, minum, nafas, nyawa serta empat unsur tadi, maka dengan sendirinya ALLAH telah menyerupai segala yang baharu. Kalaulah ALLAH itu serupa dengan segala yang baharu, tentulah logiknya ALLAH itu juga bersifat baharu. Sedangkan tiap-tiap yang baharu pula ada sesuatu yang menjadikannya. Kerana itu, berertilah ALLAH itu ada yang menjadikan. Kalaulah ALLAH itu ada yang menjadikan, tentulah bukan ALLAH namanya.

Jadi, kalau ada orang yang mengatakan bahawa ALLAH SWT itu memerlukan kepada makan dan minum, memerlukan kepada nafas dan nyawa, memerlukan tanah, air, api dan angin, ertinya ALLAH sudah menyerupai segala yang baharu. Dan kalau demikianlah, maka ternafi pula sifat Mukholafatuhu Taala Lilhawadisi bagi ALLAH TAALA. Iaitu sifat yang menunjukkan kepada kita bahawa ALLAH SWT itu berlawanan serta berlainan (tidak serupa) dengan segala makhluk atau segala yang baharu.

Oleh sebab itulah hidup ALLAH Taala tidak bernyawa, tidak memerlukan nafas, tidak memerlukan makan dan minum, dan tidak memerlukan tanah, air, api dan angin. Malah hidup ALLAH SWT itu tidak serupa sepertimana hidup makhluk seperti manusia umpamanya. Kalau kita perhatikan, manusia ini hidupnya bermula dari kanak-kanak, kemudian remaja dan selepas itu dewasa, dan akhirnya tua. Tetapi hidup ALLAH SWT tidak sepertimana tingkat-tingkat hidup yang disebutkan itu. ALLAH tidak menempuh hidup zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, dan zaman tua.

Hidup makhluk memang ALLAH sunnahkan demikian. Kerana ALLAH yang menetapkan peraturan hidup makhluk ini terutamanya manusia, maka terjadilah sebagaimana yang ALLAH sunnahkan. Tetapi sebaliknya, ALLAH itu tidak ada siapa yang menjadikan, dan sebab itu ALLAH tidak hidup melalui proses tadi. Dan ALLAH tidak mati, kerana tidak ada siapa yang hendak mematikan ALLAH, kerana ALLAH tidak ada yang menjadikan. Matinya makhluk seperti manusia ini adalah disebabkan ada yang menjadikan dan kerana itu ada yang mematikan iaitulah ALLAH SWT.

Hakikat Sifat Al Hayat

Kemudian, apakah hakikat sifat Hayat bagi ALLAH SWT? Hakikat sifat Hayat bagi ALLAH SWT ialah suatu sifat yang qadim lagi azali dan yang berdiri pada zat ALLAH SWT. Dengan sifat Hayat inilah mengesahkan segala sifat idrak atau “pendapat”.

Apabila kita mengatakan bahawa sifat Hayat ALLAH SWT itu qadim lagi azali, ertinya sifat Hayat ALLAH SWT itu tiada permulaan. Atau boleh juga kita katakan bahawa sifat ini tidak bermula atau tidak didahului oleh tiada. Sebab, sifat Hayat ALLAH SWT ini berdiri di atas zat ALLAH SWT. Kalau zat ALLAH SWT itu tidak ada yang menjadikan yang bererti zat ALLAH SWT itu tidak bermula, maka tentulah sifat ALLAH SWT juga tidak bermula.

Bahasan Antara Sifat dan Zat

Untuk membahaskan antara sifat dengan zat, kita boleh bahaskan sifat dan zat pada makhluk. Kita ambil sekeping kertas sebagai contohnya. Kertas adalah sejenis makhluk. Yang kita dapat lihat pada kertas itu ialah sifatnya. Ertinya, dengan kita melihat sahaja pada benda itu, berdasarkan sifat yang ada padanya, lantas kita mengatakan yang ia adalah kertas.

Kemudian, cuba kita pegang kertas itu agar dapat kita rasa. Yang dapat kita rasa itulah yang dikatakan zat bagi kertas itu. Dengan itu, apakah dapat kita pisahkan sifat kertas itu dari zatnya? Tentu tidak. Inilah yang dikatakan, sifat berdiri di atas zat. Perbahasan kita ini hanya kepada sifat dan zat makhluk. Sifat dan zat ALLAH SWT tidak boleh kita bahaskan demikian kerana sifat dan zat ALLAH SWT tidak serupa dengan makhluk. Cuma, sifat ALLAH SWT juga berdiri di atas zat-Nya.

Kemudian, dengan sifat Hayat bagi ALLAH SWT inilah yang mengesahkan segala sifat idrak pada ALLAH SWT. Sifat idrak pada ALLAH SWT ialah seperti sifat Qudrah, sifat Iradah, sifat Ilmu, sifat Samak, sifat Basar, dan sifat Qalam. Mengapakah ia dikatakan sifat idrak? Ini adalah kerana sifat-sifat ini bertakluk atau mengenai pada satu benda lain. Atau dengan kata lain, ada perkara yang diperolehi hasil dari sifat ini.

Sebagai contoh, kita ambil sifat Ilmu bagi ALLAH SWT yang bererti “mengetahui”. Hasil dari sifat mengetahui ini ialah ada benda yang diketahui. Begitu pulalah dengan sifat Basar atau melihat; hasil dari sifat melihat, kita dapati ada benda yang kena lihat. Seterusnya sifat Qalam atau sifat berkata-kata yang mana hasil darinya ada benda yang dikatakan. Inilah yang dikatakan sifat idrak atau sifat pendapat atau sifat bertakluk. Iaitu sifat yang melampaui pada benda yang lain.

ALLAH Hidup Buat Selama-lamanya

Jadi kalau adalah orang yang mengatakan ALLAH itu mati, maka tidak adalah sifat maani kerana dengan tiadanya sifat Hayat, tidak adalah sifat maani yakni tidak adanya sifat Qudrah, sifat Iradah, sifat Samak, sifat Basar, sifat Ilmu dan sifat Qalam. Tetapi Maha Suci ALLAH itu daripada mati. ALLAH hidup buat selama-lamanya, dan hidup ALLAH SWT itu tidak seperti hidupnya makhluk; hidup ALLAH tidak bernyawa, tidak bernafas, tidak memerlu kepada anasir-anasir tanah, api, air dan angin dan tidak juga memerlu kepada makan dan minum. Hidupnya ALLAH juga tidak melalui proses zaman kanak-kanak, zaman muda remaja, zaman dewasa dan juga zaman tua yang akhirnya mati.

Jadi hidup ALLAH Taala itu adalah hidup tersendiri yang tidak sama dengan hidup makhluk. Dalam hal ini perlulah kita fahamkan benar-benar di sini bahawa sifat idrak itulah. yang dikatakan sifat maani. Janganlah kita terkeliru di sini. Dan sifat-sifat yang termasuk di dalam sifat ini ialah Qudrah, Iradah, Ilmu, Samak, Basar dan Qalam. Kemudian sifat idrak ini, ada benda yang kena atau ada benda yang dilampaui atau ada kesan daripada sifat ini. Dengan kata lain, sifat ini bertakluk.


Sumber: Jabatan Mufti Negeri Melaka

SEBELUM

 

BERIKUTNYA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: