PUASA TINGKATKAN INTEGRITI DIRI


Sempena bulan Ramadan yang berkat ini, seluruh umat Islam di pelosok dunia menunaikan ibadah puasa yang wajib secara serentak. Ini bermakna pada siang hari hampir keseluruhan umat Islam di dunia menahan lapar, menjaga adab-adab puasa dan pada waktu malam pula melakukan pelbagai ibadah sunat bagi penambahbaikan kualiti puasa wajib itu.
Berdasarkan sambutan menyeluruh umat Islam itu, maka adalah jelas bahawa program puasa adalah perancangan tahunan luar biasa yang ditetapkan Allah SWT bagi mentransformasikan akhlak manusia. Inilah keberkatan dan keistimewaan bulan Ramadan.Allah SWT menetapkan piawaian kualiti puasa bahawa natijah dan objektif puasa ialah mewujudkan manusia yang bertakwa (al-Baqarah: 183).
Ketika mengulas lanjut natijah puasa ini, Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW memberi peringatan dalam sebuah hadith,

“Terdapat orang Islam berpuasa tetapi hasilnya hanyalah lapar dan dahaga, serta terdapat juga mereka mengadakan qiamullail tetapi apa yang diperoleh hanyalah semata-mata berjaga malam”. (riwayat Tabrani).

Persoalan besar timbul mengapa terdapat umat Islam yang berpuasa tetapi gagal mencapai natijah yang ditetapkan. Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyatakan faktor nafsu memainkan peranan besar dalam membangunkan taraf kemanusiaan. Nafsu ini mempengaruhi tingkah laku dan akhlak manusia.

Menurut Imam Ghazali, dalam diri manusia pada dasarnya terdapat tiga jenis nafsu. Pertama, nafsu ammarah: iaitu mempunyai kecenderungan melakukan kejahatan. Nafsu ini juga dikenali sebagai nafsu binatang. Kedua, Lawwamah: perjuangan jiwa yang wujud kecenderungan untuk membuat pertimbangan baik dan buruk. Ketiga, Mutmainnah: jiwa yang telah menemui rentak positif dan berusaha memperkukuhkan unsur positif sebagai budaya hidup kerana nyata memberi kebahagiaan kepada manusia.

Menurut Teori Hiraki Maslow, tingkah laku manusia dipengaruhi bagi memenuhi kehendak nafsu kendiri yang selalu bergerak-gerak. Nafsu ini sentiasa bergerak dari bawah bermula memenuhi keperluan fisiologi (keperluan asas kehidupan), ketenteraman hidup, mendapat kasih sayang, penghargaan diri dan kemuncaknya ialah penyempurnaan kendiri mutlak.

Penyempurnaan kendiri yang tidak ada penghujung inilah yang menyebabkan manusia hilang kawalan, menjadi rakus, tamak haloba dan akhirnya menyumbangkan kepada kejatuhan integriti manusia kepada tahap kemanusiaan yang paling jijik.

Kecelaruan nafsu yang membawa kerakusan kendiri menghasilkan natijah manusia yang tidak beradab. Manusia yang tidak beradab inilah menjadi punca penularan gejala sosial seperti makan rasuah, menyalahguna kuasa, penagihan dadah, Aids, berzina, mengaku sebagai Tuhan atau Rasul Allah, orang jahil mengeluarkan fatwa, orang jahil mentafsir al-Quran, hadis sesuka hati dan pelbagai perbuatan negatif lain.
Pada dasarnya manusia yang tidak beradab ini adalah manusia palsu kerana telah hilang akidah, hilang sifat kemanusiaan, tidak bertamadun, dan menggugat kesucian Islam.Kita amat bimbang kecemerlangan dan kegemilangan negara tergugat jika orang seperti ini dipilih menjadi pemimpin, mengetuai organisasi, diberi jawatan, diberi amanah, dinaikkan pangkat dan sebagainya.

Dengan demikian langkah kerajaan untuk memperhebatkan kempen integriti adalah amat wajar. Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, integriti bermaksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh. Terdapat perkaitan yang kuat antara integriti dengan takwa. Berdasarkan takrif integriti, ternyata integriti adalah sebahagian daripada ciri-ciri takwa kerana ia termasuk dalam sifat-sifat terpuji dalam Islam. Untuk mencapai natijah manusia yang bertakwa dan berintegriti bukanlah perkara mudah. Ia tidak boleh dihasilkan melalui teori, berkursus, berseminar, bengkel atau persidangan semata-mata. Ia memerlukan tekad dan kesungguhan manusia itu sendiri iaitu melakukan jihad melawan nafsu yang menjadi musuh utama manusia.

Jihad mempunyai pengertian yang luas. Jihad secara bahasa bermakna mengerahkan tenaga yang maksimum untuk menghapuskan musuh. Menurut Said al-Buti, jihad ialah usaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan akidah, membina masyarakat Islam dan mempertahankan Islam.

Bulan Ramadan adalah bulan jihad. Allah memberi masa selama sebulan untuk kita berpuasa dan berjihad yang dikira cukup menewaskan nafsu (ammarah, lawwamah) dan memantapkan nafsu mutmainnah.

Berdasarkan pengajaran al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w, jihad memantapkan nafsu mutmainnah memerlukan pelaksanaan disiplin puasa yang ketat seperti berikut:

  • Berniat secara ikhlas,
  • Memelihara adab-adab dan perkara yang membatalkan puasa,
  • Menghidupkan ibadah pada waktu malam (qiamullail),
  • Banyak membaca al-Quran dan memahaminya,
  • Banyak bersedekah,
  • Banyak bermujahadah seperti beriktikaf, berzikir dan bertaubat,
  • Makan makanan dan rezeki halal; dan
  • Kurangkan makan dan tidak membazir.

Berdasarkan besar peranan jihad melawan nafsu ini, maka terdapat ulama mengatakan bahwa jihad nafsu adalah jihad utama yang menjadi penggerak membangunkan tamadun ummah dan keamanan dunia.

Dengan demikian jika kita gagal mengambil kesempatan untuk membuat perubahan dan transformasi akhlak dalam bulan yang mulia ini, maka puasa yang diamalkan silih berganti pada setiap tahun tidak memberi apa-apa kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.Manusia adalah sebaik-baik makhluk kejadian Allah dan pada prinsipnya bersifat bersedia untuk menerima perubahan. Sempurna kedatangan bulan Ramadan yang berkat ini, maka marilah kita mengerahkan anak-anak dan keluarga kita mengambil peluang untuk berjihad melawan nafsu bagi menentukan kita menjadi manusia yang bertakwa, berintegriti, beradab dan kekal dengan sifat-sifat kemanusiaan.

Oleh: GHAFANI AWANG TEH
Ketua Penolong Pengarah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

http://www.islam.gov.my/puasa-tingkatkan-integriti-ghafani-awang-teh-panel-penulis-jakim
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 53 other followers

%d bloggers like this: