HUKUM MENYAMBUT KRISMAS


Bila hampirnya sambutan hari raya Krismas, gedung-gedung perniagaan dan supermarket semakin rancak mempromosikan krismas melalui Santa Clausnya. Cuma, yang menjadi persoalan ialah mengapakah terdapat dalam kalangan umat Islam yang turut seronok dan bergembira dengan kedatangan Krismas? Apakah umat Islam boleh menyambut Krismas sebagai suatu perayaan yang disambut dengan penuh bermakna?


Perayaan dalam Islam merupakan satu ibadah. Ia bukan merupakan adat dan budaya. Ibadah bermaksud pengabdian diri kepada Allah semata-mata. Ibadah dilakukan sebagai lambang ketaatan kepada Allah. Justeru, Rasulullah saw melarang golongan Ansar merayakan perayaan Jahiliyyah yang sudah sedia diamalkan oleh masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam. Sabda Rasulullah bermaksud:“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya(hari raya) iaitu hari raya Adha dan hari raya al-Fitri.” (Hadis riwayat Abu Dawud 1134, Nasaei 1556 dan Ahmad 1241).

Hadis nabi ini menegaskan dua perkara iaitu pertamanya; haram menyambut perayaan agama lain. Keduanya; Islam telah memberikan dua perayaan yang jauh lebih baik daripada perayaan Jahiliyyah iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibnu Qayyim bersikap amat tegas dalam persoalan ini iaitu mereka melarang keras umat Islam daripada terlibat dan turut serta dalam sebarang perayaan kaum musyrikin dan ahli kitab. Ibn Taymiyyah juga menegaskan bahawa perayaan adalah satu syariat. Kata Ibn Taimiyyah: “perayaan merupakan sebahagian daripada syariat, manhaj dan ibadah yang disebut oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: ‘setiap umat Kami jadikan jalan ibadah yang mereka jalani’ (Rujuk Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim juz 1, hlm. 207 )

Perayaan-perayaan agama bukan aktiviti sosial semata-mata. Perayaan agama merupakan syiar bagi sesebuah agama tersebut. Ia merupakan salah satu ciri istimewa yang ada pada setiap agama. Justeru, Rasulullah menegaskan kepada Saidina Abu Bakar dengan sabda baginda yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari perayaan. Dan ini merupakan hari perayaan kita.” (Hadis Bukhari 952 dan Muslim 892).
Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi serta beberapa ulama kerajaan Arab Saudi yang lain pula berpendapat bahawa hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti pada hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam.
Hujah yang dikemukakan oleh mereka ialah hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam diperintahkan agar tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka dia daripada golongan mereka – (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).Hujah mereka yang seterusnya ialah berdasarkan satu kaedah di dalam Islam iaitu ‘redha dengan kekufuran adalah kufur’. Justeru, turut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang.

 

Setiap perkara ibadah tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam. Ini ditegaskan oleh firman Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad). Wahai orang kafir! Aku tidak beribadah (mengabdikan diri) pada apa yang kamu abdikan diri. Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Dan aku bukanlah pengabdi (pelaku ibadah) pada apa yang kamu abdikan diri Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”
Manakala Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi pula, ketika membahaskan perkara ini telah menyatakan bahawa tidaklah menjadi suatu kesalahan memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakan dan jiran yang musyrikin, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini. Keharusan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”. Namun, al-Qaradawi melarang keras daripada turut serta dalam perayaan yang berasaskan upacara keagamaan kerana ia melibatkan akidah dan kepercayaan.
Prof Dr Abd al-Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan ‘Ulum Quran di Universiti Azhar pula berpendapat bahawa mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’. Akan tetapi sekiranya ucapan tahniah dan selamat hari raya itu diungkapkan dalam bentuk doa seperti ‘moga Allah berkati pada keluarga dan hartamu’, ianya adalah haram dan dilarang sama sekali. Begitu juga menurut beliau harus memberi hadiah sebagai ucapan tahniah kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, tetapi hadiah tersebut mestilah bukan sesuatu yang diharamkan seperti arak, potret lucah dan sebagainya.
Syeikh Dr. Mustafa Zarqa pula ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa mengucapkan tahniah atau ucapan selamat hari raya kepada kenalan bukan Islam adalah termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Namun, sesiapa yang keliru, contohnya dengan mengatakan bahawa sambutan hari kelahiran Isa adalah perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan Aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa.
Hujah yang dikemukakan oleh beliau antara lain ialah peristiwa yang berlaku pada zaman nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdiri tatkala satu jenazah Yahudi melalui kawasan yang diduduki oleh Rasulullah dan para sahabat. Berdirinya Rasulullah itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (iaitu bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut). 

Namun, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

Justeru, apakah tidak merayakan perayaan agama selain Islam menafikan toleransi di antara kaum? Toleransi tetap wujud dengan bukan Islam, tapi bukan dalam perkara ibadah dan yang melibatkan perayaan agama. Toleransi kaum boleh dipupuk pada setiap hari dalam pergaulan harian. Toleransi di antara kaum juga boleh dipupuk ketika menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara dan sambutan lain yang bersifat patriotik. Sehubungan dengan itu, pupuklah toleransi di antara kaum dengan tanpa menggugat akidah Islam!
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: