FALSAFAH POLITIK DISEBALIK SEMBAHYANG BERJEMAAH SIRI 2/2


oleh Ahmad Nasim bin Abdul Rauf

Dari segi hukumnya seseorang yang hendak pergi sembahyang berjemaah mestilah memenuhi segala syaratnya supaya ia tidak mendatangkan gangguan kepada jemaah yang lain termasuk imam. Dari segi falsafah berjemaah ialah seseorang rakyat hendaklah memenuhi segala syarat dan tanggungjawab sebagai rakyat supaya kehadirannya di dalam masyarakat tidak mendatangkan gangguan kepada mereka begitu juga kepada pemimpin. Bahkan lebih dari itu hendaklah kehadirannya mendatangkan keselesaan dan memberikan manfaat kepada mereka semua. Ianya juga diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. yang merupakan amalannya serta perintahnya kepada umatnya dengan sabdanya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلَاةٍ

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalaulah tidak kerana aku akan menyusahkan umatku atau manusia pasti aku akan menyuruh mereka supaya menggosok gigi setiap kali sembahyang”.[1]

Berdasarkan kepada hadith ini ulama menghukumkan sunat menggosok gigi setiap kali sembahyang. Begitu juga sunat memakai wangian berdasarkan isyarat yang terdapat di dalam hadith yang lain. Tujuannya adalah bila seseorang pergi untuk berjemaah maka hendaklah ia mendatangkan keselesaan kepada ahli jemaah yang lain termasuk imam bahkan mereka mendapat manfaat pula daripadanya iaitu memperolehi bau yang enak dari mulut dan pakaiannya di samping menyenangkan malaikat yang berdampingan dengannya di masjid. Dari segi falsafahnya pula ialah pengajaran kepada seseorang yang menjadi ahli sesuatu masyarakat hendaklah mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat tersebut termasuk pemimpinnya.

Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut (untuk mengurangkan gangguan kepada imam) maka Nabi s.a.w. mengisyaratkan supaya orang yang mengiringi imam adalah dari kalangan orang-orang yang cerdik pandai sebagaimana yang terdapat di dalam hadith yang berbunyi:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثَلَاثًا

Daripada Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah mengiringiku cerdik pandai dari kalangan kamu kemudian yang mengiringi mereka (sebanyak tiga kali)”.[2]

Dari segi hukum orang yang paling patut berada di saf pertama di belakang imam adalah orang-orang yang berilmu supaya mereka boleh menggantikan imam bila berlaku sesuatu kepada imam seperti terbatal sembahyang atau sebagainya. Dari segi falsafah kepimpinan ialah orang yang paling layak untuk sentiasa bersama pemimpin, menjadi pembantunya, orang kanannya dan sebagainya adalah orang yang berilmu terutamanya ilmu berkenaan pemerintahan supaya urusan pemimpin tersebut menjadi lebih senang dan kurang gangguan terhadapnya dan orang yang berada di sampingnya boleh menggantinya bila berlaku sesuatu kepadanya. Walaupun begitu Nabi s.a.w. sentiasa menggalakkan umatnya supaya berlumba-lumba untuk berada di saf pertama di dalam sembahyang dengan menyebutkan berbagai kelebihannya. Antaranya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang pertama dan seburuk-buruknya adalah yang paling akhir”.[3]

Dari segi zohirnya Nabi s.a.w. menggalakkan supaya berlumba-lumba untuk berada di saf pertama tetapi di samping itu Baginda memberikan peringatan bahawa bukan semua orang layak untuk berada di tempat tersebut. Maksud Baginda yang sebenarnya adalah supaya orang ramai sentiasa berusaha untuk melayakkan diri supaya memperolehi kelebihan besar tersebut dengan cara sentiasa mendalami ilmu agama. Hikmah kepimpinan yang dikehendaki di sini adalah galakan supaya berusaha menuntut ilmu sehingga mencapai tahap golongan yang mampu untuk menjadi pembantu kepada pemimpin dan seterusnya melayakkan diri dari segi kemampuan untuk menjadi seorang pemimpin. Inilah antara maksud yang tersirat di sebalik doa yang sering dipanjatkan kepada Allah taala iaitu;

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan sebagai penyejuk mata kami dan jadikanlah kami sebagai pemimpin orang-orang yang bertakwa”.[4]

Seterusnya makmum diperintahkan supaya sentiasa mengikuti apa yang dilakukan oleh imam dan jangan sekali-kali mendahului imam. Orang yang mendahului imam diancam dengan balasan yang keras seperti;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ مَا يَأْمَنُ الَّذِي يَرْفَعُ رَأْسَهُ فِي صَلَاتِهِ قَبْلَ الْإِمَامِ أَنْ يُحَوِّلَ اللَّهُ صُورَتَهُ فِي صُورَةِ حِمَارٍ

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang mengangkat kepalanya di dalam sembahyang sebelum imam tidak akan selamat daripada Allah akan menukar rupanya dengan rupa himar”.[5]

Ancaman yang keras ini bukan semata-mata bagi seorang makmum di dalam sembahyang tetapi pengajarannya juga adalah kepada rakyat supaya jangan mendahului pemimpin di dalam tindak tanduknya. Perbuatan sedemikian akan membawa kekalutan di kalangan rakyat sebagaimana perbuatan orang yang mendahului imam di dalam sembahyang akan mendatangkan kekeliruan kepada makmum yang lain. Kerana itu Nabi s.a.w. sentiasa memberikan peringatan kepada umatnya supaya memberikan ketaatan kepada pemimpin selagi mereka tidak menyeru kepada maksiat.

Bagi pemimpin pula mereka hendaklah sentiasa memahami keadaan rakyat dan menjaga keperluan mereka. Antara pengajaran yang boleh diambil adalah hubungan antara imam dan makmum di dalam sembahyang sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.. Antaranya:

أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ إِمَامٍ قَطُّ أَخَفَّ صَلَاةً وَلَا أَتَمَّ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنْ كَانَ لَيَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ فَيُخَفِّفُ مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَنَ أُمُّهُ

Anas bin Malik r.a. berkata: “Tidak pernah aku sembahyang di belakang seorang imam yang paling ringkas sembahyangnya tetapi paling sempurna daripada Nabi s.a.w.. Jikalau Baginda mendengar tangisan bayi Baginda akan meringkaskan kerana bimbang ibunya akan terganggu”.[6]


[1] Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.
[2] Hadith riwayat Muslim bab membetulkan saf dan menegakkannya dan sebaik-baik saf adalah yang pertama dan seterusnya.
[3] Ibid.
[4] Al-Quran surah al-Furqan ayat 74.
[5] Hadith riwayat Muslim bab haram mendahului imam dengan ruku’ dan sujud.
[6] Hadith riwayat al-Bukhari bab orang yang meringankan sembahyang ketika mendengar tangisan bayi.
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: