IBN RUSHD – PEMIKIR & SAINTIS MUSLIM


Ibn Rushd merupakan seorang jenius dalam skop ensiklopedia. Beliau menghabiskan sebahagian besar hayatnya sebagai seorang hakim dan ahli perubatan. Hingga sekarang beliau dikenali di Barat sebagai pengulas agung terhadap falsafah Aristotle yang pengaruhnya menembusi minda hatta pendeta Kristian paling konservatif semasa Zaman Pertengahan termasuklah St. Thomas Aquinas. Orang ramai pergi kepada beliau untuk rujukan dalam perubatan sebagaimana mereka merujuk beliau dalam masalah hukum dan fiqh. Abu al-Walid Muhammad ibn Rushd (dikenali di Barat sebagai Averroes) dilahirkan di Cordova, Sepanyol pada tahun 520H (1128M). Bapa dan datuk beliau merupakan hakim terkemuka. Keluarga beliau terkenal dengan kesarjanaan dan ini memberi persekitaran yang sesuai untuk cemerlang dalam pembelajaran. Beliau mempelajari hukum-hakam, perubatan, matematik dan falsafah. Beliau mempelajari falsafah dan undang-undang daripada Abu Ja’far Harun dan Ibn Bajah.

Pada usia 27 tahun, Ibn Rushd telah dijemput oleh kerajaan al-Muwahhidun di Marrakesh (di Morokko) untuk membantu mereka dalam menubuhkan institusi-institusi pendidikan Islam. Sempena pertabalan Yusuf Tashfin, beliau diperkenalkan kepada baginda oleh seorang lagi ahli falsafah Muslim iaitu Ibn Tufail untuk membantu dalam menterjemah, meringkas dan mengulas beberapa hasil kerja Aristotle (dalam tahun 1169M).

Ibn Rushd dilantik sebagai qadhi (hakim) di Seville pada usia 44 tahun. Pada tahun tersebut beliau menterjemah dan meringkaskan buku Aristotle “De Anima” (Haiwan). Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Micheal Scott. Dua tahun kemudiannya beliau dipindahkan ke Cordova, tempat kelahiran beliau yang beliau habiskan 10 tahun sebagai hakim bandar tersebut. Sepanjang 10 tahun tersebut Ibn Rushd menulis ulasan terhadap hasil kerja Aristotle termasuklah Metafizik. Beliau kemudiannya dipanggil balik ke Marrakesh untuk bekerja sebagai doktor bagi Khalifah di sana, sebelum beliau pulang kembali ke Cordova sebagai Ketua Hakim.

Ibn Rushd amat mahir dalam permasalahan aqidah dan hukum-hukum, yang melayakkan beliau untuk jawatan qadhi (hakim), tetapi beliau juga sangat berminat dengan falsafah dan logik. Jadi beliau cuba mengharmonikan falsafah dengan agama dalam banyak karya beliau. Selain lapangan pengajian ini, beliau amat berminat dengan perubatan sebagaimana pendahulu beliau, Ibn Sina. Menurut ahli falsafah Perancis bernama Renan, Ibn Rushd telah menulis 78 buah buku mengenai pelbagai subjek.

Satu pemeriksaan cermat terhadap karya-karya beliau mendedahkan bahawa Ibn Rushd merupakan seorang kuat beragama. Sebagai contoh, kita mendapati dalam tulisan beliau, “Sesiapa yang mempelajari anatomi akan meningkatkan keimanannya terhadap kekuasaan dan keesaan Tuhan yang Maha Berkuasa.” Dalam karya-karya perubatan dan falsafah beliau, kita dapat melihat betapa dalamnya keimanan dan pengetahuan beliau mengenai al-Quran dan hadith, yang selalu dipetik beliau untuk menyokong pandangan beliau dalam pelbagai masalah. Ibn Rushd berkata bahawa kegembiraan yang sebenar bagi manusia pastinya dapat dicapai melalui kesihatan mental dan psikologi, dan orang ramai tidak dapat menikmati kesihatan psikologi melainkan mereka mengikuti jalan yang membawa mereka kepada kegembiraan di alam akhirat, dan melainkan mereka menyakini Tuhan dan keesaan-Nya.

Ibn Rushd mengulas bahawa Islam mensasarkan pengetahuan yang benar iaitu pengetahuan mengenai Tuhan dan ciptaan-Nya. Pengetahuan benar ini juga melibatkan perkara mengetahui pelbagai cara yang membawa kepada kepuasan duniawi dan menghindari kesengsaraan di alam akhirat. Pengetahuan amali jenis ini meliputi dua cabang:

  1. fiqh yang menyentuh aspek kehidupan manusia yang material atau nyata.
  2. sains rohani yang menyentuh permasalahan seperti sabar, syukur dan moral.

Beliau membandingkan undang-undang rohani dengan perubatan dalam kesan kedua-duanya ke atas manusia secara fizikal di satu sudut, dan secara moral dan rohani di satu sudut yang lain. Beliau menarik perhatian bahawa kesihatan rohani diistilahkan sebagai taqwa dalam al-Quran.

Salah satu manuskript Ibnu Rushd

Ibn Rushd membuat sumbangan cemerlang dalam falsafah, logik, perubatan, muzik dan fiqh. Tulisan-tulisan Ibn Rushd terbentang lebih daripada 20,000 muka surat, yang paling terkenal menyentuh mengenai falsafah, perubatan dan fiqh. Beliau menulis 20 buah buku mengenai perubatan.

Dalam falsafah, karya beliau paling utama Tafahut al-Tafahut (Kekeliruan Buku Tafahut al-Falasifah oleh al-Ghazali) ditulis sebagai jawapan kepada karya al-Ghazali. Ibn Rushd telah dikritik oleh ramai sarjana Muslim disebabkan buku ini, walaupun ia mempunyai pengaruh mendalam ke atas pemikiran Eropah sekurang-kurangnya sehingga kebangkitan falsafah moden dan sains ujikaji. Pandangan beliau mengenai takdir adalah bahawa manusia tidak sepenuhnya mengawal nasibnya dan tidak pula sepenuhnya nasibnya itu ditentukan untuknya. Beliau menulis tiga buah ulasan terhadap karya-karya Aristotle, yang semua ini (karya Aristotle) dikenali melalui terjemahan dalam bahasa Arab. Yang terpendek Jami mungkin dapat dianggap sebagai ringkasan bagi subjek tersebut. Yang sederhana adalah Talkhis dan yang terpanjang adalah Tafsir. Tiga buah ulasan ini dilihat sejajar dengan peringkat berbeza dalam pendidikan pelajar-pelajar; yang pendek untuk pelajar baru, kemudian yang sederhana untuk pelajar yang sudah biasa dengan subjek tersebut dan terakhir yang terpanjang untuk pengajian lanjut. Ulasan terpanjang pada hakikatnya merupakan sumbangan tulen, ia sebahagian besarnya berdasarkan analisis beliau termasuklah intrepretasi konsep-konsep al-Quran.

Ibn Rushd menulis banyak buku mengenai persoalan teologi, di sini beliau cuba menggunakan pengetahuan beliau dalam falsafah dan logik. Jadi adalah tidak mengejutkan bahawa karya-karya beliau begitu mempengaruhi kesarjanaan keagamaan Eropah, mekipun Ibn Rushd adalah bebas daripada banyak pandangan Averroism Barat. Professor Bammate dalam bookletnya Sumbangan Muslim kepada Tamadun (Muslim Contribution to Civilization) memetik kata-kata Renan: St. Thomas Aquinas adalah pelajar pertama Pengulas Agung (yakni Ibn Rushd). Albert Alagnus terhutang segalanya kepada Ibn Sina, St. Thomas secara praktiknya terhutang segala kepada Ibn Rushd.” Professor Bammate menyambung: “Father Asin Palacios yang menjalankan kajian-kajian intensif mengenai Averroism teologi St. Thomas dan tidak sama sekali mengklasifikasikan Ibn Rushd dengan Averrois Latin, mengambil beberapa teks ahli falsafah Cordova itu dan membandingkannya dengan Doktor Angelik, St. Thomas. Kesamaan dalam pemikiran mereka dikukuhkan oleh penggunaan ungkapan-ungkapan sama dengan Ibn Rushd. Ini tidak memberi ruang kepada sebarang keraguan tentang pengaruh kuat yang ahli falsafah Muslim (Ibn Rushd) berikan terhadap orang terbesar di kalangan ahli teologi Katholik tersebut.

Dalam perubatan, buku beliau yang terkenal Kitab al-Kulliyat fi Tibb (Buku Keseluruhan Mengenai Perubatan) ditulis sebelum tahun 1162M. Terjemahan dalam bahasa Latinnya dikenali sebagai ‘Colliget’. Di dalamnya, Ibn Rushd menghuraikan pelbagai aspek perubatan termasuklah diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit. Buku ini memfokuskan lapangan-lapangan khusus berbanding al-Qanun Ibn Sina, tetapi ia mengandungi beberapa pemerhatian tulen Ibn Rushd.

Dalam astronomi, beliau menulis sebuah karya mengenai perpergerakan sfera, Kitab fi Harakat al-Falak (Buku Mengenai Perpergerakan Astronomi). Menurut Draper, Ibn Rushd dikenang dengan penemuan titik suria. Beliau juga merumuskan Almagest tulisan Ptolemy dan membahagikannya kepada dua bahagian:

  1. penerangan mengenai sfera-sfera
  2. perpergerakan sfera-sfera

Rumusan Almagest ini telah diterjemahkan daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Hebrew oleh Jacob of Anatoli pada tahun 1231.

Buku beliau mengenai fiqh Bidayat al-Mujtahid wa Nihayat al-Muqtasid (Permulaan Orang yang berijtihad dan Pengakhiran Orang yang berkeinginan) diyakini oleh Ibn Ja’far al-Dzahabi sebagai buku terbaik mengenai fiqh mazhab Maliki. Tulisan-tulisan Ibn Rushd diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuklah bahasa Latin, Inggeris, Jerman dan Hebrew. Kebanyakan ulasan-ulasan beliau mengenai falsafah terpelihara dalam terjemahan bahasa Hebrew atau pun terjemahan bahasa Latin daripada bahasa Hebrew, dan sebilangan kecil dalam bahasa Arab. Ulasan beliau mengenai zoologi kebanyakannya telah hilang. Ibn Rushd juga menulis ulasan-ulasan mengenai Republic tulisan Plato, karya Galen tentang demam, logik al-Farabi dan banyak lagi. 87 buah buku beliau masih kekal wujud.

Ibn Rushd diyakini sebagai salah seorang pemikir dan saintis teragung pada kurun ke-12. Menurut Philip Hitti, Ibn Rushd mempengaruhi pemikiran Barat dari kurun ke-12 hingga kurun ke-16. Ulasan-ulasan digunakan sebagai teks standard berbanding karya-karya Aristotle dalam abad ke-14 dan 15. Buku-buku beliau dimasukkan dalam sukatan pelajaran universiti Paris dan universiti-universiti Eropah yang lain sehinggalah kemunculan sains-sains ujikaji moden. Ibn Rushd dikaji di Universiti Mexico sehingga tahun 1831.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: