PERAPIAN DIRI


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Apa maksud perapian diri?

Iaitulah kekemasan diri yang menjadi sunnah Nabi s.a.w., antaranya yang disebut beliau dalam sabdanya; “Fitrah itu ada lima;

  1. Berkhitan
  2. Istihdad (mencukur bulu ari-ari)
  3. Menggunting misai
  4. Memotong kuku
  5. Mencabut bulu ketika”.

(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Maksud fitrah di dalam hadis di atas menurut Imam al-Khatthabi ialah as-Sunnah, yakni lima perkara yang tergolong

Memotong kuku adalah salah satu perapian diri yang dituntut dalam Islam

dalam sunnah Nabi. Ada ulamak berkata; yang dimaksudkan ialah sunnah-sunnah para Nabi. Ada juga yang berpandangan; yang dimaksudkan ialah agama, yakni; lima perkara dari suruhan agama.[1]

Apa maksud berkhitan? Dan apa hukum berkhitan?

Bagi lelaki, berkhitan ialah dengan memotong keseluruhan kulit yang menselaputi hasyafahnya (yakni kepala zakarnya) sehingga terdedah ke semua sekali hasyafah itu. Bagi wanita pula, berkhitan ialah memotong sedikit kulit di bahagian paling atas farajnya (yakni yang berada di atas dari lubang masuk zakar) yang kelihatan seperti biji atau balung ayam.

Hukum berkhitan adalah wajib mengikut pandangan Imam Syafi’ie dan ramai ulamak yang lain. Majoriti ulamak (antaranya Imam Malik) berpandangan; ia sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; wajib berkhitan adalah atas kedua-dua golongan lelaki dan wanita.

Apa maksud Istihdad? Apa hukumnya?

Istihdad bermaksud mencukur bulu di kawasan ari-ari (العانة) iaitu kawasan di atas kemaluan dan di sekitarnya sama ada lelaki atau wanita. Hukumnya adalah sunat. Tujuannya ialah untuk membersihkan kawasan tersebut. Yang terbaik ialah dengan mencukur. Namun harus dengan menggunting atau mencabutnya. Menurut al-‘Abbas bin Suraij; termasuk dalam pengertian bulu ari-ari ialah bulu yang tumbuh di sekitar lubang dubur. Jadi dengan mengambil kira pandangan beliau, maka disunatkan kita mencukur keseluruhan bulu yang tumbuh di kemaluan depan dan dubur serta di kawasan sekitar keduanya.[2]

Apa hukum memotong kuku? Bagaimana cara yang disunatkan?

Memotong kuku hukumnya adalah sunat. Sunat memotong di tangan terlebih dahulu, berikutnya baru kaki. Sunat dimulai dengan tangan kanan iaitu bermula dari jari telunjuk, kemudian jari tengah, kemudian jari manis, kemudian jari kelingking dan seterusnya ibu jari. Setelah itu pergi pula ke tangan kiri dengan bermula dari jari kelingking, kemudian jari manis dan berikutnya hinggalah ke ibu jari. Berikutnya pergi pula ke jari-jari kaki dengan bermula dari jari kelingking kaki kanan dan tamat di jari kelingking kaki kiri.[3]

Apa hukum mencabut bulu ketiak? Haruskah mencukurnya?

Hukumnya sunat. Yang terbaik ialah dengan mencabut bagi sesiapa yang mampu. Jika tidak, memadai dengan mencukurnya. Sunat dimulai dengan ketiak kanan, kemudian baru ketiak kiri.[4]

Apa hukum menggunting misai? Adakah harus dilakukan oleh orang lain untuk kita?

Hukumnya adalah sunat. Sunat dimulai dengan misai sebelah kanan. Harus sama ada kita menggunting sendiri atau menyuruh orang lain melakukannya untuk kita. Adapun mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari tadi tidak harus dilakukan oleh orang lain kerana ia merosakkan maruah dan kehormatan.[5]

Pada had manakah misai perlu digunting? Adakah sunat mencukurnya?

Para ulamak berbeza pandangan;[6]

a) Pandangan pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali; yang terbaik ialah mencukurnya (yakni membuang habis). Mereka berdalilkan beberapa sabda Nabi s.a.w. antaranya;


جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ

“Potonglah misai (hingga nampak kulit) dan biarkanlah janggut. Hendaklah kamu berbeza dengan orang Majusi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut ulamak, perkataan al-jazz dalam hadis di atas memberi makna menggunting misai dan bulu hingga sampai ke kulit.

Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب

“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Berkata Imam Ibnu Hajar; perkataan al-Jazz dan al-Ihfa’ menunjukkan kepada tuntutan agar bersungguh-sungguh dalam membuang misai. Al-Jazz bermaksud; menggunting hingga ke kulit. Al-Ihfa’ pula bermaksud; membuang habis. Kerana itu Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mensunatkan dibuang habis misai dengan mencukurnya.[7]

b) Pandangan kedua; menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki; yang disunatkan hanyalah mengguntingnya sahaja sehingga kelihatan bibir mulut (yakni menggunting bahagian yang memanjang ke atas bibir mulut). Adapun mencukurnya adalah dilarang, di mana hukumnya adalah makruh.[8]

c) Pandangan ketiga; menurut Imam Ibnu Jarir at-Tabari; harus kedua-duanya, yakni kita boleh memilih sama ada hendak mengguntingnya sahaja atau mencukurnya kerana kedua-duanya sabit di dalam hadis Nabi s.a.w..[9]

Bilakah masanya kita dituntut untuk mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan sebagainya tadi?

Iaitu pada bila-bila masa mengikut keperluan dan apabila ia panjang asalkan jangan membiarkannya melebihi empat puluh hari. Ini berdasarkan cerita Anas bin Malik r.a.;

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الْأَظْفَارِ وَنَتْفِ الْإِبِطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لَا نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

“Telah ditetapkan tempoh untuk kami bagi menggunting misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari iaitu kami tidak membiarkannya melebihi 40 hari”. (Riwayat Imam Muslim)[10]

Nota Kaki

[1] Syarah Soheh Muslim, 3/151.
[2] Syarah Soheh Muslim, 3/153.
[3] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[4] Syarah Soheh Muslim, 3/152.
[5] Syarah Soheh Muslim, 1/152.
[6] Syarah Soheh Muslim, 1/152-155, Faidhul-Qadier, hadis no. 3586 dan Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 276-280.
[7] Faidhul-Qadier, hadis no. 3586.
[8] Syarah Soheh Muslim, 3/152, Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 278 dan 280.
[9] Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah (Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 280, Syarah Soheh Muslim, 1/155.
[10] Syarah Soheh Muslim, 3/152.

BERSUCI (MENYUCIKAN NAJIS)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Apa yang dimaksudkan najis?

Najis bermaksud kekotoran yang menghalang sahnya sembahyang, yakni; tidak sah sembahyang jika terdapat pada pakaian atau badan atau tempat sembahyang. Pada dasarnya, setiap benda yang ada di alam ini adalah suci dan tidak najis kecualilah perkara-perkara yang telah dinyatakan oleh Syara’ sebagai najis. Selagi tidak ada nas atau dalil Syara’ menjelaskan bahawa sesuatu itu najis, maka ia kekal dengan hukum asalnya iaitu suci dan bersih.

Apakah benda-benda yang dianggap najis oleh Syarak?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; empat benda disepakati oleh ulamak sebagai najis, iaitu;

  1. Bangkai haiwan darat yang berdarah mengalir
  2. Daging babi
  3. Darah dari haiwan darat jika ia mengalir, yakni banyak.
  4. Air kencing manusia dan tahinya.

Selain dari empat di atas (seperti; arak, tahi binatang, muntah dan sebagainya lagi) di kalangan ulamak terdapat beza pandangan; ada yang menganggapnya najis dan ada yang tidak. Menurut Imam asy-Syaukani; perkara-perkara yang ada dalil Syarak menyebutnya sebagai najis ialah;

  1. Tahi dan air kencing manusia
  2. Air liur anjing
  3. Tahi binatang (khusus kepada tahi kuda, baghal dan kaldai sahaja menurut beliau)
  4. Darah haid (lain dari darah haid (iaitu darah biasa) tidak najis menurut beliau).
  5. Daging babi

Hanya lima di atas sahaja –menurut Imam Syaukani- yang mempunyai dalil yang jelas dari Syarak tentang kenajisannya. Selain darinya adalah khilaf di kalangan ulamak”.[2]

Adapun dalam mazhab Syafi’ie, ada 13 perkara yang diputuskan sebagai najis berdasarkan ijtihad ulamak-ulamak mazhab, iaitu;

  1. Anjing; semua juzuk di badan anjing adalah najis.
  2. Babi; semua juzuk di badan babi adalah najis.
  3. Air kencing; semua jenis air kencing adalah najis sama ada dari manusia atau haiwan.
  4. Tahi; semua jenis tahi adalah najis sama ada tahi manusia atau haiwan.
  5. Air mazi; iaitu cecair nipis berwarna kekuningan yang keluar dari kemaluan ketika naik syahwat.
  6. Air madi; iaitu cecair kental berwarna putih yang keluar dari kemaluan selepas kencing atau selepas keletihan.
  7. Arak dan semua minuman yang memabukkan seperti tuak dan seumpamanya.
  8. Bangkai/mayat; kecuali mayat manusia, bangkai haiwan laut (ikan dan sebagainya) dan belalang.
  9. Darah; semua jenis darah adalah najis sama ada darah manusia atau haiwan.
  10. Nanah
  11. Anggota yang terpisah dari haiwan ketika masih hidupnya; kecuali bulu binatang yang halal dimakan seperti bulu biri-biri, bulu ayam dan sebagainya.
  12. Susu binatang yang tidak halal dimakan dagingnya.
  13. Muntah

Apakah kaifiyat bersuci dari najis yang ditetapkan oleh Syarak?

  1. Bersuci dengan menggunakan air
  2. Bersuci dengan air bercampur tanah
  3. Bersuci dengan benda-benda kesat
  4. Bersuci dengan menggosok ke tanah

Bagaimana caranya bersuci dengan air?

Menggunakan air adalah cara asal dalam bersuci. Tidak harus berpaling dari menggunakan air dalam bersuci kecuali dengan keizinan dari Syarak. Adapun cara bersuci dengan air ialah;

Pertama; Buang najis terlebih dahulu,

Kedua; Basuh tempat yang terkena najis itu dengan air hingga hilang sifat-sifatnya iaitu warnanya, baunya dan rasanya. Jika sekali basuhan telah dapat menghilangkannya, tidak perlu lagi diulangi basuhan. Jika tidak, wajib diulangi lagi basuhan termasuk dengan menggosok-gosoknya atau melakukan seumpamanya. Setelah dibasuh berulang kali, namun warna najis masih tidak tanggal atau baunya masih tidak hilang, ketika itu dimaafkan, yakni basuhan dianggap sempurna dan tidak perlu diulangi lagi.

Dikecualikan jika najis itu ialah air kencing kanak-kanak lelaki yang belum berumur dua tahun dan belum menikmati sebarang makanan kecuali susu ibunya, maka memadai dengan merenjis air hingga meratai kawasan yang terkena air kencing itu, kemudian dibiarkan kering. Tidak perlu membasuhnya atau mengalirkan air ke atasnya. Ummu Qais binti Mihsan –radhiyallahu ‘anha-. Menceritakan;

Beliau membawa seorang bayi lelaki yang belum memakan sebarang makanan kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-, tiba-tiba bayi itu kencing di atas pakaian baginda. Baginda meminta air, lalu merenjis pakaiannya dan baginda tidak membasuhnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Apakah najis yang perlu dibasuh menggunakan air bercampur tanah? Bagaimana caranya?

Iaitu najis anjing kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

Apabila bekas kamu dijilat oleh anjing, hendaklah kamu membasuhnya tujuh kali; kali pertama dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim).

Caranya ialah;

  1. Buang najis terlebih dahulu.
  2. Basuh tempat yang terkena najis anjing itu dengan air yang bercampur tanah (sekali sahaja).
  3. Bilas dengan air biasa sebanyak enam kali.

Oleh kerana cara membasuh najis anjing di atas lebih berat berbanding cara membasuh najis-najis yang lain, maka kerana itu najis anjing dinamakan ulamak dengan najis mughallazah (najis berat).

Adakah najis babi juga mesti di basuh dengan air bercampur tanah?

Ulamak-ulamak berbeza pandangan tentang babi; adakah ia termasuk dalam najis berat (mughalladzah) sebagaimana anjing di atas, atau ia hanya terdiri dari najis biasa (seperti arak, air kencing, tahi dan sebagainya) yang mencukupi dibasuh dengan air seperti biasa? Ada dua pandangan;

Pertama; Jumhur ulamak berpandangan; babi sama seperti najis-najis yang lain, iaitu mencukupi dibasuh seperti biasa hingga hilang kesan-kesannya. Tidak perlu diulangi basuhan hingga tujuh kali dan tidak perlu menggunakan tanah. Mengikut pandangan jumhur ulamak, najis berat hanya satu sahaja iaitu anjing. Dalil mereka ialah sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Apabila anjing menjilat bekas salah seseorang dari kamu, cara menyucinya ialah dengan ia membasuhnya sebanyak tujuh kali, kali pertamanya dengan tanah” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Di dalam hadis ini, Nabi hanya menyebut anjing sahaja, tidak menyebutkan najis yang lain termasuk babi.

Kedua; mengikut mazhab Syafi’ie; babi sama seperti anjing, oleh itu ia mesti dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan mesti dengan air bercampur tanah. Dalil mereka ialah dengan mengkiaskannya kepada anjing kerana babi lebih buruk keadaannya dari anjing di mana pengharaman memakannya adalah sabit dengan nas al-Quran, adapun pengharaman memakan anjing hanya sabit dengan ijtihad.

Adakah harus tanah digantikan dengan sabun atau bahan pencuci lain?

Bagi masalah ini juga ada perbezaan pandangan di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; tidak harus kerana cucian dengan tanah itu adalah arahan Syarak. Halnya sama seperti tayammum yang diarahkan oleh Syarak menggunakan tanah, maka tidak harus dialihkan kepada yang lain. Arahan menggunakan tanah itu bersifat ibadah, oleh itu tidak harus dinilai berdasarkan akal atau logik. Ini adalah pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie.

Pandangan kedua; harus tanah itu digantikan dengan sabun kerana penggunaan sabun lebih berkesan dari tanah dalam menghilangkan najis. Nabi menyebutkan tanah dalam hadis tadi bukan bertujuan membataskannya kepada tanah, tetapi untuk menegaskan perlunya penyucian najis berat itu dibantu dengan bahan lain di samping air. Masalah ini ada persamaannya dengan istinjak di mana selain dengan air, Nabi juga mengharuskan istinjak dengan batu. Menurut ulamak; walaupun nabi hanya menyebutkan batu, namun dikiaskan kepadanya bahan-bahan lain yang bersifat kesat dan berupaya menanggalkan najis seperti kertas, tisu kesat dan sebagainya. Nabi menyebut batu bukanlah bertujuan membataskannya kepada batu, tetapi untuk menjelaskan keharusan beristinjak dengan batu atau bahan-bahan lain yang mempunyai sifat yang sama. Ini adalah pandangan jumhur ulamak mazhab Hanbali.

Pandangan ketiga; Dalam keadaan terdapat tanah, wajiblah basuhan menggunakan tanah dan tidak harus berpindah kepada bahan yang lain sama ada sabun atau sebagainya. Jika tidak ada tanah, barulah harus menggunakan bahan yang lain menggantikan tanah. Ini adalah pandangan Abu Hamid (salah seorang ulamak mazhab Hanbali).

Apakah yang dimaksudkan dengan benda-benda kesat? Bilakah harus bersuci dengannya?

Benda-benda kesat adalah seperti batu, kertas atau tisu yang kesat, kayu dan sebagainya. Benda-benda kesat ini harus digunakan untuk beristinjak iaitu membersihkan najis di kemaluan setelah kencing atau berak. Telah sabit di dalam hadis bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam- menggunakan batu untuk beristinjak. Maka dikiaskan kepadanya segala benda yang kesat yang dapat menanggalkan najis dari dua saluran tersebut.

Apa syarat beristinjak dengan benda kesat?

Paling baik ialah berinstinjak dengan air kerana ia lebih menyucikan. Diharuskan beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja sekalipun terdapat air, tetapi hendaklah dengan memenuhi syarat-syarat di bawah;

  1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan. Tidak harus kurang dari tiga kali sapuan sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Salman –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Nabi menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai). Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).
  2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.
  3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.
  4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh menanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.
  5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang.

Sabda Nabi;

Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Bagaimana yang dikatakan bersuci dengan menggosok ke tanah?

Iaitu cara bersuci yang disebut oleh Nabi di dalam hadisnya;

Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua sepatunya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian tunaikan solat dengan memakai sepatunya itu”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Said al-Khudri r.a.).

Berdalilkan hadis ini, sebahagian ulamak –antaranya Imam Abu Hanifah- menegaskan;

Kasut atau sepatu yang terkena najis –sama ada kering atau basah- memadai menyucinya dengan menggosoknya ke tanah hingga hilang kesan najis pada kasut tersebut”.

Bagaimana cara menyucikan tanah yang dikenai najis?

Tanah yang terkena najis, cara menyucinya ialah;
Pertama; hendaklah dibuang terlebih dahulu najis jika kelihatan.
Kedua; setelah dibuang najis, curahkan sebaldi air ke atas tanah yang terkena najis itu dan biarkan ia kering. Abu Hurairah r.a. telah menceritakan;

Seorang lelaki dari pedalaman datang ke masjid Nabi s.a.w.. Tiba-tiba ia bangun dan kencing di satu penjuru masjid. Lalu Nabi s.a.w. berkata; “’Curahkan sebaldi air ke atas tempat yang terkena air kencingnya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Jika seseorang itu selepas mengerjakan solat, ia ternampak najis di pakaiannya; adakah wajib ia mengulangi solatnya?

Para ulamak berbeza pandangan dalam masalah ini;

  1. Ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie- menegaskan; batal solatnya dan wajib diulangi kerana ia menunaikan solat dalam keadaan tidak memenuhi syarat sahnya iaitu bersuci. Adapun sangkaannya semasa sedang solat –bahawa ia bersih dari najis-, maka sangkaan itu tidak dikira kerana telah terbukti salah. Kaedah Fiqh menyebutkan; “Tidak diambil kira sangkaan yag telah ternyata salahnya”.
  2. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; tidak batal solatnya jika najis itu sedikit. Jika najis itu banyak, batallah solat dan wajib diulangi semula.
  3. Ada ulamak berpandangan; tidak batal solatnya secara keseluruhannya sama ada najis itu sedikit atau banyak. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari kami mengerjakan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Ditengah solat, Nabi menanggalkan dua kasutnya dan meletaknya di sebelah kirinya. Melihat berbuatan Nabi itu, kami pun turut melakukannya. Selesai solat, Nabi bertanya; “Kenapa kamu semua menanggalkan kasut?”. Kami menjawab; “Kami melihat kamu melakukannya, maka kami pun turut melakukannya”. Nabi berkata; “Di tengah solat tadi, Jibril datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat najis/kekotoran, maka kerana itulah aku menanggalkannya. Jika seseorang kamu datang ke masjid, hendaklah ia menterbalikkan dua kasutnya dan memerhatikannya; jika ia nampak ada najis, hendaklah ia menggosoknya ke tanah, kemudian bolehlah ia menunaikan solat dengan memakai kasutnya itu” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Berkata Imam al-Khattabi; hadis ini menjadi dalil bahawa sesiapa menunaikan solat sedang di pakaiannya terdapat najis yang tidak diketahuinya, maka solatnya adalah sah dan tidak perlu ia mengulanginya”. [3] Selain Imam al-Khattabi, ulamak yang berpandangan serupa ialah Imam Ibnu Taimiyyah. Di dalam al-Fatawa al-Kubra, Imam Ibnu Taimiyyah menegaskan; “Sesiapa menunaikan solat dengan ada najis (di pakainnya) kerana lupa atau tidak tahu, tidak perlu ia ulangi solatnya”.[4]

__________________________

Nota Kaki

[1] Bidayatul-Mujtahid (1/101).
[2] Ad-Darari al-Madhiyyah, halaman 18.
[3] Bidayatul-Mujtahid (1/100).
[4] Al-Fatawa al-Kubra (5/327).

BERISTINJAK – BERSUCI


Apa maksud istinjak?

Istinjak bermaksud membasuh tempat keluar najis iaitu zakar/faraj dan dubur selepas membuang air kecil (yakni kencing) atau air besar (yakni berak). Hukumnya adalah wajib.

Apakah bahan yang harus digunakan untuk istinjak?

Bahan untuk beristinjak ialah air. Anas r.a. memceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. apabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk beliau beristinjak”. Diharuskan juga menggunakan benda-benda kesat seperti batu, kertas dan sebagainya yang boleh menanggalkan najis. Banyak hadis menceritakan Nabi s.a.w. beristinjak menggunakan batu.

Menurut mazhab Syafi’ie, paling baik ialah menggabungkan kedua-duanya; iaitu menyapu najis dengan benda kesat (tisu atau sebagainya), kemudian disusuli dengan membasuh dengan air. Cara ini adalah terbaik kerana dapat menjimat air dan mengelak tangan dari terlalu banyak menyentuh najis. Harus menggunakan salah satu cara iaitu dengan air sahaja atau dengan benda kesat sahaja, namun beristinjak dengan air adalah lebih afdhal kerana lebih menyucikan.

Tangan manakah yang hendak digunakan ketika beristinjak?

Beristinjak sunat menggunakan tangan kiri. Beristinjak dengan tangan kanan adalah makruh, kecuali tidak dapat dielakkan. Kata Nabi s.a.w.;

Sesiapa dari kamu kencing, janganlah ia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan janganlah juga ia beristinjak dengan tangan kanannya”.[1]

Apakah syarat-syarat beristinjak dengan benda kesat?

Namun jika hendak beristinjak dengan benda-benda kesat sahaja (tanpa menggunakan air), mesti memenuhi syarat-syarat di bawah;

  1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan, tidak boleh kurang darinya.[2] Salman r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)”.[3] Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).
  2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinjak dengan air.
  3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinjak dengan air.
  4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh meanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan intinjak ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.
  5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Kata Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu beristinjak dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”.[4]

Apakah adab-adab semasa membuang air kecil atau air besar?

1. Jangan membuka aurat sebelum masuk ke dalam tandas. Apa yang selalu atau kadang-kadang dilakukan oleh sebahagian dari kita hari ini iaitu menyelak atau mengangkat kain hingga nampak aurat sebelum masuk tandas adalah menyalahi Syarak. Hukumnya adalah haram.

2. Ketika memasuki tandas dahulukan kaki kiri dan sebelum melangkah masuk, bacalah terlebih dahulu;


بسم الله، اللهم إني أعوذ بك من الخبث والخبائث

(Riwayat Imam al-Bukhari)

3. Keluar dari tandas, dahulukan kaki kanan dan apabila telah berada di luar tandas bacalah;

غفرانك، الحمد لله الذي أذهب عني الأذى وعافاني
(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

4. Janganlah bercakap-cakap semasa di dalam tandas kecuali tidak dapat dielakkan. Malah Nabi s.a.w. tidak menjawab salam ketika baginda sedang buang air. Ibnu Umar menceritakan; “Seorang lelaki telah lalu berhampiran Nabi s.a.w. yang sedang kencing. Ia memberi salam kepada baginda, namun baginda tidak memjawab salamnya”.[5]

5. Jangan membawa masuk barang-barang yang terdapat nama Allah atau ayat al-Quran atau sebagainya yang dimuliakan oleh agama.

6. Jika terpaksa membuang air di tempat yang tidak mempunyai tandas (seperti di hutan dan sebagainya), hendaklah menjaga adab-adab berikut selain dari adab-adab di atas tadi;

  • Hendaklah mencari tempat yang jauh dari orang ramai.
  • Jangan mengadap ke arah qiblat atau membelakanginya.
  • Hendaklah mencari tempat yang sesuai. Elakkan dari buang air di jalan lalu lalang orang ramai, tempat berteduh mereka, laluan air, di bawah pohon yang berbuah atau sebarang tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Hal tersebut amat dilarang oleh Nabi s.a.w. kerana mengundang laknat orang terhadap pelakunya.
  • Jangan buang air di air yang tenang. Jabir r.a. berkata; “Nabi menegah kencing di air yang tenang
  • Jangan buang air di lubang yang telah tersedia kerana ia dikhuatiri didiami oleh binatang atau jin.

Abdullah bin Sarjis r.a. berkata; “Nabi s.a.w. melarang kencing ke dalam lubang”[6].

Apa hukum kencing sambil berdiri?

Diriwayatkan dari Huzaifah r.a. yang menceritakan; Aku bersama Nabi s.a.w.. Apabila sampai di satu tempat pembuangan sampah, Nabi s.a.w. kencing di situ sambil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi baginda. Namun baginda berkata kepadaku;

Hampirilah’. Aku pun menghampiri Nabi hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Setelah selesai kencing, Nabi mengambil wudhuk dengan menyapu dua khufnya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan keharusan kencing sambil berdiri, bukan menunjukkan kebiasaan Nabi s.a.w.. Kebiasaan Nabi s.a.w. ialah kencing sambil duduk sebagaimana riwayat dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang berkata;

Jika ada sesiapa menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w. kencing berdiri, maka jangan kamu mempercayainya. Nabi tidak kencing melainkan sambil duduk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan lain-lain. Menurut Imam Nawawi; sanad hadis ini adalah baik).

Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak menegaskan; hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka; perbuatan Nabi kencing berdiri dalam hadis pertama di atas adalah kerana ada keuzuran bagi baginda; kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafi’ie; orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.

Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas r.a. pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.

Kesimpulannya; kencing berdiri hukumnya adalah harus atau makruh mengikut perbezaan ulamak di atas. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir; “Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi s.a.w.”.

_________________

Nota Kaki

[1] Riwayat Imam Bukhari dari Abi Qatadah r.a..
[2] Sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan tiu adalah had minima yang ditetapkan Nabi s.a.w., tidak harus kurang dari itu.
[3] Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai.
[4] Riwayat Imam at-Tirmizi.
[5] Riwayat Imam Muslim.
[6] Riwayat Imam Abu Daud.

MENYAMAK (MENYUCIKAN) KULIT BINATANG


ARFTIKEL 1 : SUMBER JABATAN MUFTI MELAKA

1. Tujuan menyamak ialah untuk menyucikan kulit yang najis (bangkai).

2. Hukum menyamak kulit adalah harus.

3. Menyamak tidak tertentu kepada orang Islam sahaja bahkan orang kafir pun boleh menyamak asalkan ia mengikut cara yang dilakukan oleh orang Islam.

4. Hubungan menyamak kulit dengan kehidupan manusia:

  • Untuk menambahkan ekonomi bagi mereka yang melakukannya.
  • Untuk mengelakkan daripada pembaziran.

5. Hanya kulit sahaja yang boleh disamak, tidak boleh pada kuku, gigi dan tulang.

6. Takrif dan pengenalan bangkai :

  • Binatang yang halal dimakan yang mati tidak disembelih mengikut cara-cara Islam.
  • Binatang yang haram dimakan yang mati sama ada disembelih atau tidak, tetap ia menjadi bangkai.

7. Binatang-binatang yang mati termasuk dalam jumlah bangkai:-

  • Binatang yang disembelih dengan menggunakan tulang.
  • Binatang yang disembelih oleh orang Majusi (orang yang menyembah api)
  • Sembelihan orang-orang yang berihram (Ihram haji atau umrah)

8. Binatang yang tidak suci kulitnya walaupun disamak:

  • Babi
  • Anjing
  • Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan di antara anjing dan babi
  • Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan binatang yang halal dengan anjing atau babi.

9. Alat-alat yang digunakan untuk menyamak kulit iaitu sesuatu yang tajam rasanya atau kelat seperti tawas, cuka, asam, limau dan sebagainya.

10. Cara menyamak kulit binatang :

  • Terlebih dahulu hendaklah disiat kulit binatang daripada anggota badan binatang (setelah disembelih)
  • Dicukur semua bulu-bulu dan dibersihkan segala urat-urat dan lendir-lendir daging dan lemak yang melekat pada kulit.
  • Kemudian direndam kulit itu dengan air yang bercampur dengan benda-benda yang menjadi alat penyamak sehingga tertanggal segala lemak-lemak daging dan lendir yang melekat di kulit tadi.
  • Kemudian diangkat dan dibasuh dengan air yang bersih dan dijemur.

11. Kulit yang disamak itu haram dimakan kerna boleh mendatangkan mudarat pada anggota badan manusia.

12. Maksud perkataan suci zahir dan batin pada menyamak kulit binatang:

  • Suci pada zahir itu ialah ialah sebelah luar tempat tumbuh bulu yang telah dicukur dan kulit itu melekat pada daging.
  • Suci pada batin ialah di sebelah dalam kulit yang bermakna kulit itu dibelah maka bekas belahan itu suci.

13. Bulu-bulu binatang yang telah disamak dan terlekat pada kulit kiranya sedikit adalah dimaafkan.

14. Hubungan menyamak kulit binatang dengan ilmu-ilmu yang lain:

  • Pada Ilmu Muamalat kulit yang telah disamak boleh dijualbeli.
  • Pada Ilmu Jinayat kulit yang telah disamak boleh dipotong tangan apabila dicuri.
  • Pada Ilmu Faraid kulit yang telah disamak boleh dipusakakan

15. Kesimpulan ialah menyamak kulit binatang adalah bertujuan menyucikan kulit.

______________________________
Rujukan: (Kitab Matlaal Badrain – Syeikh Daud Fattani)

ARFTIKEL 2 : SUMBER PEJABAT MUFTI, BRUNEI DARUS SALAM

MEMBERSIH KULIT BINATANG SEBELUM DIMANFAATKAN

Penggunaan barang-barang yang diperbuat daripada kulit binatang, lebih-lebih lagi binatang yang terkawal, dianggap oleh setengah orang sebagai barang-barang berjenama, walaupun ia sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan pencinta alam. Penggunaan barang-barang daripada kulit binatang itu telah pun wujud lama sebelum zaman Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri pernah minum air dalam geriba (tempat menyimpan air daripada kulit binatang). Namun demikian adakah semua kulit binatang boleh dijadikan barang-barang pakaian, perhiasan dan sebagainya?

Agama Islam sebagai agama yang syumul mempunyai pandangan tersendiri dalam perkara ini. Para ulama telah mengutarakan dan membincangkannya di dalam kitab-kitab fiqh secara mendalam dengan berpandukan kepada dalil-dalil syarak sebagai sandaran. Menyedari akan hal ini, tidak syak lagi ia merupakan di antara perkara yang penting untuk diketahui oleh setiap orang. IRSYAD HUKUM kali ini akan menjelaskan beberapa pekara yang berhubungkait dengan kulit binatang, antaranya kulit binatang apa yang dibenarkan oleh Islam, bagaimana cara menyamak dan isu-isu yang berhubungkait dengan nya serta hukum penggunannya.

BINATANG YANG TIDAK HALAL DIMAKAN

Kesemua anggota binatang yang tidak halal dimakan seperti buaya, singa, kucing, monyet dan sebagainya, jika terpisah anggota binatang tersebut daripada badannya sama ada ketika binatang itu masih hidup ataupun sudah mati adalah bangkai. Ini termasuk juga kulit binatang tersebut. Walaubagaimanapun menurut hukum syarak kulit-kulit seperti ini akan menjadi suci jika ia disamak dan boleh dimanfaatkan melainkan kulit anjing dan babi.

BINATANG YANG HALAL DIMAKAN

Kesemua anggota binatang yang halal dimakan seperti unta, lembu, ayam dan sebagainya, jika terpisah anggota tersebut daripada badannya sama ada ketika binatang itu masih hidup atau mati bukan kerana disembelih, adalah bangkai melainkan bulu binatang itu. Maka kulit binatang tersebut juga adalah najis. Namun jika ia disamak, kulit itu menjadi suci dan boleh dimanfaatkan.

Sementara kulit binatang yang halal dimakan jika terpisah daripada badan binatang itu setelah disembelih adalah suci dan boleh dimanfaatkan tanpa perlu menyamaknya lagi. Ini kerana ia suci selepas matinya disebabkan sembelihan (Fath al-‘Allam) Kitab ath-Thaharah, Tathhir al-Julud Bi ad-Dabigh: 1/85).

HUKUM DAN DALIL-DALIL MENGHARUSKAN SAMAK

Perbuatan menyamak itu merupakan suatu jenis kerja yang dilakukan bagi faedah dan kepetingan manusia. Banyak faedah dan manfaat yang dapat dinikmati dan digunakan oleh manusia daripada kulit-kulit yang telah dibersihkan dengan cara menyamaknya. Maka syariat Islam memandangnya sebagai suatu kerja atau usaha yang diharuskan.

Terdapat beberapa jumlah dalil syarie yang memperuntukkan berkenaan kulit bangkai boleh menjadi suci setelah disamak, diantaranya :

1)Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radiallahuanhuma beliau berkata yang maksudnya:

Hamba sahaya milik Maimunah diberi sedekah seekor kambing, lalu kambing itu mati. Tidak berapa lama Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam berjalan melintasi bangkai kambing itu mati. Baginda bersabda:

“Mengapa tidak kamu ambil kulitnya, kemudian kamu samak supaya kamu dapat memanfaatkannya.”Mereka berkata: “Ia sudah menjadi bangkai.” Baginda bersabda: “Yang haram itu hanyalah memakannya.” (Hadis riwayat Muslim).

2) Di dalam riwayat yang lain daripada salamah bin Al Muhabbaq yang maksudnya :

Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika peperangan Tabuk berkunjung ke sebuah rumah. Tiba-tiba Baginda mendapati sebuah geriba (tempat menyimpan air daripada kulit binatang)bergantung, lalu Baginda bertanya meminta air. Mereka berkata : Wahai Rasulullah, geriba itu bangkai. Baginda bersabda: “Penyamakannya mensucikannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan An Nasa’i).

Berpandukan kepada kedua-dua dalil di atas jelas bahawa kulit bangkai di mana pada asalnya dihukumkan sebagai najis boleh menjadi suci dan boleh dimanfaatkan jika ianyaa disamak.

CARA MEMBERSIHKAN KULIT BINATANG

Cara membersihkan kulit binatang yang najis ataupun bangkai selain kulit anjing dan babi adalah dengan menyamaknya, iaitu menhilangkan segala lendir dan kelembapan yang melekat pada kulit di mana jika dibiarkan akan merosakkan kulit tersebut.

Bahan yang digunakan ialah sesuatu yang kesat/kasar di lidah jika terkena lidah seperti daun akasia (qarazh), manjakani (afsh), kulit delima (qusyur ar-rumman), tawas (asy-Syabb) dan seumpamanya.

Tidak semestinya bahan yang digunakan itu terdiri daripada benda-benda yang suci, malahan tidak menjadi halangan menurut hukum syarak jika bahan yang digunakan untuk menyamak itu terdiri daripada benda yang najis seperti tahi burung merpati.. Apa yang penting, bahan yang digunakan itu dapat mengeringkan kelembapan kulit, menghilangkan kotoran dan baunya yang busuk.

Tidak sah menyamak dengan hanya menjemur kulit binatang itu di bawah panas terik cahaya matahari, melumurnya dengan tanah, membekukan dan memasingkannya, kerana cara-cara tersebut tidak mampu membuang segala kotoran yang ada pada kulit, sekalipun kulit itu kering dan harum baunya. Tanda yang menunjukkan bahawa kotoran itu tidak hilang ialah jika kulit itu direndam atau terjatuh ke dalam air, pasti bau busuk akan kembali semula.

Semua kotoran dan najis yang ada pada kulit mestilah dihilangkan. Sesuatu yang ada di atas kulit bangkai seperti bulu tidak akan menjadi suci sekalipun ia disamak. Oleh itu, bulu tersebut hendaklah dicabut atau dihilangkan daripada kulit tersebut. Walau bagaimanapun jika bulu itu ada tertinggal sedikit dan susah hendak menghilangkan keseluruhannya maka ia adalah dimaafkan. (Fiqh Dan Perundangan Islam, Kitab ath-Thaharah, Samak : 1/86-88).


BIJANA EMAS DAN PERAK


1. Bijana bermaksud alat perkakas kegunaan kita setiap hari seperti pinggan, mangkuk, gelas, sudu, pisau dan lain-lain lagi .

2. Penggunaan bijana daripada emas dan perak hukumnya adalah haram.

3. Sebab dihukumkan haram adalah :

  • kerana tegahan – Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:“ Jangan kamu minum pada segala bijana emas dan perak dan janganlah kamu makan pada semua pinggannya “. ( Riwayat Al-Hakim ).
  • kerana akan menjadi beku tidak dapat menambah atau mengembangkan ekonomi.
  • kerana boleh menimbulkan rasa kecil hati dari kalangan fakir miskin.

4. Haram menggunakan bijana emas dan perak seperti pencelak mata bekas celak, sikat dan lain-lain.

Haram menggunakan peralatan makan minum yang diperbuat dari emas atau perak.

5. Haram seseorang itu mengupah dan mengambil upah membuat sesuatu bijana daripada emas dan perak. Dan tidak wajib ganti apabila memecahkan alat permainan yang diperbuat daripada emas dan perak.

6. Hukum menyimpan bijana emas dan perak hukumnya adalah haram begitu juga hukum menyadurkan bijana besi atau tembaga dengan emas atau perak juga adalah haram.

7. Bijana emas dan perak yang disadurkan dengan tembaga atau sebagainya tidak haram.

8. Hukum bijana yang ditimpal dengan perak:-

  • Jika besar tampalannya pada kebiasaan kerana perhiasan hukumnya adalah haram.
  • Jika besar tampalannya pada kebiasaan kerana hajat atau keperluan hukumnya harus beserta makruh.
  • Jika kecil tampalannya pada kebiasaannya kerana perhiasan hukumnya makruh.
  • Jika kecil tampalannya kerana hajat hukumnya tidak makruh.

9. Hukum menampal bijana dengan emas hukumnya adalah haram.

10. Makanan atau minuman yang ada di dalam bijana emas atau perak hukumnya adalah halal di makan atau diminum kalau ia bukan daripada makanan yang haram, yang diharamkan hanyalah menggunakan bijana-bijana tersebut.

11. Dihukumkan haram menggunakan bijana itu adalah terhadap ke semua manusia sama ada lelaki atau perempuan.

12. Bersuci dengan menggunakan bijana emas atau perak itu hukumnya adalah sah.

__________________________
Rujukan: (Kitab Matlaal Badrain – Syeikh Daud Fattani)
(Kitab Fiqh Syafi’I – Al-Ustaz Hj. Idris Ahmad S.H)

BERSUCI (MUKADIMAH)


OLEH: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Ijazah Sarjana Muda (Syari’ah) Uni. Al-Azhar (1997).
Diploma Takhassus Fiqh (Pra M.A) INSANIAH-Al-Azhar (2004)


Apakah perkara-perkara yang wajib kita lakukan sebelum solat?

  1. Bersuci
  2. Memakai pakaian menutup aurat
  3. Memastikan arah qiblat
  4. Menentukan telah masuk waktu jika solat yang hendak dilakukan merupakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu.

Apa dalil wajib bersuci?

Firman Allah;

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan”. (Surah al-Muddathir, ayat 4)

Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Tidak diterima solat tanpa bersuci” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Umar –radhiyallahu ‘anhu-).

Hadis ini menunjukkan bahawa bersuci adalah wajib sebelum menunaikan solat. Sekelian ulamak telah sepakat bahawa bersuci adalah salah satu syarat sahnya solat. Tidak sah solat tanpa bersuci.[1]

Apakah bentuk bersuci yang dituntut oleh Syarak sebelum solat?

  1. Bersuci dari najis
  2. Bersuci dari hadas
  3. Menyucikan batin (Tazkiyah an-Nafs)

Apakah skop bersuci dari najis?

  1. Membersihkan badan, pakain dan tempat ibadah dari najis
  2. Istinjak; iaitu iaitu menyucikan najis yang ada pada kemaluan (yakni zakar atau dubur) selepas kencing atau berak.
  3. Menyucikan kulit binatang

Apakah skop bersuci dari hadas?

  1. Mengambil wudhuk
  2. Mandi hadas atau mandi wajib
  3. Tayammum

Apakah alat atau bahan yang ditetapkan Syarak untuk bersuci?

  1. Air; air adalah bahan/alat asal yang ditetapkan Syarak untuk bersuci sama ada membersihkan najis atau menghilangkan hadas. Tidak harus meninggalkan air kecuali dalam kes-kes yang diizinkan oleh Syarak. [2]
  2. Tanah; iaitu bahan/alat bersuci yang ditetapkan Syarak untuk tayammum dan untuk membersihkan najis mughallazah (najis anjing dan babi)
  3. Benda-benda kesat; seperti batu, kertas, tisu, kayu dan sebagainya. Ia menjadi alat/bahan bersuci untuk beristinjak (iaitu membersihkan kemaluan selepas kencing atau berak).
  4. Bahan yang bersifat menghakis; iaitu bahan-bahan seperti kapur, tahi burung merpati, serbuk pencuci atau bahan kimia tertentu yang bersifat tajam dan menghakis. Ia menjadi bahan/alat bersuci untuk menyamak kulit.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyucian batin?

Penyucian batin bermaksud menyucikan hati dan akal dari aqidah dan kepercayaan kufur dan sesat yang boleh mengeluarkan seseorang itu dari iman. Selain bersuci zahir sebagaimana di atas, penyucian batin juga amat dititik-beratkan oleh Islam. Ini kerana solat dan ibadah-ibadah yang lain tidak sah melainkan dari orang yang beriman. Allah tidak menerima ibadah orang yang mensyirikkanNya atau mengkufuriNya termasuklah orang yang murtad dari agamaNya.

Selain itu, termasuk juga dalam pengertian penyucian batin yang mesti diperhatikan sebelum menunaikan solat ialah menyucikan hati dari sifat-sifat riyak, ujub dan sebagainya yang menafikan keikhlasan ketika mengerjakan solat. Ibadah yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah.

AIR

Apakah jenis air yang harus digunakan untuk bersuci?

Iaitulah air mutlak. Air mutlak ialah air yang semata-mata air, yang tidak dikaitkan dengan sebarang nama kecuali pada sebutan sahaja, bukan pada hakikatnya. Dipanggil dengan mutlak kerana apabila diitlakkan air (yakni disebut kalimah ‘air’ dengan tidak dikaitkan dengan sebarang nama yang lain seperti tepung, mawar, tebu, kopi dan sebagainya), maka difahami bahawa yang dimaksudkan ialah air yang semata-mata air, yang tidak dikaitkan dengan sebarang nama yang lain. Air sebegini mungkin dapat kita namakan dalam bahasa Melayu sebagai air murni atau air sejati. Menurut ulama’, air mutlak ini terbahagi kepada dua iaitu;

  1. Air yang turun dari langit; merangkumi air hujan, air embun dan salji.
  2. Air yang terbit dari bumi; merangkumi air sungai, air mata-air, air telaga dan air laut.

Apakah contoh-contoh air yang tidak harus digunakan untuk bersuci?

  1. Air kopi, air tebu, air mawar, air sirap, air gula dan sebagainya. Air-air jenis ini dinamakan air muqayyad iaitu air yang dikaitkan dengan nama-nama tertentu secara hakikatnya, maka ia tidak tergolong dalam air mutlak.
  2. Air mutlak yang berubah kerana dimasuki bahan asing hingga tidak dapat dipanggil air mutlak lagi. Contohnya, air yang dimasuki sabun dalam kuatiti yang banyak hingga tidak lagi dipanggil air melainkan “air sabun”. Air jenis ini dinamakan air mutaghaiyyir iaitu air yang berubah.
  3. Air najis atau air yang dicemari najis (yakni air mutanajjis).
  4. Air Musta’mal; iaitu air yang kurang dari dua kolah yang telah digunakan untuk menghilangkan hadas sama ada hadas besar (iaitu mandi wajib) atau hadas kecil (iaitu wudhuk yang wajib). Mengikut mazhab Syafi’ie, air Musta’mal tidak harus digunakan semula untuk bersuci. Namun ada di kalangan ulamak yang mengharuskannya, antaranya ulamak-ulamak mazhab Imam Malik.

Bagaimana jika air dimasuki najis?

Jika air adalah sedikit (iaitu kurang dua kolah), otomatik ia menjadi mutanajis (iaitu air yang bercampur dengan najis) sebaik sahaja terjatuh najis ke dalamnya sama ada nampak perubahan pada air atau tidak nampak. Tidak harus lagi ia digunakan untuk bersuci sekalipun air itu nampak elok. Namun sekiranya air itu banyak (iaitu lebih dua kolah), hendaklah diperhatikan;

  1. Jika nampak perubahan pada air itu (sama ada dari segi bau, warna dan sebagainya), maka air itu menjadi mutanajjis sebagaimana di atas.
  2. Jika tidak nampak sebarang perubahan, maka ia tidak menjadi mutanajjis, yakni ia masih dalam hukum asalnya iaitu suci dan harus digunakan untuk bersuci.

Hukum di atas adalah merujuk kepada sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- (yang bermaksud); “Apabila air sampai dua kolah nescaya ia tidak akan menjadi cemar atau kotor”. Dalam lafaz hadis yang lain disebutkan; “….tidak akan menjadi najis”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Hibban, ad-Daruqutni, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu)

Bagaimana caranya untuk menentukan kadar dua kolah mengikut ukuran semasa?

Sukatan air dua kolah jika ditimbang ialah 500 ritl (kati) Baghdad mengikut ukuran lama atau 192.857kg mengikut ukuran baru bersamaan 216 liter (iaitu lebih kurang 11 tin minyak tanah). Dari sudut keluasan tempat, bekas atau kolam, ukurannya ialah 1 ¼ hasta (yakni satu hasta suku) atau 60cm panjang, lebar, dan dalam.


[1] Al-Ijma’, Imam Ibnu al-Munzir (hlm. 17) dan Syarh Soheh Muslim (jil. 3, hlm. 104).
[2] Lihat; Ad-Darari al-Mudhiyyah, halaman 28-31.

BERSUCI (MANDI)


OLEH: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Apa maksud mandi wajib?

Mandi wajib bermaksud mandi yang diwajibkan oleh Syarak kerana sebab-sebab yang telah ditetapkan.

Apakah sebab-sebab yang mewajibkan mandi?

1. Jimak

Jimak bermaksud bersetubuh iaitu memasukkan zakar ke dalam faraj. Seorang muslim diwajibkan mandi selepas bersetubuh berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani” (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a..). Menurut Imam Nawawi; maksudnya “..khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan)..” di dalam hadis ini ialah; menenggelamkan zakar ke dalam faraj perempuan, bukan sekadar menyentuh luarannya sahaja. Ijmak ulamak menyatakan bahawa jika seorang lelaki meletakkan sahaja zakarnya di atas faraj perempuan tanpa memasukkannya, tidak wajib mandi sama ada ke atas si lelaki atau si perempuan. (Syarah Soheh Muslim, Kitab al-Haidh, bab Naskh al-Ma’ minal-Ma’…).

Mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan liwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.

Menurut Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi kalau yang disetubuhi itu adalah binatang sekalipun perbuatan itu berdosa. Imam Ibnu Hazm pula berpandangan; tidak wajib mandi jika tidak keluar mani. Baginya, yang mewajibkan mandi bukanlah semata-mata kerana berlakunya persetubuhan tetapi kerana keluar mani.

2. Keluar mani

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa wajib mandi dengan keluarnya mani. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak ada beza sama ada keluar mani itu kerana jimak, mimpi, berkhayal, mengeluarkannya dengan tangan, kerana melihat wanita atau kerana sebarang sebab, sama ada keluar mani itu dengan merasa lazat atau tanpa merasainya, sama ada yang keluar itu banyak atau sedikit, sama ada ketika jaga atau tidur, sama ada lelaki atau wanita, orang beraqal atau gila. Semuanya mewajibkan mandi. Bagi pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; tidak wajib mandi kecuali jika mani yang keluar adalah kerana syahwat dan keluarnya dalam keadaan memancut.

Kalau seseorang itu bermimpi (bersetubuh atau sebagainya) tetapi tidak nampak air mani pada badan atau pakaiannya apabila terjaga dari tidurnya atau ia ragu-ragu sama ada keluar mani atau tidak, maka dalam kes ini tidak wajib ia mandi. Namun jika ia melihat ada air mani pada badan atau pakaiannya dan ia tidak pasti; apakah ia telah bermimpi atau tidak? Dalam kes kedua ini, wajiblah ia mandi. Ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah) telah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran. Adakah wajib seorang wanita mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air mani’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam Ibnu Munzir; telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.

3. Haid dan nifas

Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)

Begitu juga berdasarkan hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Ayat dan hadis di atas menyentuh tentang haid. Dikiaskan kepadanya nifas kerana nifas adalah haid yang berkumpul. Begitu juga, nifas mengharamkan puasa, bersetubuh dan menggugurkan kewajipan solat sebagaimana haid. Maka wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebagaimana wanita yang haid. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.

4. Wiladah

Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.

Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya.

5. Mati

Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati ketika sedang dalam ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun bidara, kemudian kafankanlah dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat mandi hendaklah dilakukan oleh orang menguruskan mandiannya.

(*Selain orang mati syahid, ada dua lagi jenazah muslim yang tidak perlu dimandikan;
Mayat yang tidak dapat dimandikan kerana dibimbangi akan terlerai. Sebagai ganti ia hendaklah ditayammumkan. Seorang lelaki mati dan tidak ada orang untuk memandikannya melainkan seorang wanita ajnabi dan begitu juga sebaliknya. (al-Asybah Wa an-Nadzair, Imam as-Suyuti, hlm. 545-546)

6. Orang kafir yang masuk Islam

Menurut mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad; orang kafir yang memeluk Islam wajib ia mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bernama Tsumamah bin Usal telah ditangkap oleh tentera Islam dan ditambat di satu tiang masjid. Nabi berkata kepada para sahabatnya; “Lepaskan Tsumamah”. Setelah dilepaskan Tsumamah pergi ke satu kawasan air berdekatan masjid, lalu ia mandi. Kemudian ia memasuki masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Namun menurut jumhur ulamak termasuk mazhab Imam Syafi’ie dan Abu Hanifah; tidak wajib mandi atas orang kafir yang memeluk Islam, akan tetapi disunatkan sahaja. Ramai orang yang memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w., namun baginda tidak menyuruh mereka agar mandi sama ada sebelum atau selepas memeluk Islam. Adapun hadis tadi, ia hendaklah difahami sebagai sunat sahaja, bukan wajib.

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; dikecualikan jika ia berjunub semasa kafirnya, maka wajiblah ia mandi. Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi sekalipun berjunub semasa kafirnya kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Islam menghapuskan/ menggugurkan apa yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim dari Amru bin al-‘As r.a.)

7. Orang yang memandikan jenazah

Segolongan ulamak Salaf antaranya Saidina Ali, Abu Hurairah, Sa’id bin al-Musayyab, Ibnu Sirin, az-Zuhri dan sebagainya berpendapat; orang yang memandikan jenazah wajib ke atasnya mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa memandikan orang mati, maka hendaklah ia mandi. Sesiapa membawa orang mati, maka hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan).

Namun menurut pandangan Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Saidatina ‘Aisyah, al-Hasan, an-Nakha’ie, Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebagainya; tidak wajib ia mandi. Suruhan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas hanyalah suruhan sunat sahaja, iaitu digalakkan mandi bukan diwajibkan. Terdapat satu riwayat dari Imam Ahmad menyebutkan; wajib mandi itu hanya jika yang dimandikan itu adalah mayat orang kafir. Ini berdalilkan arahan Nabi s.a.w. kepada Saidina ‘Ali r.a. agar ia mandi tatkala ia memandikan bapanya (Abu Thalib).

Apakah perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun semasa mandi wajib?

Berdasarkan pandangan pelbagai ulamak, perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun di dalam mandi wajib ialah;

1. Menghilangkan najis pada badan sebelum mandi jika ada.

Rukun ini disebut dalam mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Ahmad. Dalilnya ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah” (Riwayat Imam al-Bukhari)

2. Niat

Wajib berniat di permulaan mandi semasa mula-mula menjirus air ke mana-mana bahagian badan; sama ada berniat melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat menghilangkan janabah atau hadas besar atau berniat mengharuskan perkara yang dilarang tanpa mandi seperti solat, tawaf dan sebagainya. Niat adalah wajib pada pandangan majoriti ulamak termasuk mazhab Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis Nabi yang menegaskan; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat”. Mazhab Imam Abu Hanifah berpendapat; berniat dipermulaan mandi hanya sunat sahaja, tidak wajib.

3. Meratakan air ke seluruh badan

Semasa mandi wajib meratakan air ke seluruh badan merangkumi; kulit yang nampak, rambut dan bulu, kulit di bawah rambut dan bulu –sama ada bulu itu tebal atau nipis-, kawasan-kawasan berlipat serta luaran kemaluan wanita (faraj) yang nampak ketika ia bertinggung. Rukun ini telah disepakati oleh sekelian ulamak.

Wajib menyampaikan air ke bahagian-bahagian berlipat di badan –sama ada lelaki atau perempuan-, bahagian dalam pusat, bahagian dalam cuping telinga (yakni bahagian berlekuk), celah-celah ketiak, celah papan punggung, celah-celah jari-jari tangan dan kaki dan kawasan-kawasan badan yang lain yang dihukum sebagai luaran badan. Begitu juga, bibir mulut (juga wajib dikenai air). Semua perkara tersebut telah disepakati oleh para ulamak. Bahagian mata, yang wajib dikenakan air ialah bahagian luar kelopak mata. Tidak wajib membasuh hingga ke dalam mata. Tidak wajib memasukkan air ke dalam corong telinga, memadai membasuh luarannya sahaja iaitu pangkal lubang telinga. Jika ada kekotoran di pangkal lubang telinga, hendaklah dicuci. (al-Majmu’, 2/228)

Jika di celah-celah kuku terdapat kekotoran yang menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi. Begitu juga, kalau di badan atau rambut terdapat bahan-bahan yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi melainkan dengan menanggalkannya terlebih dahulu. Jika rambut kusut hingga air tidak dapat sampai ke akar rambut (yakni kulit kepala), tidak sah mandi melainkan setelah rambut itu di keca-kecakan hingga air dapat menembusinya dan sampai ke akarnya. (Al-Majmu’, 1/529, 2/228).

Jika ada seurat dua rambut yang tidak dikenai air semasa mandi, adakah sah mandi? Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak sah mandi. Bagi Imam Abu Hanifah; sah mandi (yakni dimaafkan). (Al-Majmu’, 2/228).

Adakah wanita wajib merungkai sanggul atau dandanan rambutnya semasa mandi? Dan adakah wajib dibasuh rambut yang terurai? Persoalan ini akan kita jawab di depan nanti.

4. Mengambil wudhuk.

Menurut Imam Daud az-Dzahiri dan Imam Abu Tsur; wajib mengambil wudhuk semasa mandi wajib. Mengambil wudhuk adalah syarat sah mandi, yakni menurut mereka; tidak sah mandi tanpa didahului mengambil wudhuk. Mereka berdalilkan hadis-hadis yang menceritakan tentang cara mandi Nabi s.a.w. di mana di antara yang dilakukan oleh Nabi semasa mandi ialah mengambil wudhuk.

Namun pandangan mereka menyalahi sekelian ulamak yang lain yang sepakat menyatakan; mengambil wudhuk sebelum mandi adalah sunat sahaja, tidak lah wajib. Dalam pengertian yang lain; menurut majoriti ulamak mengambil wudhuk semasa mandi hanya disunatkan, bukan diwajibkan. Majoriti ulamak berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang menganyam rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi janabah?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci” (Riwayat Imam Muslim). Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. tidak menyebut tentang wudhuk, menunjukkan bahawa ia adalah sunat, tidak wajib. Imam Ibnu Rusyd menjelaskan; “Apa yang terdapat dalam hadis Ummu Salamah tersebut adalah rukun-rukun mandi yang diwajibkan”. (Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 62).

5. Menggosok

Menggosok seluruh anggota dengan tangan semasa mandi adalah wajib mengikut pandangan Imam Malik dan disokong oleh Imam al-Muzani (salah seorang murid Imam Syafi’ie). Namun mengikut pandangan majoriti ulamak; menggosok adalah sunat sahaja. Yang wajib ialah memastikan air sampai ke seluruh badan. Jika air dapat sampai tanpa menggosok, kekallah hukumnya sebagai sunat. Namun jika air tidak dapat sampai melainkan dengan menggosok (comtohnya; di celah-celah jari yang rapat-rapat), maka ketika itu barulah hokum menggosok itu berubah menjadi wajib.

6. Muwalat

Muwalat bermaksud berturut-turut dari mula mandi hingga selesai tanpa berhenti atau melakukan pekerjaan lain. Menurut Imam Malik; muwalat ini adalah wajib semasa mandi bagi orang yang ingat dan mampu melakukannya. Adapun ulamak-ulamak yang lain; muwalat tidaklah wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.

7. Berkumur dan Istinsyaq

Berkumur dan Istinsyaq adalah wajib dilakukan semasa mandi wajib mengikut pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w. kepada Ummu Salamah r.a. tadi; “….kemudian kamu siramkan air ke badan kamu..”, di mana menurut mereka; mulut dan hidung termasuk dalam pengertian badan yang mesti dikenai air semasa mandi. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah)

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; kedua-duanya hanya sunat sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; kedua-duanya adalah sunat muakkad di mana jika ditinggalkan adalah makruh. Imam Daud pula berpandangan; yang wajib hanya Istinsyaq sahaja. Adapun berkumur, tidak diwajibkan. Pandangan Imam Daud disokong oleh Imam Ibnu al-Munzir.

8. Membaca Bismillah

Menurut Imam Ahmad; membaca Bismillah ketika bersuci dari hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) adalah wajib. Masa membaca Bismillah ialah selepas niat dan sebelum mula melakukan perbuatan-perbuatan untuk bersuci. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil. 1, hlm. 96). Namun tuntutan membaca Bismillah semasa mandi ini tidaklah sekuat tuntutan semasa mengambil wudhuk. Menurut pandangan majoriti ulamak; membaca Bismillah ini hanya sunat sahaja, tidak wajib sama ada semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib.

Apakah perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh Nabi ketika mandi wajib?

Selain dari perbuatan-perbuatan rukun atau wajib di atas, perbuatan-perbuatan lain yang disyariatkan (atas nama sunat) semasa mandi ialah;

  1. Membasuh tangan terlebih dahulu.
  2. Menggunakan tangan kiri ketika membasuh kemaluan dan ketika menghilangkan najis di badan jika ada.
  3. Melakukan segala yang disunatkan semasa mengambil wudhuk.
  4. Mula mandi dari atas ke bawah; yakni dari kepala turun ke kaki.
  5. Memulakan mandi dari sebelah kanan; iaitu menjirus badan sebelah kanan, kemudian baru kiri. Tidak wajib tertib dalam memandikan angota badan. Namun disunatkan bermula dari kepala, kemudian bahagian atas badan dengan mendahulukan sebelah kanan.

Apakah hadis-hadis yang menjadi rujukan bagi sifat mandi yang sempurna?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; para ulamak sepakat menyebutkan bahawa sifat mandi yang paling sempurna ialah yang terdapat di dalam hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. dan Maimunah r.a..

1. Hadis ‘Aisyah r.a.

Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Muslim)

2. Hadis Maimunah r.a.

Maimunah r.a. menceritakan; “Aku telah menyediakan untuk Nabi s.a.w. air untuk baginda mandi wajib. Baginda (mandi dengan mula) membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali, kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya (yakni beristinjak), kemudian baginda menyapu tangannya ke tanah (untuk membersihkan tangan dari kesan najis selepas membasuh kemaluan atau istinjak tadi-pent.), kemudian baginda berkumur, beristinsyaq (membasuh hidung), membasuh muka dan dua tangannya (hingga ke siku), seterusnya baginda menyiramkan air ke seluruh jasadnya, berikutnya baginda s.a.w. mengalih/berganjak dari kedudukannya lalu mengakhiri mandi dengan membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kita perhatikan di dalam hadis Maimunah di atas; Rasulullah mengambil wudhuk tanpa membasuh kakinya iaitu baginda menangguh basuhan kaki ke hujung mandi.

Bagaimana caranya melakukan mandi wajib yang sempurna?

Untuk melakukan mandi wajib dengan sempurna, ikutilah langkah-langkah berikut;

Langkah pertama
Baca Bismillah sambil menghadirkan niat di dalam hati (iaitu niat melakukan mandi wajib atau niat menghilangkan hadas). Kemudian basuh kedua tangan sebanyak tiga kali.

Langkah ke dua
Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan (depan dan belakang) dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.

Langkah ke tiga
Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan. Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.

Langkah ke empat
Kemudian lakukan mandian dengan bermula di bahagian kepala terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan jari-jari hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.

Langkah ke lima
Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian diikuti ke sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

Langkah ke enam
Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; Apabila selesai mandian, disunatkan membaca doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil wudhuk .

Wanita yang mendandan rambut atau mempunyai sanggul; wajibkah ia merungkaikan sanggul atau dandanannya itu ketika mandi?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; jika air dapat membasahi rambut dan dapat sampai ke kulit kepala tanpa merungkainya, maka tidak wajib merungkainya. Jika tidak, wajiblah ia merungkai dandanan atau sangggulnya. Jadi, yang penting ialah memastikan air mengenai rambut dan kulit kepala.

Imam Ahmad membezakan antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Menurut beliau; jika mandi kerana junub, tidak wajib merungkai sanggul atau dandanan itu. Tetapi jika mandi kerana haid, wajiblah dirungkaikannya Ia berdalilkah dua hadis;

Pertama; hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang mendandan rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi junub?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci”(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi). Hadis ini menjadi dalil bahawa; jika seorang perempuan mandi kerana junub, tidak wajib ia merungkai dandanan rambutnya.

Kedua; hadis dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan; Asma’ binti Syakal telah bertanya Nabi tentang mandi selepas haid. Lalu Nabi menerangkan; “Sesiapa dari kamu (yang kering darah haidnya-pent.) hendaklah ia mengambil air dan daun sidrnya, kemudian hendaklah ia mengambil wudhuk dengan menyempurnakan wudhuknya. Kemudian hendaklah ia menuangkan air ke atas kepalanya, lalu menggosok-gosokkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu hendaklah ia menyiramkan air ke badannya. Berikutnya, hendaklah ia mengambil secebis (kapas atau sebagainya) yang diletakkan wangian kasturi, kemudian bersihkanlah dengannya”. Asma’ bertanya; “Bagaimana aku hendak membersih dengannya?”. Nabi menjawab; “Subhanallah! Bersihkan lah dengannya”. Aisyah pun berkata kepadanya –dengan berbisik-; “Kamu cucikan dengannya kesan darah (yang masih ada di faraj kamu)”. Kemudian ia (yakni Asma’) bertanya pula tentang mandi kerana junub. Nabi menjawab; “Hendaklah ia (yakni wanita yang berjunub) mengambil air, lalu mengambil wudhuk dengan memperelokkan wudhuknya. Kemudian ia tuangkan air ke atas kepalanya sambil menggosok-gosok kepala hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu ia siramkan air ke seluruh badannya”. Berkata Aisyah; “Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar. Perasaan malu tidak menegah mereka dari mendalami agama” (Riwayat Imam Muslim). Hadis kedua ini menunjukkan perbezaan bagi mandi wanita antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Semasa mandi kerana haid, diperintah oleh Nabi agar gosokan kepala dilakukan dengan sungguh-sungguh, sedangkan semasa mandi kerana junub baginda hanya menyuruh gosokan biasa sahaja. Jika dipadankan hadis ini dengan hadis pertama tadi, maka dapat disimpulkan bahawa; semasa mandi kerana haid wajiblah dandanan atau sanggul dirungkai agar gosokan dapat dilakukan dengan sungguh-sungguh sebagaimana yang disuruh oleh Nabi. Adapun semasa mandi kerana janabah, tidak wajib sanggul atau dandanan rambut dirungkai kerana sekalipun ia tidak rungkai, gosokan yang biasa masih dapat sempurnakan.

Apa hukum mandi telanjang?

Di khalayak ramai hukumnya adalah haram. Adapun di tempat yang tersembunyi atau tertutup, hukumnya harus. Berkata Qadhi ‘Iyadh; keharusan mandi bertelanjang di tempat yang tertutup atau tersembunyi dari orang lain merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulamak”. Keharusan ini berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. yang bercerita; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian (kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa; ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari). Berhujjah dengan hadis ini adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.

Sekalipun harus, namun yang terbaik ialah menutup aurat (yakni; sekalipun harus mandi bertelanjang di tempat tersembunyi, namun yang paling baik ialah mandi dengan menutup aurat). Dalilnya ialah hadis dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Imam Abu Laila menganggahi pandangan jumhur di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib; mana yang afdhal antara menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya ke hujung mandi?

Harus sama ada hendak menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya iaitu dengan membasuhnya di hujung mandi. Dalil menyegerakannya ialah hadis ‘Aisyah r.a.. Adapun dalil menangguhnya ialah hadis Maimunah r.a.. Kedua-dua hadis tersebut telah kita bentang tadi (sila rujuk kembali). Mana yang afdhal; menyegerakannya atau menangguhnya? Majoriti ulamak berpendapat; yang afdhal ialah menangguhnya. Mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; yang afdhal ialah menyegerakannya (yakni menyempurnakan wudhuk hingga basuhan kaki). Ini kerana kebanyakan riwayat dari ‘Aisyah dan Maimunah menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. menyempurnakan wudhuknya hingga basuhan kaki, tanpa menangguhnya ke hujung mandi. Menurut Imam Malik pula; jika tempat mandi itu tidak bersih, elok ditangguhkan basuhan kaki. Namun jika tempat mandi itu bersih, maka yang afdhal ialah menyegerakan basuhan kaki. (Nailul-Autar, jil. 1, kitab at-Toharah, Abwab al-Aghsal al-Mustahabbah, bab Sifati al-Ghusl).

Adakah perlu mengambil wudhuk sekali lagi selepas mandi?

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib hanya disunatkan sekali sahaja iaitu di awal mandi. Telah ijmak ulamak bahawa tidak disyari’atkan dua kali wudhuk dalam satu mandi. Ini berdalilkan hadis dari Aisyah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. tidak mengambil wudhuk selepas mandi junub”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari ‘Aisyah r.a.. Berkata at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Kecualilah jika seseorang telah melakukan perkara yang membatalkan wudhuk selepas selesai mandinya. Maka ketika itu, wajiblah ia memgambil wudhuk.
_______________________

Rujukan : Al-Majmu’, 1/529, 2/228.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 54 other followers

%d bloggers like this: