ADAB BERMUZAKARAH DALAM ISLAM


Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali

Syariat Islam telah menggariskan prinsip-prinsip serta adab untuk bermuzakarah, berdialog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan tersebut berteraskan kepada akal yang sihat, pemikiran yang bernas serta berdebatan yang dilakukan dengan sebaik-baiknya. Kesemua ini bertujuan untuk mencari kebenaran, kebaikan dan manfaat manusia seluruhnya. Perbezaan pendapat manusia sama ada dalam perkara agama atau dunia merupakan merupakan lumrah hidup dan tabie manusia.Antara sebab-sebab timbulnya perbezaan pendapat ialah kefahaman terhadap sesuatu nas dan dalil yang dipegang atau perbezaan istilah bahasa. Di samping itu, berpegang kepada taklid semata-mata tanpa ada ilmu pengetahuan., kefanatikan terhadap pandangannya, hasad dengki dan mengikut hawa nafsu. Al-Quran telah menegaskan kerasulan nabi Muhammad dan setengah daripada golongaan musyrikin itu mengakui kebenaran Rasul. Oleh kerana perasaan fanatik, hasad dengki dan sombong menyebabkan mereka mengingkari kerasulan Muhammad s.a.w. Di samping mengakui adanya perbezaan pendapat, Islam juga menggariskan panduan untuk umatnya bermuzakarah dan berdialog. Dalam tradisi keilmuan Islam, ada puluhan buah buku yang menulis mengenai perkara ini atas berbagai tajuk seperti Ilmu al-Jidal (Ilmu Berdebat), Adab al-Iktilaf (Adab Perbezaan Pendapat) dan Adab al-Hiwar (Adab Berdialog). Antara buku tersebut ialah al-Kifayah fi fann al-Jidal oleh Imam al-Haramain (m,. 478H ), al-Ma’unah fi al-Jidal oleh Syirazi (m. 476H) dan Tarikh al-Jidal oleh Muhammad Abu Zahrah, Adab al-Iktilaf oleh Dr. Taha Jabir al-Alwani dan Adab al-Hiwar oleh Syeikh Sayyid Muhammad al-Tantawi.Antara adab-adab bermuzakarah yang digariskan oleh syariat Islam ialah muzakarah itu mestilah berprinsipkan kebenaran, jauh dari pembohongan dan waham. Al-Quran telah merakamkan dialog antara nabi Musa dengan firaun ketika mana nabi Musa mengadap firaun atas perintah Allah. Nabi Musa memperkenalkan dirinya sebagai seorang rasul dan membawa bukti keesaan Tuhan dari kejadian alam. Tetapi firaun yang tidak dapat menjawab hujah-hujah nabi Musa menganggap nabi Musa sebagai gila dan ahli sihir. Perbicaraan firaun adalah untuk menegakkan kebatilan. Akhirnya beliau mengugut nabi Musa untuk memenjarakannya. (Taha 42-69, al-Syu’ara 10-48). Perkara yang penting di sini ialah jawapan serta hujah nabi Musa adalah untuk mencari kebenaran yang lahir dari hati yang bersih, jauh daripada penipuan. 

Muzakarah itu hendaklah berpegang kepada tajuk yang dibincangkan iaitu tidak keluar dari tema yang mereka perselisihkan. Al-Quran menceritakan kisah kaum nabi Nuh yang menyatakan kepadanya :

Berkata dari golongan bangsawan kaumnya, sesungguhnya kami melihat engkau dalam kesesatan yang nyata.” (al-Araf 60).

Lalu dijawab oleh nabi Nuh,

Wahai kaumku, sesunguhnya aku bukan berada dalam keadaan kesesatan tetapi aku adalah rasul yang diutuskan dari Tuhan semesta alam. Aku menyampaikan kepada kamu risalah Tuhanku dan menasihati kamu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui” (al-Araf 61-62)

Ternyata ayat diatas, jawapan yang diberikan oleh nabi Nuh berteraskan kepada tema persoalan yang ditimbulkan oleh kaumnya dan tidak lari dari tajuk perbincangan.

Muzakarah itu hendaklah mengemukakan hujah-hujah yang jelas dan benar sehingga mereka tidak mampu berhujah lagi. Setelah terbukti kebenaran mereka hendaklah kembali kepada ajaran yang sebenar sebagaimana kisah ahli sihir firaun yang beriman kepada nabi Musa setelah terbukti kebenaran kerasulannya. Begitu juga kita hendaklah kembali kepada kebenaran walaupun orang yang benar itu adalah orang bawahan kita dan kita sanggup menyatakan saya silap dan engkau betul.

Ahli-ahli muzakarah tersebut mestilah bersifat merendah diri dan menjauhkan diri dari sifat sombong serta banga diri. Lihatlah kisah nabi Sulaiman bersama-sama burung Hud-Hud. Walaupun nabi Sulaiman memiliki kerajaan yang besar namun ia menerima hujah burung itu dengan rendah diri dan bercakap secara hikmah dan lembut. (al-Naml 20-44)

Ahli muzakarah itu hendaklah memberi peluang kepada orang lain memberi pendapat atau hujah sama ada dari pihaknya atau pihak pembangkang. Ia tidak boleh memotong percakapan orang lain atau menyakitinya. Ini terbukti melalui dialog Allah dengan Iblis yang tidak mahu sujud kepada nabi Adam. Allah memberi seluas-luasnya peluang kepada Iblis untuk berhujah dan Iblis menyatakan ia lebih mulia dari Adam kerana Adam dijadikan dari tanah sedangkan dirinya dijadikan dari api.

Setelah Allah menjatuhkan hukuman dengan mengeluarkan Iblis dari Syurga, ia masih lagi mengutarakan hujah-hujah sehingga akhirnya ia bersumpah untuk menyesatkan seluruh manusia kecuali orang yang ikhlas beribadat kepada Allah. Akhirnya Allah menyebutkan bahawa Iblis akan dinantikan di akhirat kelak untuk menerima balasan. (al-Baqarah 34, al-Hijr 30-42, al-Isra’ 61-65, al-Araf 16-17) Di sini Allah memberi peluang kepadanya untuk mengatakan isi hatinya dan keinginan hawa nafsu untuk menyesatkan manusia.

Ahli-ahli muzakarah mestilah menghormati pandangan orang lain yang bercakap baik ketika memberi hujah-hujah yang bernas walaupun berbeza dengan pandangannya. Ini terbukti melalui peristiwa muzakarah Abu Bakar dengan Umar bin Khattab mengenai pengumpulan al-Quran selepas perang Yamamah. Abu Bakar pada mulanya enggan menerima tetapi apabila berlaku muzakarah dengan Umar, maka Abu Bakar mengakui kebenaran Umar dalam mengumpul dan menulis al-Quran. Begitu juga kisah Umar bin Khattab mengakui kebenaran Abu Bakar ketika mengisytiharkan perang terhadap orang murtad dan orang yang enggan mengeluarkan zakat yang pada mulanya dipersetujui oleh umar.

Ahli-ahli muzakarah tidak boleh menghukum secara umum dan hendaklah sentiasa berhati-hati dalam kata-kata. Di samping itu, hendaklah meneliti sesuatu masalah dengan penelitian yang rapi. Tidak menggunakan sesuatu istilah atau lafaz kecuali pada tempat yang betul. Ia perlu berdasarkan maklumat yang tepat dan bukan berdasarkan berita angin.

Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang yang beriman, apabila datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita hendaklah kamu selidiki terlebih dahulu dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.” (al-Hujarat 6)

Perkara yang penting ialah setiap perkataan dan perbuatan merupakan amanah dan tanggungjawab yang akan disoal di Akhirat kelak. Manusia bertanggungjawab atas apa yang dicakapkannya.

Imam Abdullah bin Mubarak menceritakan kisah seorang wanita tua yang ditemui pada musim haji di Madinah al-Munawwarah selepas menziarahi makam Rasulullah s.a.w. yang mana ia tidak bercakap kecuali dengan jawapan dari ayat-ayat al-Quran. Ketika Abdullah memberi salam maka dijawabnya dengan ayat 58 surah Yassin “ Salam sejahtera dari Tuhan yang Maha Penyayang”. Apabila ditanya ke mana ia hendak pergi dijawabnya dengan ayat 1 dalam surah al-Isra’ , “ Maha Suci Allah yang memperjalankan hambanya pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Majid al-Aqsa yang diberkati sekelilingnya.” Begitulah seterusnya dialog antara mereka dan apabila ditanya apakah menyebabkan beliau menjawab dengan ayat-ayat al-Quran, lalu dijawabnya bahawa setiap perkataan merupakan amanah dan beliau telah berbuat demikian lebih dari empat puluh tahun.

Islam juga menyuruh umatnya supaya berdialog dan bermuzakarah dengan orang bukan Islam dengan sebaik-baiknya : Firman Allah yang bermaksud :

Janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan cara paling baik kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka.” (al-Ankabut 46)

Dalam hadis terdapat sabda Rasulullah yang bermaksud :
sesiapa yang menyakiti orang kafir zimmi maka ia menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku maka ia menyakiti Allah.”

Dalam konteks sekarang adab bermuzakarah perlu difahami oleh setiap individu masyarakat kerana perkara ini sentiasa dihadapi oleh kita dalam setiap masa dan tempat. Sementara itu, dialog peradaban dan agama amat penting dalam memastikan tamadun yang dibina itu benar-benar mantap. Oleh demikian, adab-adab yang telah digariskan oleh syariat Islam sewajibnya dipatuhi supaya ia menghasilkan natijah yang terbaik dalam setiap perbincangan dan dialog.

Sikap fanatik kepada kumpulannya sebelum berlakunya muzakarah dan dialog tidak akan membawa kebenaran yang diharapkan malah mungkin akan menimbulkan keadaan yang lebih parah lagi,. Sikap keterbukaan amat perlu kepada setiap individu ahli muzakarah dan dialog untuk mencari kebenaran dan keadilan terbaik.

Bermuzakarah dan berdialog ini bukan tertumpu kepada soal pemerintahan tetapi ia juga berlaku antara suami isteri, anak dan bapa, jiran tetanga dan masyarakat. Pendek kata, ia berlaku dalam semua peringkat masyarakat dan adab-adab tersebut mestilah dipatuhi. Apabila adab-adab tersebut dipatuhi dan dihormati nescaya lahirnya masyarakat yang makmur dan dirahmati Allah.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: