SURAH AL-BAQARAH (سورة البقرة) – AYAT 17 – 18


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRY

AYAT 17

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لَّا يُبْصِرُونَ ﴿١٧﴾

Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat.

 Perumpamaan (mathal) dibaca dengan ‘mathal’ atau ‘mithil’.

Syeikh al-Mawardi berkata, ‘mathal’ digunakan pada perumpamaan-perumpamaan yang dibandingkan sedangkan ‘mithil’ digunakan pada sesuatu yang dibandingkan dengan yang lain pada kesamaan.

Ibn al-Jauzi berkata, ‘mathal’ ialah apa yang dibandingkan dan diletakkan bagi menerangkan persamaan pada keadaan.

Abu Hayyan melalui tafsirnya Al-Bahru al-Muhit, menjelaskan secara terperinci dengan menyebut bandingan atau perumpamaan yang zahir dapat diketahui daripada pancaindera atau akal.

Imam al- Fakhru al- Razi dalam tafsirnya berkata, ‘tasybih’ ( perumpamaan) di sini dalam kemuncak kesahihan kerana mereka dengan iman pada permulaan mencapai cahaya, kemudian dengan nifaqnya mereka membatalkan cahaya tersebut dan dengan padamnya cahaya mereka terperangkap dalam kehairanan yang amat besar, iaitu agama yang membawa kepada kerugian dirinya selama-lama.

Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api.

Al-Nasafi berkata: Tatkala Allah datangkan dengan hakikat sifat mereka, Allah susuli dengan perumpamaan bagi menjelaskan lagi keterangan dan melengkapkan lagi kenyataan. Antara tujuan perumpamaan ialah menzahirkan makna-makna yang tersembunyi, mengangkat sitar (tabir) daripada hakikat–hakikat sebagai kesan yang zahir. Terlalu banyak di dalam kitab-kitab samawi dan daripada surah-surah dalam Injil mengandungi surah-surah ‘misalan’.

Perumpamaan di sini, orang munafik dengan orang yang menyalakan api, dizahirkannya iman dengan cahaya dan putusnya iman dengan terputusnya manfaat apabila padamnya api.

Al-Imam al-Syaukani melalui tafsirnya Fath al-Qadir berkata tentang sebab nuzulnya ayat ini:

-      Ibn Abbas berkata: Perumpamaan yang diumpamakan Allah bagi orang-orang munafik yang bermegah dengan Islam, berkahwin dengan orang Islam dan berwarisan hingga membahagi ‘fai’. Tatkala meninggal dunia, mereka mati dengan dicabut kemuliaan, sama seperti dicabut cahaya daripada punca api.

-      Ibn Mas’ud dan sahabat berkata: Ada orang yang masuk Islam ketika mula-mula Nabi s.a.w sampai di Madinah,  kemudian menjadi munafik. Bandingan mereka sama seperti lelaki dalam gelap, kemudian dinyalakan api dan cerahlah di sekeliling sehingga nampak segala perkara yang menyakitkan (bahaya) yang dapat menyelamatkan mereka daripada bala tersebut. Dalam keadaan selesa itu cahaya dipadamkan, menyebabkan mereka tidak tahu. Begitulah bandingan orang munafik dalam kegelapan syirik, kemudian memeluk Islam lalu dikenali halal dan haram, baik dan buruk ketika dalam keadaan begitu dia kafir, jadilah seperti orang yang tidak tahu membezakan halal daripada haram, baik daripada jahat. Merekalah yang sebenarnya pekak, buta, dan kelu (bisu). Mereka tidak mampu kembali kepada Islam.

Al-Samarqandi meriwayatkan daripada Muawiyyah bin Talh daripada Ali bin Abi Talhah, daripada Ibn Abbas, katanya: Diturunkan ayat ini pada golongan Yahudi yang mendiami sekitar Kota Madinah.

Maka setelah api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari mereka).

 Ibn Kathir berkata: Allah hilangkan daripada mereka apa yang memberi manfaat, iaitu cahaya dan mengekalkan apa yang mudarat kepada mereka, iaitu kebakaran, kepanasan, dan asap.

Al-Samarqandi berkata: Allah hilangkan daripada mereka dengan nur iman yang mereka bercakap dengannya.

Syeikh Muhammad Abduh dalam menggambarkan ‘misalan atau umpama’ terhadap Yahudi dengan umat ini seperti yang berikut:

“Mereka (Yahudi) dengan fitrah mereka yang sejahtera mencapai cahaya hidayah tuhan dengan sebab kepercayaan mereka. Tatkala api menerangi cahaya dan menyuluh jalan, tiba-tiba datang taklid-taklid yang diwarisi, juga adat-adat tradisi yang akhirnya menggangu mereka daripada mendapat segala manfaat dan faedah.”

Apa yang berlaku ialah mereka jatuh ke gaung maruah yang tercela daripada perlawanan antara kerosakan berbanding dengan meminta pertolongan daripada cahaya hidayah. Pembezanya seperti antara siang yang bersinar dengan kegelapan-kegelapan malam yang menakutkan. Inilah makna hilangnya cahaya daripada diri mereka.

Dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat.

 Ibn Kathir berkata: Mereka berada dalam keadan syak, kufur, dan nifaq. Mereka tidak mendapat petunjuk hidayah ke arah jalan-jalan kebaikan yang mereka langsung tidak tahu.

Syeikh al- Shanqiti di dalam Adwa al-Bayan berkata: “Mereka dalam kegelapan”. Allah umpamakan mereka pada ayat ini dengan keadaan orang-orang kafir dan munafik daripada kekeliruan, syak dan ragu pada al-Quran dengan kegelapan hujan diumpamakan dengan al-Quran.

Syeikh Abdul Rahman al Sa’di berkata: Dalam keadaan orang munafik sebegitu, tiba-tiba maut menyambar mereka tanpa dapat manfaat dengan cahaya hidayah iman, sebaliknya mereka menempah segala kekesalan, dukacita, azab di dalam kubur, kegelapan kekufuran, kegelapan nifaq, dan kegelapan maksiat. Seterusnya mereka mendiami dalam kegelapan neraka. Itulah sehina-hina tempat.

Al-Qatbi berkata, makna ayat ini: Kegelapan pertama ialah kegelapan kekufuran dan dapat cahaya daripada kalimah tauhid. Tetapi apabila mereka pergi kepada syaitan-syaitan mereka, terus mereka menjadi munafik.

Daripada ayat ini dapat ditelusuri betapa malangnya nasib orang munafik apabila diberi cahaya, kemudian dihilangkan cahaya dan pada ketika yang sama dikekalkan kepanasan, dikekalkan mereka dalam kegelapan-kegelapan sehingga mereka tidak dapat melihat.

AYAT 18

صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ ﴿١٨﴾

Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar).

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menafsirkan “mereka tuli” daripada mendengar kebaikan.

“Bisu” daripada bercakap kebaikan.

“Buta daripada melihat kebenaran.

“Tidaklah mereka akan kembali.”

Ini kerana mereka meninggalkan kebenaran selepas mengetahuinya. Berlainan dengan mereka yang tinggalkan kebenaran dengan sebab jahil dan sesat. Ini kerana mereka tidak memahami. Mereka lebih mudah kembali kepada kebenaran daripada golongan munafik.

Al-Mawardi melalui tafsirnya menyebut empat pendapat akan maksud sebenar “bisu”:

  • Rosak lidah yang tidak dapat keluar huruf dengan sebenarnya.
  • Yang dilahirkan dalam keadaan bisu.
  • Dicabut mata hati yang tidak faham sesuatu.
  • Yang dihimpun antara bisu dan hilang akal fikiran.

Ibn al- Jauzi di dalam Zad al-Masir berkata: Terdapat tiga pendapat pada tafsiran “Tidaklah mereka akan kembali”:

  • Tidak kembali daripada kesesatan mereka seperti pendapat Qatadah dan Muqatil.
  • Tidak kembali kepada Islam seperti pendapat al-Suddi.
  • Tidak kembali daripada pekak, bisu, dan buta kerana mereka memilih jalan mereka sendiri.

Syed Qutub berkata: Sebenar telinga, lidah, dan mata adalah untuk menerima gema bunyi, cahaya, dan sebagainya – mengambil manfaat dengan hidayah dan cahaya. Namun, sebenarnya mereka mensia-siakan telinga mereka. Justeru mereka pekak dan tuli. Mensia-siakan lidah mereka justeru mereka kelu dan bisu dan juga mereka mensia-siakan mata mereka, justeru mereka buta.

Sudah tentu amat sukar bagi mereka untuk kembali mendapat hak kebenaran, kembali kepada hidayah. Sebenarnya tiada hidayah bagi mereka daripada cahaya.

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya berkata: Al-Quran al-Karim menggunakan cara uslub orang Arab dalam mengumpamakan dengan misalan-misalan (contoh) yang menerangkan segala makna dengan sesempurnanya, dapat meninggalkan kesan amat mendalam pada jiwa, tidak mampu ditolak dan menyelami ke dalamnya.

Di atas cara ini Allah mengumpamakan orang munafiqin. Digambarkan keadaan mereka ketika memeluk Islam. Pertamanya, dimasuki cahaya iman, kemudian mereka mereka kufur. Ini kerana mereka tidak dapat memahami segala kelebihan dan keelokan Islam itu. Jadilah mereka tidak dapat melihat mana-mana jalan hidayah, juga tidak dapat memahami mana-mana wasilah yang membawa keselamatan, kesejahteraan, dan kebahagiaan.

Diterangkan cahaya tersebut pada hati-hati sekeliling mereka daripada kalangan orang-orang yang benar-benar beriman secara berjamaah (kumpulan). Mereka nyalakan api untuk manfaat dan menjauhkan daripada bala mudarat. Tatkala api menerangi kawasan mereka, secara tiba- tiba datang perkara yang tidak disangka-sangka, seperti hujan atau angin memadamkan api. Jadilah mereka dalam kegelapan yang tidak mampu untuk melihat langsung.

Kemudian dijadikan mereka dalam keadaan buta, pekak, dan bisu yang dengan ibarat yang lain hilang segala pancaindera, menyebabkan mereka tidak dapat mengambil manfaat daripada apa yang ada di sekeliling mereka.

  • Apa faedah pandangan atau pendapat kecuali mendapat nasihat, peringatan, dan hidayah?
  • Apa manfaatnya lidah tanpa mendapatkan hidayah dengan percakapan, memohon dalil dan bukti untuk menerangi kefahaman akal dan menjelaskan segala kemusykilan?

-      Apa keistimewaan penglihatan tanpa melihat dan mengambil iktibar untuk menambahkan hidayah.

-      Sesiapa tidak menggunakan semua itu, maka seolah-olah ia telah hilang atau lenyap dan cacat pula pancainderanya.

Persoalan tersebut perlu difikir sedalam-dalamnya agar kita dapat keluar daripada kesesatan dan kembali kepada hidayah.

Glosari

  •  Kitab-kitab samawi: Kitab-kitab dari langit seperti Taurat, Zabur, dan Injil.
  • Fai: Harta rampasan daripada orang kafir tanpa sebarang pertumpahan darah dalam peperangan.
  • Taklid: Mengikut sesuatu secara membuat tuli.
  • Uslub: Gaya bahasa atau cara
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 52 other followers

%d bloggers like this: