IBNU AL-AWAMM – PAKAR PERTANIAN & PENTERNAKAN


Dalam Islam pertanian dan penternakan amat penting kerana ia merupakan sumber makanan bagi umat manusia. Negara yang memberikan perhatian kepada pertanian tidak akan mengalami kebuluran di kalangan rakyatnya.

Di kalangan ilmuan Islam tidak kurang juga yang memiliki kepakaran serta mahir dalam bidang tersebut. Beliau ialah Abu Zakaria Yahya bin Muhammad bin al-Awamm al-Isybil atau lebih dikenali sebagai Ibnu Al-Awwam.

Beliau dilahirkan di Seville dan hidup pada zaman kejatuhan peradaban Islam di Andalus. Walaupun beliau menghadapi kesukaran dan pelbagai rintangan hidup, namun beliau tetap mampu menghasilkan kitab yang berkaitan dengan pertanian dan ternakan. Baginya kitab mengenai pertanian ini penting bagi umat manusia.

Kitab pertanian yang dihasilkannya itu berjudul “al-Filahah” yang mengandungi 34 fasal atau bab. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertanian dan penternakan.

Bahagian pertama menceritakan cara memilih tanah dan bagaimana untuk menyuburkannya, memilih baja, menyalurkan air dan cara menanam dan memilih benih pokok sama ada sesuai ditanam atau tidak.

Seterusnya beliau menerangkan cara menguruskan kebun bermula daripada kaedah memilih benih, jenis pokok yang boleh ditanam dan sesuai dengan tanah serta kawasan.

Kitab Al-Filahah

Beliau juga menunjukkan cara bagaimana untuk menyuntik pokok, mengahwinkan pokok, menyembuhkan penyakit pokok, serta cara menyimpan benih dan cara menyimpan buah-buahan yang kering atau basah.

Dalam bahagian kedua kitab “al-Filahah” pula, Ibnu Awwam menerangkan mengenai dunia penternakan haiwan. Pada bab ini beliau menerangkan bagaimana menternak haiwan dan merawatnya termasuk cara pembedahan yang patut dilakukan ke atas haiwan sekiranya dihinggapi penyakit.

Kitab Tersebut juga mempunyai satu bab khusus mengenai cara-cara memelihara kuda, termasuk pemakanan haiwan, dan rawatan yang harus diberikan. Selain itu beliau turut menerangkan cara bagaimana menunggang kuda, sama ada menunggang dengan membawa senjata atau tanpa senjata.

Ketinggian ilmu beliau dalam bidang penternakan tidak dapat dipertikaikan. Beliau turut menerangkan cara untuk memelihara unggas dengan sempurna dan baik malah beliau mampu mengulas secara terperinci.

Oleh kerana bukunya mengenai pertanian dan penternakan itu dianggap sangat berguna, maka ia telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa antaranya bahasa Sepanyol (dicetak di Madrid-1802), Seville (1878) dan bahasa Perancis (dicetak di Paris 1865).

Dalam bidang tersebut, beliau telah mengkaji terlebih dahulu sebelum menghasilkan resolusi yang berkaitan dalam pertanian dan penternakan. Ibnu Awamm dianggap sebagai tokoh dan ilmuan yang sangat teliti dalam mengembangkan ilmu yang diketahuinya.

Beliau menulis bukan saja berdasarkan teori semata-mata tetapi berasaskan amalan yang dilakukannya terlebih dahulu dan mempraktikkannya.

Sekiranya sesuatu tumbuhan itu tidak sesuai di sesuatu kawasan, beliau akan menyenaraikan sebab yang terjadi dan menerangkan apa yang harus dilakukan seterusnya. Ini membuktikan bahawa beliau seorang tokoh yang bertanggungjawab dan jujur dalam mengembangkan ilmu pertanian.

Selain itu, Ibnu Awwam juga berjaya mencipta cara menghasilkan pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni dan menghasilkan buah epal di luar musim. Kisah tokoh ilmuan ini telah menjadi kebanggaan umat Islam pada masa kini.

Hasil karya-karya beliau telah banyak diterjemahkan dalam pelbagai bahasa untuk rujukan terutama para petani dan peladang.

Dalam riwayatnya, beliau pernah berkata ; “Sesiapa yang menyemai semaian atau terlibat dalam pertanian, lalu hasilnya dimakan oleh manusia, burung atau haiwan maka ia adalah sedekah bagi dirinya.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: