MEMBONGKAR ALIRAN ISLAM LIBERAL (SIRI 1)


MEMBONGKAR ALIRAN ISLAM LIBERAL (SIRI 1)
Susunan: Hafiz Firdaus Abdullah


PENGENALAN

Sebagai agama wahyu yang terakhir untuk manusia sejagat, Islam amat mementingkan sifat keaslian dan ketulenannya. Ini kerana selepas Islam tidak akan ada sebarang agama baru yang bakal diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk membetulkan apa-apa pencemaran yang berlaku ke atasnya. Pencemaran yang dimaksudkan adalah apa-apa penambahan, pengurangan, penukaran, pembatalan dan penyelewengan ke atas ajaran-ajaran Islam. Atas kepentingan inilah Islam sentiasa memberi peringatan kepada umatnya daripada merekacipta apa-apa bid‘ah yang bakal mencemari keaslian dan ketulenannya.

Namun dari dahulu sehingga kini terdapat sebahagian umat Islam yang cenderung untuk mereka cipta bid‘ah-bid‘ah ke dalam agama Islam. Secara umumnya umat Islam ini dan jenis bid‘ah yang mereka cipta boleh dibahagikan kepada dua sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):

“Bid’ah itu ada dua jenis, yang pertama berkaitan dengan perkataan dan iktikad, (yang kedua) berkaitan dengan perbuatan dan ibadah. Bid‘ah jenis yang kedua mencakupi jenis yang pertama sebagaimana bid‘ah jenis pertama akan mendorong kepada terjadinya jenis yang kedua.

Orang-orang yang berilmu, pemikir dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah akan terjerumus ke dalam bid‘ah jenis yang pertama. Sedangkan orang yang rajin beribadah, pemikir, berkemahuan keras dan orang-orang seumpama yang mengikuti mereka, dikhuatiri jika mereka tidak berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah akan terjerumus ke dalam bid‘ah jenis kedua.

Maka sedia diketahui bahawa bid‘ah (jenis pertama – perkataan dan iktikad) kerosakannya adalah lebih kuat dan para pembuatnya adalah lebih ‘berakal’ sedangkan bid‘ah (jenis kedua – perbuatan dan ibadah) para pembuatnya adalah lebih jahil dan mereka berada jauh daripada mengikuti (sunnah) Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam” [Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld. 22, ms. 306-307 & jld. 19, ms. 275]

Antara bentuk bid‘ah yang lazim direka cipta oleh kelompok pertama adalah membuat ajaran-ajaran baru bagi “membetulkan” Islam, mengunggulkan dalil akal di atas dalil wahyu, mentakwil nas kepada maksud yang dicenderungi oleh kehendak nafsu dan menjadikan Islam pengikut kepada suasana, jauh sekali daripada menjadikan Islam pemimpin kepada suasana. Berdasarkan manhaj di atas, kelompok pertama ini mencipta pelbagai doktrin baru tentang Islam yang jauh berbeza daripada apa yang disepakati oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.

Kelompok pertama ini sudah wujud sejak kurun-kurun awal Islam dan bergiat aktif sehinggalah ke hari ini. Nama gelaran mereka mungkin berbeza-beza tetapi manhajnya sama sepertimana yang disebut di atas. Antara nama yang masyhur digunakan oleh kelompok pertama ini pada masa kini adalah Islam Moden, Islam Pembaharuan, Islam Bebas dan sebagainya, manakala nama yang masyhur di Nusantara adalah Islam Liberal. Kelompok ini sudah juga wujud di Malaysia dan mereka aktif menyebarkan dakyah melalui media cetak dan elektronik. Sekalipun mereka tidak mengidentitikan diri mereka sebagai beraliran Islam Liberal, kita tetap dapat mengenali mereka berdasarkan manhajnya.

Artikel ini insya-Allah akan membantu para pembaca sekalian untuk mengenal dengan lebih mendalam What, Why, When, Where and How tentang aliran Islam Liberal supaya para tokoh aliran ini dan manhaj mereka dapat kita kenal sekalipun mereka tidak memakai lencana Islam Liberal ketika bercakap dan menulis. Yang lebih penting, pengenalan kepada aliran Islam Liberal akan menjadi perisai ilmu kepada diri kita sendiri supaya tidak terjerumus ke dalamnya.

APAKAH ISLAM LIBERAL?

Kamus Dewan (DBP. Kuala Lumpur 1994) mendefinisikan perkataan Liberal sebagai

  1. bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan), (fahaman) bebas.
  2. bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya).

Merujuk kepada definisi di atas, Islam sememangnya sebuah agama yang liberal. Ia membebaskan manusia daripada belenggu penyembahan sesama makhluk, bahkan juga membebaskan manusia daripada penindasan, kezaliman dan penghinaan sesama manusia. Islam juga memiliki dasar yang terbuka terhadap peradaban manusia selagi mana ia tidak melibatkan syirik yang menyekutukan Allah, perbuatan yang menyalahi syari‘at-Nya dan kepercayaan kurafat yang merendahkan kedudukan manusia sehingga ke taraf kebinatangan.

Lalu apakah yang dikehendaki dengan gelaran Aliran Islam Liberal? Jawapannya dapat kita lihat sendiri pada penambahan perkataan “Liberal” kepada Islam yang sememangnya sudah liberal. Ertinya aliran ini mengkehendaki ciri keterbukaan dan kebebasan yang lebih daripada apa yang sedia ada dalam syari‘at Islam yang asli lagi tulen.

KENAPA LAHIR ISLAM LIBERAL?

Sejak lebih kurang satu abad yang lepas, terdapat dua fenomena yang banyak mempengaruhi psikologi umat Islam. Pertama adalah fenomena ‘penjajahan’ oleh negara-negara Barat ke atas hampir seluruh negara umat Islam. Kedua adalah fenomena ‘ketinggalan’ dari sudut sains dan teknologi di belakang kebanyakan negara-negara Barat. Apabila berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam boleh dibahagikan kepada empat:

Pertama adalah mereka yang merasa putus asa secara keseluruhan dan duduk diam menerimanya sebagai satu ketentuan yang sememangnya merendah dan memundurkan mereka.

Kedua adalah mereka berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Justeru untuk menjadi umat yang berkuasa dan maju, Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan harian. Formula pemisahan ini yang digelar sekularisme terbukti berkesan mengingatkan bahawa semua negara Barat yang berkuasa lagi maju mempraktikkannya.

Ketiga adalah mereka yang juga berpendapat bahawa agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kekuatan dan kemajuan. Namun untuk menyelesaikan faktor penghalang ini, mereka berpendapat caranya ialah membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsirannya yang sekian lama telah menjadi pegangan umat. Kelemahan dan kemunduran umat Islam dianggap berpunca daripada belenggu kejumudan umat dalam menafsir dan mempraktikkan agama Islam. Kumpulan ketiga inilah yang digelar sebagai aliran Islam Liberal.

Kelompok terakhir adalah mereka yang mengakui akan hakikat kelemahan dan kemunduran yang dialami umat. Namun hakikat ini tidak mereka persalahkan kepada agama atau selainnya kecuali terhadap diri mereka sendiri dan umat Islam seluruhnya yang telah leka daripada berpegang dan mempraktikkan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu untuk kembali kuat dan maju, umat Islam perlu mempelajari, memahami dan mempraktikkan semula secara sepenuhnya ajaran Islam yang asli lagi tulen. Formula ‘Islam Sekular’ atau ‘Islam Liberal’ tidak menjadi pilihan kelompok keempat ini kerana ia  bukan cara untuk mencapai kekuatan dan kejayaan yang sebenarnya. Kekuatan dan kejayaan yang sebenar hendaklah diukur dengan necara wahyu Illahi yakni Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan neraca peradaban Barat yang berteraskan materialisme dan hawa nafsu. Golongan keempat inilah yang benar. Insya-Allah dengan kesungguhan mereka, kekuatan dan kejayaan akan kembali ke tangan umat Islam.

Yang paling menjauhi kebenaran adalah kelompok ketiga, iaitu kelompok Islam Liberal. Secara lebih terperinci, kelompok Islam Liberal adalah aliran yang muncul kerana kesan psikologi kekerdilan diri (inferiority complex) yang dihadapi oleh sebahagian umat Islam hasil penjajahan dan kemunduran yang dihadapi oleh mereka. Kesan kekerdilan ini diburukkan lagi dengan sikap tergiur lagi menyembah kepada negara-negara Barat yang menjajah lagi maju sehingga menyebabkan mereka sendiri terasa hina, bodoh, diperbudak dan hilang kejatian serta kebanggaan diri. Semua ini menghasilkan satu rumusan bahawa untuk mencapai kekuatan dan kemajuan, caranya adalah meniru segala formula peradaban yang dipraktikkan oleh negara Barat. Rumusan ini tidak akan berjaya selagi mana tidak dibuka dan dibebaskan tafsiran Islam daripada kejumudan pegangan umat selama ini.

… bersambung Siri 2 : Bagaimana Manhaj Islam Liberal

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: