MENDIDIK ANAK SEBAGAI MUSLIM


Muslim sama ada dalam kapasiti sebagai satu umat mahupun kapasiti individu, mempunyai tanggungjawab yang utama dalam menjalani kehidupan ini mengikut peraturan dan ajaran Islam seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah.  Islam telah datang membawa garis panduan yang jelas dalam semua aspek kehidupan dan salah satu tanggungjawab yang utama adalah mendidik  anak–anak seperti mana yang dituntut oleh ajaran Islam.  Tanggungjawab ini menjadi amat berat apabila norma-norma masyarakat tidak berteraskan Islam, seperti yang berlaku di Barat.  Walau bagaimanapun, hidup di Barat atau di mana sahaja di dunia ini, bukanlah alasan untuk meremehkan standard mahupun menghilangkan identiti Islam itu sendiri.

Keluarga Muslim di Barat terdedah kepada pengaruh nilai-nilai sekular yang kuat dan sentiasa dimanifestasikan dalam seluruh aspek kehidupan harian.  Kesukaran untuk mengekalkan identiti anak-anak bermula dari saat mereka dilahirkan.

Melentur buluh biar dari rebung. Anak adalah amanah Allah dan wajib diberikan pendidikan Islam yang sempurna,

Namun, tanpa menghiraukan cabaran-cabarannya, Islam telah memberikan panduan yang jelas cara-cara untuk mendidik anak-anak untuk menjadi pemimpin-pemimpin yang kuat dan soleh. Untuk mencapai matlamat ini, adalah perlu untuk mempunyai keyakinan yang padu tentang kebenaran Islam dan mematuhi segala ajaran dan aturan Islam tanpa menghiraukan halangan–halangan yang ditempuhi atau hasil yang dicapai.

Bila perlu bermula?

Mengikut Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, tugas untuk mengasuh dan mendidik anak-anak bermula di saat mereka dilahirkan dengan melaungkan azan di telinga kanannya dan membaca iqamat di telinga kirinya. Memberi nama yang baik-baik kepada bayi yang baru dilahirkan adalah hak ibu bapanya kerana nama tersebut akan kekal sehingga akhir hayat anak tersebut dan akan memainkan peranan dalam menentukan tempatnya dikalangan umat Muslim.  Dalam hal memberi nama kepada anak yang baru lahir, hakikatnya ialah memberi nama bukan Muslim bukanlah satu tiket untuk hidup dengan mudah di Barat.  Menyembunyikan identiti anak kerana khuatir akan didiskriminasi atau hidup dibelenggu kesusahan adalah bertentangan dengan kepercayaan kita bahawa rezeki dan hidup telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan bukannya manusia.  Hanya Allah Subhanahu Wa Taala yang harus ditakuti, bukan manusia.

Pembinaan Asas: Kepatuhan kepada Allah Subhanahu Wa Taala  sahaja.

Anak-anak yang sedang membesar harus diajar bahawa segala perbuatan mereka hanya berdasarkan hukum syariah dan bukan yang lain darinya.  Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:

Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah: Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya.”  [TMQ al-Hashr (59):7]

Mungkin persoalannya ialah bagaimana cara yang paling efektif untuk melakukan perkara ini? Segelintir ibu bapa menggunakan kuasa mereka sebagai ibu bapa dalam menyuruh anak mereka melaksanakan perintah agama.  Dengan pendekatan sebegini, anak-anak ini akan solat, berpuasa, berhijab, merendah diri, dan sebagainya berdasarkan kepada takut kepada ibu bapa mereka. Namun, terdapat risiko untuk mereka mempersoalkan asas kepercayaan Islam mereka tadi ketika mereka terdedah kepada masyarakat yang berfikiran liberal melalui rakan–rakan sebaya, media dan sistem pendidikan.  Malahan, segelintir dari mereka mungkin akan memberontak menentang ibu bapa mereka.  Anak-anak, terutamanya remaja mungkin akan terfikir bahawa ibu bapa mereka adalah manusia biasa seperti mereka, maka mengapa harus dipatuhi?

Jika hukum diperkenalkan sebagai sesuatu yang bermanfaat atau keburukan, maka ia adalah sesuatu yang berbahaya.  Ini akan mengajar anak tersebut untuk mematuhi hukum apabila bermanfaat kepada mereka dan menolaknya jika sebaliknya.  Sebagai contoh, jika berpuasa diajar kepada anak-anak sebagai satu manfaat keatas kesihatan mereka, mereka mungkin tidak akan berpuasa jika mereka yakin bahawa sebaliknya akan berlaku, iaitu puasa adalah sesuatu yang tidak menyihatkan.  Begitu juga, jika berhijab diajar sebagai satu perkara yang sopan, mereka mungkin akan menanggalkannya jika mereka merasakan hanya dengan berpakaian longgar juga adalah satu bentuk kesopanan.

Bagi menghindarkan anak-anak kita dari terbelenggu dalam situasi begini, adalah sangat penting bagi kita untuk mengajar anak-anak kita bahawa hanya akidah Islam rujukan utama kita.  Mereka harus memahami bahawa hanya Allah Subhanahu Wa Taala sahaja sebab mengapa mereka harus melakukan atau meninggalkan sesuatu perkara itu.  Ibu bapa perlu memastikan realiti bahawa Allah Subhanahu Wa Taala itu wujud dan Dia mempunyai segala pengetahuan tentang sesuatu itu dan yang paling penting adalah kedua-dua ibu bapa dan anak yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala ke atas segala perbuatan mereka di Hari Pembalasan nanti.  Anak-anak perlu diajar bahawa ibu bapa mereka juga akan turut dipertanggungjawabkan sepertimana mereka.  Oleh yang demikian, anak tersebut akan belajar berpuasa, membayar zakat, meninggalkan riba, memakai hijab kerana kecintaannya terhadap Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulnya Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

Sekali bibit ini tersemai di dalam diri anak-anak kita yang ia adalah satu-satunya perspektif di dalam membuat pilihan dan keputusan, mereka akan sentiasa merasa takut kepada Allah Subhanahu Wa Taala di dalam setiap langkah dan perbuatan.  Hanya dengan rasa takut kepada Allah Subhanahu Wa Taala sahaja yang dapat menjadi perisai diri kepada anak-anak kita.  Mereka akan menyedari bahawa walaupun mereka dapat lepas dari pandangan mata ibu bapa mereka, mereka tidak akan dapat lari dari Allah Subhanahu Wa Taala.  Membesar di bumi yang tidak Islami menuntut sesuatu yang kritikal bahawa anak-anak seharusnya diajar supaya melakukan sebarang perbuatan kerana takutkan Allah Subhanahu Wa Taala, bukan kerana takut kepada ibu bapa, budaya kekeluargaan, manfaat atau sesuatu yang lain.

Nabi Ibrahim Alaihi Salam : Menyembah Allah Subhanahu Wa Taala dari masa mudanya.

Sebagai ibubapa, kita gemar bercerita tentang kisah nabi-nabi kepada anak–anak kita.  Oleh yang demikian, kisah Nabi Ibrahim Alaihi Salam adalah sangat penting kerana ia memberikan satu pandangan bagaimana seorang anak memperolehi kefahaman tentang kewujudan Allah yang Satu.  Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:

Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Inilah Tuhanku”. Tetapi, tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam.” Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: “Inilah Tuhanku”. Tetapi setelah bulan itu terbenam dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat”. Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar”, maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata: “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan.” Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada Agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” [TMQ al-An’aam (6): 76 – 79]

Apabila menceritakan kisah ini kepada anak-anak, adalah penting untuk menekankan bahawa tanda-tanda kekuasaan Allah sentiasa ada di sekeliling kita di mana juga kita berada.

Sahabat RadhiAllahu anha: Anak muda yang menolak masyarakat jahiliyah

Anak-anak kita di Barat akan mempelajari Islam sepertimana yang diajarkan kepada mereka.  Tambahan kepada pengajaran rukun-rukun Islam (termasuk asas-asas Islam yang lain), adalah penting untuk mereka memahami warisan Islam. Ini bermula dengan Sirah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam, kehidupan para sahabat, dan termasuklah sejarah Khulafah Ar-Rasyidin. Hati anak-anak kita harus diisi dengan rasa cinta dan hormat kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dan para sahabat.

Tambahan pula, adalah penting untuk ditekankan kepada anak-anak kita bagaimana untuk menghadapi cabaran yang serupa seperti mana yang pernah ditempuhi oleh para sahabat.  Para sahabat membesar dalam masyarakat jahiliyah Mekah.  Walaupun begitu, ketika seruan Islam datang, mereka terus menyedari kebenarannya.  Mereka menyakini bahawa Allah Subhanahu Wa Taala wujud, al-Quran diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam itu sebenarnya adalah utusanNya.

Berdasarkan keyakinan ini, mereka merujuk sepenuhnya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, malah meninggalkan pandangan-pandangan dan amalan-amalan yang diamalkan oleh masyarakat di sekeliling mereka.  Para sahabat tidak merasa gentar kecuali kepada Allah Subhanahu Wa Taala kerana mengetahui bahawa hidup dan rezeki mereka telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala.  Mereka diajar untuk mematuhi hukum-hukum Islam dalam segala perbuatan mereka.  Cara Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mendidik teman-teman baginda telah melahirkan personaliti-personaliti yang pada mulanya berjuang  memuja sesama manusia bertukar memuja Allah Subhanahu Wa Taala.

Salah satu contoh adalah Musab ibn Umair, seorang individu yang sangat kaya dan mewah. Walau bagaimanapun, setelah menerima Islam, dia secara terbuka mencabar amalan-amalan masyarakat Mekah.  Ibunya cuba memberi tekanan kepada Musab supaya meninggalkan Islam dengan menahannya di rumah dan memberhentikan elaunnya, tetapi, Musab tetap berpegang teguh dan taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam.

Kita harus menjelaskan kepada anak–anak bagaimana kisah-kisah para sahabat relevan dengan cabaran-cabaran yang mereka hadapi semasa berinteraksi dengan masyarakat. Mereka seharusnya dapat mengambil iktibar daripada pengajaran-pengajaran para sahabat dan mendapat motivasi seperti mana yang diperolehi oleh para sahabat, serta menolak segala amalan jahiliyah yang diamalkan oleh masyarakat di sekeliling kita (seperti zina, berpakaian tidak senonoh, minum arak dan sebagainya) dan menghina Allah Subhanahu Wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Apabila anak-anak telah meningkat dewasa dan mula berdepan dengan konsep-konsep berkaitan politik (seperti demokrasi) dan sistem ekonomi (seperti kapitalis), kita harus mengajar mereka untuk menolak konsep-konsep tersebut yang bukan daripada akidah Islam.

Jadilah guru dan sahabat kepada anak anda

Apabila anak-anak meningkat dewasa, secara semulajadinya mereka akan meminta perlindungan daripada orang tuanya dan menjadikan kedua-duanya tempat rujukan, serta mengikuti langkah-langkah ibu bapa mereka.  Dalam fasa ini, ibu bapa harus sentiasa berjaga-jaga dengan merebut peluang untuk memberikan bimbingan yang benar ke jalan Allah.  Kadangkala kita mengambil perkara ini sambil lewa dan melepaskan peluang tersebut.  Fenomena kecuaian dan kesilapan ini yang sering dilakukan oleh ibu bapa di Barat.

Kehidupan berkeluarga dan hubungan kekeluargaan yang luas seperti hubungan dengan makcik dan pakcik (ibu saudara dan bapa saudara) dan hubungan kekeluargaan yang lain adalah amat sukar diamalkan memandangkan tidak ada hubungan sosial yang erat dalam kejiranan, malah pemikiran-pemikiran dan norma-norma Islam tidak wujud dalam budaya hidup seharian mereka.  Peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak muda ini sebenarnya tidak semudah yang disangka.  Dengan tekanan yang dihadapi di dalam sistem kapitalis dan bebanan komitmen yang berterusan dalam mengejar kejayaan kewangan untuk menjamin masa depan yang “lebih baik” membuatkan kita mudah goyah dan hilang arah, lalu anak-anak menjadi mangsa.

Oleh yang demikian, menjadi contoh kepada anak-anak bukanlah tugas separuh masa mahupun tugas di hujung minggu. Tugas ini merupakan satu proses yang berterusan, perlahan-lahan serta berusaha mendengar dan berkomunikasi dengan bersistematik dan membina kepercayaan anak-anak kita. Kita perlu berkerja keras untuk meraih kepercayaan anak-anak kita khususnya dan para remaja amnya, agar kita dapat menjadi sahabat baik dan contoh ikutan. Kita harus sentiasa memperlihatkan rasa hormat kepada mereka dan sama sekali tidak mengaibkan atau memperlekehkan mereka.  Pada masa yang sama kita mesti bertegas serta tidak bertolak ansur dalam menjalani kehidupan yang dikehendaki oleh Islam.  Kita perlu mengajar mereka untuk memimpin, bukan semata-mata mengikut dan menjadikan mereka sedar bahawa tujuan hidup mereka adalah untuk berdakwah dan mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala.

Semoga Allah Subhanahu Wa Taala membantu kita dalam mendidik anak-anak kita tentang Islam dan memberi petunjuk dalam mengekalkan kepercayaan kita ketika menghadapi saat-saat sukar serta menunjukkan jalan dalam menegakkan kembali Khulafah Ar Rasyidin iaitu daripada segala kesengsaraan dan kezaliman yang kita lalui sekarang kepada keadilan Islam. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”  [TMQ at Tahrim (66): 6]

Sumber : Terjemahan dari artikel berbahasa Inggeris bertajuk “Raising Our Children as Muslims”


Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: