SIAPAKAH LUQMAN AL-HAKIM


Dipetik dari tulisan Muhammad Khair Ramadhan Yusuf dalam bukunya Lukman al Hakim

Luqman itu adalah anak kepada Faghur bin Nakhur bin Tarikh (Azar), dengan demikian litu Luqman adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s.; atau dikatakan juga Luqman itu anak saudara kepada Nabi Ayub a.s.

Diriwayatkan juga bahawa Luqman telah hidup lama sampai seribu (1,000) tahun sehingga dapat menemui zaman kebangkitan Nabi Daud a.s., bahkan ia pernah juga menolong Nabi Daud a.s. dengan memberikan kepadanya Hikmah atau kebijaksanaan. Luqman pernah menjadi Kadi, yakni hakim, untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.

AI-Allahamah AI-Alusy berkata: “Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa beliau hidup di zaman Nabi Daud a.s.” Katanya lagi: “Orang juga berselisih pendapat, adakah beliau seorang yang merdeka atau seorang hamba ? Kebanyakan pihak mengatakan beliau adalah seorang hamba Habsyi”

Dipetik dari Ibnu ‘Abbas katanya: “Luqman bukanlah seorang nabi mahu pun raja tetapi beliau hanyalah seorang pengembala ternakan yang berkulit hitam. Lalu Allah telah memerdekakannya dan sesungguhnya Dia redha dengan segala kata-kata dan wasiat Luqman. Maka kerana itu, kisah ini diceritakan di dalam AI-Qur’an agar kita semua dapat mengambil pedoman dan berpegang dengan wasiat-wasiatnya.”

Ibnu Kathir berkata: ‘Ulama’ salaf berselisih pendapat tentang diri Luqman; adakah dia seorang nabi atau pun seorang hamba yang soleh tanpa taraf kenabian? Di antara dua pendapat ini, kebanyakan mereka berpegang dengan pendapat yang kedua.’

Para ulama’ semuanya sepakat mengatakan Luqman itu seorang bertaraf wali dan Ahli Hikmah (bijak bistari), bukan seorang nabi, kerana lafaz hikmah dalam ayat di atas dimaknakan ‘kenabian’. Dan dikatakan juga apabila Luqman disuruh pilih antara Hikmah (kebijaksanaan) dengan Nubuwwah (kenabian), dipilihnya Hikmah. Di an tara para ulama’ tersebut ialah seperti Mujahid, Sa’id bin AI-Musayyab dan Ibnu Abbas. Wallahu A’lam.”

Ibnu Kathir ada menyebutkan di dalam kitab sejarahnya: “Beliau ialah Luqman bin Unqaa’ bin Sadam.” Diceritakan dari As­ Suhaili, dari Ibnu Jarir dan AI-Qutaibi: “Beliau ialah Luqman bin Tharan”

Dikatakan bahawa beliau ialah anak kepada AI- Baura’. Ibnu Ishaq ada menyebutkan beliau ialah Luqman bin AI Baura’ bin Tarikh iaitu Aazar Abu Ibrahim AI-Khalil.

Adalah diceritakan, bahawa Luqman telah tidur di tengahari lalu kedengaran suara memanggilnya: “Hai Luqman! Mahukah kalau Allah jadikan engkau seorang Khalifah di bumi yang memerintah manusia dengan hukuman yang benar?” Dijawabnya: “Kalau Tuhanku menyuruh pilih, akan saya pilih ‘Afiat (selamat) dan saya tidak tidak mahu bala (ujian). Tetapi kalau saya ditugaskan juga saya akan turut. Kerana saya tahu bahawa Allah Taala kalau menetapkan sesuatu kepada saya pasti Dia menolong dan memelihara saya.”Kemudian dikatakan para malaikat pula bertanya: “Hai Luqman! Adakah engkau suka diberi Hikmah?” Dijawabnya: “Sesungguhnya seorang hakim kedudukannya berat, dia akan didatangi oleh orang-orang yang teraniaya dari segenap tempat. Kalau hakim adil akan selamat, dan kalau tersalah jalan akan tersalah pulan jalannya ke neraka. Siapa yang keadaannya hidup di dunia, itu lebih baik daripada dia menjadi mulia. Dan siapa yang memilih dunia lebih daripada akhirat, akan terfitnah oleh dunia dan tidak mendapat akhirat.”

Para malaikat pun takjub mendengarkan kebagusan kata-katanya itu. Apabila Luqman tertidur semula, dia dikurniakan Hikmah, lalu terjaga dan berbicara dengan kata-kata yang berhikmah selepas itu.

Juga diriwayatkan bahawa Luqman itu seorang hamba bangsa Habsyi, kerjanya sebagai tukang kayu, tukang jahit dan seorang penggembala kambing. Apabila bertemu dengan seorang lelaki dia bercakap dengan penuh Hikmah, sehingga orang lelaki itu takjub lalu berkata: “Bukankah engkau seorang penggembala kambing?” Dijawabnya: “Benar!” Lalu ditanya orang lelaki itu lagi: “Bagaimana engkau telah dapat mencapai kedudukan engkau yang begini (bijak bestari)?” Luqman menjawab: “Saya mendapatnya dengan bercakap benar, memelihara amanah dan tak ambil tahu apa yang bukan urusan saya.”

Ada juga diriwayatkan bahawa Luqman berasal dari Sudan/Mesir, berkulit hitam, bibirnya tebal dan kulit kakinya pula retak-retak. Juga dikatakan bahawa sebaik-baik orang dari benua Afrika itu adalah 3 orang, iaitu: Bilal bin Robah, Mahja’ (yakni hamba sahaya Sayidina Umar ibn Khattab) dan Luqman al-Hakim. Orang yang ke empat pula ialah an-Najasyi (Raja Habsyah yang beriman di zaman Nabi Muhammad s.a.w.)

Ibnu Qutaibah berkata: “Luqman adalah seorang hamba Habsyi kepada seorang lelaki dari kalangan bani Israil. Kemudian beliau dibebaskan dan diberikannya harta.”

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., dia telah berkata: Rasullullah s.a.w. pernah bersabda:

“Adakah engkau semua tahu siapakah dia Luqman? “Mereka pun menjawab: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu.” Baginda bersabda: “Dia adalah seorang Habsyi.” Pendapat yang mengatakan dia adalah seorang habsyi, adalah dari lbnu Abbas dan Mujahid.

As-Suhaili berkata: “Luqman adalah Naubah dari penduduk Ielah ( Sebuah bandar di tepi laut merah )” Demikian juga dipetik oleh Qatadah, dari Abdullah bin Az-Zubair: Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah: “Apakah cerita terakhir yang sampai kepadamu tentang perihal diri Luqman? “J abir menjawab: “Dia adalah seorang yang pendek, pesek hidungnya dari keturunan Naubah.” lanya juga sebagaimana yang disebutkan dari Sa’id bin AI­ Musayyab, katanya: “Luqman adalah dari Sudan, Mesir.”

AI-Hassan AI-Basri pula berkata: “Luqman telah membina sebuah singgahsana di Ramlah, Syam. Pada masa itu, tempat tersebut masih lagi belum dibangunkan. Dia berada di sana sehinggalah Ian jut usianya dan meninggal dunia.”

Ibrahim bin Adham berkata: “Aku telah diberitahu bahawa kubur Luqman adalah di antara Masjid Ar-Ramlah dan tempat didirikan pasar pada hari ini.Di tempat tersebut terdapat 70 kubur nabi-nabi sebelum Luqman.

Dilaporkan, bahawa Luqman adalah seorang mufti sebelum Nabi Daud a.s dibangkitkan. Apabila baginda diutuskan kepada umatnya, Luqman berhenti dari memberikan fatwa. Ada orang bertanyakan; padanya tentang hal itu lalu dia pun berkata: “Adakah aku tidak mahu berhenti apabila aku telah merasa cukup?!! “

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Mujahid: “Beliau adalah seorang Qadhi di kalangan kaum bani Israil di zaman Nabi Daud a.s”

Demikianlah siapa itu Luqmanal Hakim. Tidak kira siapapun dia, yang penting beliau adalah seorang yang mempunyai hikmah kebijaksanaan. Kata-katanya diberkati Allah dan dirakamkan didalam Al Quran.

Dipetik dari tulisan Muhammad Khair Ramadhan Yusuf dalam bukunya Lukman al Hakim

_________________________________________
Sumber: http://smzblog.wordpress.com

MERENUNG KEJUJURAN HUD-HUD DAN KETEGASAN NABI SULAIMAN A.S


20. dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta Dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa Aku tidak melihat burung hud-hud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? 21. “Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya Dengan seksa yang seberat-beratnya, atau Aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaKu alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)”. 22. burung hud-hud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang Engkau tidak cukup mengetahuinya, dan Aku datang kepadamu dari negeri Saba’ Dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya. 23. “Sesungguhnya Aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. 24. “Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari Dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, 25. “(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. 26. “Allah! – tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar “. 27. Nabi Sulaiman berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, Adakah benar apa yang Engkau katakan itu, ataupun Engkau dari golongan yang berdusta. 28. “Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; Dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka”.

Banyak kisah ditampilkan di dalam Al Quran memiliki pengajaran yang relevan sepanjang zaman dengan kehidupan sosial kita. Al Quran telah menampilkan sejumlah tokoh-tokoh tauladan dan tokoh-tokoh pengajaran agar dijadikan renungan tentang akibatnya kepada masyarakat. Ada kisah pembela kebenaran yang terdiri dari Para Nabi, Rasul dan orang-orang yang soleh, ada juga tokoh pelopor kezaliman seperti Firaun, Tsamud, ‘Ad, dan Abrahah. Selain dari tokoh-tokoh dari bangsa manusia, ada juga kisah yang menampilkan pelajaran dari bangsa haiwan. Kisah Nabi Sulaiman dan burung

Hud-Hud merupakan salah satu contoh kisah pengajaran yang terkandung di dalam Al Quran. Kisah ini dirakamkan di dalam surah An Naml ayat 20 hingga 28 supaya ia menjadi pengajaran kepada manusia, kisah mengenai sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh seseorangpun setelah kewafatan Nabi Allah Sulaiman A.S.

Wahai Tuhanku! Ampuni kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya”Surah As Shad:35, Al Quranul Karim

Pada satu ketika, Nabi Sulaiman A.S mengumpulkan seluruh pengikut-pengikutnya dan memeriksa mereka baik dari kalangan manusia, jin dan haiwan. Sesudah diteliti, ternyata burung Hud-Hud didapati tidak hadir sehingga menyebabkan Nabi Sulaiman A.S murka kepada Hud-Hud dan bertekad akan menyembelihnya sebagai hukuman. Tidak lama kemudian, Hud-Hud datang menghadap Nabi Sulaiman dengan penuh pengaduan, menjelaskan sebab-musabab keterlewatannya di dalam majlis perhimpunan yang diwajibkan oleh Baginda Sulaiman. Hud-Hud menjelaskan kepada Baginda bahawa ia terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba’ yang memiliki singgahsana yang besar, tetapi malangnya ratu tersebut tidak beriman dan tunduk kepada Allah Taala.

Pengaduan Hud-Hud diterima oleh Nabi Sulaiman, lantas Baginda mengarahkan Hud-Hud untuk menyiasat perkara itu dan membawa surat perutusan dari Baginda. Diringkaskan di sini bahawa Hud-Hud adalah seekor makhluk kecil yang memiliki kepekaan dan prihatin terhadap peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Keistimewaan yang dimiliki oleh Hud-Hud adalah taat kepada pemimpin dan dahagakan maklumat. Walaupun Hud-Hud menyedari kelewatannya bertemu Nabi Sulaiman, Hud-Hud tetap hadir dengan membawa amanah untuk dihadapkan kepada pemimpinnya.

Keterlewatan Hud-Hud bukan alasan untuknya tidak hadir bertemu Nabi Sulaiman. Ini menunjukkan Hud-Hud memiliki sifat berani biarpun kemungkinan yang bakal berlaku ialah Hud-Hud akan dihukum oleh Nabi Sulaiman.

Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir) An Naml: 21, Al Quranul Karim

Sekali imbas ancaman yang dituturkan oleh Nabi Sulaiman A.S kepada Hud-Hud tersebut adalah amat menggerunkan, apalagi jika ucapan tersebut ditujukan kepada manusia yang melalaikan perintahnya. Seolah-olahnya Nabi Sulaiman mengeluarkan ‘pekeliling surat berhenti kerja 24 jam’ kepada Hud-Hud, tetapi sambungan ayat selanjutnya menyerlahkan sisi lain yang walaupun disampaikan dalam keadaan murka, namun rasional masih menguasai diri Nabi Sulaiman, “…Kecuali jika dia datang kepadaku dengan alasan yang jelas”.

Apa yang benar, Hud-Hud tidak terbang ke negeri Saba’ untuk bersiar-siar, makan angin ataupun melanggar prinsip-prinsip umum seperti mengabaikan perintah pemimpin dan sebagainya, sebaliknya Hud-Hud terbang dan kembali ke perbarisan Nabi Allah Sulaiman. Kelewatan Hud-Hud adalah kerana ingin mendapatkan maklumat berkaitan keadaan politik di negeri Saba’. Misi yang dibawanya juga adalah misi yang besar, iaitu misi men-tauhidkan umat manusia, bukannya misi-misi berbentuk sekunder seperti masalah khilafiyyah, permusuhan peribadi dan tuduh-menuduh, tetapi misi menyelamatkan manusia dari menjadi ‘parasit’ kekufuran.

Namun, tindakan Hud-Hud pula janganlah dijadikan alasan untuk bersikap tidak Wala’ kepada pimpinan, iaitu wabak ‘meroyan’ dan ‘hilang kawalan’ dan ‘emosional‘, atau watak mengutamakan pendapat sendiri berbanding keputusan pimpinan dalam melakukan gerak kerja jamaah sehingga tidak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam. Kisah ini tidak seharusnya dijadikan sandaran dalil kepada aktivis gerakan Islam untuk buat ‘kepala sendiri’ atau ingin berperanan sebagai Hud-Hud sahaja, iaitu mahu meninjau ‘kawasan’ sahaja tanpa melakukan kerja lain. Ini kerana yang terbang ke sana sini barangkali bukannya Hud-Hud milik Nabi Sulaiman, tetapi mungkin seekor gagak hitam yang merayau-rayau meninjau timbunan sampah.

Hud-Hud tetap meletakkan ketaatan kepada Nabi Sulaiman kerana ketaatan kepada pemimpin adalah perkara dasar (thawabit) dalam berjamaah, bukan mengabaikannya. Sikap yang ditunjukkan Hud-Hud juga memperlihatkan bahawa seorang perajurit Islam mestilah memiliki kepekaan terhadap amanah, sikap mengkaji dan teliti, bersemangat untuk menyedarkan kaum walaupun dengan kemampuan dan peranan yang kecil. Begitulah juga dalam ilmu dakwah, kategori penyampaian boleh dilakukan dengan pelbagai dari setinggi-tinggi kaedah penyampaian sehingga serendah-rendah daya kemampuan, bermula dari kuasa dan arahan, kemudiannya percakapan, penulisan dan seterusnya akhlak yang baik. Baginda Nabi Muhammad S.A.W sendiri sebelum dikenal sebagai pemidato di pentas dakwah dan politik, Baginda S.A.W pada awalnya dikenal melalui akhlak yang mulia sehingga digelar oleh sahabat dan musuh sebagai “Al Amin”.

Manakala dari sisi pengajaran yang dapat kita amati dari sikap Nabi Allah Sulaiman pula, seorang pemimpin mestilah memiliki sifat tegas dan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukannya bertindak semberono dan menuduh tanpa pemeriksaan yang nyata. Ketelitian Nabi Sulaiman dapat dilihat melalui katanya di dalam surah An Naml ayat 27:

Nabi Sulaiman berkata; Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta

Ketegasan ini menunjukkan kepada setiap pemimpin agar jangan segera percaya dengan setiap alasan yang diberikan tanpa penelitian. Dalam lapangan politik, seorang pemimpin memang wajar bersikap buruk sangka kepada barisan yang dipimpinnya, tetapi bukanlah dengan hanya bersikap buruk sangka sahaja tanpa mencari jalan penyelesaiannya. Periksa betul-betul setiap laporan yang dikemukakan, kerana khuatir maklumatnya ditokok-tambah, sedangkan realitinya ‘jauh panggang dari api’. Ini kerana informasi yang tepat & boleh dipercayai sangat penting untuk meneruskan kelancaran organisasi agar visinya mampu bergerak laju tanpa ‘tempang’.

Itulah yang ditekankan oleh Nabi Allah Sulaiman, Baginda tidak terus melulu menerima setiap patah kata-kata Hud-Hud, sebaliknya memeriksa intipati kebenarannya:

Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka” - An Naml:28, Al Quranul Karim

Imam Al Qurtubi di dalam tafsirnya mengatakan,

Ayat ini adalah dalil yang menunjukkan perlunya pengiriman surat-surat kepada orang-orang musyrik dan menyampaikan dakwah tauhid kepada mereka, dan mengajak mereka masuk Islam. Rasulullah S.A.W juga telah menulis surat kepada kerajaan Caesar Romawi dan Kisra Parsi dan kepada beberapa raja yang zalim” [Rujuk Tafsir Qurtubi 13/189]

Di dalam Surah An Naml ayat 28, sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman juga mengajarkan bahawa seseorang pemimpin itu mestilah merasai kehilangan anggota pengikutnya sekiranya tidak hadir. Seorang pemimpin harus memerhatikan siapa yang tidak hadir dalam setiap pertemuan dan kegiatan kerana ia merupakan tanggungjawab yang mesti dilakukannya sebagaimana seorang imam memerhatikan kehadiran para makmum-nya. Kata Umar Al Khattab R.A,

Selidiklah sahabatmu di waktu solat. Jikalau mereka tidak hadir kerana sakit, engkau jenguklah. Dan sekiranya dalam keadaan sihat-sihat sahaja maka patutlah untuk dicela.

Nabi Sulaiman juga mengajarkan kepada bakal pemimpin negara supaya tidak meremehkan perkara kecil, kerana seringkali sesuatu yang besar bermula dari awalnya nampak kecil. Tugas yang dimainkan oleh Hud-Hud hanya kecil jika dibandingkan dengan jin Ifrit yang menanggung beban berat singgahsana Balqis, tetapi sumbangan jentera kecilnya bernama Hud-Hud tetap direkodkan di dalam Al Quran kerana “kejujuran”nya. Selain itu, sebagai manusia kita perlu merasa malu dengan Hud-Hud, spesis burung yang kecil tetapi hidupnya digunakan untuk misi besar iaitu mengajak manusia mentauhidkan Allah, bahkan dia melakukan tugasan mulia tersebut tanpa menunggu arahan khusus.

Jika kita telusuri dunia penciptaan yang berjaya mewujudkan peradaban di dunia, kita dapat melihat banyak karya-karya penciptaan dan hasil-hasil penemuan awalnya dirintis oleh individu tidak ternama seperti Ibnu Firnas (W.887) yang mencipta bingkai pesawat yang hanya boleh dikendalikan oleh seorang manusia sahaja. Kemudian hasil ujikaji tersebut didukung oleh Wright brothers iaitu Oliver Wright dan Wilbur Wright pada tahun 1903 sehingga berjaya menghasilkan pesawat secanggih kita saksikan pada hari ini. Demikan juga dalam medan dakwah, pada awalnya ia bermula daripada kekentalan seorang individu, kemudian akhirnya nanti ia menjadi garapan organisasi sebagaimana kejayaan dakwah Nabi Muhammad S.A.W yang bermula dari era pembinaan umat di Madinah, tetapi impak mutakhirnya Baginda berjaya mencipta pelbagai versi tamadun kerajaan dan ketokohan manusia yang berkiblatkan dakwah Islam.

Hasil kejayaan itu semuanya terangkum kepada kata kunci “Misi & Visi”. Jika haiwan sekecil Hud-Hudpun memiliki visi dan misi-nya iaitu “MENTAUHIDKAN ALLAH”, maka apatah lagi manusia yang diberikan kudrat menundukkan seluruh makhluk yang diciptakan Allah di muka bumi ini. Dengan visi dan misi inilah Salahuddin Al Ayyubi dapat menguasai kembali Baitul Maqdis, dengan visi dan misi ini Saifuddin Qutuz berjaya menewaskan tentera Tatar yang dianggap umat Islam waktu itu sebagai Ya’juj wa Ma’juj, dengan visi dan misi ini juga menyebabkan Khalid Al Walid tidak berkecil hati dengan perlucutan jawatannya sebagai panglima perang oleh Khalifah.

Penutup

Marilah kita tanamkan visi dan misi kehidupan kita semata-mata mentauhidkan Allah Taala. Elakkan cara berfikir “ia bukan kerja saya”, sebaliknya bertindaklah seperti Hud-Hud yang walaupun dia hadir dengan ‘lewat’nya, tetapi komitmen-nya, ke-ikhlasannya, kejujurannya dan gerak kerjanya dipertaruhkan semata-mata demi usaha mentauhidkan Allah Taala. Kita belajar ilmu untuk mentauhidkan Allah. Kita bekerja untuk mentauhidkan Allah Taala. Kita menceburkan diri dalam dunia politik dan kepartian untuk mentauhidkan Allah Taala, hatta dalam sekecil-kecil perkara sekalipun seperti menulis di “wall facebook” dan sebagainya juga demi mentauhidkan Allah Taala.

Ini kerana, jika anda benar-benar jujur, kesalahan bukanlah ukuran seseorang itu melakukan kederhakaan, tetapi adalah kejayaan yang akan menjadi renungan pada hari ‘esok’. Kejujuran adalah sifat para pendokong kemenangan. Hal ini dapat kita pelajari dari kekalahan umat Islam di perang Mu’tah, iaitu ketika ketiga-tiga orang panglima perang yang dilantik Rasulullah S.A.W gugur syahid bernama Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib, dan Abdullah bin Rawahah; Khalid al-Walid mengambil alih tempat ketua tentera, atas permintaan beberapa individu di dalamnya. Khalid Al Walid melihat bilangan tentera Islam terlalu sedikit jika dibandingkan dengan tentera Rom. Oleh itu, Khalid membuat keputusan membawa tentera pulang ke Madinah. Apabila mereka hampir dengan Madinah, mereka telah disambut taburan tanah daripada orang ramai sambil berkata, “Wahai orang-orang yang melarikan diri. Kamu telah lari daripada medan jihad di jalan Allah”.

Lantas Rasulullah S.A.W membela Para Sahabatnya yang jujur, “Mereka bukanlah orang yang melarikan diri tetapi mereka adalah orang yang akan mengulangi peperangan, Insya Allah” [ Rujuk Sirah Ibnu Hisyam 4/292 ]

Sumber Rujukan:
[1] Min Fiqhil Aulawiyyat, Dr. Majdi Hilali
[2] Feqh Nasr wa Tamkin, Dr. Mohamad Ali As Solabi

Sumber:http://www.tarbawi.my diaksess:7 Mac 2012:11:05AM)

SENIBINA KAUM TSAMUD


وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ ﴿٩﴾

Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)?
Bangunan-bangunan yang dipahat pada batu-batu besar ini dibuat oleh kaum Tsamud, ummat Nabi Shalih, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Quran:

وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ قَدْ جَاءَتْكُم بَيِّنَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ ۖ هَـٰذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً ۖ فَذَرُوهَا تَأْكُلْ فِي أَرْضِ اللَّهِ ۖ وَلَا تَمَسُّوهَا بِسُوءٍ فَيَأْخُذَكُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٣﴾

Dan kepada kaum Tsamud (Kami telah mengutus) saudara mereka, Shalih. Ia berkata, “Hai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada Tuhan bagi kalian selain-Nya… Kalian dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kalian pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kalian merajalela di muka bumi membuat kerosakan. (Surat Al-A’raaf ayat 73-74).
Senibina kaum Tsamud 3,000 tahun yang lalu

Pahatan ukiran dan ornamennya sangat halus, indah dan menakjubkan.Wilayah kekuasaan kaum Tsamud membentang hingga ke kawasan Petra (Jordan). Bezanya, Petra sudah dijadikan komoditi pelancongan utama Jordan selain Laut Mati.

Senibina kaum Tsamud 3,000 tahun yang lalu

Sementara Mada’en Shaleh (perkampungan Nabi Shaleh), terletak di sebelah utara daratan Arab Saudi, 380 km dari kota suci Madinah Al-Munawwarah.  Ia masih menjadi perdebatan antara kepentingan  pelancongan Saudi yang mulai mengangkat Mada’en Saleh sebagai komoditi pelancongan, dengan para ulama yang berpendapat bahawa tempat tersebut adalah tapak peninggalan ‘kaum terlaknat’, sehingga umat Islam diharamkan untuk menziarahinya.

Pada ayat lain kaum Tsamud disebut sebagai Ashabul-Hijri (penduduk kota Al-Hijr iaitu kawasan pergunungan yang terletak antara Madinah dan Syria):
Dan sesungguhnya penduduk (kota) Al-Hijr telah mendustakan para rasul, dan Kami telah mendatangkan kepada mereka (tanda-tanda) kekuasaan Kami, tetapi mereka selalu berpaling darinya. Dan mereka memahat rumah-rumah dari gunung batu (yang didiami) dengan aman.” (Surat Al-Hijr ayat 80-82).
Senibina kaum Tsamud 3,000 tahun yang lalu
Kaum Tsamud adalah kaum yang mengingkari ajaran Nabi Shalih. Mereka mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala, bahkan mereka menyembelih unta betina yang merupakan mu’jizat Nabi Shalih, lalu mencabar kedatangan azab buat mereka.
 
Cabaran itu dijawab Allah dengan menimpakan bencana gempa bumi ke atas mereka.
Kerana itu mereka ditimpa gempa, maka jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. (Surat Al-A’raaf ayat 78).
Senibina kaum Tsamud 3,000 tahun yang lalu

Pada ayat lain dikatakan, Allah juga mengirimkan bencana petir yang dahsyat:

Dan adapun kaum Tsamud maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai buta (kesesatan) dari petunjuk itu, maka mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan. (Surat Fushilat ayat 17)

Senibina kaum Tsamud 3,000 tahun yang lalu
Senibina kaum Tsamud 3,000 tahun yang lalu

Betapa gahnya senibina dan pertukangan kaum Tsamud walaupun masanya adalah 3,000 tahun yang lampau. Tetapi sayang, kehebatan itu hanya dijuruskan kepada duniawi semata-mata, tanpa menumpukan kepada kerohanian dan keTuhanan.

Bagaimana dengan negara kita sekarang ini jika mahu bandingkan dari segi kehebatan senibina? Adakah kita mahu mengejar kemajuan dan di dalam masa yang sama mengabaikan kerohanian umat dan menolak Hukum Allah dan terus menjalankan Hukum buatan manusia iaitu Hukum British?

Rujukan:
1 – http://www.harunyahya.com/indo/artikel/053.htm
2 – http://penulis165.esq-news.com/perjalanan/2010/08/31/madaen-shaleh-situs-peninggalan-kaum-tsamud-bagian-1.html

Sumber: http://unikversiti.blogspot.com

KISAH TALUT DAN JALUT (SIRI 4-AKHIR)


Dari Siri 3: KISAH TALUT DAN JALUT (SIRI 3)

Mikyal lalu menjawab:

Saya tidak akan sembunyikan apa yang kuketahui ya Daud, suamiku. Saya tidak akan tutup kepadamu hal hal yang tidak engkau ketahui. Adapun bapaku, sejak bangsa Bani Israel mencintai dan menghormatimu dengan kecintaan yang sehebat itu, setelah melihat bahawa tiap tiap kata kata perintahmu ditaati oleh bangsa kita seluruhnya dan kedudukanmu makin tinggi dalam pemandangan mereka semua, bapaku irihati dan dengki. Takut kalau kalau kekuasaan yang ada ditangannya sekarang ini, berpindah ke tanganmu.

Sekalipun bapaku itu termasuk orang yang beriman kepada Allah dengan segala keikhlasan keimanan dan termasuk salah seorang yang berpengetahuan tinggi serta bijaksana, raja besar yang disegani oleh setiap raja; tetapi di hari yang akhir-akhir ini, saya juga melihat sebagai apa yang engkau lihat itu. Bapaku ingin mengenyahkan engkau, memperkecil akan pengaruhmu, bahkan kalau dapat akan membuangmu dari pergaulan hidup.

Sebab itu, saya ingin menasihatkan kepadamu, agar engkau sejak sekarang berjaga jaga dengan keselamatan dirimu sendiri. Menurut fikiranku, untuk menghindarkan bahaya yang mungkin tiba itu, adalah sebaik baiknya engkau menjauhkan diri dari sini.

Berkata pula Daud:

Bukankah aku ini askar biasa, tidak ingin merebut kedudukan raja yang kutaati dan kupertahankan, apalagi aku ini adalah seorang Mukmin yang penuh iman. Sungguh Talut menurutkan pengaruh syaitan saja, menurutkan hawa nafsu atas kekuasaan dunia. Keputusan untuk berangkat sebagai dinasihatkan isterinya itu, belum diambil oleh Daud, dia masih tetap di situ sekalipun dengan keadaan seperti berdiri di atas bara yang bernyala nyala. Tiba tiba pada suatu hari Talut memanggil Daud datang menghadap kepadanya.

Setelah Daud datang, Talut berkata:

Hari ini aku mendapat khabar yang sangat berbahaya. Bangsa Kanan dengan tenteranya yang besar dan kuat, telah mulai menyerang negeri kita, Tidak ada yang dapat mempertahankan keselamatan negeri kita ini, selain engkau sendiri. Ambillah pedang dan perisaimu,  kumpulkanlah tentera tentera yang kamu pilih, pergilah berangkat sekarang juga menghalaukan musuh itu. Engkau tidak boleh kembali pulang, kalau tidak dengan membawa kemenangan.

Daud merasa, bahawa perintah ini sangat berbeza dengan perintah perintah yang biasa, Mungkin ini suatu cara untuk melenyapkan dia dari permukaan bumi ini. Tetapi sungguhpun begitu, kewajipannya sebagai tentera, hanya mentaati dan menjalankan perintah yang sudah dikeluarkan oleh jeneral dan rajanya sendiri.

Dengan tentera yang terbatas, Daud berangkat ke medan perang menghadapi musuh yang besar itu. Dengan pertolongan Allah, dia menang dalam peperangan itu, musuh dapat dikalahkannya dengan bertekuk lutut. Kemenangan yang sangat besar ertinya ini, bukan membulatkan penghargaan dari Talut terhadap Daud, tetapi menambah berkobarnya perasaan dengki dan bencinya.

فَهَزَمُوهُم بِإِذْنِ ٱللَّهِ وَقَتَلَ دَاوُۥدُ جَالُوتَ وَءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلْمُلْكَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُۥ مِمَّا يَشَآءُ ۗ وَلَوْلَا دَفْعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍۢ لَّفَسَدَتِ ٱلْأَرْضُ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ ﴿٢٥١﴾

Mereka (tentara Thalut) mengalahkan tentara Jalut dengan izin Allah dan (dalam peperangan itu) Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Thalut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebagian yang lain, pasti rusaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam. - (Surah Al-Baqarah, Ayat 251)

Demikianlah kalau ingin berkuasa di dunia ini telah terpaku terhunjam dalam jiwa seseorang, perasaan suci dan keimanan dapat terdesak olehnya, bila kesucian dan keimanan itu tidak dipupuk dan diasuh, apabila kalau kekuasaan itu berada di tangan seorang yang kotor batinnya dan tidak ada keimanan sama sekali. Kerana nafsu yang di kobar kobarkan oleh hasutan syaitan ini, Talut menetapkan cara untuk mengenyahkan Daud, sekalipun dengan cara se kejam dan sejahat jahatnya. Dia sudah menetapkan akan membunuh Daud dengan pedangnya sendiri.

Kehendaknya ini sekalipun disembunyikan, tetapi dapat juga diraba oleh anaknya (Mikyal) yang jauh pemandangannya itu. Hal ini dengan segera disampaikannya kepada Daud. Sambil berlinangkan airmata ia berkata kepada Daud:

Saya lebih sengsara rasanya, kalau engkau terbunuh mati dihadapanku sendiri. Sebab itu, sekalipun agak berat; saya minta agar engkau segera melarikan diri meninggalkan rumah dan aku untuk menjaga keselamatan dirimu dan pula diriku sendiri.

Setelah berfikir sejurus, akhirnya Daud pun tidak mempunyai jalan lain yang lebih baik dan aman, selain melarikan diri. Dia pergi dengan perasaan yang tidak dapat dibayangkan dengan pena dan kata kata. Pemergian ini menggemparkan bangsa Israel seluruhnya. Pemergian yang tidak dijangkakan oleh mereka terlebih dahulu. Di antara keluarga dan orang orang yang cinta kepada Daud, menyusul Daud dari belakang.

Mulanya sedikit saja orang yang mengikutinya, tetapi akhirnya semakin ramai juga. Kebencian terhadap Talut semakin meluap dikalbu rakyat banyak, yang insaf dan sedar. Sekarang rakyatlah yang baik dan suci, raja dan pemimpinlah yang kotor dan jahat. Setelah banyak orang yang lari ke pihak Daud, semakin geramlah Talut kerananya, tetapi juga disusul oleh tenteranya sendiri. Hampir seluruh anggota tentera, sekarang berpihak kepada Daud yang berada dalam pelarian itu.

Kedudukan Talut semakin lemah dan goyang, Tidak ada lain jalan bagi Talut, selain dengan segera menyerang Daud yang semakin kuat itu, sebab kalau terlambat, maka kejatuhannya sudah tentu dan kemenangan Daud sudah pasti pula. Semua kekuatan yang ada padanya, dikerahkan untuk menyerang dan membunuh Daud. Rencananya ini diketahui oleh Daud. Daud bersiap dan tetap menjaga kesabaran dan keimanan dalam dadanya.

Dengan berbagai cara, Daud ikhtiar untuk menghindarkan pertempuran sesama bangsa. Dia berpesan agar Talut kembali kepada kebenaran, menjauhkan segala syak wasangka yang tak beralasan itu, tetapi semua ini sia sia belaka. Kalau Daud tidak bertahan dan melawan, mungkin kebenaran akan hancur, sedang nafsu serakah akan bermaharajalela. Dia terpaksa menggerakkan pertempuran, menghadapi lawannya yang tidak kenal damai itu.

Tentera Talut sekarang ini berhadapan dengan tentera Daud. Dari seorang utusan, Daud mengetahui di mana sekarang ini Talut berada. Seketika Talut dan tenteranya di dalam kepenatan dan lelah, berhenti dan tidur di sebuah tempat pertahanannya, dengan diam diam Daud berjalan mendekatinya. Dalam keadaan tertidur dan terlengah itu, Daud berhasil mengambil lembing perang yang berada di tentangan kepala Talut yang sedang tidur. Talut tidak dibunuhnya, tetapi lembing itu saja yang diambil dan dibawanya.

Alangkah terperanjatnya Talut setelah dia terbangun dari tidurnya, bahawa lembingnya sudah tidak ada. Dia marah sekali terhadap tenteranya dan bertanyakan di mana lembingnya sendiri. Dalam keadaan panik dan kacau itu, tiba tiba dihadapan Talut muncul seorang lelaki membawa lembingnya yang hilang itu dan berkata kepada Talut di hadapan semua kaum dan tenteranya:

Inilah lembingmu yang hilang itu. Saya ini utusan Daud, datang ke mari mengembalikan lembing ini kepadamu dan lembing ini diambil oleh Daud ke mari tadi, ketika kamu tidur. Dia tidak bermaksud membunuhmu, hanya diambilnya saja lembing ini, dengan harapan dengan kembalinya lembing ini kepadamu,kembali pula keinsafan dan kesedaran atas salahnya tindakan yang kamu ambil.

Kata kata utusan Daud ini berpengaruh besar dalam jiwa Talut, airmatanya keluar. Nampak benar sesalnya atas tindakannya selama ini. Nampak pula sesal hatinya yang telah berbuat khianat kepada Daud, seorang suci yang berjasa dan menantunya pula. Talut menangis tersedu sedu, dia teringat telah banyak membunuh orang orang yang melarikan diri kepada Daud, membunuh ulama ulama dan pembesar pembesar bawahannya sendiri. Sedar dia akan besarnya dosa yang diperbuatnya, terbayang di matanya seksa apa pula yang akan diterimanya dari Allah di alam akhirat nanti.

Pertempuran tidak terjadi. Talut bersama tenteranya kembali pulang membawa kemenangan yang berupakan sesal dan kesedaran. Di rumah, dia tanggalkan semua pakaian kerajaan dan kebesarannya. Dia bertafakur menghadapkan muka dan jiwa kepada Allah semata,
minta ampun dan taubat dengan hati yang setulusnya. Begitulah kerjanya setiap hari, lain tidak. Akhirnya badannya menjadi lemah juga. Dengan mulut yang tidak kering keringnya, ia minta taubat dan mensucikan nama Tuhan, dia meninggal dunia, pulang ke rahmatullah!

Seluruh rakyat dengan spontan berkerumun di sekitar Daud dan mengangkat Daud menjadi raja mereka. Di bawah pemerintahan Daud, Kerajaan Bani Israel maju pesat, aman dan makmur dengan rakyat yang berhati takwa kepada Allah, sehingga kerananya, rahmat dan nikmat Allah terus menerus turun sebagai dicurahkan dari langit!

WaAllahu’alam.

KISAH TALUT DAN JALUT (SIRI 3)


Dari Siri 2: KISAH TALUT DAN JALUT (SIRI 2)

Mereka bukan maju ke muka, malah kadang kadang terpaksa mundur ke belakang. Apalagi di tengah tengah api peperangan yang sedang bergejolak itu. tentera Talut terpecah menjadi dua golongan. Golongan pertama, orang orang yang beriman dan penuh semangatnya, golongan kedua, orang orang yang sudah mulai putusasa dan lemah semangatnya, iaitu golongan yang telah melanggar perintah komandannya. Mereka ini telah mengeluarkan ucapan:

Kita tidak akan kuat melawan Jalut dan tenteranya.

Adapun golongan yang tetap dan penuh semangatnya, iaitu golongan yang patuh menjalankan semua perintah komandannya, tetap penuh kepercayaan dalam batin dan jiwanya. Perjuangan mereka semakin berkobar kobar dan bersemangat, sebab keyakinan mereka adalah:

Berapa banyaknya kejadian, di mana golongan yang sedikit, dapat mengalahkan golongan yang terbesar, dengan keizinan dari Allah, sebab Allah selalu menolong orang orang yang sabar.

Dengan meneguhkan imannya, mereka terus menerus berjuang, sambil mendoa kepada Allah, agar Allah menetapkan ketabahan dan kesabaran mereka, agar Allah menolong dan memenangkan mereka juga akhirnya. Talut dengan segala kepandaian yang ada padanya, memimpin tentera yang tinggal sedikit itu, untuk mencapai kemenangan. Kemenangan, kemenangan sajalah yang menjadi fikirannya, lain tidak. Kemenangan yang harus dicapai dengan peperangan dan perlawanan hebat, bukan dengan menyerah kalah.

Kehebatan pertempuran dan beratnya beban yang dihadapi Talut dan tentera Bani Israel ketika itu, tersiar hampir ke seluruh bangsa Israel yang diam di belakang garis pertempuran. Khabar ini pun sampai ke telinga seorang desa yang sudah tua. Orang tua ini mempunyai beberapa orang anak. Dipilihnya tiga orang di antara anaknya yang terbesar, supaya datang kepadanya. Anak yang ketiga yang terpilih itu sebenarnya masih di bawah umur, masih dalam dunia kanak kanak, Daud namanya (Nabi Daud) Dia masih dalam usia 9 tahun saja.

Orang tua itu berkata kepada anak anaknya: “Ambillah pedang dan bekalanmu, berangkatlah sekarang juga ke medan perang, menolong saudara saudaramu melawan musuh. Adapun engkau ini, hai Daud, juga harus turut ke medan perang, tetapi kewajipanmu hanyalah untuk membawakan makanan dan di mana perlu, engkau pulang ke rumah untuk membawa khabar kepadaku tentang jalannya pertempuran.

Ketiga anak yang bersaudara ini, setelah mengucapkan selamat kepada bapanya yang sudah tua itu lalu berangkat menuju ke medan perang, untuk menggabungkan diri dengan tentera Talut.  Setelah sekian lamanya berjalan, mereka sampai di medan pertempuran dan segera menghadap Talut, untuk mendapat perkenan menggabungkan diri dengan tentera Talut.

وَلَمَّا بَرَزُوا لِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ قَالُوا رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ ﴿٢٥٠﴾

Tatkala Jalut dan tentaranya telah nampak oleh mereka, merekapun (Thalut dan tentaranya) berdoa: “Ya Tuhan kami, tuangkanlah kesabaran atas diri kami, dan kokohkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.” - (Surah Al-Baqarah, Ayat 250)

Alangkah bangga dan gembiranya hati Talut melihat semangat yang berkobar kobar dalam dada ketiga anak muda ini, ia bangga terhadap semangat orang tani di desa yang telah menyerahkan ketiga orang anaknya itu ke medan perang menghadapi bahaya. Pemuda yang dua orang itu segera mendapat izin untuk menyerbu, tetapi pemuda Daud tidak diperbolehkan, kerana dia masih di bawah umur, belum wajib baginya untuk maju ke depan, kepadanya hanya diperintahkan untuk membantu di garisan belakang saja.

Daud berubah betul semangatnya setiba dia di medan perang, melihat perang yang sedang berkobar dahsyat itu. Dia minta dengan sangat supaya diperbolehkan menyerbu.

Kau masih anak anak dan masih kecil, ya Daud, kata Talut kepada Daud. “Betul kata Daud menjawab, Tetapi janganlah terlalu melihat besar kecilnya badan seseorang. Saya sekalipun kecil, tetapi kekuatan badan saya sudah cukup untuk mengalahkan musuh, semangat dan jiwa saya cukup matang dan teguh menghadapi peperangan.

“Tuan belum tahu, kata Daud seterusnya:

Kelmarin seekor singa pernah menangkap kambingku; singa itu kulompati, lantas terjadi pergelutan hebat antara saya dengan singa itu. Akhirnya saya dapat mematahkan leher singa itu. Pada suatu hari saya pernah pula bertemu dengan se ekor beruang besar yang hendak menerkam kepadaku. Beruang dapat kupegang mulutnya, lalu kupatahkan lehernya sampai mati. Kekuatan dan keberanian, tidak bergantung pada umur dan besarnya badan,tetapi terletak pada kemahuan dan semangat yang teguh, keimanan yang sedalam dalamnya.

Melihat kepintaran dan susunan kata kata yang diucapkan oleh Daud itu, Talut hanya tertekun dan termenung. Dapat dirasakannya, bahawa memang ia seorang anak yang luar biasa, seorang yang sudah ditentukan oleh Tuhan menjadi seorang yang berani. Kepadanya lalu diberikan izin untuk bertempur, lantas kepadanya diserahkan tombak dan lembing. Tetapi kerana panjangnya tombak itu, sedang badannya sendiri demikian pendeknya, dia tidak dapat membawa tombak itu. Tombak dan lembing itu ditinggalkannya saja. Dia hanya membawa seutus tali dan beberapa buah batu yang berat.

Kepadanya Talut lalu berkata:

Di mana bisa engkau bertempur dengan tali dan batu itu, perang yang kita hadapi ini adalah perang tombak dan lembing?

Daud menjawab:

Tuhan telah dapat memeliharaku dari bahaya singa dan beruang dengan tali dan batu, pun akan menolong dan memeliharaku dalam perang ini dengan tali dan batu ini pula.

Daud maju ke medan perang, menyusur di antara masing- masing tentera yang sedang bermain pedang dan lembing itu. Satu satu musuh yang menghalangi gerak majunya, dapat dibunuhnya. Dia maju dan terus maju ke tempat pemimpin musuh, menuju kepada Jalut sendiri.

Dia berhasil mendekati kedudukan Jalut. Sebelum Jalut dapat memukulnya dengan pedang, Daud sudah lebih dahulu memukul Jalut dengan melemparkan batu sekuat kuatnya. Batu pertama  tepat mengenai kepala Jalut, disusulnya dengan batu kedua, batu ketiga, keempat dan seterusnya, sehingga Jalut mati seketika itu juga.

Dengan matinya Jalut, tentera musuh menjadi kucar kacir dan bertaburan. Akhirnya dapat dikalahkan seluruhnya oleh bangsa Bani Israel yang dipimpin oleh Talut. Bangsa Israel kembali hidup merdeka di tanahair sendiri, bertemu dengan anak isterinya yang sudah lama mereka tinggalkan.

ANTARA TALUT DENGAN NABI DAUD

Kerana Daudlah tercapainya kemenangan yang gilang gemilang, yang mempunyai erti dalam sejarah besar itu bagi Bani Israel. Dengan kemenangan ini, nama Daud menjadi harum semerbak di seluruh lapisan rakyat dan masyarakat, menjadi sebutan dan buah bibir, ditambah pula dengan sifat dan budinya yang suci. Kecintaan segala orang melekat pada diri Daud, kecintaan dan penghormatan yang semakin hari semakin hebat, bukan hanya terhadap keberanian dan sifatnya, tetapi segala gerak gerinya menjadi tambatan hati manusia sekelilingnya.

Yang paling tertanam cinta hatinya terhadap Daud, adalah Raja Talut sendiri. Talut belum puas kalau hanya menghormati dan memuliakan Daud, kalau hanya menerima nasihat dan petunjuk dari anak muda itu. Lebih dari itu semua, ia ingin menjadikan Daud anak menantunya sendiri, kerana Talut kebetulan mempunyai beberapa anak perempuan yang masih gadis pula. Yang tercantik dari anak gadisnya itu, ialah Mikyal namanya.

Daud lalu dikahwinkannya dengan anak gadisnya yang tercantik itu. Maka dengan perkahwinan ini, Daud menerima dua kemenangan, iaitu kemenangan dimedan perang dan kemenangan dalam perjuangan asmaranya pula. Dengan terjadinya perikatan ini, terikat eratlah dua kekuatan raksasa yang susah dihancurkan oleh musuh. Negara yang dipimpin oleh Talut semakin maju dan makmur, sedang tentera yang dipimpin oleh Daud, semakin kuat dan maju pula. Dalam pada itu perhatian orang terhadap diri Daud semakin hebat dan
memuncak juga, malah semakin bertambah, sejak dia menjadi menantu raja.

Beberapa waktu kemudian, pada suatu hari, Daud melihat perubahan pada diri Talut terhadap dirinya. Setiap kali dia berhadapan dengan Talut, dilihatnya muka Talut kusut dan masam saja. Kalau Talut berkata, kata katanya mulai memperlihatkan rasa yang tidak senang terhadap dirinya dan kalau Talut tersenyum, terasa ada kepahitan dalam senyumannya itu.

Daud sangat hairan melihat perubahan yang tiba tiba itu. Mulanya didiamkannya saja, dijadikannya barang simpanan dalam hati kecilnya, sambil dia melihat perkembangan selanjutnya. Tetapi ternyata kepadanya, bahawa perasaan Talut yang demikian itu, bukan perasaan yang hanya seketika, tetapi rupanya sudah menjadi isi hati yang tidak dapat dinyahkan lagi, malah perasaan benci dan dengkinya terhadap Daud semakin bertambah.

Daud merasa hairan, bukankah dia sendiri telah menyerahkan dirinya untuk mengabdi kepada rajanya dan bukankah dia sendiri dicintai dan sebagai menantunya pula? Apakah gerangan yang telah menyebabkan demikian rupa perubahan dalam hati Talut terhadap dirinya? Hal ini benar benar susah diteka dan dibayangkannya. Tetapi menjadi teka-teki yang paling ajaib, menjadi tanda tanya yang paling besar dalam kalbunva yang suci murni itu.

Keadaan semakin cerewet dalam pandangan Daud. Dia tidak tahan lagi untuk menyimpan teka-teki besar ini dalam dirinya. Dia ingin bertanyakan hal itu kepada isterinya, kalau kalau isterinya mengetahui akan duduknya perkara, sebab Daud percaya, bahawa isterinya tetap cinta dan kasih kepadanya, sebagai kecintaan dan kasih sayang dia terhadap isterinya itu.

Pada suatu hari, ketika Daud hanya berdua saja dengan isterinya di dalam sebuah kamar, Daud berkata kepada isterinya itu:

Ya Mikyal, isteriku yang tercinta. Saya tidak tahu, apakah saya ini tersalah dalam rabaan saya ataukah benar, apa betulkah apa yang saya rasakan ini, atau tidak betul, bahawa saya melihat perubahan besar perhatian bapa kita terhadap diriku seakan akan bapa kita menaruh perasaan yang tidak enak terhadap diriku ini. Bukan saja gerak geri dan kata katanya, tetapi juga pandangan matanya terhadapku selalu mengandung rasa benci dan curiga saja. Bagaimanakah pandanganmu terhadap hal yang kukemukakan ini?

Mikyal seorang wanita yang masih muda, sebagai anak yang tinggi pengetahuannya, baik budi dan dalam perasaannya, tentu tahu akan kewajipannya. Dia cinta kepada suaminya, tetapi perlu pula cinta dan hormat kepada orang tuanya sendiri. Bagaimanakah dayanya menghadapi dua hal yang saling berlawanan ini? Apakah akan bersembunyi sembunyi untuk menjaga kewajipannya terhadap bapa dan pula terhadap suaminya? Berat fikirannya sebelum menjawab pertanyaan suaminya itu. Tetapi ketulusan jiwa dan keikhlasan batinnya, memaksa dia untuk berterus terang apa yang dirasakan dan dilihatnya.

…/bersambung di siri 4 (akhir)


KISAH TALUT DAN JALUT (SIRI 2)


Dari Siri 1: KISAH TALUT DAN JALUT (SIRI 1)

Mereka segera menjawab: “Kami tidak dapat dengan begitu saja. menjalankan semua perintahnya dan menghentikan larangannya. Kami ingin bukti dan tanda daripadanya, sehingga kami dapat mengikutinya. Perlihatkanlah kepada kami tanda dan bukti itu!”

Jawab Nabi Samuel pula:

Allah telah mengetahui akan segala dalih dan helah kamu itu. Allah akan perlihatkan pula akan tanda dan bukti yang kamu kehendaki itu. Keluarlah kamu menuju ke kota sekarang, akan kamu lihat nanti di sana Tabut yang sudah lama hilang dari tanganmu itu, sehingga kamu menjadi hina dina lemah sejak hilangnya itu. Tabut itu akan kembali kepadamu, dengan dibawa oleh beberapa Malaikat. Itulah tanda dan bukti yang akan kamu lihat nanti.

Setelah mereka keluar menuju ke kota sebagai yang diperintahkan Nabi Samuel, mereka pun benar benar melihat Tabut itu, datanglah ketenangan dalam kalbu mereka yang selalu gentar dan takut selama ini, Kini mereka rela dan mengangkat Talut menjadi raja dan pemimpin mereka. Talut kini menjadi raja mereka. Dia duduki takhta kerajaan yang diserahkan kepadanya dengan segala tanggung jawab dan kebijaksanaan. Tampaklah keteguhan jiwa dan kebesaran semangatnya. Talut mulai menyusun tentera yang teratur, dengan memenuhi syarat syarat ketenteraan yang lazim. Sebagai seorang Jeneral, Talut berpidato di hadapan mereka. menerangkan syarat syarat tentera yang dia kehendaki:

Hai, rakyatku sekalian, dalam ketenteraan yang kususun ini, tidak boleh turut serta menjadi anggotanya orang orang yang masih ragu ragu dan tidak penuh semangatnya, orang orang yang masih di pengaruhi oleh urusan urusan di luar ketenteraan. Tidak boleh turut orang orang yang mendirikan sesuatu pendirian (rumah), tetapi dia belum selesaikan pendirian itu. Tidak boleh orang orang yang telah meminang seseorang perempuan, tetapi belum kahwin dengan perempuan itu, atau orang orang yang mempunyai perdagangan, sedang hatinya masih saja kepada dagangannya itu!

Sesudah syarat syarat yang dikemukakan Talut itu dipenuhi sebaik baiknya, maka terbentuklah suatu tentera yang berdisiplin, terdiri dari orang-orang yang benar benar kuat hati dan bernyala nyala semangatnya. Tetapi kemudian, ternyata kepadanya masih saja ada orang orang yang ragu ragu. Tampak pula kepadanya, masih ada orang orang yang sering berdebat dan bertengkar tentang kekuasaan kerajaan yang dipegangnya, semua ini perlu diperbaikinya dengan jalan mengadakan rasionalisasi.

Talut berkata kepada mereka:

Kita akan menyeberangi sebuah sungai, di bawah teriknya panas matahari, sesudah berlatih dan berjalan jauh. Orang orang yang benar benar menjadi tenteraku, tidak boleh meminum air sungai itu lebih dari seteguk, untuk membasahi tenggorokannya saja. Orang yang menjalankan aturan ini sajalah, yang kuanggap termasuk tenteraku dan hanya orang orang inilah yang dapat kukerahkan dan kupimpin. Adapun orang yang sengaja melanggarnya, bererti telah melanggar disiplin tentera, tidak akan dapat diharapkan daripadanya hasil apapun, dari pertempuran hebat yang sedang kita hadapi sekarang ini, malah turut sertanya orang orang itu hanya akan menyusahkan dan menimbulkan perpecahan saja.

Talut dengan pasukannya sekarang mula berangkat ke medan perang, menghadapi musuh yang besar, melalui sebuah sungai, sebagai yang terdapat dalam peta bumi yang dibuat oleh Talut.Tepat di kala matahari di tengah ufuk tertinggi dari langit di tentangan ubun-ubun di kepala, di kala matahari memancarkan panasnya yang seterik teriknya, dalam padang pasir yang luas, pasukan yang dipimpin Talut itu bertemu dengan sebuah sungai yang berair jernih pula.

فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُم بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ ۚ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٢٤٩﴾

Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku.” Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya.” Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.” Maka tatkala Thalut keluar membawa tentaranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya; bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tiada meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka dia adalah pengikutku.” Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya.” Orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Semua pasukan diperintahkan menyeberangi sungai itu. Terbuktilah bahawa kepercayaan dalam batin dan jiwanya belum kukuh kuat. Mereka sama meminum air sungai itu sepuas puasnya. malah ada yang sengaja membawa air sungai itu untuk dijadikan bekal dalam perjalanan. Hanya sedikit saja yang patuh menurut perintah, iaitu terdiri dari orang orang yang beriman dan sabar, orang orang yang benar benar ikhlas berjuang dan taat terhadap pimpinan. Terbuktilah kepada Talut, bahawa tenteranya yang kuat dan banyak itu, masih belum kuat disiplin, masih belum tunduk dan taat setaat taatnya terhadap pimpinannya. Mulalah Talut agak khuatir, bagaimana hasil pertempuran yang akan dihadapinya nanti, dengan tentera yang kebanyakan tidak tunduk kepada aturan itu. Talut merasa khuatir, tetapi kewajipannya tetap harus dijalankan, walaupun bagaimana juga akan hasilnya. Tentera musuh yang kuat, telah dikerahkan untuk menanti kedatangan tentera Talut ini, dengan segala alat kelengkapannya. Tentera musuh ini dipimpin oleh seorangJeneral yang sudah lama terkenal gagah beraninya, iaitu Jeneral Jalut.Kedua tentera yang saling bermusuhan itu, mulai berhadapan satu sama lain. Pertempuran yang hebat segera berkobar dengan dahsyatnya, antara bangsa Palestin yang menjajah di bawah pimpinan kornandannya yang bernama Jalut, melawan tentera kemerdekaan bangsa Israel yang ingin memerdekakan tanah airnya, di bawah komandannya Talut. Sungguh berat pertempuran yang dihadapi tentera Talut

.…/Bersambung di siri 3.

KISAH TALUT DAN JALUT (SIRI 1)


Tabut, sebuah barang berbentuk peti, adalah suatu pemberian Allah yang amat besar ertinya bagi bangsa Bani Israel, sejak dari zaman Musa a.s. sampai jauh sesudah meninggalkan Nabi Musa. Boleh di katakan sebuah barang keramat, dengan erti yang sebenar benarnya. Baik ketika Bani Israel sedang menghadapi perang dahsyat, mahupun dalam keadaan yang genting, bila mereka melihat akan tabut itu mendadak mereka menjadi tenang dan tabah hatinya. sehingga dapat menentang musuh serta mengalahkannya. Begitu pula bila ada perselisihan hebat antara mereka, dengan memperlihatkan tabut itu saja kepada golongan golongan yang sedang berselisih tu, maka redalah perselisihannya dan segera mereka bersatu padu kembali.

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ آيَةَ مُلْكِهِ أَن يَأْتِيَكُمُ التَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِّمَّا تَرَكَ آلُ مُوسَىٰ وَآلُ هَارُونَ تَحْمِلُهُ الْمَلَائِكَةُ ۚ إِنَّ فِي ذَ‌ٰلِكَ لَآيَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٤٨﴾

Dan Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya TABUT kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman. – (Surah Al-Baqarah, Ayat 248)

Tabut menambah semangat keberanian pada mereka dan menyebabkan rasa takut dan lemah pada musuh mereka. Karena berkat tabut itulah Bani Israel dalam berabad abad lamanya dapat hidup bersatu di negeri mereka sendiri, tidak dapat diusir oleh kekuatan yang manapun. Tetapi setelah Nabi Musa meninggal dunia, bangsa Israel lama kelamaan lupa akan ajaran Nabi Musa, lupa akan agama mereka dan agama itu mereka robah robah menurut kemahuan mereka sendiri. Dalam keadaan yang demikian itu, akhirnya mereka dapat dikalahkan dan diusir dari kampung halaman mereka sendiri oleh bangsa Palestin.

Bangsa Palestin menjajah dan menguasai mereka dan bangsa Palestin akhirnya berhasil merebut tabut dari tangan mereka itu. Nasib bangsa Israel semakin jelek dan melarat di bawah penjajahan sehingga mengalami pengusiran itu, terpisah dari anak dan isteri mereka. Demikian keadaan mereka dalam tempoh yang tidak pendek dan tidak juga di antara mereka yang sanggup tampil ke muka, untuk memimpin bangsanya yang telah bercerai-berai itu.

Akhirnya diutus Allah kepada mereka seorang Nabi, Samuel namanya. Dengan pimpinan Samuel ini, akhirnya beberapa orang di antara bangsa Israel dapat berkumpul. Dari kumpulan ini timbul hasrat bagi mereka, untuk berusaha mengusir bangsa Palestin yang telah mengusir mereka dari tanah airnya. Tetapi sayang, tidak seorang juga di antara mereka yang berani dan sanggup menjadi pemimpin, untuk mencapai cita cita nasional mereka itu. Timbullah hasrat di kalbunya masing masing untuk mempunyai seorang pemimpin, yang akan menyusun kekuatan mereka yang telah berpecah itu, serta menggalang kekuatan untuk mengusir musuh yang kuat dan kejam itu.

Nabi Samuel tahu benar akan letak kelemahan kaumnya yang demikian itu, kelemahan yang disebabkan oleh tidak adanya kemahuan untuk berjuang dan kelemahan kerana tidak adanya rasa patuh terhadap pemimpinnya. Dengan tegas Samuel berkata kepada mereka:

Sebab kelemahan kamu, adalah kerana kamu sekalian tidak mahu berjuang menghadapi peperangan bila dipanggil untuk berperang!..

Mereka menjawab:

Kami sanggup berjuang dan bertempur, kerana tidak tahan lagi hidup sengsara terpisah dengan anak keluarga dan tanahair sendiri, asal saja ada yang memimpin kami dalam perjuangan dan pertempuran itu. Samuel mempersilakan mereka menunggu, kerana Samuel ingin menerima petunjuk dari Allah terlebih dahulu, tentang maksud ini. Lalu kepada Samuel diwahyukan oleh Allah, agar memilih Talut menjadi raja dan pemimpin perang mereka. Samuel sendiri rupanya belum kenal siapa Talut itu. Tetapi dengan tegas Allah mewahyukan kepada Samuel, agar jangan ragu ragu dalam menetapkan Talut sebagai pemimpin dan jeneral dalam perang yang diperintahkan itu.

أَلَمْ تَرَ إِلَى الْمَلَإِ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ مِن بَعْدِ مُوسَىٰ إِذْ قَالُوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُّقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِن كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ أَلَّا تُقَاتِلُوا ۖ قَالُوا وَمَا لَنَا أَلَّا نُقَاتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِن دِيَارِنَا وَأَبْنَائِنَا ۖ فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ تَوَلَّوْا إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ ﴿٢٤٦﴾

Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israil sesudah Nabi Musa, yaitu ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Angkatlah untuk kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah pimpinannya) di jalan Allah.” Nabi mereka menjawab: “Mungkin sekali jika kamu nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang.” Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mau berperang di jalan Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari anak-anak kami?”. Maka tatkala perang itu diwajibkan atas mereka, merekapun berpaling, kecuali beberapa saja di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim. - (Surah Al-Baqarah, Ayat 246)

Talut adalah anak desa dalam negeri itu, bahkan anak seorang yang melarat pula. Jangankan ia akan dikenal sebagai pemimpin. dalam pergaulan sehari hari saja jarang orang kenal kepadanya. Tetapi dia adalah seorang yang berbadan kuat dan sihat; tinggi dan gagah perawakannya, matanya tajam, fikirannya pun luas dan tajam pula. Dalam pada itu, dia mempunyai hati yang suci bersih, budi yang halus dan agung. Dia tinggal di desa kecil bersama bapanya. Pekerjaannya bertani dan berternak.

Pada suatu ketika dia sedang berada dalam kandang keldai bersama bapanya, ternyata bahawa seekor keldai betinanya tidak ada dalam kandang, mungkin keldai itu tersesat ke lain kampung. Dengan diiringkan oleh seorang anak, pergilah dia mencari keldainya yang hilang itu di tengah tengah padang pasir yang luas, menyeberangi jurang dan mendaki gunung. Berhari hari sudah keduanya berjalan mencari, sehingga sudah luka luka kakinya, penat seluruh badannya, tetapi keldai itu belum juga dijumpainya. Dia lalu berkata kepada anak yang menjadi temannya:

Marilah kita pulang, mungkin bapa sudah khuatir terhadap kita yang sudah lama tidak juga pulang. Anak itu menjawab: Sekarang kita ini sudah sampai di sebuah desa yang bernama Sofa, di mana tinggal seorang Nabi Allah, iaitu Samuel. Lebih baik kita bertemu dan berziarah lebih dahulu kepada Nabi yang mulia itu. Dan mari kita bertanya kepadanya, tentang keldai kita yang hilang itu. Mudah mudahan turun kepadanya Malaikat membawa wahyu, sehingga dapat memberi petunjuk kepada kita tentang maksud kita ini.

Mendengar perkataan ini, kembali timbul harapan dalam hati Talut. Keduanya lalu berjalan dan bertanyakan, di mana rumahnya Nabi Samuel itu. Tiba tiba keduanya bertemu dengan beberapa orang anak perempuan, yang sedang mencari air di padang pasir itu. Kepada anak perempuan ini ditanyakan di mana rumah Nabi Samuel dan minta agar ditunjukkan jalan ke rumahnya. Anak perempuan itu menerangkan, bahawa barang siapa yang ingin bertemu dengan Nabi Samuel, harus menunggunya di puncak bukit tempat berdirinya ini. Dalam percakapan demikian tiba tiba Samuel tiba di tempat itu. Sebentar kemudian tahulah Talut, bahawa itu adalah Nabi Samuel yang mulia, cukup tanda tanda kenabiannya dan begitu pulalah menurut keterangan dari kedua anak perempuan itu sendiri.

Talut memandang ke wajah Nabi Samuel dan di saat itu Nabi Samuel pun memandang ke wajah Talut, maka bertemulah pandang dengan pandang dan dalam pertemuan pandang itu, terikatlah antara kedua orang itu rasa yang sama-sama bersih, jiwa yang sama-sama tertarik satu sama lain; sekalipun belum pernah berjumpa, tetapi tahulah Samuel, bahawa yang berada di hadapannya ketika itu adalah Talut, yang pernah diwahyukan Allah kepadanya, untuk dijadikan raja, pemimpin dan jeneral, bagi bangsa Israel yang memerlukan pemimpin itu.

Berkatalah Talut:

Saya datang menemui tuan, ya Nabi Allah, untuk minta keterangan dan petunjuk, tentang keldai bapaku yang hilang di tengah padang yang luas ini. Sudah beberapa hari kami berdua mencarinya, hampir kami berputusasa. Mudah-mudahan tuan kiranya dapat menunjukkan kepada kami tentang keldai itu dengan ilmu tuan yang tinggi itu.

Nabi Samuel lalu menjawab:

Adapun keldai yang hilang itu sekarang sedang berjalan pulang menuju kandangnya. Janganlah engkau bersusah payah lagi mencarinya. Saya pun ingin bertemu denganmu, tentang sebuah urusan yang lebih penting dan lebih mulia. Bukan urusan keldai yang hilang, tetapi urusan kemerdekaan yang sudah lama lenyap, urusan rakyat kita yang sudah lupa kandang. Saya kemukakan, bahawa Allah telah memilihmu untuk menjadi raja bagi bangsa Israel ini, untuk mempersatukannya, lalu menyusun kekuatan mereka untuk menghadapi musuh musuh yang sudah menjajah sekian lama dan mengusir mereka dari tanah airnya. Allah sudah menjanjikan pertolonganNya buat engkau, sehingga engkau akan mendapat kemenangan dalam pertempuran dengan penjajah itu.

Jawab Talut:

Apakah saya akan jadi raja, pemimpin dan jeneral mereka? Saya ini adalah keturunan Binyamin, orang yang terhina dalam kalangan bangsa bangsa yang duabelas suku (asbat), paling miskin dan melarat, bagaimana saya dapat menjadi raja, memegang pimpinan atas bangsa yang besar itu? “Ini adalah atas iradat dan wahyu Allah, kata Samuel. “Sudah menjadi perintah Allah dan hukumNya, hendaklah engkau bersyukur atas nikmat Allah itu dan membulatkan fikiran untuk memimpin perjuangan yang hebat ini.

Sesudah Nabi Samuel dan Talut berjabat tangan, keduanya lalu pergi menemui bangsa Israel. Nabi Samuel bersabda kepada mereka:

Hai Bani Israel, Allah telah mengutus Talut untuk menjadi raja bagimu sekalian, dia sekarang memegang pimpinan atasmu, maka hendaklah kamu tunduk dan taat terhadap pimpinannya ini dan bersiaplah kamu untuk menghadapi musuh musuhmu di bawah pimpinannya!.

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٤٧﴾

Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.”Mereka menjawab: “Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang diapun tidak diberi kekayaan yang cukup banyak?” Nabi (mereka) berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.” Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui. – (Surah Al-Baqarah, Ayat 247)

Tetapi bangsa Israel itu kembali menyanggah, menurutkan sentimennya masing masing, jawabnya:

Kenapa dia yang dijadikan raja kami, sedang dia bukan bangsawan yang layak menjadi raja?. Di sini ada orang yang lebih layak untuk dijadikan raja dan pemimpin, yakni anak Lawei keturunan segala Nabi dan Rasul, keturunan Yahuza yang selamanya memegang tampuk pimpinan dan turunan raja raja pula. Kenapa dia orangnya yang tidak kami kenal itu akan menjadi raja kami? Dia hanya seorang miskin dan melarat, bertangan kosong, serta tak mempunyai kekayaan untuk menjalankan pemerintahan. Sedang orang yang kami usulkan ini, mempunyai kebesaran dan hartawan, mempunyai pengaruhterhadap orang banyak.

Nabi Samuel menjawab:

Untuk menjadi panglima perang dan ketua negara, tidak memerlukan syarat kebangsawanan dan kehartawanan. Sekalipun orangnya bangsawan dan hartawan, tetapi kalau tidak mempunyai kebijaksanaan dan kemampuan, ianya tidak dapat dijadikan raja. Bahkan darah bangsawan itu banyak yang menyebabkan seorang penakut, harta benda yang banyak menjadi orang berotak tumpul. Adapun Talut ini, Allah telah melebihkannya dibanding dengan kamu sekalian, kerana ia memiliki kekuatan dan kesanggupan, serta sihat badannya, dalam pemikirannya, panjang akalnya, kuat jiwanya serta tabah hatinya, sehingga hanya dialah orangnya yang pantas memimpin dan memerintah atas kita sekalian, Selain dari itu, dia lebih mengetahui akan kebaikan bagi kita sekalian, ia dapat pula melihat ke muka, tentang soal soal yang sedang kita hadapi sekarang ini. Allah telah menetapkan dia sebagai raja kita. Allah menyerahkan kekuasaan, kepada siapa saja yang Ia kehendaki.

InsyaAllah Bersambung ke siri 2

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 53 other followers

%d bloggers like this: