• Assalammu'alaikum wbt. Blog ini membicarakan pelbagai topik agama yang merangkumi Artikel Umum, Akhir Zaman, Al-Quran, Hidayah Allah, Kebangkitan Islam, Satanisme, As-Siyasah, Doa & Bacaan, Fiqh Ibadah, Darah Wanita, Haji & Umrah, Korban & Akikah, Puasa, Solat, Toharoh, Zakat, Fiqh Muamalat, Hadis Pilihan, Ilmuwan Islam, Isu Semasa, Budaya Kufur, Islam Liberal, Pluralisme, Sekularisme, Syiah, Wahabiyyah, Kebesaran Allah, Kisah Teladan, Qishosul Anbiya', Sejarah Islam, Sirah Nabawi, Tafsir Al-Qur'an, Tasawwuf & Akhlak, Tauhid / 'Aqidah, Tazkirah, Akhirat, Bulan Islam, Kematian, Kisah Al-Quran, Tokoh Muslim, Ulama' Nusantara, Video Agama dan sebagainya. Semoga pembaca mendapat faedah ilmu dari pembacaan artikel dalam blog ini.. dalam mencari rahmat, keampunan dan keredhaan Illahi. InsyaAllah Ta'ala.

    CURRENT MOON PHASE

  • Pusat Latihan WoodValley Village, Sg. Congkak, Hulu Langat, kini dibuka untuk Penginapan Percutian, Program Hari Keluarga, Team Building dan Penempatan Kursus. Untuk tempahan dan info lanjut, sila hubungi:

    1) Arshad: 016-700 2170 2) Fahmi: 017-984 9469 3) Azleena: 012-627 2457

    [[ Download Brochure ]]

    [[Lawat Laman Web]

    -------------------------------------------
  • Klik untuk subscribe ke blog ini dan anda akan menerima email pemberitahuan tentang artikel terbaru. Taipkan email anda di kotak bawah:

    Join 65 other followers

  • KLIK PAUTAN

    • None
  • TERBARU DIMINATI

PLURALISME AGAMA DAN BAHAYANYA KEPADA UMAT ISLAM


OLEH: AL-FAQIR ILA’LLAH MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Latar belakang:

Penulis ini (Al-Faqir Ila’Llah) semenjak lapan puluhan lagi menyebut tentang kewajipan mempertahankan Ahlis Sunnah di negara ini dan di Dunia Melayu; atas prinsip itu beliau menyatakan bahawa aliran-aliran yang bercanggah dengannya dan merosakkannya hendaklah dijauhi: aliran Syiah, anti hadith Kassim Ahmad (sekarang katanya menjadi pluralis pula), Wahabi, Hasan Anak Rimau Kelantan, aliran orang mengaku wakil Mahadi, mengaku wali kutub, dan macam-macam lagi, aliran menanti Mahadi yang ghaib yang tidak lama lagi akan muncul, dan sekarang aliran John Hick yang hendak dibawa masuk oleh setengah pihak di Malaysia ini.

Paling tidak patut sekali bila ada pula pihak yang mengizinkan dirinya menjadi saluran bagi masuknya aliran John Hick ke dalam negeri ini. Maka bila kita tolak aliran John Hick –pluralisme agama versinya- kita mesti tolak pula pihak yang mengizinkan dirinya menjadi saluran aliran itu masuk ke ke dalam negeri kita, demi agama, bangsa dan tanah air, kata datuk nenek kita dulu.

Yang ditolak di sini ialah pluralisme agama aliran John Hick yang menganggap semua agama membawa kepada ‘salvation’ atau syurga dan semua agama adalah sama. Adapun pluralisme agama dalam erti adanya beberapa agama dalam sebuah negeri (‘sheer fact of pluralism’) seperti yang diistilahkan dalam Universiti Harvard dan laman webnya, dan yang diisyaratkan dalam Perlembagaan Malaysia, yang itu tidak ada masalah pada pandangan kita.

Kemudian huraian penulis ini berkenaan dengan isu-isu yang berkaitan itu ialah bersifat huraian dengan dalil, bukan ‘serangan’, ‘serangan lain’, ‘huraian dan penerangan dengan dalil’ lain. Yang disuruh dalam Quran ialah ‘menyeru kepada jalan agama Tuhan’ dengan hikmah kebijaksanaan, nasihat yang baik dan mujadalah dengan cara yang paling baik; itulah yang cuba dibuat oleh penulis ini. Tuduhan-tuduhan terhadapnya yang hendak dikaitkan dengan hal-hal yang tidak berkenaan, itu tidak berfaedah dibicarakan.

Kalau kita gunakan istilah-istilah itu mengikut ‘Kamus Dewan’ ia jelas dan tidak timbul memahami tulisan ini sebagai ‘serangan’; itu tidak ‘manis’ cakapnya kalau disamakan serangan dengan huraian dengan dalil, dan bahasanya pula bukan bahasa menyerang tetapi bahawa penerangan dengan penuh sayang. Lagi pula penulis kerdil ini bukan membuat ulasan ini bila pihak berkenaan itu tidak berjawatan, itu tidak timbul; yang timbul ialah bila pihak yang berkenaan itu mula menyalurkan pemikiran John Hick ke dalam Malaysia, barulah penulis ini membuat huraian, bukan ‘menyerang’, maha suci Allah.

Satu perkara lagi: tidak ada motif politik dalam huraian-huraian ini. Yang ada ialah motif hendak menjaga kemurnian pegangan Ahli Sunnah di negeri ini yang memang disuruh oleh Dr. al-Qaradhawi beberapa bulan lalu sebagaimana yang ada dalam media Arab. Penulis ini kurang arif tentang bidang politik ini; beliau berminat untuk sama-sama menjaga akidah, semenjak puluhan tahun lalu. Pihak yang hendak mengaitkan usaha penulis ini dengan politik tertentu, ia bertanggungjawab dengan Tuhannya. Penulis ini mengucap: Hasbuna’Llahu wa ni’mal Wakil.

1. Persoalan Ekslusif Agama (Religious Exclusivism) – hanya satu agama sahaja yang benar, manakala agama lain adalah salah.

Kalau pihak yang terpengaruh dengan ajaran John Hick berpendapat bahawa: Golongan-golongan

John Hick - Pelopor Aliran Pluralisme Agama yang kian menular di Malaysia.

agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke jalan keselamatan/syurga (salvation) adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar. Maka Pluralisme Agama adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perpecahan tersebut.

Maka jawabnya ialah: Pluralisme yang mengajar penganutnya tentang tidak ada kebenaran mutlak dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan/kebahagian/ syurga, tidak boleh diterima, malah ditolak dalam agama Islam. Sekiranya diterima anjuran Pluralisme itu maka tiada ertinya firman-firman Al Quran yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq (kebenaran) dan dengan itu kebatilan akan hilang.

2. Persoalan Pendapat Ahli Sufi Jelaluddin al-Rumi

Kalau pendapat tokoh yang tertentu itu ialah: Pluralisme Agama dianjurkan sejak dari abad ke-13 lagi. Buktinya kata-kata oleh penyair sufi, Jelaluddin al-Rumi yang menyebut; “Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan” (The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality).

Maka jawapannya untuknya ialah: Pandangan ini tidak benar kerana Jelaluddin al-Rumi adalah seorang Muslim, Sunni, bermazhab Hanafi yang bersyair dalam konteks kerangka Islam dan bukannya di luar konteks Islam. Bukannya antara agama Islam dengan agama-agama lain. Tentang simbolik ‘cahaya’ dan ‘lampu’ itu perlu dilihat dari segi amalannya sebagai seorang sufi yang bersyair dalam kerangka Islam. Ia berbicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, menuju ke alam hakikat. Namun begitu, mesti berpegang kepada syariat dan bukan meninggalkannya. Memang John Hick menganggap Rumi sebagai tokoh pluralisme dalam tulisan-tulisannya, ini bukan bererti bahawa orang Islam yang memahami Rumi sebagai ulama Ahli Sunnah menganggap dia demikian sebab dalam Ahli Sunnah pendirian yang sedemikian tidak pernah ada; hanya Orientalis yang mahu mengkategorikan mereka demikian, dan itu digunakan sebagai senjata untuk memasukkan pendirian itu ke dalam Islam walhal pendirian yang demikian ditolak dalam umat ini. Kalaulah orang Islam menerima pendirian ini maka dalam Ahli Sunnah musnahlah imannya. Dijauhkan Allah.

Bagaimanakah kita hendak tuduh wali Allah sebagai pluralis seperti pemikir Barat, walhal ia mendendangkan bait-bait ini – dalam alam akliah dan rohaniah tradisi agama dan umatnya:

Dalam Kitab ke 2 Kisah 1 ada bait-bait yang bermaksud ‘Sekarang dengarlah kepada bentuk lahir kisahku. Tetapi itupun engkah asingkanlah biji benih daripada jeraminya, mengapa para anbia diutuskan. Tuhan mengutuskan mereka untuk tujuan ini, iaitu untuk mengasingkan kekufuran daripada iman (infidelity from faith, (www.intratext.com/DCT/ENG0134/_PK.HTM)

Jelaluddin al-Rumi adalah seorang Muslim, Sunni, bermazhab Hanafi yang bersyair dalam konteks kerangka Islam dan bukannya di luar konteks Islam. Beliau tidak mempelopori Pluralisme.

Tuhan mengutuskan para anbia kepada umat manusia supaya mereka dapat menghimpun biji benih yang murni dan baik di atas talam mereka: Yang kafir dan yang mu’min, Muslim dan Yahudi, sebelum para anbia datang mereka semua sama, sebelum mereka datang kita semua sama, (we were All alike)[sebab tidak ada neraca], Dunia ini [umpama seperti] suatu malam, dan kita semua ahli musafir dalam gelap, sehingga bila matahari para anbia muncul, ia berteriak, ‘Pergilah wahai tidur, selamat datang wahai cahaya murni! Sekarang mata boleh membezakan warna-warna, ia boleh melihat perbezaan antara batu permata mahal dengan anak batu…

Tuhan menamakan Hari Bangkit “hari itu”

Siang hari menunjukkan keindahan merah dan kuning.

Kata-kata ‘anal-haq’ berupa cahaya pada mulut Mansur [al-Hallaj], pada mulut Fir’aun ‘Aku Tuhanmu Yang Maha Tinggi’ berupa kekufuran

Yang dipegang oleh Rumi adalah agama anbia seperti yang ada dalam Quran yang membezakan apa itu iman dan kufur, apa itu permata anak batu ajaran sesat dan apa itu permata mahal. (Ada lagi bait-bait yang boleh dibentangkan untuk menunjukkan bahawa Maulana ini bukan tokoh pluralis seperti yang didakwakan oleh Orientalis untuk memasukkan teori mereka ke dalam umat ini-dengan itu ia merosakkan akidah umat Islam dan sekaligus menurunkan darjat mereka daripada penyaksi-penyaksi hakikat rohani yang murni kepada darjah rendah spekulator falsafah cara Barat-maha suci Allah, yang menyedari ilmu pada paras minda sahaja, tidak jauh dari itu, dan orang Islam yang tidak meneliti teks-teks mereka dalam konteks diri ulama berkenaan, alam rohani mereka, dan masyarakat serta budaya dan amalan mereka terpedaya dengan dakwaan itu kononnya perkara demikian ‘sudah ada dalam Islam’ ‘walhal orang tidak sedar!’ Maha suci Allah.

Antara bait-bait lain itu ialah seperti berikut: Selepas menyebut fikiran manusia dimasuki pengaruh Setan dalam diri manusia dan kerja-kerjanya dan pelbagai perkara lagi ia; menyuruh seseorang itu membuang pengaruh bisikan Setan itu dengan zikir dan doa katanya.

Ucapkanlah la haula wa la quwwata illah billah, untuk membuang Setan daripada dunia dan jiwa kamu, dana katanya lagi:

Ada disebutkannya bahawa orang –orang yang membenci para nabi dan aulia pada hakikatnya membenci diri mereka sendiri, sebagaimana halnya dengan orang-orang sakit berkelahi dengan tabib atau anak-anak berkelahi dengan guru mereka. Para nabi dan aulia dijadikan demi untuk menjadi ujian bagi tabiat kejadian manusia, supaya dengan itu orang-orang yang baik-baik boleh dibezakan daripada orang-orang yang jahat… (sumber sama).

Dengan ini maka tidak munasabah bait-bait seperti ini datang daripada pluralis ala Jon Hick walaupun Orientalist seperti John Hick mendakwa Rumi adalah tokoh pluralis, mungkin untuk menyedapkan hatinya sendiri, dan sekaligus supaya orang Islam terpedaya dengan pengamatannya itu. Dijauhkan Allah.

Beberapa kali saya bertanya kepada Prof. Ajmal Abd Razak di ISTAC yang mengkaji Mathnawi Rumi semua sekali sehingga ia menterjemahkannya dalam bahasa Melayu, buat pertama kali dalam sejarah persuratan Islam Nusantara, bolehkah kita kategorikan Rumi sebagai tokoh pluralis, beliau menjawab, dan saya bersyukur kepada Tuhan, ‘Tidak’. Itu sudah cukup bagi saya. Ertinya orang yang mengkategorikan Rumi sebagai tokoh pluralis dalam erti John Hick dan yang sepertinya adalah orang yang tidak memahami beliau daripada telaah terus ke atas teksnya sendiri, tetapi ia ‘mendengar cerita’ daripada mulut Orientalis, dan merasa selesa dan mendapat keuntungan dengannya. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Sepatutnya kita menelaah dengan kritis apa yang ditulis oleh Edward Said dalam bukunya ‘Orientalism’-untuk mendidik diri kita dalam bidang ini.

3. Persoalan Konsep Agama Adalah Universal

Berkenaan dengan pendapat pihak yang mengikut John Hick yang menyatakan bahawa: Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? yang bermaksud persamaan universal (universal concepts) antara semua agama untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan.

Maka boleh dijawab bahawa: Konsep ini berlawanan dengan anjuran Al Quran. Kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang Allah utuskan kepada Nabi dan Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW.

4. Persoalan Pendapat Dante, Penyair Kristian abad ke-14

Kalau Dante dianggap sebagai penganut pluralisme agama seperti John Hick maka jawapannya ialah: Dante, penyair Kristian di Itali pada abad ke-14 menganjurkan untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat bukan semata-mata dengan ‘Kuasa’ tetapi juga dengan ‘Akal’. Visi Dante ini sama dan boleh dihubungan dengan visi tokoh-tokoh Islam termasuk al Farabi dan Ibn Rushd.

Maka jawapan untuk ini ialah: Dante tidak menganjurkan pluralisme agama dalam erti John Hick. Beliau hanya menerima agamanya (Kristian), ajaran Katolik dan menolak agama lain. Dalam epik puisi ‘The Divine Comedy’, karya Dante, beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW dan Saidina Ali rd ke dalam neraka. Dalam ajaran Islam, setelah turunnya al Quran maka mansuhlah semua sistem kepercayaan lain, dan ajaran Quran adalah universal. Dalam Islam, ‘Akal’ semata-mata bukan penentu kepada kesejahteraan tetapi kebahagiaan juga bergantung kepada kepercayaan tentang ‘Wahyu’ dan ‘Syariat’ dan beramal dengan kedua-duanya. Sebab itu al Farabi dan Ibn Rushd tidak bergantung kepada ‘Akal’ semata-mata tetapi beriman kepada ‘Wahyu’ Al Quran dan Syariat Nabi Muhammad SAW. Tentang ibn Rushd boleh diingatkan bahawa ia pakar dalam Syariat dan dia kadhi atau mufti di Sepanyol; lihat kitabnya yang terkenal ‘Bidayah al-Mujtahid’. Kedua-duanya bukan ‘pluralis’ dalam erti John Hick. Menyebut kedua-duanya dan mengaitkannya dengan pluralisme ala John Hick adalah perbuatan jenayah ilmiah yang tidak boleh dimaafkan, walaupun dikatakan itu adalah “dari segi yang lain”

Tentang Dante bukan pluralis dalam erti John Hick dan keteguhannya dengan teologi Katolik (dengan itu ia bukan pluralis) ini jelas dalam kenyataan tentangnya dalam ‘The Catholic Encyclopedia on line’. Kenyataan tentangnya nya ialah: Pendiriannya dari segi teologi (Katolik) sebagai Katolik yang ortodok (yakni yang benar dan diterima dengan baik) sudah terbukti dengan banyaknya dan berkali-kali diabsahkan. (has been amply and repeatedly vindicated) akhir-akhir ini khususnya oleh Dr Moore yang menyatakan ‘Tidak ada kesan dalam tulisan-tulisannya tentang syak atau rasa tidak puas hati tentang mana-mana bahagian ajaran Gereja dalam perkara doktrin yang ditentukan oleh pihak berotoritas (gereja Katolik).’

Beberapa bukti daripada penulisannya sendiri tidak kurang pula bahagian penutup ‘Monarchia’ sendiri menjadi saksi tentang hormatnya Dante terhadap kuasa kerohanian pope dan jawatannya yang beliau terima sebagai berasal dari Tuhan (of Divine Origin). Tidak kurang menariknya khususnya –yang menunjukkan pegangan ortodoksnya (yakni pegangan yang benar dan asal pada sisi golongan Katolik) bagaimana peranan yang dimainkan oleh Mary the Virgin (Siti Maryam pada pegangan Katolik) dalam syair keagamaannya dari awal sampai akhirnya. Ia berupa sebagai penglahiran syair yang berpunca dari ilham terisyarat dalam kenyataan Richard of St. Victor (bermaksud): Melalui Mary bukan sahaja cahaya rahmat diberikan kepada manusia di bumi tetapi bahkan pemandangan terhadap Tuhan yang dikurniakan kepada roh-roh dalam Syurga’. Tidak munasabah Dante yang mempunyai pegangan Katholik semacam ini menjadi penganjur pluralisme seperti yang dianjur oleh John Hick sebagaimana yang dinyatakan oleh pihak yang berkenaan itu. Jadi debatan Dante sebagai tokoh pluralis tidak ada hujah yang boleh dibuat pegangan.

5. Persoalan Konsep Kebebasan Beragama vs Pluralisme Agama

Kalau dipersoalkan bahawa: Pada hari ini wujud kebebasan beragama (freedom of religion) tetapi tidak seharusnya diketepikan Pluralisme Agama (Religious Pluralism); yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama. Perkara ini lebih ketara di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Kebebasan dan kerukunan dalam beragama, BUKAN bermakna menghalalkan Pluralisme Agama

Maka perlu dijawab: Jika negara-negara Islam, adalah wajar kerajaannya berpihak kepada Islam dan memelihara syariat-syariatnya. Dalam Islam, kerajaan tidak boleh menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kerana kebenaran itu tetap ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran tersebut. Sebab itu, al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memastikan pihak kerajaan memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai apabila berlaku penyelewengan akidah ajaran Islam. Tetapi pihak kerajaan tidak boleh menganiayai pihak yang bukan Islam, mereka tetap diberi hak untuk mengamalkan agama mereka. Sudah tentu mereka mesti mengamalkan keadilan dan ihsan lepada pihak lain sebagaimana yang diajarkan dalam Qur’an.

6. Persoalan Firman Allah, ‘Tidak Ada Paksaan Dalam Agama

Kalah pihak yang terpengaruh dengan aliran John Hick berhujah: Al Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman ‘tidak ada paksaan dalam agama’, maka mestilah perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak maka kenyataan Al Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti.

Maka perlu diberi jawapan bahawa: Ayat berkenaan dengan Tidak ada paksaan dalam agama’ (2:256) dalam Islam bermaksud bahawa umat Islam tidak boleh memaksa bukan Islam supaya memeluk Islam. Ia terletak pada pilihannya. Tetapi apabila seseorang itu sudah Islam maka ia tertakluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama Islam. Kita tidak menafsir kebebasan beragama itu bermakna kebebasan untuk murtad bagi orang Islam.

Maka umat Islam tidak seharusnya mengikuti falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama apabila falsafah itu sendiri bercanggah dengan Quran. Dalam Islam ‘freedom of conscience’ (kebebasan jiwa) bukannya kebebasan ala Barat tetapi harus tunduk kepada akidah dan syarak Islam.

7. Persoalan Konsep Menuju Kepada Yang Satu

Kalau pihak yang beraliran seperti itu berhujah bahawa : Guru Granth Sahib, Kitab Agama Sikh memberitahu kepada semua manusia bahawa seseorang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian (spiritual paths) akan membawa kepada Yang Satu dan akan menjadi bebas merdeka tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan turun ke dalam api neraka dan terbakar di dalamnya. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dan mereka akan berterusan tenggelam dalam nikmat Kebenaran.

Maka perlu diberi jawapan bahawa: Dalam Islam konsep ‘Menuju Kepada Yang Satu’ perlu dilihat dalam konteks Quran. Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu membawa kepada kekaburan, itu akan mengundang masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid juga bukannya Yang Satu, begitu juga kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, juga bukan Yang Satu dalam Al Quran.

8. Persoalan Semua Kepercayaan Agama Adalah Sama

Kalau pihak mereka itu berhujah bahawa: Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu serta yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang paling tinggi (higher truths) akan mengatasi amalan- amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

Maka perlu diberi jawapan bahawa: kebenaran-kebenaran yang tertinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth) juga perlu dilihat dalam konteks Al Quran. Apabila diturunnya Al Quran, maka terputuslah kebenaran agama-agama lain (sebab ajaran Quran adalah ‘muhaiminan ‘alaih: dia menjaga kebenaran agama-agama), sebab itu umat Islam adalah saksi terhadap umat manusia, sebagaimana Rasulullah adalah saksi bagi umat Islam. Menurut Islam tidak ada yang benar, melainkan ajaran al-Quran.

9. Persoalan Perintah-Perintah Eksklusif (Exclusivist Claims)

Kalau golongan ini berhujah dan mengatakan: Hari ini, terdapat pemimpin-pemimpin agama-agama dunia tertentu yang terus menerus membuat pengakuan-pengakuan Eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi berbanding dengan penerimaan perkara-perkara yang disepakati bersama (commonality) yang mampu menghubungkan semua manusia. Kalaulah kita menerima hakikat bahawa memang terdapat kepelbagaian, maka Pluralisme Agama adalah jawapannya kerana mampu menyatukan. Itulah jalannya untuk membawa keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan.

Untuk fahaman begini perlu diberi jawapan: Adalah janggal sekiranya umat Islam menerima Bible dan kitab-kitab lain selain Al Quran sebagai ‘wahyu’. Teori John Hick yang mengatakan hanya Pluralisme Agama yang membawa kebahagian dan syurga sepatutnya tidak mempengaruhi umat Islam yang setia dengan wahyu Al Quran.

10. Persoalan Konsep Kebebasan

Golongan pluralis ala John Hick mungkin berhujah mempersalahkan umat Islam dan berkata: kaum muslimin masih lagi berterusan berprejudis; menolak nilai kebebasan bersuara (free speech), kebebasan media (free press), demokrasi, dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience). Mereka memandang budaya Pluralisme Agama sebagai satu bentuk konspirasi teragung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga dilihat sebagai jerat untuk menyeludup masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tetapi sebenarnya ini merupakan suatu penyelewengan apabila dilihat menurut perlaksanaan hukum Islam. Di luar daripada kepentingan polisi awam, memang tidak ada kewajipan agama untuk orang Islam mengenakan undang-undang dan nilai-nilai umat Islam ke atas seluruh masyarakat.

Dari segi ideologi, sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan islah. Muslimin hendaklah membebaskan diri daripada amalan-amalan lama menggunakan klise dan menjaja-jajanya (cliche-mongering) serta mengenakan label-label kepada orang, dan bergerak melewati kepentingan-kepentingan kelompok yang sempit. Penemuan semula garapan terhadap pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan.

Untuk ini perlu diberi jawapan: Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan hati nurani (freedom of conscience), pada muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada orientasi Syara’: Kalau kebebasan itu tidak bertentangan dengan Syara’, maka kebebasan itu dialu-alukan, tetapi sekiranya kebebasan itu yang bertentangan dengan Syara’ maka ia perlu dijauhi.

Sudah tentu bagi Muslimin, Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata-mata. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektual dan rohaniah. Dijauhkan Allah Pihak yang berbicara tentang nilai kebebasan manusia sejagat perlu juga menghormati manusia beragama dalam mengamalkan agamanya dan bukannya hendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata-mata. Itu pun bercanggah dengan nilai hak-hak asasi manusia.

11. Persoalan Syariat Islam

Kalau golongan mereka berhujah: Syariat itu bukannya hanya tertulis di atas batu, dan ia mengalami evolusi (perubahan) secara dinamik. Demi untuk mempertahankan aliran moderat, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi lebih menarik, mengikut kaedah yang bersifat universal dan kekal abadi.

Dikatakan bahawa pluralisme dalam dunia yang terbahagi-bahagi ini akan menambah lagi perpecahan kepuakan yang membawa pula kepada suara yang diulang-ulang tentang ‘pertembungan tamadun’ yang telah dan masih meletihkan yang seperti ianya sama dengan pukulan ‘gendang purba’ itu. Bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Eliot: Sejarah boleh berupa sebagai perhambaan, sejarah boleh pula berupa sebagai kebebasan.

Oleh itu, kita mesti membebas diri kita daripada penipuan konsep tentang pertembungan tamadun dan menumpukan semula perhatian kita kepada pertembungan yang menggelegak (bahaya) dalam umat Islam itu sendiri. Kita boleh melihat suatu pertembungan yang lebih merbahaya dan membimbangkan yang berlaku dalam tamadun yang sama (Islam), antara yang lama dan baharu (the old and the new), yang lemah dan kuat (the weak and the strong), moderat (liberal) dan fundamentalis (the moderates and the fundamentalists), dan antara modernis dan traditionalis (the modernists and the traditionalists).

Turki dan Indonesia dengan terang sedang merintis jalan demokrasi bagi umat Islam untuk ikutan mereka. Kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah yang segera akan berlaku juga berupa suatu kenyataan yang jelas tentang tahap demokrasi liberal dapat dicapai, walaupun, sayangnya, hambatan-hambatan yang dibentangkan di hadapannya oleh setengah negara-negara ahli itu sangat nyata memberi isyarat tentang Islamophobia yang ada. Di Asia Tenggara, Indonesia sudahpun mencapai garis penyudah [dalam amalan demokrasinya] manakala jiran-jirannya yang muslimin dalam negara masing-masing masih lagi terlekat dalam tahap permulaan jalannya.

Untuk ini mesti diberi jawapan: Kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahli Sunnah tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baru yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman berzaman boleh berubah. Tetapi kalau perubahan itu melibatkan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan. Dan seperkara lagi: usaha mengembalikan umat kepada wacana Ahli Sunnah akan menyatupadukan pegangan dan pemikiran mereka dengan pegangan itu, sebagaimana yang jelas dalam sejarah dan nas-nasnya. Yang menimbulkan masalah ialah pihak-pihak yang tidak mahu kembali kepada aliran arus perdana dan berkeras hendak mengagung-agungkan pemikir-pemikir tertentu.

12. Persoalan Jihad

Kalau pihak pluralis itu berhujah mengatakan: Hari ini jihad dilaungkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengesahkan perbuatan-perbuatan keganasan dalam pelbagai bentuk dan rupanya, tetapi akhirnya menjadi kabur antara garis jihad dan keganasan. Mujurlah adanya pentadbiran Obama, maka kita telah melihat sesetengah perubahan berbanding polisi Bush yang mengamalkan sifat percanggahan dan memilih bulu, dalam memerangi keganasan, dengan memberi sokongan kepada para autokrat (penguasa kuku besi) di dunia Islam di satu pihaknya, dan menjadi jaguh kebebasan dan demokrasi di satu pihak lain pula. Walaupun selepas lebih setahun semenjak pentadbirannya (Obama) itu, kita masih lagi menanti untuk melihat perubahan-perubahan yang penting (substantive) dalam isi (substance) polisi luar negara Amerika dalam hubungan dengan Dunia Islam.

Maka mesti diberi jawapan: Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam kalangan setengah umat Islam (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan itupun jangan diremehkan) itu tidak boleh dijadikan dalil bahawa itu penafsiran yang menyeluruh yang mewakili arus perdana umat Islam. Bagaimanapun, ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak yang pada masa lalu, mahupun sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

Mudah-mudahan kita semua kembali kepada panduan wacana Ahli Sunnah wal-Jamaah, amin. Wallahu a’lam.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: